Selasa, 5 April 2011

ISLAM TAK MENGALAKKAN TAKABUR...ATAU BERPELUK TUBUH SAJA...MENJAGA KEMENANGAN LEBIH SUSAH DARI MENCARI KEMENANGAN....

PKR umum tanding 47 kerusi
Harakahdaily

SIBU, 4 April: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan akan bertanding di 47 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi pilihan raya negeri Sarawak kali ke 10, 16 April ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sarawak, Baru Bian pada majlis pengumuman calon dan penyerahan watikah bagi zon Sarawak Tengah dan utara yang diadakan di sebuah hotel di sini sebentar tadi.

Menurut KeadilanDaily sebanyak 4 kerusi lagi di Kuching masih diperingkat rundingan yang ditugaskan kepada Timbalan Presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PKR bersama rakan Pakatan Rakyat dari PAS dan DAP akan memberikan saingan sengit kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya tersebut.

“Kita akan bersungguh-sungguh berkempen dan memberikan penerangan kepada penduduk Sarawak untuk memberikan dokongan kepada Pakatan Rakyat.

“Pilihan Raya Sarawak kali ini merupakan sejarah kerana buat pertama kalinya Barisan Nasional diberikan tentangan paling sengit,” kata Anwar dalam ucapannya.

Hadir pada majlis tersebut ialah dua Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh.

Ini menjadikan berlaku pertembungan 23 kerusi antara PKR dengan SNAP kerana SNAP sebelum ini mengumumkan bertanding di 27 Dun.

PRK bagaimanapun berkata, akan menyelesaikan pertembungan dengan SNAP dalam masa dua hari berbaki sebelum hari penamaan 6 April ini.

DAP dan PAS masing-masing meletakkan 15 dan lima calon pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini.


3 calon PAS diumum malam ini
Rizal Tahir

KUCHING, 4 April: Tiga orang calon PAS yang bakal bertanding di tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak masing-masing diumumkan oleh tiga pemimpin tertinggi parti sebentar tadi di tempat berasingan.

Calon Benting Maro, Abang Ahmad diumum Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, calon di Sebuyau iaitu Pesuruhjaya PAS Sarawak, Haji Adam Ahid diumumkan oleh Timbalan Presiden, Nasaruddin Mat Isa dan calon Muara Tuang, Noraini Hamzah diumum Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

Dua orang lagi calon PAS dijangka akan diumumkan esok.

Noraini yang juga sepupu kepada Senator Mumtaz Md Nawi merupakan anak kelahiran Bachok, Kelantan.

Surirumah yang juga aktivis PAS berusia 48 tahun itu bagaimanapun menetap di negeri itu lebih 30 tahun lalu selepas mendirikan rumahtangga dengan anak tempatan, Morshidi Ali.


Wacana PAS Baru lawan Menerjang Badai
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 4 April: Wacana ilmiah antara penulis buku Menuju PAS Baru, Dr Mujahid Yusof dengan penulis buku kritikan terhadapnya, Menerjang Badai, Ustaz Riduan Mohamad Nor mendapat sambutan memberangsangkan.

Program yang diadakan di Dewan Kompleks Kediaman Exco Selangor, dekat sini malam tadi menampilkan dua tokoh muda PAS yang juga penulis buku yang yang menjadi topik perbincangan utama.

(Gambar: Mujahid bersalam dengan Riduan (kiri) dengan diperhatikan moderator Dr Khairudin Aman Razali)

Dr Mujahid menjalani pendidikan peringkat BA (Bahasa Arab dan Sastera di Universiti Al-Azhar, Mesir, Sarjana (MA) Pembangunan Sumber Manusia di UPM dan Doktor Falsafah (PhD) Siyasah Syariah, UM.

Manakala Ustaz Riduan pula mendapat B.A (Hons) UM dan Diploma Pendidikan di UM, dan MA di UKM serta peringkat akhir PhD di sebuah unversiti tempatan.

Menjadi bualan umum secara hangat sebelum ini, mengenai buku Menuju PAS Baru karya Dr Mujahid yang menjadi kontroversi tentang isi kandungan dalam bab tertentu mengenai perjuangan ulamak dalam PAS dan kepimpinan mereka khasnya.

Namun mempunyai hujah tersendiri, ingin melihat masa hadapan PAS yang lebih cemerlang dengan membahas dan sedikit sebanyak menyentuh status quo kepimpinan parti selama ini, dengan persoalan; adakah sudah berpuas hati dengan tahap pencapaian PAS sekarang ini?

Datanglah Ustaz Riduan dengan bukunya Menerjang Badai: 60 Tahun Mempersada Perjuangan yang mempertahankan kekuatan kepimpinan ulamak selama ini.

Beliau mempunyai kajian mendalam tentang sejarah perjuangan Gerakan Islam di negara ini sementelahan menyiapkan tesis MA dan dalam proses akhir menyempurnakan tahap PhD dalam bidang berkaitan.

Dikeranakan isu ini telah berjalan agak panjang tanpa apa-apa penyelesaian, PAS Cawangan Seksyen 18 dengan kerjasama PAS Kawasan Shah Alam mengambil inisiatif mempertemukan dua tokoh ini dalam satu majlis harmoni dan kondusif.

Moderator wacana, Dr Khairuddin Aman Razali At-Takiri yang juga Pengasas Darul Fuqaha menjalankan peranannya dengan begitu cemerlang.

(Gambar: Antara peserta yang memenuhi dewan)

Dewan luas itu penuh dengan anak muda sekaligus menjadikan majlis berjalan dalam keadaan meriah dan membina; menggabungkan hujah bernas kedua-dua belah pihak dengan sekitar sepuluh soalan hadirin yang turut mewarnai suasana.

Seorang pemimpin Wanita Keadilan, Puan Rozaini Mohd Azmi ketika bangun bercakap menyifatkan program seumpama ini amat baik diketengahkan dan amat perlu diadakan lebih kerap dan jika boleh, parti-parti dalam Pakatan Rakyat perlu meneruskan inisiatif ini.

"Saya berharap usaha ini merupakan inisiatif terbaik dan berharap ia menjadi ikutan juga kepada parti-parti lain gabungan dalam PR," tegas beliau yang juga seorang penggerak menghalang loji sisa radioaktif di Kuantan.

Dalam pada itu, Riduan berkata, isu ini menjadi hangat kerana beliau membahaskan dengan panjang lebar tentang sejarah perjuangan parti diketuai golongan ulamak sedangkan Dr Mujahid pula membicarakan logik organisasi.

"Sudah tentu berlainan dan pembaca pula mempunyai kefahaman tersendiri," tambahnya.

Dr Mujahid pula menegaskan, beliau melihat penulisan Riduan ketika menjawab isi kandungan bukunya sebagai penambahan kepada isu yang dibahaskannya di dalam buku beliau.


Kerajaan tidak cermat tangani isu perpaduan
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 4 Aprli: Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mempersoal kerajaan yang tidak memanfaatkan segala cadangan dan kajian yang dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Perpaduan dan Khidmat Negara yang ditubuhkan pada 2004.

Salahuddin sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan mengeluarkan belanja yang banyak untuk jawatankuasa tersebut termasuk mengadakan sesi pendengaran awam mengenai masalah perpaduan namun ianya tidak digunakan untuk menambah baik perpaduan antara kaum di negara ini.

"Kerajaan pernah menubuhkan Jawatan Kuasa Khas Perpaduan tahun 2004 dan banyak belanja dikeluarkan untuk jawatankuasa ini dan kita mengadakan public inquiry namun ke mana hasil dapatannya?” soal beliau yang merupakan salah seorang anggota jawatankuasa tersebut.

Naib Presiden PAS itu juga berkata, kerajaan mencipta pelbagai slogan dan mengadakan integrasi kaum namun masih tidak cermat dalam menangani isu perpaduan khususnya novel Interlok yang mencetuskan kemarahan kaum India dan Cina.

"Kerajaan buat integrasi kaum,pelbagai slogan tapi sebagai contoh dalam isu Interlok kerajaan tidak cermat.

"Ada banyak novel lain boleh yang kita boleh dapatkan input yang bagus tapi kementerian pilih novel yang mencetuskan segala-galanya.

"Kita ada Biro Tata Negara yang nampaknya mencetuskan isu yang semakin hangat dalam negara," katanya.

Slogan 1Malaysia tegasnya tidak mampu menyelesaikan masalah perpaduan di negara ini.

"Adakah kerajaan bersedia meneliti perkara ini dan mengambil serius tentang perkara yang kita rasa kita boleh beri sumbangan kepada perpaduan dalam negara?" soalnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah dalam jawapannya bagaimanapun tetap mempertahankan slogan 1 Malaysia dengan mendakwa ianya memberi kesan positif kepada semua kaum dan diterima baik oleh rakyat.

Salahuddin dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah pro-aktif kerajaan bagi menjamin tahap keselamatan dan perpaduan rakyat berbilang kaum dalam negara ini agar terus terpelihara.

Beliau juga ingin tahu sama ada kerajaan mengenal pasti atau tidak terdapatnya elemen-elemen yang sedang menjalar dan merebak yang memungkinkan berlakunya tragedi yang tidak diingini berlaku di negara ini.


Usah pandang enteng, Kelantan tidak kebal
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 4 April: Ahli PAS khususnya di Kelantan dinasihatkan tidak memandang remeh Gelombang Merah yang dilancar Umno negeri itu, jika mahu menyelamatkan pemerintahan Islam yang sudah 20 tahun di negeri itu.

Exco Penerangan Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Mohammed Fadzli Datuk Hassan (gambar) berkata, biarpun masuk penggal ke-5 memerintah negeri itu, ahli PAS jangan berasa selesa kerana kerajaan PAS Kelantan bukanlah kebal.

"Kita tidak boleh pandang enteng, sebab dari sudut sejarahnya pun, PAS pernah perintah Kelantan, tapi kita jatuh, kita tidak kebal.

"Dalam pilihan raya kecil baru-baru ini, kita hampir kalah di Manek Urai dan kalah di Galas," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau ditemui selepas merasmikan program pemukiman kedua bloger PAS dan Pakatan Rakyat, anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan di ibu negara semalam.

Tambah beliau lagi, jika tiada usaha kuat dari ahli PAS, maka tidak mustahil Umno akan kembali menguasai Kelantan.

Apatah lagi ujarnya, Umno boleh bertindak apa sahja kerana tidak mempunyai batas undang-undang dan akhlak.

Malah lebih besar dari itu, perubahan dan penerapan nilai Islam yang dibuat selama 20 tahun oleh kempimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya akan berkubur begitu sahaja.

Sepanjang 20 tahun katanya, PAS telah melaksanakan hampir semua perubahan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri termasuk mengharamkan penjualan arak dan premis judi di negeri itu.

Berkenaan undang-undang hudud pula katanya, kerajaan negeri telah meluluskan perkara itu namun perlaksanaannya terhalang kerana di bawah bidang kuasa pusat.

"Tok Guru (Nik Aziz) selalu tanya, kenapa Umno nak lagi rampas Kelantan. Kita dah buat hampir semuanya dah.

"Kalau nak Kelantan nak buat macam negeri Umno lain, itu bermakna mahu meruntuhkan Islam di Kelantan," katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, kerajaan Kelantan telah melancarkan kempen 'Selamatkan Islam, Tolak Jahiliyah' untuk berdepan Gelombang Merah Umno negeri itu.


Undi pos: Bukan sekadar pindaan 'celah gigi’
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Mac: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti serius dan menampakkan kesungguhan membuat penambahbaikan undi pos, bukan hanya ‘pindaan celah gigi’ yang tidak membetulkan ketempangan proses pilihan raya khususnya yang berkaitan dengan undi pos.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Pusat mencadangkan beberapa perkara bagi menjadikan SPR serius membuat pindaan dengan memberi peluang membuat pengundian awal secara beramai-ramai.

Ketua penerangannya, Suhaizan Kayat berkata, pengundi pos tidak perlu mengisi borang 2 yang bermaksud bahawa mereka seperti pengundi awam tetapi yang membezakan mereka mengundi awal dan diberi tempoh masa yang mencukupi.

“Dewan Pemuda PAS ingin mencadangkan bahawa pindaan ini hendaklah mengambil kira persoalan masalah birokrasi dalam proses pengundian,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons berhubung pindaan dalam sistem undi pos yang bakal dibentangkan di parlimen pada tahun ini.

Katanya, pindaan itu perlu dengan jelas menyatakan bahawa pihak SPR mempunyai kuasa penuh menguruskan proses pengundian di tempat yang telah ditetapkan.

Ini, tambahnya bagi mengelakkan campurtangan daripada pihak pengurusan kem atau balai polis yang boleh memberi ruang kepada manipulator mencatur manipulasinya.

SPR, katanya hendaklah membuat pindaan berkenaan kaedah kempen di dalam kem atau balai polis, bagi mereka yang berada di luar negara mereka seharusnya boleh mengundi di kedutaan Malaysia di luar negara.

Tambahnya, kepada mereka yang mempunyai tugas kritikal pada hari mengundi sahaja yang dibenarkan untuk membuat pengundian secara pos.

Selain itu, ujarnya parti-parti yang bertanding adalah client atau pengguna kepada SPR, maka sudah sewajarnya parti-parti itu dilibatkan dalam membuat pindaan terhadap undi pos.

Baginya, cadangan pindaan undi pos yang dicadangkan oleh SPR membuktikan bahawa terdapatnya kepincangan serius dalam pengundian pos seperti yang telah Pemuda PAS dedahkan sebelum ini.

Menurutnya, kenyataan Dewan Pemuda PAS sebelum ini bahawa sistem pengundian undi pos sangat terdedah kepada manipulasi dalam pilihan raya.

Katanya, contoh yang paling jelas adalah kertas undi boleh dibawa pulang ke rumah masing-masing oleh pengundi selama 4 hari di mana dalam tempoh masa ini kertas undi sangat terdedah kepada manipulasi.

Di samping itu, katanya kedudukan tempat mengundi di dalam kem menyebabkan masalah biokrasi yang serius antara SPR, pengurusan kem dan parti-parti yang bertanding.

Selain itu, tambahnya adalah berkenaan masalah kempen di mana hanya parti pemerintah sahaja yang dibenarkan oleh pihak kem untuk berkempen dalam kem.

Persoalannya, kata beliau bagaimana pilihan raya Sarawak yang akan berlangsung pada 6 hingga 16 April 2011 kerana ia berlaku sebelum pindaan terhadap undi pos dilaksanakan.

Oleh itu, katanya manipulasi undi pos boleh berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak.

“Maknanya pilihan raya Negeri Sarawak dilaksanakan dalam tempoh kepincangan undi pos. Keadilan tidak dapat ditegakkan dalam pilihan raya ini kerana adanya undi pos,” katanya.

Katanya lagi, persoalannya adakah rakyat negeri Sarawak mendapat keadilan untuk menentukan pemerintah di negeri mereka sedangkan kepincangan undi pos masih berlaku dalam pilihan raya itu.

Menurutnya, jika pilihan raya umum berlaku pada Jun 2011, maka sekali lagi negara menghadapi kepincangan undi pos dan kerajaan Malaysia bertanggungjawab terhadap kepincangan itu.


Penahanan OKU Kadir untuk tenggelam isu panas
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 April: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan penahanan Kadir Hashim, yang juga seorang OKU ( orang kelainan upaya) di bawah Akta Keselamatan (ISA) bertujuan untuk tenggelamkan isu panas terutama dalam pilihan raya negeri Sarawak.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, PKR dengan tegas dan sekeras-kerasnya mengutuk penahanan tanpa bicara Saudara Kadir Hashim yang jelas membelakangi hak asasi manusia.

"Justeru, penahanan ini sebenarnya hanya bermotifkan politik dan sengaja untuk menenggelamkan isu-isu panas yang berkaitan dengan pilihan raya Negeri Sarawak yang semakin hampir," katanya.

Kadir Hashim, 42, ditahan polis mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kampung Kerinchi di sini, petang 1 April lepas.

Kadir adalah seorang ahli PKR ditahan dalam serbuan melibatkan 20 anggota polis berpakaian preman di rumahnya kira-kira pada jam 6.50 petang, lapor KeadilanDaily.

Perkara itu disahkan Mohamad Izhar, Ketua Angkatan Muda Keadilan Lembah Pantai.

Beliau menganggap penahanan itu tidak masuk akal kerana Kadir adalah seorang peniaga tomyam OKU yang memiliki sebelah tangan dan mustahil untuk terlibat dalam ‘gerakan subversif’ seperti didakwa polis ketika membuat tangkapan.

Dalam pada semua masyarakat sivil menentang amalan penahanan tanpa bicara, tiba-tiba orang ramai dikejutkan dengan penahanan Kadir Hashim di bawah Akta Keselamatan (ISA).

Bagi Wan Azizah (gambar bawah), ini menunjukkan bukan sahaja Kerajaan tidak mengendahkan desakan rakyat tetapi ia menggambarkan BN sudah terlalu angkuh.

Apatah lagi Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor Jumaat lalu telah meluluskan Usul Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Kita difahamkan Kadir Hashim dikaitkan dengan militan di Cambodia. Jika benar dakwaan tersebut, Kadir hendaklah dibawa kemuka pengadilan, dibicarakan dan dibenarkan membela diri.

"Negara ini mempunyai cukup akta dan undang-undang yang boleh digunakan umpamanya Akta Polis dan Kanun Keseksaan," katanya.

PKR, katanya, dengan tegas dan sekeras-kerasnya mengutuk penahanan tanpa bicara Saudara Kadir Hashim yang jelas membelakangi hak asasi manusia.

" Keadilan dengan ini terus mendesak supaya akta zalim ISA dimansuhkan dan kesemua tahanan yang ada didakwa di mahkamah dan dibicarakan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Tiada ulasan: