Khamis, 19 Julai 2012

WALAUPUN APA PENDAPAT SERTA PANDANGAN KITA TENTANG KEBANGKITAN DIMANA2 SEKARANG NI..SAMADA BAIK ATAU BURUK SEKALI PUN..HAKIKATNYA TAKDIR YANG TELAH DITENTUKAN OLEH ALLAH SWT...ADA HIKMAHNYA...SAMADA MENGHUKUM ATAU APA PUN HANYA ALLAH YANG MENGETAHUINYA...

Batal saman: Mahkamah tolak permohonan Papagomo

Aslani M, 19 Jul 2012
KOTA BHARU: Blogger mesra Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang dikaitkan dengan blog Papagomo hari ini gagal membatalkan tuntutan saman seorang peguam terkenal, Datuk Sukri Mohamed terhadapnya.

Mahkamah Tinggi di sini menolak dengan kos saman dalam kamar ke atas beliau atas alasan teknikal perundangan.

Sukri bekas anggota parlimen Machang, sebelum ini pernah menggemparkan negara berkahwin dengan seorang artis, menuntut gantirugi sebanyak RM10 juta ekoran berita fitnah yang disiarkan blog milik defendan.

Dalam tuntutan samannya, Sukri mendakwa defendan bertanggungjawab menulis dan menyebabkan tersiarnya sebuah artikel di dalam ruangan blog; http://www.papagomo.com bertajuk “ratusan ribu wang rakyat lesap disamun penasihat Sultan Kelantan” pada 4 Mei 2011.

Artikel tersebut disifatkan secara jelas menyebut secara langsung berita tidak benar dan tidak berasas yang dikaitkan dengan plaintif.

Katanya, defendan menulis dan menyebarkan berita yang tidak benar mengenai plaintif yang didakwa menyalahgunakan wang rakyat dengan menggunakan kedudukan sebagai Penasihat Sultan.

Mahkamah juga menolak dengan kos saman dalam kamar blogger terbabit untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas alasan sekarang defendan menetap di sana.

Kes didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim. Sukri diwakili peguam Hisham Fauzi dan Rusilawati Zakaria, manakala Wan Muhammad Azeri diwakili Shahrul Aswad Ismail.

“Selaras dengan itu mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan ikatan dokumen untuk perbicaraan dan pengurusan kes pra-bicara pada 5 September hadapan,” kata Hisham.

Kebangkitan Islam, dunia Arab akan terus berlaku

Nazri Abdullah, 19 Jul 2012


(Gambar: Abdelilah Benkirane mengucapkan terima kasih kepada Tuan Guru Abdul Hadi kerana bersama dengan kemenangan PJD.)

RABAT: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berada di Maghribi pada Jumaat dan Sabtu lalu bagi menghadiri Muktamar kali ke-7 Parti Islam Pembangunan dan Keadilan (PJD).

Kehadiran Presiden PAS itu adalah atas jemputan rasmi Perdana Menteri Maghribi Abdelilah Benkirane yang juga ketua parti PJD.

Muktamar yang diadakan di Kompleks Moulay Abdellah itu turut dihadiri 2,000 perwakilan dan puluhan pemerhati dari negara luar khususnya pemimpin negara Arab dan pemimpin gerakan Islam seluruh dunia.

Muktamar kali ini adalah yang pertama diadakan selepas PJD memenangi pilihan raya parlimen yang diadakan November tahun lalu.

Ianya sekaligus menjadi medan meraikan kemenangan parti itu oleh seluruh pemimpin dan ahli PJD.

Turut hadir dan diberi penghormatan berucap pada majlis itu adalah pemimpin Hamas, Khaled Meshaal.

Pemimpin gerakan Islam yang hadir juga turut mengambil kesempatan mengadakan pertemuan bagi membincangkan hala tuju negara-negara yang kini dimenangi parti Islam dan juga krisis Asia Barat.

Tuan Guru Abdul Hadi juga turut mengadakan pertemuan secara tidak langsung dengan Abdelilah Benkirane sekaligus menyampaikan ucapan tahniah PAS kepada parti PJD pimpinannya itu yang telah memenangi pilihan raya tahun lalu.

Abdelilah Benkirane dalam ucapannya sebelum itu berkata kebangkitan Islam yang berlaku merupakan sesuatu di luar jangkaan dan diyakini akan terus berlaku di negara-negara lain.

"Apa yang berlaku kepada dunia Arab dan umat Islam sekarang ini adalah sukar untuk dipercayai dan ianya akan terus berlaku di tempat lain," katanya dalam ucapan pembukaan Muktamar.



Tuan Guru Abdul Hadi bersama pemimpin Hamas, Khaled Meshaal.




Tuan Guru Abdul Hadi ditemubual wakil media Maghribi.

Projek lereng bukit 'bangkai dinosaur' Umno BN

Harakahdaily, 19 Jul 2012
GEORGE TOWN: Rekod Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mendedahkan, kesemua 37 projek di kawasan lereng bukit berketinggian melebihi 250 kaki dekat Bukit Bendera diluluskan semasa Umno Barisan Nasional menguasai Kerajaan Negeri Pulau Pinang.


Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Pemuda PAS Pulau Pinang, Dzulfahmi Abu Bakar berkata, 19 kelulusan yang diberikan selepas Mac 2008 oleh MPPP adalah projek khas yang telahpun diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang era Barisan Nasional sebelum Mac 2008 berdasarkan garis panduan geo-teknikal biasa majlis

“Bagi saya, sepatutnya, pemimpin Umno dan Barisan Nasional dari awal lagi tidak meluluskan kesemua projek misteri itu,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Ini katanya kerana kesemua projek itu membahayakan keselamatan rakyat setempat serta memusnahkan keindahan alam sekitar di negeri ini.

Menurutnya, Umno dan Barisan Nasional menutup semua itu untuk kelemahan mereka.

Beliau berkata, pemimpin Umno dan Barisan Nasional tertentu itu seakan cuma menjadikan MPPP sebagai kambing hitam sebab mereka tahu majlis hanya memperbaharui kelulusan operasi pelan projek sahaja.

Katanya, pemimpin Umno dan Barisan Nasional berbuat demikian kerana mereka tahu Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mungkin akan membatalkan projek-projek lereng bukit itu sungguhpun pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng sebelum ini mengaku sangat simpati dengan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

“Jika pemimpin Pakatan Rakyat mahu membatalkan serta-merta semua projek ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memerlukan pampasan beratus juta ringgit hatta berbilion ringgit yang mungkin memufliskan negeri bagi menghadapi risiko saman oleh pemaju-pemaju berwajib,” ujarnya lagi.

Justeru, katanya Umno dan Barisan Nasional menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang era Pakatan Rakyat di kampung-kampung sekarang ini untuk menutup 'bangkai dinosaur' yang dilakukan oleh Barisan Nasional semasa menguasai kerajaan negeri dulu.

Kalau Najib jujur, sudah lama hidup kita makmur

Roketkini.com, 19 Jul 2012
Kekecewaan rakyat kepada Barisan Nasional ditunjukkan pada pilihan raya umum 2008 yang lalu. Namun adakah kekecewaan rakyat ini sudah terubat apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi sudah tidak lagi menjadi Perdana Menteri manakala Datuk Seri Najib Razak pula mengambil alih dengan memukul canang transformasi?
Jawapannya mungkin perlu ditunggu pada keputusan PRU ke-13 kelak. Tetapi, dalam tempoh 3 tahun Najib mengambil alih pemerintahan di Putrajaya, kita boleh melihat dan menilai sejauh mana iltizam politik beliau telah dterjemahkan dengan jujur.


Politik populis Najib

Najib kini menjemput rakyat memberi pandangan dan saranan dalam merangka belanjawan negara tahun 2013 yang akan dibentangkan kelak.

Kerja menjemput rakyat agar memberi saranan tersebut pastilah dengan niat mahu menonjolkan imej BN dan Najib yang kononnya prihatin dan mengutamakan rakyat, ini jelas dapat dilihat.

Jika BN mengatakan bahawa dasar dan rancangan di dalam Buku Jingga – tawaran Pakatan Rakyat untuk rakyat Malaysia – adalah mengarut dan hanya bersifat populis, sekarang bagaimana pula dengan tindakan Najib ini? Bukankah ini juga ingin meraih populariti semata-mata?

Hakikatnya, kaedah ini dilaksanakan dalam suasana menjelang pilihan raya. Soalnya, mengapa tahun-tahun sebelum ini, tidak dilaksanakan kaedah ini? Nampak sangat nak populariti.

Dan sebagai perbandingan, Buku Jingga dilancarkan selepas PRU 2008. Dari aspek ini sahaja sudah jelas menunjukkan keikhlasan PR dalam membentuk dasar yang baik buat rakyat Malaysia.

PR tidak menunggu waktu pilihan raya untuk menawarkan dasar yang lebih baik kepada rakyat Malaysia. Sebaik saja Pakatan Rakyat Berjaya dibentuk, terus sahaja Buku Jingga dilancarkan, tanpa rasa takut dan bimbang ia akan dikritik, dikeji dan difitnah oleh BN.


Kalau Najib jujur, tunaikan saja tuntutan rakyat

Jika benarlah Najib mahu mendengar saranan rakyat, laksanakanlah 8 tuntutan Bersih, laksanakanlah reformasi perkhidmatan polis, tutuplah kem tahanan tanpa bicara ISA di Kamunting serta bebaskan tahanan atau bicarakan mereka di mahkamah terbuka, hapuskan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak untuk bebaskan media, tutup loji Lynas di Pahang dan mansuhkan tol yang membebankan rakyat.

Jika janji-janji ini pun tidak mampu dilaksanakan, adakah rakyat masih ingin menaruh harapan bahawa segala saranan mereka dalam belanjawan 2013 ini nanti sanggup dilaksanakan oleh Najib dan BN?

Jangan sekadar jual tiket perlawanan bolasepak dengan harga RM10 atau buka kedai kain 1Malaysia atau bagi baucar tayar teksi. Itu semua bunyinya seperti rasuah atau gula-gula politik, menghina akal rakyat Malaysia.

Ahli-ahli UMNO pun jadi mangsa pemimpin sendiri

Pemimpin BN, khususnya UMNO mungkin memang mudah lupa atau buat-buat lupa, tetapi ahli-ahli UMNO yang lain tidaklah seperti pemimpin elit mereka. Ramai ahli UMNO yang ikhlas dalam perjuangan pasti dapat menilai kejujuran BN dan Najib dalam mengotakan janji-janji mereka.

Mereka juga sedar bahawa salah guna kuasa dan rasuah pemimpin atasan turut memberi kesan kepada ekonomi keluarga. Mangsa kerakusan para pemimpin UMNO dan BN bukan hanya di kalangan penyokong Pakatan tetapi juga semua rakyat Malaysia termasuk ahli UMNO.


Penuhi saja tuntutan rakyat, barulah boleh kata “janji ditepati”

Berbalik kepada tuntutan rakyat, belanjawan 2013 perlu:

* Menghapuskan sama sekali amalan pemberian permit teksi kepada syarikat kroni, sebaliknya diberi terus kepada setiap pemandu teksi yang layak;

* Menurunkan harga minyak RON 95 (yang digunakan oleh semua rakyat Malaysia) kepada RM1, yang akan membolehkan Najib melancarkan kempen minyak petrol RM1 Malaysia (atau lebih baik lagi, tambah subsidi yang lebih adil kerana minyak adalah keperluan semua rakyat);

* Menutup kem Kamunting dan menghentikan dana operasi kem tersebut yang menjadi peringatan kepada kita semua tentang salah guna kuasa kerajaan BN dan Perikatan sebelumnya; dan

* Menghapuskan Akta Hasutan tanpa perlu apa-apa undang-undang menggantikannya. Jika Akta Keharmonian Nasional mahu menggantikannya, konon untuk membenarkan rakyat mengkritik kerajaan, perlukah ada undang-undang Akta Berjalan Kaki untuk rakyat berjalan kaki ke mana sahaja atau Akta Duduk di Rumah bagi rakyat mendiami rumah sendiri?

Tetapi kita tahu, Najib tidak akan mampu menunaikan semua permintaan tersebut kerana jika dia tunaikan, pastilah UMNO dan dirinya akan tersungkur dalam pilihan raya yang akan datang kerana sumber kewangan kroninya akan hilang.

Tapi jika berlaku sesuatu yang ajaib, yakni Najib berani memenuhi semua tuntutan rakyat, maka walau pun UMNO bakal jatuh tergolek, Najib akan dikenang buat selama-lamanya sebagai pemimpin yang berani menegakkan kebenaran walau pun terpaksa berkorban.

Namun semua itu hanyalah mimpi ngeri di siang hari.

Warga asing bantu Najib menang jadi anak emas?

Basiron Abdul Wahab, 19 Jul 2012
BANDAR JENGKA: Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Md Saad (gambar) mendakwa warga asing yang diimport ke Pahang kerana politik dilayan seperti anak emas dan diberi penempatan khas.
Suhaimi memberi contoh bagaimana pendatang asing yang dibawa dari luar telah diberi penempatan di Sungai Miang, Pekan selepas tahun 1999 apabila  Najib rzak hampir tewas kepada PAS.

“Mereka itu kononnya dibawa dari Kedah tetapi kami mengesyaki mereka adalah rakyat asing kerana tidak mempunyai nombor surat beranak sebagaimana rakyat Malaysia lain,” kata beliau.

Menurut beliau, mereka menduduki rumah panjang Sungai Miang secara terancang di atas tanah yang statusnya tidak dipastikan.

Katanya, kehadiran mereka pastinya didalangi pihak tertentu dan pihak PAS membuat pendedahan pada 2003.

“Kini pada 2012 penduduk Sungai Miang itu tidak lagi menduduki rumah panjang sebaliknya telah membina banglo,” ujarnya.

Ini, katanya berbeza dengan penduduk Matau, Jengka yang menduduki kawasan itu sejak tahun 1969 dan status tanah mereka pernah mendapat Lesen Pendudukan Sementara (LTS) selama lebih 10 tahun.

Penduduk Matau kesemuanya rakyat Malaysia dan mereka adalah peduduk awal Bandar Jengka lama sebelum kewujudan Majlis Daerah Maran (MDM) yang memiliki tanah tersebut.

Sumbangan Ramadhan ubat rindu pada arwah ayah

Khairil Abdul Rahim, 19 Jul 2012
TEMERLOH: Seramai 220 orang miskin, anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU) dari 22 kampung dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau dekat sini, mampu menguntum senyum menyambut Ramadhan ini.
Semalam, Dun dalam Parlimen Kuala Krau itu menjadi Dun pertama di negeri ini menyalurkan sumbangan Ramadhan melalui Majlis Sumbangan Kepada Warga Miskin, OKU dan Anak Yatim Dalam Dun Kerdau.

Dalam majlis berkenaan sebanyak RM15,000 sumbangan dalam bentuk barangan dan wang tunai disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat Ustaz Kamal Ashaari dan Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Shahril Azman Abdul Halim.

Kamal Ashaari ialah Penyelaras Dun Kerdau sementara Shahril Azman merupakan Ketua Pemuda PAS Kuala Krau.

Sementara itu, Pengarah Dun Kerdau Ahmad Mat Yaman berkata majlis seumpama itu sudah menjadi acara tahunan dan menjelang hari raya serta selepas raya tahun ini akan diadakan lagi majlis sumbangan bagi meraikan mereka yang kurang bernasib baik.

“Yang menariknya, daripada 61 keluarga yang menerima bantuan hari ini hanya empat sahaja merupakan ahli PAS sementara yang lain bukan. Ini bermakna, orang PAS sudah tidak ramai lagi yang memerlukan bantuan,” ujarnya.

Dalam pada itu tiga orang anak-anak yatim bekas pengedar akhbar Harakah yang meninggal pada bulan puasa tahun lalu, menganggap sumbangan yang diberi PAS Kerdau dapat mengubati rindu mereka kepada arwah ayah mereka.

“Dengan sumbangan ini dapatlah kami tiga beradik tersenyum setelah kehilangan ayah tercinta,” kata Zul Muhammad Shakir,12.

Zulhazmi Nuwawi terkorban dalam kemalangan jalan raya pada bulan puasa tahun lalu di Bentong ketika dalam perjalanan pulang mengambil akhbar berkenaan dari Kuala Lumpur.

LRT: Tidak yakin jaminan keselamatan Prasarana

Muhammad Faizal, 19 Jul 2012
PETALING JAYA: PKR hari ini meminta agar Kerajaan Selangor campur tangan dalam pembinaan Laluan Sistem Aliran Ringan (LRT) khususnya laluan di antara Stesen 11 dan Stesen 12 melibatkan Putra Height dan Taman Subang Alam.

Dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, Mohd Rafizi Ramli menyeru agar Kerajaan Selangor mengenakan syarat yang ketat serta satu panel khas ditubuhkan untuk meneliti semua keputusan penilaian bidaan teknikal untuk memastikan rakyat Selangor terjamin.

Beliau yang sebelum itu merujuk kepada sikap Prasarana Negara Berhad terutamanya dalam menangani persoalan rakyat mengenai aspek keselamatan yang melibatkan pembinaan laluan baru bagi sistem LRT di bawah pengendaliannya.

"Saya telah turut sama mengkaji proses rundingan yang berlaku di antara Persatuan Penduduk Putra Height, Taman Alam Megah dan Prasarana mengenai bantahan penduduk mengenai jajaran laluan tambahan sistem LRT Kelana Jaya.

"Pelbagai bantahan penduduk yang disokong oleh pendapat pakar seperti Prof Madya Dr Tajul Jamaluddin tidak dihiraukan hingga kini," jelasnya yang juga Pengarah Strategi PKR.

Tambahnya lagi, Prasarana tidak menghiraukan laporan yang dibuat serta kajian trafik alternatif oleh Kerajaan Selangor menunjukkan ada jajaran laluan alternatif yang lebih baik dan selamat.

Rafizi turut menyatakan, beberapa isu keselamatan yang ditimbulkan oleh penduduk dan tidak wajar ditolak mentah-mentah yang perlu diberi perhatian.

"Laluan yang terlalu dekat dengan rumah penduduk, laluan yang terlalu rapat dengan kolam air dan bekas kuari.

"Laluan yang dibina pada struktur tanah yang berbahaya malah laluan itu juga dibina melalui cerun-cerun curam Kelas III dan Kelas IV," tambahnya lagi.

PKR memandang berat isu-isu keselamatan ini yang melibatkan nyawa rakyat dalam masa kita berusaha memastikan projek pengangkutan awan itu berjalan baik, ujarnya.

"Memandangkan pengalaman saya sendiri memantau Prasarana, setakat ini tidak meyakinkan saya bahawa isu-isu keselamatan ini diberi perhatian sepenuhnya oleh Prasarana.

"Saya akan membawa isu ini ke peringkat Kerajaan Selangor supaya menggunakan sepenuhnya kuasa bagi memastikan jajaran laluan yang disyorkan oleh Prasarana mengambil kira sepenuhnya kebimbangan penduduk mengenai keselamatan awam.

"Memastikan kontraktor yang dilantik oleh Prasarana mempunyai kepakaran dan kebolehan menjamin sistem yang dibina kelak adalah selamat untuk awam," tegas beliau.

Jelas beliau lagi, sekiranya Prasarana gagal mengambil kira tuntutan Kerajaan Selangor untuk turut sama berada di dalam panel penilai bebas,

Kerajaan Selangor perlu menggunakan sepenuhnya kuasanya untuk memastikan Prasarana tidak boleh meneruskan projek itu sehinggalah semua aspek keselamatan dititikberatkan.

Ramadhan: Masa terbaik kuat tekad untuk berubah

Mohd Azmi Abdul Hamid, 19 Jul 2012
Bulan Ramadhan Karim menjengah lagi. Tema utamanya tetap sama iaitu untuk memantapkan ketaqwaan. Taqwa adalah paksi dan kunci serta kemuncak perubahan. Lantaran itu Ramadhan layak menjadi bulan mendidik perubahan menyeluruh dalam setiap peribadi Muslim-Mukmin. Memang itulah hakikatnya. Ramadhan adalah pembebasan. Membebaskan insan dari belengu dan perangkap  sistem buatan manusia yang memperhambakan diri selain Allah S.W.T

Sudah tentu perubahan bukan terbatas untuk membina sahsiah yang pasrah kepada sang Khaliq akan tetapi juga perlu berimplikasi sosio-ekonomi-politik untuk membawa perubahan dalam kehidupan seluruhnya. Dari soal tabiat makan sehingga bagaimana memilih pemimpin.

Kami berpandangan kekuatan Ramadhan jika dihayati sepenuhnya akan menjadi dinamo yang membekal  arus tenaga perubahan yang boleh menggerakkan seluruh kekuatan yang lain. Ia lebih mampu mencetus perubahan yang murni berbanding  gerakan yang lain. Cukup dengan mengambil satu hikmahnya sahaja misalnya untuk merasai kepayahan dan kesengsaraan  orang lain mampu memurnikan tekad rakyat dalam menuju perubahan.

Lantaran itu kami berpendapat kekuatan Ramadhan semestinya diraih secukupnya untuk membentuk perubahan sejati. Perubahan untuk merombakkan kembali sistem sosio-ekonomi-politik yang pincang. Perubahan untuk meruntuhkan segala keberhalaan yang mendukung sistem yang sarat dengan unsur feudalisme yang mengakar kukuh dalam tamadun yang bernuansa materialisme-kapatalisme.

Buat  Muslim-Mukmin , kerugian besar jika Ramadhan hanya menjadi pesta iftar dan moreh. Lebih parah bila kaum Muslimin tenggelam dalam keghairahan untuk berbelanja besar menyambut hari lembaran. Jauh lebih parah lagi bila Ramadhan dilihat hanya untuk mengumpul pahala buat diri semata-mata dan tidak memperdulikan kezaliman dan penyelewengan dalam sistem pemerintah yang wujud sekarang ini.

Sebab itu harus dihayati kenapa Al Quran ditanzilkan pada bulan Ramadhan. Al Quran Karim menjadi pencetus kepada islah total kepada sistem yang ada. Bukan untuk sistem ketika itu semata-mata akan tetapi buat seluruh dunia hingga akhir zaman.

Jika Al Quran menjadi risalah terbesar buat manusia , maka mesej ketauhidan yang merupakan inti perubahan hendaklah juga menjadi sebab kenapa manusia Muslim-Mukmin perlu membuat anjakan kepada semua aspek kehidupan pada bulan Ramadhan.

Anjakan terbesar itu pasti adalah untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya hidayah, dari syirik kepada tauhid, dari maksiat kepada taat, dari batil kepada hak, dari kezaliman kepada keadilan.

Inilah misi Ramadhan yang harus difahami dan dihayati oleh seluruh umat Islam khasnya dan rakyat di negara ini amnya. Dengan itu penghayatan ibadah berpuasa bukan sekadar untuk mengekang kejahatan tetapi juga adalah untuk memusnahkan kebatilan dan mendirikan kebenaran dan keadilan.

Kalimah "la allakum tattaqun" merangkum pengertian "la allakum muflihun" yakni bertaqwa yang menjana kemenangan dan islah. Demikian sirah Nabawiyyah yang merakam babak mempertahankan komuniti Islam pertama di Madinah menghadapi pencerobohan komuniti Quraisyh Musyrikin ketika bertempur dalam peperangan Badar pada bulan Ramadhan. Berperang dalam bulan yang memberi energi tambah yang luar biasa sehingga mampu mengalahkan musuh yang bernisbah 3 kali ganda lebih besar dari jumlah mujahidin mukmin yang diketuai oleh Rasulullah s.a.w sendiri.

Tuntutan ke atas semua Muslim-Mukmin ketika menjalani ibadat berpuasa dalam konteks membangunkan negara bersama Islam adalah untuk berkomunikasi bukan sekadar untuk mendapatkan sokongan, akan tetapi untuk menjalinkan perhubungan persaudaraan seutuhnya antara seluruh umat Islam sehingga mampu menggerakkan perubahan total kepada sistem pemerintahan yang ada.

Amat malang ketika dunia Islam kini sedang berhadapan dengan cabaran paling getir, sama ada di Asia Barat mahupun dirantau yang dekat, umat Islam disibukkan dengan menyedia juadah berbuka puasa dan menyiapkan sambutan Aidilfitri dengan serba mewah. Ketika kita berpesta makan di Malaysia, ada ratusan ribu Umat Islam sedang kebuluran di Somalia, di Myanmar, di Gaza. Belum lagi diperkira penangkapan dan penyiksaan pejuang Islam di serata dunia yang disaksikan di negara bukan Islam mahupun di negara umat Islam.

Cabaran yang tidak kurang penting ialah untuk membina kebangkitan di kalangan setiap Muslim di negara umat Islam agar upaya mengembalikan maruah golongan Muslimin diusahakan.

Bulan Ramadhan adalah bulan muhasabah intensif untuk mengukur dan menilai bukan sahaja diri kita masing-masing tetapi juga kedudukan Islam dan umat Islam keseluruhannya. Di hadapan kita adalah sejumlah persoalan yang sangat mendesak.

Pencerobohan ke atas Palestin, Iraq, Afghanistan dan Somalia masih berterusan. Perjuangan untuk kemerdekaan di Mindanao, Thailand Selatan, Myanmar, Kashmir, Xinchiang dan Chechnya tidak kunjung selesai. Pergelutan untuk mendapat ruang demokrasi di Tunisia, Mesir, Libya, Syria, Morocco, Bahrain , Saudi Arabia dan negara Teluk belum menemukan titik penyelesaian.

Tidak kurang tenat pula umat dihadapkan dengan persoalan Islamofobia dan ideologi sekular dari negara Barat. Disamping itu pula konflik puak (sectarian conflict) antara umat Islam terus diapi-apikan di kalangan umat Islam sendiri.

Bulan Ramadhan adalah bulan mengumpul kekuatan ruhiyyah dan aqliyyah  untuk umat. Bulan mubarak ini sepatutnya mampu mengerakkan umat mengikiskan faham nasionalisme sempit berciri jahilyyah dan kembali kepada kesedaran berummah. Perlu ada usaha pertemuan dan perbincangan yang berterusan untuk mendekati golongan anak muda sebagai sasaran utama sehingga kerja mencetuskan perubahan dapat dilakukan secara berkesinambungan.

Kami menjangka Ramadhan kali ini adalah peluang terbaik rakyat di negara ini melakukan perubahan besar-besaran. Menolak kemungkaran dan menegakkan kebenaran dalam seluruh bidang ketatanegaraan adalah tuntutan Islam yang telah terbukti dapat membangunkan tamadun bernegara paling cemerlang dalam sejarah. Bulan Ramadhan ini adalah saatnya.

Penulis ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Pemimpin parti politik jumpa SPR hari ini

Harakahdaily, 19 Jul 2012
BANGI: Para pemimpin PAS bersama rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat bertemu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya Marriott Hotel & Spa hari ini.


(Model tempat mengundi dalam pertemuan SPR dengan parti politik hari ini...gambar The Malaysian Insider)


Turut serta adalah pemimpin dari Barisan Nasional (BN) yang diramalkan sebagai pertemuan terakhir menjelang pilihanraya umum ke 13.

Ucaputama diberikan oleh pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof manakala timbalannya, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar memberikan taklimat kepada semua wakil parti politik yang hadir.

Setiap parti disediakan 10 kerusi namun tidak semua menghantar wakil penuh. Pengarah pilihan raya Pemuda PAS, Mohd Sany Hamzan dan Pengarah IT PAS, Shuhaimi Embong antara yang hadir bagi pihak PAS.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad antara yang dilihat mewakili PKR manakala Arichelvan mewakili PSM.

"Biasanya, ini petanda PRU makin hampir. Mungkin selepas Raya.

“Tetapi yang ada kuasa adalah perdana menteri.

“SPR sudah bersiap sedia untuk menjalankan pilihan raya pada bila-bila waktu," kata seorang petugas SPR sebagaimana dilapor oleh The Malaysian Insider hari ini.

Spekulasi tarikh pilihan raya yang terdekat adalah September ini iaitu sebaik sahaja selepas sambutan hari raya Aidilfitri dan sebelum musim Haji bermula.

Dalam pertemuan ini, SPR menunjukkan cara-cara bagaimana dakwat kekal digunakan semasa pilihan raya umum nanti.

Penggunaan dakwat kekal adalah salah satu daripada tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang telah mengadakan tiga demonstrasi di ibukota untuk menuntut reformasi pilihanraya.

Mereka juga menuntut daftar pemilih dibersihkan namun sehingga kini ia terus menjadi isu besar khasnya di Selangor.

Peningkatan mendadak berlaku dalam senarai pemilih di Selangor.

Angka terkini jumlah pengundi berdaftar  adalah berjumlah 12,912,045 juta orang di seluruh negar.

Tiada ulasan: