Selasa, 5 April 2011

BUATLAH APA2 UNDANG2....YANG PENTING BAHGIA...JANGAN UNDANG KITA GUBAL...TAK GUNA PAKAI DAH LAH...UNDANG2 ALLAH DINAFI..NI LAGI BAHAYA...

PAS gesa rakyat Sarawak buat perubahan
Harakahdaily

BATANG LUPAR, 4 Mac: PAS menyeru rakyat Sarawak membuat perubahan pada pilihan raya negeri ke-10 yang berlangsung 16 April ini.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, parti itu mengemukakan calon yang boleh mewakili semua pada pilihan raya kali ini.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS bagi Dun Sebuyau di Markas Kampung Ulu Sebuyau, malam ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh masyarakat Iban dari enam buah rumah panjang di situ.

Tambahnya, PAS juga turut mengemukakan anak tempatan yang dikenali ramai bagi mewakili rakyat jika dipilih ke Dun Sarawak pada 16 April ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Bachok berkata, calon PAS di Dun Sebuyau, Haji Adam Ahid adalah Pesuruhjaya PAS negeri yang mempunyai keluarga besar dan ramai kenalan di Dun itu.

Justeru, katanya para pengundi perlu memberikan undi mereka kepada calon PAS yang dikenali ramai bagi membawa suara mereka ke Dun Sarawak nanti.

Sementara itu, Adam (gambar atas) pula mengucapkan terima kasih kepada parti yang memberi kepercayaan kepadanya sebagai calon PAS di Sebuyau.

Beliau berjanji untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat yang diwakili sekiranya dipilih pada pilihan raya itu nanti.


Saiful Izham dilantik Ahli Dewan Negara

Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 5 April: Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah yang bersidang semalam telah meluluskan perlantikan Naib Pengerusi Perhubungan PKR Kedah, Saiful Izham Ramli (gambar) sebagai Ahli Dewan Negara berkuatkuasa 21 Mei nanti.

Usul pelantikan beliau telah dibawa oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak (PAS-Sungai Limau) dan disokong oleh Datuk Ir Amiruddin Hamzah (PAS-Anak Bukit) bagi menggantikan Senator Zamri Yusof apabila tempoh perlantikannya berakhir kelak.

Saiful pada sesi pemilihan parti yang baru lalu telah dipilih menerajui PKR Cabang Merbok setelah penyandang yang juga Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din tidak mempertahankan jawatannya.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-11, buat pertama kalinya beliau telah dipilih untuk bertanding menentang calon Barisan Nasional, Datuk Zainuddin Maidin di kerusi Parlimen Merbok tetapi tewas dengan majoriti 15,162 undi.

Azizan ketika mengemukakan usul tersebut turut merakamkan penghargaan rakyat di negeri itu kepada Zamri yang memberikan perkhidmatan cemerlang sepanjang tempoh memegang jawatan tersebut.

Sementara itu, Dun Kedah turut dimaklumkan tentang perlantikan semula Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Yusof Hussin bagi tempoh sepenggal lagi berkuatkusa pada tarikh yang sama.


Kawal sebaran video elak rakyat resah

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 April: Rangkaian Memacu Arus Perjuangan (MAP) memandang serius pendedahan video seks di YouTube membabitkan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Mustaffa Kamil Ayub berkata, ia amat keterlaluan dan mencemarkan nilai budaya politik Malaysia.

“Sama ada video tersebut tulen atau tidak bukanlah menjadi persoalan pada tahap ini, tetapi yang lebih penting adalah mengawal penyebarannya agar tidak menimbulkan keresahan di kalangan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kenyataan Ketua Polis Negara mengenai ketulenan video tersebut menimbulkan kekeliruan persepsi di kalangan sebahagian rakyat.

Tambahnya, tindakan menayangkan dan membiarkan penyebarannya juga bermakna menghukum bersalah terhadap seseorang sebelum keputusan hukuman mahkamah.

MAP, ujarnya menyeru semua pihak bergerak ke arah politik nilai yang menekan kepada penjagaan akhlak sesama insan, proses undang-undang yang telus, mengutamakan kepentingan rakyat serta menjaga kemurnian budaya murni Malaysia.


Pembela mangsa JE selamat disemadikan
Zulkifli Sulong

PORT DICKSON, 5 April: Mayat pejuang mangsa JE Bukit Pelanduk, Yap Ah Peng, 69, selamat disemadikan di tanah perkuburan Cina Sendayan tengahari tadi dengan penuh adat dan budaya Cina.

Turut serta memberikan penghormatan terakhir adalah Pesuruhajaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefli Mohd Omar bersama Yang Dipertuan PAS Telok Kemang, Haji Ramli Ismail.

Turut berada di rumah teres Yap Ah Peng ketika majlis penghormatan terakhir diberikan adalah Adun Port Dickson, M Ravi dan Adun Lukut, Ean Yong Tin Sin.

(Gambar: Yap ketika datang ke pejabat Harakadaily tahun lepas, menjelang pilihan raya kecil Bagan Pinang, bagi menerangkan isu terkini tanah Bukit Pelanduk ketika itu)

Yap Ah Peng, bekas Adun MCA Jimah selama dua penggal meninggal petang 1 April lepas dengan begitu mudah sekali. Tanpa harta dan rumah besar, Yap meninggalkan isteri dan empat anak.

Anak sulong beliau, Dr Yap Yeong Ching berkata, bapanya sedang berbual telefon agak panjang sebagaimana biasa petang Jumaat itu. Selepas itu, beliau duduk dan terus tidak sedarkan diri.

Doktor kemudiannya mengesahkan kematian beliau selepas di bawa ke Hospital Port Dickson.

Hari ini, 5 April mayat Yap Ah Peng selamat di semadikan namun kenangan pelbagai pihak khasnya PAS sendiri terhadap Yap tidak mungkin akan dilupakan begitu sahaja.

Kali terkahir Yap bersama PAS adalah tiga hari sebelum itu di Majlis Makan Malam untuk mengumpul dana Kompleks PAS Negeri Sembilan di Dataran Muhibbah Kampung Ismail, Ampangan.

Di majlis itu, Yap mengambil satu meja iaitu bersama sembilan lagi rakannya, beliau menyertai majlis yang turut disertai oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Menurut Zulkefli Mohd Omar, Yap datang ke meja Presiden PAS sambil membawa segala keratan akhbar khasnya dari akhbar Cina menunjukkan laporan kenangan bagaimana hubungan beliau dengan PAS kepada Ustaz Abdul Hadi.

(Gambar: Zulkefli Mohd Omar turut menghantar keranda Yap untuk disemadikan)

Antaranya keratan akhbar beliau menyerahkan memorandum menyokong Undang-undang Hudud yang ketika itu hangat diperkatakan menjelang pilihan raya 2004 lalu. Yap dan rakan-rakannya menjadi penawar kepada PAS yang hari-hari diserang kerana Hudud itu khasnya dari masyarakat dan parti Cina.

Memandangkan semuanya adalah salinan asal, Yap berjanji akan membuat salinan dan akan dihantar kepada Ustaz Abdul Hadi selepas ini. Namun, belum sempat salinan itu diserahkan, Yap telah pergi buat selama-lamanya.

Yap adalah Adun MCA Jimah, Port Dickson selama dua penggal (kini sebahagiannya Lukut). Ketika menjadi Adun di bawah Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad itu, dia telah dilantik mempengerusikan satu jawatankuasa untuk menyusun semula ternakan babi di Negeri Sembilan khasnya di bawah kawasan beliau iaitu di Bukit Pelanduk kerana ia tidak hygenic ketika itu.

Hasilnya, satu Enakmen telah diluluskan DUN Negeri Sembilan bagi menyusun semula dan mengawal ternakan babi di negeri itu.

Untuk melaksanakannya, kerajaan negeri telah mengambilalih tanah yang luas milik Guthrie dan dibeli dengan harga yang agak rendah. Tanah ini akan disusun, dibina prasarana yang sesuai dan akan dipecah-pecahkan untuk diserahkan kepada penternak babi di situ agar ia tersusun dan bersih.

Namun, kerana ketamakan Umno, sebuah syarikat ditubuhkan untuk menguruskan tanah-tanah itu. Hasilnya, ia hendak dijual dengan harga yang tinggi kepada penduduk di situ.

(Gambar fail: Aktiviti membunuh babi akibat JE pada tahun 1998)

Hasilnya, penduduk enggan membeli tanah itu dan enggan berpindah dari kawasan ternakan masing-masing. Ekoran dari itulah datangnya serangan virus JE yang membunuh lebih 100 mangsa pada tahun 1998.

Serangan virus berkenaan semakin menggila apabila ia mula menjangkiti ramai penduduk sehingga membuatkan keadaan negara ketika itu menjadi gempar. Jumlah angka korban meningkat kepada 31 penduduk menjelang pertengahan Mac.

Seramai 47 orang lagi dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), HS, Hospital Kuala Pilah, Hospital Universiti (HU), Hospital Melaka (HM) dan beberapa hospital swasta.

Menyedari punca jangkitan JE yang berasal daripada babi, kerajaan seterusnya mengerahkan 1,400 anggota tentera dan polis memusnahkan 64,000 babi secara bersepadu di tiga kawasan utama di Port Dickson.

Pasukan Bomba dan Penyelamat menggunakan helikopter untuk menyembur ubat nyamuk daripada udara, selain menyembur menggunakan kaedah biasa di kawasan terlindung.

Sebuah bilik operasi dibuka 24 jam di Jabatan Kesihatan Awam di Bukit Damansara untuk mengumpul maklumat semasa mengenai usaha menangani wabak itu.

Arahan serta suasana panik menyebabkan penduduk di Bukit Pelandok dan Kampung Baru Sungai Nipah di Lukut, dekat Seremban seolah-olah tidak berpenghuni apabila penduduknya bertindak meninggalkan kawasan berkenaan bagi menyelamatkan diri.

Penduduk yang masih berada di kawasan yang ada banyak ladang ternakan khinzir bertindak memakai pelbagai jenis topeng sebagai langkah keselamatan. Enam sekolah rendah terpaksa ditutup sementara berikutan serangan wabak JE di sekitar Bukit Pelandok. (- Ex-smgrian 1991.)

Sebagai bekas wakil rakyat kawasan itu dan orang yang terlibat dengan membuat draf enakmennya, Yap merasa ia adalah tanggungjawab beliau untuk menyelesaikannya.

Walaupun umurnya sudah melebih 60an, Yap telah membuat Diploma Eksekutif di Universiti Malaya tentang kes ini. Beliau telah berjaya mendapatkan diploma itu selepas menyelesaikan kajian beliau mengenai Wabak JE di Bukit Pelanduk.

Kajian beliau itu menjadi satu bahan kajian penting tentang kes ini kerana ia datang dari orang yang terlibat dari awal hingga akhir dalam kes ini.

Apabila isu Hudud datang, Yap berkempen mengumpul tandatangan untuk menyokong undang-undang itu. Hasilnya satu memorandum diserahkan Yap dan rakan-rakan kepada Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi yang juga Menteri Besar Terengganu ketika itu.

(Gambar: Zulkefli bersama Haji Ramli dan M Ravi bercakap dengan anak sulong Yap, Dr Yap Yeong Ching)

Tujuan adalah satu. Yap mahu pencuri tanah rakyat sehingga menyebabkan serangan JE itu dipotong tangan mereka. Pendek kata, Yap mahu kerajaan yang ada dijatuhkan kerana kejahatan mereka itu.

Sejak itulah, hubungan antara Yap dengan PAS menjadi sangat istimewa. Beliaulah antara tokoh yang awal menjadi pemimpin dan ahli Kelab Penyokong PAS.

Ketika ianya dilancarkan di Markas Tarbiyah PAS Pusat di Kuala Lumpur menjelang pilihan raya umum 2004, Yap datang bersama penyokongnya ke situ. Beliau dilantik menjadi Naib Pengerusi pertama Kelab Penyokong PAS yang kini sudah dinaik taraf kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Ketika itu Pengerusinya adalah Alex Ong.

Sejak itu, Yap tidak pernah hilang. Beliau sentiasa sahaja bersama rakan-rakannya bersama PAS berkempen untuk orang-orang Cina agar menyokong PAS dalam pilihan raya umum dan kecil.

Tema beliau jelas, hanya PAS mampu memberikan keadilan kepada semua termasuk memotong tangan pencuri tanah rakyat di Bukit Pelanduk.

Rupanya pertemuan beliau dengan Ustaz Abdul Hadi di Ampangan Khamis 28 Mac adalah pertemuan terakhir beliau dengan Presiden PAS itu.

Hasrat Yap untuk melihat rakyatnya di Negeri Sembilan menjatuhkan pencuri tanah rakyat tidak kesampaian. Namun, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefli Mohd Omar berjanji, usaha Yap dan rakan-rakannya itu tidak akan sia-sia. Ia akan diteruskan beliau.

Selamat bersemadi Yap Ah Peng (1942 - 2011)


Makanan: Utamakan aspek halal, selamat
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 5 April: Pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan diingatkan agar mengutamakan aspek halal, keselamatan dan mutu makanan dalam meluluskan makanan untuk orang ramai di negara ini.

Ingatan tersebut sejajar dengan usaha yang dilakukan oleh kementerian itu dalam usaha mengemaskinikan lagi undang-undang mengenai pemakanan yang menbawa kepada pembentangan satu lagi rang undang-undang baru yang dinamakan Rang Undang-undang Juruanalisis Makanan 2010 pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman ketika mengingatkan perkara itu berkata, dengan pengenalan rang undang-undang itu diharap akan menyedarkan lagi Kementerian Kesihatan bagi menjadikan negara sebagai halal hub untuk menentukan kehalalan makanan yang diluluskan.

Menurut beliau, selain itu, penekanan ke atas makanan dan minuman kesihatan juga perlu dilakukan bagi menjamin makanan dan minuman itu benar-benar bermanfaat kepada orang ramai.

Katanya, antara contoh makanan dan minuman yang dimaksudkan itu termasuklah Tongkat Ali dan minuman lain yang dikatakan 3 dalam 1 yang dikatakan berkhasiat, tetapi dibimbangi semakin lama digunakan akan menjadikan seseorang itu makin kurang sihat.

"Jadi dengan pengenalan rang undang-undang baru ini diharap juruanalisis makanan itu dapatlah menyiasat perkara itu bagi mengesahkannya untuk kepentingan orang ramai," katanya ketika berucap membahaskan pembentangan Rang Undang-undang Juruanalisis Makanan 2010 pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Di samping itu, beliau turut mengingatkan agar dengan pengenalan rang undang-undang itu, juruanalisis yang dilantik itu akan turut memainkan peranan dengan baik dalam memastikan makanan yang diproses dan dikeluarkan oleh pihak-pihak terbabit itu dihasilkan dengan cara yang betul dari sisi syarak dan teramin dari bahan-bahan merbahaya.

Antara penghasilan yang dimaksudkan itu, katanyan terrmasuklah susu.

Beliau turut berharap agar juruanalisis yang dilantik itu benar-benar berkemampuan, di samping turut diberikan peluang bukan sahaja kepada pihak tertentu sahaja, tetapi juga NGO-NGO Islam dan lulusan IPTS.

Selain menekankan tentang makanan manusia, beliau turut berharap agar rang undang-undang tersebut turut menekankan analisis bagi makanan haiwan untuk membekalkan makanan yang baik, bermutu dan terjamin bagi haiwan.

Namun menyentuh tentang perkara yang berkaitan dengan profesdionalisme dan pengalaman juruanalisis yang akan dilantik dan didaftarkan yang dinyatakan dalam rang undang-undang itu, beliau mempertikaikan tentang tindakan yang akan dikenakan oleh pihak kerajaan apabila terdapat perrcanggahan tindakan atau hukuman yang akan dikenakan antara mereka yang menjalankan kerja itu tanpa pendaftaran dengan mereka yang menjalankan kerja tersebut dengan pendaftaran atau perlantikan walaupun kurang pengalaman.

Manakala Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad ketika berucap membahaskan pembentangan rang undang-undang itu turut menekankan pihak kerajaan agar lebih mengutamakan profesionalisme juruanalisis makanan yang dilantik itu.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat antara lain berkata, dari sudut falsafah, beliau menyokong pengenalan undang-undang itu kerana ia akan membekalkan kepada rakyat makanan yang mencukupi dan bermutu dan terjamin dari segi agama, mutu dan keselamatan.

"Meskipun baik dari sudut matlamat. Tapi ia akan membina birokrasi, akan membengkakkan lagi birokrasi kerajaan kerana rang undang-undang ini sendiri bermatlamat hendak menubuhkan majlis," katanya.

Sementara Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat ketika mencelah mempertikaikan rang undfang-undang tersebut kerana tidak terdapat akta yang jkomprehensif mengenai makanan yang diimport dari luar negara bagi memastikan makanan tersebut terjamin dari segala segi.


2 wanita 3 lelaki dipilih PAS untuk keputusan terbaik
Harakahdaily

KUCHING, 5 April: PAS mensasarkan untuk menghantar sekurang-kurang seorang hingga tiga wakilnya ke dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak dalam pilihan raya negeri kali ini, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali.

Untuk itu, katanya, PAS yakin pilihan raya negeri Sarawak kali ini adalah yang terbaik akan dicapai oleh PAS selepas dua kali menyertai pilihan raya negeri sebelum ini.

(Gambar: Abang Ahmad, Beting Maro [kiri] dan Adam Ahid, Sebuyau [kanan sedang bercakap], dua dari lima calon PAS dalam PRN Sarawak)

Sebelum ini, dalam pilihan raya negeri 2001, PAS bertanding tiga kerusi DUN namun pada tahun 2006 hanya satu kerusi sahaja. Pilihan raya kali ini, PAS bertanding lima kerusi.

Kerusi yang dipertandingkan oleh PAS dalam pilihan raya kali ini adalah Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Tanjung Datu. Rakan PAS, DAP akan bertanding di 15 kerusi manakala PKR akan bertanding di 49 kerusi selepas usaha perundingannya dengan Snap gagal.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi bersama timbalannya, Nasharudin Mat Isa yang menjadi pengarah pilihan raya ini berada di sini sejak beberapa hari lalu.

Dalam pilihan raya ini, PAS meletakkan dua calon wanita manakala tiga calon lelaki.

Calon-calon wanita PAS adalah Puan Hani Shafi di Tanjung Datu dan Puan Noraini Hamzah (gambar kiri) di Muara Tuang.

Tiga lagi calon PAS adalah Pesuruhjaya PAS, Adam Ahid akan bertanding di Sebuyau dalam Parlimen Batang Lupar.

Sementara itu, Abang Ahmad Kardee, seorang peguam muda anak tempatan Beting Maro akan bertanding di situ dalam pilihan raya kali ini. DUN ini juga terletak dalam Parlimen Batang Lupar di Sarawak Tengah.

Seorang lagi calonnya adalah Ketua Pemuda PAS Sarawak, Abang Eddy Allyanni Abang Fauzi yang akan bertanding di Sadong Jaya. Dalam pilihan raya umum 2008, Abang Eddy adalah calon PAS di Parlimen Batang Lupar namun tewas di tangan calon BN, Datuk Ruhani Karim.

Semalam, PAS telah memperkenalkan tiga calonnya kepada penduduk tempatan. Presiden PAS, Abdul Hadi Awang memperkenalkan memperkenalkan Abang Ahmad di Beting Maro, timbalannya, Nasharudin Mat Isa memperkenalkan Adam Ahid di Sebuyau, manakala Mustafa memperkenalkan Nuraini di Muara Tuang.

Ustaz Hadi mengumumkan calon PAS Beting Maro di Kampung Beladin iaitu rumah Haji Alem Din, bekas calon PAS di situ dalam pilihan raya 2006.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan amanat kepada jentera dan penyokong PAS DUN Beting Maro.

Pada majlis tersebut beliau telah mengumumkan Abang Ahmad Kardee Bin Abang Masagus, 32 tahun sebagai calon PAS untuk menghadapi pilihanraya Sarawak pada kali ini.

Malam ini, Abdul Hadi dan Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan memperkenalkan Puan Hani Shafi yang akan bertanding di Tanjung Datu manakala Mustafa akan memperkenalkan Abang Eddy di Sadong Jaya.


Had 50 penyokong untuk tutup malu BN

Hazayani Zakaria

KOTA SAMARAHAN, 5 April: Pengerusi Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan peraturan yang menghadkan seramai 50 orang penyokong sahaja mengiringi calon parti-parti yang bertanding bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak pada penamaan calon esok adalah untuk menutup malu BN.

Ini kerana kata Khalil, setiap kali pilihan raya, penyokong Pakatan Rakyat lebih ramai daripada penyokong BN.

"Saya melihat peraturan ini tidak lebih dari usaha untuk menutup malu BN apabila setiap kali pilihan raya lebih ramai penyokong Pakatan Rakyat mengiringi calonnya.

"Mereka juga datang tanpa diupah dan datang sejak awal secara sukarela. Berbeza jauh dengan penyokong BN, walaupun 50 orang yang ditetapkan, saya pasti ianya perlu dengan sejumlah upah kepada mereka," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut mempersoal kewajaran peraturan itu dibuat sedangkan Perlembagaan Negara membenarkan rakyat berhimpun secara aman.

"Saya masih tidak memahami di manakah kewajaran peraturan sedemikian diadakan dalam keadaan Perlembagaan negara yang membenarkan rakyat berkumpul secara aman dengan tujuan yang dibenarkan.

"Rakyat Sarawak sudah menunggu hampir 5 tahun untuk menghadapi 'Pesta Demokrasi' namun cuba dihalang oleh peraturan yang bukan-bukan," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

Menyifatkan peraturan tersebut sebagai tidak masuk akal, tambahnya, SPR seolah-olah mengikut telunjuk pihak tertentu sejak dari awal lagi apabila membuat peraturan sedemikian.

"Sepatutnya SPR memberi kebebasan kepada mana-mana calon yang akan bertanding untuk membawa seramai mana penyokongnya. Kalaulah hanya 50 orang saya kira keluarga terdekat sudah memadai, mana lagi penyokong yang lain?

"Atau SPR sudah mahu menafikan petugas Pakatan Rakyat dari Semenanjung yang sudah berkampung di seluruh pelusuk Sarawak untuk sama-sama mengiringi calon Pakatan Rakyat?" soalnya.

Beliau berkata, peraturan tersebut boleh manjadi kayu ukur kepada pengundi di negeri ini mengenai ketakutan BN sejak awal lagi kepada untuk berdepan dengan Pakatan Rakyat di semua kerusi yang dipertandingkan.

"Sesungguhnya inilah peluang terbaik kepada pengundi di Sarawak untuk memberi harapan baru kepada Pakatan Rakyat untuk meneraju Sarawak yang lebih baik dimasa akan datang," katanya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini mengumumkan peraturan tersebut hari ini dan berkata penyokong-penyokong yang lain tidak dibenarkan berada berhampiran bangunan yang digunakan untuk proses penamaan calon itu.

SPR turut melarang penyokong parti yang bertanding membawa alat-alat muzik seperti gendang dan trumpet, serta pembesar suara ketika proses penamaan calon.


Tiada ulasan: