Khamis, 19 Julai 2012

JADIKAN BULAN RAMADAN...BULAN KEINSAFAN...BULAN BERTAUBAT...BULAN BERAMAL...DAN DITERUSKAN HINGGA AKHIR HAYAT....

Pakatan kecewa taklimat SPR tidak ada apa-apa

Salmiyah Harun, 19 Jul 2012
PUTRAJAYA: Para pemimpin Pakatan Rakyat menyifatkan program pertemuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama pimpinan parti politik hari ini tidak 'ada apa-apa' malah taklimat yang disampaikan lebih kepada perkara yang sudah ketahui umum.
(Gambar: Demonstrasi proses di dalam bilik mengundi.)

Taklimat yang diberikan itu lebih menjurus kepada peraturan-peraturan dan perkara baru yang sebagaimana dipersetujui oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PAC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya.

Difahamkan, para pimpinan Pakatan Rakyat meninggalkan program ini lebih awal apabila dimaklumkan tidak ada sesi soal jawab antara SPR dengan wakil parti yang hadir, walaupun pembesar suara disediakan di dalam dewan itu.

Apa yang berlaku sebaliknya, persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh wakil parti hanya berkaitan proses pengundian ketika sesi simulasi susun atur tempat mengundi sahaja.  

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia Mohd Sany Hamzan (gambar) yang turut menghadiri pertemuan itu melahirkan rasa kecewa apabila taklimat yang disampaikan itu adalah perkara umum hanya berkaitan proses pilihan raya sahaja.

"Ini satu taklimat biasa sahaja, mengenai proses membuang undi, penamaan calon, proses ini kita kira ia adalah biasa," katanya ketika ditemui.

Malah yang mendukacitakan katanya, dengan kehadiran wakil-wakil parti politik daripada PAS dan Pakatan Rakyat mahu mendengar dan melihat berlakunya perubahan secara drastik oleh SPR berkaitan dengan lapan tuntutan yang diminta oleh rakyat.

Di mana katanya, lapan tuntutan itu melibatkan perkara dasar yang diminta oleh rakyat melalui Himpunan Bersih, Bersih 2.0 dan 3.0.

"Kita nak tahu bagaimana usaha pihak SPR untuk membersihkan senarai daftar pemilih yang sangat diragui khususnya daripada Pakatan Rakyat. Kita juga nak tahu apakah usaha SPR terhadap tujuh lagi tuntutan kita soal akses media untuk menerangkan manifesto kepada seluruh masyarakat.

"Walaupun pihak kementerian ada menyatakan parti politik Pakatan Rakyat juga akan dibenarkan untuk menerangkan manisfesto ini, keadaan ini mungkin kita hanya diberikan beberapa minit sahaja sedangkan Umno BN akan menggunakan semaksimum mungkin media ini," katanya.

Katanya, perkara-perkara inilah yang sepatutnya ditekankan oleh SPR dalam program hari ini sebelum berlakunya pilihan raya nanti.

Malah katanya, soal penyalahgunaan agensi dan premis kerajaan oleh Umno BN setiap kali pilihan raya, juga tidak dibangkitkan.

Sementara itu, Adun Seri Setia, Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad berpendapat SPR agak defensif terhadap kritikan-kritikan yang dilontarkan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini.

Katanya, apa yang Pakatan Rakyat mahu ialah pembaharuan dan penambahbaikan yang dilakukan oleh SPR, namun tidak dinafikan ada peraturan baru dibuat setelah berlakunya tiga siri Himpunan Bersih.

"Walaupun ada sedikit perubahan, tetapi masih ada banyak perubahan yang belum dilaksanakan oleh SPR, kalau ada undi pos kerana ada anggota keselamatan bertugas di luar negara, kenapa rakyat Malaysia yang belajar dan bekerja di luar negara tidak boleh dapat hak yang sama. Dan untuk laksanakan itu perlu tempoh kempen yang lebih lama," katanya ketika ditemui.

Beliau yang ditemui selepas sesi taklimat persediaan PRU ke-13 yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, tertunggu-tunggu untuk mengajukan beberapa pertanyaan termasuklah undi pos dan pengundian awal.

"Tunggulah macam mana, kalau kita tengok mereka sediakan 'mic' macam ada sesi soal jawab dan saya akan bangkitkan perkara ini," katanya.

Turut bersama dalam program ini, Ketua Penerangan PKR Dr Mohd Nor Manuty, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S.Arutchelvan, dan beberapa wakil dari DAP.

Program pertemuan SPR bersama pimpinan parti politik yang diadakan di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Putrajaya bermula jam 8.30 pagi diikuti ucaptama oleh Pengerusi SPR Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Sejurus selepas itu taklimat persediaan PRU ke-13 hampir dua jam disampaikan oleh Wan Ahmad, kemudian sesi simulasi susun atur tempat mengundi dan proses pengundian mengakhiri taklimat hari ini.

Sekretariat prihatin untuk perjuangkan isu OKU

Anis Nazri, 19 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Lajnah Kebajikan dan Masyarakat PAS Pusat akan menubuhkan Sekretariat Prihatin OKU bagi memastikan keperluan golongan terbabit difahami secara menyeluruh.

Pengerusinya, Dr. Siti Mariah Mahmud, berkata sekretariat itu juga bertujuan sebagai satu platform untuk golongan tersebut menyumbangkan idea-idea berkaitan pembangunan secara menyeluruh.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan wakil OKU, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, petang tadi, bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan golongan OKU.

Dalam perbincangan tersebut, wakil OKU, Mohammad Faizal Che Yusof, berkata golongan OKU berharap sekretariat yang ditubuhkan itu akan memberi ruang kepada mereka untuk menyalurkan maklumat kepada PAS berhubung isu-isu membabitkan mereka.

"Ada ketikanya isu berkaitan OKU ini tidak difahami dengan sedalamnya hingga tidak dapat disampaikan kepada pihak berwajib.  Jadi, dengan adanya sekretariat ini akan membantu wakil-wakil rakyat PAS, khususnya di parlimen bagi memperjuangkan isu ini," tegas Dr. Mariah lagi.

Sekretariat ini yang akan membantu memberikan sebarang maklumat dan fakta-fakta berkaitan akan memantau sebarang isu yang dibangkitkan di parlimen bagi memastikan kepentingan mereka terjamin.

Dr. Mariah yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, juga berkata sekretariat ini akan dilancarkan pada 11 Ogos ini, jam 3 petang, di Pejabat Agung PAS.

Majlis pelancaran itu dijangka akan disempurnakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Sementara itu, pada hari yang sama, satu program penyerahan sumbangan kepada masyarakat di sekitar Jalan Raja Laut turut diadakan.

Bagi menjayakan program tersebut, pihak lajnah mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada pihak yang prihatin agar memastikan program ini dijalankan.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 'Dana kami prihatin' di nombor 12113010026150 dan didahulukan dengan ucapan terima kasih daripada pihak lajnah.

Umat Islam di Malaysia mula berpuasa Sabtu

Harakahdaily, 19 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini akan mula menjalani ibadah puasa pada Sabtu, 1 Ramadhan bersamaan 21 Julai ini.

Perkara itu diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.


Ikut kamilah hendak mengundi di mana – pengundi pos

Mohd Nor Yahya, 19 Jul 2012
TUMPAT: “Ikut kamilah kami nak mengundi di mana pun,” beritahu beberapa anggota polis ketika proses perbicaraan pengundi pos bagi Dun Wakaf Bharu di sini, baru-baru ini.

Perkara itu didedahkan pembantah pada perbicaraan bantahan senarai pengundi baru pada daftar tambahan suku pertama tahun ini yang diadakan di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.

Mengulas itu tersebut Adun Wakaf Bharu, Che Abdullah Mat Nawi berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan anggota polis terbabit telah didaftarkan dalam Dun tersebut.

“Jelas SPR mempertahankan 35 anggota polis yang difahamkan bukan bertugas sepenuh masa di Balai Polis Wakaf Bharu untuk disenaraikan sebagai pengundi pos.

“SPR cuba bermain politik. Saya amat hairan macamana SPR boleh menolak bantahan yang dibuat. Sedangkan hanya ada belasan anggota anggota sahaja yang berkhidmat di Balai Polis Wakaf Bharu,” katanya di sini.

Pada proses perbicaraan tersebut dua pembantah, Alias Awang, 45 dan Azoha Awang, 49 membantah 37 anggota polis yang bertugas di luar lokaliti Wakaf Bharu, disenaraikan sebagai pengundi di Dun berkenaan.

Alias memberitahu beberapa pengundi pos anggota polis yang tinggal di Bachok dan Gua Musang disenarai sebagai pengundi baru Dun Wakaf Bharu.

Che Abdullah yang juga anggota Exco kerajaan negeri memberitahu ada anggota polis menurunkan tandatangan yang berbeza dengan apa yang ada di Borang 10A.

Menurutnya kalau tandatangan berbeza ia jelas menunjukkan ada pihak lain yang menyenaraikan nama pengundi pos terbabit dan bukannya empunya diri.

(ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran hadapan)

6 hours ago

Apa fungsi sebenar SYABAS?

Asalnya penswastaan air Selangor telah diberikan oleh mantan Menteri Besar Tan Sri Mat Taib kepada mantan Bendahari UMNO Hulu Selangor, Tan Sri Rozali Ismail.

Di kala itu, Rozali Ismail bukanlah seorang korporat macam sekarang. Dia tiada modal, tiada wang dan kepakaran dalam bidang pemberian air bersih kepada rakyat Selangor.

Pendedahan Menteri Besar Selangor menjelaskan segalanya. SYABAS cuma sebuah syarikat yang memakan untung atas angin semata-mata.

Segala infrastruktur air seperti paip, loji pembersihan, empangan dan sebagainya adalah milik Kerajaan Negeri. SYABAS menggunakan infrastruktur ini secara percuma tanpa bayaran walau satu sen pun.

Oleh kerana Tan Sri Rozali tiada wang, maka segala operasi SYABAS dibiayai oleh hutang. Dia berhutang dengan kerajaan Pusat untuk menjalankan kerja-kerja SYABAS.

Apabila tiba waktu untuk membayar hutang, SYABAS akan menaikkan harga air supaya rakyat Selangor yang membayar hutang Tan Sri Rozali Ismail.

Pada waktu yang sama, Tan Sri Rozali hidup senang lenang dengan gaji RM5.2 juta setahun. Itu tidak termasuk perbelanjaan2 lain yang masih misteri yang tidak kita ketahui.

Secara ringkasnya, inilah kaedah UMNO membuat wang. Mereka gunakan hak rakyat sepuas-puasnya tanpa membayar apa-apa kepada rakyat. Apabila bisnes mereka rugi, mereka suruh rakyat bayarkan hutang mereka.

Seperti kisah Dr Mahathir guna duit PETRONAS RM1.6 billion untuk selamatkan anaknya yang hampir bangkrup dulu. SYABAS pun sama juga. Bila dia hampir rugi, dia akan naikkan tarif air. Rakyat Selangor akan bayar segala kerugian Tan Sri Rozali Ismail kalau dia rugi.

Hebat, hebat.

Inilah yang dikatakan "Ketuanan Melayu" agaknya.

Syukurlah Selangor diperintah Pakatan Rakyat. Segala usaha Tan Sri Rozali untuk menaikkan tarif air telah ditolak mentah-mentah.

AKSB nafi alir air kolam mendapan ke sungai

Harakahdaily, 19 Jul 2012
KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menafikan dakwaan NGO Umno, kononnya air sisa kumbahan dan lumpur daripada lojinya di Merbau Chondong menjadi punca Sungai Galang keruh.

Pengurus Besar AKSB, Ir Mohamad Hanapi Mahmud berkata, Loji Rawatan Air di Merbau Chondong tidak mempunyai tempat kumbahan seperti didakwa NGO terbabit.

Katanya, loji tersebut hanya ada dua kolam takungan mendapan air terawat yang digunakan sebagai tempat menyimpan sementara kelodak yang diasingkan daripada air.

“Air mentah yang disedut ke loji tersebut dirawat dengan campuran tawas bagi mengasingkan kandungan kelodak dan bahan-bahan lain.

“Kemudian sisa tersebut disimpan sementara dalam dua kolam takungan untuk dikeringkan sebelum dipindah ke tempat lain, yang boleh dijadikan baja,” katanya di sini.

Menurutnya kolam takungan itu mempunyai alat penapis dan lapisan batu di bahagian bawahnya.

Beberapa akhbar tampatan hari ini melaporkan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) mendakwa loji air di Merbau Chondong tidak menyelenggara air mengikut kaedah ditetapkan, sebaliknya membuang kumbahan bercampur lumpur ke dalam Sungai Galang.

Penduduk pula mendakwa terpaksa menggunakan air keruh untuk kegunaan harian sejak tiga tahun lalu.

Hanapi berkata, AKSB tidak pernah membuang hasil mendapan lumpur ke dalam Sungai Galang seperti didakwa penduduk dan MTRK.

“Bagaimanapun dua hari lalu ada sedikit lelehan daripada kolam mendapan tersebut ekoran pengeluaran air di loji berkenaan dipertingkat kepada 60 juta liter padu (MLD) sehari sekarang bagi menampung keperluan pengguna.

“Sedangkan sebelum ini pengeluarannya 50 juta MLD. Lelehan yang sedikit tersebut sudah diatasi segera dengan langkah awal diambil AKSB,” katanya.

(Ikuti penjelasan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)


Fenomena penyertaan artis ke dalam PAS

Analisis Anis Nazri, 19 Jul 2012
Penyertaan selebriti dari kalangan artis dan seniman ke dalam PAS, sama ada menjadi ahli parti itu atau menghadiri program-program PAS bagaikan satu fenomena muktahir ini.

Ironinya, kemunculan mereka di pentas-pentas PAS membawa satu mesej yang begitu penting kepada masyarakat.

Penerimaan mereka terhadap PAS menjadikan parti Islam itu berjaya mengubah pandangan masyarakat kononnya PAS hanya sebuah parti yang sesuai di kampung.

PAS for All

Malah, penglibatan selebriti ini juga selaras dengan slogan 'PAS For All', yang tidak mengira latar belakang.

Jika dahulu, amat sedikit anak muda yang berminat dengan PAS.  Namun kini, ia mula berubah.  Artis dan kakitangan kerajaan juga ketakutan untuk menyatakan sokongan mereka terhadap PAS.

Persoalannya, sejauhmanakah penglibatan mereka ini memberi impak kepada Pakatan Rakyat, khususnya PAS? Lebih-lebih lagi di saat menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Mampu ubah persepsi rakyat


Berdasarkan perbualan dengan beberapa responden, kebanyakan mereka menyambut baik penyertaan selebriti-selebriti menyertai PAS. Selain mampu mengubah persepsi rakyat yang sebelum ini takut menyertai PAS, ia juga dikatakan mampu menarik lebih ramai anak muda mendekati diri terhadap PAS.

Lebih-lebih lagi, selebriti seperti Abby Abadi, Bob Lokman, Hairi, Aishah, Yatt Hamzah serta beberapa yang lain itu mempunyai kelompok peminat mereka sendiri dan mereka juga ikon anak muda selama ini.

"Tiada apa yang perlu ditakutkan tentang PAS.  Jika artis sendiri sudah berasa selesa dengan PAS, yang sebelum ini digambarkan sebagai ekstrim dan sebagainya, bukan menjadi alasan untuk golongan atas pagar untuk menyertai PAS," kata seorang sahabat.

Tidak kurang juga berpendapat, ia juga memperlihatkan kematangan mereka dalam berpolitik, yang mana sebelum ini mereka hanya tertumpu kepada dunia mereka semata-mata.

Namun, dalam keghairahan penyokong-penyokong PAS teruja dengan kemunculan selebriti-selebriti ini, tidak kurang juga ia menimbulkan satu polemik.

Biarpun gembira dengan penyertaan tersebut yang dilihat memberi kesan positif kepada golongan atas pagar untuk mendekati PAS, ada pihak yang tidak begitu gembira ia ditonjolkan sebegitu sensasi. Tarasa hati
Menyedari selebriti ini merupakan ikon kepada generasi masa kini, masih ada yang 'terasa' atau berkecil hati apabila pejuang dan aktivis PAS yang sekian lama berkorban untuk parti tidak 'dipandang'.

Bukanlah meminta untuk dibawa berceramah ke sana sini dengan kadar bayaran yang mungkin tinggi, cuma kisah penghijrahan sesorang selebriti itu tidak perlu digembar-gemburkan sebegitu sensasi hingga terlupa isu-isu sebenar yang masih melingkungi rakyat.

Lebih-lebih lagi, apabila ada cerita-cerita yang mengatakan kemungkinan artis ini akan menjadi calon PAS di sini, calon PAS di sana bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. Hati aktivis dan ahli mana yang tidak terusik.

Kebimbangan mereka dianggap wajar.  Ada di kalangan ahli dan penyokong PAS rasa bimbang kalau-kalau artis ini kembali ke jalan asal mereka.  Nauzubillah.  Mudah-mudahan mereka semua istiqamah dalam penghijrahan mereka.

Namun, pandangan sedemikian tidak boleh dipinggirkan dan diabaikan begitu sahaja.  Kerana dunia glamour yang sekian lama mereka nikmati itu memang sudah sebati dengan kehidupan mereka.

Teringat saya ketika menemuramah pelakon terkenal, Azmil Mustafa yang popular dengan filem 'Ali Setan' ketika beliau lebih awal dahulu melakukan penghijrahan.

Meninggalkan terus dunia seni tanpa sesekali mendekatinya, Azmil secara jujur mengakui beliau bimbang jika masih mendekati dunia itu walaupun sedetik, ia mampu merobohkan pegangan beliau.

Jawapannya mudah, antara perkara baik dan tidak baik, sebagai manusia sudah pasti akan lebih terdedah dengan perkara yang tidak baik, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah biasa dilimpahi dunia warna-warni penuh glamour.

Penghijrahan mereka ini memerlukan satu pemantauan serius agar mereka tidak kembali hanyut.  Difahamkan, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mengambil inisiatif untuk mengadakan usrah bagi golongan selebriti ini. Ia dinama Musika.

Alhamdulillah, ia dilihat satu pendekatan yang baik untuk membantu mereka terus di jalan perjuangan.

Sebagai umat Islam yang sayangkan saudaranya, sudah tentu kita perlu berbaik sangka dan akan terus mendoakan agar mereka terus istiqamah dengan jalan yang mereka pilih.

Ramadhan: Peluang merawat hati dan iman

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, 19 Jul 2012
Bersyukur kehadrat Allah SWT, kerana kita masih diberi peluang oleh-Nya dapat bertemu lagi dengan Ramadhan 1433H, bulan yang mulia (Ramadhan Karim).


Sempena dengannya. marilah kita merenung perjalanan masa kita hidup ini, kita telah memanfaat segala anggota tubuh badan bagi menyempurnakan segala urusan seharian. Jika diibarat sebuah motokar yang kita pakai sehari-hari, akan ada masanya kita perlu bawa motokar ke bengkel untuk diservis atau mungkin perlu dioverhaul bagi memulih dan menjaga kondisi motokar sentiasa berkeadaan baik.

Demikian juga tubuh kita, kena jaga dan perlu dibersihkan luar dan dalam. Maka sampainya Ramadhan adalah bulan untuk kita membersihkan aspek dalaman kita agar pelbagai penyakit berkaitan dengan hati dan iman dapat diubati dengan cara berpuasa dan beribadat. Antara penyakit ialah penyakit syirik, takabur, ujub (seronok sendiri), hasad-dengki, niqmah (dendam), riak (menunjuk-nujuk) dan sebagainya. Maka ibadat sepanjang Ramadhan adalah penawar mujarab bagi semua jenis penyakit ini.

Oleh yang demikian, amalan puasa Ramadhan ini diwajibkan oleh Allah sekali setahun antaranya bertujuan supaya manusia melawan nafsu dalam diri, terutama nafsu makan dan minum. Dengan melawan nafsu kita telah melatih diri untuk menghayati bagaimana mengawal hati dan iman supaya tunduk kepada perintah Allah Taala. Di sebalik perintah Allah, wajib atas kita berhenti makan dan minum di siang hari selama sebulan. Meskipun perintah-Nya bercanggah dengan hak kita sendiri. Apa yang utama, dengan cara puasa dan amal ibadat Ramadhan, ia sebagai cara untuk kita membendong perasaan tamak supaya tahu mana satu hak kita dan mana pula hak orang lain.

Oleh sebab itu, bulan Ramadhan ada kelebihan tertentu, antaranya dimuliakan dengan ibadat solat tarawih. Islam meletakkan solat tarawih sebagai sunat mua’akad dengan tujuan supaya manusia yakin dengan apa sahaja kelebihan yang disebut dalam Al-Quran. Ini kerana Al-Quran adalah sebagai buku panduan “How to Use”. Ibarat kita memandu motokar, bagaimana cara pemanduan yang selamat ada disebutkan dalam buku “How to Use.” Ini bermakna, pemanduan tanpa panduan yang betul, maka berkemungkinan motokar akan rosak dan tidak selamat.

Oleh yang demikian, manusia kena faham tujuan Allah menjadikan manusia. Firman-Nya:

Bermaksud, “Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah Al-Baqarah 2:29).
Oleh sebab itu manusia yang ramai di dunia ini, perlu ada “How to Use” yakni sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan, jika tidak, akan porak peranda masyarakat. Firman Allah SWT:

Bermaksud, “Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan-panduan – yang membuka hati – dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman” (Surah Al-A’araf 7:203).

Bagi menjayakan perintah ini, Allah menetapkan dalam Al-Quran betapa setiap manusia akan berdepan dengan pembalasan dan pada hari pembalasan setiap manusia kena berdepan dengan Allah SWT. Firman-Nya:

Maksudnya, “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya” (Surah Ali-Imran 3:185).

Di akhirat kelak tidak guna lagi harta, tiada lagi benda untuk kita pujuk, bodek atau rasuah seumpama beli undi untuk masuk syurga. Harta yang kita banggakan di dunia ini sudah tidak berguna di akhirat. Hakikatnya semua manusia akan berdepan dengan suasana pembalasan. Firman Allah SWT:

Bermaksud, “Apabila berlaku hari kiamat itu. Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat)” (Surah Al-Waaqi’ah 56:1-3).

Oleh sebab itulah, diwajibkan sebut “maaliki yaumid-din” dalam segenap kali kita solat, Atas kerananya kita diwajid baca Surah Al-Fatihah dalam solat. Ini kerana intisarinya mengandungi maksud kita mohon dan merayu kepada Allah SWT, berserta dengan kita memuji Allah SWT..

Dalam ayat “maaliki yaumid-din” itu juga disebut “ad-din” iaitu lafaz “musytarikun” iaitu hari ‘agama’ sebagai al-jazak. Sedangkan lafaz “al-jazak” adalah makna asal dalam memahaami “maaliki yaumiddin”, tetapi hikmatnya yang tinggi digunakan “ad-din” supaya diyakini ketika itu berlaku pembalasan mengikut agama. Atas asas agamalah, segala akta, dan undang-undang yang digubal di parlimen atau sebarang keputusan oleh badan tertinggi di dunia seumpama Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mana yang tidak selaras dengan ad-din akan tertolak.

Memahami waqi’ sedemikian, bulan Ramadhan ini hendaklah dilalui dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Ia selari dengan kelebihan beribadat sepanjang Ramadhan akan meningkatkan takwa diri kita di sisi Allah SWT. Firman-Nya:

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah 2:183).

Selamat menyambut Ramadhan Al-Muabarak dengan penuh ketakwaan.

Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan merangkap Al-Mursyidul Am PAS.


Patutlah Mahathir Marah, Namanya Masuk ‘List Dictator Wikipedia’

http://www.ekeleh.com, 19 Jul 2012

“Dakwaan yang dilemparkan tidak boleh disamakan dengan diktator. Diktator yang dipimpin Dr Mahathir adalah diktator terpimpin, dalam erti kata yang sebenar pemimpin yang tegas dan berpegang kepada prinsip.
“Kepimpinan sebegini diperlukan negara seperti Malaysia yang majmuk kerana sering dibelenggu sensitiviti kaum. Pemimpin seperti ini juga diperlukan negara yang mahu pembangunan berterusan tanpa terencat,” kata Pakar Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan kepada Sinar Harian.
Pensyarah Kanan Kajian Komunikasi Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir pula menyifatkan Dr Mahathir boleh dilabel sebagai kepimpinan separuh diktator.
Katanya, separuh diktator yang dimaksudkan adalah apabila Dr Mahathir telah melakukan beberapa perkara bercirikan kepimpinan diktator.
Antara ciri yang dilabelkan Jeniri sebagai diktator adalah apabila Dr Mahathir telah menahan 106 orang termasuklah beberapa pemimpin pada 1987 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
“Ciri keduanya, apabila Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 digubal, urusan undang-undang mengenai penggunaan percetakan, penerbitan dan agihan penerbitan telah dicampuri Dr Mahathir, sekali gus menghalang penerbitan akhbar parti pembangkang semasa pemerintahannya,” katanya.
Maksudnya “diktator terpimpim” atau “separuh diktator” adalah diktator. Tambahan kepada diktator sedia ada hanya ingin melunakkan cerita dan supaya agak berlapik dalam menyampaikan kata-kata. Jadinya taklah nampak sangat nak kutuk Dr Mahathir. Rujuk Wikipedia
Jadi tak payahlah Dr Mahathir meminta pandangan dari pengunjung bolgnya lagi

Rahim Noor mahu batal saman TG Nik Aziz

M Faqih, 19 Jul 2012

(Laporan NST yang dikecami banyak pihak)

KOTA BHARU: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor memfailkan saman dalam kamar bagi membatalkan tuntutan dikemukakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Permohonan itu dibuat di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 Julai lalu memohon tuntutan ke atasnya dibatalkan atas alasan saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan tidak menepati kehendak Aturan 78 Kaedah 2 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi Malaya 1980.

Peguam Hisham Fauzi berkata, mahkamah menetapkan pendengaran saman dalam kamar tersebut pada 28 Ogos akan datang di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Hisham bersama pasukan peguam termasuk Hanipa Maidin dan Aminudin Zulkipli mewakili Menteri Besar Kelantan.

Manakala Rahim diwakili peguam Datuk Hafarizam Harun dan Datuk Firuz Husin Ahmad Jamaludin.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz memfail saman terhadap bekas Ketua Polis Negara terbabit ekoran kenyataannya dalam akhbar New Straits Times bertajuk “Nik Aziz is father of kafir” yang disiarkan pada 8 Mei lalu.

Sebelum ini Rahim bersama enam lagi defendan didesak menarik balik berita fitnah tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada plaintif.

Plaintif juga menuntut gantirugi sebanyak RM10 juta terhadap perbuatan fitnah yang telah disiarkan di akhbar New Straits Times.

Selain Rahim enam lagi dinamakan sebagai defendan iaitu Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean, Nik Imran Abdullah, Abdul Jalil Hamid, Syed Nadzri Syed Harun dan The New Straits Times Press (M) Bhd.

Ekoran kenyataan tersebut penyokong PAS dan orang ramai membuat beberapa laporan polis terhadap Rahim yang disifatkan mereka sebagai melampau.

Tiada ulasan: