Sabtu, 13 Ogos 2011

BANYAK LAGI TAK SEPATUT DIPAPARKAN...MUZIK YG MELAMPAU..BUKA AURAT...PERGAULAN BEBAS DLL ...AKHIR JADI IKUTAN...PERKARA2 DOSA LEBIH MUDAH DIIKUT....

Akhbar Papar Berita Perkahwinan Sejenis, Ali Rustam Kesal

KULIM: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, kesal dengan sikap sebuah akhbar yang menonjolkan berita berhubung perkahwinan lelaki sejenis yang akan berlangsung di negara ini tidak lama lagi.

Beliau berkata, paderi warganegara Malaysia yang membuat pengakuan orientasi seks songsangnya dilapor akan berkahwin dengan pasangan kekasihnya seorang warga Afrika-Amerika tidak lama lagi.

"Dengan memperbesarkan kisah songsang paderi di akhbar berkenaan seolah-olah mengajak dan menggalakkan masyarakat di negara yang terdiri daripada golongan masyarakat majmuk dan anutan pelbagai agama menerima situasi tersebut," katanya ketika berucap pada Majlis Kasih Ramadan anjuran Pergerakan Puteri Umno Kedah di Kampung Air Putih, Junjong di sini.

Katanya, tindakan akhbar itu juga membelakangkan keprihatinan masyarakat di negara ini yang menganggap perkahwinan songsang adalah sesuatu yang luar biasa dan dilarang agama.

Beliau berkata, orang ramai perlu berwaspa dengan keadaan perkembangan cara hidup masa kini dan jangan mudah terpengaruh dengan budaya songsang itu.

Akhbar itu Khamis lalu melaporkan paderi berusia 41 tahun yang mengaku gay akan berkahwin hujung bulan ini atau awal bulan depan dengan majlis perkahwinan bakal diadakan di New York, Amerika Syarikat dan Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ali yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, menyokong penuh usaha Biro Antarabangsa Puteri UMNO yang mengambil inisiatif menubuhkan tabung kecemasan mengumpul dana membantu masalah kebuluran yang dihadapi rakyat Somalia.

"Umno tidak perlu menubuhkan sebuah tabung berasingan tetapi semua ahli dan pemimpin sewajarnya menyokong penuh aktiviti murni dan penuh kemanusiaan tersebut," katanya.

Terdahulu, kira-kira 200 orang fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim daripada 17 bahagian Umno di Kedah menerima bantuan barangan keperluan dapur serta duit raya yang disampaikan Mohd Ali pada majlis itu.-BERNAMA


SPR Padam Nama 12,000 Pengundi Berusia 90 Tahun Ke Atas

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memadam nama 12,000 pengundi yang berusia 90 tahun ke atas daripada senarai daftar pemilih berkuatkuasa serta merta, kata Pengerusinya Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata keputusan itu dicapai oleh SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) baru-baru ini kerana mereka tidak lagi aktif berurusan dengan JPN selain telah meninggal dunia atau lucut kewarganegaraan.

Bercakap kepada pemberita sebelum menghadiri majlis berbuka puasa SPR di sini hari ini, Abdul Aziz berkata bagaimanapun jika ada warga negara berusia 90 tahun ke atas yang ingin mengundi tetapi mendapati namanya sudah dipadam, mereka boleh menghubungi SPR dan JPN untuk mengaktifkan nama mereka kembali.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz menafikan SPR mendaftarkan nama warga negara asing sebagai pengundi supaya jumlah pengundi berganda seperti yang didakwa pihak pembangkang. "Tiada daftar pemilih yang 100 peratus tepat di mana-mana negara pun. Kita ada 12.3 juta pengundi di seluruh negara. Memang perlu berhati-hati supaya tidak berlaku kesilapan.

"Kadangkala ia berlaku juga disebabkan masalah teknikal, nama bertindih dan sebagainya. Tetapi kita tidak akan biarkan nama-nama itu dan sentiasa dibersihkan melalui Agency Link-up System' (ALIS)," katanya yang akan mengadakan perbincangan untuk memperbaiki masalah itu dengan JPN pada minggu hadapan.

ALIS adalah sistem ekslusif yang menghubungkan secara dalam talian, ibu pejabat dan pejabat negeri SPR dengan JPN.

Mengenai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13, Abdul Aziz berkata SPR sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapinya termasuk mewujudkan jawatankuasa teknikal khas antaranya untuk memantau kawasan logistik di setiap negeri, urusan bajet, petugas serta peti undi.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan kakitangan sokongan SPR dalam membantu meringankan beban mereka untuk menyambut Aidilfitri. -BERNAMA


PM dan isteri tak mahu jadi saksi
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor memberitahu peguam yang mewakili ketua pembangkang yang juga defendan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa mereka tidak mahu menjadi saksi pembela.

Ini didedahkan oleh peguam utama Anwar - Karpal Singh - dan juga peguam Sankara Nair, lapor Malaysiakini.

Karpal dan Sankara, serta peguam kanan Datuk Param Cumaraswamy dan Ram Karpal, berada di dalam bilik yang sama apabila saksi-saksi dibawa masuk, seorang demi seorang.

Karpal berkata, apabila peguambela tiba di kompleks mahkamah, Najib dan Rosmah sudahpun berada di situ.

"Najib masuk dahulu dan apabila kita tanya, beliau kata tak mahu jadi saksi pembela dan tidak mahu ditemubual," kata Karpal.

Kemudian tiba giliran Rosmah dan beliau memberitahu perkara yang sama, dan diikuti pula oleh bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Ketiga-tiga mereka (Najib, Rosmah dan Rodwan) berada di dalam bilik dan mereka tidak ditemani peguam.

Najib dan Rosmah tiba kira-kira jam 2.55 petang dan beredar kira-kira jam 3.28 petang.

Pembantu mereka menunggu di luar semasa mereka menghadiri temubual ringkas itu.

Karpal berkata mereka terkejut kerana tiada tanda-tanda yang Najib dan Rosmah akan datang hari ini.

"Biasanya, mereka akan memberi notis terlebih dahulu," kata peguam kanan itu.

Karpal menyifatkan Rosmah dalam keadaan 'teramat tegang' ketika diajukan soalan dan pada satu ketika, beliau (Rosmah) berkata, "jangan buli saya, Encik Karpal".

Kata Karpal, beliau tidak tahu mengapa Najib dan Rosmah takut untuk datang ke mahkamah, ketika mengulas keengganan mereka untuk menjawab soalan.


SPR 'berpenyakit', ganti muka baru
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan menyeru rakyat akan berperanan sebagai 'hospital awam' untuk mengeluarkan sijil 'tidak layak urus pilihan raya' kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini kerana sistem pilihan raya negara ini katanya mengalami kepincangan sangat teruk dibawah kendalian SPR seperti yang didedah banyak pihak.

Sehubungan itu katanya, seluruh rakyat disaran terus membongkar penyelewengan dan salah laku SPR dalam mengendalikan pilihan raya khususnya menjelang PRU ke-13.

"Saya selaku Ketua DPPM mengarahkan semua jentera pemuda PAS di semua peringkat khasnya kawasan dan negeri untuk mempertingkatkan tindakan membongkar penyelewengan dan mendedah salah laku SPR, agar rakyat segera menyedari bahawa sistem pilihanraya negara kita pincang teruk setelah dikendalikan oleh SPR yang telah hilang kelayakan mengurus.

"Rakyat mesti menjadi "Hospital Awam" untuk mengeluarkan sijil "Tidak Layak Urus Pilihanraya" kepada SPR ekoran kini SPR sedang mengidap "down sindrom" yang kritikal," katanya.

Beliau mengulas beberapa pendedahan membabitkan pendaftaran penduduk tetap sebagai pengundi yang kemudiannya ditukar status menjadi warganegara.

Ianya juga termasuk pembongkaran wujudnya pengundi klon yang membolehkan seoran individu mengundi dua kali.

Jelasnya, SPR kian hilang status kelayakan untuk mengendalikan sistem pilihanraya negara secara adil, telus dan saksama.

Runtuhnya nilai integriti dan lunturnya tahap kepercayaan rakyat terhadap SPR bukan berdasarkan graf persepsi tetapi berdasarkan statistik berfakta dan memiliki bukti nyata serta pengakuan saksi seperti dalam kes mengundi dua kali dan manipulasi undi pos.

Ekoran pendedahan berterusan itu juga, Umno BN katanya terpaksa mengunci mulut dan SPR hilang nilai integriti dan kebolehkepercayaan terhadap badan pengendali pilihan raya yang juga anak emas Umno itu kini luntur.

Teraju SPR perlu diganti

Beliau juga membidas jawapan standard yang dikeluarkan oleh SPR melalui pengerusinya bahawa apa yang didedahkan Pakatan Rakyat itu merupakan kesilapan manusia sewaktu memasukan data dalam sistem.

Sekiranya SPR mempunyai tenaga manusia yang sering melakukan kesilapan serupa ujarnya, pengerusi dan timbalannya mesti mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan segera dan SPR mesti dipimpin oleh manusia yang berkualiti tinggi, berintegriti dan bertanggungjawab.

"SPR yang ada pada hari ini mesti dibubarkan segera. Saya merayu dengan segala kerendahan diri sebagai rakyat biasa kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia yang di Pertuan Agong agar merombak SPR dan membuat perlantikan baru dengan diserahkan amanah suruhanjaya ini kepada mereka yang layak, berintegriti serta benar-benar telus dan bebas dari kawalan Umno dan BN atau mana-mana parti politik yang bertanding.

"Saya bersumpah dengan nama Allah swt Tuhan Yang Maha Adil lagi Maha Bijak, bahawa saya dan seluruh anak muda khasnya pemuda-pemuda PAS tidak rela menyertai pilihanraya umum yang ke 13 akan datang berwakil "wali" kan SPR yang ada pada hari ini," tegasnya.


Daftar pemilih: PAS mohon Agong campur tangan
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: PAS memohon Yang di-Pertuan Agong campur tangan dalam isu pembersihan daftar pemilih melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, PAS mahu Agong mengambil tindakan terhadap pihak atasan SPR khususnya pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalan pengerusi, Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana gagal menjalankan tugas dengan baik.

"Walaupun sudah berulang kali disebut mengenai pembersihan daftar pemilih tapi dinafikan SPR, sekarang sudah terdedah banyak penyelewengan dalam SPR sehingga ada nama Kg Baru sebagai pemilih dan kes Mismah.

"PAS harap Yang di-Pertuan Agong dapat mengambil tindakan terhadap SPR supaya pilihan raya yang adil dapat dilaksanakan," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Baru-baru ini, heboh apabila media mendedahkan mengenai penduduk tetap (PR) yang memegang kad pengenalan merah mendapat taraf warganegara dengan mudah, sekaligus didaftarkan sebagai pemilih.

Nama Kg Baru pula didapati layak mengundi di sebuah kawasan di Besut, Terengganu.

Selain itu terdapat pertindihan nama pemilih di beberapa kawasan yang sangat meragukan.

Tambah Mohamad, SPR harus mengakui kesilapan dan pengerusinya harus meletakkan jawatan atau dikenakan tindakan yang setimpal.

Mohamad berkata, memandangkan memorandum mengandungi lapan tuntutan Bersih 2.0 telah diterima Agong, pihaknya mahu Tuanku Mizan Zainal Abidin mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Kita tidak perlu serah memorandum lagi tapi mempertegaskan lapan tuntutan Bersih 2.0 khususnya dalam isu daftar pemilih ini," katanya.

Tegasnya, isu ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana melibatkan sistem demokrasi dan kepercayaan rakyat.

"Pilihan raya yang adil penting kerana kalau rakyat tidak terima keputusan pilihan raya, itu sangat bahaya kerana rakyat sekarang semakin celik maklumat," katanya.

Beliau juga kesal dengan SPR yang sering bertindak double standard terhadap Pakatan Rakyat.

"Datuk Wan Ahmad selalu guna kalimah parti pembangkang sedangkan beliau tidak berhak melabelkan mana-mana parti sebagai pembangkang kerana semua parti ialah pelanggannya dan harus bersifat adil," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ahli jawatankuasa PAS Pusat, Anuar Tahir.


Konvensyen P'raya PAS Pahang garis kemenangan PRU 13
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 13 Ogos: Dengan jangkaan pilihan raya umum (PRU) 13 hanya dalam tempoh beberapa bulan dan PAS bersama Pakatan Rakyat pula berpotensi untuk mencipta kemenangan, satu konvensyen pilihan raya akan diadakan Rabu ini.

Konvensyen Pilihan Raya PAS Pahang yang dijadualkan pada 17 Ogos itu akan berlangsung di Markas Darul Amin, Sungai Gau bermula jam 8 pagi hingga 12 malam.

Menurut pengarah program Abdul Majid Hasan (gambar), pada majlis tersebut tiga tokoh PAS Pusat akan membentangkan pengarahan kerja serta motivasi iaitu Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengarah Pilihan Raya, Dr Hatta Ramli.

“Tema konvensyen yang sangat penting ini ialah ‘Sederap Menjana Kemenangan’ dan ia lanjutan daripada program retreat pilihan raya yang diadakan di Cameron Highlands baru-baru ini.

“Matlamatnya ialah untuk merangsang, menggerakkan dan mengaktifkan jentera serta petugas di semua peringkat parti
untuk kemenangan pada PRU 13. Juga menyediakan roadmap bertindak mulai Ogos 2011.

“Urusetia menjangkakan 1,000 peserta akan hadir yang terdiri daripada anggota Badan Perhubungan Negeri, Dewan-Dewan, Kawasan PPPP, AIPP, DHPP dan Pimpinan Pakatan Rakyat Pahang,” katanya kepada Harakahdaily.

Abdul Majid yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pahang berkata, acara pada sebelah siang akan berakhir pada pukul 4 dengan penyerahan buku rumusan bertindak yang disepakati iaitu ‘Perincian Gerak Kerja Merujuk Resolusi Retreat’.

Pada sebelah malamnya akan diadakan tahlil dan iftar perdana, Solat Maghrib, Isyak, Tarawih dan diakhiri dengan ceramah perdana melibatkan ketiga-tiga tokoh.

Dalam pada itu Abdul Majid memberitahu, fokus PAS Pahang ialah untuk mendapatkan undi Melayu dan jika berjaya Pakatan Rakyat boleh mendapat majoriti mudah.

Tambahnya, ini tidak mustahil kerana 12 daripada 14 kerusi parlimen di Pahang merupakan kawasan Felda. Di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) pula, terdapat 25 kerusi kawasan Felda daripada 43 Dun keseluruhannya.

“Dengan peningkatan sokongan dibandar, sokongan bukan Melayu yang masih kekal, lonjakan kesedaran di kalangan peneroka Felda serta pelbagai kelemahan kerajaan negeri yang hangat diperkatakan, maka kita yakin Pakatan Rakyat boleh membuat kejutan dalam PRU akan datang asalkan pelan gerak kerja dilaksanakan di semua peringkat,” tegasnya.

Tambahnya, gelombang kebangkitan kemenangan Pakatan di Pahang bermula dengan konvensyen ini.


Umno jual masa depan Melayu kerana dendam pada PAS
Muhammad Nuruddin Bashah

Walaupun terdedah luas saham bumiputera yang hanya tinggal 2 bilion selepas terhakis sebanyak 52 bilion sejak pemerintahan BN, rakyat malaysia khususnya melayu masih cuba diyakinkan oleh media bahawa pejuang nasib mereka adalah UMNO dan BN semata-mata.

Adakah benar kebebalan rakyat dimanipulasikan oleh UMNO ataupun sebenarnya propaganda UMNO kian tidak dikemaskini sehingga masih mencanagkan jasajasa lapuk mereka sedangkan dari hari ke hari, sekian banyak keskes pengadaian hak melayu berlaku di negara ini.

Hebatnya propaganda dan perang saraf UMNO menyebabkan PAS sendri terpaksa melakukan sesuatu sebagai bukti penegasan komitmen PAS dan pakatan rakyat untuk melindungi hak bumipuetra dan Melayu dalam Konvensyen Nasional pengupayaan Bangsa pada 19 Feb 2011 yang lalu.

Di tangan UMNO juga, tanah rezab melayu menyusut dan terhakis sedikit demi sedikit. Ke mana pergi tanah rezab Melayu yang ditinggal oleh penjajah seluas 3 juta hektar. Sekarang separuh tanah telah bertukar hak milik hasil pengkhinatan amanah oleh pemimpin UMNO. Tahun 1985 sahaja tanah rezab Melayu hanya tinggal 1.7 juta hektar.

Tetapi mengapa masih laras senjata propaganda BN masih dihalakan kepada pentadbiran DAP di Pulau Pinang serta Pakatan Rakyat di Perak dan selangor? Paling ketara, dosa penghakisan hak melayu dan masa depan melayu di Pulau Pinang dilepaskan kepada DAP yang hanya hampir sepenggal memerintah negeri. Pulau Pinang negeri pertama haramkan judi bola, sebab itu banyak negeri ikut termasuk Johor dan sebagainya. Bila Pulau Pinang menjadi peneraju kepada pengharaman judi ini, UMNO banyak rugi, untuk 'election fund' (dana pilihan raya). Lebih malang dalam jawapan Rais Yatim (Tan Sri Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan), beliau menyatakan mereka perlu luluskan judi bola beralasan untuk kaum Cina.

Jika ditinjau propaganda UMNO di Perak, jelas rahmat yanag cuba diberi oleh Pakatan Rakyat melalui pemberian geran tanah kepada kaum Cina cuba dipolitikkan serta dikalihkan seolah-olah Pakatan rakyat menggadai tanah melayu. Sekarang cuba perhatikan fakta menunjukkan Umno yang khianat tanah orang melayu dan rakyat di negeri Perak.

Kerajaan PR Perak memberi tanah 102,000 lot kampung tersusun (kebanyakan Melayu) melibatkan 7,000 ekar. Manakala 47,000 lot kampung baru (kebanyakan China) dan sebilangan kecil kampung adat (orang asli). Jumlah yang diberi kepada orang China adalah 3,000 ekar sahaja. Perlu diperingat bahawa tanah tersebut sudah diduduki orang China lebih daripada 70 tahun lalu (sebelum merdeka lagi).

Cukup tidak cerdik jika hal tanah 3000 ekar yang diberi kepada orang Cina yang memang haknya untuk dapat kerana mereka adalah rakyat di negara ini berbanding tindakan kerajaan memberi IC kepada warga asing semata-mata untuk menawan semula Selangor.

UMNO mengajar rakyat melatah dengan 3000 ekar tanah yang telah lama diduduki oleh kaum Cina marhain, sedangkan UMNO mengajar orang melayu diam terpinga-pinga apabila tanah Rezab melayu yang jelas dilindungi oleh enakmen digugurkan dan diserahkan kepada aristokrat dan korporat bukan melayu yang kaya raya!

Apa makna tanah rezab melayu kepada maruah bangsa Melayu?

Undang-undang Tanah Rizab Melayu (selepas ini ERM) mula diperkenalkan pada 1 Januari 1914 apabila Enakmen Rizab Melayu 1913 (ERM 1913) dikuatkuasakan dinegeri-negeri yang dahulunya dikenali dengan nama Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. 2 objektif yang disasarkan ialah menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara juapun kepada bukan Melayu serta menyekat tanah Pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian (private dealings) di antara Melayu dan bukan Melayu.

Mana-mana tanah yang dimiliki atau diduduki oleh orang bukan Melayu, atau orang bukan Melayu mempunyai hak atau kepentinagan, tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. (Rujuk Perkara 89(4) Perlembagan Persekutuan]

200 ekar tapak kilang simen Perak Hanjoong diserahmilik kepada YTL. (sekarang YTL kerana digadai oleh pemimpin UMNO kepada YTL! ) Ini adalah tanah rizab melayu di Padang Rengas, Kuala Kangsar dekat Highway! YTL CORP BHD DIKUASAI OLEH KELUARGA TAN SRI YEOH TIONG LAY MELALUI YEOH TIONG LAY & SONS HOLDINGS SDN BHD.

9 ribu hektar tanah Rezab Melayu di Selangor telah ditukar status kepada bukan rezab Melayu. Hanya 1/3 sahaja (lebih kurang 3 ribu hektar sahaja yang diganti. UMNO lupa jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis (similar in character) dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta merta diisytiharkan sebagai ganti.Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah. [ Rujuk Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan].

Jika UMNO mengaku boleh membantu rakyat di negeri Pakatan Rakyat, sila perhatikan fakta ini di negeri lubuk UMNO sendiri. Pada 13 Jun 2008 (Utusan Malaysia) melaporkan penduduk sekitar daerah Kota Tinggi, kecewa dengan tindakan pejabat tanah menolak permohonan mereka mendapatkan tanah seluas 182.11 hektar di Batu 15 Jalan Kulai, Mukim Ulu Sungai Johor di sini. Tanah yang sudah dipohon sejak 20 tahun dahulu telah diberi kepada syarikat bukan bumiputera. Adakah ini salah DAP dan pakatan Rakyat?

Menurut kajian Ustaz Idris Ahmad (AJK PAS Pusat), Tanah rezab Melayu seluas 94 ekar yang diteroka sejak 72 tahun telah terkorban untuk projek Pencala Link dekat Damansara Kuala Lumpur.

Sebanyak 840 hektar tanah rezab melayu di Pahang bakal hilang apabila projek ECER (Koridor ekonomi pantai timur)

Pengkhianatan Umno kepada orang Melayu telah berjaya menghilangkan tanah rezab Melayu dari 3juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar (1995). Bermakna 44% tanah rezab Melayu yang ditinggal oleh penjajah dengan susut kadar 1.2% setahun. Nampaknya penjajah lebih berhati perut daripada pemimpin Umno dalam menjaga orang melayu. Kalau tidak disekat maka tahun 2020 tanah rezab Melayu hanya tinggal 30% sahaja.

Ironinya aktiviti 'Gadai tanah' kepada orang asing dan kepada kaum Cina melibatkan tanah kerajaan termasuk banyak tanah 'rezab Melayu' adalah jenayah kerajaan UMNO/BN selama berpuluh-puluh tahun. Singapura adalah tragedi gadaian terhebat oleh UMNO yang berlarutan hingga terpadamnya Pulau Batu Putih daripada peta Malaysia. Kehilangan tanah KTM ratusan hektar yang menimbulkan kontroversi di dalam hubungan kedua-dua negara ialah isu tanah milik Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di Republik Singapura. Tanah pajakan kekal 999 tahun itu diperoleh melalui perjanjian di antara Kerajaan Negeri-negeri Selat dan Kerajaan Melayu Bersekutu yang dikenali sebagai Perjanjian Tahun 1918. Perjanjian ini telah digazetkan dalam The Singapore Railway Transfer Ordinance (Chapter 380) pada tahun 1918 kini telah terlepas kepada Singapura dalam bentuk perjanjian yang tidak menguntungkan bangsa dan tanahair pada masa akan datang.

Suatu ketika dahulu Dr Mahathir meneropong Pulau Pinang dari Seberang Perai dan terlihat kawasan perkampungan Melayu Jelutong yang terhakis dan dhaif sedangkan Gerakan-BN sedang memerintah Pulau Pinang. Beliau mengatakan penduduk melayu Jelutong seperti melayu selepas Perang.

Masalah Melayu Pulau Pinang yang dikatakan terpinggir biasanya dibangkitkan setiap kali menjelang Perhimpunan Agung Umno. Agenda siapa, tak tahulah. Selepas itu suara-suara marah reda sehinggalah tahun berikutnya. Namun selepas Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum Mac 2008, isu Melayu Pulau Pinang yang biasanya timbul setahun sekali, secara tiba-tiba golongan ini menjadi terpinggir dan ditindas setiap hari; setidak-tidaknya itulah yang dilaporkan oleh media arus perdana saban hari.

Berdasarkan ringkasan laporan disediakan bersama Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), pemilikan tanah Melayu di sebelah pulau merosot berikutan perpindahan mereka ke Daerah Barat Daya selain Seberang Prai Utara, Seberang Prai Tengah.

Ramai Melayu turut berhijrah ke negeri lain seperti Kedah dan Perak. Semua kawasan ini dianggap tidak strategik, nilai ekonominya rendah, kurang membangun serta kawasan pertanian. Bukan Bumiputera menjadi majoriti di Daerah Timur Laut dan Seberang Prai Selatan. Kawasan itu sangat pesat termasuk membabitkan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan projek Penang Global City Centre (PGCC), sedangkan pemilikan tanah Melayu di daerah itu semakin mengecil.

Walau pun tidak dinafikan wujudnya kemiskinan Melayu di Pulau Pinang terutamanya di kawasan bandar serta masalah-masalah berkaitan perniagaan kecil, pemilikan rumah dan hartanah serta penguasaan bidang-bidang kerja, Umno mempunyai lebih 50 tahun untuk membantu menyelesaikan masalah itu atas dasar pegangan kuasa di peringkat pusat bukan menyalahkan DAP yang hanya menduduki Komtar sejak tahun 2008 sahaja.

Persempadanan semula kawasan pilihanraya 2003 dengan tidak menambah kawasan kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah sedangkan itu negeri majoriti melayu. Dalam masa yang sama UMNO kerap berhujah bahawa kemenangan Pakatan Rakyat hanya akan menyebabkan kerusi kaum melayu kurang dalam parlimen dan DUN.

Sila baca fakta di bawah.

Pada PRU 2008, Pembangkang menguasai 38.3% kerusi di Dewan Rakyat. Wakil rakyat Melayu didalam pembangkang yang melonjak kepada 51.8%. Wakil rakyat Bukan Melayu di dalam Pembangkang pula ialah 48.2%.

Pada PRU 2008 juga, wakil rakyat BN Melayu adalah 62.8%. Wakil Rakyat BN Bukan Melayu pula 37.2%.

Baik Pakatan Rakyat mahupun BN, pemilihan wakil ke Parlimen adalah berdasarkan komposisi kaum justeru tiada isu bahawa Pakatan Rakyat mengenepi kaum Melayu.

Isu gadai melayu bukan suatu isu kecil yang boleh dipermainkan. Begitu mudah UMNO menuduh kerajaan rakyat serta DAP terutamanya sebagai petualang menggadai Melayu dalam masa yang sama rakyat dialpakan seumpama ‘kuman seberang laut nampak, gajah sebelah tidak kelihatan’. Bagaimana dengan usaha menidakkan royalti minyak di Terengganu dan Kelantan sedangkan ini negeri majoriti Melayu. Negeri yang miskin itu sebenarnya dikayakan oleh Allah dengan hasil bumi bernama petroleum. Dendam UMNO terhadap PAS melulu sehingga sanggup menjual masa depan bangsa Melayu di timur Semenanjung melalui usaha menidakkan royalti minyak.

Usaha penerangan kepada masyarakat berkenaan isu ini masih tidak mencukupi. Usaha keras dan meluas perlu dilakukan untuk memberi maklumat sahih kepada kaum melayu terutamanya. Isu ini bukan sekadar pemahaman melalui fungsi minda tetapi kepercayaan hati kaum Melayu yang perlu dididik agar keluar daripada fahaman propaganda chauvinisme UMNO.

Ketua Penerangan DPPK Gopeng


Imam digantung kerana sertai Bersih 2.0?
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Seorang imam bertauliah di kawasan Gelang Patah digantung jawatannya oleh Jabatan Agama Johor (JAJ) dipercayai kerana beliau menyertai himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Beliau Hassan Md Said, imam masjid Kampung Ladang sudah berkhidmat selama 14 tahun.

Menurut surat yang ditandatangani Pengarah Jabatan Agama Johor, Elias Hasran, penggantungan Hassan bermula pada tarikh 2 Ogos lalu sehingga 2 November 2011.

Tanpa menyatakan kesalahan Hassan dengan jelas, surat itu hanya menyatakan tindakan penggantungan itu kerana Hassan "melanggar beberapa arahan Majlis Agama Islam Johor melalui Pejabat Kadi Daerah Johor Bharu.

Selain penggantungan sebagai imam tersebut, Hassan juga disekat dari mendapat surat tauliah sebagai Pegawai Amil Zakat Fitrah bagi penduduk Kampung Ladang biarpun lulus kedua-dua ujian saringan yang dijalankan.

Difahamkan, sewaktu beliau ingin mengambil tauliah tersebut pada masa yang telah ditetapkan, pegawai JAJ yang bertugas menyatakan penangguhan pemberian tauliah kepada beliau dan terpapar dalam senarai nama penerima tauliah bahawa namanya telah ditandakan merah.

Lebih merumitkan, Hassan juga telah dinafikan haknya untuk menerima elaun bantuan dari Persatuan Nelayan Kampung Gelang Patah yang sepatutnya diterima oleh semua ahli persatuan sejak sekian lama yang bernilai RM 350.

Pada hari himpunan Bersih 2.0 Julai lalu, Hassan adalah antara 1600 peserta himpunan yamg ditangkap pihak polis.

Beliau ditangkap ketika memasuki bandar Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi iaitu sebelum himpunan sebenar bermula kira-kira jam 2 petang.

Biarpun alasan penggantungan beliau tidak dinyatakan ada kaitan dengan himpunan itu, namun maklumat yang diterima dipercayai ianya berkaitan dengan kehadiran beliau ke himpunan Bersih 2.0 itu.

Ekoran penggantungan tersebut juga, elaun beliau sebagai imam juga ditarik.

Kini beliau dan isteri serta empat orang anak, terbeban kerana hilang mata pencarian lebih-lebih lagi berdepan persiapan Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri yang akan tiba.

Lebih malang beliau juga terpaksa mengosongkan rumah ehsan masjid yang didudukinya sekarang dan terpaksa menyewa rumah kediaman baru.


Umno jumpa SPR bincang p’raya bersih hanya jenaka
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 13 Ogos: Langkah pimpinan Umno Barisan Nasional untuk mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mewujudkan pilihan raya yang bersih dan adil disifatkan sebagai tidak 'genuine’.

Bahkan Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa langkah itu sebagai palsu, wayang dan lawak jenaka.

“Apa saja yang dibuat oleh UMNO-BN, bagi saya itu adalah satu ‘wayang’, pada hal apa yang dibuat oleh Umno-BN, kita boleh buktikan, di belakangnya adalah arahan daripada pimpinan Umno-BN itu sendiri.

“Jadi kalau mereka hendak jumpa SPR bagi mewujudkan satu pilihan raya bersih, itu satu yang tidak ‘genuine’, palsu, wayang dan lawak jenaka,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian hadiah kepada peserta Auto Show Himpunan Remaja Ramadhan di Qariah Ramadhan Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini, malam tadi.

Beliau mengulas perkembangan terbaru BN akan mengadakan pertemuan dengan SPR bagi membincangkan kaedah terbaik untuk memastikan proses pilihan raya di negara ini berjalan dengan bersih dan adil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam membayangkan mahu mengadakan perundingan dengan SPR bagi membolehkan merumus kaedah yang boleh menjamin pilihan raya tidak boleh dipertikaikan.

Mengulas fenomena yang berlaku dalam negara mutakhir ini yang didakwa membabitkan pimpinan tertinggi Umno BN namun sering dinafikan dan itu perlu kepada perdebatan, Takiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri berkata pihak Pakatan Rakyat bila-bila masa saja bersedia untuk berdebat (dalam isu berkenaan) kerana memang wajar.

“Namun saya tidak yakin pihak Umno BN bersedia menyahut cabaran,” katanya.

Mengulas isu pemastautin tetap (PR) yang bertukar kepada pemegang Mykad dan seterusnya tersenarai sebagai pemilih dalam Daftar Pemilih SPR, beliau berpendapat perkara itu tidak begitu komplikated untuk difahami.

Ini, katanya kerana untuk memproses kewarganegaraan perlu melalui beberapa prosedur dan tata cara tertentu.

“Kalau sekirnya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memproses permohonan kewarganegaraan mengikut tata caranya yang ditetapkan, itu tidak menjadi masalah.

“Namun yang kita lihat sekarang seolah-olah ada perancangan dan konspirasi pendaftaran atau pun kelulusan permohonan kewarganegaraan itu dan ada tujuan-tujuan tertentu. Sebagai contohnya, yang dibuktikan oleh kita ialah untuk tujuan pilihan raya.

“Ini kerana apabila penama berkenaan dapat kewarganegaraan, maka orang itu seolah-olah dipaksa untuk didaftarkan sebagai pemilih dan sudah tentulah memihak kepada pihak Kerajaan Persekutuan yang meluluskan kewarganegaraan itu.

“Bagi saya, beban untuk buktikan bahawa tidak berlaku penyelewengan itu JPN mestilah memberi penerangtan yang jelas,” katanya.

Beliau mendakwa perkara yang berlaku sekarang adalah perancangan yang terperinci Umno BN sendiri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka pada bila-bila masa, dan Umno BN nampak sokongan pengundi berdaftar yang ada itu menjejaskan sokongan kepada mereka.

“Oleh sebab itu mereka terpaksa buat apa saja untuk mencari undi yang pasti oleh kerana di Sarawak, yang dianggap ‘fix deposit’ kepada Umno BN itu pun sudah tidak terjamin lagi,” katanya.

China didesak tarik balik larangan hak beragama
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Kerajaan China untuk menarik balik larangan dan perintah yang jelas melanggar hak beragama dan asasi manusia dalam beribadat di Wilayah Urumqi Xinjiang.

Keua Lajnah Antarabangsa DPMM, Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, larangan yang terkini adalah larangan menunaikan ibadah puasa, bertarawih dan apa jua aktiviti keagamaan sepanjang Ramadhan ini dengan memaksa mereka menandatangai satu dokumen persetujuan atas larangan tersebut.

“Malah LA DPPM merasakan tindakan pihak berkuasa China yang memaksa umat Islam Urumqi yang memaksa syarikat-syarikat swasta di sana untuk membekalkan makanan tengah hari buat pekerja beragama Islam hatta mengugut untuk diberhentikan kerja atau bonus sekiranya mereka berkeras untuk terus berpuasa adalah satu tindakan yang menjijikkan,” ujarnya yang juga Naib Ketua DPPM.

Beliau menyatakan demikian di dalam memorandum bantahan yang dihantar kepada Presiden Hu Jintao, Presiden dan Pemerintah Republik Rakyat China melalui duta besar negara itu ke Malaysia, Chai Xi
di kedutaan negara itu, di sini, petang semalam.

Di samping itu, tambahnya, para pelajar Islam di sekolah dan pusat pengajian tinggi juga disediakan juadah makan tengah hari buat mereka.

Selain itu, tokoh-tokoh agama juga diugut untuk ditarik balik kebenaran atau tauliah memberikan kuliah dan ceramah agama sekiranya terus menerus menjalankan aktiviti dan penyampaian ilmu agama sepanajang Ramadhan ini.

Sehinggakan, katanya umat Islam juga dihalang untuk memasuki masjid untuk beribadah sekiranya tidak mempunyai bukti pengenalan dan dipaksa mendaftar ke pihak berkuasa untuk beribadah di masjid.

Bagi LA DPPM, tambah beliau larangan itu jelas bertentangan dengan ketamadunan sejagat dan bersongsangan dengan nilai-nilai kemanusiaan dan tatsusila manusia.

“Oleh itu kami mendesak agar larangan ini ditarik semula serta-merta dan pihak berkuasa Urumqi perlulah kembali kepada nilai-nilai sejagat dan memperbanyakkan dialog peradaban bagi menyelesaikan masalah yang timbul,” ujarnya.

LA DPPM juga, katanya mengutuk tindakan tindakan pihak berkuasa China yang telah bertindak keras terhadap kebangkitan rakyat Urumqi sehingga mengakibatkan 18 terkorban dan 31 tercedera dalam pertempuran pada awal Ramadhan baru-baru ini.

Tegasnya, pihak DPPM tidak teragak-agak untuk menggerakkan seluruh dunia Islam bagi membela nasib umat Islam Uighur yang telah dinafikan hak beragama dan kebebasan mereka dan penindasan berterusan pihak berkuasa China.





Hadis Kelima belas : -


DUA GOLONGAN YANG AKAN MENJADI PENGHUNI NERAKA


H.R. MUSLIM


Daripada Abu Hurairah ra berkata : Rasulullah SAW bersabda:"Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka yang belum lagi aku melihat mereka.

Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang.

Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang-lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget.

Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya".





Kebenaran sabdaan Rasulullah SAW ini dapat kita lihat dari realiti mayarakat yng ada pada hari ini. Ada golongan yang suka memukul orang dengan cemeti tanpa soal-siasat, bertindak kepada manusia dengan hukum rimba. Dan ramai perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang. Maksudnya, kalau kita hendak katakan berpakaian pun boleh, hendak kata bertelanjang pun boleh, kerana walaupun berpakaian tetapi hanya dengan secarik kain sahaja, maka samalah dengan bertelanjang. Ataupun ia berpakaian dengan pakaian yang sangat tipis sehingga menampakkan warna kulit dan mencorakkan bentuk aurat. Kemudian berjalan sambil menghayun-hayunkan badan dengan sanggul yang besar, seperti goh unta.

Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk ke dalam syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya, walaupun semerbak wanginya telah tercium dari jarak perjalanan selama 500 tahun sebelum sampai kepadanya.

Tiada ulasan: