Isnin, 4 April 2011

PEMIMPIN YANG BAIK INGIN ORANG YANG DIPIMPIN JADI BAIK BUKAN SEBALIKNYA..TUGAS KERAJAAN TAKWAKAN RAKYAT BUKAN SEBALIKNYA...

Pakatan Rakyat tanding 69 kerusi di Sarawak
Harakahdaily

KUCHING, 4 April: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan akan bertanding di 49 kawasan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang menjadikan Pakatan Rakyat akan bertanding 69 daripada 71 kerusi Dun Sarawak.

Sebelum ini PAS mengesahkan bertanding di lima kerusi manakala DAP 15 kerusi. Pakatan hanya tidak meletakkan calon di dua kawasan iaitu Marudi dan Pakan sahaja.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah mengumumkan calon-calon DAP dalam pilihan raya ini.

PAS pula akan mengumumkan calonnya malam ini di lima kerusi yang dtandinginya untuk pilihan raya ini iaitu Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Tanjong Datu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi akan mengisytiharkan calon PAS di Beting Maro manakala timbalannya Nasharudin Mat Isa di Sebuyau.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali dijangka akan mengumumkan calon PAS, N.15 Dun Muara Tuang jam 9.00 malam ini.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Pilihanraya Dun berkenaan, Juraidin Yusop, majlis perisytiharan itu akan diumumkan di rumah calon itu sendiri, di Lot 615, Lorong 4 A1, Kampung Tanjung Budong, Pasa 11, Lot Baru di sini.

“Kita akan mengisytiharkan calon PAS bagi Dun N15 ini di rumah calon ini sendiri oleh Setiausaha Agung,”ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan penamaan calon akan diadakan 6 April ini manakala 16 April adalah hari pembuangan undi di Sarawak.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengumumkan kesemua calon-calon PKR itu hari ini dengan Baru Bian, Pengerusi PKR Sarawak akan bertanding di Ba'kelalan Walaupun Barisan Nasional (BN) masih merahsiakan calonnya di situ.

Turut serta bersama beliau adalah Naib Presiden PKR, John Tenawi dan Penasihat PKR Sarawak, Habsah Harun. Azmin berkata, senarai calon diputuskan oleh PKR Sarawak dan dipersetujui oleh pimpinan PKR peringkat pusat.

Pagi tadi, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian mengumumkan PKR telah putuskan bertanding di 47 kerusi manakala empat kerusi lagi masih dalam perundingan yang akan diumumkan oleh Azmin.

Baru Bian mengumumkan hal itu ketika bertemu dengan calon-calon PKR di Sibu iaitu untuk Sarawak Tengah dan Utara.

Sebelum ini, usaha dibuat oleh Pakatan untuk berunding dengan Snap namun sehingga akhir semalam parti itu berkeras untuk bertanding di 27 kerusi namun ia gagal di selesaikan dengan PKR.

Sebelum ini, Majlis Pimpinan Pakatan telah memutuskan PAS bertanding lima kerusi, DAP 15 manakala 51 kerusi lagi akan dirundingkan antara PKR dengan Snap.

Dalam sidang mediannya juga, Azmin mengumumkan, Adun PKR untuk Padungan, Dominic Ng Kim Ho akan bertanding kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dominic menang dalam pilihan raya negeri 2006 untuk kerusi itu apabila mengalahkan calon DAP dan calon BN dengan majoriti 1,417 undi.


MCA mahu Kelantan kembali ke era jahiliah
Harakahdaily

KOTA BHARU, 4 April: Kehidupan rakyat Kelantan akan kembali ke zaman jahiliah sekiranya MCA berjaya dalam kes saman berhubung larangan menjual tiket loteri di negeri ini.

“Apa kata sekiranya MCA berjaya dalam kes di atas, kemungkinan besar mereka juga boleh membangkit isu hak rakyat untuk berhibur seperti kelab malam, disko, rumah urut dan pelbagai pusat hiburan seperti di bandar-bandar besar di pantai barat.

“Ini bermakna kita membenarkan pelbagai kegiatan haram dan aktiviti gejala sosial dibolehkan,” kata anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah.

Media hari ini melaporkan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek bercadang membawa isu larangan menjual tiket loteri ke mahkamah selepas kerajaan Kelantan tetap mengharamnya.

Sebelum ini Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Penasihat Undang-Undang Negeri mengkaji kemungkinan wujud percanggahan dengan perlembagaan ekoran larangan kerajaan Kelantan terhadap penjualan tiket loteri.

Selepas kajian dibuat, kerajaan negeri minggu lepas mengumumkan tidak berlaku percanggahan dengan perlembagaan persekutuan terhadap larangan tersebut.

Sejak 1990 Kelantan melarang semua kegiatan perjuadian memandangkan ia mendatang kesan negetif kepada kehidupan rakyat.

Anuar yang juga Adun Kota Lama berkata, rakyat Kelantan harus berwaspada dengan senario kemungkinan kes tersebut dimenangi MCA.

“Maka pelbagai perjudian seperti TOTO, 4 Digit, Big Sweeps dan sebagainya akan tumbuh secara berleluasa di Kelantan seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan.

“Ini kerana undang-undang Persekutuan meluluskan lesen perjudian tersebut dan kerajaan negeri tiada hak menghalang aktiviti judi di kalangan rakyatnya,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Sedangkan, kata beliau rakyat Kelantan berbilang kaum sejak 1990 hidup dalam suasana harmonis dan mempunyai nilai-nilai moral tinggi.

“Maka menjadi tanggungjawab kita untuk menyekat kegiatan ada unsur-unsur negatif yang boleh meracuni anak cucu kita.

“Saya menyeru kepada alim ulama mengadakan solat hajat perdana bagi memohon pertolongan Allah SWT memberi kemenangan kepada kerajaan Kelantan dalam mempertahankan pengharaman judi,” katanya.

Beliau juga meminta tokoh-tokoh agama lain memberi sokongan moral kerana semua agama mengharamkan kegiatan perjudian.



Catatan perjumpaan MCA dan kerajaan Kelantan
Wan Nik Wan Yussof
Catatan perjumpaan Presiden MCA dengan pimpinan kerajaan negeri Kelantan berhubung pengharaman judi pada 3 April 2011, Jam 2.30 Petang di Bilik Mesyuarat MMK, Tingkat Bawah Blok 1, Kota Darulnaim, Kota Bharu.

Demi survival politik di kalangan pengundi Cina, MCA sudah bersikap membetul diri sebagai usaha terdesak memaut sokongan pengundi Cina. Perjumpaan MCA dengan Kerajaan Negeri Kelantan adalah suatu engagement untuk memastikan langkah politik MCA tidak kelihatan sumbang.

Justeru pemimpin MCA telah menafikan kesemua sedutan ucapannya yang dilaporkan oleh surat khabar, khususnya berkaitan dakwaan Datuk Seri Chua Soi Lek yang menyifatkan berjudi sebagai budaya Cina dan merupakan sebahagian kepercayaan orang Cina. Justeru, MCA sudah membangkang larangan judi di Kelantan.

Memahami realiti tersebut, berikut diperturunkan kandungan penting ucapan/kata-kata pemimpin MCA dan Kerajaan Negeri semasa perjumpaan antara parti dengan Kerajaan Negeri tersebut.

Majlis dipengerusikan oleh YB Dato' Tuan Haji Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar.

Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan turut disertai YB Dato' Haji Anuar Tan Abdullah, YB Dato’ Haji Takiyudin Hassan, YB Mohd Zaki Ibrahim, YB Ustaz Abdullah Yaakob, YBhg. Dato’ Ustaz Mohamad Daud al-Iraqi. Turut hadir Encik Wan Nik, Setiausaha Politik.

Perjumpaan tersebut dimulakan dengan penerangan oleh YB Dato’ Haji Takiyudin Hassan, Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan. Ringkasan penerangan adalah sebagaimana berikut:

“Asas tindakan Kerajaan Negeri Kelantan bertindak mengharamkan premis perjudian dan penjualan tiket-tiket judi adalah mengikut Undang-undang kecil perniagaan dan perindustrian. Penjualan Big Sweep pula kononnya kami mengambil tindakan selepas 20 tahun PAS memerintah.

Perlu diperbetulkan, sejak PAS memerintah bermula 1990 apa sahaja judi diharamkan. Ia termasuklah loteri, kerana dalam tafsiran Kerajaan Negeri Kelantan, loteri itu adalah judi dan setiap judi itu haram. Walau pun loteri itu legal pada sisi Kerajaan Pusat, tapi pada Kerajaan Negeri ia illegal.

Begitu juga, Big Sweep adalah legal pada Kerajaan Pusat, namun dari segi by-law ia tidak boleh dikeluarkan lesen premis.

Mengenai langkah-langkah diambil oleh Kerajaan Negeri ke arah pengharaman judi, pihak Kerajaan Negeri terlebih awal mengadakan beberapa perjumpaan dan persetujuan (consensus), pertama memanggil pertubuhan-pertubuhan masyarakat, keduanya ketua-ketua agama, dan ketiga merumuskan resolusi yang mengambil kira aspek moral dan sosial. Kemudian dijadikan polisi mengharamkan peremis menjual judi.

Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang ada local government, maka turut dipakai ialah pandangan dari sudut undang-undang mendapati ada hak untuk tidak membenar judi dijual. Bermaksud tidak dibenar mana-mana tempat menjual tiket atau apa sahaja unsur judi. Ia adalah hak bagi Kerajaan Negeri.

Mungkin dalam aspek ini ada pandangan berbeza, apa pun forum hari ini bukan untuk hujjah.

Forum ini hanya untuk Kerajaan Negeri memberi penjelasan, bukan untuk mengadilinya kerana tidak ada hakim di sini. Perbincangan di sini tidak akan selesai, melainkan selepas ini ke mahkamah untuk muktamad.

Berhubung dengan dakwaan mengatakan MPKB (maksudnya penguatkuasaan MPKBBRI) bertindak terhadap peniaga, sebenarnya ia dibuat bersama dengan polis selepas mendapat ‘search warrant’ untuk semua premis. Afidavit MPKB adalah jelas berdasarkan warrant mahkamah.

Tindakan penguatkuasaan berlaku dengan menyenaraikan tiket-tiket loteri yang didapati dijual di kedai berkenaan. Kemudian saman dikeluarkan.

Tiga premis yang disita ialah kedai makan nasi daun pisang dan dua buah kedai buku. Mereka telah bayar compound dan tiket-tiket yang dirampas telah diserah balik.

Berbangkit pula, mengenai orang yang menjual dalam premis dan luar premis – kedua-duanya boleh disaman jika perkara yang dijual tidak membayar lesen atau tiada dalam lesen. Seperti mana lesen menjual kedai buku, tetapi menjual tiket judi, maka ia boleh disaman. Tetapi orang membeli tidak boleh disaman. Justeru isu ini bukan politik, tetapi telah dipolitikkan.

Perlu sedar, Kerajaan Kelantan ada kedaulatannya, dan memberi kebebasan beragama dan tidak diskriminasi dari segi agama dan kaum.”

Majlis kemudian memberi peluang Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menyampaikan kata-kata:

“Bersetuju untuk tidak dipolitikkan isu judi. Tujuan MCA hanya mahu penjelasan dan menegaskan bahawa MCA juga tidak menggalakkan masyarakat Tionghua berjudi dan dinyatakan perjudian bukan budaya.

Apa yang ingin disampaikan ialah masyarakat Cina diberi hak sama ada nak berjudi atau tidak berjudi.

Bersetuju, forum ini bukan kamar mahkamah untuk pertahan mana yang betul atau salah. Apa yang penting, MCA ada permintaan untuk sampaikan hak/kebebasan untuk orang bukan Islam boleh membeli judi/loteri.

Dari segi by-law, sepatutnya (apa yang Kelantan amal) tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Maka kerajaan Kelantan tak seharusnya menghakis hak orang bukan Islam.

Semua kenyataan yang dirujuk (dalam surat khabar) sebagai menghina Islam, sebenarnya 'out of context' dan ia adalah dipetik dari buku 'Malaysia and the Club of Doom'. Ia kerana surat khabar sudah salah lapor.

Diikuti dengan kata-kata YB Dr Wee Ka Siong, Ketua Pemuda MCA:

“Tujuan MCA ialah untuk perbetul persepsi bahawa MCA macam menjuarai judi. Faktanya, MCA ingin menuntut hak asasi dan terpanggil untuk sampaikan mesej ini.

Apa sahaja dasar (Kerajaan Negeri), by-law perlu dilihat. Ini pun yang diamalkan juga oleh kerajaan Negeri di bawah BN. Kalau ada yang tidak betul, perlu diperbetulkan.

MCA menghormatinya (dasar), bila ia melibatkan hak orang bukan Islam. Apa yang menjadi tujuan ialah hak asasi perlu diperbetulkan.”

Dato’ Anuar Tan kemudian mencelah:

“Minta penjelasan mengenai kenyataan DS Chua dalam surat khabar Cina pada 11 Mac, yang didapati mengaitkan judi dengan kepercayaan agama sesetengah orang Cina”

Penjelasan DS Chua:

“Apa pun sumber dari surat khabar bukan kenyataan tepat sebagaimana maksud sebenar”

Kemudian Dr. Wee Ka Siong mencelah:

“MCA sebenarnya tidak menerima judi sebagai budaya orang Cina dan perjuangan MCA hanya untuk (dapatkan) hak orang bukan Islam”

Pihak MCA diakhiri dengan kata-kata Datuk Ti Lian Ker:

“Loteri ditafsirkan sebagai judi. Perlu lesen untuk dijual. Soalnya, adakah Kerajaan Kelantan akan buat perkara di luar konteks perlembagaan?

Mengungkitkan soal consensus 1990 untuk mengharam judi. Perlu juga diambil consensus terkini.”

DS Chua mencelah:


“Bagi MCA, hak beli tiket loteri itu adalah hak orang bukan Islam, walaupun judi tidak digalakkan.”

Penjelasan Dato’ Takiyuddin:

“Ada pandangan, agar peraturan tutup aurat terpakai untuk judi, iaitu boleh kepada orang bukan Islam. Ini tidak sama. Begitu juga peraturan larangan arak diboleh untuk orang bukan Islam.

Apa pun ini bukan forumnya untuk bincang peraturan ini, kerana ia ada perbezaannya dengan larang judi.”

Majlis berkahir kira-kira jam 3.30 peetang dengan jamuan ringan dan ramah mesra.

Catatan hujung:

Berikutan perjumpaan semalam (3 April 2011), pihak MCA pula menyatakan kepada media, bercadang membawa isu hak bukan Islam membeli tiket loteri ke mahkamah. Alasannya, kerana tindakan kerajaan Negeri Kelantan dianggap menghakis kebebasan dan hak prang bukan Islam.

Apakah MCA tiada motif politik di dalam perkara ini? Perkara yang difahami, MCA sudah mencari political mileage atas perjumpaan dengan Kerajaan Negeri. Bagi Kerajaan Negeri sudah dipastikan sedia berdepan dengan kes mahkamah, demi kedaulatan kuasa rakyat berteraskan kesucian Islam yang merahmati kehidupan umat.


Judi: Kelantan beri penerangan kepada MCA
Harakahdaily

KOTA BHARU, 4 April: Kerajaan negeri Kelantan telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak sebelum membuat polisi mengharamkan judi di Kelantan, kata Datuk Takiyudin Hassan kepada rombongan Presiden MCA.

(Gambar: Chua senyum gembira bersama Ahmad Yaakub)

"Pihak Kerajaan Negeri terlebih awal mengadakan beberapa perjumpaan dan persetujuan (consensus), pertama memanggil pertubuhan-pertubuhan masyarakat, keduanya ketua-ketua agama, dan ketiga merumuskan resolusi yang mengambil kira aspek moral dan sosial.

"Kemudian dijadikan polisi mengharamkan peremis menjual judi," kata Takiyudin dalam pertemuan di Kota Darul Naim itu petang semalam.

Preiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek bersama Ketua Pemudanya, Datuk Dr Wee Ka Siong dan beberapa pimpinan MCA lagi mengunjungi Kota Bharu semalam bagi membincangkan isu pengharaman judi di negeri itu.

Rombongan itu disambut oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub. Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan turut disertai Datuk Haji Anuar Tan Abdullah, Datuk Haji Takiyudin Hassan, Mohd Zaki Ibrahim dan lain-lain.

Dalam pertemuan ini, Takiyudin (gambar) selaku Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan telah memberikan penjelasan apa yang berlaku dalam isu judi ini.

Dalam penjelasan itu, beliau berkata, judi telah mula diharamkan di Kelantan sejak 20 tahun lalu lagi selepas beberapa siri perbincangan dibuat dengan pelbagai pihak.

Ia berbeza dengan isu arak kerana kerajaan negeri membenarkan ia dijual kepada orang bukan Islam namun judi diharamkan untuk semua pihak. Keputusan ini dicapai selepas beberapa perjumpaan itu dibuat.

Berhubung dengan dakwaan mengatakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) bertindak terhadap peniaga, sebenarnya ia dibuat bersama dengan polis selepas mendapat ‘search warrant’ untuk semua premis.

Afidavit MPKB adalah jelas berdasarkan warrant mahkamah, kata Takiyudin.

Tindakan penguatkuasaan berlaku dengan menyenaraikan tiket-tiket loteri yang didapati dijual di kedai berkenaan dan kemudian saman dikeluarkan, katanya.

"Tiga premis yang disita ialah kedai makan nasi daun pisang dan dua buah kedai buku. Mereka telah bayar compound dan tiket-tiket yang dirampas telah diserah balik," jelas beliau.

Presiden MCA pula dalam pertemuan itu menafikan laporan bahawa beliau berkata, judi adalah budaya orang Cina.

"Tujuan MCA hanya mahu penjelasan dan menegaskan bahawa MCA juga tidak menggalakkan masyarakat Tionghua berjudi dan dinyatakan perjudian bukan budaya.

"Apa yang ingin disampaikan ialah masyarakat Cina diberi hak sama ada nak berjudi atau tidak berjudi," katanya.

Apabila diminta penjelasan oleh Datuk Anuar Tan, yang inginkan penjelasan terhadap kenyataan beliau dalam surat khabar Cina pada 11 Mac, yang melaporkan "judi dengan kepercayaan agama sesetengah orang Cina”

Chua berkata, "Apa pun sumber dari surat khabar, ia bukan kenyataan tepat sebagaimana maksud sebenar."

Dr. Wee Ka Siong kemudian mencelah, “MCA sebenarnya tidak menerima judi sebagai budaya orang Cina dan perjuangan MCA hanya untuk (dapatkan) hak orang bukan Islam.”


Tiada ulasan: