Ahad, 3 April 2011

TAK KAN TAHU...MANA KAKI BELIT..KAKI TIPU...MUNGKIR JANJI...KAKI SAPU...KAKI MAKSIAT...BUAT MUNGKAR...KITA DAH CERDIK TAK KAN NAK DITIPU LAGI....

Jangan terpedaya janji 5 tahun sekali
Rizal Tahir

KOTA SAMARAHAN, 3 April: Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan rakyat Sarawak agar menjaga perinsip dan maruah diri dan tidak terlalu mudah 'dibeli' dengan sedikit habuan menjelang pilihan raya negeri ini.

Berucap sewaktu melancarkan gerak kerja pilihan raya bagi Dun Muara Tuang, malam tadi, presiden PAS itu berkata, rakyat sebenarnya berkuasa memilih pemimpin mana yang baik untuk menjadi wakil mereka dan bukan memelih kerana dibeli.

“Rakyat di negeri jangan memilih pemimpin yang cuba membeli kita pada musim-musim (pilihanraya) seperti ini.

“Kita mempunyai maruah yang tinggi dan berkuasa menentukan siapa pemimpin yang perlu kita pilih,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Turut hadir dalam majlis perlancaran berkenaan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Omar.

Sambil mengingatkan rakyat agar memilih pemimpin yang mampu membangkitkan masalah mereka, Tuan Guru Abdul Hadi berkata Sarawak tidak memerlukan pemimpin yang hanya turun lima tahun sekali untuk menabur janji.

Apatah lagi ujarnya, selama BN memerintah di Sarawak, mereka hanya menjaga kroni-kroni mereka khususnya yang rapat dengan Ketua Menteri (KM) Sarawak, Penin Sri Haji Abdul Taib Mahmood.

“Kita tidak mahu pemimpin yang hanya muncul lima tahun sekali dan membeli kita dengan menabur pelbagai janji pembangunan.

“Negeri Sarawak kaya dengan pelbagi hasil sepeti minyak, balik dan hasil bumi yang lain. Tetapi kekayaan itu hanya berpusing disekitar mereka (BN) dan yang rapat dengan KM,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Sarawak menjadi antara negeri yang termiskin di Malaysia akibat kerakusan pemimpin BN di negeri ini yang mencuri duit rakyat.

Sehubungan itu, rakyat nasihatnya, perlulah memilih pemimpin yang amanah dengan harta negeri dan ini dibuktikan oleh pemimpin PAS yang telah memerintah di negeri seperti Kelantan, Terengganu (1999-2004) dan Kedah.

Tambahnya lagi, PAS yang dasarnya ialah Islam, memberi jaminan sesekali tidak menganggu hak agama lain untuk mengamalkan amalan agama mereka.

“Menjadi dasar PAS yang asasnya Islam, menjamin hak dan amalam agama lain. Islam membenarkan agama lain diamalkan secara bebas tanpa diganggu,” ujarnya.


Video lucah selamatkan Najib
Mohd Rashidi Hasan
MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my
SEWAKTU berada di luar negara sepanjang minggu lalu, penulis dihujani dengan banyak SMS, emel serta beberapa panggilan terlepas (missed call) dari rakan taulan dari Malaysia.

Oleh kerana berada dalam zon masa yang berbeza, penulis pada awalnya hanya 'ignore' sahaja semuanya.

Namun, selepas menyelesaikan beberapa urusan, penulis membuka telefon tangan dan membaca beberapa SMS, antara lainnya tertera:

"Salam..anta ke wartawan HARAKAH yang tengok video seks pemimpin Pakatan Rakyat?"

"Awat hang pi (pergi) tengok seorang?"

"Betul ke Anwar dalam video tu?"

Semua SMS tersebut tidak dibalas penulis, kerana ia tiada kaitan sama sekali dengan penulis. Kalau hendak dijawab pun' penulis tidak arif butiran mengenainya.

Sebelum berlepas keluar negara, penulis sempat mencatatkan sebuah artikel yang berkaitan kes liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim, yang banyak membongkarkan konspirasi jahat pihak atasan Umno-BN.

Dalam sesi akhir perbicaraan sebelum ditentukan, kes ada prima facie atau tidak, segala penghujahan pendakwaraya sudah tertolak dan berjaya dibuktikan ianya tidak berasas.

Belumpun isu penipuan kes liwat selesai, timbul lagi satu isu panas, masih lagi berkaitan dengan Anwar.

Penulis sudah mengagak bahawa orang yang didakwa menonton video terbabit sudah tentunya wartawan kanan HARAKAH, Wan Nordin Wan Yaacob, kerana selain penulis, jika isu-isu berkaitan high-profile sebegini, selalunya diuruskan kami berdua.

Lantas penulis menghubungi beliau. Wan Nordin mengesah beliau diperangkap pihak tentu untuk dibawa menonton video lucah terbabit.

Alasan yang diberikan untuk menjustifasikan, mengapa beliau harus menonton video terbabit ialah 'demi PAS, PAS harus tahu siapa Anwar.'

Malah salah seorang daripada Dato' T tersebut menangis di hadapan wartawan, kononnya Anwarlah di dalam video dan beliau mempunyai perilaku yang menjijikkan. Oleh sebab itu PAS kata mereka, tidak harus berkawan dengan Anwar.

Pada pengamatan penulis, alasan inilah yang sering dihujahkan orang Umno kepada pemimpin PAS. Iaitu Anwar berakhlak buruk, PAS tidak boleh berkawan dengannya.

Sebaliknya Umno pula yang mendabik dada, kononnya mereka suci bersih, yang ikhlas berjuang untuk agama Islam dan bangsa Melayu.

Bagi mereka Anwar begitu kotor. Umno lah yang bersih. Dengan sebab itu mereka menghulurkan tangan 'perpaduan', mengajak PAS bekerjasama membentuk kerajaan negeri dan Pusat.

Jika kita hendak menghujahkan isu moral, akhlak dan peribadi, Umno dan pemimpinnya tidak layak sama sekali untuk berbicara soal ini.

Kerana sesiapa yang pernah masuk dalam Umno sahaja, yang mengetahui betapa rendahnya moral mereka.

Buruknya perilaku pemimpin Umno, sudah diungkapkan dalam novel SHIT karya Dato' Shahnon Ahmad. Shit yang dimaksudkan adalah najis atau tahi dalam bahasa pasar disebut taik. Kalau orang utara, lidah mereka tidak pandai sebut tahi, kalau mereka sebut taik, dengan 'qalqalah' dan 'idgham'nya sekali.

Menyentuh tentang taik ini, penulis teringat kata-kata al-Marhum Dato' Fadzil Mohd Noor, dalam suatu ceramah di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat Taman Melewar.

Kata beliau, "Umno ni ibarat tong taik, kalau kita nak cuci tong taik, kita kena cuci dari luar, bukan cuci dari dalam, kalau kita masuk dalam tong, dengan kita sama-sama jadi taik."

"Ha, ha, ha," mengilai besar aruah Pak Din Hancur, penyokong kuat PAS, yang sering duduk depan stage tiap kali Presiden PAS itu berucap.

Kiasan Ustaz Fadzil itu amat tepat dan bernas jika kita hendak kaitkan isu yang dihadapi Anwar kini.

Ustaz Fadzil mengkiaskan kekotoran dengan najis taik dan Anwar katanya, tidak akan mampu mencuci najis-najis tersebut dari dalam tong.

Apa yang dihujahkan Ustaz Fadzil ada kebenarannya. Akhirnya, walaupun sudah 13 tahun Anwar disingkirkan daripada Umno, najis-najis tinggalan Umno masih dipalitkan kepadanya. Poor Anwar.

Umno adalah yang begitu kotor, sentiasa dengan kekotoran, setelah gagal memalitkan Anwar dengan najis liwat pada tahun 1998 dan mereka mengulanginya pada 2008 (juga sudah gagal), maka kini hendak dimusnahkan Anwar dengan isu video pula.

Persoalannya di sini, apakah Anwar boleh dijatuhkan dengan isu video ini? Atau apakah dengan isu ini, karier politik Anwar boleh dimusnahkan?

Jika kita mengimbas kembali peristiwa 1998, di mana Anwar sudah dipersalahkan dan ditelanjangkan oleh media talibarut Umno-BN, jauh sebelum beliau dibicarakan.

Selepas beliau dipukul, dianiaya dan dipenjarakan, akhirnya didapati segala tuduhan yang dipalitkan kepadanya, tidak berasas.

Serupa juga dengan kes 2008. Di mana media massa dan pemimpin Umno sudah mempersalahkan Anwar, belum pun kes yang didakwa Mohd Saiful Bukhari Azlan bermula.

Dua tahun lagi Anwar menanggung cacian yang menjijikkan kerana beliau digambarkan seolah-olah beliau kaki liwat dan suka kaum sejenis.

Sebaliknya, apabila kes mula dibicarakan, segala perancangan jahat Umno-BN mula terbongkar satu persatu.

Semua hujah pendakwaraya dan saksi mereka berjaya dipatahkan satu persatu. Dakwaan Saiful berjaya dibuktikan, wujud keraguan yang banyak.

Malah alibi yang dikaitkan dengan DNA milik Anwar, ditolak oleh mahkamah.

Maka apabila pihak tertentu mendapat bayangan mereka akan kalah dalam kes liwat II, maka mereka mula merancang untuk mencemarkan maruah Anwar dalam aspek yang lain pula.

Siapa mereka ini? Jawab seorang pembantu kanan kepada seorang bekas Menteri yang ditemui penulis Isnin lepas di Parlimen, katanya, "Bagi saya konspirator utama tetap Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Cuba you selidik, semua Dato' T ini rapat dengan siapa. Khabarnya sejurus sebelum video didedahkan, beliau berlepas ke Argentina," ceritanya.

"Susah juga nak establish connection Tun M dalam isu ini," getus penulis.

"Tak apalah..itu keja you cari maklumat..I hanya hendak beritahu you, bahawa Mahathir memang takut Anwar jadi PM (Perdana Menteri).

"Kalau Anwar naik, habis dia anak beranak, mana dia nak sembunyi kekayaan anak-anaknya," kata beliau bersungguh-sungguh.

Panjang lebar beliau menghurai peranan Mahathir yang didakwanya terbabit mengatur banyak langkah kononnya untuk membantu Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Apa agenda Mahathir, apa yang dilakukannya, boleh dibicarakan dalam sesi yang lebih khusus.

Buat masa ini, bagi penulis, Umno-BN tidak ada jalan lari selain membunuh karektor peribadi Anwar, kerana hanya melalui Anwar parti-parti pembangkang dapat bersatu menentang BN.

Banyak usaha memalitkan Anwar dengan jenayah menemui jalan buntu. Soal betul atau tidak, soal konpirasi akan terbongkar, bagi mereka itu cerita kemudian.

Yang penting, dalam waktu yang singkat ini, dengan sengaja hendak menanamkan persepsi pada minda rakyat bahawa Anwar ini tidak baik dan tidak layak menjadi PM. Itu sahaja.

Sekurang-kurangnya pada tahap ini mereka berjaya memerangkap Pakatan Rakyat, terjebak kepada agenda yang mereka setkan.

Menerui agenda setting ini, Umno-BN berjaya mengalihkan serangan terhadap PM Najib, lalu ditumpukan kepada Dato' T. Habis semua penceramah Pakatan Rakyat menyerang Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Agenda Buku Jingga dilupakan seketika. Skandal, rasuah, penyelewengan SPR, kelemahan SPRM, salahlaku Polis dan pelbagai isu-isu yang boleh menjatuhkan kredibiliti Najib dilupakan.

Ternyata, dalam kes video ini, mereka sudah berjaya menyelamatkan imej Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor daripada tercalar.

Maka saran penulis, Pakatan Rakyat usah terjebak dengan perangkap Umno. Kita harus berada diposisi ofensif, bukan defensif. Strategi menyerang Dato' T tidak menguntungkan Pakatan Rakyat untuk jangka panjang.

Hentilah bahas isu video ini, fokuskan kepada Sarawak dan banyak lagi isu-isu pokok. Jangan beri ruang Umno-BN untuk 'bernafas' untuk menyerang balik Pakatan Rakyat.




Tak suka KM, penyokong BN mahu perubahan
Rizal Tahir
KUCHING, 3 April: Rakyat Sarawak biarpun nampak tidak agrasif dalam membuat keputusan, namun di hati mereka sudah nekad untuk mengubah pucuk kepimpinan kerajaan Sarawak, Bumi Kenyalang.

Rata-rata rakyat di negeri itu, khususnya di Kuching sama ada penyokong Barisan Nasional (BN) atau rakyat biasa mengharapkan pucuk pimpinan negeri Sarawak turut berubah.

Mereka tidak mahu lagi berada di bawah pentadbiran Ketua Menteri yang ada sekarang, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, bukan sahaja telah lama menerajui kepimpinan kerajaan Sarawak, sebaliknya telah mengambil kekayaan negeri untuk peribadi.

Lebih menyedihkan bangsa Melayu Sarawak lebih terpinggir, begitu juga masyarakat Cina jika dibandingkan Melayu Melanau.

Seorang rakyat Sarawak yang hanya ingin dikenali sebagai Noor Abdullah 26, menyifatkan Taib sebagai orang yang terkaya di dunia kerana mengambil harta rakyat sewenang-wenangnya.

Noor yang dibesarkan dalam keluarga yang menyokong kerajaan pemerintah melahirkan rasa kecewa memandangkan pentadbiran kerajaan Sarawak kini semakin tidak membela rakyat khususnya yang berpendapatan rendah.

Beliau yang dibesarkan di Kuching mengharapkan satu perubahan besar berlaku dalam politik negara khususnya Sarawak menjelang pilihanraya umum nanti demi untuk kebaikan rakyat seluruhnya.

“Memang saya dibesarkan dalam keluarga BN, namun saya lebih memihak pada parti yang menjaminkan kesejahteraan rakyat, andainya ada pihak lain yang ingin merubahnya, itu yang akan kami sokong,”ujarnya.

Seorang lagi rakyat Sarawak yang hanya dikenali sebagai Udin, 26 mengharapkan kepimpinan baru negeri itu lebih membela nasib rakyat.

Beliau menyarankan rumah-rumah teres lebih banyak dibina untuk rakyat berbanding rumah pangsa yang ada sekarang.

“Walaupun sekarang rumah pangsa mempunyai tiga bilik, namun ianya masih belum selesa bagi rakyat,”ujarnya.

Ketika memberitahu Harakahdaily, akibat kerajaan pimpinan Taib Mahmod mengambil tanah rakyat sesuka hati, hanya rumah pangsa mampu dibuat berbanding teres.

“Kami rakyat Sarawak berharap hentikan pembinaan rumah pangsa, gantikan rumah teres yang lebih selesa untuk kami dan berilah pembelaan yang sama rata untuk kami bangsa Melayu,”ujarnya.

Seorang lagi penyokong BN, Abu Bakar, 35, mendakwa Taib Mahmod sewajarnya tidak bertanding dalam pilihanraya umum negeri itu tidak lama lagi.

Katanya, bukan sahaja kezaliman serta ketidakadilan dalam pemerintahannya, sebaliknya juga telah lama menerajui kepimpinan kerajaan Sarawak hingga mendatangkan masaalah pada rakyat.

“Harta kerajaan dah jadi harta peribadi apa tidaknya dah ada kapalterbang sendiri, yang berdaftar 9M ATM (Ahmad Taib Mahmod), ini dah teruk,”ujarnya.



Poco-poco: Rakyat makin keliru dan celaru
Hamba Allah

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mengharamkan tarian poco-poco pada mulanya tidak mengejutkan saya. Bagi saya tarian poco-poco bukan satu tarian yang begitu popular terutamanya untuk golongan bawahan. Selalunya ia menjadi kebiasaan bagi golongan atasan dan pertengahan.

Bagi golongan yang majoritinya berada di dalam kategori rakyat biasa, rasanya tidak ada isu untuk diberi perhatian serius. Semenjak media arus perdana menyiarkan pro dan kontra dari pandangan beberapa individu berlatar belakang agama, ia nampak menjadi sedikit panas.

Dr Mashitah yang bukan asing dalam menjawab persoalahan agama nampaknya semacam mempertikaikan faktwa negeri Perak berkenaan. Dalam masa yang sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula meminta agar Fatwa berkenaan tidak dipertikaikan.

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya pula nampak begitu bimbang dengan kecelaruan akibat tidak jelas metodologi dalam menggubal hukum dan fatwa. Dalam kata lain mungkin apa yang dilakukan oleh Jawatankuasa Fatwa Perak tidak betul.

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula berkata, jika setakat tarian kesihatan atau biasa tanpa sebarang kepercayaan yang salah atau dicampuri perbuatan salah seperti arak, seks bebas dan seumpamanya, maka ia dibolehkan dari segi syarak dan tidak wajar diharamkan.

Kalau dilihat dan diperhalusi, hanya Datuk Seri Jamil Khir nampak sedikit berlembut dengan Fatwa baru itu. Kalau dilihat kepada kenyataan Bekas Mufti Perlis, mungkin ada beberapa intipati yang sepatutnya digunakan sebagai asas pengharaman tarian poco-poco iaitu pencampuran perbuatan salah dan bukanlah hanya melibatkan kepercayaan agama lain semata-mata.

Mungkin ramai ilmuan agama tidak berminat untuk melihat dan menegur dengan tegas isu-isu asas seperti tarian yang bercampur lelaki dan perempuan, diiringi muzik-muzik yang melalaikan dan ramai penari wanitanya tidak bertudung serta mendedahkan rambut dan aurat. Semut yang jauh nampak jelas, gajah yang dekat tidak nampak atau buat-buat tidak nampak.

Orang Islam tentunya semakin keliru dengan kenyataan yang bercelaru ini.

Hamba Allah
Terengganu.



Tiada ulasan: