Selasa, 24 Julai 2012

SEDARLAH ALLAH YANG AWAL..ALLAH JUGA YANG AKHIR...APA2 MOHONLAH PERLINDUNGAN SERTA KERAHMATAN ALLAH SWT

Umno bukan tempat orang agama, tempat cari makan

Harakahdaily, 23 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Umno bukan tempat orang agama untuk menegakkan idealisma perjuangan seorang ulamak, sebaliknya ia hanya parti untuk mencari makan dan ikut telunjuk pemimpin Umno.

Demikian kata Ustaz Idris Ahmad (gambar), AJK PAS Pusat dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Beliau yang tertarik dengan cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya yang mahu majlis ulama Umno diwujudkan.

Namun, persoalannya mahukah pemimpin Umno hendak mengikut garis panduan yang ditentukan oleh majlis ini, soalnya.

Bagi Idris, rekod Umno memang terbukti, golongan agama di dalam Umno hanya melukut ditepi gantang sahaja.

"Ia hanya bertugas untuk melawan hujah PAS sahaja, akhirnya mereka juga kecundang kerana tidak mampu berhujah dengan ilmu. Mana pergi Biro Agama Umno?" soal Idris.

Satu ketika dahulu biro ini diketuai oleh mereka yang mendapat pendidikan tinggi dalam agama seperti Datuk Wan Mokhtar Wan Ahmad, Dr Yusuf Nor (Phd Universiti Cairo dalam bidang Tasauf).

"Sekarang Biro ini seperti hidup segan mati tak mau. Mana pergi tokoh-tokoh agama di dalam Umno sekarang. Berjayakah mereka untuk Islamisasi dalam Umno?" tambah beliau.

Menurutnya, kemasukan Ustaz Nakhaei Haji Ahmad bekas Ahli Majlis Syura PAS juga tidak mampu untuk membuat apa-apa di dalam Umno.

"Tentu kita masih ingat sewaktu Tun Abdullah Badwi menjadi Perdana Menteri, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) telah diarahkan membuat garis panduan hiburan, malangnya apabila dikemukakan, kabinet tolak ketepi sahaja.

"Inilah wajah sebenar Umno, mereka bukan mahu ikut ulamak, tetapi ulamak mesti ikut Umno.

"Kalau tidak percaya tanyalah Dr Mashitah Ibrahim dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom," katanya.

Bagi Idris, Ustaz Fathul Bari mungkin ikhlas untuk mengangkat martabat Umno, tetapi beliau perlulah merujuk kembali sejarah golongan agama di dalam Umno yang pernah menasihati pemimpin Umno dalam isu loteri.

Malangnya tegahan ini tidak diterima, akhirnya ulamak di dalam Umno berpendapat mereka mesti lari daripada Umno dan  tertubuhnya Pas pada tahun 1951.

Sebenarnya, kata Idris, Umno bukan tempat orang agama untuk menegakkan idealisma perjuangan seorang ulamak, sebaliknya ia hanya parti untuk mencari makan dan ikut telunjuk pemimpin Umno.

Silap, kalau golongan agama hendak memperjuangkan Islam di dalam Umno.

Ia akan hanyut dengan suasana sehingga terpaksa menggadai prinsip ilmu yang dimiliki oleh mereka, tambahnya.

Tak perlu layan MCA, nombornya berubah-ubah - MB

Harakahdaily, 23 Jul 2012
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor menganggap siri tuduhan yang dilemparkan MCA sebagai rhetorik politik kerana kenyataan parti Umno-BN itu tidak konsisten dan sering berubah-ubah.

Oleh itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, pihaknya mahu menunggu jawapan daripada firma yang telah dilantik untuk menjalankan audit terhadap proses kutipan hutang Talam bagi menyangkal tuduhan Umno-BN.

“Saya sudah beritahu sebagai professional, saya telah minta akautan bertauliah untuk buat rekod itu dan dia sedang buat.

“Bila sudah dibuat dan siap maka kita bincanglah. Kalau Chua pandai, pandailah tetapi jangan buat nombor bergerak-gerak (bertukar-tukar) daripada RM100 juta, RM40 juta, RM1 bilion,  jadi ini lawannya boleh jadi dalam politik,” kata Khalid sebagaimana dilaporkan laman rasmi kerajaan negeri Selangor, Selangorku.

Abdul Khalid berkata demikian apabila ditanya mengenai dakwaan terbahru Pengerusi Biro Professional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong yang mengatakan Kerajaan Selangor telah membayar lebihan RM100 juta untuk satu lot tanah di Bestari Jaya.

Pengambilan tanah tersebut sebahagian daripada perjanjian penyusunan semula hutang Talam Corporation yang kini dikenali Trinity Corporation Berhad.

Pada 13 Julai, Kerajaan Selangor berkata akan melantik lima syarikat audit bagi meneliti proses pengambilan hutang Talam Corporation bernilai RM 392 juta.

Audit daripada syarikat yang tidak berkepentingan itu bagi menyangkal tomahan dari Umno-BN bahawa proses kutipan hutang tersebut menyeleweng duit rakyat.

“Kita mentadbir negeri secara professional jadi tunggulah, saya tunggu hasil kajian akauntan bertauliah.

“Kalau dia (Chua) tak faham nanti akauntan itu akan terangkanlah,” katanya dalam sidang media di majlis perjumpaan dengan pembeli rumah kos rendah PJS1 di Bangunan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

Sebelum ini Chua mendakwa Kerajaan Selangor telah menyeleweng sebanyak RM 1 billion di dalam penstrukturan semula hutang Talam.

Bagaimanapun, selepas dakwaannya disangkal oleh Kerajaan Selangor dan MP Petaling Jaya Utara Tony Pua, Chua pula menukar dakwaannya yang Kerajaan Selangor rugi RM 42 juta.

“Itu politik MCA lah. Itu sahaja,” kata Abdul Khalid mengenai tuduhan yang saling bertukar dari MCA itu.- Selangorku.

Nurul Qayyimah Kamaruzaman

Mu'tah University of Jordan, 23 Jul 2012

Salam Ramadhan Kareem dan Salam Aidilfitri kepada keluarga tercinta, sanak saudara di Malaysia khususnya di Kuala Kangsar Perak, Yan Kedah, Bukit Besar Terengganu, Pernu Melaka, dan Skinchan Selangor  juga tenaga pengajar kami di UNISZA DAN KUIS dan semua yang mengenali kami. Maaf Zahir Batin dan doakan kami semoga dipermudahkan segalanya.

Ramadhan dirindui, Syawal disyukuri, Salam Aidilfitri. Kullu Sanah wa Entum Bikhair.

Dari kami mahasiswa Kuliah Adab dan Syariah Mu'tah University of Jordan

(Dari kiri: Nurul Qayyimah Kamaruzaman, Tasnim Sabri, Nur Afifah Zaki, Nurul Ain Addenan, Siti Murni Shahrom)

Isu Talam: MCA menipu dengan statistik

William Leong Jee Keen , 23 Jul 2012
Ketua Pemuda Profesional MCA, Chua Tee Yong telah mengadakan sidang media yang kelimanya pada 17 Julai 2012.  Sidang akhbar tersebut dilakukan untuk meneruskan lagi tuduhan perlakuan penyelewengan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor ketika menandatangani Perjanjian Penyelesaian bersama Syarikat Talam dua tahun yang lalu.  MCA dalam sidang media yang terbaru ini kini mendakwa Kerajaan Selangor mengelak dari menjawab dakwaan-dakwaan Chua Tee Yong.

KELEMAHAN DALAM HUJAH-HUJAH MCA


MCA dan Chua Tee Yong seharusnya tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan menghina kebijaksanaan rakyat.  Chua Tee Yong seharusnya memberhentikan dakwaan-dakwaan palsu mengenai isu ini.

Apabila dikaji secara logik, dakwaan-dakwaan palsu ini adalah terlalu nyata untuk tidak mempercayainya.  Hujah-hujah palsu selalunya digunapakai oleh mereka yang secara intelek tidak jujur dengan memberikan kesimpulan yang tidak benar yang gagal untuk membuktikan apa-apa, terutamanya apabila penipuan-penipuan tersebut dididedahkan.

KENYATAAN SEPARUH BENAR


Kenyataan separuh benar ialah falasi kekeliruan dengan memberitahu kebenaran tetapi pada masa yang sama, sengaja menyembunyikan butir-butir penting dengan tujuan untuk memalsukan dan menyokong kesimpulan palsu.  Falasi kekeliruan pertama dakwaan-dakwaan MCA ialah penggunaan kenyataan separuh benar, di samping sengaja menyembunyikan fakta-fakta penting berikut:

a) MCA gagal mendedahkan hutang-hutang yang ditanggung oleh Kerajaan BN sewaktu mentadbir Kerajaan Selangor;

b) Kerajaan Selangor telah bertindak dengan mendapatkan kembali hutang-hutang berjumlah RM392 juta yang dipegang oleh Talam kepada Kumpulan Darul Ehsan, Permodalan Negeri Selangor Berhad dan Yayasan Pendidikan Selangor berhubung beberapa pembangunan hartanah yang dilaksana sepanjang 10 tahun yang lalu;

c) Kerajaan Selangor BN telah membenarkan Talam untuk menanggung hutang-hutang ketika 3 orang wakil MCA merupakan ahli EXCO Selangor;
d) Kerajaan negeri BN/MCA telah membenarkan syarikat-syarikat GLC negeri dan agensi-agensi berkaitan untuk menandatangani urus-urus niaga yang diragui di mana Talam diberikan tanah sebagai balasan dalam kontrak-kontrak di mana Talam masih belum melaksanakan tanggungjawab mereka;

e) Kerajaan negeri BN/MCA gagal mengambil tindakan untuk mendapatkan kembali hutang-hutang Talam sehingga Perakaunan Tahunan Talam 2007 tidak menganggap hutang-hutang tersebut sebagai liabiliti kini tetapi sebaliknya sebagai hutang jangka panjang;

f) Kerajaan negeri BN/MCA gagal, mengabaikan dan/atau enggan untuk mengambil apa-apa tindakan atau tindakan sewajarnya untuk mengutip hutang-hutang:

· Walaupun selepas Talam telah diisytiharkan sebagai penerbit terjejas mengikut Nota Amalan 17/2005 Syarat-Syarat Penyenaraian Bursa Malaysia pada 1 September 2006;

· Walaupun selepas Talam telah mengumpul hutang sebanyak RM446.53 juta, dan sehingga 31 Julai 2008, mengumpul pinjaman sebanyak RM1.184 bilion di mana RM924.8 juta atau 78.1 peratus daripada pinjaman tersebut tidak dibayar;

· Walaupun selepas Talam tidak mempunyai keupayaan untuk membayar hutang-hutang terkumpulnya apabila tiba masanya kerana Talam mempunyai hutang dan pemiutang perdagangan lebih daripada RM2 bilion, pada masa yang sama mempunyai penerimaan dan wang tunai kurang daripada RM280 juta;

g) Hutang-hutang tersebut tidak dicagar dan dalam situasi penggulungan Talam, pemiutang pilihan dan pemiutang bercagar akan diberikan keutamaan sebelum negeri dan lain-lain pemiutang tidak bercagar;

h) Talam pernah mencadangkan penstrukturan semula untuk menyelesaikan hutang-hutang takberbayar dengan mengeluarkan pelbagai bentuk saham keutamaan dan pinjaman stok kepada para peminjam yang mengecualikan GLC dan agensi-agensi negeri;

i) Suruhanjaya Sekuriti dalam surat bertarikh 25 September 2007 menolak Rancangan Rombakan Cadangan Talam; dan

j) Terdapat pelbagai petisyen difailkan oleh beberapa orang pemiutang untuk menggulungkan syarikat-syarikat dalam Kumpulan Talam.

MCA telah menyembunyikan maklumat-maklumat di atas daripada orang awam dalam sidang media mereka.  Ianya terbukti jelas kepada mana-mana pihak yang melakukan pemeriksaan kepada maklumat-maklumat awam seperti pengumuman awam Talam mengenai Perjanjian Penyelesaian tersebut, laporan tahunan Talam dan pekeliling-pekeliling kepada para pemegang saham di mana Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak akan mendapat kembali apa-apa wang.  Penyelesaian terbaik ialah untuk mengambil kembali 13 bidang tanah kepunyaan Talam.

MENIPU MENGGUNAKAN STATISTIK

Cara hujahan palsu lazim ialah menipu menggunakan statistik.  Ianya ialah penggunaan angka dan bilangan untuk "membuktikan" tuntutan-tuntutan tidak berkaitan.  MCA telah menipu menggunakan statistik dengan hanya memfokuskan kepada 1 daripada 13 bidang tanah.

MCA mendakwa Kerajaan Negeri memberikan nilai berlebihan sebanyak RM181,082,000.00 bagi tanah di Bestari Jaya di mana nilai di pasarannya ialah RM139,090,000.00.

Namun begitu, MCA gagal dalam memahami fakta bahawa Menteri Besar dan Kerajaan Selangor telah mendapatkan kembali 13 bidang tanah yang biarpun nilai pasarannya ialah RM685,230,000.00, tetapi dinilai pada RM676,094,000.00 sebagai balasan.

Walau apa-apa pun, MCA tidak mengemukakan dokumen sama yang mendedahkan nilai pasaran dan balasan nilai tanah di Bestari Jaya, di mana nilai bukunya ialah RM215,128,000.00. Oleh itu, Talam telah mengalami kerugian nilai buku sebanyak RM34,046,000.00.  Dakwaan MCAbahawa Talam mempunyai kemampuan untuk berunding "urus janji" adalah suatu dakwaan tidak berasas.

MEMAINKAN EMOSI


Memainkan emosi ialah suatu falasi kekeliruan klasik dengan mengabaikan fakta dan menggunakan emosi semata-mata.  MCA mendakwa "bebas hutang" Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) kini dibeban dengan hutang bernilai sebanyak RM230 juta kerana membeli aset-aset Talam, menaikkan emosi sementara mengabaikan fakta bahawa ianya di bawah pentadbiran BN/MCA, GLC-GLCdan agensi-agensi Selangor mula dibeban dengan masalah RM392 juta tersebut.

TANGAN BERSIH


Ini ialah prinsip terkenal "dia yang datang ke ekuiti, hendaklah datang dengan tangan bersih".  MCA dikecualikan dari mempersoalkan usaha-usaha Kerajaan Pakatan Rakyat untuk mendapatkan kembali hutang-hutang Talam tanpa MCA diri sendiri mengambil sebarang tindakan ke atas ahli-ahli EXCO mereka yang membenarkan hutang-hutang tersebut terkumpul dan akhirnya gagal, enggan dan/atau mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mendapatkan kembali hutang-hutang tersebut.

PENIPUAN BESAR


Teknik penipuan besar ini ialah falasi kekeliruan moden dengan mengulang kembali berulang kali penipuan atau penipuan separuh, terutamanya dalam media, sehingga orang awam mempercayainya tanpa memerlukan sebarang bukti.

MCA dalam mengulang dakwaan-dakwaan terhadap Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat dalam lima sidang media selepas penjelasan telah diberikan oleh Menteri Besar dan lain-lain sedang mempraktiskan kata-kata Joseph Goebbels:

"Jika sesorang memberitahu sebarang penipuan besar dan terus mengulanginya, rakyat akan kelama-lamaan mempercayainya.  Penipuan tersebut hanya dapat dikekalkan pada jangka masa yang tertentu kerana Pentadbir Negara mempunyai keupayaan untuk melindungi rakyat dari akibat politik, ekonomi dan/atau tentera penipuan tersebut.

Lantas, ia menjadi amat kritikal untuk Pentadbir Negara untuk menggunakan segala kuasanya untuk mengekang sebarang percanggahan pendapat, kerana kebenaran ialah musuh utama penipuan, dan seterusnya, kebenaran menjadi musuh terbesar Negara."

Ia juga merupakan suatu kebiasaan falasi kekeliruan yang menimpa sesiapa yang mempercayai penipuan tersebut perlu untuk meneruskan kepercayaan songsang mereka selepas didedahkan kepada mereka kepercayaan songsang tersebut merupakan suatu kesilapan.

Ini adalah kerana ketakutan mereka bahawa dengan mengakui kesilapan mereka, akan berlakunya akibat yang tidak dapat dibayangkan ke atas ketua negara.

Falasi kekeliruan menggunakan teknik "penipuan besar" dan doktrine Goebbel telah didedahkan pada 19 November 1863 di suatu majlis dedikasi di sebuah tanah perkuburan tentera di Gettysburg, dengan pepatah "seseorang tidak boleh menipu kesemua orang pada semua masa".

KEJUJURAN INTELEKTUAL

Ia adalah sukar untuk mencari lagi sebuah penghujahan intelektual yang tidak jujur walaupun dalam keadaan politik kini daripada pendakwaan berterusan MCA terhadap Pakatan Rakyat dalam mendapatkan kembali hutang Talam dengan harapan sia-sia untuk menarik sokongan politik di Selangor.

Episod ini ialah sebuah petunjuk jelas bahawa MCA tidak berminat untuk berbicara secara jujur dengan rakyat Malaysia.  Jika MCA jujur dalam membantu rakyat negeri Selangor, maka mereka seharusnya membantu dalam menukarkan 13 bidang tanah Talam kepada bentuk tunai untuk kepentingan rakyat.

Terdapat masa dan situasi di mana ahli politik seharusnya berhenti berusaha untuk meraih mata murah politik dan bertindak demi kepentingan rakyat.  Kehilangan aset-aset Negeri Selangor dan kesulitan yang dihadapi untuk mendapat kembali hutang Talam ialah contoh sebuah peristiwa tragis.

Jika MCA masih ingin meneruskan lagi dakwaan-dakwaan ini, ianya terpulang kepada rakyat untuk menghakimi pihak mana yang sibuk bermain permainan politk kotor dan pihak mana yang bekerja dalam senyap dalam usaha serius mendapatkan kembali hutang bernilai RM392 juta.
-------------------------------------------------------------
* William Leong Jee Keen (gambar atas)  ialah ahli parlimen Selayang.

Mahasiswa Islam bantah ISA, bela nasib mangsanya

Harakahdaily, 23 Jul 2012
SHAH ALAM: Persidangan meja bulat Inspirasi Anak Muda (Inspirasi) semalam mengambil ketetapan membantah akta zalim ISA dan akan memperjuangkan nasib tahanannya.

Persidangan yang bertema ‘Rethinking Student Movement Reform’ yangt berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu juga mengambil ketetapan akan bertindak terhadap isu umat Islam seperti di Syria dan Myammar secara drastik.

Untuk itu, satu kongres gerakan mahasiswa Islam Malaysia akan dianjurkan bagi menyatukan semua barisan gerakan mahasiswa Islam di Malaysia dan membincangkan isu-isu umat Islam di seluruh dunia.

Persidangan tersebut dihadiri oleh wakil barisan mahasiswa dari Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Haluan-Siswa dan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Tujuan persidangan ini diadakan adalah untuk menyediakan platform perkongsian dan membina persefahaman dalam kalangan aktivis gerakan mahasiswa terhadap isu-isu penting dalam negara.

Di samping itu, ia diharap mampu meningkatkan kesedaran partisipasi mahasiswa terhadap agenda pembangunan masa depan Malaysia dan untuk menentukan halatuju penyelesaian alternatif terhadap sesuatu isu yang berlaku.

Menurut Mohd Eikhwan M. Ali, Pengerusi Inspirasi, persidangan ini tercetus hasil daripada kebangkitan rakyat di seluruh dunia.
Pihak Inspirasi yakin bahawa kebangkitan ini perlu diperhalusi dan juga diaduni dengan ‘iklim’ Malaysia supaya ia mampu diadaptasikan ke dalam gerakan mahasiswa Islam di Malaysia khususnya.

"Persidangan ini merupakan titik permulaan bagi mewujudkan sinergi antara gerakan mahasiswa Islam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Gamis cukup optimis dengan kemandirian gerakan mahasiswa Islam di Malaysia dalam mendepani isu-isu yang berlaku.

Gamis bertegas bahawa peradaban mesti dibangunkan dengan kerohanian," kata Akram Ikrami Taib Azamudden, Presiden Gamis.

Penjelasan Farid Ismeth berhubung isu Rosmah

Harakahdaily, 23 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Farid Ismeth Emir menjelaskan berhubung isu yang mengaitkan beliau dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.


Sebuah blog telah menyiarkan penjelasan dan pengakuan Farid Ismeth Emir apabila diajukan soalan berkaitan kontroversi yang mengaitkan dirinya dengan seorang VVIP.

Zamzarina Zambri di dalam blognya http://zamzarinazambri.blogspot.com/ menyiarkan pengakuan hasil temubual beliau dengan Farid yang dipanggil dengan Pak Ngah.

Temubual berkenaan juga telah tersiar di Youtube dengan tajuk Pengakuan Farid Ismeth Berkaitan Isu DS Rosmah Mansor.

Laporan lanjut klik blog ini http://zamzarinazambri.blogspot.com/


Hanya BN mampu cetus kekecohan jika kalah PRU

Aspan Alias, 23 Jul 2012
Selalu saya terfikir yang negara perlu memulakan ‘facet’ yang baru dalam politiknya kerana dengan isu perkauman yang sedang digendang oleh pihak pemerintah sekarang ini amat merbahaya untuk kestabilan dan keselamatan negara. Pihak BN tidak mahu menerima hakikat dan semangat demokrasi dan kekalahan dalam pilihanraya merupakan satu perkara yang mereka tidak dapat hendak terima sedangkan itulah perkara yang biasa yang berlaku di dalam mana-mana negara demokrasi.
Nampaknya cita-cita negara untuk mendapatkan sebuah negara yang mencapai ‘national unity’ tidak mungkin tercapai sampai bila-bila selagi BN masih memainkan isu perkauman yang terlalu besar. Isu perkauman ini tidak akan dapat diselesaikan sampai bila-bila kerana itu pun isu yang digunakan oleh pihak BN terutamanya UMNO untuk meneruskan cengkaman terhadap pemikiran rakyat kerana tamakkan kuasa.

UMNO tidak mahu menerima hakikat bahawa untuk memperbaiki diri,  mereka harus dan wajib menerima yang mereka juga mesti melalui zaman dan waktu sebagai pembangkang. UMNO harus menerima yang waktu duduk di kerusi pembangkang itu merupakan waktu yang terbaik untuk memperbaiki diri.

Perasaan saya begitu mendidih apabila pimpinan UMNO membuat andaian yang negara akan menghadapi zaman kekecohan jika PR memerintah. Saya tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan rasionalnya terhadap andaian itu. Pihak pembangkang khususnya DAP tidak pernah membuat andaian yang merbahaya ini tetapi hanya UMNO sahaja yang membuat andaian ini semata-mata untuk menakut-nakutkan orang ramai dan memberikan sokongan terhadap parti yang sudah memerintah selama lebih lima dekad itu.

Sebenarnya pihak pembangkang telah menerima kekalahan setiap pilihanraya dan tidak pernah membuat kekacauan. Kita telah mengadakan pilihanraya sebanyak 12 kali dalam sejarah negara merdeka kita. Mengingatkan peristiwa 13 Mei itu merupakan kerja menakut-nakutkan rakyat untuk membuat pilihan secara bebas dan jika berlaku kekecohan ia akan hanya dilakukan oleh pihak BN dan bukannya dari pihak PR.

Jangan mengungkit cerita lama tentang peristiwa berdarah itu kerana ramai di antara mereka yang membesarkan isu ini belum pun lahir lagi atau masih dalam buaian semasa itu yang di antara mereka sudah menjadi Menteri-Menteri Besar dan Menteri-Menteri dalam kerajaan sekarang. Contohnya Hishammuddin, Menteri Dalam Negeri kita yang tidak semenggah itu masih bermain dengan tali seluar lagi.

Pada tahun 1969 itu adalah pilihanraya yang berkeputusan seperti pilihanraya 2008 dalam mana BN atau pun Perikatan semasa itu hampir-hampir tidak dapat membentuk kerajaan. Di sini kita lihat kekecohan hanya berlaku jika BN kalah atau hampir kalah kerana BN akan melakukan segala-gala perkara buruk untuk membawa negara kearah kekecohan dan mengambil keadaan itu secara ‘expedient’ untuk mengisytiharkan dharurat seperti yang berlaku semasa itu.

Perayaan kemenangan parti Gerakan yang pertama kali menyertai pilihanraya sebagai pembangkang semasa itu diambil kesempatan secara halus oleh pimpinan BN atau Perikatan semasa itu untuk mencetuskan situasi yang membolehkan dharurat diisyhtiharkan. Setakat itu sahaja yang saya mahu sebutkan untuk menafikan yang kekecohan itu dilakukan oleh pembangkang. Bagi orang-orang lama ia tidak perlu disebut-sebut lagi kerana jika disebut ia seperti ‘menepuk air di dulang’ seperti apa yang dikatakan oleh perbilangan kita orang Melayu.

Saya tidak berminat untuk membuat kenyataan yang sangat dibimbangi oleh semua pihak ini tetapi cukup sekadar menyatakan yang 13 Mei sengaja dicetuskan secara sistematik oleh pihak yang sedang hampir kalah dengan menggunakan perayaan dan perhimpunan kemenangan pilihanraya itu sebagai immediate cause kepada peristiwa berdarah itu.

Semasa itu perhimpunan dan perayaan kemenangan adalah bebas, tidak seperti sekarang. Pihak pembangkang tidak dapat mengadakan ceramah-ceramah semudah dahulu dengan adanya bermacam-macam akta yang digubal untuk kepentingan politik pihak pemerintah sahaja.

Oleh yang demikian kita harus berfikiran yang menyejukkan dan bukannya mempunyai pemikiran yang boleh memanaskan keadaan. Peristiwa 13 Mei itu membuktikan yang keadaan kekecohan itu akan hanya berlaku jika pihak yang memerintah mengalami kekalahan atau hampir kepada kekalahan. Di dalam pilihanraya-pilihanraya yang lain tidak ada kekecohan kerana BN memang dalam angka yang memudahkan mereka meneruskan pembentukan kerajaan.

Dalam situasi sekarang BN merasakan kali ini merupakan kali yang terakhir mereka mendapat mandat, bukan kerana rakyat sengaja hendak menolak mereka tetapi terpaksa melakukan penolakan itu kerana UMNO sudah tidak lagi menjadi parti yang bertanggungjawab terhadap kepentingan rakyat dan negara.

Oleh itu pihak UMNO dan pimpinannyalah yang sepatutnya memujuk hati mereka sendiri supaya tidak melakukan kerja seperti pada tahun 1969 itu jika mereka mengalami kekalahan dalam PRU yang akan datang. UMNO dan pimpinan patut memujuk hati dan jiwa masing-masing supaya menerima hakikat bahawa apa yang hidup akhirnya akan mati kerana segala makhluk bersifat baharu itu wajib menghadapi kematian. Begitu jugalah UMNO, mesti menerima hakikat jika sampai waktu dikalahkan, terimalah dengan penuh ‘gentleman’.

BN tahu yang kali ini PAS, DAP dan PKR akan mendapat mandat (insyaallah) maka itulah sebabnya isu perkauman kembali subur dalam politik sekarang ini. Perlu diingat dalam gabungan PR, tidak ada satu parti pun yang bersifat perkauman.

Rakyat tidak mahu lagi cerita-cerita perkauman seperti isu Melayu-Melayu yang didendangkan oleh UMNO untuk mendapatkan sokongan, tetapi Melayu tidak ke mana juga….asyik tertipu oleh retorik pimpinan bangsanya sendiri. Melayu tidak habis-habis tertipu sepanjang hayatnya.

Oleh itu saya impikan negara kita kembali bermula di pangkal jalan dengan cara yang baharu untuk mencapai matlamat yang satu, itu ‘perpaduan national’. Tidak ada seorang pun dalam kepimpinan hari ini boleh melakukannya kerana kesemua di antara mereka itu sudah hilang segala ‘plot’ untuk mentadbir begara.

Kita perlu mencari agar timbul seorang ‘Mandela’ dalam negara kita untuk membuat penyusunan kembali siasah dan politik negara untuk menjamin ‘perpaduan national’ itu. Mereka mereka yang perlu diberikan tanggungjawab itu ialah mereka-mereka yang berpengalaman  luas yang ‘senior’ untuk duduk dan berbincang bab masa depan negara.

Isu ini isu serius dan tidak boleh ditangguh-tanguhkan lagi. Kita hendak tinggalkan politik berpuak-puak yang tidak ada hadnya seperti sekarang ini kerana yang akan menerima celakanya adalah generasi kita yang akan datang.

Solat Hajat batu asas blok baru Kota Darulnaim

Rizal Tahir, 23 Jul 2012


(Tuan Guru Nik Aziz mengimamkan solat hajat selepas meletakkan batu asas blok baru)

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat mengetuai solat hajat sempena pelancaran pembinaan sebuah blok bangunan  baru dalam kompleks pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Ia dibina bagi menampung kakitangan kerajaan negeri yang semakin bertambah, di samping beberapa jabatan baru yang diwujudkan.

Bangunan yang dinamakan Blok 8 itu bernilai RM 42.5 juta akan didirikan dalam Kota Darulnaim.

Perletakan batu asasnya telah disempurnakan  Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pagi semalam.


(Tuan Guru Nik Aziz meletakkan batu asas pembinaan blok baru dalam Kota Darulnaim)

Blok baru itu bakal dibina di bahagian belakang bangunan yang ada, juga dalam Kompleks Kota Darulnaim.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, ketika berucap pada majlis itu memberitahu projek berkenaan akan dimulakan sekarang dan dijangka siap 2015.

“Mana-mana jabatan yang berada di luar akan dipanggil masuk semula ke kompleks ini,”ujarnya.

Beliau seterusnya memberitahu blok berkenaan dapat menempatkan 200 orang kakitangan, mempunyai dewan, dewan seminar dan lain-lain kemudahan.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, Sepaker Dun, Datuk Nasaruddin Daud, Pegawai Kewangan, Datuk Fauzi Mamat, anggota-anggota exco kerajaan negeri dan lain-lain lagi.

Beliau turut memberitahu, Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, yang kini terpaksa menyewa di luar berikutan ketiadaan tempat kosong dalam kompleks tersebut.

Sementara itu, Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu menyeru kakitangan kerajaan negeri menghayati konsep Ramadhan yang dikehendaki syariat sebaik mungkin.

Katanya, amat rugi sekiranya umat Islam hanya berpuasa, sebaliknya tidak mengikut kehendak syariat sebenar khususnya tidak meninggalkan apa yang ditegah.


Penduduk diperdaya Umno di program agih bantuan

Aslani M, 23 Jul 2012

PENGKALAN CHEPA: Pada awalnya nama-nama penduduk miskin dipungut bersama salinan kad pengenalan bagi membolehkan mereka mendapat bantuan beras 1Malaysia.

Seorang pemimpin badan bukan kerajaan yang baru berpindah ke kampung tersebut, yang menjanjikan mahu membantu orang ramai dengan mempelawa penduduk datang ke rumahnya.

Penghulu Mukim Pulau Belanga, Che Mohamad Che Amat berkata, penduduk yang datang diberi beras, minyak, gula dan susu yang bercop 1Malaysia.

“Pembahagian bantuan itu pada peringkat awal tidak nampak unsur politik. Namun pada kali kedua penduduk dijemput ke rumahnya bagi mengisi borang tertentu.

“Penduduk yang hadir sebahagian besarnya wanita memberitahu borang tersebut tujuannya untuk memudahkan bantuan disalur. Ramai orang tua-tua yang datang tidak tahu borang itu sebenarnya permohonan menyertai Umno.

“Hanya selepas  kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Kampung Babong baru-baru ini, barulah penduduk tahu mereka diperangkap menyertai Umno,” katanya di sini.

Menurutnya menteri terbabit hadir bagi merasmikan Gelanggang Silat Silat 1Malaysia di Kampung Babong.

Jumaat lalu sebuah akhbar milik Umno mendakwa 160 bekas ahli PAS menyertai Umno di Kampung Babong sempena perasmian Gelanggang Silat 1Malaysia dan Jamuan Rakyat.

Akhbar terbabit mendakwa kesemua mereka berasal dari Kampung Babong, Pulau Melaka dan Hujung Tanjung.

Che Muhamad berkata, penduduk hanya tahu mereka ditipu dengan menyertai Umno selepas hadir pada program terbabit.

“Warga emas yang hadir tidak diberitahu langsung majlis penyerahan borang menyertai Umno, sebaliknya diminta hadir pada jamuan rakyat dan perasmian gelanggang silat.

“Ramai penduduk marah selepas mereka tahu ditipu hidup-hidup pemimpin Umno,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan ada dua bekas penyokong PAS terbabit dengan program berkenaan selepas diumpan dengan tawaran kebendaan.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pengkalan Chepa, Azmi Noor berkata, Umno bahagian terbabit menggunakan taktik serupa seperti berlaku di Tanah Merah meminta salinan kad pengenalan bagi mendapat bantuan.

“Bagaimanapun rupa-rupa salinan kad pengenalan diberi penduduk digunakan bagi mengisi borang keahlian Umno.

“Umno sudah benar-benar terdesak sekarang sehingga sanggup menipu penduduk miskin dan warga emas secara terang-terangan,” katanya.

Projek lereng bukit: Umno jangan tipu diri sendiri

Mohd Firdaus Jaafar, 23 Jul 2012
Merujuk pada berita 'Prosedur dokumen projek lereng bukit remeh' di Utusan Malaysia Online pada 30 Jun lepas yang antara lain melaporkan Pengerusi Biro Kerajaan Tempatan, Gerakan Pulau Pinang, Teh Leong Meng menuduh Kerajaan Negeri tidak ikhlas di sebalik isu 37 projek lereng bukit 'berisiko tinggi' di negeri berkenaan.
"Kerajaan Negeri seperti tidak ikhlas untuk mendedahkan butiran projek tanah bukit secara telus kepada orang awam walaupu mereka sering melaungkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

"Saya ingin bertanya, kenapa perlu menetapkan salinan prosedur untuk mengimbas dokumen berkenaan dengan temujanji beserta syarat-syarat lain," tanya Leong Meng.

Jika Leong Meng ikhlas, saya mencabar beliau mendapatkan serta meneliti semua dokumen berwajib lalu mengemukakan bukti pentabdiran Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak melaksanakan urus tadbir yang bersih.

Ini kerana, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telahpun membuat pameran terbuka semua bukti berwajib kepada awam pada waktu pejabat di Tingkat 4, Komtar sejak 1 Julai lepas hingga 30 September depan.

Saya mencabar pemimpin Gerakan kerana saya anggap pemimpin Umno semasa Barisan Nasional menjadi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dulu pun sebenarnya tidak berani menegur pentadbiran Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (bekas Ketua Menteri).

Saya percaya, beberapa bekas pemimpin utama Umno yang pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri seperti Datuk Azhar Ibrahim (Adun Penaga) dan Datuk Seri Dr Mohd. Hilmi Yahaya (Adun Telok Bahang) dahulu pun tidak berupaya membawa kebenaran dalam kerajaan negeri.

Sebenarnya, pemimpin Umno bising depan Melayu saja kononnya mereka sahaja yang memperjuangkan kepentingan Melayu.

Tetapi, hakikatnya mereka tidak berani mendedahkan perkara yang sebenar. Mereka tidak berani mengatakan perkara yang sebenar di depan Setiausaha Gerakan Pulau Pinang, Datuk Tan Hock Nan dan Teng Chang Yeow (Setiausaha Agung Gerakan merangkap Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang).

Mereka hanya nampak garang dan lantang di depan Melayu kononnya hanya mereka memperjuangkan nasib Melayu. Tetapi, mereka sebenarnya nampak tidak ikhlas kepada semua rakyat di negeri Pulau Pinang.

Perkara sebenar yang mereka sembunyikan adalah 37 projek 'berisiko tinggi' di lereng bukit yang berketinggian melebih 250 kaki dari aras laut itu diluluskan semasa Barisan Nasional mentadbir kerajaan negeri (1985 hingga Mac 2008).

Perkara sebenar yang disembunyikan adalah 19 projek yang diluluskan adalah pembaharuan kelulusan pelan terdahulu atau berdasarkan Pelan Dasar Perancangan dan Kawalan Kemajuan MPPP yang diluluskan pada 13/9/1996.

Pemimpin Umno jangan tipu diri kalau takut menegur pemimpin Gerakan Pulau Pinang.

Mohd Firdaus ialah Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia yang juga Ahli Parlimen Jerai.

Tiada ulasan: