Parlimen dibubar Okt, PRU13 Nov?
25 Julai 2012
Pengerusi Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fuad Mohd Jali berkata, Perdana Menteri mahu rakyat menikmati hasil transformasi yang dilaksanakan kerajaan.
"Saya rasa Perdana Menteri mahu pastikan Barisan Nasional (BN) menang dua pertiga majoriti. Beliau juga nak pastikan apa jua janji seperti turun padang dan bertemu rakyat dilaksanakan, sekarang pun kita dah rasa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab pada Perbincangan Meja Bulat PRU13: Malaysia Pilih Siapa anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) di sini hari ini.
Dr Fuad berkata, beliau menjangkakan PRU-13 mungkin diadakan pada November atau pun selepas Tahun Baru Cina tahun depan.
"Bajet akan dibentang pada September dan ia mungkin satu pengumuman yang terbaik untuk rakyat. Jadi kemungkinan Parlimen akan dibubar pada Oktober dan pilihan raya diadakan pada November," katanya.
Menjawab soalan sama ada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai impak pada PRU13, Dr Fuad berkata, ciri-ciri seorang calon yang diperlukan mestilah tidak korup, mempunyai personaliti yang baik dan bermoral.
"Ciri-ciri ini memainkan peranan tetapi ia bergantung kepada individu melihat setakat mana kriteria yang dikehendaki sebagai seorang calon dipenuhi
oleh calon tersebut, rakyat boleh berfikir," katanya.
Prof Madya Dr Rohana Yusof dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, kajian menunjukkan bahawa 70 peratus daripada 10,800 responden di Kedah tidak mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Anwar.
"Mereka lebih mementingkan hal-hal yang membawa erti serta masa depan kepada mereka berbanding isu-isu yang dibangkitkan Anwar yang dianggap sudah basi dan dibuat-buat, tiada impak lagi setakat ini," katanya. - Bernama
Pelajar sekolah tikam bekas kekasih kerana cinta
25 Julai 2012
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata dalam kejadian pukul 4 petang, Jumaat lepas, pelajar perempuan itu ditikam sebanyak tiga kali di bahagian perut dan pinggang oleh bekas kekasihnya itu.
Katanya kejadian yang berlaku di Pangsapuri Taman Datuk Senu di sini itu turut disaksikan oleh kekasih baharu mangsa yang dipercayai menemani mangsa berjumpa bekas kekasihnya itu.
"Sebelum kejadian, dipercayai pelajar tersebut telah bertengkar dengan bekas kekasihnya yang tidak dapat menerima dirinya ditinggalkan pelajar perempuan itu kerana mempunyai kekasih baharu," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Zakaria berkata selepas menikam mangsa, suspek panik dan tertinggal pisau di tempat kejadian semasa melarikan diri sebelum kekasih baharu pelajar perempuan itu menjerit meminta bantuan.
Beliau berkata ketiga-tiga pelajar adalah dari sekolah menengah yang sama di Sentul.
Beliau berkata mangsa yang mengalami cedera parah kini stabil dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.
Zakaria berkata suspek yang menyerah diri semalam kini ditahan reman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan. - Bernama
Populariti Najib atasi Anwar, Nik Aziz
25 Julai 2012
Pensyarah Geopolitik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fuad Mohd Jali berkata, hasil kajian menunjukkan populariti Najib meningkat 76 peratus berbanding dua pemimpin utama pembangkang itu.
Menurutnya, melalui pecahan etnik, kepimpinan Najib juga semakin diterima dan terus mendapat sokongan iaitu 75 peratus Melayu, 69.6 peratus Cina, 71 peratus India , 85.5 peratus Iban dan 84.4 peratus bagi Bumiputera Sabah Sarawak.
Jelasnya, populariti Najib itu disokong dengan pendekatan model magnet yang bersifat populis dan praktikal.
“Dengan menggunakan pendekatan model magnet, penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter, internet dan sebagainya mendekatkan beliau dengan rakyat.
“Selain itu, transformasi Najib memperkenalkan slogan 1 Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian di utamakan; Model Baru Ekonomi; Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M); Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M); Rumah Pertamaku dan sebagainya lagi sedikit sebanyak memberi prestasi yang mendorong peningkatan popularitinya,” katanya ketika membentangkan kertas kerjanya pada Rundingan Meja Bulat PRU13:Malaysia Pilih Siapa? anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, semalam.
Katanya, dari 1,000 responden sekitar Lembah Klang, pada keseluruhannya, sebanyak 69.6 peratus memilih Barisan Nasional (BN) akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan 37.5 peratus antaranya bersetuju BN akan menang dua pertiga majoriti dan 32.1 peratus lagi memilih BN akan menang majoriti mudah.
Menurut Fuad lagi, secara purata, 87.4 peratus mereka yang berumur 21 hingga 60 tahun menyokong kepimpinan Najib.
“Barisan Nasional (BN) juga mendapat keyakinan tinggi dalam mengurus pembangunan sosio ekonomi negara,” katanya.
Dalam pada itu, Fuad berkata, melalui hasil kajiannya, di kalangan tokoh kepimpinan negeri, prestasi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendapat 'min' yang paling rendah.
Katanya lagi, 55 peratus responden tidak yakin Selangor di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) dapat menyelesakan pelbagai masalah termasuk isu murtad, kebajikan, sosial dan sebagainya.
“Ramai di kalangan responden juga menyatakan pembangunan yang dirancang di Selangor banyak merugikan kaum Melayu dari aspek partisipasi dan pemilikan.
“Sebagai contoh, kawasan pembangunan dan perumahan mewah, ia kelihatan adil, tetapi merugikan kaum Melayu yang tidak berkemampuan,” katanya.
Sementara itu, melalui kajiannya di Kedah, 51 peratus dari 10,800 responden yang diperoleh dari setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) menyatakan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dari Pas sebagai baik.
Katanya, responden juga menyatakan 68 peratus kepimpinan atau pentadbiran Pas di Kedah tidak cekap dan tidak efisien.
“(Seramai) 63 peratus responden bersetuju berlaku pergeseran dan ketidaksefahaman antara kepimpinan Pas dan dan hasil kajian juga menunjukkan 72.8 peratus menyatakan Pas kurang prihatin dengan dengan isu yang diutarakan oleh rakyat,” katanya.
Katanya, maklumat yang lebih menarik adalah, 33 peratus dari responden lebih tidak berpuas hati terhadap tahap politik di Kedah berbanding 25 peratus tidak berpuas hati di peringkat nasional.
21 isteri warga asing tinggalkan suami negara ini
25 Julai 2012
Pengerusi biro itu, Datuk Michael Chong berkata jumlah itu dicatatkan sejak tahun lepas dengan 15 kes daripadanya melibatkan warga Vietnam, dan selebihnya warga China, Thailand dan Indonesia.
"Sepuluh daripada kes membabitkan warga Vietnam itu melibatkan tindakan isteri lari balik ke negara asal dengan membawa anak bersama," katanya kepada pemberita selepas menerima aduan berhubung perkara itu di sini, hari ini.
Dalam usaha membantu pihak pengadu, Michael berkata biro itu memerlukan kerjasama kedutaan negara berkenaan serta ejen pencari jodoh yang berkenaan.
Katanya, satu kes dapat diselesaikan hasil bantuan ejen berkenaan sebelum ini.
Sementara itu, seorang pemandu lori yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 38, yang membuat aduan hari ini berkata beliau kehilangan anak berusia dua tahun apabila isterinya, Nguyen Thi Vi, 24, warga Vietnam tidak kembali ke Malaysia setelah pulang ke negaranya pada 14 Jun lepas.
Lim yang berasal dari daerah Matang, Perak berkata, Nguyen yang dikahwininya tiga tahun lepas telah meminta untuk pulang ke Vietnam bersama anak mereka untuk melawat keluarga dan menyambut pesta 'dumpling' di sana.
"Pada 11 Julai lalu isteri saya ada menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak akan balik lagi ke Malaysia, tanpa memberi sebarang sebab," katanya.
Lim berkata isterinya sepatutnya pulang ke negara ini pada 13 Julai lepas. - Bernama
Sabah Sarawak bukan 'fix deposit' BN
25 Julai 2012
Ahli Panel, Prof Dr Jayum anak Jawan berkata, ia sudah menjadi tugas kepada kedua-dua negeri tersebut bertindak sebagai penyelamat kepada parti pemerintah dan tugas ini digalas buat pertama kali pada tahun 1948.
Menurutnya, perkara yang sama berlaku sekali lagi pada 1963, seterusnya pada 1969 sebelum Barisan Nasional (BN) menghadapi masalah majoriti pada pilihan raya umum 2008.
”Tugas kami menyelamatkan Melayu, Umno dan BN setiap kali mereka mengalami masalah. Bagaimanapun apa yang menyedihkan kami sering dijadikan anak tiri dalam apa jua bidang di negara ini.
”Kami juga tidak pernah merasa jawatan penting dalam semua pentadbiran negara, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelbagai jawatan yang lain,” katanya dalam sesi perbincangan Meja Bulat anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) yang bertajuk ‘PRU13: Malaysia Pilih Siapa?’ di sini, hari ini.
Perbincangan pusingan kedua ini membawa tajuk ‘Sabah dan Sarawak: Simpanan Tetap atau...?’
Jayum berkata, di Negeri Sabah kini hanya mempunyai lapan peratus masyarakat Melayu berbanding dengan Sarawak yang hanya dua peratus.
Katanya, masyarakat di kedua-dua negeri ini bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang bakal menerajui negara ini asalkan kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak dijaga.
“Kesetiaan kami bukan kepada individu tetapi kepentingan kepada semua pihak, bukan tertumpu kepada satu aspek. Malah Melayu yang ada di kedua-dua negeri itu boleh berpihak kepada Umno, Pas atau PKR,” katanya.
Pandangan itu juga disokong oleh Penganalisis Politik dan Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir bahawa Sabah dan Sarawak perlu seimbangkan pembangunannya dengan negeri-negeri di semenanjung.
Katanya, untuk mengekalkan Sabah dan Sarawak menjadi pelampung kepada BN, segala janji perlu ditunaikan dan kerajaan pusat perlu menitikberatkan 6 perkara yang menjadi penentu kemenangan dalam tempoh 10 ke 15 tahun lagi.
Jelasnya, faktor penentu terbabit adalah golongan tua yang buta huruf dan rendah politiknya semakin ramai yang meninggal dunia, peningkatan golongan cerdik pandai, transformasi sosial berlaku, kebangkitan media baru, migrasi yang semakin meningkat dan kematangan dan celik politik semakin bertambah.
“Lanskap politik sudah berubah dengan pelbagai kemungkinan berlaku, dengan jangkaan sengit akan berlaku,” katanya yang meramalkan BN akan kehilangan 7 kerusi Parlimen di Sarawak.
Beliau juga menambah, pengundi muda di Sarawak, 56 peratus menyokong BN khususnya Melayu dan Melanau, manakala pengundi muda Cina pula tidak menyokong BN.
Dalam pada itu katanya, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud tidak akan berundur daripada jawatannya sehingga 2013.
“ Banyak pihak berkata, beliau akan berundur, namun sejak 1992 lagi katanya akan berundur. Saya rasakan Taib tidak akan berundur sehingga 2013, kerana beliau mahu menjadi Menteri paling lama berkhidmat iaitu selama 50 tahun,” katanya.
BN bukan kerajaan populis, kata Najib
25 Julai 2012
Beliau berkata, kegagalan menyediakan asas berkenaan dan hanya mengejar sokongan serta populariti rakyat akan menyebabkan segala bantuan tidak dapat disalurkan secara berterusan.
"Untuk janjikan sesuatu sangat mudah. Tabur janji bukan sukar tetapi yang mencabar ialah sama ada pemberian kepada rakyat tidak jejaskan ekonomi, sebaliknya dapat menjamin ekonomi terus berkembang di samping boleh terus bantu dan bela rakyat secara berpanjangan.
"Inilah falsafah di sebalik pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika berucap pada majlis iftar bersama rakyat negeri Selangor di tapak Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana di sini hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Najib berkata, tanpa mengamalkan sifat populis, kerajaan BN mampu mengolah dasar yang boleh menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara mampan dan sihat.
Katanya, dengan mencetuskan punca serta menambah kekayaan kepada negara, pelbagai sumbangan boleh terus diberi kepada rakyat termasuklah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Kalau main hulur, berapa lama dapat bertahan? Jawabnya tak lama. Kalau berbelanja tanpa fikir mana punca tambah pendapatan, bukit yang
tinggi pun boleh jadi tanah mendatar," katanya.
Menyentuh isu air yang berlaku di Selangor, Najib secara sinis menempelak kerajaan negeri Selangor kerana tidak mampu menyelesaikan masalah air di negeri itu.
"Masalah seperti ini kerajaan BN mampu selesaikan. Masanya akan tiba bila rakyat Selangor boleh pilih kerajaan yang mampu selesaikan soal air, kutipan sampah-sarap dan meletakkan kemakmuran kepada negeri Selangor," katanya.
Pada majlis itu, Najib menyampaikan cek bernilai RM2 juta bagi pembangunan Masjid Al-Mustaqim kepada pengerusi jawatankuasa pembinaan masjid tersebut Datuk Abdul Wahab Adam.
Perdana Menteri juga menyerahkan cek sumbangan bernilai RM1.45 juta bagi masjid dan surau di seluruh Selangor kepada Koordinator BN negeri Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.
Sejumlah 100 ibu tunggal dan orang kurang upaya menerima sumbangan RM100 seorang.
Perdana Menteri dan isteri kemudiannya berbuka puasa bersama kira-kira 3,500 hadirin sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah di Surau Al-Islamiyah, Taman Nirwana.
Mereka kemudiannya ke Surau Taman Seri Angsana Hilir, Pandan untuk menunaikan solat Isyak dan solat tarawih
Umno Melaka: Bayaran ikut perjanjian, dakwaan pengendali blog tiada asas
25 Julai 2012
Malah, Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Akbar Ali turut mengemukakan bukti bahawa segala pembayaran sudah dijelaskan menerusi dokumen di pejabat Umno Melaka.
Menurutnya, pengendali blog berkenaan sudah pun menandatangani sendiri surat persetujuan Badan Perhubungan Umno Melaka membayar tunggakan gaji bertarikh 20 Disember 2011.
Katanya, tunggakan RM24,370 itu setelah dipotong baki pinjaman serta aset pejabat Umno yang masih belum dipulangkan selepas berhenti kerja.
“Gaji tertunggak RM38,000 yang dituntutnya terpaksa ditolak baki pinjaman berjumlah RM2,300 serta 12 peralatan pejabat yang masih dalam simpanannya berjumlah RM24,370. Menjadikan jumlah sepatutnya dibayar RM11,330.
“Malah, dalam surat kita bertarikh 20 Disember 2011, kita sendiri telah nyatakan bersetuju membayar RM11,330 selepas ditolak jumlah disebut tadi," katanya.
Menurutnya, pengendali blog itu sendiri telah menandatangani surat berkenaan yang mana boleh dianggap sebagai persetujuan dengan jumlah dipersetujui.
"Jadi tidak timbul sebarang isu tunggakan. Malah, pemeriksaan di pejabat Umno menunjukkan tiada satu pun rayuan daripada dia untuk mempertimbangkan semula, sekali gus membuatkan isu ini boleh kita anggap sebagai sudah selesai,” katanya kepada Sinar Harian di Bangunan Umno Negeri, di sini semalam.
Akbar berkata demikian sebagai mengulas laporan Sinar Harian, Ahad lalu mengenai dakwaan pengendali blog, Ahmad Faisal Mohd Yunos, 44, bahawa sebuah parti politik di negeri ini belum membayar tunggakan gajinya.
Dia yang bertugas sebagai Pegawai Sistem Maklumat Perhubungan Umno Melaka turut mendakwa hanya dibayar kurang RM1,000 sebulan walaupun dijanjikan gaji RM3,000 sebulan.
Sementara itu, Akbar berkata, Badan Perhubungan Umno tidak pernah menawarkan gaji RM3,000 kepada Ahmad Faisal, sebaliknya hanya RM1,500 selari dengan surat tawaran bertarikh 13 Mei 2008.
Bagaimanapun, katanya, jumlah berkenaan kemudiannya dinaikkan ke RM2,000 beserta elaun kenderaan RM200 sebulan apabila dia membuat rayuan.
“Soal gaji RM3,000 tidak timbul kerana tiada hitam putih beliau meminta jumlah berkenaan.
“Apabila beliau meminta tunggakan RM38,000 (baki gaji bulanan selama 38 bulan berkhidmat), Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam tidak bersangka buruk padanya dan bersetuju membayarnya,” katanya.
Bagaimanapun, Akbar berkata, jumlah RM38,000 terpaksa ditolak setelah Ahmad Faisal tidak memulangkan tiga komputer riba, dua pencetak, empat modem jalur lebar, dua 'external hard disk' dan satu kamera.
“Kalau benar dia sanggup pulangkan sebagaimana didakwa, kenapa tidak berbuat demikian walaupun sudah tiga surat peringatan kami keluarkan sebelum ini?" katanya.
Kajian rumus Umno, BN punya kelebihan menang PRU 13
25 Julai 2012
Prof Madya Dr Fuad Mohd Jali dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata kajian itu, yang dilakukan terhadap 1,400 responden di Kedah dan Selangor pada Mac hingga Mei tahun ini, menyimpulkan bahawa rakyat Malaysia setakat ini memilih BN.
"Di Selangor, pengundi cenderung untuk memilih BN manakala di Kedah kedudukannya 50-50 tetapi ia mungkin berubah," katanya pada Perbincangan Meja Bulat 'PRU 13: Malaysia Pilih Siapa' anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) di sini hari ini.
Pengerusi Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran UKM itu berkata PRU 13 merupakan satu kemuncak kepada penilaian prestasi bagi BN dan pakatan pembangkang di empat negeri sama ada mereka boleh kekal memerintah ataupun BN berjaya merampas kembali keempat-empat negeri berkenaan.
Secara keseluruhannya, beliau berkata 69.6 peratus responden menyatakan bahawa BN akan memenangi PRU 13 iaitu 37.5 peratus menyatakan bahawa BN akan menang dengan 2/3 majoriti manakala 32.1 peratus pula menang dengan majoriti mudah.
"Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), 54.1 peratus responden akan memilih BN, 14.4 peratus (PAS), tiga peratus (PKR) dan selebihnya tidak pasti, manakala di peringkat Parlimen, 57 peratus memilih BN, 20.6 peratus (PR) dan 22.4 peratus tidak pasti," katanya.
Di Selangor, Dr Fuad berkata kajian simulasi berdasarkan kepada keputusan PRU 11 dan PRU 12, profil pemilih berdaftar terkini dan reputasi BN mendapati bahawa BN akan menang di 40 kerusi DUN.
Di Kedah, seramai 50.7 peratus responden memilih PAS untuk menang di peringkat DUN, 49.3 peratus (BN) dan selebihnya tidak pasti, katanya.
Beliau berkata kepimpinan dan populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diterima dan terus mendapat sokongan juga menjadi antara faktor kelebihan BN untuk memenangi PRU 13.
"Purata 87.4 peratus mereka yang berumur 21 hingga 60 tahun menyokong kepimpinan Najib. Tujuh puluh enam peratus menyatakan imej Najib amat baik berbanding Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.
Beliau berkata sokongan golongan muda pada tahun 2008 agak merosot, justeru, Najib membuat pendekatan 'modul magnet' bagi menarik semula sokongan dengan melakukan pembaharuan yang bersifat populis dan praktikal menerusi media sosial dan transformasi politik.
Profesor Madya Dr Rohana Yusof dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menjalankan kajian ke atas 10,800 responden di Kedah pada November 2011 sehingga Februari 2012 menunjukkan bahawa rakyat Kedah menolak kerajaan PAS Kedah kerana gagal menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum lepas.
"Sebanyak 54 peratus responden menyatakan bahawa kerajaan PAS sedia ada tidak wajar dikekalkan manakala 58 peratus mengatakan bahawa kerajaan BN di peringkat persekutuan perlu dikekalkan," katanya.
Rakyat Kedah kini lebih menerima dasar-dasar kerajaan persekutuan berbanding kerajaan negeri dan cara terbaik ialah dengan memberi ruang kepada BN untuk kembali memerintah Kedah, katanya.
Rohana berkata mereka juga memerlukan seorang Menteri Besar yang mampu menyelesaikan masalah rakyat, mudah dihubungi dan rajin turun padang bertemu rakyat dan ini memberi gambaran terhadap ketidakupayaan Menteri Besar sekarang,Datuk Seri Azizan Abdul Razak melaksanakan tanggungjawab yang diharap oleh rakyat.
"Calon Menteri Besar Kedah yang dipilih sekiranya Umno berjaya merampas Kedah ialah rata-rata memilih Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir.
Ini menunjukkan bahawa mereka perlukan muka baru yang lebih muda untuk mentadbir negeri," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan