Khamis, 26 Julai 2012

PENGUMUMAN BIAR UNTUNGKAN RAKYAT...RAKYAT GEMBIRA...JIKA UNTUNGKAN KRONI...MAKA RAKYAT KECEWA...KECEWAAN ITU AKAN BERI KESAN PADA KEPUTUSAN PRU 13



Cabaran dasar ‘pengurangan harga kenderaan’

Mohd Ikhmal Mohd Iskandar, 26 Jul 2012
Sebagai rakyat Malaysia, janji politik yang dilontarkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli untuk mengurangkan harga kenderaan ternyata menggamit hati dan perasaan. Jika ini berjaya dilaksanakan, rakyat Malaysia akan merasai kesan positif dengan mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan.

Sebagai contoh, buat masa ini untuk kereta 1.3 cc rakyat perlu membayar RM500 untuk 9 tahun pinjaman. Dengan kadar gaji asas lepasan diploma sebanyak RM1,500.00, kadar RM500 itu menjangkau 1/3 daripada gaji asas mereka. Ditambah pula dengan syarat yang diperketatkan oleh Bank Negara, graduan yang baru bekerja terpaksa gigit jari untuk memiliki kereta baru.

Malah kenyataan daripada Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman, bagi tahun 2009 sahaja, seramai 542 orang atau hampir 50 peratus daripada 1,086 penjawat awam yang diisytiharkan muflis pinjaman sewa beli kenderaan. Ujarnya lagi, trend itu meningkat hingga 200 peratus pada 2010. Melihat kepada trend ini ia satu yang sangat membimbangkan.

Justeru itu, tindakan Pakatan Rakyat untuk mengurangkan harga kenderaan adalah perkara yang amat dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun di sebalik cadangan tersebut, Pakatan Rakyat  (selaku government in waiting) perlu melihat beberapa perkara sebelum ia mampu direalisasikan.

1.     Menangani kebanjiran kenderaan di jalan raya

Apakah pelan jangka panjang Pakatan Rakyat dalam menangani kebanjiran kenderaan di jalan raya? Mengikut kaji selidik sebuah badan bebas tempatan, penjualan kenderaan persendirian akan mengalami peningkatan hampir 50% dalam masa 3 tahun jika Dasar Pengurangan Harga Kenderaan direalisasikan.  Dengan jumlah kenderaan sedia ada yang menjangkau sebanyak 9,721,447 bagi tahun 2011, adakah jalan raya kita sudah bersedia untuk menampung pertambahan sebanyak 50% kenderaan lagi dalam masa 3 tahun akan datang?

2.     Tempias kepada pengangkutan awam

Di samping itu juga dengan keupayaan memiliki kenderaan persendirian dipertingkatkan, keinginan rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam pasti akan menurun. Berdasarkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, hanya 20 peratus penduduk Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam. Jika dasar ini direalisasikan nanti, sedikit sebanyak pengangkutan awam akan menerima tempiasnya. Oleh itu apakah mekanisme yang Pakatan Rakyat bakal gunakan bagi menggalakkan rakyat kekal menggunakan pengangkutan awam walaupun dalam keadaan kenderaan persendirian mengalami penurunan harga?

3.     Survival Proton dalam mendepani pasaran antarabangsa

Jika Pakatan Rakyat dapat memerintah Malaysia pada pasca PRU ke 13, dasar kereta nasional pasti akan diteruskan dengan mekanisme yang pasti berbeza. Walaubagaimanpun, Proton selaku Tunjang Belakang Automotif Negara pasti merasai tempiasnya. Justeru itu, bagi memastikan kesannya dalam kadar yang minima, Proton perlu dilihat sebagai peneraju gergasi automatif negara apabila dasar 'Pengurangan Harga Kenderaan' direalisasikan. Apa yang malang, jika Proton gagal mengharunginya dan terus tenggelam dalam Dunia Automatif Negara. Oleh itu Pakatan Rakyat perlu bersedia bagi memastikan Proton kekal berdaya saing dan rakyat mendapat nikmatnya.

Sebagai kesimpulan Dasar Pengurangan Harga Kenderaan ternyata kena pada masanya di kala rakyat dibebani kos sara hidup yang tinggi. Walau bagaimanapun, ia perlu menjalani kajian yang mendalam bagi memastikan kelestarian negara sentiasa berterusan. Di samping beban rakyat dapat dikurangkan, negara juga turut mendapat tempiasnya, malah alam sekitar juga sentiasa terpelihara.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------
Penulis berkelulusan BBA (Hons) Transport , DBS (Transport) UiTM
Bekas Pembantu Penyelidik Malaysia Institute of Transport (MITRANS)
Penyelidik untuk kajian pengangkutan awam dan bas henti-henti kerajaan negeri Terengganu


Alumni Maahad sumbang untuk Lebuh Raya Rakyat

Rizal Tahir, 26 Jul 2012
KOTA BHARU: Lagi sumbangan untuk pembinaan Lebuh Raya Rakyat diterima oleh kerajaan negeri, kali ini dari alumni Sekolah Maahad Muhammadi Lelaki sesi 1991-1996 (Ex-MML 9196).

Sumbangan sebanyak RM1,300 disampaikan oleh penasihat persatuan itu, Mohd Ami Zul Fazli kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di pejabat menteri besar semalam.

Turut hadir bersama, wakil persatuan pelajar itu pelajar Wan Abdul Hafiz, Abdul Rashid Yah dan Mohd Shahruddin.

Ami Zul ketika ditemui memberitahu sumbangan berkenaan diberikan oleh ahli-ahli Ex-MML di Kuala Lumpur.

“Kami menyediakan tabung khas bagi membolehkan ahli-ahli kami menunaikan tanggungjawab mereka untuk menderma,”ujarnya.

Katanya, Ex-MML merasakan tanggungjawabnya untuk turut menyumbang pembinaan lebuh raya itu sebagaimana orang lain.

“Kami berdoa, khususnya pada bulan Ramadan ini, kerajaan negeri dapat menyiapkan lebuhraya yang memang diimpikan oleh anak Kelantan di perantauan mengikut jadual yang ditetapkan,”ujarnya.

85 peratus orang kita berpuasa, tapi tak solat

http://mohdtaufek.blogspot.com/, 26 Jul 2012
Marilah kita sama-sama ingat mengingati mereka yang alpa untuk kebaikan kita bersama.

***********
Puasa Tapi Tak Solat
Amalan puasa orang yang tidak solat, rosak dan tidak diterima Allah kerana ibadah lain hanya akan dilihat Allah selepas ibadah solat.
Pakar motivasi, Halim Din, berkata 80 hingga 85 peratus mereka yang berpuasa tidak menunaikan solat kerana berasakan kewajipan lima kali sehari itu payah untuk dilaksanakan.
Sedangkan katanya, nilai ketinggian seorang hamba di sisi Allah dinilai daripada kesempurnaan solat mereka.
Untuk melihat ibadah lain, Allah akan lihat solat dulu. Jika tidak solat, ibadah lain Allah tidak akan lihat. Malangnya, umat hari ini beriya-iya berpuasa, tetapi tidak solat. Mereka hanya dapat lapar dan dahaga saja, katanya pada majlis Ihya Ramadan di surau The New Straits Times Press (NSTP).

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Puasatetapitidaksolat/Article/artikel


Bekas MD Ho Hup lapor polis, gesa AG disiasat

  • Hafiz Yatim
  • 11:50AM Jul 26 2012
Bekas pengarah urusan Ho Hup Bhd, Datuk Low Tuck Choy membuat laporan polis yang mempersoalkan mengapa siasatan atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan kemungkinan rasuah masih belum dimulakan ke atas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Low mendakwa bahawa invois Ho Hup yang tertera nama Abdul Gani seperti yang dimuatkan di dalam satu blog pada tahun lalu merupakan dokumen asli.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan timbalan menteri Datuk Liew Vui Kong di parlimen pada bulan lalu bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan sama ada akan memulakan siasatan.

Invoise berkenaan menyatakan bahawa sejumlah RM18,000 dibayar oleh Ho Hup selepas kerja-kerja elektrikal dijalankan ke atas satu banglo di Seremban.

Low, 54, dalam laporan polis bertarikh 20 Julai yang dilihat Malaysiakini, mendakwa belum ada pihak yang mengambil kenyataannya selepas laporan yang dibuatnya berhubung hal ehwal syarikat berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dua tahun lalu.

Low juga berkata beliau turut membuat aduan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga dua tahun lalu.

Beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat Abdul Gani “tanpa gentar atau pilih kasih".

“Saya merujuk kepada kenyataan Liew di parlimen pada 26 Jun, di mana beliau menyatakan bahawa SPRM masih sedang menimbangkan kemungkinan untuk menyiasat dakwaan bahawa Abdul Gani telah menerima rasuah daripada satu firma pembinaan.

“Saya percaya firma pembinaan yang dirujuk oleh Liew itu ialah Ho Hup. Berdasarkan kenyataan Liew, saya berpandangan bahawa SPRM sebenarnya masih belum memulakan siasatan ke atas Abdul Gani tetap hanya mempertimbangkan untuk berbuat demikian.

"Pemahaman saya ialah, SPRM masih belum membuka fail siasatan ke atas Abdul Gani," kata Low dalam laporan polisnya.

TPM umum keputusan dalam masa terdekat isu air S'gor

  • Bernama
  • 6:34AM Jul 26 2012
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengeluarkan kenyataan penting dan muktamad kerajaan persekutuan berhubung isu air Selangor yang menurutnya semakin meruncing ketika ini, dalam masa terdekat.
  
NONEBeliau berkata sebarang keputusan yang akan diambil kerajaan berhubung isu itu tentunya mengambil kira kepentingan dan keperluan rakyat Selangor dengan memastikan bekalan air di negeri itu mencukupi bagi jangka masa panjang.

"Peguam Negara (AG) masih bermesyuarat dan akan melaporkan kepada Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Khas Mengenai Isu-isu Air Selangor.
  
"Buat masa sekarang kita masih kumpulkan semua maklumat berkaitan isu ini termasuk saranan-saranan daripada semua pihak termasuk pihak negeri, pengguna (rakyat Selangor) dan pihak syarikat berkenaan.

"Selepas itu Timbalan Perdana Menteri akan keluarkan satu kenyataan dalam masa satu dua hari," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2012 sempena sambutan Hari Kemerdekaaan ke-55 peringkat kementerian, di Putrajaya semalam.

Dalam pada itu, Chin menafikan dakwaan kerajaan pakatan pembangkang Selangor kononnya keputusan kerajaan persekutuan untuk meneruskan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) akan membebankan rakyat negeri itu.
  
"Kita akan lakukan yang terbaik untuk rakyat. Kenapa kita lakukan semua ini? Untuk rakyat...jadi macamana pula rakyat menderita apabila kita melakukan yang betul untuk rakyat...Apa yang kita lakukan adalah supaya bekalan air mencukupi," katanya.
  
Mengenai cadangan kerajaan Selangor yang ingin mengadakan referendum di mana rakyat negeri itu boleh membuat keputusan untuk menyelesaikan masalah bekalan air, beliau berkata:
  
"Saya tidak fikir yang mereka boleh menyelesaikan masalah ini dengan referendum. Apa yang diperlukan ialah loji...jadi kita sudah ambil pendirian untuk menawarkan tendernya supaya loji itu akan dibina," katanya.

Isnin lepas, Jawatankuasa Kabinet Khas Mengenai Isu-isu Air Selangor yang dipengerusikan Muhyiddin memutuskan bahawa projek Langat 2 akan diteruskan dan tawaran akan dibuka dalam tempoh sebulan akan datang.
  
Muhyiddin juga menegaskan bahawa kerajaan pusat akan memastikan projek pembinaan Langat 2 ditawarkan kepada syarikat yang berupaya dan berharap ia boleh bermula pada tahun ini.
  
Selain itu, jawatankuasa yang bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali itu juga menolak cadangan kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Sebaliknya kerajaan Selangor pula bertegas tetap mahu mengambil alih pengurusan air daripada SYABAS yang menurutnya gagal memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna.
  
Chin juga berkata jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat dalam dua minggu lagi dan wakil kerajaan Selangor mungkin akan dijemput sekiranya diperlukan.

- Bernama
Kes Sosilawati: Dua hakim mahkamah rayuan tarik diri

  • Bernama
  • 8:23AM Jul 26 2012
Dua daripada tiga anggota panel Mahkamah Rayuan menarik diri daripada mendengar permohonan empat orang yang dituduh membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, agar perbicaraan yang mereka hadapi ditangguh sementara menunggu keputusan permohonan mereka untuk memanggil tiga timbalan pendakwa raya sebagai saksi, diketahui.
  
Hakim Datuk Ramly Ali, yang mempengerusikan panel itu, dan Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali menarik diri selepas peguam bela utama Manjeet Singh Dhillion memohon mereka berbuat demikian.
  
Manjeet berkata Hakim Ramly dan Hakim Mohamed Apandi sebelum ini mendengar permohonan rayuan oleh pekerja ladang U. Suresh dan K. Sarawanan, yang sedang menjalani hukuman 20 tahun penjara di Penjara Sungai Udang, Melaka kerana kesalahan menghapuskan bukti berkaitan pembunuhan itu.

Pihak pendakwaan memohon memanggil Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berkenaan sebagai saksi kerana mereka terlibat dalam perbicaraan di Mahkamah Majistret Telok Datok di mana Suresh dan Sarawanan menghadapi tuduhan dan tindakan mereka mengemukakan dokumen untuk menimbulkan keraguan terhadap keterangan Suresh dan Sarawanan.
  
Bagaimanapun, pendengaran permohonan untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan perintah yang dikemukakan tertuduh N. Pathmanabhan, seorang bekas peguam dan tiga pekerja ladang T. Thilaiyalagan, R. Matan and R.Kathavarayan tidak dapat diteruskan hari ini.

Mahkamah Rayuan menetapkan esok untuk mendengar permohonan mereka.
  
Hakim Ramly berkata: "Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, kami rasa kami perlu menarik diri. Ini bukan isu berkaitan berat sebelah.
  
"Sekiranya berasa tidak selesa, maka kita kena tarik diri. Keadilan perlu dilihat ditegakkan," kata Hakim Mohamed Apandi.
  
Hakim Datuk Zaharah, seorang lagi hakim yang menganggotai panel itu, pula berkata kesemua mereka (Ramly, Mohamed Apandi dan Zaharah) ditarik keluar daripada menganggotai panel Mahkamah Rayuan untuk mendengar permohonan penangguhan itu.
  
Terdahulu, Manjeet berkata Hakim Ramly dan Hakim Mohamed Apandi terlibat dalam perkara yang bertindih dengan isu yang terkandung dalam rayuan yang dikemukakan.
  
Bagaimanapun, dalam hujahnya, Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup, yang bertindak bagi pihak pendakwaan, berkata dua hakim berkenaan tidak perlu menarik diri kerana perkara yang mereka hakimi adalah berkaitan penangguhan pelaksanaan perintah, bukan rayuan utama.
  
Pada 23 Julai tahun ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan keempat-empat tertuduh itu untuk memanggil TPR Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani supaya hadir sebagai saksi dalam cubaan mengenepikan dua bahan bukti dalam perbicaraan kes bunuhvberkenaan.
  
Mereka mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.
  
Sementara itu, keempat-empat tertuduh berkenaan juga memohon Mahkamah  Rayuan menangguhkan perbicaraan kes mereka sementara menunggu hasil rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka memanggil tiga TPR itu selepas permohonan mereka mendapatkan penangguhan ditolak Mahkamah Tinggi.
  
Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, diperintah membela diri terhadap tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
  
Mereka dituduh melakukan pembunuhan itu di Ladang Gadong, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

- Bernama

Tiada ulasan: