Lajim jumpa Nik Aziz di Kota Bharu
Rizal Tahir, | 23 Jul 2012 |
(Lajim dan Tuan Guru Nik Aziz penuh ceria dalam pertemuan mereka di Kota Bharu hari ini)
KOTA BHARU: Ketika panas cerita tentang kedudukan Datuk Seri Panglima Lajim Ukim dalam Umno, tiba-tiba hari ini Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mengunjungi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kedua-duanya kelihatan berbual mesra di pejabat Menteri Besar Kelantan itu hari ini.
Bulan lalu, Lajim mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu.
Difahamkan pengumuman berkenaan dibuat pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-57 kelahirannya pada Sabtu bulan lalu.
"Surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Umno Cawangan telahpun di hantar kepada Setiausaha Umno Bahagian Beaufort beberapa hari lalu.
(Lajim bersalam dengan TG Nik Aziz dalam pertemuan mereka pagi tadi)
"Langkah pertama tidak akan pertahankan kerusi Ketua Bahagian dan langkah kedua peletakan ketua cawangan Umno dan langkah ketiga katanya tunggu dan lihat," katanya yang dipetik daripada portal berita New Sabah Times pada Isnin.
Sebelum ini Lajim mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Ketua Umno Bahagian Beaufort.
Menurut laporan itu lagi, Lajim berkata beliau masih 'pemimpin kerajaan' dan masih meneruskan tugasnya sebagai pemimpin dalam parti kerajaan.
Pada perjumpaan tengah hari tadi, Anggota Parlimen Beaufort itu mengambil masa kira-kira 40 minit bertemu dengan Tuan Guru.
Turut serta bersamanya 25 orang lagi anggota rombongan yang ingin bertemu dengan Tuan Guru.
Pelbagai isu dibincangkan diperingkat kerajaan termasuk alam sekitar dan cadangan kerjasama berhubung pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Tuan Guru ketika ditemui memberitahu, setakat ini cadangan untuk kerjasama dengan kerajaan Pusat berhubung pengurusan sisa pepejal akan dibincang diperingkat kerajaan terlebih dahulu.
Pada masa yang sama, katanya taklimat khas berhubung perkara itu perlu diberi taklimat terlebih dahulu oleh pihak berkenaan kepada kerajaan negeri sebelum keputusan diambil.
“Saya tidak boleh membuat keputusan sekarang walaupun pertemuan telah dibuat dengan anggota exco kerajaan negeri Datuk Takiyuddin Hassan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Lajim untuk mengadakan kerjasama di bawah kementeriannya dengan kerajaan negeri dalam memelihara alam sekitar terutama sampah sarap.
Katanya, setakat ini semua kerajaan negeri yang dibawah pentadbiran kerajaan BN menerima cadangan kementeriannya.
Bagaimanapun, menurutnya kerajaan negeri seperti Kedah dan Selangor belum bersedia.
“Kita berharap semoga kerajaan negeri menimbang cadangan kerajaan ini untuk kebaikan masa depan,” ujarnya.
Sementara itu, pengarah perbadanannya bahagian negeri Kelantan, Datuk Afandi Hamzah, ketika memberitahu Tuan Guru, kerajaan Pusat membelanjakan sejumlah RM1.7 juta bagi menyediakan tong sampah di negeri itu.
Sambungnya, tong sambah berkenaan diberi secara percuma kepada seluruh majlis daerah di negeri ini.
KGT: Utusan berdepan tindakan undang-undang
Salmah Mat Husain, | 23 Jul 2012 |
Turut bakal dikenakan tindakan yang sama, bekas Pengarah Eksekutif KGT, Nik Mahani Mohamad, yang didakwa turut memfitnah berhubung KGT.
Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, pada sidang medianya memberitahu tindakan berkenaan diambil bagi membersihkan nama baik KGT yang sering dijadikan sasaran fitnah oleh dua pihak tersebut di samping pihak lain.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat khas di pejabat PMBK Sawit, di sini petang tadi.
KGT telah menghantar surat kepada dua pihak berkenaan bagi memaklumkan tindakan yang bakal dikenakan terhadap pihak terbabit pada 10 Julai lalu.
“Kita mendapat maklum balas dari akhbar Utusan yang minta tangguh selama dua minggu dan ianya dijangka berakhir dua hari lagi, bagaimanapun Nik Mahadi tiada maklum balas,” ujarnya.
Menurutnya, beliau telah menyerahkan kepada peguam untuk mengambil tindakan berikutan beberapa siri siaran dalam akhbar terabit yang berunsur fitnah terhadap KGT yang dianggap tidak berasas.
Tegasnya, jika diteliti dalam laporan akhbar berkenaan beliau memberitahu seolah-olah ianya (KGT) penuh dengan debu, langsung tidak selamat.
Tambahnya, pihak polis langsung tidak melakukan sebarang siasatan ke atas KGT.
“Seharusnya pihak media mengambil keterangan dari pihak yang dituduh terlebih dahulu sebelum membuat sebarang berita di akhbar.
“Sebaliknya apa yang berlaku itu diselidiki dahulu dan bukannya terus menyiarkan berita berunsur fitnah, apa lagi di muka hadapan,” ujarnya.
Husam seterusnya menyeru golongan media mengambil roh Ramadan yang mulia itu untuk melakukan kerja yang lebih bertanggungjawab tanpa ada unsur fitnah.
Tegasnya, dalam Islam fitnah lebih buruk daripada membunuh.
Elakkan pembaziran, kegelojohan di bulan Ramadan
S. M. Mohamed Idris, |
Ramadan menjelma lagi dan seperti biasa umat Islam di seluruh dunia terus menunaikan ibadat berpuasa serta menghidupkan malam harinya dengan melakukan ibadat terawih di masjid-masjid dan surau-surau.
Ramadan adalah bulan yang sangat mulia, pada hakikatnya, kita perlu bersedia untuk menyambut kedatangan bulan ini dengan sambutan dan harapan agar ia akan menjadikan kita sebagai manusia yang lebih baik di sisi Allah.
Laporan Khas Utusan Malaysia, 23 Julai 2012, berhubung berbuka puasa ala bufet yang kini semakin popular dalam kalangan umat Islam di negara ini menunjukkan kehidupan umat Islam di negara ini pada masa kini semakin dilimpahi dengan kemewahan.
Setiap kali Ramadan menjelma, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tetap menyuarakan pandangan kepada umat Islam agar mengelakkan pembaziran dan kegelojohan di bulan Ramadan dan bulan-bulan yang lain serta turut menginsafi akan nasib umat Islam di negara lain yang tidak bernasib baik dalam memenuhi keperluan harian mereka.
Sepanjang Ramadan umat Islam digalakkan memakan makanan yang berkhasiat semasa berbuka dan bersahur, serta ditegah daripada melakukan pembaziran, tetapi malangnya masih ramai daripada kita yang memasak terlalu banyak hidangan atau dengan jalan paling mudah ialah membeli pelbagai juadah makanan dan minuman yang begitu banyak dijual di pasar dan bazar Ramadan yang dibuka bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan pada bulan puasa.
Disebabkan terlalu banyak makanan yang dihidangkan, kebanyakannya tidak termakan dan akhirnya terbuang begitu sahaja, pembaziran seumpama ini amat dilarang oleh Islam dan menyalahi konsep Ramadan itu sendiri.
Saban tahun apabila tiba sahaja Ramadan, hotel-hotel dan restoran mula dibanjiri dengan iklan bufet Ramadan bagi mempengaruhi umat Islam agar supaya berbuka puasa di sana dan pada tahun ini harga bufet Ramadan yang ditawarkan oleh hotel dan restoran telah meningkat.
Dengan kadar bayaran dan harga serendah RM28 ++ hinggalah RM100++, seseorang itu boleh makan dan minum seberapa banyak yang disukai dengan pelbagai hidangan sehingga menjangkau lebih daripada 120 sajian bufet dan makanan pencuci mulut yang begitu menyelerakan.
Bufet Ramadan ini juga turut diiringi dengan persembahan musik dan persembahan keroncong serta Ghazal malah ada yang menyediakan penghibur tempatan secara langsung ketika pengunjung sedang menjamu selera yang secara tidak langsung akan mengalih perhatian dan melalaikan daripada menghayati hikmah ibadah puasa itu sendiri di bulan yang mulia ini.
Terdapat juga hotel yang menyediakan kemudahan surau untuk memudahkan pengunjungnya menunaikan solat wajib dan solat sunat terawih, memandangkan Ramadan bulan yang mulia maka adalah lebih besar fadhilatnya untuk kita mengimarahkan masjid-masjid.
Biasanya pengunjung yang menikmati hidangan berbuka puasa secara bufet ini akan tertarik kepada makanan yang berbau harum dan kelihatan enak dimakan malah deria bau dan pandang sering menyebabkan seseorang itu mengambil makanan yang melebihi keperluannya.
Walaupun sikap melahap makanan ditegah dalam Islam namun tiada apa yang dapat menghalang umat Islam daripada tunduk kepada nafsu makan mereka ketika berbuka malah ada pula sesetengahnya beranggapan mereka perlu makan seberapa banyak yang mungkin supaya berbaloi dengan wang yang dikeluarkan.
Disebabkan terlalu banyak makanan diletakkan ke dalam pinggan, ramai orang yang tidak mampu menghabiskannya, dan akhirnya makanan itu terbuang begitu sahaja sedangkan berlebih-lebihan sehingga mendatangkan pembaziran adalah bukan sebahagian daripada ajaran Islam.
Adakah umat Islam tidak menyedari bahawa makanan adalah kurniaan Allah SWT yang amat besar untuk kita dan kita akan disoal di akhirat nanti mengenai pembaziran yang kita lakukan?
Ingatlah firman Allah SWT dalam Surah Al A’raaf, ayat 3, “Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” Manakala Surah Al Israa’, ayat 26 dan 27, “Dan janganlah kamu membazir, sesungguhnya orang yang membazir itu saudara syaitan.”
Jika kita meneliti semula jumlah makanan yang dibazirkan pada bulan Ramadan terutama bufet di hotel, kita akan menyedari bahawa ummah masa kini pada umumnya sudah kehilangan perasaan kasih sayang sesama sendiri.
Ketika ramai berpeluang menikmati makanan terbaik untuk diri sendiri dan keluarga sehingga ke tahap pembaziran, mereka lupa bahawa masih ada lagi saudara seagama dengan mereka yang menderita dalam kemiskinan dan kelaparan.
Apa yang berlaku ini amat bertentangan sekali dengan amalan Islam dan keadaan ini amat memalukan kerana perkara ini berlaku di negara ini. Ia juga memalukan untuk menggalakkan dan mempromosikan kegelojohan.
Selain pembaziran makanan, banyak masa terbuang ketika berbuka di hotel kerana mereka cenderung untuk makan dengan banyak sehingga menjadi terlalu kenyang yang memungkinkan kesukaran untuk menunaikan ibadat solat khususnya solat terawih di masjid.
Suasana serta amalan berbuka puasa di hotel seperti yang disebutkan di atas langsung tidak mencerminkan keberkesanan dan keberkatan ibadat puasa itu sendiri yang antara lain menuntut ummah agar tidak keterlaluan makan dan minum yang sekali gus membawa kepada pembaziran.
Ingatlah akan sabda Nabi Muhamad SAW, “Lawanlah nafsu makanmu dengan menahan lapar dan dahaga kerana ganjaran pahalanya sama seperti berjihad di jalan Allah. Tidak ada pengabdian yang lebih besar kepada Allah daripada menahan lapar dan dahaga.”
Sehubungan dengan itu sempena hari yang baik dan bulan yang baik ini marilah kita bersama-sama kembali kepada ajaran Islam dan amalan yang sebenarnya serta tidak terpengaruh dengan perkara yang melalaikan dan merugikan.
Sesungguhnya ketahuilah bahawa bulan Ramadan adalah bulan suci antara semua bulan dalam setahun dan Allah SWT menghendaki semua hambanya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ibadat, ketaatan dan taqarrub kepadaNya untuk menyuci diri.
Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat-sifat keras hati dan keterlaluan dan semoga Ramadan ini akan dapat membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih sayang dan prihatin.
Presiden CAP
Pertahankan abang, saya pula dipukul - saksi
Hazayani Zakaria, | 23 Jul 2012 |
Hanafi Ahmad Zainuddin, 34, berkata beliau tidak tahan melihat abangnya, Hanif Ahmad Zainuddin, 36, dipukul lalu masuk ke tengah-tengah kumpulan polis untuk meleraikannya.
"Saya sempat melarikan diri tapi dalam saya berlari itu, berkali-kali saya ditumbuk dan belakang saya dihentak," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.
Hanafi yang merupakan seorang petani dari Negeri Sembilan juga berkata, anak saudaranya sebelum itu turut dipukul polis akibat memakai kemeja T Bersih.
"Saya suruh anak buah saya jangan melawan dan ikut arahan polis tapi dia dibawa ke tepi bangunan dan dilanyak hingga lembik," katanya.
Sebelum itu, Hanif dalam keterangannya memberitahu, beliau menyaksikan seorang peserta himpunan dipukul hingga terkulai dan dibaling ke dalam trak polis.
“Dalam perjalanan saya dibawa polis ke trak, saya sempat menyaksikan seorang peserta dalam usia 20-an dibelasah sehingga tak mampu bangun, tapi masih ditendang dan dipijak polis.
“Kemudian, bila peserta tersebut terkulai, polis bertindak membaling mangsa begitu saja ke dalam trak,” katanya.
Hanif juga berkata, polis turut memukul dan mengetuk kepala beliau ketiak sedang menunggu stesen LRT Masjid Jamek dibuka.
Mereka berdua memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
Hari ini merupakan hari keempat sesi pendengaran tersebut berlangsung.
Menurut Dr Khaw Lake Tee, beberapa saksi polis dan petugas media juga akan dipanggil sebagai saksi.
JI: Hisham perlu arah Sofian tarik balik demi PDRM
Harakahdaily, | 23 Jul 2012 |
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok (gambar) berkata, kenyataan Hishammudin selaku pemimpin Umno dan Menteri Kerajaan BN bahawa komunis dan pengganas Jemaah Islamiah (JI) telah meresapi ke dalam parti Pakatan Rakyat menunjukkan BN telah ketandusan modal politik dan terpaksa menggunakan pegawai PDRM untuk menyebarkan pembohongan.
Kenyataan itu dibuat selepas Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin, Ketua Penolong Pengarah E2 (M), Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman mengatakan bahawa terdapat pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis meresapi parti politik pembangkang dan cuba menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Menurut Teresa, kenyataan Mohd Sofian yang dibuat secara umum tanpa merujuk kepada bukti yang kukuh adalah amat tidak adil dan tidak benar kepada Pakatan Rakyat.
Katanya, ia lebih merupakan satu kenyataan politik yang berpihak kepada BN daripada kenyataan yang berlandaskan fakta yang bebas daripada pendirian parti politik.
“Saya menyeru Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri menumpukan usaha untuk memerangi jenayah dan menjaga keselamatan, dan bukan membazirkan masa dalam topik dan isu lama seperti ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Selangor berkata, sebagai pemimpin negara, mereka sepatutnya mengelak mengeluarkan kenyataan yang jauh daripada kebenaran sebaliknya mengelirukan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan