Khamis, 4 Ogos 2011

BERUNTUNGLAH@BAHGIALAH DAPAT ISTERI2 SOLEHA...DAN TAK BERADA DIKALANGAN TUKANG CUCUK@MENGADU DOMBA....MENGADU DOMBA TAK CIUM SYURGA....

“بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في خير بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في خير
"Allah memberkati kamu berdua dan memberkati kamu berdua dan mengumpulkan di antara anda dan Tuhan memberkati dan diberkati kedua-dua anda dan menghimpunkan kamu dalam kebaikan"

Ciri-Ciri Isteri Solehah

Ciri-ciri isteri solehah- Mengakui dan menerima kenyataan bahawa
suami ialah ketua di dalam kepimpinan keluarga sesebuah rumah tangga.

Tiada siapapun boleh menyangkal bahawa suami telah diberikan kelebihan satu darjah daripada isteri.

Satu
kurniaan Allah yang meletakkan suami bertanggungjawab menjaga serta
mengawal keselamatan dan kesejahteraan perjalanan hidup keluarganya di
dunia dan di akhirat serta suami wajib memberi nafkah isteri dan
anak-anaknya.

Firman Allah: Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi
kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka
(lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki)
telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. (An-Nisa: 34).

- Memberi keutamaan hak suami kerana bagi seorang isteri tidak ada hak yang lebih utama kepadanya selain hak suami.

Aisyah
r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah mengenai hak siapakah yang lebih
utama diberikan oleh seorang isteri. Rasulullah s.a.w. menjawab,
suaminya. Apabila ditanya mengenai hak siapakah yang lebih utama
diberikan oleh suami. Baginda menjawab, ibunya. (Hadis riwayat Hakim).

-
Bersifat amanah iaitu menjaga maruah diri sendiri sebagai isteri dan
menjaga maruah suami terutama di dalam perkara-perkara rahsia peribadi
dan rumah tangga. Isteri ialah orang yang paling hampir kepada suami
yang tahu segala kekurangan dan kelemahan suaminya. Membuka rahsia suami
atau menyebarkannya akan menjejaskan kewibawaan suami, sekali gus
menggugat keharmonian rumah tangga kerana suami telah hilang kepercayaan
terhadap isteri.

Bijaksana mentadbir harta benda suami tanpa
membazirkannya. Jangan meminta sesuatu yang di luar kemampuannya kerana
hal yang demikian akan menyebabkan tekanan dan ketegangan di dalam
kehidupan suami.

- Sentiasa bersedia untuk menggembirakan hati
suami, sama ada dengan tingkah laku yang menawan, tutur kata yang
menjadi penawar serta perhiasan diri zahir dan batin.

Rasulullah
s.a.w. bersabda: Tiada faedah yang paling baik diperoleh seorang mukmin
(suami yang beriman) selepas bertaqwa kepada Allah azza wa jalla selain
isteri yang solehah. Apabila suami menyuruhnya, ia mentaatinya. Jika
suami memandangnya ia menggembirakan hati suaminya. Sekiranya suami
bersumpah, ia memenuhi sumpah suaminya itu. Apabila ia keluar kerana
bertugas atau berjuang, ia menjaga maruahnya dan maruah suaminya serta
menjaga harta benda suaminya dengan cara berjimat cermat
membelanjakannya. (Riwayat Ibnu Majah).

Isteri wajib mentaati
perintah suaminya selagi ia tidak bertentangan dengan kehendak Islam.
Tetapi sayangnya ramai di kalangan suami yang menyalahgunakan pengertian
taat ini. Mereka mengambil kesempatan untuk membebankan isteri dengan
pelbagai hal yang tidak wajar.

- Berusaha menambah ilmu
pengetahuan dan mempertingkatkan nilai-nilai akhlak yang murni supaya
sejajar dengan petunjuk yang diarahkan oleh Islam mengenai sahsiah
seorang isteri yang seharusnya dipilih oleh suami.

Sabda
Rasulullah s.a.w., Seorang wanita itu dinikahi kerana salah satu
daripada sifat-sifat utamanya; kejelitaannya, hartanya, akhlaknya dan
agamanya. Hendaklah kamu memilih wanita yang memiliki agama dan akhlak,
kamu akan beruntung kelak. (Riwayat Ahmad).

Mempunyai sifat
redha, yakin diri serta tawakal kepada Allah untuk menghadapi sebarang
masalah dan cabaran hidup berkeluarga selaras dengan firman Allah,
Bergaullah dengan isteri-isteri kamu menurut cara yang wajar dan baik.
Sekiranya kamu berasa tidak senang disebabkan perangai mereka,
bersabarlah mungkin dalam perkara yang kamu tidak suka itu Allah
menjadikan kebaikan yang banyak. (An-Nisa: 19).

Walaupun ayat ini
ditujukan kepada suami, pengajaran yang terkandung amat perlu menjadi
panduan kepada para isteri. Setiap orang hendaklah menyedari hakikat
bahawa tiada seorang pun yang cukup sempurna dalam segala aspek. Oleh
kerana itu kita perlu berusaha memperbetulkannya dan menyelesaikannya.

Rasulullah
memberi panduan, Janganlah seorang suami yang mukmin membenci isteri
yang mukminah disebabkan tingkah lakunya. Jika ia tidak berkenan kepada
satu daripada tingkah lakunya, tentu masih ada tingkah lakunya yang lain
amat disenanginya. (Hadis sahih).

- Membantu dan menolong
suaminya agar menjadi anak yang sedia berbakti kepada kedua-dua ibu
bapanya, lebih-lebih lagi ibunya yang telah lanjut usia, uzur dan miskin
kerana tanggungjawab anak lelaki lebih berat dan lebih utama terhadap
kedua-dua ibu bapanya.

- Bersedia menjadi penyokong kuat kepada
perjuangan suaminya iaitu perjuangan yang tidak menyimpang dari
garis-garis yang dibenarkan oleh Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w.,
Allah memberi rahmat kepada seorang isteri yang jika ia bangun malam dan
solat, ia membangunkan suaminya supaya sembahyang bersamanya. Tetapi
sekiranya suaminya enggan, direnjiskan air ke muka suaminya dengan penuh
kasih sayang.

- Berusaha menjadi ibu yang baik, bertanggungjawab
mendidik dan mengasuh anak-anaknya menjadi baik dan dapat melaksanakan
hukum-hakam agama, berakhlak mulia sehingga menjadi teladan kepada orang
ramai.

Inilah sebahagian daripada sahsiah isteri yang seharusnya
ada pada setiap wanita untuk mencapai kesempurnaan hidup berkeluarga
dan mendapat keredhaan Allah yang diharapkan oleh setiap suami seperti
doa Nabi Daud a.s.: ``Ya Allah, aku mohon kepada-Mu dikurniakan seorang
isteri yang solehah, yang dapat membantuku menyelesaikan urusan duniaku
dan urusan akhiratku.''

Sifat-sifat isteri yang baik adalah:

1 ) Ada ciri-ciri keselarian dengan suami.
Sebagai isteri hendaklah dia melahirkan ciri-ciri keselarian dengan suami.Isteri hendaklah menjadikan dirinya sumber kekuatan jiwa dan menjadi pendorong serta pembantu perjuangan suami,bukannya penghalang.

2 ) Menjadi teman atau penghibur suami
Isteri hendaklah menjadi teman bercakap dengan melayan fikiran suami.Iaitu dengan menumpukan sepenuh perhatian apabila suami bercerita.Sikap acuh takk acuh akan mengakibatkan perasaan suami tersinggung dan hilang minat untuk bercakap-cakap lagi.Sekiranya berterusan si suami akan dihinggapi penyakit suka mengelamun sendirian di rumah.Akibatnya bukan suami saja yang menderita malahan isteri juga akan menanggung seksa batin.

3 ) Pandai mengambil hati suami
Isteri hendaklah mengucapkan perkataan-perkataan yang menyenangkan suami.Elakkan dari berkata-kata hal yang tidak di sukai suami.Elakkan dari merungut-rungut tentang kesusahan dan keperluan hidup.Lelaki akan menderita sekali kalau orang dibawah tanggungjawabnya menderita.Jangan diapi-apikan apabila suami dalam keadaan marah.Banyakkan sebut kalimah Allah kerana kata-kata itu akan melunakkan hati suami.

4 ) Menjadi pelayan kepada suami
Kalau suami dilayan dengan baik,jiwanya akan hidup dan akan menjadi pejuang yang hebat.Kalau tidak dilayan,suami akan merasa hampa dan mati jiwanya.Isteri -isteri yang cerdik akan memahami seni melayan suami.

5 ) Memahami selera suami
Pelajarilah dan fahamilah selera suami.Walaupun bukan hukum fardu ke atas isteri ,tetapi kerelaanya menjalankan tugas itu menjadi lambang keluhuran jiwa.Suami akan merasa senang dan gembira sekiranya dilayan makan minum mengikut selera yang digemarinya.

6 ) Sedia berkhidmat untuk suami
Isteri yang solehah sedia berbuat apa sahaja untuk suami.Iaitu melayan tabi’i dan tuntutan semulajadi suami.Jimak hanya sebahagian dari sudut tuntutan tabi’i.Isteri hendaklah sentiasa berhias diri,sesuai cara bersolek dan pakaiannya,dan berwangi-wangian di samping suami


Ciri-Ciri Isteri Solehah

* Isteri yang sentiasa mencintai dan menghormati keluarga suaminya seperti mana ia menghormati dan menyayangi keluarganya sendiri.

* Isteri yang sentiasa menja
ga aurat dari pandangan yang bukan mahramnya dan pandangan matanya sendiri. Tidak membenarkan lelaki bukan mahram memasuki rumahnya ketika ketiadaan suami.

* Isteri sedia menjadikan suami sebagai ketua dalam rumah tangga mereka. Ini kerana sifat semulajadi itu Allah anugerahkan kepada lelaki.

* Isteri sedia memberikan kesetiaan, ketaatan dan kepatuhan kepada suaminya selagi suruhan suami tidak bertentangan perintah agama.

* Isteri sedia memberikan layanan dan kasih sayang yang sepenuhnya sehingga membuatkan suami berasakan rumah tangganya adalah tempat untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan dari sebarang masalah kerja.

* Isteri yang sentiasa menjaga rahsia dan maruah suaminya, begitu juga dengan maruahnya sendiri ketika ketiadaan suami. Isteri mestilah memohon keizinan suaminya untuk keluar dari rumah atau untuk mengerjakan puasa sunat.

* Isteri mestilah bijak menguruskan harta suami dalam berbelanja dengan kadar sederhana dan tidak membazir. Cara ini dapat menyelamatkan suami daripada masalah kewangan.

* Isteri yang sedia menerima pemberian suami dengan penuh keikhlasan dan kerelaan. Isteri tidak meminta sesuatu yang suami tidak mampu menunaikannya.

* Isteri yang sentiasa bersyukur dan tenang, sama ada menerima nikmat atau dugaan daripada Allah. Sedia melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu serta perintah Allah dengan tabah dan sabar.

* Berdiam diri sambil mendengar bila suami bercakap.

* Isteri yang sedia melayani dan memenuhi kehendak batiniah suami bila diperlukan.

* Isteri yang sentiasa menghias diri bila di hadapan suami dan
sebaliknya pula bila ketiadaan suami.

* Isteri yang sentiasa mendahulukan keperluan suami dari keperluannya sendiri.

* Isteri yang sentiasa bersikap malu terhadap suaminya, bersopan santun dalam perkataan dan juga perbuatannya.

* Isteri yang menemani suaminya ke muka pintu bila ia hendak keluar dan menyambutnya dengan senyuman bila ia pulang.


Tidak banyak syarat yang dikenakan oleh Islam untuk seseorang wanita menerima gelaran solehah, dan seterusnya menerima pahala syurga yang penuh kenikmatan dari Allah s.w.t.

Mereka hanya perlu memenuhi 2 syarat iaitu :

1. Taat kepada Allah dan RasulNya
2. Taat kepada suami

Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai berikut :

1. Taat kepada Allah dan RasulNya

Bagaimana yang dikatakan taat kepada Allah s.w.t. ?
- Mencintai Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. melebihi dari segala-galanya.
- Wajib menutup aurat
- Tidak berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah
- Tidak bermusafir atau bersama dengan lelaki dewasa kecuali ada mahram bersamanya
- Sering membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan taqwa
- Berbuat baik kepada ibu & bapa
- Sentiasa bersedekah baik dalam keadaan susah ataupun senang
- Tidak berkhalwat dengan lelaki dewasa
- Bersikap baik terhadap tetangga

2. Taat kepada suami

- Memelihara kewajipan terhadap suami
- Sentiasa menyenangkan suami
- Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya selama suami tiada di rumah
- Tidak bermasam muka di hadapan suami
- Tidak menolak ajakan suami untuk tidur
- Tidak keluar tanpa izin suami
- Tidak meninggikan suara melebihi suara suami
- Tidak membantah suaminya dalam kebenaran
- Tidak menerima tamu yang dibenci suaminya
- Sentiasa memelihara diri, kebersihan & kecantikannya serta rumah tangga

FAKTOR YANG MERENDAHKAN MARTABAT WANITA

Sebenarnya puncak rendahnya martabat wanita adalah dari faktor dalaman. Bukanlah faktor luaran atau yang berbentuk material sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh para pejuang hak-hak palsu wanita.

Faktor-faktor tersebut ialah:

1) Lupa mengingat Allah

Kerana terlalu sibuk dengan tugas dan kegiatan luar atau memelihara anak-anak, maka tidak hairanlah jika banyak wanita yang tidak menyedari bahawa dirinya telah lalai dari mengingat Allah. Dan saat kelalaian ini pada hakikatnya merupakan saat yang paling berbahaya bagi diri mereka, di mana syaitan akan mengarahkan hawa nafsu agar memainkan peranannya.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Jathiah, ayat 23: ertinya:

” Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya.”

Sabda Rasulullah s.a.w.: ertinya:
“Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga dia merasa cenderung kepada apa yang telah aku sampaikan.” (Riwayat Tarmizi)

Mengingati Allah s.w.t. bukan saja dengan berzikir, tetapi termasuklah menghadiri majlis-majlis ilmu.

2) Mudah tertipu dengan keindahan dunia.

Keindahan dunia dan kemewahannya memang banyak menjebak wanita ke perangkapnya. Bukan itu saja, malahan syaitan dengan mudah memperalatkannya untuk menarik kaum lelaki agar sama-sama bergelumang dengan dosa dan noda. Tidak sedikit yang sanggup durhaka kepada Allah s.w.t. hanya kerana kenikmatan dunia yang terlalu sedikit.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-An’am: ertinya:

” Dan tidaklah penghidupan dunia ini melainkan permainan dan kelalaian dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa, oleh kerana itu tidakkah kamu berfikir.”

3) Mudah terpedaya dengan syahwat.

4) Lemah iman.

5) Bersikap suka menunjuk-nunjuk.

Dunia adalah perhiasan, perhiasan dunia yang terbaik adalah Wanita yang solehah.


ELAK SERTA JAUHI MENGADU DOMBA....KESANNYA TIDAK BOLEH CIUM SYURGA....

Dosa Besar-Mengadu Domba

Mengadu domba merupakan perbuatan yang boleh mengakibatkan persengketaan dan perbalahan antara dua belah pihak. Sikap suka menyampaikan cerita atau menyampaikan percakapan satu pihak kepada pihak yang lain dengan tujuan yang tidak baik sehingga menimbulkan perasaan tidak senang di hati pihak yang lain, dan akhirnya membawa kepada perselisihan faham antara kedua belah pihak adalah sama dengan menabur fitnah.

Dalam peristiwa Isra‘ dan Mi‘raj, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyaksikan segolongan lelaki dan wanita yang memotong satu potongan daging daripada salah seorang dari mereka. Kemudian mereka meletakkan potongan daging tersebut pada mulut salah seorang dari mereka dan berkata kepadanya: “Makanlah sepertimana yang aku makan”. Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam bertanya: “Wahai Jibril, siapakah mereka itu?” Jibril ‘alaihisalam menjawab: “Mereka inilah pengumpat, pencela serta pengadu domba”.

Mengadu domba adalah maksud dari perkataan Arab an-namimah. An-namimah berasal dari perkataan an-namma yang bererti mengeluarkan berita dengan tujuan menghasut.

Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiah al-Muyassarah, an-namimah bermaksud memindahkan atau menyampaikan berita pada orang lain dengan tujuan yang tidak baik.

Menurut Imam al-Ghazzali Rahimahullah, perkataan an-namimah pada kebanyakan pendapat adalah menyampaikan percakapan orang lain kepada orang yang dikatakan. Contoh: Seseorang berkata kepada seseorang yang lain “ Si Fulan mengatakan tentang engkau begini begini”.

Contoh ucapan atau kata-kata lain yang menggambarkan tentang perbuatan mengadu domba, antaranya: “Dia melakukan begini terhadap hakmu”, “dia merancang untuk merosakkan urusan kamu”, “dia merancang untuk membantu musuh kamu” atau “dia memburuk-burukkan tentang hal dirimu”.

Hukum Mengadu Domba

Ulama bersepakat bahawa mengadu domba termasuk antara dosa-dosa besar. Imam al-Ghazzali Rahimahullah menyatakan bahawa mengadu domba adalah dilarang kerana ianya mendedahkan sesuatu perkara yang tidak boleh didedahkan samada perkara itu tidak disukai oleh orang yang mengatakannya atau orang yang mendengarnya atau tidak disukai oleh orang yang ketiga (orang yang dikatakan).

Perbuatan yang dianggap mendedahkan sesuatu perkara itu adalah samada dengan kata-kata atau dengan tulisan atau dengan isyarat atau dengan gerak-geri, samada yang disampaikan itu daripada perbuatan atau percakapan, samada ianya tentang keaiban atau kekurangan pada diri orang yang dikatakan.

Hakikat mengadu domba ialah mendedahkan atau membuka rahsia seseorang yang dia sendiri tidak suka orang lain mengetahuinya. Maka jika seseorang itu melihat sesuatu perkara (hal ehwal orang lain) hendaklah dia mendiamkan diri sahaja tanpa perlu menyebarkannya pada orang lain.

Walau bagaimanapun jika dengan menceritakan sesuatu perkara itu mendatangkan faedah kepada orang Islam atau dapat mencegah daripada berlakunya maksiat, maka tidaklah menjadi kesalahan jika dimaklumkan kepada yang lain. Contohnya: jika dia melihat seseorang mengambil harta orang lain, maka hendaklah dia menjadi saksi bagi melindungi hak orang yang empunya harta tersebut. Namun jika tujuan sebaliknya, perkara menceritakan hal atau percakapan orang lain dianggap sebagai mengadu domba.

Balasan Mengadu Domba

Mengadu domba merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar kerana perbuatan ini akan mengakibatkan perkelahian antara dua belah pihak. Maka oleh kerana itu Allah Subhanahu wa Taala telah menjanjikan balasan azab yang pedih kepada golongan pengadu domba.

1. Firman Allah Subhanahu wa Taala yang menggambarkan tentang kecelakaan dan penghinaan bagi pengadu domba:

Tafsirnya: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci dan pengeji.”
(Surah Humazah: 1)

Penghinaan, azab serta kebinasaan dari Allah Subhanahu wa Taala bagi golongan pencaci dan pengeji. Pencaci dan pengeji menurut Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu: orang yang suka mengadu domba, merosakkan kasih sayang (sesama manusia) dan penzalim yang membuka keaiban (orang lain).

2. Firman Allah Subhanahu wa Taala lagi:

Tafsirnya: “Yang suka mencaci lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk menjahilkan orang ramai).”
(Surah al-Qalam: 11-13)

Maksud ayat di atas ialah golongan yang suka mencaci dan menyebarkan fitnah untuk merosakkan orang lain dan ini tergolong di dalam perbuatan mengadu domba. Golongan ini tidak akan memasuki syurga sebagaimana yang diriwayatkan oleh Huzaifah Radhiallahu ‘anhu, bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba”
(Hadis riwayat Muslim)

3. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari sahabat, Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam berjalan pada suatu tempat lalu mendengar suara dua orang yang sedang disiksa di dalam kuburnya.
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda: “Dua orang (yang berada dalam kubur ini) disiksa, tapi bukan disiksa kerana melakukan dosa besar.”

Baginda Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda: “Ya, salah seorang daripada keduanya itu tidak bersuci dengan bersih setelah berkencing, sementara yang satu pula berjalan (di kalangan manusia) dengan mengadu domba”.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Bedasarkan al-Qur’an dan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam, mengadu domba itu adalah haram dan neraka adalah tempat mereka sebagai balasan daripada Allah Subhanahu wa Taala. Adalah menjadi kewajipan kita untuk tidak melakukan perbuatan tersebut dan menolak jika di datangi oleh golongan yang suka melakukan sedemikian.

Cara Menolak Jika Didatangi Oleh Pengadu Domba

1) Jangan mempercayainya, kerana orang yang suka mengadu domba adalah orang yang fasik. Orang yang fasik ialah orang yang ditolak kesaksiannya (syahadah). Allah Subhanahu wa Taala berfirman:

Tafsirnya: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
(Surah al-Hujurat: 6)

2) Melarangnya supaya tidak mengadu domba dan menasihatinya serta mencela perbuatannya itu sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala:

Tafsirnya: “Suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah dari melakukan perbuatan yang mungkar.”
(Surah al-Luqman:17)

3) Hendaklah membenci perbuatan mengadu domba itu kerana Allah Subhanahu wa Taala. Sesungguhnya perbuatannya itu sangat dibenci oleh Allah Subhanahu wa Taala. Maka wajib kita membenci perbuatannya sebagaimana Allah Subhanahu wa Taala membenci perbuatan tersebut.

4) Janganlah bersangka buruk terhadap sesama saudara dalam Islam yang tiada pada ketika itu. Firman Allah Subhanahu wa Taala:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang), kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”
(Surah al-Hujuraat: 12)

5) Tidak perlu memperbesar-besarkan apa yang disampaikan kepada kamu dengan mengintip atau mencari (keburukan) untuk memastikan (apa yang disampaikan), sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.”
(Surah al Hujuraat: 12)

6) Jangan kamu menerima apa yang kamu sendiri tidak suka dan melarang dari perbuatannya. Dan jangan disampaikan pula cerita tersebut pada yang lain, contohnya kamu berkata: “Si Fulan memberitahu kepadaku begini”. Perkara seumpama ini juga dianggap sebagai mengadu domba dan mengumpat. Maka dalam keadaan ini, kamu sendiri melakukan apa yang kamu sendiri melarang (orang lain melakukannya).

Peliharalah lidah daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh syariat, seperti mengadu domba atau menyebar fitnah kerana ia merosakkan perhubungan sesama insan. Takutlah terhadap balasan mengadu domba itu. Balasannya adalah api neraka sebagaimana yang diperlihatkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam pada malam Isra‘ dan Mi‘raj.







Tiada ulasan: