Jumaat, 27 Julai 2012

SENDIRI KOMEN...KAWAN KOMEN KAWAN..KALAU PIHAK LAWAN KOMEN LAIN SIKIT...SENDIRI BUAT...SENDIRI KATA BAGUS...KAN LAWAK

Zamry: Pendekatan popular Najib bukan gimik pilihan raya

26 Julai 2012
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
IPOH - Pendekatan popular dengan turun padang dan bertemu masyarakat termasuk pemandu teksi, imam dan kumpulan agama lain bukan 'gimik' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kajian yang dijalankan secara tidak langsung menunjukkan Najib merupakan perdana menteri yang sentiasa memenuhi janji rakyat melalui pelbagai pendekatan terutama program transformasi yang dicetuskan beliau.

"Kalau ada yang kata ini gimik, beliau telah lakukan pendekatan seperti ini bukan beberapa bulan tetapi sudah bertahun-tahun...beliau datang ke Perak ini bukan sekali tetapi berpuluh-puluh kali. Ini bukan hanya gimik, ini adalah transformasi dan juga transformasi politik.   

"Beliau menunjukkan kita mempunyai landskap baru politik dan kita perlu bersama-sama dengan aspirasi rakyat dan apa yang rakyat harapkan daripada kita," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan  kepada kakitangan pejabat kerajaan negeri dan media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan akhbar hari ini yang melaporkan populariti Najib didapati meningkat mendadak di lima negeri yang sedang dan pernah dikuasai pembangkang manakala sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Nik Aziz Nik Mat merosot.

Kajian populariti pemimpin melibatkan 1,300 responden berumur 21 tahun ke atas oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dijalankan beberapa negeri termasuk Perak, Selangor, Pulau  Pinang, Kedah dan Kelantan Mac lepas itu mendapati 63 peratus responden berpuas hati terhadap kualiti kepimpinan Perdana Menteri berbanding 38 peratus pada Mac 2008.

Sementara itu, menurut kajian Pengerusi Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fuad Mat Jali mendapati 76 peratus daripada 1,400 responden menyatakan imej Najib amat baik berbanding Anwar dan Nik Aziz, dan 87.4 peratus responden berumur 21 hingga 60 tahun menyokong kepimpinannya.

Kedua-dua kajian itu dibentangkan pada Perbincangan Meja Bulat 'PRU 13: Malaysia Pilih Siapa?' semalam, di ibu negara.

Katanya, pendekatan turun padang yang dilakukan Perdana Menteri untuk bertemu masyarakat daripada golongan sasar secara tidak langsung memberi kesan positif kedudukan BN di Perak, memandangkan beliau dinilai sebagai seorang pemimpin BN yang mengutamakan rakyat.

Zambry yang juga Pengerusi BN Perak tidak menolak kemungkinan PRU-13 akan diadakan tidak lama lagi berdasarkan populariti yang diraih Najib menerusi kajian tersebut. - Bernama
Faktor Anwar pengaruhi PRU13
Wartawan Sinar Harian
26 Julai 2012
Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR - Faktor Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin akan mempengaruhi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Ahli Panel, Prof Dr Teo Kok Seong berkata, ia adalah kerana undi orang Cina terhadap Anwar merupakan 'undi harapan' yang kononnya boleh membawa negara ke tahap yang lebih tinggi.

Katanya, ini kerana ada pihak yang menawarkan harapan kepada mereka.

Ahli Panel Zainon Ahmad tidak menafikan faktor Anwar mempengaruhi corak PRU13 akan datang.

“Anwar akan menang, tetapi tidak menang secara majoriti,” katanya.
PRU13: Pas akui 'imbuhan' kerajaan boleh gugat undi
MOHD RIDHUAN ABU HASSAN
26 Julai 2012
Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
MARAN, Pahang - Pas Kawasan Maran menaruh harapan tinggi terhadap pengundi kawasan kampung tradisional walaupun pada dasarnya masih mendapat sokongan penuh daripada kelompok itu.

Yang Dipertua Pas Kawasan Maran, Mohd Baqi Othman berkata, sebarang kemungkinan boleh berlaku menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti namun tidak sangsi terhadap sokongan warga Felda yang dilihat semakin memuncak kepada Pakatan Rakyat (PR).

Menurutnya, bagi kawasan kampung tradisional, PR masih mempunyai ahli dan pengundi tegar yang diyakini masih setia menyokong.

“Di hadapan kita, mereka menyatakan sokongan tetapi sebaliknya, kita tidak tahu kerana ‘dugaan’ menjelang PRU13 mampu menggugat sokongan mereka.

“Situasi ini banyak berlaku kepada pengundi atas pagar atau mereka yang mendapat ‘sesuatu’ apabila bersetuju beralih arah dengan mengundi Barisan Nasional (BN).

“Ini yang dibimbangkan berlaku di kawasan Chenor tetapi saya yakin, calon Pas mempunyai peluang lebih cerah pada PRU13 di sini berbanding PRU terdahulu,” katanya.

Mohd Baqi berkata, pihaknya sudah menyenaraikan nama calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Luit dan Chenor serta kini hanya menunggu keputusan pucuk tertinggi parti untuk menentukan calon yang sesuai untuk bertanding.

Menurutnya, calon muda dan anak tempatan menjadi keutamaan namun sebarang perubahan boleh berlaku bergantung kepada keputusan parti.

“Soal siapa calon bukan perkara yang perlu dirisaukan kerana Pas kawasan mempunyai ramai pemimpin berwibawa dan diyakini mampu menggalas tanggungjawab sekiranya diberi peluang.

“Apa yang penting adalah perjuangan parti maka saya percaya, ahli dan pengundi akan memberi sokongan penuh kepada calon yang dipilih kelak,” katanya.

Beliau berkata, beliau sendiri tidak lagi berminat untuk bertanding kerana faktor usia dan ingin memberi laluan kepada pemimpin muda memikul amanah perjuangan parti.

Menurutnya, Pas kawasan mempunyai kawasan penempatan tertentu yang merupakan kubu kuat mereka selain melaksanakan gerak gempur mengukuhkan sokongan di Felda.
PRU13: Pengundi Cina tersinggung, BN sukar
Wartawan Sinar Harian
26 Julai 2012
Prof Dr Teo Kok Seong
Prof Dr Teo Kok Seong
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) bakal menghadapi kesukaran untuk menang majoriti dua pertiga termasuk menawan negeri pantai barat berpunca daripada undi daripada kaum Cina dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahli Panel, Zainon Ahmad dari akhbar The Sun berkata, kesukaran ini berlaku akibat kelantangan pemimpin Umno dan BN yang menyatakan mereka boleh mendapat majoriti dua pertiga hanya berbekalkan undi Melayu selepas menang besar dalam pilihan raya umum 2004.

Menurutnya, ini membuatkan bangsa lain tersinggung dan mengubah landskap politik negara dalam pilihan raya umum 2008 apabila BN kehilangan empat negeri.

“Parti pemerintah harus memberikan perhatian mengenai perkara ini, jika tidak ada negeri yang akan kecundang seperti Negeri Sembilan, Johor dan gagal untuk merampas semula negeri ditawan pembangkang.

“Kegagalan ini juga berpunca daripada janji BN tidak ditunaikan, kerana leka dengan kemenangan diperoleh,” katanya dalam persidangan Meja Bulat anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) pusingan ketiga yang bertajuk ‘Dari PRU-12 ke PRU-13: BN lawan PR, Satu Penilaian’.

Sementara itu ahli panel terakhir, Prof Dr Teo Kok Seong berkata, masyarakat Cina sukar untuk menerima perkara berkaitan dengan perkauman ditimbulkan mana-mana pihak sama.

Katanya, bagi masyarakat itu, sistem pendidikan bahasa Cina amat dititik beratkan dan harus diberi keutamaan.

“Selama ini masyarakat beranggapan bahawa kaum Cina lebih mementingkan ekonomi daripada pelajaran dan ia tidak benar kerana bagi mereka sistem pendidikan Cina harus diberi keutamaan.

“Bagi mereka ekonomi adalah keperluan kedua, walaupun banyak pihak menyatakan kaum Cina lebih mementingkan ekonomi,” katanya.

Kok Seong berkata, perkara ketiga menjadi keutamaan kaum tersebut adalah isu berkaitan dengan perkauman.

Menurutnya, walaupun pelbagai sistem diperkenalkan oleh kerajaan yang memperuntukkan pembahagian kepada semua kaum, tetapi masyarakat Cina masih beranggapan ia tidak adil.

“Mereka beranggapan sistem yang diperkenalkan itu lebih menjurus kepada Umno kerana majoritinya bangsa Melayu yang menguasainya.

“Ini termasuk jawatan di dalam Kabinet, sistem pentadbiran negara atau apa jua jawatan yang diperkenalkan kerajaan,” katanya.
Najib: BN di landasan betul walaupun tidak guna label Islam

26 Julai 2012
Najib: Perjuangan BN di landasan betul walaupun tidak guna label Islam
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sumbangan jubah putih, air zam zam dan buah kurma kepada imam-imam masjid pada majlis berbuka puasa.
Najib: Perjuangan BN di landasan betul walaupun tidak guna label Islam
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor diraikan dengan acara memotong kek dan pulut kuning sempena hari lahir Perdana Menteri
IPOH - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perjuangan Barisan Nasional (BN) berada di landasan yang betul walaupun perikatan itu tidak menggunakan label Islam.

Perdana Menteri berkata segala program transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan BN untuk rakyat adalah berlandaskan 'maqasid syariah'.

"Apa yang kita lakukan adalah berpandukan kepada kehendak Islam seperti yang tertera dalam maqasid syariah. Maqasid syariah itulah panduan induk kita," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Kediaman Menteri Besar di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan pemimpin parti komponen BN.

Terdahulu, Najib dan isteri meluangkan masa mendengar tazkirah sebelum berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib. Beliau kemudiannya menunaikan solat sunat Tarawih.

Najib berkata kerajaan BN menunjukkan komitmen yang berterusan dalam menjaga kesucian Islam.

"Agama kita pegang, keamanan kita pegang. Ini adalah perjuangan kita bersama," katanya.

Beliau berkata Islam tidak menyempitkan agama dan yang menyempitkan agama adalah puak tertentu kerana politik dan tidak meletakkan Islam tertinggi dalam pertimbangan.

Perdana Menteri berkata apabila kepentingan politik melebihi kepentingan Islam, apa sahaja program yang dilaksanakan oleh kerajaan dilihat sebagai tidak betul.

Beliau berkata sebagai contoh, ada pihak yang cuba menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings walaupun tindakan yang dilakukan oleh kerajaan itu untuk kepentingan rakyat. - Bernama
Ismail Ibrahim: Hari keenam puasa
ISMAIL IBRAHIM
26 Julai 2012
Dr Ismail Ibrahim
Dr Ismail Ibrahim bekas Ketua Pengarah Ikim
KITA di Malaysia, hari ini memanglah hari keenam berpuasa bagi seluruh negara. Tetapi bagi umat Islam seluruh dunia, ada yang berpuasa hari ini sebagai hari keenam, ada yang berpuasa ketujuh dan ada pula yang berpuasa sebagai hari kelima, bergantung kepada bilakah mereka mula bepuasa.
Malah di negara jiran kita, negara yang mempunyai penduduk Islam yang paling ramai sekali di dalam dunia ini iaitu Indonesia, kabarnya terdapat dua kumpulan sekurang-kurangnya yang mula berpuasa pada tarikh yang berbeza iaitu ada yang mengikut keputusan kerajaan dan ada yang mengikut fatwa persatuan ulama mereka sendiri. Satu kumpulan di Indonesia berpuasa awal sehari dari satu kumpulan lain yang berpuasa esoknya sebagai hari pertama berpuasa, jadi nampaknya mereka akan menyambut hari raya pun mungkin pada hari-hari yang berbeza.
Di antara negara-negara Arab pun begitu juga, dan mengikut pengalaman saya, di Barat pun seperti di negara Inggeris pun umat Islam mula berpuasa pada hari yang berbeza-beza iaitu mengikut pandangan masing-masing, kadang-kadang mengikut negara asal mereka, mereka tengok bilakah negara asal mereka berpuasa, maka mereka akan menurutnya, atau ada juga yang nak mengikut sesebuah negara yang tertentu, umpamanya Arab Saudi, bilakah Saudi mula berpuasa, maka mereka akan mengikutnya walaupun mereka bukan rakyat Saudi.
Saya rasa hal ini telah lama menjadi topik perbincangan, dan didebatkan begitu lama, malah dirasakan amat mengelirukan, tetapi selama itulah juga isu ini tidak dapat diselesaikan.
Masing-masing pihak mempunyai hujah dan dalil untuk menyokong pendapat mereka. Kalau keadaan ini berterusan begini, maka saya rasa mungkin sampai hari kiamat pun keadaan ini akan berterusan begini.
Tetapi sekiranya terdapat kaedah yang tertentu untuk menetapkan awal puasa Ramadan, maka saya fikir hal ini mungkin tidak dapat menyelesaikan keadaan ini, yang bererti bahawa permulaan puasa sememangnya tidak mungkin bermula pada hari yang sama bagi seluruh dunia disebabkan perbezaan waktu. Arab Saudi umpamanya berbeza waktu dari negara kita selama lima jam iaitu mereka lambat lima jam dari jam kita. Di sesetengah tempat di Amerika Syarikat, perbezaan waktu ialah 24 jam, kita pukul lapan pagi, meereka lapan malam.
Oleh itu saya rasa keputusan sepakat di antara negara-negara Asean melalui MABIM bagi menentukan awal Ramadan dengan kaedah rukyah dan hisab, sekurang-kurangnya dapat sedikit menyelesaikan masalah antara negara-negara di rantau ini.
Pada masa yang lalu, orang Islam yang duduk di Patani umpamanya berpuasa lebih dulu dari umat Islam di Malaysia. Bila mereka berpuasa lebih dulu sehari, orang Islam di Malaysia bolehlah puasa kurang sehari iaitu sekiranya umat Islam Thailand beraya sehari lebih awal dari kita, maka umat Islam di Malaysia yang pergi ke sana, mungkin turut raya sama.
Bagaimanapun saya tidak pasti benar atau tidak, kabarnya negara Brunei Darussalam sejak beberapa tahun ini telah mengambil keputusan berasingan iaitu permulaan puasa di sana ditetapkan dengan rukyah sahaja, dan hal ini memungkinkan berlakunya perbezaan pemulaan puasa di antara negara kita dan Brunei.
Menyedaari akan hal itu, maka saya rasa semua umat Islam di Malaysia merasa lega juga kerana kita bersatu dalam memulakan pegang puasa (istilah orang utara bagi hari pertama puasa: pegang puasa!) dan yang kita lebih bersyukur lagi sungguh pun parti-parti politik Melayu berpecah dan sentiasa mempolitikkan banyak perkara, dan parti-parti politik Melayu itu berada dalam dua pihak BN dan PR, tetapi dalam isu permulaan puasa ini mereka bersatu, solid, tanpa khilaf. Kalau ditakdirkan mereka berpolitik sama seperti mempolitikkan isu air di Selangor umpamanya, beratlah kita.
Orang Kedah, Kelantan, Selangor, dan  Pulau Pinang mungkin akan mula puasa berbeza dari negeri-negeri lain seperti Perak, Terengganu, Johor, Malaka, Pahang, Perlis, Sabah dan Sarawak, atau ada pula oang Islam yang tak mau ikut kedua puak yang bertelagah ini, mereka akan buat keputusan sendiri (!) dan akan mula puasa berbeza lagi, jadi kita ada tiga puak yang mempunyai fatwa sendiri. Kalau jadi macam tu, orang macam saya tak pe kerana hari raya saya balik Kedah atau Pulau Pinang atau Kelantan, tiga buah negeri ini sekurang-kurangnya akan raya sama hari, tetapi mungkin susahlah sikit kalau saya nak pergi raya rumah keluarga saya di Perak, atau Johor, apa nak buat?
Tetapi saya tidak fikir umat Islam di Malaysia sampai begitu dangkal sikapnya,  taksub atau sentimen sekali, kalau dah jadi begitu alamatnya kita pun akan jadi umat yang rendah akal fikirannya, dan terlalu beku pandangannya, maka kita berbanggalah kerana umat Islam di Malaysia nampaknya amat tamadun, berhikmah dan berilmu, serta berakal budi, dalam hal lain mereka berpolitik habis, tetapi dalam isu mula puasa dan bila nak raya, mereka belum lagi berkelahi...alhamdulillah.
Cuma mungkin kita nak bertanya juga, kalau sampai Hari Raya ini isu air di Selangor tak selesai, macam mana kita nak mandi sunat hari raya, takut tangki semua kering, bagaimana?
Bulan puasa ni cepat berlalu. Pejam celik, pejam celik, tiba-tiba datanglah Hari Raya...! Kalau tangki kering, siapa yang salah?
Ahli politik, Tan Sri antara beli ijazah palsu
HASNIZA HUSSAIN
26 Julai 2012
Ahli politik, Tan Sri antara beli ijazah palsu
Tun Hisan Tun Hamzah (dua kiri) menunjukkan gambar cop rasmi Universiti, semasa sidang media Pemalsuan Ijazah, di IPK Selangor di Shah Alam, hari ini. – Foto Bernama
SHAH ALAM - Kejayaan polis menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu bernilai lebih RM5 juta, kononnya daripada lima universiti luar negara, turut mendedahkan pembelinya terdiri daripada kalangan ahli politik dan individu bergelar Tan Sri.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, siasatan awal mendapati 525 orang 'graduan' tempatan serta asing dikesan terlibat membeli sijil palsu sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, identiti semua 'graduan segera' yang terlibat, termasuk ahli politik dan individu bergelar Tan Sri, sedang dikenal pasti.

"Berdasarkan risikan serta gambar-gambar yang dirampas, kita kenal pasti ada individu-individu berstatus yang terlibat.

"Apabila maklumat sudah mencukupi, kita akan panggil mereka bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK), Selangor, hari ini.

Menurutnya, sepasang suami isteri yang merupakan dalang sindiket menjual sijil palsu terbabit ditahan pihaknya semalam.

Katanya, suspek lelaki yang juga pengarah syarikat berusia 37 tahun, ditahan di Cheras, manakala isterinya, seorang pensyarah berusia 36 tahun, ditahan di pejabat mereka di USJ 10, Subang Jaya.

"Kedua-dua mereka direman empat hari sehingga esok mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Tun Hisan berkata, dalam serbuan di pejabat suspek, pihaknya merampas senarai-senarai penerima sijil, dokumen-dokumen permohonan, sijil ijazah palsu, gambar konvokesyen, kad pelajar serta pelbagai risalah.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek menjalankan operasi terbabit sejak 2003 dan mendapat pelanggan melalui ejen tertentu yang dihantar untuk mencari pembeli termasuk secara online.

Katanya, suspek menawarkan sijil palsu dengan harga RM6,500 bagi ijazah, RM8,500 (sarjana) dan RM10,500 (doktor falsafah) dalam pelbagai jurusan yang kononnya diiktiraf oleh lima universiti luar negara, antaranya University of Rockhampton, Harvey International University, Cannington Brook University dan Charles Molnar University.

"Bagaimanapun tidak semua universiti terbabit wujud dan setakat ini suspek dikenal pasti mengaut keuntungan melebihi RM5 juta hasil kegiatan berkenaan. Pembeli sijil juga maklum sijil diterima adalah palsu.

"Pelanggan juga hanya perlu membayar wang mengikut sijil yang dikehendaki dan mereka tidak perlu belajar, mengambil ujian atau menghantar kertas kerja," katanya.

Tun Hisan berkata, setelah jumlah pelanggan yang didaftarkan mencukupi, satu majlis konvokesyen akan diadakan di mana-mana hotel terkemuka di Lembah Klang, kononnya untuk mengiktiraf penerima ijazah atau 'graduan' terbabit.

Menurutnya, majlis itu dijalankan sama seperti majlis konvokesyen yang diiktiraf dan penerima ijazah palsu turut memakai pakaian konvokesyen selain ahli keluarga dijemput hadir. Katanya, bayaran lain turut dikenakan bagi sesi konvokesyen itu.

Tiada ulasan: