Khamis, 5 Julai 2012

ADA BERANIKAH...TAPI ADA YANG BERANI MENCAMPAKKAN DIRI DALAM NERAKA...BERANI MELAWAN HUKUM ALLAH....BERANI MENGHINA ISLAM...BERANI BUAT DOSA@MAKSIAT...BERANI MEMBUAT SEGALA LARANGAN ALLAH JUGA BERANI MENINGGALKAN PERKARA YANG DIWAJIBKAN OLEH ALLAH SWT.....

Skandal LRT Ampang: Siasat Najib bukan Rafizi

Harakahdaily, 05 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail (gambar) menyelar tindakan pihak polis melakukan siasatan terhadap Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Menurutnya, tindakan terbaru terhadap Rafizi yang sebelum ini mendedahkan butir-butir kontrak LRT Ampang itu lebih kepada melindungi mereka yang berkuasa.

"Ini jelas menunjukkan bahawa siasatan peringkat tinggi pihak polis terhadap Rafizi adalah bertujuan untuk melindungi PM dan untuk menakut-nakutkan serta mengganggu Rafizi.

"Rafizi telah mendedahkan penyelewengan dana. Beliau sepatutnya dipuji dan bukannya ditindas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi sebelum ini mendedahkan tender tersebut telah diberikan kepada pembida yang tidak berkelayakan iaitu George Kent yang juga melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bakri Zinin bagaimanapun semalam mengumumkan bahawa perkara tersebut sedang disiasat di bawah  Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan dokumen sulit kerajaan.

Dalam isu ini ujar Azizah, pihak polis dilihat lebih berminat untuk mempertahankan OSA, satu undang-undang zalim yang digunakan untuk melindungi mereka yang berkuasa.

"Mengapa kontrak projek infrastruktur awam dibayar dengan menggunakan wang rakyat yang diletakkan sebagai rahsia negara? Apakah butiran yang didedahkan ini akan menjejaskan keselamatan negara kita," soal Azizah lagi.

"Jika pihak Polis mahu memulihkan kredibiliti mereka, hentikan usaha menakutkan dengan siasatan OSA terhadap Rafizi sebaliknya menyiasat peranan Najib sebagai suspek dalam kontrak pembinaan tambahan LRT laluan Ampang," katanya.

MCA atur 2 fitnah serentak, apa agenda?

Roketkini.com, 05 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Rentetan dari dua tuduhan palsu serentak oleh MCA terhadap kerajaan Selangor dan Pulau Pinang, kedua-duanya pimpinan Pakatan Rakyat, Pemuda DAP hari ini mengutuk tindakan kotor tersebut dengan menyifatkannya sebagai satu konspirasi politik.

Merujuk kepada fitnah yang dilemparkan, Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Anthony Loke (gambar) berkata, Pengerusi MCA Melaka Gan Tian Loo telah menyalah guna imuniti yang ada di Dewan Undangan Negeri Melaka dengan mengeluarkan pertuduhan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew.

“Lim Guan Eng telah mencabar beliau untuk mengulangi pertuduhannya di luar Dewan Undangan Negeri tetapi sehingga sekarang beliau dan MCA gagal untuk melakukannya.

“Ini menunjukkan beliau tidak berani untuk mengulangi pertuduhannya kerana tidak mempunyai sebarang pukti terhadap tuduhannya.

"Sekali lagi kami mencabar beliau sekiranya beliau serius terhadap pertuduhannya, sila ulangi pertuduhan tersebut di luar supaya Lim Guan Eng dan Betty Chew boleh mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, sekiranya gagal mengulangi pertuduhan tersebut, Gan Tain Loo akan dilihat oleh semua pihak sebagai seorang ahli politik yang bacul dan pembohong.

Bagi Loke, semua dakwaan ini telah diatur kerana telah timbul persoalan bagaimana sesetengah stesen televisyen dan akhbar (TV3 dan Utusan Malaysia) telah diberi hak istimewa yang luar biasa untuk masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri untuk merakamkan keseluruhan prosiding.

Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah turut menjawab kenyataan Presiden MCA Chua Soi Lek yang menyarankan Guan Eng untuk mengikuti jejak beliau untuk meletak jawatan.

“Situasi yang dihadapi Lim Guan Eng tidak sama seperti beliau. Tidak ada video (lucah) Lim Guan Eng pun. Jangan samakan diri anda dengan Lim Guan Eng,” katanya merujuk kepada skandal video lucah Chua yang melakukan hubungan seks dengan seorang waniat ayng bukan isterinya.


Chua bangga dengan skandal seks


“Beliau (Chua) kelihatan sangat bangga dengan skandal seksnya. Dia meletakkan dirinya sebagai mempunyai keberanian dan moral politik,” tambah Loke.

Beliau menjelaskan, MCA yang semakin ditolak oleh masyarakat Cina telah mencipta fitnah itu kerana terpalit dengan pelbagai skandal kewangan seperti PKFZ dan penyalahgunaan kuasa serta gagal menepati janji untuk mengumumkan keputusan ke atas isu sekolah Kuantan Chinese Independent School.

“Mungkin sebab mereka gagal menyelesaikan masalah ini, mereka terpaksa mengalihkan perhatian masyarakat dengan melancarkan dua pertuduhan ini serentak,” katanya.

Isu Kuantan Chinese Independent School merupakan antara isu yang panas dibincangkan di kalangan masyarakat Cina, malah pada dua minggu lalu MCA telah mengulangi akan menyelesaikan masalah sekolah terbabit. Tetapi sehingga kini dilaporkan masih belum berjaya diselesaikan.

Di Selangor, MCA juga telah membuat tuduhan palsu kononnya kerajaan negeri Selangor menyalahgunakan wang RM1 bilion tanpa mengemukakan sebarang bukti yang kukuh.

Emel 1Malaysia: Mengapa beri kepada Tricubes?

Salmiyah Harun, 05 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Tricubes Bhd yang mendapat projek emel 1Malaysia daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2011 ternyata bersandarkan kepada kronisme sebagaimana didakwa sebelum ini.

Malah di awal pemberian projek yang bernilai RM 50 juta kepada syarikat terbabit sudah mendapat kritikan hebat kerana dikatakan mempunyai masalah kewangan.

Mengulas perkara itu, Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) meminta kerajaan memandang berat akan reaksi yang jelas diberikan sebelum ini.

"Mengapa perlu memberi projek kepada syarikat yang terang-terangan bermasalah, malah di awal lagi perkara ini sudah dikritik akan ketidakupayaan syarikat berkenaan," katanya kepada Harakahdaily ketika dihubungi.

Malah Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad juga menegaskan syarikat tersebut tergolong dalam syarikat GN3 atau dengan kata lain mempunyai permasalahan hutang yang perlu distrukturkan pembayarannya.

Sebelum ini pernah dilaporkan, Tricubes adalah syarikat yang sedang menghadapi masalah kewangan yang teruk dan telah diberikan amaran akan dikeluarkan dari penyenaraian Bursa Malaysia jika tidak menyelesaikan masalahnya.

Hari ini, nampaknya dakwaan itu ada benar, apabila Bursa menolak cadangan Tricubes dengan menyatakan yang sekuriti syarikat akan digantung mulai 11 Julai setelah syarikat tidak dapat menunjukkan ia boleh kembali menguntungkan dan juga daya maju segmen perniagaan baru.

Ekoran itu, Tricubes Bhd akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Bursa Malaysia yang menolak cadangan rancangan penstrukturan semulanya secepat mungkin.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Tricubes berkata penolakan oleh Bursa hanya akan menjejaskan status penyenaraian bukan mempengaruhi kemampuan syarikat untuk menjalankan perniagaannya seperti biasa.

Tricubes Bhd adalah syarikat dilantik oleh kerajaan untuk melaksanakan projek emel 1Malaysia pada April 2011. 

Pelaburan bagi Projek Emel 1Malaysia itu adalah bagi menyediakan akaun email kepada semua warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas untuk urusan rasmi dengan kerajaan.

LRT Ampang: Rafizi akan teruskan siri pendedahan

Harakahdaily, 05 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Nyawa jutaan rakyat Malaysia yang menggunakan sistem LRT laluan Ampang adalah terlalu berharga dan perlu dipertahankan sehinggalah kontraktor yang layak dan berkemahiran dilantik bagi projek itu.
Demikian ditegaskan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau memandang berat tingkah laku pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang nampaknya lebih mementingkan kekuasaan Umno BN berbanding keselamatan rakyat.

Katanya, tindakan PDRM yang menolak mentah-mentah dari menyiasat campur tangan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam anugerah kontrak kerja-kerja pembinaan tambahan LRT laluan Ampang (LRT) tetapi cepat-cepat menubuhkan pasukan khas kononnya menyiasat kebocoran maklumat sulit negara apabila dokumen tender mula diketahui umum, mengesahkan persepsi kebanyakan rakyat bahawa pimpinan PDRM meletakkan kepentingan Umno BN mengatasi segala-galanya.

Baginya, kenyataan Datuk Seri Bakri Zinin semalam mengesahkan dua perkara bahawa dokumen-dokumen Kementerian Kewangan termasuk minit yang ditandatangani oleh Najib dan dokumen lain berkaitan tender tersebut adalah benar dan asli.

Menurutnya, ia juga mengesahkan bahawa Najib bimbang skandal itu bakal menggugat kedudukannya apabila maklumat mengenainya tersebar luas.

Sehubungan itu, beliau kesal dengan kenyataan Bakri kononnya kebocoran maklumat sebegini menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara.

“Apakah beliau tidak memahami bahaya kepada jutaan orang awam yang sedang dan bakal menggunakan sistem LRT laluan Ampang sekiranya sebuah syarikat yang langsung tidak ada pengalaman di dalam sistem LRT dianugerahkan kontrak ini?

“Adakah beliau sendiri berani menaiki LRT sistem laluan Ampang saban hari ke tempat kerja sekiranya beliau sedar bahawa seluruh kerja-kerja pembinaan dikendalikan oleh sebuah syarikat yang hanya berpengalaman mengilang meter air?” tanya beliau.

Paling dikesali, ujarnya pimpinan PDRM tidak pula bergegas mahu menyiasat kebocoran maklumat pertahanan negara apabila dokumen sulit mengenai strategi dan kekuatan pertahanan negara dijual kepada syarikat asing, seperti yang didedahkan di Mahkamah Perancis baru-baru ini.

Jelas sekali, tambah Rafizi kepimpinan PDRM berbeza pendapat dengan rakyat Malaysia mengenai makna sebenar “kepentingan awam”.

“Saya sedar tanggungjawab yang perlu kami galas dan risiko yang perlu dihadapi,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan, sebarang usaha untuk menakut-nakutkan saya dan rakan-rakan dari terus membongkar skandal itu adalah sia-sia.

“Saya akan meneruskan siri pendedahan seterusnya pada hari Isnin, 9 Julai ini seperti biasa.

“Malah, mulai minggu depan kami akan mula turun ke stesen-stesen LRT untuk mengedarkan risalah maklumat dan melancarkan kempen “Utamakan Keselamatan Rakyat” di seluruh LRT laluan Ampang,” ujarnya.

Talam: Pemuda PAS sokong S'gor saman MCA

Harakahdaily, 05 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melahirkan sokongan terhadap tindakan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor untuk mengambil tindakan saman terhadap MCA berhubung dakwaan penyelewengan RM1 billion untuk menyelamatkan syarikat pembinaan Talam Corporation Sdn. Bhd.


“Tindakan ini diambil kerana dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan telah mencemarkan imej Kerajaan Negeri Selangor,” kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Sebelum itu, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong telah diberi peluang oleh kerajaan negeri untuk mengemukakan pembuktian terhadap dakwaan penyelewengan tersebut tetapi masih gagal untuk berbuat demikian.

Hasbullah berkata, pihaknya amat bersetuju supaya tindakan tegas itu diambil  dengan kadar yang segera bagi menjadi iktibar pengajaran kepada pihak MCA, Barisan Nasional dan pihak-pihak lain yang tidak bertanggungjawab supaya tidak secara sewenang-wenangnya menabur dan menghamburkan fitnah terhadap kerajaan negeri semata-mata untuk kelangsungan agenda politik sempit mereka.

Katanya, Pemuda PAS negeri berpendapat pihak MCA cuba untuk menjadi populis dengan agenda politik fitnah murahan.

Menurutnya, MCA yang semakin ditolak oleh pengundi di Selangor dilihat semakin terdesak untuk meraih sokongan rakyat walaupun terpaksa bergantung dengan isu-isu yang kabur dan berunsur fitnah.

Oleh itu, ujarnya Pemuda PAS Selangor menasihatkan pihak MCA dan Barisan Nasional supaya tidak lagi mencetuskan isu-isu yang berunsur fitnah dan kabur sebaliknya bertukar kepada perubahan politik yang lebih sihat berdasarkan hujah ilmiah dan pembuktian isu yang sahih.

“Janganlah disebabkan kebencian di atas kekalahan di dalam pilihanraya umum lalu maka segala tindakan yang diambil bukan disebabkan keperluan dan kehendak rakyat tetapi semata-mata untuk kepentingan diri sendiri,” katanya

Surirumah dipenjara kerana bunuh perogol?

Harakahdaily, 05 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Kisah seorang surirumah, S. Kalaichelvi yang dijatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana membunuh orang yang cuba merogolnya mendapat perhatian banyak pihak.


(S. Kalaichelvi diiringi polis selepas dijatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana membunuh orang yang cuba merogolnya)

Ramai yang bersimpati dengan nasib beliau itu dan tidak berpuashati dengan hukuman yang terpaksa beliau hadapi kerana mempertahankan diri dari dirogol.

Namun ada juga yang berpendapat hukuman itu wajar kerana pembunuhan itu dianggap kejam berdasarkan kesan luka kepada kepala perogol itu.

Di Ipoh Isnin lepas,  seorang isteri yang cuba dirogol oleh seorang lelaki yang dikenalinya telah dihukum penjara kerana tindakannya menetak perogol dengan parang sehingga menyebabkan kematian.

Dan kerana perbuatan mempertahankan dirinya itu, Mahkamah Tinggi Ipoh telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas S. Kalaichelvi, 24 tahun, selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki yang cuba memperkosanya pada tahun lepas.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abid. Ghani memerintahkan S. Kalaichelvi menjalani hukuman tersebut selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian M. Kumaran, 29, di dalam rumahnya di Taman Bistari, Ayer Tawar, Manjung di antara pukul 3 hingga 3.30 pagi pada 7 Januari 2010.

Mengikut fakta kes, lelaki yang dikenalinya itu menceroboh rumahnya kira-kira jam 3 pagi dari pintu belakang ketika suami wanita itu tiada di rumah.

Lelaki itu cuba memperkosanya tapi dia dapat melarikan dirinya ke dapur dan sempat mencurahkan serbuk cili ke mata perogol itu.

Dalam keadaan matanya yang pedih, perogol itu masih cuba untuk mendapatkan Kalaichelvi, tapi wanita tersebut dengan pantas mencapai sebatang besi dan memukul kepala lelaki itu.

Apabila lelaki itu berjaya merampas batang besinya, wanita itu mencapai parang dan menetaknya beberapa kali sehingga mati.

Beliau dengan bantuan suaminya kemudian membungkus mayat lelaki itu dan membuangnya ke parit di tepi jalan menjelang pagi.

Hakim Zainal Adzam dalam penghakiman bertulisnya berkata, Kalaichelvi sepatutnya dihukum lebih berat kerana melakukan 'pembunuhan kejam' terhadap perogol tersebut.

Seorang pengguna facebook telah memasukkan cerita ini dalam dinding facebook dan mendapat sambutan hangat para pengguna laman sosial itu.

Tidak sampai satu jam ia dimasukkan, 6,536 orang telah berkongsi cerita ini manakala 5,470 menyatakan 'like' kepada cerita ini.

Cerita ini juga menerima 4,341 komen dalam masa 40 minit.

Hampir semua komennya tidak berpuashati dan meminta kes ini dikaji balik untuk memberikan keadilan kepada wanita yang berani mempertahankan dirinya ini.

Appu Brothers menulis:

"Kes ini perlu dikemukan kepada Jabatan Peguam Negara serta human right's masalah ini perlu ditangani.

"Kita semua adalah manusia tak perlu fikir tentang agama, kasta atau taraf perkara ini perlu ditegas serta merta.

"Jom jom kita sebarkan masalah ini serta merta dan berjuang dapatkan keadilan."

Namun ada juga yang mempertahankan keputusan hakim ini kerana perogol itu telah ditetak dengan banyak kali berdasarkan kesan luka pada kepala lelaki itu.

Marina Bay Pulau Pinang akan ditutup?

Harakahdaily, 05 Jul 2012
PULAU PINANG: Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang mendesak kerajaan menjelaskan status Marina Bay, Pengkalan Weld Pulau Pinang yang dikhabarkan akan ditutup.

Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar dewan itu, Dzulfahmi Bakar berkata pihaknya mendapat maklumat bahawa pihak pengurusan Marina Bay tidak mampu untuk menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi.

Perkara itu juga katanya sedang heboh diperkatakan dan menjadi kebimbangan di kalangan pekerja di situ.

"Desas-desus ini sangat membimbangkan oleh kalangan pekerja Marina Bay khususnya pekerja secara kontrak, yang risau akan hilang hasil pendapatan untuk menyara keluarga mereka," katanya.

Selain pihak kerajaan, pihaknya juga turut menuntut Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Datuk Seri Chua Soi Lek membuat penjelasan secepat mungkin.

Himpunan Hijau Wilayah Persekutuan 14 Julai

Suhaimi Abd Aziz, 05 Jul 2012
PAS Wilayah Persekutuan akan meneruskan momentum kejayaan Himpunan Hijau di negeri-negeri dengan penganjuran Xpresi Hijau dan Himpunan Hijau menuju Putrajaya peringkat PAS Wilayah Perskeutuan.

Kali ini PAS Wilayah Perseketuan memilih lokasi ditengah-tengah badaraya Kuala Lumpur sebagai pusat penganjurannya.

Himpunan ini akan diadakan pada Sabtu, 14 Julai 2012, dan bertempat di dua lokasi berasingan.

Pada sebelah siangnya, Xpresi Hijau akan menggamit warga kota dengan Konvoi Motosikal anak-anak muda Kuala Lumpur mengelilingi bandaraya.

Program akan bermula seawal jam 9 pagi dan akan bergerak mengikut kawasan-kawasan menjelajah Kuala Lumpur.

Dijangkakan 1000 buah motosikal serta 200 buah kereta akan memenuhi segenap pelusuk Kuala Lumpur dengan pakaian serba hijau serta bendera PAS di kenderaan masing-masing.

Antara tetamu utama yag bakal hadir pada program Xpresi Hijau ini adalah Yasir Said, bekas juara Cub Prix Asia bersama dengan pimpinan Alternative Riding Club (ARC) serta pimpinan-pimpinan PAS WP. Prof Dr Nik Zain akan turut hadir menyampaikan ucapan kelak.

Di sebelah malamnya pula, PAS WP akan menganjurkan kemuncak Himpunan Hijau Menuju Putrajaya.

Lokasi Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru yang mempunyai nostalgianya tersendiri akan menjadi tuan rumah kepada puluhan ribu warga kota yang menyertai Himpunan ini.

Dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, disusuli pula Munajat Warga Kota Hadapi PRU ke 13 yang akan dipimpin oleh Dr Khairuddin Aman Razali At Takiri, Setiausaha Dewan Ulama’ PAS Pusat.

Selepas solat Isyak pada jam 9.00 malam, kemuncak program bermula dengan pidato daripada pimpinan-pimpinan PAS Pusat.

Antara pimpinan PAS Pusat yang akan hadir adalah Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man – Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Hj Ahmad – Ajk PAS Pusat, Mazlan Aliman – AJK PAS Pusat merangkap Presiden ANAK, Ustaz Nasrudin Hassan- Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Timbalannya Ustaz Nik Mohd Abduh, Setiasuaha Sdr Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Balasubramaniam - Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Selain mereka, PAS WP juga menjemput Datuk Adnan Ibrahim, bekas Pengarah Pelajaran Perak- Datuk Ramli Buyung, Naib Presiden Kanan Felcra Bhd, Abdullah Ali- lagenda bolasepak negara, Kamal Bachaa- bekas Ahli MKT PPP, serta Cikgu Nazri Nordin – bekas AJK UMNO Bahagian Gopeng.

Artis terkenal seperti Hairi Othman dan Zulkifli Ismail akan turut memeraihkan majlis ini nanti.

PAS WP juga meneruskan fenomena penghijrahan artis dan tokoh politik dan pegawai kerajaan ke dalam PAS.

Dijangkakan ada beberapa tokoh penting serta selebriti terkenal akan diisytihar menyertai PAS dalam majlis tersebut.

Seluruh ahli PAS, penyokong serta rakyat dijemput untuk menghadiri himpunan Hijau ini dengan memakai baju berwarna hijau bagi memeriahkannya.

Tiada ulasan: