Zahid: Pembangkang di Johor sekadar saudagar janji
7 Julai 2012
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat di negeri ini sudah kenal dengan sikap sebenar parti berkenaan yang lebih dikenali sebagai ‘saudagar janji’.
Katanya, pembangkang gagal melunaskan janji pada pilihan raya lalu, sebaliknya terus menabur janji baru sebagaimana yang terjadi di Perak dan Selangor.
"Kita dapat tahu pemimpin parti pembangkang ini kerap turun ke Johor setiap minggu untuk ambil alih negeri ini, tetapi mereka silap percaturan sekiranya mahu menjadikan Johor seperti Perak dan Selangor.
"Rakyat keseluruhannya sudah mula sedar dengan sikap sebenar ‘saudagar janji’ ini. Mereka hanya tahu menabur janji. Oleh itu, saya yakin Johor akan terus menjadi kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang di UniKL MITEC di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, Johor dilihat cukup kuat untuk mempertahankan negeri ini daripada dirampas pembangkang di bawah kepimpinan sedia ada serta jalinan di peringkat bahagian hingga ke akar umbi.
“Apa berlaku di akar umbi, sokongan terhadap Umno dan BN kukuh. Biarpun diakui ada masalah sedikit, tapi sikap orang Johor berbeza. Mereka mungkin ada berbalah tetapi menjelang pilihan raya mereka akan bersatu.
“Apa berlaku di Selangor dan Perak amat dikesalkan rakyat kerana program dirancang tidak dapat dilaksanakan. Saya harap Johor dengan kepimpinan yang ada terus kukuh kekalkan kerusi dan merebut kerusi yang kecundang pada PRU12,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau turut menggesa pemimpin dan ahli Umno agar bersatu kerana ia adalah asas kekuatan parti ini dalam menghadapi sebarang cabaran.
Ahmad Zahid turut meminta jentera parti di semua peringkat supaya sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya.
"Pada pilihan raya lalu, pembangkang berjaya menawan beberapa negeri dan mereka mahu ia berulang pada pilihan raya akan datang. Justeru, kita harus melipatgandakan usaha bagi memastikan kemenangan di tangan BN," katanya.
Lim: Benci 'Mahathirisme', bukan Mahathir
Penasihat DAP Lim Kit Siang menolak dakwaan beliau begitu "membenci" bekas perdana menteri Tun Dr Dr Mahathir Mohamad.Sebaliknya, katanya, beliau hanya menentang 'Mahathirisme' dan seumpamanya.
Dalam kenyataan akhbar hari ini, Lim berkata, Dr Mahathir sekarang terpaksa bekerja keras untuk mengembali dan mempertahankan Mahathirisme dalam dasar-dasar Umno-BN.
Lim malah berkata, pendirian anti-Mahathirisme yang dipercayainya turut dikongsi bersama tiga bekas perdana menteri lain, iaitu Tunku Abdul Rahman, Hussein Onn dan Abdullah Ahmad Badawi.
"Biar saya pastikan Mahathir bahawa saya tiak benci dia sama sekali, tetapi seperti tiga bekas perdana menteri dan kebanyakan rakyat malaysia pada tahun 2012, saya menentang Mahathirisme dan ia kembali ke politik Malaysia menjelang pilihan raya umum ke-13," katanya.
Dr Mahathir Mohamad semalam menolak kewujudan Mahathirisme, dan mengingatkan Lim bahawa serangan berterusan terhadapnya akan memakan diri sendiri.
Beliau mengulas komen Lim yang mendakwa Dr Mahathir cuba menyuntik politik memecah-belahkan kaum menjelang pilihan raya umum ke-13 untuk memastikan kemenangan BN.
Lim juga sebelum ini menuduh Dr Mahathir menyemai kebimbangan di kalangan orang Melayu dengan menulis dalam blognya bahawa pengundi Cina merupakan "kingmakers" dalam pilihan raya akan datang.
Asabiah dan taksub dengan pemimpin politik
7 Julai 2012
Saya diberitahu tidak ada kemungkinan Barisan Nasional menang di Kelantan kerana penduduk Kelantan begitu taksub dengan Nik Aziz. Demikianlah ketaksuban ini sehingga apa sahaja yang didakwa olehnya berkenaan agama Islam maka orang Kelantan akan menerimanya bulat-bulat sebagai benar dan menepati ajaran Islam.
Kata orang ini, tidak ada gunanya ulama lain atau mufti menolak dan menidakkan dakwaan Nik Aziz, orang Kelantan tetap akan percaya pendapatnya juga. Jika ada yang ragu sekalipun, mereka tidak akan menyatakan keraguan mereka.
Orang Islam yang berfikiran waras tentu menolak dakwaan Nik Aziz bahawa mengundi Pas akan mendapat pahala, bahkan menjamin syurga di akhirat.
Tetapi nampaknya majoriti rakyat Kelantan, sama ada mereka terima dakwaan ini atau tidak, terus setia dan menyokong kepimpinan Nik Aziz.
Kemenangan Pas di Kelantan dan di lain-lain tempat membuktikan kepimpinan Nik Aziz tidak terjejas walaupun jelas menyalah guna agama untuk politik duniawi.
Demikian jugalah dengan lain-lain kenyataan dan sikap yang lari jauh dari ajaran Islam saperti menidakkan keIslaman orang yang tidak menyertai atau menyokong Pas.
Dahulu kerjasama antara Umno dengan orang bukan Islam didakwa bertentangan dengan ajaran Islam.
Sekarang Pas di bawah kepimpinan Nik Aziz bukan setakat bekerjasama dengan orang bukan Islam tetapi juga sanggup bekerjasama dengan orang yang menolak dengan keras dan secara terbuka hasrat Pas untuk mendirikan Negara Islam dan melaksana hukum hudud.
Saya masih ingat semasa kita bangunkan Putrajaya, Nik Aziz mendakwa apabila Pas memerintah Negara ini, Kerajaan Pas akan lelong Putrajaya. Hari ini lain pula bunyinya. Pas berjuang untuk ke Putrajaya sebagai pemerintah.
Dalam masyarakat Islam penyelewengan kerap berlaku kerana ajaran sesat yang disampaikan oleh ulama yang tidak bertanggungjawab. Adanya Qadiani dan puak-puak tertentu yang lain ialah kerana taksub kepada pemimpin agama.
Kita lihat bagaimana kuatnya pegangan pengikut Ashaari dan Ayah Pin kepada ajaran mereka.
Di India, British menggalakan penubuhan dan perkembangan Qadiani kerana ia akan memecah-belah orang Islam dan melemah mereka.
Kita syak yang pendaftaran dengan pantasnya Parti Islam Se-Malaya oleh British juga mempunyai niat yang sama. Ia berlaku di waktu orang Melayu buat kali pertama bersatu untuk menentang British. Bahawa Pas, dalam pilihan raya 1955 menentang kemerdekaan Malaya memanglah menepati hasrat British. Tetapi perjuangan Pas untuk melambatkan kemerdekaan gagal.
Dalam pilihan raya 1955 PMIP hanya menang satu kerusi. Selepas itu PMIP bersungguh-sungguh mengguna agama sehingga dalam Pilihan Raya Umum 1959 Kelantan dan Terengganu jatuh ke tangannya.
Walaupun Kerajaan Pas Terengganu runtuh dan diganti dengan Perikatan tetapi ini tidak kurangkan ketaksuban kepada Pas.
Berpecah dan lemahnya umat Islam ialah kerana taksub kepada kepimpinan lebih dari ajaran Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran.
Keadaan orang Islam dan agama Islam di Malaysia begitu juga. sesungguhnyalah segala keburukan datangnya dari orang Islam sendiri.
Dipetik dari blog Tun Dr Mahathir Mohamad
Dr M: Nik Aziz tak terjejas walaupun salah guna agama kerana politik
7 Julai 2012
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dengan menjadikan situasi di Kelantan sebagai contoh, Dr Mahathir berkata, beliau diberitahu tidak ada kemungkinan Barisan Nasional (BN) menang di negeri itu pada pilihan raya umum kerana penduduk Kelantan begitu taksub dengan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Dalam entri terbaru bertajuk 'Asabiah' yang disiar dalam blognya, beliau berkata, demikianlah ketaksuban ini sehingga apa sahaja yang didakwa oleh Nik Aziz berkenaan agama Islam, maka orang Kelantan akan menerimanya bulat-bulat sebagai benar dan menepati ajaran Islam.
"Orang Islam yang berfikiran waras tentu menolak dakwaan Nik Aziz bahawa mengundi Pas akan mendapat pahala, bahkan menjamin syurga di akhirat. Tetapi nampaknya majoriti rakyat Kelantan, sama ada mereka terima dakwaan ini atau tidak, terus setia dan menyokong kepimpinan Nik Aziz.
"Kemenangan Pas di Kelantan dan di tempat-tempat lain membuktikan kepimpinan Nik Aziz tidak terjejas walaupun jelas menyalah guna agama untuk politik duniawi," kata Dr Mahathir dalam artikel itu.
Dr Mahathir berkata, ada orang yang berpandangan tidak ada gunanya ulama lain atau mufti menolak dan menidakkan dakwaan Nik Aziz kerana orang Kelantan tetap akan percaya pendapatnya juga.
"Jika ada yang ragu sekalipun, mereka tidak akan menyatakan keraguan mereka," katanya.
Beliau menarik perhatian bahawa dahulu, kerjasama melibatkan Umno dengan orang bukan Islam didakwa bertentangan dengan ajaran Islam.
Tetapi sekarang Pas di bawah kepimpinan Nik Aziz bukan setakat bekerjasama dengan bukan Islam malah sanggup bekerjasama dengan orang yang menolak dengan keras dan secara terbuka hasrat Pas untuk mendirikan Negara Islam dan melaksana hukum hudud, katanya.
"Saya masih ingat semasa kita bangunkan Putrajaya (pusat pentadbiran kerajaan persekutuan), Nik Aziz mendakwa apabila Pas memerintah negara ini, kerajaan Pas akan lelong Putrajaya.
"Hari ini lain pula bunyinya. Pas berjuang untuk ke Putrajaya sebagai pemerintah," kata Dr Mahathir. - Bernama
Jangan politikkan isu hudud
7 Julai 2012
Yang Dipertuanya, Suhaimi Latip bagaimanapun tidak mahu hasil perbincangan dijadikan instrumen pihak tertentu dalam menjamin kepentingan peribadi dan politik mereka.
“Ini soal hal ehwal Islam, dalam negara kita, hal berkaitan agama Islam berada di bawah bidang kuasa Yang diPertuan Agong dan sultan. Jadi apabila ia sering diperkatakan, seolah-olah kita menyentuh kuasa lain sewajarnya.
Suara sama turut dikemuka Pertubuhan Kebajikan Wawasan Kesejahteraan Insan (Wawasan Rakyat) yang yakin, sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain bagi memastikan hudud direalisasikan sebaiknya.
Presidennya, Fauzi Muda berkata, cadangan pelaksanaan hudud sewajarnya disambut baik semua pihak.
Beliau turut menolak sikap mereka yang menggunakan hudud sebagai alat mainan politik dan menggesa pelaksanaan hukum dihentikan bagi mengelak kekeliruan orang ramai.
“Pelaksanaan hudud yang menyentuh soal syariat tidak seharusnya dipermainkan dengan timbulnya ‘hudud ala Pas’ dan sebagainya,” katanya.
Bagi Ikram Malaysia cawangan Perak yang bergerak atas nama dakwah dan kebajikan, mereka mempunyai prinsip untuk melihat kesejahteraan umat melalui perundangan adil.
Mengenai isu hudud, Yang Dipertuanya, Prof Madya Dr Fakhruldin Mohd Hashim berkata, pihaknya melihat perlu ada perkongsian maklumat dan pendedahan dari pelbagai aspek.
“Hudud ala Pas atau tidak, bukan perkara asas perlu dibincang. Kita perlu kembali pemahaman hudud dalam konteks Islam yang jelas," katanya.












Tiada ulasan:
Catat Ulasan