Jumaat, 6 Julai 2012

SEMUA KATA DIA BAGUS...NAK MENANG...RAKYAT DAH TAHU MENILAI...YANG BEKERJA UNTUK ISLAM DAN RAKYAT...ATAU UNTUK KAYAKAN DIRI SENDIRI.....

SPR: Tidak sampai 3 peratus semak daftar pemilih bulan lepas

6 Julai 2012
SPR
SPR
KUALA LUMPUR - Tidak sampai tiga peratus atau hanya 354,436 daripada 12.9 juta pemilih berdaftar membuat semakan pendaftaran mereka sepanjang Kempen Bulan Semakan Daftar Pemilih 2012 bulan lepas.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata daripada jumlah itu 234,592 membuat semakan melalui laman sesawang SPR, Sistem Pesanan Ringkas (106,238), telefon (6,884), hadir sendiri (6,578), faksimili (402) dan selebihnya melalui surat.
 
"SPR amat menghargai mereka yang membuat semakan kerana prihatin dengan status pendaftaran mereka. Bagi SPR, hanya pemilih berkenaan yang mengetahui maklumat sebenar pendaftaran mereka, jika berlaku kesilapan, mereka boleh membuat pembetulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini

Semakan boleh dibuat menerusi lawan sesawang SPR di www.spr.gov.my atau melalui sistem pesanan ringkas dengan menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888 atau menelefon ke ibu pejabat SPR di talian 03-88856565.
 
Sementara itu, Kamaruddin menafikan dakwaan sebuah akhbar parti pembangkang bahawa mereka yang ingin mendaftar sebagai pemilih perlu ke pejabat Umno.

"Siasatan SPR dengan Pos Malaysia mendapati dakwaan itu tidak benar, namun Pos Malaysia mengakui terdapat beberapa cawangan yang mengalami masalah kehabisan borang pendaftaran pemilih pada 8 Jun lepas.

"Sementara menunggu bekalan borang baharu tiba, petugas kaunter telah menasihatkan pelanggan yang ingin membuat urusan daftar pemilih untuk ke cawangan Pos Malaysia berhampiran, bukannya ke saluran pendaftaran lain seperti didakwa," katanya.
 
Kamaruddin juga berkata SPR akan melakukan semakan maklumat peribadi pemohon termasuk alamat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum menerima permohonan pendaftaran seseorang pemilih.
 
"Semakan dibuat dengan JPN melalui Agency Link Up System (ALIS). Jika alamat pada kad pengenalan itu bersamaan dengan alamat pada ALIS, maka SPR akan mendaftarkannya berdasarkan alamat pada kad pengenalan itu.

"Turut dibangkitkan 90 peratus nama pengundi tidak ditemui. Pendaftaran berdasarkan kad pengenalan, jika pemilih berdaftar berpindah SPR tidak mengetahuinya. Namun SPR sentiasa mengingatkan pemilih yang berpindah supaya memohon menukar alamat pusat mengundi mereka," katanya.

Kamaruddin turut mengulas dua isu lain yang dibangkitkan iaitu pengundi baru berusia lebih 50 tahun dan kod kad pengenalan Sabah penuhi Selangor.
 
Beliau berkata mengikut Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan, seseorang warganegara layak didaftarkan sebagai pemilih berdasarkan tiga syarat iaitu mencapai umur 21 tahun ke atas, menetap di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia dan tidak hilang kelayakan untuk menjadi seorang pemilih.

"Sekiranya warganegara itu layak mendaftar berdasarkan syarat-syarat itu, terpulang pada dia bila ingin memohon sebagai pemilih. Bagi Selangor, sehingga 5 Julai lepas 2,648 orang berumur 50 tahun dan ke atas mendaftar sebagai pemilih.

"Selagi seseorang itu mempunyai kelayakan sebagai pemilih tidak kira dari negeri mana, mereka boleh mendaftar sebagai pemilih di mana-mana negeri mereka tinggal. Namun pendaftaran dibuat berdasarkan alamat pada kad pengenalan," katanya.

Kamaruddin berkata hanya pemohon yang disahkan taraf kewarganegaraan dan dengan maklumat disahkan sahaja akan dimasukkan dalam senarai pemohon untuk dipamer dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT).

"Jika mana-mana pihak mencurigai pemohonan pendaftaran pemilih, mereka sepatutnya menggunakan ruang dan peluang diperuntukkan undang-undang iaitu membuat bantahan semasa pameran DPT selama 14 hari di seluruh negara.

Bukannya melatah setelah DPT itu disahkan dan diwartakan," katanya. - Bernama
Fokus Parlimen Kuala Krai: Pas sedia pertahan Parlimen Kuala Krai
Wartawan Sinar Harian
6 Julai 2012
Abdul Latiff
Abdul Latiff bersama jentera pilihan raya Pas selepas melancarkan Bilik Gerakan UPU Sungai Durian sebagai persiapan Pas Kawasan Kuala Krai dan Mengkebang menghadapi PRU13.
Yang Dipertua Pas Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman
Yang Dipertua Pas Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman
Selepas berjaya merampas kembali Parlimen Kuala Krai dan empat Dewan Undangan Negeri (Dun) daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), tugas getir Pas kawasan ini menjelang PRU13 adalah untuk mempertahankan kejayaan itu.

Tanggungjawab tersebut sudah pastinya lebih berat bagi Yang Dipertua Pas kawasan ini, Abdul Latiff Abdul Rahman sebaik sahaja beliau memegang jawatan itu setahun selepas kejayaan besar pada PRU12.

Ketika perlu mengemudi jentera pilihan raya parti di peringkat kawasan, Abdul Latiff berdepan satu lagi tugas berat kerana perlu bersedia mempertahankan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkebang yang dimenanginya pada 2008.

Bagi mendapat gambaran lebih lanjut persiapan Pas Kawasan Kuala Krai dalam menghadapi PRU13 terutama mempertahankan kemenangan empat tahun lalu, ikuti temu bual ringkas Sinar Harian bersama Abdul Latiff.


Persediaan Pas Kawasan Kuala Krai dalam menghadapi PRU13?

Untuk pilihan raya, Pas kawasan sudah bergerak sejak tahun lepas lagi dan setiap Dun sudah lancar jentera pilihan raya masing. Sekarang, kita turun ke peringkat UPU (unit peti undi) dan buka bilik gerakan sebagai tapak atau tanda persiapan kita.

Dari segi program bersama masyarakat seperti turun padang dan aktiviti kebajikan, pilihan raya bukan jadi alasan kerana ianya berterusan sepanjang tahun cuma sekarang ini, kita tingkatkan lagi sebagai persiapan menjelang PRU13.

Setakat ini, saya puas hati dengan prestasi jentera pilihan raya dan harap ianya akan berterusan sama ada melalui program dalaman melibatkan jentera parti atau aktiviti luaran bersama masyarakat.


Nasihat dan pesanan kepada jentera Pas kawasan?

Saya minta jentera kekalkan semangat yang ada sekarang dan sedia patuh kepada arahan daripada pucuk pimpinan parti. Jangan mudah terpengaruh provokasi pihak tidak bertanggungjawab, kekalkan keharmonian dan kekalkan cara kita sebagai parti yang mentadbir negeri.

Jentera parti juga perlu bersedia dari segi mental dan fizikal. Selain program, jaga hubungan kita dengan ALLAH SWT dengan selalu solat hajat serta berdoa kerana itu senjata dan sumber kekuatan kita.

Kalau nak berdepan kekuatan kewangan, kita tak mampu tetapi kita tetap beri khidmat kepada rakyat berdasar kemampuan. Kita bergerak berdasarkan keperluan rakyat melalui program berterusan sama ada kuliah agama, kebajikan atau kekeluargaan. Sokongan dan penilaian rakyat itu penting.


Adakah soal calon PRU13 jadi satu masalah bagi Pas kawasan?

Kita serahkan sepenuhnya kepada pilihan pucuk pimpinan. Apa sahaja keputusan, kita akan ikut dan itu juga sebenarnya kekuatan ahli Pas kerana kami boleh terima siapa sahaja calon dipilih pucuk pimpinan.

Program parti juga tidak terikat kepada calon kerana kita bukan bergerak atas ‘body’ tetapi atas amanah parti, jadi tidak timbul masalah siapa calon. Tidak kira siapa calon, sesiapa sahaja yang dipilih pucuk pimpinan, kita akan sokong.


Harapan kepada pengundi di Parlimen Kuala Krai pada PRU13?

Saya harap rakyat Kuala Krai terus beri peluang dan mandat kepada Pas berdasarkan rekod prestasi selama empat tahun lepas. Berdasarkan rekod, rakyat boleh nilai sejauh mana prestasi kami (wakil rakyat Pas).

Alhamdulillah, di Kuala Krai, setiap program yang dilaksanakan, kita tidak pilih bulu. Tidak kira perbezaan fahaman politik, agama atau bangsa, semuanya tidak dipinggirkan.

Program kita juga bukan bermusim tetapi berterusan sepanjang tahun, bahkan kami perlu cari masa yang benar-benar kosong jika ada jemputan ke program luar daerah kerana sayang nak tinggalkan kawasan.

Keperluan serta kebajikan rakyat sepanjang empat tahun lalu turut dijaga sebaik mungkin, jadi saya harap pengundi di Parlimen ini terus beri sokongan kepada Pas dan Pakatan Rakyat pada PRU13 nanti.
Fokus Parlimen Paya Besar: Sokongan padu selagi pemimpin turun padang
Wartawan Sinar Harian
6 Julai 2012
KUANTAN - “Kami sokong kepimpinan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi, kerana dengan kepimpinan yang berwibawa sahaja, nasib semua kaum di negara ini terjamin,” kata N.Selvarajah,Bendahari MIC Bahagian Paya Besar.
Menurutnya, sokongan kaum India terhadap kepimpinan Paya Besar adalah seratus peratus dan mahu sokongan kepada pentadbiran negeri ini juga mendapat sokongan yang mantap.
“Bagi saya, masa depan BN cerah kerana rakyat kini sudah tahu menilai yang mana baik dan buruk.
“Kepimpinan BN tiada kepincangan berbanding dengan kepimpinan pembangkang,” katanya.
Selain itu, beliau juga yakin gandingan kepimpinan wakil rakyat kini yang begitu mantap dan mahu ia terus digandingkan pada PRU akan datang.
Selvarajah berkata, mudah untuk menjalankan segala tanggungjawab kerja dan sosial bersama pemimpin setempat.
“Apa yang kita suarakan akan mendapat perhatian dan saya mewakili kaum India memuji corak kepimpinan pemimpin yang tidak pilih kasih.
“Apa jenis bantuan ataupun sumbangan diberikan sama rata kepada semua kaum dan kami di sini sentiasa membantu antara satu sama lain,” katanya.
Bagi Pengerusi Kelab Bell Belia India Pahang, M.Thiagaselan berkata, belia India kini juga memerlukan perhatian yang sewajarnya kerana mereka adalah sebahagian daripada kepimpinan negara akan datang.
Menurutnya, dengan keprihatinan pimpinan atasan mengenai isu atau masalah belia India ini, sekali gus dapat mencari jalan penyelesaian seperti mana yang dimahukan semua pihak.
“Belia memainkan peranan penting terhadap pembangunan negara akan datang dan saya yakin belia India juga mempunyai matlamat yang tersendiri dalam usaha untuk turut menjadi pemangkin pemimpin negara.

“Pemimpin tahu apa yang belia ini inginkan, dan belia juga tahu apa yang negara perlukan dan hubung kait antara kedua-dua perkara ini penting dalam menuju kejayaan sesebuah negara,” katanya yang juga Setiausaha Pergerakan Pemuda MIC Bahagian Paya Besar dan Ketua Pemuda MIC Cawangan Panching.

Sehubungan itu juga, beliau berharap agar kaum India di negeri ini mula memandang serius dan mengimbas kembali kebaikan dan sumbangan yang diterima mereka.
“Jika mahukan kesejahteraan  dan keamanan yang ada kini, saya yakin sokongan kita adalah penentu segala-galanya," katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Gerakan Paya Pesar,Kok Sai Hua berkata, masyarakat Cina di kawasan itu hanya mahukan pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat dan sering turun padang.
Menurutnya, perkara tersebut adalah satu perkara mudah untuk memastikan pemimpin di kawasan ini benar-benar berkaliber dalam usaha untuk membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

“Besar harapan saya untuk melihat Pilihan raya ke-13 akan datang memberikan impak yang baru kepada kepimpinan kawasan ini sepertimana yang dilaksanakan oleh pemimpin sedia ada.
“Sebagai contoh, kawasan Sungai Lembing ini dahulu tidak membangun, tetapi dengan adanya pemimpin yang bertanggungjawab dan sering turun padang, kami tidak teragak-agak untuk terus memberikan sokongan kepada beliau.
“Yang penting ialah pemimpin memahami apa yang kami mahu dan pada masa yang sama tidak memilih bulu dalam dengan setiap pembaharuan yang ada,”katanya.
Selain itu, beliau menjelaskan, senario semasa kini menuntut penduduk memilih calon yang boleh membawa suara mereka ke peringkat atasan dan pada masa yang sama memberikan kerjasama dalam setiap urusan.
Fokus Parlimen Paya Besar: Kepimpinan tetap stabil
Wartawan Sinar Harian
6 Julai 2012
Fokus Parlimen Paya Besar: Kepimpinan tetap stabil
Manfaat maklumat di kedai kopi untuk berbincang bersama penduduk.
KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lepar,Mohd Shohaimi Jusoh menyifatkan kepimpinan di kawasan ini tetap stabil walaupun ada cubaan daripada pihak luar berusaha untuk ‘meracuni’ pemikiran rakyat di kawasan ini.
Menurutnya, Dun Lepar merupakan kubu kuat Barisan Nasional dan yakin akan terus menang pada Pilihan raya ke-13 nanti berikutan sokongan penduduk setempat yang tidak berbelah bahagi.
Menurutnya, kawasan Lepar yang merangkumi kawasan Felda, Kampung Baru dan Kampung Tradisi itu menjadikan penduduk boleh menjalin hubungan baik antara satu sama lain terutamanya dengan pemimpin.

“Saya melihat tiada isu yang boleh dimainkan pembangkang untuk memanipulasi penduduk di kawasan ini kerana mereka sudah tahu apa yang terbaik untuk masa depan.
“Malah usaha pihak pembangkang yang cuba masuk Felda hanya sekadar melepas batuk di tangga sahaja. Tiada apa yang boleh mereka kempen di sini kerana rata-rata penduduk di sini tahu akan hala tuju mereka yang tidak mendatangkan faedah kepada rakyat,” katanya.
Selain itu, beliau menjelaskan, sepajang sepenggal menjadi wakil rakyat kawasan ini beliau sudah banyak merancang pembangunan khusus untuk kemajuan penduduk di sini.
Di samping itu, sikap turun padang yang dijadikan sebagai amalan utama menjalin hubungan mesra antara beliau dan penduduk setempat tidak kira kanak-kanak, belia, dewasa hinggalah warga emas.
“Malah Melayu, Cina ataupun India, saya boleh turut serta bersama mereka dan dalam masa yang sama kami berbincang menyelesaikan masalah dalam keadaan yang tidak formal.
“Bagi saya, tiada protokol khas yang boleh digunakan untuk bersama pemimpin kerana apa yang penting, penduduk selesa duduk semeja dengan saya berbincang tidak kira walau di mana sekalipun termasuklah di kedai kopi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata walaupun wujud masalah dalaman ia membantu menjadikan beliau lebih peka terhadap masalah rakyat dan tidak menjadikan ia sebagai halangan untuk terus bersama rakyat.
“Apa yang berlaku ini hanya diibaratkan kocak air dalam cawan sahaja di mana ia tidak tumpah keluar dan tidak perlu disebarkan.
“Dalam masa yang sama, mutu kepimpinan yang dinilai oleh masyarakat bukan masalah ini yang dijadikan sebagai pendorong saya supaya lebih berusaha keras meningkatkan kemajuan kawasan ini.

“Alhamdulillah, corak kepimpinan yang saya amalkan ini mendapat reaksi positif daripada penduduk setempat.

Sepanjang bergelar wakil rakyat, saya harap pembaharuan yang di kecapi penduduk ini terus dikekalkan manakala jika ada isu yang berbangkit ia akan diselesaikan secara berperingkat.
“Antara isu yang sudah selesai adalah penyerahan geran tanah kepada peneroka di Lepar Hilir Satu yang sememangnya ditunggu-tunggu mereka dan seramai 14 orang peneroka di situ telah menerima geran masing-masing.
“Dalam masa yang sama juga, saya harap segala isu yang dilontarkan oleh peneroka ini dapat diselesaikan dengan kerjasama agensi dan jabatan tertentu,” katanya.
Sehubungan itu juga, beliau sudah memiliki perancangan tersendiri untuk melihat kawasan kepimpinannya ini terus membangun selaras dengan peningkatan taraf hidup bukan sahaja di kalangan peneroka malah penduduk di Kampung Tradisi dan Kampung Baru juga akan menikmati kemudahan sebagaimana hak mereka di sini.
Umno Pulau Pinang 'OK' jika perkenal hudud
MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
5 Julai 2012
Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin
Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad
GEORGETOWN - Sebagai seorang yang beragama Islam, Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud.

Sungguhpun begitu, beliau berkata, ia belum lagi sesuai dilaksanakan di negara ini.

Bagaimanapun, Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam harus melaksanakan hudud di Kelantan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan di Johor.
"Di Kelantan majoriti penduduknya adalah kaum Melayu dan beragama Islam. maka lebih memudahkan Pas untuk melaksanakan hudud," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Bagan diminta mengulas cadangan Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat agar pelaksanaan hukum hudud dimulakan di Johor.
Shaik Hussein berkata, jika Pas boleh melaksanakan hukum hudud di Kelantan, Pemuda Umno Pulau Pinang khususnya akan bersama parti itu melaksanakannya di Malaysia.
Untuk itu, Pas harus memastikan hudud yang dilaksanakan itu adalah hukum Islam dan bukan hukum Pas.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, beliau bersetuju dengan cadangan pelaksanaan hukum hudud.
Ini kerana agama Islam sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama rasmi.
"Sebagai seorang yang beragama Islam, kita harus bersetuju dengan hudud kerana ia adalah hukum ALLAH. Tiada siapa yang berani melawan hukum ALLAH,” katanya.
Kementerian: Masalah mental makin serius di Malaysia

6 Julai 2012
KUALA TERENGGANU - Kementerian Kesihatan memandang serius terhadap peningkatan masalah mental yang menjurus kepada penambahan kes membunuh diri di kalangan rakyat negara ini, kata Timbalan Menterinya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
"Kementerian memang memberi perhatian serius kepada masalah kesihatan mental ini dengan mengadakan program teras dengan menumpukan kepada kumpulan sasaran, bukan sahaja masyarakat umum tetapi juga kumpulan sasar seperti kanak-kanak, remaja,  mereka yang menghadapi tekanan dan berisiko dan sebagainya.
"Kita juga mengadakan perbincangan dengan majikan bagaimana untuk mengurangkan stres atau tekanan di kalangan pekerja, serta menjalankan kajian di peringkat sekolah kerana ia (gejala bunuh diri) bukan sahaja berkait rapat dengan tekanan malah banyak lagi faktor lain yang bersangkut paut dengan masalah kesihatan mental," katanya yang juga Ketua Puteri Umno kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Puteri Umno bahagian Kuala Terengganu di sini hari ini.
Sebelum ini Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan sebagai berkata, berdasarkan laporan kajian kebangsaan, sebanyak 1,136 kes bunuh diri dilaporkan berlaku antara tahun 2007 dan 2010 dengan kadar 1.3 bagi setiap 100,000 populasi rakyat.
Menurutnya, mereka yang berumur antara 24 dan 44 tahun yang dikategorikan sebagai kumpulan produktif dikenal pasti paling ramai membunuh diri di negara ini dengan golongan lelaki paling ramai membunuh diri berbanding wanita dengan peratusan 75 berbanding 25 peratus.
Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental Tan Sri Lee Lam Thye pula dilaporkan sebagai berkata di Malaysia, kadar kes bunuh diri telah meningkat antara 19 dan 20 orang bagi setiap 100,000 penduduk berbanding lapan orang pada tahun 1980.
Rosnah berkata kerajaan sebelum ini telah menubuhkan Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental dan mempunyai garis panduan khusus dalam menangani gejala ini, namun ia menuntut kerjasama daripada semua pihak bagi menanganinya.
Beliau berkata dengan penubuhan Majlis berkenaan serta kerjasama daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan serta swasta, kementerian mengharapkan masalah yang semakin kritikal itu dapat diatasi.
Katanya kementerian itu juga telah menempatkan Pakar Kesihatan Keluarga di Klinik Kesihatan di seluruh negara yang bertanggungjawab untuk melakukan saringan terhadap mereka yang berisiko atau cenderung untuk mengambil jalan singkat dalam menangani masalah  yang dihadapi dengan membunuh diri.
"Kita galakkan pelajar, remaja atau individu yang menghadapi masalah atau tekanan mengunjungi Klinik Kesihatan ini. Tugas pakar kesihatan ini ialah melihat kepada ciri-ciri atau simptom-simptom yang berlaku dan memberi rawatan sewajarnya termasuk merujuk kes  kepada pakar psikologi," katanya.
Menurut Rosnah, walaupun masih belum ditempatkan secara 100 peratus, namun kebanyakan Klinik Kesihatan di seluruh negara telah mempunyai Pakar Kesihatan Keluarga. - Bernama
Hasrat Anwar: Hanya psikologi Ketua Pembangkang
Wartawan Sinar Harian
6 Julai 2012
anwar ibrahim
Anwar Ibrahim
SHAH ALAM - Umno menyifatkan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menimbang akan bersara daripada politik jika gagal merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), hanya satu permainan psikologi semata-mata.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pengakuan terbaru Anwar itu dilakukan kerana beliau tidak yakin mampu menandingi usaha pembaharuan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.

Beliau yakin Anwar tidak akan bersara daripada dunia politik dengan mudah.

“Ini adalah jalan terakhir Anwar untuk membendung sokongan rakyat kepada usaha pembaharuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pengakuan ini hanyalah permainan psikologi beliau, kami sememangnya tahu sikap Anwar yang suka merayu untuk meraih simpati,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Idris Haron pula menyifatkan jika benar Anwar mahu bersara, beliau sepatutnya berbuat demikian ketika dibebaskan daripada penjara, pada 2004 lagi.

Menurutnya, kaedah meraih simpati adalah salah satu senjata utama Anwar dalam usaha mencapai matlamat utama menjadi perdana menteri.

“Ini hanya satu kenyataan politik, bukan semudah itu Anwar mahu bersara daripada politik.

Saya percaya orang ramai meluat dengan cara meraih simpati seperti itu,” katanya.

Menurutnya, walaupun pengakuan ini bertepatan dengan tarikh PRU13 yang semakin hampir, namun Idris percaya rakyat tidak akan tertipu dengan permainan Anwar.
Fokus Parlimen Paya Besar: BN tiada masalah kekal kemenangan
Wartawan Sinar Harian
6 Julai 2012
Fokus Parlimen Paya Besar: BN tiada masalah kekal kemenangan
Turun padang tidak kira pada waktunya membuktikan kerja pemimpin adalah semata-mata untuk kesejahteraan rakyat.
WALAUPUN tarikh Pilihan Raya Umum Ke- 13 (PRU-13) masih menjadi teka teki, Barisan Nasional (BN) Parlimen Paya Besar mengorak langkah mempersiapkan jentera lebih awal dalam usaha mengekalkan kemenangan cemerlang di Parlimen berkenaan.
Jika dilihat secara umumnya, BN dikatakan tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan kemenangan di Parlimen itu yang turut merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Lembing, Panching dan Lepar.
Wawancara bersama Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail cuba menyingkap persiapan pergerakan jentera pimpinannya yang lebih dikenali sebagai empat serangkai bersama tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lembing, Panching dan Lepar bagi menempuh pilihan raya ke-13 yang pasti berlaku pada bila-bila masa sahaja.
SOALAN: Bagaimana senario politik di  kawasan Parlimen Paya Besar ini?
JAWAPAN: Bagi saya tiada apa isu panas yang boleh dibangkitkan di kawasan Paya Besar ini dan jika dilihat dari aspek politik, jentera saya sudah bersedia sejak awal tahun lagi. Selain itu, tiada apa isu yang boleh dimainkan pembangkang untuk meracuni penduduk di kawasan ini kerana mereka faham dan selesa dengan corak kepimpinan sedia ada kini. Sebagai contoh, usaha mereka untuk masuk ke kawasan Felda baru-baru ini hanya mengundang kemarahan penduduk yang selama ini aman dan sejahtera dengan pimpinan BN.

SOALAN: Boleh Datuk jelaskan mengapa usaha pembangkang datang ke Felda ini tidak diterima?
JAWAPAN: Peneroka marah kerana kedatangan mereka hanya untuk memporakperandakan peneroka semata-mata. Dalam masa yang sama mereka juga telah memperkecilkan peneroka itu sendiri yang kononnya hanya mengikut telunjuk kerajaan.
Tetapi jangan lupa, generasi kedua Felda adalah mereka yang berpelajaran dan ada di antara mereka berjawatan tinggi. Oleh itu, mereka faham apa yang kerajaan lakukan sekarang ini adalah untuk kebaikan. Tiada tempat untuk pembangkang membuat kacau bilau di kawasan ini kerana semuanya sudah didedahkan dengan penerangan berkesan.
SOALAN: Paya Besar mempunyai pemimpin yang dikenali sebagai empat serangkai iaitu Ahli Parlimen dan Adun yang memonopoli kepimpinan, adalah keserasian pemimpin ini mempengaruhi pengundi?
JAWAPAN: Ya,bagi saya keserasian antara saya dan wakil rakyat di Dun ini banyak mempengaruhi corak kepimpinan di Paya Besar. Jika dilihat dari aspek parti, BN berjaya menawan kawasan ini dari parlimen dan tiga Dun yang lain. Dari situ kita boleh lihat sokongan rakyat terhadap kepimpinan wakil rakyat yang menepati citarasa mereka. Selain itu, melalui kekerapan turun padang bersama menjadi pemangkin hubungan empat serangkai ini sentiasa menjadi contoh kepada rakyat. Jika diberi peluang, saya harap empat serangkai ini boleh dikekalkan sebagai calon dan InsyaAllah BN boleh menang lagi.
SOALAN: Apakah strategi yang digunakan dalam usaha memenangi hati penduduk?

JAWAPAN: Kami menjalankan tanggungjawab sebagaimana yang telah diamanahkan. Oleh itu, banyak janji yang sudah kami tunaikan semata-mata mahu melihat rakyat mendapat apa yang seharusnya menjadi hak mereka. Sebagai contoh pembinaan jalan dari Sungai  Lembing ke Jerantut, pembinaan dewan dan masjid, jambatan dan banyak lagi di mana sebelum ini ia tergendala.
SOALAN: Sebagai Ahli Parlimen, Datuk memainkan peranan penting dalam pembangunan di sini. Apa strategi yang Datuk gunakan?
JAWAPAN: Bagi saya Adun Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah merupakan wakil rakyat yang paling senior di antara kami. Oleh itu, banyak pengalaman beliau boleh dikongsi bersama saya serta wakil rakyat Lepar, Shohaimi Mohd Jusoh dan Panching, Datuk Mohd Zaili Besar untuk berbincang dari semasa ke semasa mengenai pembangunan kawasan Paya Besar ini. Hasil daripada kesepakatan dan keserasian yang kami ada ini menjadi antara pemangkin utama kawasan ini masih kekal menjadi milik BN.
SOALAN: Adakah sukar untuk mempertahankan kemenangan di kawasan ini?
JAWAPAN: Memang ia bukan sesuatu yang mudah kerana jika silap langkah, Paya Besar boleh jatuh ke tangan pembangkang seperti Indera Mahkota dan Kuantan. Setiap masa, kami akan mengkaji semula setiap kekurangan yang ada di kawasan masingmasing dan dalam masa yang sama ,kami membantu di antara satu sama lain sehingga membolehkan wakil rakyat di kawasan ini bersama- sama suka atau duka. Apa yang penting adalah keutamaan rakyat lebih penting daripada keutamaan sendiri dan langkah ini dilihat berjaya meyakinkan rakyat mengenai tugas dan tanggungjawab wakil rakyat yang lebih komited.
SOALAN: Bagaimana strategi yang dilaksanakan Datuk dalam usaha mendekati dan memahami kaum-kaum lain yang ada di kawasan ini?
JAWAPAN: Kaum India dan Cina juga diberi hak yang sewajarnya mereka dapat dan kepentingan mereka tidak pernah diabaikan selama ini. Oleh itu, pelbagai program kemasyarakatan telah dilaksanakan bukan sahaja untuk satu kaum, malah meliputi ketiga-tiga kaum Melayu, Cina dan India di kawasan ini. Selain itu, boleh dilihat bagaimana hubungan masyarakat Cina dan India di sini menerima baik pimpinan BN. Jika ada masalah ataupun satu isu sekalipun, ia dapat diselesaikan sebaik mungkin.
SOALAN: Apakah harapan Datuk kepada pengundi di Paya Besar ini?
JAWAPAN: Jika mereka mahukan yang terbaik dalam kehidupan mereka, kekalkan kerajaan yang sedia ada di negara kita ini lebih-lebih lagi kawasan Paya Besar ini. Sesiapa pun yang akan dicalonkan nanti diharap dapat sokongan padu daripada rakyat di sini kerana mereka boleh lihat kepincangan di kawasan lain jika pimpinan jatuh ke tangan pembangkang. Banyak lagi perancangan yang bakal dilaksanakan di kawasan ini semata-mata untuk melihat penduduk dan pembangunan kawasan sekitarnya bertambah baik lagi.

Tiada ulasan: