Khamis, 12 Julai 2012

HEBAT MACAM MANA PUN..AKHIRNYA MATI JUA...SATU PERKARA MESTI BERLAKU...MAKA BERTAQWA SERTA SERINGLAH KITA BERTAUBAT...AGAR KITA BEROLEH RAHMAT DARI ALLAH SWT...

Nik Aziz lancar buku 'Bertemu Janji Allah'

Harakahdaily, 12 Jul 2012
SHAH ALAM: Buku kompilasi kuliah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ‘Bertemu janji Allah’ selamat dilancarkan oleh beliau sendiri baru-baru ini.

Buku yang dianggap segar sepanjang zaman ini adalah himpunan kuliah-kuliah Tuan Guru Nik Aziz dilancarkan sempena Pesta Buku Selangor yang berlangsung di SACC Mall 8 Julai lepas.

Turut hadir pada majlis tersebut, Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam.

Buku ini terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd dan boleh didapati disemua kedai buku seluruh negara.

Ia boleh juga dipesan secara online melalui www.kemilau.net.my.
Buku berkulit keras ini adalah buku pertama terbitan syarikat ini yang dicetak di Indonesia. Ia dijual dengan harga RM39.00.

Pemuda PAS tuntut Awang Adek jelas cek RM80,000

Salmiyah Harun, 12 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS meminta Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Husein agar menjelaskan dari mana sumber dua cek bernilai RM80,000 yang dimasukkan dalam akaun beliau.


(Pemuda PAS tunjukkan salinan cek yang diterima Awang Adek)

Cek CIMB Bank yang bernilai RM50,000 dan RM30,000 setiap satu itu dimasukkan ke dalam akaun beliau ketika menjadi Pengerusi Skim Jejakjaya Bumiputra pada tahun 2010.

Pemuda PAS juga meminta Awang Adek menjelaskan, kenapa cek-cek itu dimasukkan ke dalam akaun beliau.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohamad Nor nilai RM80,000 yang didepositkan ke akaun Awang Adek ketika itu adalah sangat diragui dan memerlukan penjelasan daripada Timbalan Menteri berkenaan.

Malah katanya, Awang Adek yang juga disebut sebagai pemimpin yang mahu dinobatkan oleh Umno BN sebagai Menteri Besar Kelantan sewajarnya beliau terlebih dahulu mesti dilihat bersih dari sebarang skandal rasuah atau apa jua elemen yang merosakkan integritinya sebagai pemimpin.

"Kami tegas mahukan penjelasan daripada beliau. Apakah terdapat elemen rasuah dan untuk apa jumlah wang ini ditunaikan ke akaun peribadi beliau dalam satu masa?" soalnya kepada wartawan dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Kamaruzzaman Mohammad pula berkata Awang Adek mesti jujur dan tampil berani membuat penjelasan jika tiada apa-apa yang bertentangan dengan undang-undang dan etika serta nilai integriti sebagai penjawat awam.

Bagaimanapun, Kamaruzzaman enggan mendedahkan syarikat  yang terbabit mengeluarkan cek berkenaan kerana memberi masa kepada Awang Adek menjelaskan perkara ini terlebih dahulu.

"Bagaimana seorang Timbalan Menteri mendapat dua keping cek bertarikh 6 Disember 2012 daripada sebuah syarikat yang berkepentingan," katanya dalam sidang media bersama.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail memberikan tempoh 21 hari kepada Awang Adek untuk menjelaskan hubungan beliau dengan seorang Cina bernama Hong Cheong.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa juga memberi masa 21 kerapa Awang Adek untuk berforum dengan beliau ekoran dakwaan penyelewengan dalam Kelantan Gold Trade (KGT).

RM35 juta: Rangkum aspek pendidikan agama

Salmiyah Harun, 11 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Senator Khairiah Mohamed mensyorkan agar peruntukan sebanyak RM35 juta untuk mengkaji semula dasar pendidikan negara perlu meragkumi aspek pendidikan agama dan kerohanian.

Katanya, dasar pendidikan negara yang sedia ada kurang memberi penekanan keagamaan kepada pelajar, akibatnya banyak berlaku gejala yang tidak sihat.

"Kalau kita lihat dari segi rukun negara sendiri di mana pertamanya menekankan kepercayaan kepada Allah begitu juga dalam perlembagaan negara, jadi tidak salah kerajaan memberi penekanan keagamaan dalam dasar pendidikan negara," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Dengan itu, katanya kajian yang hendak dilakukan tidak terlepas daripada mengambil kira sudut agama dan moral.

Beliau berharap kerajaan mengambil serius usaha ini kerana anak muda hari ini jauh tergelincir dari landasan agama akibat kurangnya didikan agama.

"Jadi kita sangat-sangat menyarankan kerajaan kaji semula dasar pendidikan negara yang lebih menekankan aspek kerohanian. Cumanya kita minta kajian ini turut melibatkan tokoh-tokoh agama biar mereka membuat perbandingan antara sistem pendidikan yang ada sekarang dengan pendidikan yang lebih kepada agama," katanya.

Tambahnya, mungkin dengan usaha ini kerajaan boleh membuat pengubahsuaian dan penambahbaikan kerana ia melibatkan modal insan negara untuk 10 atau 20 tahun akan datang.

Dipukul polis walaupun ikut arahan - saksi

Hazayani Zakaria, 11 Jul 2012
KUALA LUMPUR, 11 Julai: Seorang lagi saksi memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bahawa beliau dipukul lapan hingga sepuluh orang polis dalam perjalanan pulang selepas menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Arsyad Abas, 32 berkata, walaupun beliau menurut arahan polis supaya menukar baju T Bersih kepada baju T biasa, beliau tetap dipukul di kawasan Masjid India sebelum diheret ke Kelab Diraja Selangor, Dataran Merdeka.

"Saya sudah bagitahu saya dalam perjalanan pulang, tapi mereka terus memukul saya. Saya dalam keadaan duduk dan nak tukar t-shirt kuning saya kepada t-shirt biasa, jadi saya tak nampak muka polis yang memukul tapi saya tahu minimum lapan orang polis," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Menurut Arsyad lagi, polis turut menyelongkar begnya dan mengambil barang-barang peribadinya berupa Samsung Tab 7.0, jam tangan, pemacu kilat USB (pendrive),  dan baju T yang belum sempat ditukar.

"Barang-barang saya pun turut dikebas polis tapi beg masih ada dengan saya," katanya sambil menambah beliau tidak mendapat kembali barang-barangnya itu sehingga hari ini.

Sewaktu diheret ke Dataran Merdeka, polis katanya turut menggelarkan beliau dan yang lain sebagai 'barua Anwar'.

Terima lima jahitan

Sebelum dimasukkan ke dalam lori polis, Arsyad memberitahu, beliau ditumbuk di muka menyebabkan kening kanannya pecah dan terpaksa menerima lima jahitan.

Gambar mukanya yang berlumuran darah dan  baju T yang bertompok darah juga ditunjukkan sewaktu pendengaran.

Dakwa Arsyad, polis seperti melepaskan geram kepadanya selepas mendengar khabar angin kononnya salah seorang daripada anggotanya meninggal dunia ketika bertugas di perhimpunan Bersih.

"Saya pun terkejut bila polis beritahu saya, mereka bertindak demikian sebab salah seorang anggotanya meninggal dunia," katanya.

Beliau bersama yang lain dibawa ke Pulapol dan pihak sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) membawa semua mangsa yang cedera ke hospital Besar Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Hari ini merupakan hari kedua pendengaran awam di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Hakim mesti bebas, dilihat bebas

Subky Latif, 12 Jul 2012
SAYUGIA masyarakat seluruhnya menyokong dan memberi kepercayaan kepada Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria di Kota Bharu tentang mahkamah kita adalah bebas dari campur tangan eksekutif, renggang dari orang-orang politik dan golongan peniaga.


Kira-kira seperti yang dikatakannya, itulah sikap dan telah diamalkannya sejak menjadi hakim tertinggi sejak September lalu.

Apa yang beliau kata itu adalah betul dan itulah sifat yang patut ada pada mahkamah kita. Mahkamah dan hakim bukan saja mesti bebas, tetapi ia mesti dilihat bebas dan berusaha menjadi bebas dan meningkatkan taraf kebebasan itu setiap masa, dari semasa ke semasa.

Apa yang mendorong Tun Ariffin membuat penegasan yang terpuji itu tidak perlu dipersoal. Apa yang dikehendaki ialah mahkamah kita adalah tidak sekadar bebas dan ia juga mesti adil.

Betapa keadilan itu sesungguhnya mulia dapat dilihat dari beberapa contoh dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, kiranya puterinya mencuri, nescaya baginda akan potong tangannya.

Saidina Umar al-Khatab menjatuhkan hukuman rejam terhadap anaknya atas kesalahan minum arak. Dan beliau juga membebaskan orang lapar yang miskin yang diadukan mencuri makanan si pengadu kaya yang berjiran dengannya, sebaliknya beliau memberi amaran kepada  pengadu, jika berulang aduan yang serupa, bukan tangan pencuri lapar itu yang dipotong, tetapi tangan pengadu itu yang dipotong.

Seorang hakim telah menolak tuntutan Amirul Mukminin Ali bin Abu Talib tentang baju besinya yang dicuri oleh seorang Yahudi. Ia ditolak kerana Amirul Mukminin itu gagal membuktikan baju besi itu miliknya.

Melihat betapa bebasnya hakim brhadapan dengan aduan ketua negara dan betapa adilnya undang-undang Islam, maka Yahudi itu mengaku bahawa baju besi yang dituntut oleh Saidina Ali adalah dicurinya dari beliau dan dia menerima Islam justeru keadilannya.

Sekalipun Ketua Hakim Tun Ariffin menjamin kebebasan yang dibayangkannya belum terjejas dan berazam supaya terus tidak terjejas di bawahnya, maka beliau dipercayai berdepan dengan cabaran yang besar tentang keyakinan masyarakat telah alam kejaksaan negara sekurang-kurangnya tiga dasawarsa yang terakhir.

Selain daripada peristewa hitam sekumpulan hakim  didahului Ketua Hakim Negara (KHN) ketika itu, Tun Salleh Abbas yang ditribunal dan dipecat, banyak kejadian yang menyebabkan orang ramai sangsi akan sistem kebebasan mahkamah kita.

Terlalu banyak cerita mempersoal dan melibatkan  imej beberapa KHN selepas  itu, dikuti pula oleh cara mahkamah mengendalikan antara Speaker beberapa DUN dengan SPR menyebabkan orang tertanya-tanya tentang sejauh mana indahnya sistem kehakiman kita.

Kejaksaan negara gagal menyelesaikan isu penyiasat  bebas mengenai Altantuya yang hilang setelah memfailkan saman bersumpah dan sehari kemudian membatalkannya. Hingga ini dia tidak ditemui. Adakah misteri itu dia tidak dicari atau tidak selesainya kes itu elok pada kejaksaan dan negara?

Mungkin kesangsian orang ramai itu justeru  persepsi  silap masing-masing terhadap hakim dan mahkamahnya,  tetapi tidaklah bijak bagi mana-mana pihak khususnya jabatan kejaksaan tidak sensitif terhadap persepsi umum itu.

Institusi kehakiman wajar meremehkan para penegurnya di kalangan rakyat adalah gara-gara kerakusan sang politkus dan golongan desperado.

Kiranya kesangsian kepada sistem kehakiman itu gara-gara persepsi salah orang-orang yang tidak tahu cara hakim  dan mahkamah bekerja, ia tidak cukup bagi dijadikan hujah bahawa rakyat salah beranggap serong terhadap kehakiman.

Mahkamahlah yang perlu mengambil langkah dan tindakan bagi meyakinkan wibawa hakim dan mahkamah kita. Orang luar tidak jamin dan bela imej guru itu elok kiranya guru-guru tidak mengambil langkah bagaimana  guru harus berterusan dihormati.

Suara Tun Ariffin di Kota Bharu itu adalah mencerminkan rintihannya tentang apa orang kata tentang badan kehakiman, dan beliau seperti  menyampaikan mesej kepada pemegang institusi itu betapa para hakimlah yang dapat menentukan ia bebas, tidak diganggu gugat oleh pihak luar jika ia mahu  dihormati.

Cabaran Tun Ariffin adalah besar dan berat. Selepas Tun Salleh Abbas belum ada hakim yang sebebasnya. Tun Ariffin perlu diberi sokongan bagi mengembalikan zaman kebebasan gemilang alam kehakiman. Tun boleh pulihkan imej itu tanpa kerajaan  digantikan.

Dewan Undangan Negeri Melaka yang memalukan

Ahmad Tajdid, 09 Jul 2012
MELAKA memang negeri unik. Keunikan yang paling ketara adalah sehingga kini ketua negerinya bukan terdiri daripada anak negeri. Macamlah negeri kecil itu tidak punyai tokoh-tokoh hebat untuk dicalonkan sebagai Yang di-Pertua Negeri (Gabenor).

Gabenor pertamanya, Leong Yew Koh (1957-1959) ialah bekas Setiausaha Agung MCA. Dilahirkan di Salak Utara (KL) pada 1888 dan mendapat pendidikan awal di Perak. Gabenor kedua Tun Abdul Malek Yusuf (1959–1971) berasal dari Kampung Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan manakala Gabenor ketiga Tun Abdul Aziz Abdul Majid (1971-1975) berasal dari Kajang, Selangor.

Gabenor keempat dan kelima iaitu Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan (1975-1984) dan Tun Syed Ahmad Al Haj Syed Mahmud Shahabudin (1984-2004) masing-masing berasal dari Perak dan Kedah.

Ada usaha untuk mencadangkan tokoh pendidikan anak Melaka, Tan Sri Abdul Rahman Arshad sebagai Gabenor. Namun tidak diketahui setakat mana usaha itu dibuat.

Gabenor Melaka kini disandang Tan Sri Khalil Yaakob. Orang asal Pahang, bekas MB Pahang, bekas Menteri Penerangan dan bekas Setiausaha Agung Umno. Apa merit untuk khidmatnya disambung semula pun menjadi tanda tanya kerana tiada dilihat sumbangan untuk negeri itu selain berlakon menjadi hero filem Tamil, MG Ramachandran (MGR) ataupun berkaraoke menyanyikan lagu-lagu Hindustan dan dangdut.

Melaka yang kini berketuamenterikan Dato' Seri Mohd Ali Rustam banyak bergantung kepada bantuan kerajaan pusat untuk membiayai operasi pentadbiran dan menarik pelaburan. Antara sumber utamanya adalah pelancongan. Banyak idea menarik pelancong ke Melaka juga 'kantoi' di tengah jalan. Antaranya monorel yang sering rosak, kincir air yang terpaksa dipasang motor untuk bergerak, muzium kapal portugis yang kini reput dan tak boleh dinaiki, juga 'Eye On Melaka' yang menghadapi tindakan undang-undang.  

Namun kerajaan BN Melaka masih tidak serik-serik. Kini projek pelancongan meganya adalah menjadikan kapal selam terpakai Perancis sebagai muzium maritim.

Sikap tidak cerdik kerajaan BN Melaka berbelanja dan kebergantungannya kepada kerajaan pusat dapat dilihat daripada rizab tunai negeri itu yang hanya berjumlah RM7 juta! Ianya jauh lebih kecil berbanding Selangor yang mempunyai RM1,900 juta (RM1.9 bilion) rizab tunai.

Oleh kerana tidak punyai banyak idea untuk membangunkan negeri selain terlalu bergantung kepada bantuan pusat, maka sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka mempunyai banyak masa untuk membincangkan isu-isu remeh, bodoh dan berstatus gosip tepi jalan.

Baru-baru ini sidang Dun Melaka dimeriahkan dengan gosip tepi jalan yang dilontarkan Adun BN Duyong daripada MCA, Dato' Gan Tian Loo. Menggunakan imuniti dewan bagi mengelakkan dirinya diambil tindakan mahkamah, Gan cuba mengheret Adun Kota Laksamana, Betty Chew Gek Cheng yang juga isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam gosip peribadi. Tian Loo mendakwa seorang bekas pekerja wanita di pejabat Guan Eng pernah dikasari Betty dan ditukar ke tempat lain kerana mempunyai hubungan dengan Setiausaha Agung DAP itu. Sumbernya dari blog-blog.

Gan hanya tersengeh apabila Betty mencabar beliau mengulangi tuduhan itu di luar mahkamah. Sidang Dun juga kecoh apabila Adun-Adun DAP bangun membantah dan menyifatkan Speaker Dun berkonspirasi dengan Adun MCA itu untuk memburuk-burukkan Guan Eng.

Walaupun skandal itu dinafikan Guan Eng, Betty dan wanita terbabit, MCA dan Umno dengan bantuan media massa kongkongan mereka masih terus memacu isu picisan itu. Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr. Mohd. Puad Zarkashi sebagai contoh mahu Betty menjawab soalan bodoh Tian Loo, seolah-olah gosip tepi jalan itu lebih utama daripada skandal rasuah dan penyelewengan BN yang bernilai berbilion ringgit.

Adalah lebih baik untuk Puad mendesak Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek meletakkan jawatan kerana mengaku melakukan hubungan seks dengan wanita muda bukan isterinya daripada sibuk dengan tuduhan tanpa bukti membabitkan Setiausaha Agung DAP. Malah perlakuan sumbang ketua parti kerabat BN itu dirakam dan disebarkan melalui VCD dan dimuat turun di internet. Mengapa sehingga kini Soi Lek yang melakukan seks di luar tabi'ie tidak didakwa di mahkamah malah berhasrat pula untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. Adakah ini ciri 'wasatiyyah' Umno?

Sikap beberapa NGO Melaka terhadap isu ini juga pelik. Pekida, Belia 4B, Perkasa dan Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah dilapor mengecam tindakan lima Adun DAP yang didakwa sengaja menimbulkan kekecohan pada sidang Dun Melaka apabila membantah sikap tidak bertanggung jawab Speaker Dun yang menjadi dalang insiden itu.

Sebaliknya mereka langsung tidak membantah tindakan Tian Loo yang mencemar kemuliaan dewan dengan menjadikannya medan melemparkan tuduhan berbentuk peribadi tanpa sebarang bukti. Lebih melucukan, NGO tunggangan Umno itu mendakwa lima Adun DAP telah mencemarkan kemuliaan Dewan dan tidak bersikap profesional sedangkan dakwaan mencemar kemuliaan dewan dan tidak profesional itu lebih sesuai ditujukan kepada Tian Loo dan Speaker Dun.

Lima Adun DAP itu kini digantung enam bulan oleh Speaker Dun Melaka yang sepanjang khidmatnya dilihat begitu laih dan tidak profesional.

Insiden yang berlaku dalam Dun Melaka itu menggambarkan betapa laih dan rendahnya tahap intelek, wibawa dan profesionalisme para Adun dan Speaker BN. Ketika salah seorang Adun BN dari Umno ditahan penguatkuasa agama kerana berpeleseran di kelab malam dan melanggan GRO, BN negeri cuba menggunakan Dewan yang mulia untuk melemparkan tuduhan liar tanpa sebarang bukti bagi mencemar nama Ketua Menteri Pulau Pinang.

Tuduhan yang dinafikan Betty dan Guan Eng itu pula diulang-ulang dan dijadikan modal politik untuk memburuk-burukkan pemimpin DAP. BN nampaknya terpaksa bergantung kepada gosip tepi jalan  dan serangan peribadi untuk berhadapan Pakatan Rakyat. Semuanya dilakukan setelah satu demi satu program transformasi Najib gagal dan dipertikaikan rakyat.

Episod ini juga menggambarkan betapa rendahnya kualiti dan mentaliti pemimpin BN Melaka. Berbanding Pulau Pinang, Sabah dan  Sarawak, tiada seorang pun pemimpin anak negeri Melaka yang pernah menjawat jawatan Gabenor. Mungkin itulah puncanya Ketua Menteri Melaka agak keberatan mencalonkan nama anak negeri sebagai Gabenor kepada Yang di-Pertuan Agong.

Setelah selesai Himpunan Hijau

Abd Shukur Harun, 12 Jul 2012
Dengan berlansungnya Himpunan Hijau PAS Menuju Puterajaya peringkat Wilayah Persekutuan pada Sabtu, 14 Julai ini, sementara peringkat Selangor dan Negeri Sembilan esoknya, Ahad 15 Julai berakhirlah Himpunan Hijau seluruh Semenajung setakat ini.
Jika dijumlahkan semua peserta di Himpunan yang bermula di Alor Setar itu hampir mencecah setengah juta orang, suatu jumlah yang menggerunkan musuh politik PAS/Pakatan Rakyat.

Namun gelombang hijau yang dicetuskannya diharapkan akan berterusan dengan tsunami politik dalam PRU Ke-13 nanti. Ini harapan kebanyakan rakyat Malaysia yang menunggu tarikh pilihan raya umum dari sehari ke sehari, malah dari bulan ke bulan tidak juga tiba.

Ini bermakna pemimpin Umno/BN sedang menghadapi dilema yang sangat besar untuk berdepan dengan para pengundi dengan pelbagai masalah mereka yang tidak mampu diselesaikan.

Himpunan Hijau PAS Menuju Puterajaya di Wilayah Persekutuan pada petang Sabtu, 14 Julai di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru ini akan menyaksikan pelbagai acara di sebelah petang dan mendengar ucapan pimpinan pusat di sebelah malam.

Sementara di Negeri Sembilan pada petang Ahad, 15 Julai ini bermula dengan berkumpul di Stadium Tuanku Abd Rahman, Paroi dan kemudian berarak menuju ke Dataran Al-Ikhwan, Johol.

Di  Selangor, Himpunan Hijau akan diadakan di Stadium Kuala Selangor, waktu dan tarikh yang sama dengan pelbagai acara dari petang hingga ke malam dengan munajat dan ucapan pemimpin. Himpunan di Selangor itu ditambah dengan tema ‘Himpunan Hijau PAS Menuju Puterajaya – Pertahan Selangor’.

Dengan Himpunan yang telah dan sedang berlansung itu, rakyat dapat menyaksikan hasrat kebanyakan rakyat mahukan perubahan dalam PRU akan datang dengan harapan akan muncul kerajaan baru yang adil, bersih dari penyelewengan, rasuah dan segalanya.

Pada pendapat saya, kekuatan PAS berdasarkan dari jumlah yang hadir di Himpunan Hijau di seluruh negara ini sewajarnya diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja yang bersepadu dari semua sektor parti.
Sudah sangat jelas bahawa pendukung PAS semua peringkat telah bersuasah payah - dengan penat lelah dan wang ringgit sendiri -menyertai Himpunan tersebut, memancarkan komitmen mereka terhadap perjuangan parti.

Oleh itu tidak sukar untuk menggembleng segala kekuatan yang ada pada mereka dalam gerak kerja memenangkan PAS/Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang.

Selama ini mereka telah memperlihatkan semangat perjuangan dan pengorbanan yang sangat tinggi, mematuhi arahan pemimpin dalam apa keadaanpun. Oleh itu momentum semangat perjuangan mereka ini perlu dikekalkan.

Adapun pilihan raya ke-13 nanti adalah pilihan raya yang sangat sukar, sengit hingga dikatakan ‘ibu dari segala pilihan raya’, justeru ia diselubungi senarai pengundi yang masih tidak bersih dan berdepan dengan segala penyelewengan.

Pilihan raya kali ini dalam suasana di mana Lapan Tuntudan Bersih 2.0 dan 3.0 belum ditunaikan, kecuali penggunaan dakwat kekal di jari telunjuk. Tuntutan yang lain masih jauh, lebih-lebih lagi tuntutan supaya senarai pengundi dibersihkan, yang menjadi tuntutan teras Bersih 2.0 dan 3.0.

Bulan lalu dan beberapa minggu terakhir ini, saya berkesempatan meninjau banyak kawasan di Selangor dan Ahad lalu saya ke Negeri Sembilan mengadakan dialog penerangan di sana atas undangan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr. Rosli Yaakop.

Beberapa bulan lalu saya ke Johor Bahru, Pontian dan Kluang, meninjau sendiri suasana di negeri yang selama ini kononnya menjadi kubu kuat Umno. Ternyata, Johor sudah sangat berubah dari masa lalu dan peluang PAS/Pakatan Rakyat di sana untuk menang sangat besar.

Himpunan Hijau di Johor yang menyaksikan puluhan ribu rakyat menghadirinya dan sambutan rakyat Johor yang sangat luar  biasa terhadap ceramah Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz di negeri itu bulan lalu menggambarkan keinginan yang sangat besar dari rakyat di Johor untuk melakukan perubahan dalam PRU akan datang.

Semua ini menunjukkan bahawa tembok kekuatan Umno di negeri itu mulai runtuh dan sukar dipertahankan, justeru pelbagai isu menyentuh kehidupan rakyat di sana telah timbul seperti isu tanah, harga barang yang mahal, isu perumahan, pendapatan nelayan yang merosot dan pelbagai lagi.

Sementara itu, kepulangan Naib Presiden PAS Salahudin Ayub yang akan bertanding di Johor mencerahkan lagi peluang PAS untuk meraih kemenangan di sana. Beliau menemui pelbagai lapisan rakyat di Johor dengan begitu santun dengan style orang Johor yang sangat memikat. Inilah antara kelebihan Salahudin.

Di Melaka, walaupun dalam sejarahnya belum ada satupun calon PAS yang menang di sana, tetapi dengan perkembangan baru di negeri itu, ada tanda-tanda jelas kemungkinan ada calon PAS yang akan menang di negeri Hang Tuah itu.

Pesuruhjayanya, Haji Adly Zahari, timbalannya Ustaz Kamarudin Sidek, Ustaz Mohd Noor Omar dan Sofi Wahab bekerja keras dengan dibantu oleh pasukannya, Ketua Dewan Ulama' - Ustaz Zulkifli Ismail, Ketua Dewan Pemuda - Haji Yuhaizad Abdullah, Ketua Dewan Muslimat - Hajjah Kintan Man, Setiausahanya - Asri Shaik Abdul Aziz, Bendahari - Husni Balis Ali, Ketua Penerangan - Ustaz Ashraf Mukhlis Minghat dan Pengarah Pilihanraya - Bahiki Ismail.

Menurut pemerhati, ada tanda-tanda jelas, calon-calon PAS akan mencapai kemenangan, kalaupun tidak semua, berdasarkan sambutan rakyat pada PAS di negeri ini jauh berbeza dari masa lalu.

Saya meninjau suasana ceramah Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Merlimau Melaka tidak lama dulu, menunjukkan sambutan luar biasa rakyat Melaka terhadap ceramah pembangkang. Menurut seorang penduduk di situ, kebanyakan yang hadir adalah orang tempatan, bukan orang luar.

Di Negeri Sembilan, saya bertemu dengan jentera penerangan PAS di sana yang jelas memperlihatkan kesungguhan mereka bekerja untuk mencapai kemenangan. Ada persepsi bahawa Negeri Johor dan Negeri Sembilan mempunyai harapan tinggi akan berlaku perubahan.

Maknanya, tsunami politik akan bermula dari selatan, mudah-mudahan
begitulah hendaknya.

Di Selangor, negari yang menjadi sasaran utama Umno/BN dalam PRU akan datang, menyaksikan persiapan PAS untuk mempertahankan negeri itu begitu bersungguh-sungguh.

Saya mengkagumi gerakan kerja jentera pilihan raya PAS Selangor di bawah pimpinan Cikgu Jaafar Shamsudin yang siang malam bekerja dengan begitu bersungguh-sungguh dan berstrategi.

Khabarnya, ada petugas dari luar Selangor belajar dari Chikgu Jaafar mengenai gerak kerja pilihan raya Selangor dan memang terserlah kecekapan beliau mengendalikannya.

Pada petang 15 Julai ini ita akan menyaksikan puluhan ribu orang yang akan menyertai Himpunan Hijau Menuju Putrajaya – Pertahan Selangor di Kuala Selangor yang akan dipenuhi pelbagai acara sejak petang hingga malam.

Selepas ini, pendukung PAS bersama umat Islam yang lain akan menyambut Ramadhan, namun kiranya, gerak kerja pilihan raya akan diteruskan.

Benarkah Najib Demokrat Palsu?

Dr Dzulkefly Ahmad, 11 Jul 2012
Setelah disenaraikan dalam kelompok “aukokrat baru” dalam sebuah makalah berjodol “A 21st-century checklist of the new autocrats”, penulisan Mark Mackinnon (terbitan: Jun, Globe and Mail) itu juga mengkategorikan Perdana Mentrei Najib Razak dalam ketegori “Democrat Palsu” atau “False Democrat”.
Tersenarai juga ialah Presiden Russia Vladimir Putin, Palestinian President Palestin Mahmoud Abbas, Presiden Algeria Abdelaziz Bouteflika, Perdana Menteri Ethiopian Meles Zenawi, PM Cambodia Hun Send dan tidak ketinggalan PM Malaysia Najib Razak. Bekas ahli kelab dikatakan terdiri dari Slobodan Milosevic dan Hosni Mubarak.

Ciri utama kelayakan dalam kelab ini ialah: Pimpinan ini menganjurkan pilihanraya tetapi tidak bersedia untuk melepaskan kuasa sementara menahan serta memenjarakan seteru politik dari pembangkang.

Meskipun pun demokrasi yang mereka amalkan itu palsu dan tempang, tetap pimpinan demokrat palsu ini boleh diturunkan rakyat dalam ruang media dan demokrasi yang sempit itu.

Di ambang pilihanraya ke-13 yang sangat mencabar buat Najib dan Barisan Nasional, telahan dan “title” barunya tentunya tidak membantu. Sejarah rampasan kuasa di DUN Perak masih segar dalam ingatan umum. Najib wajar mengeluarkan kenyataan bagi membuktkan kesediaan beliau bertarung secara “gentleman” dan seandainya kecundang akan berani berundur secara terhormat sebagai seorang “negarawan” yang disanjung.


Komitmen beliau ke arah ini belum tampak lagi. Sebaliknya segala perhitungan menundakan pembubaran parlimen ditanggapi rakyat sebagai perhitungan licik untuk mengekalkan kuasa. Lebih ngeri lagi apabila rakyat diingatkan dengan retoriknya dengan “biar berkecai tulang dan badan, bercerai jasad dan nyawa Putarjaya tetap akan kita pertahankan”.Komitmen beliau memberikan suara ‘semak-imbang’ dan ‘pertentangan legitimate’ dari pihak pembangkang dan pihak sivil-NGO adalah kunci kepada kayu ukor seorang democrat tulen. Beliau gagal dalam menangani tuntutan dan desakan contohnya BERSIH, Anti-Lynas dan GMI. Kesemua adalah tuntutan yang ‘legitimate’. Beliau tidak perlu teralu gusar bahkan wajar mengurus desakan ini secara ‘engagement’ yang konstruktif bahkan boleh bersekali dalam menganjurkan ‘reformasi’ yang dipinta rakyat.

Paling jelas kes GMI – Gerakan Mansuhkan ISA. Bertahun-tahun mereka berjuang. Setelah komitmen awal Najib menamatkan undang-undang drakonian, akhirnya ISA dimansuhkan. GMI dan rakyat bersyukur dan berterima kasih. Belum sempat rakyat dan khasnya mangsa memaafkan kesilapan regim yang menganiaya mereka,  pentadbiran Najib merangka Akta Kesalahan Keselamatan 2012 yang lebih zalim dan drakonian.

Terkini, setelah didesak untuk 45 tahanan ISA dibebas atau dihadapkan ke mahkamah, Najib membuktikan bahawa beliau tidak sebenar melalui ‘reformasi minda’ sebenar. Beliau masih buat-buat pekak terhadap 9 orang tehanan yang telah mogok lapar selama berbalas hari. GMI kembali kecewa dan rakyat terus bingung dengan sikap Najib. Lebih mengejutkan bahawa beliau mengaku ISA dimansuh kerana tidak lagi memberi pulangan politik kepadanya, sebaliknya kepada tahanan. Apakah jiwa demokrat palsu terselak dan terdedah?

Bagitu juga halnya dalam ‘transformasi ekonomi dan pentadbiran’. Najib memaparkan dirinya sangat mahukan matlamat GTP atau ‘Program Transformasi Kerajaan’ tercapai, tetapi melakukan segala yang sebaliknya contohnya dalam komitmen kepada ‘tender terbuka’ sebagai lambang kepada ‘ketelusan dan kebertanggungjawaban’ sebuah kerajaan.

Terkini ialah pemberian kontrak dalam LRT-Ampang mengulangi keburukan amalan kronisme dalam pemberian kontrak LRT Kelana Jaya dua tahun lalu.
Kalau dulu Ingress-Balfour Betty tidak diberikan walaupun telah ditetap oleh Prasarana (SPNB) sebagai yang termurah (RM610 juta) dan punya pengalaman teknikal yang baik. Berulang lagi pemberian kontrak (RM960 juta) yang dikatakan akan diberikan juga kepada Konsortium George Kent yang jelasnya memperolehi markah terendah dalam penilaian teknikal dan gagal di dalam penilaian kewangan. Berbanding 7 pembida, George Kent jauh terkebelakang bukan sahaja di segi berpengalaman teknikal tetapi juga keupayaan kewangan kerana yang lain, ada telah siapkan projek menjangkaui RM5 bilion. Sangat malang.

Najib menangguhkan pembubaran parlimen tentunya untuk memberikan ruang kepada pentadbiranya untuk membaikki imej dan ‘approval rating’nya di kacamata rakyat dan  pengundi. Berapa banyak lagi program ‘bela rakyat’ yang terpaksa dilakukan sebelum beliau berani bubar parlimen?

Demokrat tulen punya batasan dalam memberi ‘hadiah’ yang  tidak menjejaskan ‘reformasi ekonomi jangka jauh’ yang diperlukan negara. Pemberian runcit-runcit tidak mengizinkan rakyat hidup bermaruah bahkan sebaliknya terus meminta-minta dan menanti-nanti. Apakah ini yang mahu dibina oleh seorang pemimpin demokrat dan negarawan tulen?

Sebaliknya semakin lewat beliau tangguh PRU ke-13 semakin ketara bahawa beliau tidak punya komitmen untuk membawa reformasi dan transformasi negara ini ke arah satu prestasi daya-saing yang tinggi dan mengangkat pendapatan rakyat dengan lebih mapan. Tegasnya beliau hanya mahu terus kekal berkuasa.

Kalau begitu, sukar hendak ditolak dakwaan bahawa Najib adalah seorang Demokrat Palsu!

Umno menuai berkat daripada kilang arak San Miguel

Mohd Rashidi Hassan, 11 Jul 2012
Sudah hampir sepuluh tahun Tun Dr Mahathir Mohamad bersara dari jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno. Ada orang kata buang 'dakwat' sahaja kalau hendak menulis atau mengkritik mantan PM ini.

Namun, kadang-kadang kita perlu diimbaskan kembali wajah politik Dr Mahathir, yang sehingga kini, masih mendominasi atau dictate masa depan Umno, khususnya pelbagai gesaan yang beliau lakukan terhadap PM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Walaupun usianya sudah lanjut, tetapi sehingga hari ini Dr Mahathir masih aktif berpolitik, mengeluarkan kenyataan politik dan menghentam Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim sering menjadi sasarannya. Nampak jelas mantan Presiden Umno itu sangat berjaki dengan Anwar.

Baru-baru ini beliau terus menyerang Anwar dan menggesa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersara daripada politik.

"Ada pemberita tanya, Dr Mahathir suruh berhenti sekarang. Saya kata tak apalah. Yang itu biar saya dengan rakyat. Kamu Dr Mahathir, duduk diam-diam. Jaga syarikat anak kamu yang berpuluh bilion ringgit. Kalau kamu pemimpin bersih, malu tahu tak, malu! Seorang pemimpin, puluh bilion kekayaan anak-anaknya," tegas Anwar dalam ceramahnya di Selayang, baru ini.

Anwar mempersoalkan mengapa Dr Mahathir terlalu marah kepadanya. Sedangkan selama ini, beliau tidak pernah mengacau dan telah pun memaafkan bekas PM tersebut.

"Sudahlah. Yang kena pukul saya, Mahathir, bukan kamu. Yang kena penjara saya, yang kena telanjang saya. Sudahlah, saya dah maafkan.

"(Tetapi) yang kamu takut ini apa? Rupanya, dia takut saya nak rampas harta dia dan anak pinak dia," katanya sambil mengimbau detik-detik perselisihan beliau dengan Dr Mahathir sebelum dipecat daripada kerajaan pada September 1998.

Ramai kalangan rakyat Malaysia yang dibutakan dengan fakta. Mereka digelapkan daripada mengetahui kekayaan Dr Mahathir anak-beranak. Kita tidak menuduh beliau kaki rasuah, namun sewaktu beliau masih menjadi PM lagi, anak-anaknya didapati menguasai lebih 160 buah syarikat, mengikut dokumen daripada Pendaftar Syarikat.

Apa yang disebutkan Anwar harus dibongkar. Bagaimana mereka sekeluarga boleh memperolehi kekayaan mencecah puluhan bilion ringgit? Ini tidak harus kita diamkan.

Apa pun, Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang berjaya membangunkan negara. Beliau juga berjaya mendidik anak-anaknya, supaya berjaya dalam politik dan perniagaan.

Dr Mahathir adalah bapa mithali. Seorang bekas PM yang hebat dan bekas Presiden Umno yang berjaya. Beliau berjaya kerana beliau dan anak-anaknya menguasai konglomerat terbesar.

Bukan sahaja di Malaysia. Khabarnya kekayaan mereka meliputi Filipina sehingga ke Buenos Aires, Argentina. Kita tidak tahu sama ada syarikat yang dikuasai mereka, meliputi negara-negara bekas jajahan Soviet Union seperti Kyrgyzstan, Kazakhstan dan lain-lain.

Justeru, seluruh anggota dan pemimpin Umno harus mengambil contoh kejayaan Dr Mahathir, anaknya Mirzan, Mokhzani dan Mukhriz.

Anak sulungnya, Mirzan membuktikan bahawa beliau adalah Bumiputera yang berjaya, hasil didikan Umno. Beliau adalah intipati daripada profesional yang berjaya, hasil doktrin perjuangan kebangsaan Melayu Umno.

Mana tidaknya. Bukan senang orang Melayu hendak berjaya dalam perniagaan. Bukan senang kaum Bumiputera, anak seorang pemimpin Islam boleh menguasai syarikat yang bertaraf antarabangsa.

Seorang lagi anak Mahathir, Mokhzani, bekas bendahari Pemuda Umno adalah pemilik Kencana Petroleum. Kencana merupakan salah sebuah dari tujuh syarikat yang mendapat lesen menggali minyak daripada Petronas. Bapanya, merupakan Pengerusi Petronas. Ada sumber memberitahu kekayaan Mokhzani, hasil daripada syarikat minyaknya, mencecah RM1.6 bilion.

Anak bongsunya, Dato' Mukhriz, walaupun kerjaya politik tidak seberapa, bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno pun kalah, tetapi dilantik menjadi timbalan menteri. Sekarang ini, beliau mencadangkan Mukhriz menjadi antara bakal calon Menteri Besar Kedah. Itu pun jika BN menang, kalau BN melingkup, tiada ada apa hendak dikata lagi.

Bercerita tentang kehebatan Mirzan. Beliau sebelum ini, menguasai syarikat antarabangsa Filipina, San Miguel Corporation, yang juga pemilik syarikat San Miguel Brewery Inc, pembekal dan pengedar minuman arak yang terbesar di negara tersebut.

San Miguel Brewery menguasai 95 peratus pasaran arak Filipina. Syarikat yang sudah mencecah satu abad itu, difahamkan turut mempunyai kilang arak serta kepentingan di China, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Malaysia. Menurut laman web San Miguel, ia mempunyai pasaran 60 buah negara di seluruh dunia.

Walaupun San Miguel turut terbabit dalam beberapa bidang perniagaan lain, tetapi yang jelas penglibatan Mirzan, selaku anak kepada bekas PM, anak bekas Presiden Umno yang beragama Islam, yang partinya mendakwa parti Islam terbesar dalam Malaysia, mencetuskan banyak persoalan.

Hari ini rakyat Malaysia mempersoalkan pula, bagaimana Mirzan melalui San Miguel berjaya menguasai syarikat minyak Esso Malaysia. Esso kemudiannya menukar nama kepada Petron dan Petron diberi kontrak untuk membekalkan minyak kepada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

MAS sebelum ini mendakwa mengalami kerugian, kerana terpaksa menanggung kos bahan api yang dibekalkan oleh Petronas, dan Dr Mahathir selaku Pengerusi Petronas.

Esso sudah 'direbranded' sebagai Petron selepas syarikat asal dari Filipina, Petron Corp yang merupakan sebahagian daripada syarikat milik konglomerat San Miguel menjadi pemegang saham terbesar Esso Malaysia dengan pegangan saham sebanyak 73.4 peratus.

Apa yang jelas hari ini, Putrajaya yang dipimpin Najib begitu membisu dengan penguasaan ekonomi yang semakin rancak oleh anak-beranak Dr Mahathir. Yang jelas, mereka semakin mendominasi ekonomi negara. Penuh dengan 'conflict of interest.'

Kita menggesa Putrajaya untuk memberi penjelasan bagaimana syarikat-syarikat yang merupakan aset penting negara, boleh dikuasai oleh entiti asing dengan harga belian di bawah harga pasaran sebenar.

Seperti yang ditegaskan Anwar, Najib harus membuat penjelasan kepada rakyat, mengapa semua urusniaga yang membabitkan Petronas, MAS, Petron dan sebagainya, dilakukan untuk kepentingan Dr Mahathir anak-beranak?

Bagi Dr Mahathir, beliau anak-beranak, boleh tersenyum bangga kerana mereka merupakan Bumiputera yang berjaya dalam perniagaan, dengan nilai syarikat-syarikat besar yang mereka kuasai mencecah puluhan bilion ringgit.

Tetapi bagi rakyat, kami tidak akan berpuas hati. Kami tidak akan meredai harta milik negara diserahkan kepada syarikat kroni pemimpin Umno. Harta rakyat bukan harta yang mudah-mudah hendak dibidak-bidak pemimpin Umno anak-beranak.

Justeru kita menuntut Putrajaya memberi penjelasan segera. Kita juga menuntut Dr Mahathir dipecat daripada Petronas kerana pelbagai kepentingan negara diraih beliau anak-beranak. Negara akan musnah jika pemimpin Umno dibiarkan untuk bebas sebegini.

Kayalah kamu, mewahlah hidup kamu wahai pemimpin Umno! Itulah berkat daripada kilang arak San Miguel! Berkat dari perjuangan kebangsaan, tanpa mengira halal haram. Meminjam kata Najib di Felda tempohari, memang 'haram jadah'!

Tiada ulasan: