Ahad, 8 Julai 2012

BIARLAH DIA NAK CAKAP...SELAGI BOLEH CAKAP....KITA NILAILAH...MENGUNTUNGKAN ISLAM ATAU MERUGIKAN ISLAM...KALAU UNTUNG BAGUSLAH...KALAU RUGI2....FAHAM2 AJE LAH......

Sultan Kelantan kesal eksploitasi perbezaan agama
11:08AM Jul 7 2012  
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V melahirkan kekesalan dengan percubaan sesetengah pihak mengeksploitasi perbezaan agama kerana tindakan itu akan memberi kesan buruk kepada rakyat di negara ini.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertitah sikap pihak berkenaan boleh mencetus pergaduhan agama dan memusnah keamanan yang dinikmati rakyat Malaysia pada masa ini.

Baginda bertitah Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan bukan sahaja agama yang dianuti berbeza malah bahasa, budaya serta taraf ekonomi juga tidak sama.

"Satu hakikat yang perlu diterima bahawa kedudukan Islam dimaktub secara rasmi di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh negeri-negeri, diberi status tertinggi di samping kepercayaan lain diberi kebebasan untuk diamal oleh penganut masing-masing," titah baginda semasa merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur semalam.

Majlis bertema "Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah (Sederhana)" sehingga 13 Julai ini menyaksikan penyertaan 69 qari dan qariah dari 44 negara.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sultan Muhammad V turut melahirkan kekesalan terhadap perpecahan yang melanda umat Islam.

"Apakah tragedi yang bertimpa-timpa itu masih belum cukup pahit untuk umat Islam mengambil iktibar? Kecelakaan dan penderitaan yang bagaimana lagi dapat memberi keinsafan kepada umat Islam?

"Seluruh umat Islam yang benar-benar cintakan Al-Quran harus berasa bertanggungjawab memelihara perpaduan umat, dan mereka seharusnya memanfaatkan potensi besar yang dimiliki dengan menggembleng perpaduan umat, bukan memperluaskan jurang perbalahan dan perpecahan.

"Apa sahaja perbuatan atau tindakan yang boleh mencemarkan wajah dan imej Islam harus mendapat reaksi daripada kita semua. Kita harus membersihkan imej umat Islam yang sengaja dikotori oleh musuh-musuh Islam dengan gambaran seram sebagai pengganas atau pelampau," titah baginda.

Sehubungan itu, baginda berharap umat Islam di negara ini dapat memahami dan menghayati konsep wasatiyyah sebaik-baiknya tanpa terpengaruh dengan budaya songsang yang menyimpang daripada ajaran Al-Quran.

Sultan Kelantan turut memuji tindakan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Najib kerana berjaya meneruskan majlis tilawah Al-Quran sebagai acara tahunan rasmi negara.

"Pendekatan wasatiyyah, sederhana, adil memang pendekatan yang menjadi ajaran Islam, yang menjadi keindahan Islam. Lantaran itu kita perlu mempertahankannya dan terus memperkembangkannya dalam arus perdana," titah baginda.

Terdahulu, Jamil Khir yang merupakan pengerusi jawatankuasa tilawah, berkata kerajaan sentiasa mengamalkan konsep wasatiyyah sebagai pemangkin kepada gagasan 1Malaysia dalam memastikan keberkesanan program transformasi negara.

"Konsep ini merupakan satu pendekatan berterusan dalam dasar-dasar kerajaan yang sedia ada khususnya Program Transformasi Kerajaan seperti Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Luar Bandar dan tidak terkecuali Program Transformasi di agensi agama," katanya.

- Bernama
Timbalan menteri sokong hudud di Johor
2:35PM Jul 7 2012  
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, secara peribadi beliau menyokong cadangan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah Datuk Ayub Rahmat yang ingin menjadikan Johor sebagai negeri pertama melaksanakan hukum hudud.

"Namun kita kekurangan prasarana terdiri daripada mahkamah, hakim, pegawai pendakwa bagi melaksanakan perundangan Islam di negara ini.

"Jika usaha ini dapat dilaksanakan, BN akan menjadi pihak pertama melaksanakan hukum itu berbanding dengan Kelantan yang hanya bercakap kosong," beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian di Shah Alam.
Beliau bagaimanapun dilapor berkata, pelaksanaannya perlu dirancang teliti agar semua faham erti sebenar hukum hudud.
Isteri KM: Janganlah kejam, Soi Lek
  • Susan Loone
  • 2:24PM Jul 7 2012
 
Isteri ketua menteri Pulau Pinang Betty Chew menggesa Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek menghentikan dan menyekat anggota partinya daripada menyebarkan "pembohongan" bahawa suaminya Lim Guan Eng mempunyai hubungan sulit dengan bekas kakitangan.

Pembohongan itu, termasuk dakwaan beliau menyerang bekas kakitangan itu, kata Betty yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana.

Chew mendakwa, ia sebenarnya helah untuk merosakkan reputasi keluarganya, sekali gus menjejaskan anak-anaknya.

"Kami ada keluarga juga.

"Saya pasti keluarga kamu melalui saat sukar ketika kamu mengaku secara secara terbuka mempunyai hubungan sulit dan berundur sebagai menteri," kata Chew dengan emosi, dalam sidang media bersama suaminya di Pulau Pinang hari ini.
Hakim kini diarah naik penerbangan murah
2:10PM Jul 7 2012  
Jika anda terserempak dengan wajah-wajah yang seperti dikenali ketika mengambil penerbangan kelas ekonomi ke Kota Bharu menggunakan penerbangan Malaysia, mereka mungkin hakim.

Ini ekoran arahan ketua hakim negara kepada semua hakim dan pasangan, kecuali Hakim Mahkamah Tinggi Terangganu dan Pahang, supaya menggunakan kelas ekonomi atau penerbangan murah untuk persidangan tahunan mereka.

Mereka dijadual berkumpul di Kota Bharu bermula esok sehingga 12 Julai untuk persidangan tahunan hakim-hakim Semalaysia.

Arahan itu disampaikan melalui surat bertarikh 4 Jun.

Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan, terdapat hakim mempersoalkan arahan tersebut yang didakwa melanggar peruntukan rasmi dan faedah yang sepatutnya diberikan mereka.

Mereka antaranya berhak mendapat perjalanan kelas perniagaan.
IGP: Tak percaya polis, boleh rujuk GPI
11:16AM Jul 7 2012  
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar Jumaat menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan berlaku peningkatan kadar jenayah di negara ini berdasarkan kes jenayah yang dilaporkan media massa termasuk media sosial.

Beliau berkata dakwaan itu tidak benar kerana berdasarkan statistik yang diperoleh daripada polis negeri dan daerah termasuk platform antarabangsa seperti Indeks Keamanan Global (GPI), menunjukkan keberkesanan negara dalam menangani dan mengurangkan kadar jenayah.

"Sekiranya ada pihak yang masih tidak mempercayai dengan apa yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dua tahun lepas, boleh rujuk laporan yang dikeluarkan antaranya oleh GPI.

"Dan, semalam ahli panel antarabangsa yang menghadiri mesyuarat dua hari Panel Antarabangsa mengenai Kajian Semula Mengurangkan Kadar Jenayah 2012 melalui NKRA turut mengakui apa yang kita buat adalah benar," katanya kepada pemberita selepas majlis menghijaukan Bukit Aman di Kuala Lumpur semalam.

Mesyuarat dua hari itu turut dihadiri Pengarah Pengurusan Pasukan Polis Hong Kong, SAC Tang How Kong dan bekas Pengarah Sumber Manusia Polis Metropolitan London, Peter Clarke.

- Bernama
'Monopoli' Petron pada MAS dipersoal
  • Abdul Rahim Sabri
  • 10:47AM Jul 7 2012
 
Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan perjanjian pembekalan minyak untuk pesawat Airbus A380 antara Malaysia Airlines System Bhd (MAS) dan Petron Malaysia (Petron), yang dikaitkannya dengan anggota keluarga Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, ekoran perjanjian itu syarikat penerbangan negara MAS tidak dibenarkan membeli minyak selain daripada Petron (dahulunya dikenali sebagai Esso Malaysia Bhd) selama enam bulan.

"Saudara, apa punya dasar ekonomi ini. Najib, ini apa? Kamu perdana menteri atau ketua kampung.

"(Najib) ini perdana menteri, dengan Mahathir (dia) takut, dengan PERKASA dia takut, dengan (Barrack) Obama dia takut, balik rumah takut," katanya sambil diiringi ketawa dan sorakan hadirin dalam ceramah di Selayang dekat ibu negara malam tadi.

"Sebab itu, ketelanjuran sudah teruk. Wang kita, kena ingat. MAS ini syarikat penerbangan negara, mana boleh bagi kepada satu syarikat (sahaja)," katanya.

Petron dan MAS menandatangani perjanjian khas pada 29 Jun bagi membekalkan dan membeli bahan api Airbus A380 syarikat penerbangan negara selama enam bulan, bermula 1 Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS Group Ahmad Jauhari Yahya dilapor berkata syarikat penerbangan itu gembira mendapat rakan yang sama komited kepada keperluan mesra alam Airbus A380.

Bagi meraikan hubungan baru itu, Petron menyediakan bahan api percuma bagi penerbangan sulung pesawat A380 MAS, penerbangan MH2 dari Kuala Lumpur ke London pada malam Ahad sebelum ini.

MAS menerima pesawat A380 pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada Jumaat.

Pada 5 Jun, MAS juga menikmati bekalan bahan api daripada Petron apabila ia membawa kakitangan dan tetamu untuk mencuba penerbangan A380, termasuk Dr Mahathir.

Sementara itu, Anwar juga mengumumkan akan melaksanakan pendidikan percuma dan penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sebaik sahaja gabungan diumumkan membentuk kerajan jika menang dalam pilihan raya umum akan datang.
Anwar: Mahathir duduk diam-diamlah
  • Abdul Rahim Sabri
  • 9:56AM Jul 7 2012
 
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta beliau supaya tidak berlengah-lengah untuk bersara daripada politik.

Sebaliknya, dengan nada tegas, Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri meminta bekas bosnya itu "duduk diam-diam sambil menjaga syarikat anaknya".

"Duduk rehat tadi, ada pemberita tanya, Dr Mahathir suruh berhenti sekarang. Saya kata tak apalah. Yang itu biar saya dengan rakyat.

"Kamu Dr Mahathir, duduk diam-diam. Jaga syarikat anak kamu yang berpuluh bilion ringgit. Puluh bilion ringgit. Kalau kamu pemimpin bersih, malu tahu tak, malu.

"Seorang pemimpin, puluh bilion kekayaan anak-anaknya," tegas Anwar kira-kira 2,000 hadirin yang hadir dalam ceramahnya di Selayang malam tadi.

Dr Mahathir dilapor berkata Anwar tidak perlu berlengah-lengah dengan hasratnya untuk bersara daripada dunia politik sekiranya Pakatan Rakyat kalah dalam pilihan raya umum ke-13.

Persoal kenapa Dr M terlalu marah  
Bahkan dengan nada bergurau, bekas perdana menteri itu mencadangkan supaya diwujudkan jawatan perdana menteri 'terhormat' selama lima hari untuk diisi oleh Anwar bagi memenuhi impiannya sebelum bersara.

Sebelum itu diawal ucapan dalam ceramahnya di Padang Kampung Selayang Indah malam tadi, Anwar mempersoalkan mengapa Dr Mahathir terlalu "marah" kepadanya.

Sedangkan, kata Anwar yang juga ketua pembangkang berkata selama ini, beliau "tidak pernah mengacau" dan telah memaafkan bekas pemimpin nombor satu itu.

"Sudahlah. Yang kena pukul saya, Mahathir, bukan kamu. Yang kena penjara saya, yang kena telanjang saya. Sudahlah, saya dah maafkan.

"(Tetapi) yang kamu takut ini apa. Rupanya, dia takut saya nak rampas harta dia dan anak pinak dia," katanya sambil mengimbau detik-detik perselisihan beliau dengan Dr Mahathir sebelum dipecat daripada kerajaan.

Anwar berkata sekiranya ditakdirkan menjadi perdana menteri, beliau berjanji tidak akan mengkhianati kepercayaan rakyat yang membangkitkan semangatnya sewaktu disakit dan dihina.

Bekas menteri kewangan yang pernah dipenjarakan itu berkata, beliau tahu erti kesusahan rakyat ketika ini.

Tiada ulasan: