Selasa, 9 Ogos 2011

BERSYUKURLAH.BILA KITA DIBERI HIDAYAH DAN FAHAM ISLAM.MALANG MASIH TAK DAPAT HIDAYAH..DAN MASIH TAK FAHAM ISLAM.MUNGKIN MEREKA SENDIRI JAUH DARI ALLAH

Media gagal perlekeh ’Negara Berkebajikan’
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 9 Ogos: Isu Negara Berkebajikan yang cuba dicetus polemik media harian ternyata gagal apabila orang ramai sudah lama memahami konsep yang diketengahkan PAS itu.

Malah tanggapan media kononnya dasar perjuangan PAS sudah berubah juga gagal kerana dasar itu tidak pernah bertukar sejak gerakan Islam terbabit ditubuh pada 1951 sehingga sekarang.

Sebaliknya usaha dilakukan media proUmno berjaya mengetengahkan tema muktamar PAS pada Jun lalu dalam masa singkat ke ke seluruh negara.

Bagaimanapun bagi menjelaskan lagi isu berkenaan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini berjaya menyiapkan sebuah buku yang dinamakan ‘Negara Berkebajikan’.

Buku yang mengandungi tujuh topik itu membincangkan secara lebih terperinci ciri-ciri negara berkebajikan.

Pada bab akhir dikupas tajuk ‘Agenda PAS ganti Umno’. Buku berkenaan diterbitkan Pejabat Presiden PAS dan Dewan Ulamak PAS Pusat.

Buku setebal 86 halaman merupakan pendekatan PAS dalam usaha mengangkat gerakan tajdid siyasi khususnya dalam mempelopori konsep ’Negara Berkebajikan’.

Buku tersebut juga turut mengupas perbezaan di antara Negara Berkebajikan dengan Negara Kebajikan yang dipelopori barat.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, konsep Negara Berkebajikan berbeza dengan Negara Kebajikan yang diasaskan golongan sekular.

”Ia juga berbeza dari fahaman yang dianuti masyarakat terbanyak,” katanya ketika melancarkan buku tersebut di sini baru-baru ini.

Turut hadir anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyudin Hassan, Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar dan Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yussof.


Bonus tidak bantu golongan berpendapatan rendah
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Pengumuman pemberian bonus setengah bulan kepada penjawat awam oleh Perdana Menteri dikhuatiri tidak membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

Bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC), Syed Shahrir Syed Mohamud berkata, para penjawat awam khususnya yang berpendapatan RM1,500 ke bawah mengharapkan pengumuman yang lebih baik.

"Kita tidak tahu jumlah sebenar sebab gaji berbeza-beza. Pengumuman ini terlalu umum.

"Kumpulan yang berpendapatan rendah misalnya gaji mereka RM1,000 mereka akan dapat RM500. Adakah ianya boleh menceriakan keluarga itu untuk menyambut hari raya?" soalnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan PKR dan Ketua Cabang Kelana Jaya turut berkata, penjawat awam khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana mengharapkan jumlah yang lebih tinggi.

"Memang mereka mengharapkan sesuatu yang lebih baik tapi apa yang diberi setengah gaji kurang sesuai.

"Kita tahu sekarang kuasa beli tinggi dan pemberian ini tidak cukup untuk menampung keperluan yang ada," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pemberian bonus setengah bulan kepada penjawat awam dengan bayaran minimum sebanyak RM500 yang akan dibayar pada pertengahan bulan ini.

Beliau turut mengumumkan pemberian bayaran khas kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan, dibayar pada tarikh sama.

Sementara itu, Khamis lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada penjawat awam tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berharap kerajaan dapat menyediakan bonus sebulan sebelum sambutan Hari Raya dan sebulan bonus selepas sambutan perayaan itu.

Beliau berkata, Cuepacs telah memohon secara rasmi melalui surat kepada perdana menteri, dua bulan lalu.


Akta Jenayah Akidah bukti Umno tidak ikhlas
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Saranan mewujudkan Akta Jenayah Akidah semakin membuktikan sikap tidak ikhlas Umno mempertahankan Islam, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Cadangan itu bukan sahaja ketinggalan zaman, malah semakin membuktikan sikap tidak ikhlas Umno dalam isu-isu berkaitan kepentingan Islam atau dalam usaha-usaha mempertahankan Islam.

"Nampak benar bila Umno nak tonjolkan diri sebagai jaguh, akta mengenai murtad pun dicadangkan.

"Tetapi bila hal berkaitan Islam tidak menguntungkannya dari segi politik, Umno bukan sahaja tidak mahu menyokong malah menentang dan memfitnahkan habis-habisan seperti yang berlaku terhadap Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Negeri Terengganu dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993," kata beliau.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini dilapor mencadangkan agar Akta Jenayah Akidah diwujudkan bagi memastikan tiada usaha memurtadkan umat Islam berlaku di negara ini.

"Cadangan itu ketinggalan zaman. Di mana Umno ketika (Presiden PAS, Datuk Seri) Tuan Guru Abdul Hadi (Awang) berusaha mencadangkan rang undang-undang berkaitan di dalam Parlimen?

"Bukan sekali, malah dua kali Umno dilihat berkonspirasi mengetepikan perbincangan dan cadangan rang undang-undang mengenai murtad.

"Inilah contoh sikap lidah bercabang Umno dan bermuka-muka seolah-olah mahu membela Islam sedangkan terbukti sebelum ini mereka bukan sahaja tidak mahu melakukannya malah menentang serta memfitnahkan usaha memartabat dan melaksanakan hukum Islam," kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu membangkitkan, pada 25 Mac 1988, Presiden PAS selaku Ahli Parlimen Marang telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi ditolak.

Selepas itu, kata Mahfuz lagi, pada 2 November 1999, Tuan Guru juga tidak dibenarkan membentang rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad.

Bagi beliau, apa yang berlaku sudah lebih dari mencukupi untuk membuktikan Umno mahu menerima usaha-usaha lebih konkrit untuk membela kepentingan Islam kecuali apabila bertepatan kepentingan politiknya untuk mempengaruhi undi orang-orang Melayu.

Ditanya mengenai usaha PAS untuk bertemu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan gereja Methodist Damansara Utama berikutan serbuan Jais ke atas gereja tersebut baru-baru ini, Mahfuz berkata usaha tersebut adalah selaras dan sebahagian dari usaha berdialog dengan pelbagai pihak yang sentiasa ditekankan serta diamalkan oleh PAS sejak lama dahulu.

"Dengan dialog sedemikian, saya yakin banyak perkara boleh dibincangkan dengan sikap yang lebih matang dan muhibbah termasuk keselarasan tindakan dengan Perlembagaan Malaysia di mana Perkara 11 (4) perlembagaan tersebut melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang-orang Islam,” katanya.


PAS anjur Munajat Perdana PRU 13
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 9 Ogos: PAS akan mengadakan Munajat Perdana serentak di seluruh negara pada 26 Ogos ini untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Menurut pengarah programnya Idris Ahmad berkata program itu terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia manakala tempatnya akan ditentukan oleh Lajnah Tarbiah Dan Perkaderan PAS di negeri masing-masing.

Program akan bermula dengan solat terawih sehingga berakhir selepas subuh 27 Ogos.

Menariknya, mereka yang hadir ke program ini bakal mendengar amanah dari kepimpinan tertinggi parti yang dipancarkan secara langsung melalui internet.

Antaranya ucapan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib dan ucapan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang akan berucap dari Masjid Rusila, Terengganu.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pula akan berucap di Kota Bharu dan turut disiar secara langsung ke seluruh program munajat di seluruh negara.

"Semoga program ini akan memberi kekuatan baru kepada petugas-petugas untuk menghadapi cabaran yang begitu mencabar di dalam PRU 13. S

"Selain daripada kita mengatur strategi maka akhirnya kepada Allah untuk memohon pertolongan agar segala halangan akan dapat kita hadapi dengan tabah," katanya.


BN punca semangat sambut merdeka pudar
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Tindak tanduk Kerajaan BN yang amat mengecewakan rakyat menyebabkan semangat rakyat untuk merayakan sambutan kemerdekaan negara semakin pudar dari setahun ke setahun.

Pada dasarnya, semua rakyat Malaysia pasti ingin merayakan sambutan kemerdekaan negara, tetapi kekecewaan rakyat terhadap tindakan Kerajaan BN menyebabkan rakyat tidak bersemangat untuk menzahirkan semangat patriotisme masing-masing menerusi sambutan perayaan hari yang amat bermakna itu bagi setiap warganegara ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, keadaan itu agak berbeza dengan sikap yang ditunjukkan oleh rakyat negara-negara lain di seluruh dunia, termasuk Indonesia, apabila tibanya bulan sambutan kemerdekaan negara masing-masing.

Menurut beliau, antara bukti kekurangan semangat rakyat negara ini untuk merayakan sambutan kemerdekaan negara boleh dilihat dari kekurangan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di rumah-rumah, kenderaan-kenderaan dan premis-premis masing-masing.

Katanya, keadaan yang tidak memberangsangkan itu pula ternyata semakin ketara dari setahun ke setahun, lebih-lebih lagi pada tahun ini apabila bulan Ramadhan yang lebih menguasai suasana.

"Kerajaan BN sepatutnya faham dengan reaksi rakyat itu dan patut bertindak bijak mengatasi masalah. Reaksi seperti itu sudah ditunjukkan oleh rakyat sejak beberapa tahun lalu.

"Antara kekecewaan rakyat dengan tindak tanduk Kerajaan BN termasuklah tindakan kerajaan yang amat mengecewakan dalam melaksanakan pilihanraya sehingga pilihanraya di negara kita tidak pernah bersih dan adil.

"Apabila rakyat memprotes dengan mengadakan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu, Kerajaan BN mengarahkan pula pihak polis supaya berperang dengan rakyat yang berhimpun secara aman dan tanpa senjata yang menyertai perhimpunan itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sepatutnya, menurut beliau, kerajaan mendengar suara-suara yang baik dari rakyat kerana dengan itu barulah boleh diperbaiki segala kelemahan yang ada dalam kerajaan, tetapi tindakan Kerajaan BN ternyata sebaliknya.

"Itulah yang mengecewakan rakyat dan menyebabkan semangat rakyat untuk merayakan sambutan kemerdekaan turut berkurangan atau luntur dari setahun ke setahun, bukannya kerana rakyat negara ini sudah hilang rasa cinta dan sayangkan tanah air," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, keadaan itu diyakini akan berterusan selagi Kerajaan BN tidak berusaha mengatasi kekecewaan rakyat berhubung segala tindak tanduknya yang tidak disenangi itu.

Namun selagi Umno memerintah negara ini, beliau yakin, seluruh rakyat tidak akan berpeluang untuk menikmati keadaan lebih baik dalam negara ini kerana para pemimpin Umno BN tidak mungkin akan berusaha memperbaiki segala kepincangannya disebabkan kepentingan mereka sendiri untuk terus kekal berkuasa.

"Sekiranya Pakatan Rakyat yang memerintah negara dengan perubahan yang dijanjikan, kita yakin keadaan itu akan berubah dan rakyat pasti akan kembali bersemangat untuk merayakan sambutan kemerdekaan negara.

"Jadi kepada seluruh rakyat, saya harap jangan menjadi lemah untuk terus melakukan perubahan yang baik terhadap negara kita, walaupun dikecewakan, walau siapa pun yang memerintah negara," ujar beliau.


Putar belit fakta periksa gereja bawa perpecahan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyeru semua pihak supaya memberikan kepercayaan penuh kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selaku pihak berkuasa agama negeri untuk menjalankan tugas-tugas mereka khususnya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan hal ehwal Islam di negeri Selangor berkaitan isu pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak ke atas Dream Centre yang dimiliki oleh Damansara Utama Methodist Church.

Setiausaha agungnya, Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, PUM berpandangan adalah menjadi tanggungjawab Jais untuk menjaga hal-ehwal Islam dalam negeri Selangor lebih-lebih lagi dalam isu-isu aqidah yang merupakan perkara teras dalam Islam.

Katanya, selagi mana Jais bertindak dalam ruang-lingkup dan garis panduan undang-undang, maka pada hemat PUM, seluruh rakyat adalah perlu untuk memberikan keyakinan kepada pihak Jais dalam menjalankan tugas mereka.

“PUM amat bertegas dalam isu-isu yang melibatkan umat Islam khususnya untuk mempertahankan aqidah umat Islam,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

PUM juga, katanya dengan tegas menyeru kepada semua pihak untuk menerima hakikat serta akur bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan seperti yang telah termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, tegasnya adalah tidak sepatutnya mana-mana pihak untuk tampil mempertikaikan perkara tersebut ataupun cuba mengganggu-gugat kedudukan agama Islam dalam negara ini.

“Dalam hal ini juga, PUM juga menyeru dan menasihatkan seluruh pihak termasuk para pemimpin politik dan pihak media agar tidak menjadikan isu ini sebagai bahan provokasi,” ujarnya lagi.

Tambahnya, tindakan memutar-belit fakta kejadian adalah sesuatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan langsung tidak akan membantu untuk merungkaikan permasalahan itu selain akan membibitkan perpecahan dan ketegangan di kalangan rakyat.


Bukan Islam turut terima sumbangan Ramadhan
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 9 Ogos: Biarpun bulan Ramadan hanya disambut oleh umat Islam sahaja, namun kerajaan Kelantan itu tidak melupakan masyarakat bukan Islam di negeri itu.

Sempena majlis Iftor Ramadan dan sumbangan kepada golongan miskin anjuran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu, seramai 6 orang bukan Islam yang terdiri dari kaun Cina, India dan Siam turut menerima sumbangan berkenaan.

Mereka yang mewakili 25 Dewan Undangan Negeri di negeri itu menerima sendiri sumbangan dari Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang diadakan di Masjid Kota Darulnaim, di sini malam tadi.

Pada masa yang sama Kifalah Sdn Bhd turut menyumbang sebanyak RM1.5 juta kepada penerima untuk pemberian awal Ramadan.

Hadir sama, Ketua Eksekutif, Ir Mustapha Salleh , Adun serta pemimpin masyarakat.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu berkata, pentingnya golongan terbabit dijemput sama pada majlis berbuka puasa agar mereka dapat melihat keindahan Islam.

“Pada masa yang sama kita juga dapat memupuk rasa kasih sesama masyarakat pelbagai kaum,”ujarnya.

Sementara itu, Abdul Shakur Sharrie ketika ditemui berkata, sumbangan berkenaan hanya untuk awal Ramadan.

“Kita akan meneruskan sumbangan kepada penerima yang lain, iaitu pada pertengahan dan akhir Ramadan,”ujarnya.


Periksa gereja: Pemuda PAS ajak NGO Islam dialog
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Ekoran pelbagai reaksi ditimbulkan terhadap isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap gereja Methodist Damansara Utama baru-baru ini, Dewan Pemuda PAS akan menganjurkan sidang meja bulat berhubung isu itu.

Sidang atas tajuk “JAIS dan Gereja” itu akan diadakan pada 13 Ogos ini bertempat di Tingkat 5, Dewan KOHILAL Diamond Square, Setapak, Kuala Lumpur dan akan bermula pada jam 4.30 petang.

Menurut setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil, inisiatif dewan pemuda itu diambil bagi mendapatkan pandangan paelbagai pihak dan membincangkan kaedah terbaik menangani perkara itu dari terus dikelirukan.

"Isu Jais dan Gereja Methodist Damansara Utama belakangan ini menjadi menu utama di dalam media massa untuk dihuraikan. Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan masalah sebegini perlu ditangani dengan segera agar tidak timbul masalah lain yang lebih besar," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu mereka menjemput seluruh NGO Islam di negara ini untuk menghantar wakil mereka bagi membincangkan isu itu.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia amat berbesar hati sekiranya seluruh NGO Islam di Malaysia dapat mengambil bahagian di dalam perbincangan mengenai isu ini kerana ianya mampu menggugat keamanan negara.

"Sebelum ini kejadian-kejadian seperti rumah-rumah ibadat dibakar atau dicemari pernah berlaku di dalam negara kita. Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia berharap penyertaan NGO di dalam sidang meja bulat ini akan menghasilkan satu penyelesaian yang baik buat semua pihak," jelasnya.

Sementara itu, PAS hari ini memaklumkan telah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan gereja Methodist Damansara Utama bagi menetapkan tarikh pertemuan antara mereka.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, kedua-dua surat itu telah dihantar melalui faks kepada kedua-dua pejabat badan itu pagi ini.

Mereka mencadangkan tarikh pertemuan dengan Jais diadakan pada 15 Ogos ini manakala kunjungan ke gereja Methodist pula akan dibuat 16 Ogos ini.

Pertemuan dengan Jais dan gereja diputuskan oleh mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat Ahad lepas.

Ia bertujuan untuk mendapat gambaran dari mereka sendiri sebelum membuat apa-apa pendirian ekoran tindakan Jais memeriksa gereja berkenaan baru-baru ini.

Tindakan itu telah mendapat reaksi yang panas dari pelbagai pihak di negara ini. Ada yang menyokong di samping ada yang membantahnya secara keras.

Ekoran itu, PAS memutuskan untuk mendapatkan bukti dan gambaran yang jelas sebelum mengambil apa-apa sikap berhubung kontoversi itu.


Dia datang peluk dan cium saya - Catriona Ros
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: "Suami saya tanya, 'bila', saya kata 'pagi tadi'...dia tidak kata apa-apa hanya datang peluk dan cium saya," cerita pelakon Catriona Ros dalam rancangan Selami Jiwa yang dihoskan oleh Datuk Fadhilah Kamsah di Astro Oasis.

(Catriona dalam rancangan Selami Jiwa yang dihoskan oleh Datuk Dr Fadhilah Kamsah)

Catriona menceritakan pengalaman beliau yang mula bertudung 16 Julai tahun lepas dalam keadaan beliau adalah seorang pelakon di negara ini.

Catriona mula berhijrah memakai tudung 16 Julai tahun lepas ketika beliau menemani rakan-rakannya untuk membeli tudung di sebuah kedai.

"Oleh kerana lama sangat mereka pilih, saya rasa boring sangat, lalu saya ambil satu tudung dan cuba pakai. Ada satu macam perasaan dalam saya bila saya pakai, rasa berdebar-debar.

"Bila rakan-rakan saya tengok kenapa saya nampak pucat, saya kata saya nak pakai tudung...mereka gelakkan saya..mereka kata kepada saya jadikan ia azam tahun baru ke, puasa tahun depan ke dan sebagai.

"Tetapi bagi saya ketika itu, ia tidak akan lama...saya akan memakainya" cerita Catriona dalam rancangan yang disiarkan jam 1.45 petang tadi.

Catriona berasal dari Kelantan tetapi menetap di Kuala Lumpur.

Beliau bersekolah di sekolah agama Naim Lilbanat di Kota Bharu namun tidak pernah memakai tudung selepas keluar dari sekolah apatah lagi selepas bergelar artis.

"Keluarga saya tidak paksa saya bertudung namun kebanyakan mereka bertudung," cerita Catriona.

Menurut Catriona, ujian terbesar yang beliau hadapi dalam mengekalkan tudungnya adalah ketika suami beliau mengajaknya bercuti selama tujuh hari ke Australia.

"Di sana, tidak ada yang bertudung, ramai yang bermini skirt dan singlet sahaja...namun alhamdulillah saya berjaya untuk mengekalkan tudung saya sepanjang tujuh hari saya di sana," kata Catriona.

Turut menjadi tetamu Dr Fadhilah di rancangan bertajuk "bertudung, fesyen atau tuntutan agama itu adalah seorang remaja Nurul Atikah yang memakai tudung sejak berumur 13 tahun lagi atas didikan keluarga walaupun tidak ada paksaan.

Catriona berkata, respon yang paling beliau tunggu selepas memakai tudung adalah dari suaminya sendiri yang ketika itu berada di luar.

"Apabila dia pulang ke rumah dan membuka pintu, saya sudah memakai tudung...dia nampak sangat terkejut dan bertanya, 'bila', saya kata 'pagi tadi'...dia tidak kata apa-apa hanya datang memeluk dan mencium saya," cerita Catriona.

Suami beliau yang turut hadir ke rancangan Astro Oasis itu berkata, perkara pertama yang terlintas di kepala beliau ketika melihat isterinya bertudung adalah, 'bagaimana dia hendak bekerja' sebagai seorang artis.

"Namun selepas itu saya tahu, bertudung tidak semestinya tidak boleh berlakon," katanya gembira dengan perubahan isterinya.

Menurut Catriona, sambutan dari keluarga beliau juga sangat hebat.

"Selepas mereka tahu saya memakai tudung, mereka terus datang dari Kelantan ke Kuala Lumpur dan membawa tudung yang banyak untuk saya," katanya.


Tiada ulasan: