Jumaat, 6 Julai 2012

SEDARLAH ATAS KEKUASAAN ALLAH...KADANG2 KITA BERUNTUNG...KADANG2 KITA BERNASIB MALANG....SEMUA NI KETENTUAN ALLAH YANG MENENTUKANNYA...KITA BERUSAHA....USAHA JAHAT DAPATLAH JAHAT...USAHA BAIK...MAKA DAPAT BAIK...JIKA SEBALIKNYA....DE HIKMAH ATAU ALLAH NAK MENGUJI KITA......

Hudud bukan tuntutan Umno

Subky Latif, 05 Jul 2012
ADUN BN Kemelah, Dato Ayub Rahmat telah membuat saranan yang baik apabila dia mencadangkan supaya hudud dikuatkuasakan.
Kira-kira apa yang dinyatakannya di DUN Johor itu diterima Allah sebagai ibadat dan mendapat pahala. Dia sudah ada niat yang baik. Setiap orang Islam yang berniat baik telah dapat satu pahala. Jika niat itu dilaksanakan dia dapat satu pahala lagi. Jika niat itu tidak dilaksanakannya, pahala niat tadi kekal.

Saranan Dato Ayub itu tidak memberi apa-apa makna apabila ia disampaikan disalurkan melalui UMNO kerana hudud bukan satu tuntutan bagi UMNO.

Sejak  UMNO ditubuhkan oleh Dato  Onn  Jaafar dulu sudah meminggirkan semua tuntutan Islam, dan itulah sebabnya sekumpulan ulama UMNO masa itu keluar menubuhkan PAS.

Apabila kerajaan  PAS Kelantan dan Terengganu meluluskan enakman jenayah syariah yang didalamnya ada hudud, kerajaan pusat pimpinan UMNO tidak memberi laluan bagi dilaksanakan.

UMNO menolak enakman itu atas dalih ia bukan hudud yang al-Quran anjurkan tetapi ia adalah hudud PAS.

UMNO mendakwa ia tidak menentang hudud yang Allah tuntut supaya dilaksanakan. Kononnya UMNO juga beriman dengan hudud. Tetapi ia tidak pernah mengambil apa-apa langkah untuk mendaulatkan undang-undang itu.

Iman UMNO terhadap hudud sekadar menyatakan ia menerima ketentuan Allah itu tetapi tidak percadang untuk melaksanakannya. Imannya  itu samalah seperti seorang  Islam yang mengaku solat  dan puasa itu  wajib tetapi tidak pernah solat dan puasa.

Iman seperti inilah yang digambarkan apabila ditanya Allah di akhirat nanti,  adakah kamu beriman? Jawabnya,  ya. Dia beriman. Allah kata, ‘Kamu bohong. Sebenarnya kamu tidak beriman.’

Dato Ayub telah menyampaikan saranan yang betul supaya Malaysia melaksasnakan hudud.  Kalau Malaysia belum berhajat,  ia boleh  dimulakan di Johor.

Adapun hudud yang dicadangkannya itu bukanlah seperti hudud yang PAS luluskan di Kelantan dan Terengganu itu kerana enakman yang diluluskan untuk dilaksanakan terhadap orang  Islam saja. Yang Dato Ayub cadangkan itu adalah meliputi rakyat semua kaum dan agama.

Justeru tidak meliputi semua penduduk itulah maka diloyar buruk UMNO ia adalah hudud  PAS.

Tidak waham lagi Dato Ayub ikhlas dan suci hatinya mahu hukum itu didaulatkan. Tetapi ia dicadangkannya melalui kerajaan UMNO yang tidak ada niat untuk menunaikannya. Bahkan UMNO bukanlah parti politik yang mahu memperjuangkannya.

Yang memperjuangkannya adalah PAS. Setiapa juga yang mahu ia didaulatkan, maka ia mesti bersama PAS. Penyertaan beramai bersama PAS, menambah kekuatan PAS untuk terus memperjuangkannya.

Apa yang Dato Ayub buat itu seperti mencurah  air ke  daun keladi. Air tidak lekat di daun. Ia jatuh ke pasir. Hilang kering begitu saja. Tetapi jika salurkan melalui PAS, ia ibarat mencurah  air ke baldi. Mungkin ia belum  cukup, tetapi ia menambah air yang  sudah di baldi itu. Cukup masanya nanti ia akan penuh.

Tidak pasti adakah Dato Ayub sudah membuat cadangan  itu melalui UMNO sebelum disuarakannya di DUN Johor? Apa dia telah buat dalam UMNO untuk menggerakkan UMNO mendaulatkannya?

Adakah dia sudah ajak ahli-ahli UMNO di cawangannya dan di bahagiannya untuk tindakan? Jika ia belum dibuat, dia kena buat di peringkat itu dulu. UMNO yang lebih tinggi tiada peduli tuntutan itu.

Jika Dato Ayub suarakan itu kepada ahli UMNO kampong dan di cawangannya  mereka akan kata dia sudah mamai. Mereka akan kata kepadanya, ‘Kalau laksana hudud, YB mesti masuk PAS.’ Hal  itu tidak ada dalam UMNO. Ia ada pada PAS saja.

Tun Musa Hitam semasa jadi Timbalan Presiden UMNO  ketika merasmi Perhimpunan Agung  Pemuda UMNO yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim berkata kira-kira, UMNO bukan parti yang memperjuangkan tauhid.

Dato Ayub telah menyertai parti yang silap dan ia tidak mampu berbuat apa-apa untuk melaksanakan saranannya melalui UMNO. Dato Ayub tidaklah sepintar Anwar untuk mengubah UMNO dari dalam. Ubahlah dari luar!

Kroni lagi, apa jaminan kepada penumpang LRT?

Nasrudin Hassan, 05 Jul 2012
Mengikut perancangan, kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Datuk Sri Mohd Najib Razak mahu menambah perkhidmatan LRT Ampang yang sedia ada sekarang ini dengan nilai RM1.012 bilion pada kadar tambahan sebanyak 17 kilometer.

Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan jumlah yang diperuntukkan ini sangat besar dan projek ini seharusnya dinilai, ditapis dan diteliti sedalam mungkin kerana ianya melibatkan jumlah yang besar daripada perbendaharaan negara.

Menurut sumber yang dikeluarkan oleh beritasemasa.com terdapat 8 syarikat terkemuka daripada seluruh dunia termasuklah dari Perancis, Britain dan Korea Selatan yang masuk di dalam senarai tender dan berusaha untuk membuktikan kemampuan dan kekuatan masing-masing.

Menurut lampiran yang disertakan di dalam beritasemasa.com, badan penilai iaitu perunding kejuruteraan Halcrow membuat keputusan memilih untuk mencadangkan kepada Kementerian Kewangan satu syarikat  dari Britain, Konsortium Balfour Beatty-Invensys bagi melaksanakan projek LRT Ampang ini.

Rasional cadangan ini adalah berdasarkan rekod Balfour Beatty-Invensys yang cukup terkenal di peringkat antarabangsa di dalam industri pembinaan landasan keretapi dan LRT di seluruh dunia.

Sumber juga memberitahu cadangan daripada badan penilai ini telah dibawa kepada Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan dalam Kementerian Kewangan. Jawatankuasa ini dipengerusikan sendiri oleh Menteri Kewangan, Dato Sri Mohd Najib Razak.

Antara ahli di dalam jawatankuasa ini adalah Menteri Kewangan II iaitu Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara sendiri iaitu Tan Sri Wan Aziz.

Sekiranya diperhatikan, ketiga-tiga nama ini merupakan nama-nama yang berada pada kedudukan yang tertinggi dalam Perbendaharaan Negara.

Berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan pada 25 Januari 2012 telah meluluskan cadangan daripada badan penilai iaitu memilih konsortium Balfour Beatty-Invensys.

Akan tetapi, laporan yang dibuat oleh akhbar Business Times yang bertarikh 22 Jun 2012 [Jumaat] yang bertajuk “George Kent-led consortium tipped to win Ampang LRT job” sememangnya mengejutkan.

Justeru pada 29 Jun 2012, Sinar Harian telah melaporkan bahawa PKR telah membuat laporan polis kerana terdapat bukti campur tangan kerajaan di dalam pemberian kontrak bernilai hampir RM1.1 bilion kepada syarikat tersebut.

Pada tarikh 3 Julai 2012 sebagaimana yang telah dilaporkan oleh antarapos.com, satu siri pendedahan telah dibuat oleh Saudara Rafizi Ramli yang menyatakan George Kent gagal dalam penilaian bidaan.

Menurut beliau, hasil daripada laporan penilaian merupakan bukti bahawa George Kent sememangnya tidak layak untuk meneraju projek ini. Berikut adalah hasil dari keputusan penilaian bidaan yang telah didedahkan oleh beliau.

1. Mukasurat 14 – pembida George Kent dirumuskan tidak memahami kehendak teknikal projek (terutamanya dari segi koordinasi dan integrasi dengan sistem sedia ada), apatah lagi berkemampuan mengendalikan projek seperti ini;

2. Mukasurat 17 – pembida George Kent dirumuskan tidak mampu meyakinkan perunding bahawa mereka mempunyai kepakaran menjalankan projek ini secara sistematik dan disokong oleh sistem audit projek yang memuaskan;

3. Mukasurat 24 – pembida George Kent didapati tidak pernah mengendalikan projek besar, apatah lagi berpengalaman di dalam projek sebesar ini. Berbanding dengan pembida lain yang hampir kesemuanya pernah menyiapkan projek bernilai lebih RM1 bilion, projek terbesar pernah dikendalikan George Kent hanyalah bernilai RM40 juta, sedangkan pakej kerja-kerja tambahan LRT Ampang ini dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion;

4. Mukasurat 24 – pembida George Kent didapati tidak pernah terlibat di dalam projek melibatkan rel atau LRT;

5. Mukasurat 64 – pembida George Kent dirumuskan berada di tempat ketiga tercorot dari segi kemahiran dan pengalaman teknikal. Markah yang diperolehinya adalah lebih rendah dari purata markah keseluruhan pembida-pembida; dan

6. Mukasurat 72 – Halcrow merumuskan bahawa Panel Penilai Teknikal tidak yakin George Kent boleh mengendalikan projek itu dengan jayanya.

Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa Datuk Sri Mohd Najib untuk menyelesaikan isu ini segera kerana ianya turut melibatkan keselamatan rakyat dan juga pengaliran keluar sejumlah wang rakyat yang besar.

Bagi Dewan Pemuda PAS Malaysia, pemberian kontrak ini perlu dinilai secara telus. Bukan itu sahaja, bahkan kontrak yang sebegini penting perlu diberikan kepada yang selayaknya iaitu mereka yang memenuhi kriteria yang telah dinilai oleh panel penilai kerana ianya melibatkan duit rakyat dan keselamatan rakyat.

Dewan Pemuda PAS Malaysia mempersoalkan bagaimana boleh berlakunya pemberian kontrak tersebut kepada sebuah syarikat lain yang bukannya syarikat yang telah dipersetujui di dalam Mesyuarat JawatanKuasa Perolehan Menteri Kewangan.

Campur tangan yang wujud di dalam pemberian kontrak ini mengiyakan lagi bahawa memang wujud kronisme yang diamalkan oleh kerajaan sekarang. Sekiranya ini benar-benar berlaku di dalam sistem kerajaan sekarang di manakah rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan ?.

Sekiranya keselamatan rakyat dipertaruhkan hanya untuk melansungkan survival kroni, Dewan Pemuda PAS Malaysia yakin, slogan tersebut hanya seperti bertanam tebu di bibir mulut.

Mahathir seperti disindir anaknya

Subky Latif, 04 Jul 2012
APA sikap Marina, puteri sulung Dr. Mahathir terhadap kerajaan sekarang tidak diketahui, tetapi dia dan anaknya ikut sama dalam unjuk rasa Bersih 2.0. Memang ada komennya tidak selesa dengan reaksi polis dan kerajaan semasa terhadap demonstrasi itu. Saya tidak mengikuti perkembangannya  dalam Bersih 3.0.
Hingga ini tidak siapa dapat mengandaikan Marina termasuk dalam kumpulan orang tidak senang dengan kerajaan yang ada dan tidak diduga  akan menyertai gerakan untuk menukar pentadbiran Putrajaya.

Apa pun kehadiran Marina dalam Bersih 2.0 dulu boleh dikira menyindir bapanya yang mempertahankan kerajaan yang ada sekarang.

Walaupun Dr. Mahathir tidak 100 peratus setuju dengan pentadbiran Najib, tetapi umumnya dia mempertahannya baik buruk mahu pun sebaliknya. Dia menentang semua siri demonstrasi Bersih dan tidak memberi muka kepada usaha Pakatan Rakyat mara ke Putrajaya.

Siri demonstrasi Bersih ditujukan terhadap ketidakadilan kerajaan Barisan Nasional dan ia  tuntutan untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih.

Apabila Marina dan anaknya menyertainya, atas apa alasan jua, dia boleh dikira menyokong tuntutan itu. Dia tahu bapanya tidak setuju dengan kegiatan Bersih itu tetapi dia hadir pada kegiatan yang bapanya tidak suka.

Sekali pun Marina tidak mengkritik bapanya atau membuat pandangan yang berbeza dengan bapanya, kehadirannya  dalam Bersih 2.0 boleh dikira menyindir bapanya sendiri.

Mungkin dia tidak berniat begitu. Dia mungkin menggunakan kebebasan  sekadar  bersama  dengan orang yang  tidak  senonok dengan pentadbiran Najib. tetapi keberadaannya itu dikira satu menyindir kerajaan dan menyindir bapanya.

Dr. Mahathir berhak menyatakan tidak senang dengan penyertaan anaknya. Orang luar tidak tahu apakah keduanya  anak beranak itu ada membincangkannya secara keluarga tentang pro dan kontra siri tunjuk perasaan Bersih itu, tetapi orang sudah menyaksikan Mahathir menegur penyertaan  anaknya dalam Bersih 2.0 dulu.

Sebagai negarawan dia dipercayai tidak mengongkong kebebasan berfikir  anak-anaknya, tetapi dia tidak seronok dengan kehadiran anak dan cucunya itu.

Mungkin dia sudah menyatakan kepada anaknya apa buruk unjuk rasa itu dan mengapa ia tidak  wajar disokong secara anak beranak. Tetapi sebagai bapa dia telah membuat teguran terbuka kepada anak.

Baiknya Marina tidak pula membuat komen atas teguran bapanya. Tidak diketahui dia terima teguran itu atau dia mengira apa yang dibuatnya betul.

Sebagai anak Marina  mengambil sikap yang betul apabila berdiam diri. Tidak elok anak dilihat berbalah dengan ayah dalam media. Apa lagi kalau anak itu memalukan bapa.

Apa pun umum boleh membuat andaian bahawa  anak Dr. Mahathir juga tidak semestinya setuju dengan dasar dan politiknya. Kalau anaknya ada pandangan berbeza dengan bapa tentang satu-satu perkara atau banyak perkara, maka Dr. Mahathir tidak boleh paksa semua orang mesti menerima pandangannya.

Apa pun Dr. Mahathir tidak menyatakan apa buruknya kepada kerajaan, rakyat dan negara bila Marina menyertai Bersih 2.0. Yang dibantahnya sekadar ia boleh menjejaskan peluang adiknya, Mukhriz dalam politik.

Jika itu saja, tidaklah bantahan itu dibuat atas kepentingan nasional, sedang penyertaan Marina dalam Bersih 2.0 itu ada kaitnya dengan kepentingan nasional, demokrasi, keadilan dan kebenaran

Najib takut bubar, strategi tidak menjadi

Idris Ahmad, 03 Jul 2012
Strategi Datuk Seri Najib Tun Razak masih tidak menjadi untuk membolehkan beliau membubar Parlimen. Keresahan jelas terukir di wajah beliau yang akan memimpin  pilihan raya pada kali ini.


Tekanan daripada dalam Umno juga begitu kuat, jika Umno kalah bererti beliau akan dihambat oleh Umno daripada kerusi Presiden.

Walaupun sepatutnya pilihan raya diadakan pada tahun lepas, sehingga persidangan Umno ditangguhkan bagi menumpukan kepada gerak kerja pilihan raya.

Bajet yang dibentangkan ialah bajet pilihan raya. Berbagai-bagai pemberian diberikan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai 1Malaysia, bantuan kepada pelajar sekolah RM100 dan bantuan pelajar universiti RM200 dan banyak lagi skim untuk pancing undi.

Umno di bawah kepimpinan Najib cuba menggunakan taktik supaya negeri Pakatan Rakyat digambarkan oleh media Umno sebagai tidak mampu. Isu ini dijawab dengan amalan bukan dengan percakapan.

Kerajaan Pakatan Rakyat mampu mentadbir dengan baik dengan penuh ketelusan. Banyak manfaat yang diperolehi oleh rakyat, kerana  51 tahun Umno memerintah rakyat tidak merasai lebihan kekayaan negeri, terutama di Selangor.

Kerajaan Pakatan Rakyat tidaklah mendabik dada ia kerajaan yang terbaik, namun rekod hampir lima tahun memeritah ia lebih baik daripada Umno memerintah 51 tahun di negeri tersebut.

Ketika negeri-negeri di bawah pemerintahan BN yang sedang menggigit jari, rakyat di negeri Pakatan Rakyat mendapat berbagai nikmat dan peningkatan kualiti hidup.

Taktik fitnah kepada kerajaan Pulau Pinang melalui media Umno kononnya anti Melayu telah terjawab, apabila sudah dua kali Utusan Malaysia didapati bersalah oleh mahkamah. Tujuannya supaya orang Melayu jangan dekat dengan Pakatan Rakyat.

Atas faktor inilah Najib belum berani mengadakan pilihan raya, kerana takut kalah. Suasana politik tidak menyebelahi BN, beliau cuba untuk menunggu peluang terbaik.

Namun masa terus berjalan, iddah pemerintahan Najib hanya sembilan bulan lagi, inilah menjadi kerunsingan kepada beliau. Semua taktik tidak menjadi, pakar-pakar strategi sudah habis digunakan namun nasib tidak menyebelahi Najib.

Sedia ruang buat Aishah, Abby, Hairie berkarya

Ahmad Lutfi Othman, 03 Jul 2012
Saya tidak melihat fenomena "penghijrahan" artis-artis untuk menghayati gaya hidup Islami dalam konteks politik pilihan raya semata-mata. Tentunya sebagai aktivis PAS, saya cukup gembira dengan perkembangan mutakhir yang memberangsangkan ini.

Kalau ditanya nama-nama selebriti berkenaan, saya sendiri sukar membariskan senarai penuhnya; makin ramai, bertambah saban minggu dan mungkin menyusul nama-nama yang kita tidak terduga.

Malah, ada di kalangan mereka, bukan saja berubah penampilan, tetapi gigih menimba ilmu agama, mendampingi golongan ustaz dan ulama, serta bertindak nekad meninggalkan era lama yang melalaikan itu.

Lebih mengejutkan apabila selibriti terkemuka, seperti Bob Lokman, Aishah, Abby Abadi (sekadar menyebut beberapa nama) dan terkini Hairi Othman turut mengisi pentas ceramah PAS. Jadual program mereka penuh dengan undangan dari seluruh pelosok negara.

Lebih menarik, sebahagian besar bintang-bintang itu cenderung memilih PAS sebagai wadah politik atau sekurang-kurangnya selesa mendekati program dan personaliti Parti Islam itu, berbanding parti-parti yang lain. Maknanya, ada kesedaran menyeluruh untuk menghayati agama.

Saya tambah teruja dengan deretan panjang nama-nama besar dalam dunia hiburan yang memenuhi aktiviti surau dan masjid, misalnya Sham Kimikaze, Wardina Saffiyah, Catriona Ross dan Iwan Syahman.   Pendekatan pendakwah paling tersohor, Ustaz Azhar Idrus, yang kelihatan santai bersama artis-artis tersebut, makin menyuburkan lagi suasana yang mendamaikan itu.

Tidak dilupakan generasi lebih awal seperti Azmil Mustafa, Noor Kumalasari, Akhil Hayy dan ramai lagi. Mungkin sebahagiannya tidak berminat untuk bersama parti-parti politik pembangkang, tetapi saya sudah cukup senang jika mereka berupaya menyuntik satu hembusan segar dan kudus dalam dunia seni hiburan kita.

Sebenarnya, tanpa perlu menunggu lebih ramai golongan seniman menyertai PAS atau oposisi lain un, bagi saya, cukuplah dengan perkembangan positif dunia hiburan tanahair, untuk mendorong jiwa menjadi tenang dan damai, serta dapat menghayati keindahan seutuhnya. Harapnya muncul penggiat seni, dalam semua genre, dapat menampilkan sesuatu yang serasi dengan fitrah insani.    

Selama ini, isu hiburan, atau dalam konteks lebih luas, seni budaya (begitu juga persoalan berkaitan  sukan, wanita dan golongan non Muslim), apabila dikaitkan dengan gerakan Islam atau parti politik Islam, bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia, kerap menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan. Sebahagian melihat aktiviti seni mudah mengundang fitnah, tohmah  dan salah anggap.

Tidak dinafikan, ramai menaruh kebimbangan tentang bentuk pengisian mengenai hiburan oleh kumpulan Islam apabila mereka diberi amanah untuk menerajui kerajaan. Ada yang bertanya: "Bagaimana program TV jika parti Islam berkuasa? Apa nasib pawagam dan industri filem? Teater atau persembahan bagaimana untuk memenuhi panggung Istana Budaya? Aktiviti sukan pula macamana? Kegiatan seni budaya termasuk warisan tradisi? Atau hanya nasyid dan lagu bertemakan kemanusiaan sahaja yang dibenarkan? Apa jadi nasib penyanyi wanita? Semua pelakon wanita mesti tutup auratkah?"

Terus-terang saya nyatakan, sewaktu PAS membuka laluan seluas-luasnya, serta membentang permaidani merah, malah mendorong dan mendakap erat mereka yang mahu bersama perjuangan Islam -- juga yang bersedia menanggung risiko buruk daripada pemerintah terutama dengan tindakan "menggam" -- saya terfikir apakah kita sudah bersedia sepenuhnya (baca sejujurnya) untuk menyediakan ruang atau gelanggang buat rakan-rakan kita itu untuk terus berkarya dan "menghibur"?

Sudah pasti tidak semua selebriti berkenaan berminat dengan politik (karenah siasah, bagi sesetengah orang cukup memenatkan) atau berupaya menyampaikan ceramah atau kuliah dengan baik. Lagipun jelajah politik ini agak bermusim sifatnya; ia memang rancak menjelang pilihan raya umum tetapi kembali tenang selepas itu. 

Sambil mengalu-alukan personaliti kental seperti Aishah dan Dayangku Intan, yang sanggup menjelajah segenap penjuru tanahair (difahamkan ada di antaranya keseorangan memandu dalam perjalanan yang jauh), bagi menimbulkan kesedaran rakyat untuk bersama Pakatan Rakyat dalam PRU13, bagaimana pula dengan kelompok artis,  misalnya, yang mula menutup aurat dengan sempurna, menjaga perwatakan dan pergaulan, serta berazam menabur bakti melalui aktiviti seni Islami, atau sekurang-kurangnya yang tidak bercanggah dengan adab susila?

Saya pernah menimbulkan kepentingan empat kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk bertindak proaktif menyemarakkan kegiatan seni budaya, sekali gus menghampar peluang, dengan peruntukan, kemudahan dan bajet tertentu, yang "selesa".

Malah, aktivis budaya, Dinsman terpaksa menerbitkan buku khas, berjudul Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya, yang ditujukan khusus kepada para pemimpin politik di Malaysia, "teristimewanya Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor".

Rakan saya bertanya, "mengapa Dinsman tidak mengkhususkan sekali bukunya itu untuk perhatian tiga ketua negeri Pakatan Rakyat yang lain?" Beliau merujuk kepada Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat. Ustaz Azizan Abd Razak dan Lim Guan Eng.

Memang Khalid, di majlis Konvensyen Penulis Selangor, 26 Jun 2011, mengumumkan tawaran dana khas untuk penulis dan seni budaya negeri itu sebanyak RM2.5 juta. Bagaimana pula dengan Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan?

Kritikan terhadap komitmen kerajaan Pakatan Rakyat terhadap aktiviti seni budaya turut disuarakan penulis lirik popular, Buddhi Hekayat, yang terkenal dengan  dengan lagu "Awan Nano" nyanyian Hafiz AF, yang dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu 26.
Beliau, yang nama sebenarnya Hasmi Hashim, mendakwa kerajaan Pakatan ketinggalan dan "lebih jauh dan lemah" berbanding kerajaan BN dalam memartabatkan seni budaya dan kebajikan seniman.

Hasmi turut mempersoalkan program apa yang dianjurkan selama empat tahun kerajaan Pakatan memerintah di beberapa negeri.

"Kita faham debat hudud antara kerajaan Kelantan dan kerajaan persekutuan. Maksudnya nak melaksanakan hudud (kerana) perlu kelulusan kerajan persekutuan. Tetapi untuk memberi dana yang cukup untuk membiayai program kebudayaan, tidak perlu tunggu kerajaan persekutuan," katanya dalam forum "Artis berpolitik: Sekadar glamor atau prinsip" di ibu negara,  malam 28 Jun, bersama Hairie Othman dan Zed Zaidi.

Apa pun, sekurang-kurangnya Kelantan telah menganjurkan siri 'Bicara Selebriti' yang mendapat sambutan hangat,  bukan saja membabitkan artis dalam negeri, tetapi juga bintang Ketika Cinta Bertasbih, Oki Setiana Dewi.

Dan tentu ramai masih ingat, langkah kerajaan Kelantan meraikan penyanyi yang tiba-tiba melonjak naik melalui program Akademi Fantasia, Mawi. (Sebenarnya saya masih meminati Mawi, yang juga hilang secara tiba-tiba; merdu suaranya sesuai sesuai dengan nasyid dan juga lagu kemanusian). Ramli Sarip dan M Nasir juga pernah diundang ke Serambi Makkah, mempersembahkan nyanyian dalam majlis yang dihadiri pimpinan PAS Negeri. (Tiba-tiba saya terkenang penyanyi Ito, Blues Gang, yang kerap memenuhi undangan Barisan Alternatif semasa era reformasi 1998-99 dahulu. Lagu-lagu ketuhanannya juga memikat).

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang pernah diundang ke majlis 'Bicara Selebriti', memberi komentar menarik mengenai pengisian program tersebut, dengan merujuk isu-isu pokok dalam dunia seni: "Ada perbezaan pendapat dalam kalangan sarjana fekah mengenai persoalan nyanyian dan muzik. Dalam persoalan khilaf yang muktabar seperti ini, seseorang berhak memilih pandangan dia yakini dan tidak boleh memaksa orang lain meyakini apa yang dia yakini.

"Ertinya, setiap Muslim berhak berpegang dengan pandangan yang dia rasa lebih rajih atau kukuh. Dia tidak boleh mewajibkan pandangan tersebut ke atas orang lain, jika mereka mentarjihkan pandangan yang berbeza. Ini khilaf yang diiktiraf atau khilaf mu’tabar. Tiada siapa yang berhak memaksa pilihannya ke atas orang lain. Maksudnya, jika ada yang mengharamkan muzik, maka tidak boleh dia memaksa pandangan yang sama ke atas mereka yang mengharuskannya. Demikian sebaliknya."

Beliau kemudiannya mengulas teraju utama di sebalik 'Bicara Selebriti', iaitu Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah: "Beliau (Baihaqi) anak tuan guru pondok Pasir Tumbuh, Tuan Guru Haji Atiqullah Yaakob. Latar belakang agamanya dan sikapnya yang terbuka patut menjadi contoh kepada banyak pihak. Beliau adalah salah satu bukti bahawa kepimpinan agama di Kelantan bersikap rasional dan meraikan perbezaan latar belakang rakyat."

Secara peribadi saya kira Aishah mempunyai kerangka idea yang agak jelas tentang perubahan seni hiburan yang dihasratkannya. Elok pemimpin PAs dapat berkongsi idea dengannya. Saya masih teringat ucapan pendek dan ringkas Aishah di hadapan 100,000 orang di Stadium Darulaman, Alor Setar, dalam Himpunan Hijau Ke Putrajaya, 1 Jun lalu.

Lebih sesuai dianjurkan satu program ramah mesra membabitkan pimpinan tertinggi parti bukan sahaja bersama personaliti popular yang menyertai PAS tetapi juga penggiat budaya, yang mahu memartabatkan dunia seni ke landasan yang diredai Allah.

Pastinya saya turut terharu dengan pengakuan Abby Abadi, dalam program Pemuda PAS Kuala Kedah, 26 Jun lalu. Meskipun belum menyertai PAS, beliau secara terbuka melafazkan: "Demi Islam, saya tidak lagi takut kepada manusia dan bimbang akan kehilangan semua kerana ia datang daripada Allah. Sekiranya saya tidak dibenarkan lagi keluar di TV, tak apalah, sebab saya sayangkan agama saya."

Namun, cetusan rasa (dan kritikan) rakan saya, Zunar, menarik untuk direnung bersama: "Di bawah Pakatan, Bob Lokman harus terus mencipta lagu, Dayang Ku Intan dan Aishah harus terus menghasilkan album, Abby Abadi dan Hairie Othman harus terus berlakon ...

"Pakatan gagal menyambut kehadiran artis dengan cara sewajarnya. Setakat ini tiada usaha untuk mengadakan konsert yang menggabungkan artis-artis yang berhijrah. Tiada juga usaha menghasilkan album lagu-lagu reformasi. Tiada juga usaha untuk menghasilkan filem yang mencatat sejarah perjuangan dan sebagainya.

"Produksinya bukan mudah kerana memerlukan belanja besar. Tetapi apakah dengan menguasai Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, peruntukan kebudayaan di negeri masing-masing tidak boleh untuk tujuan ini?

"Warga artis sedang menanti apakah Pakatan akan mengembalikan martabat artis dengan membebaskan mereka dari belenggu BN. Kerana itu konsep hiburan altenatif yang bakal dilaksanakan jika Pakatan mengambil alih Putrajaya kelak, wajar dilaksanakan sekarang."

Tiada ulasan: