Isnin, 4 April 2011

BILA PENAFIAN HAK BERTERUSAN...HINGGA RAKYAT SEDAR...BERDOA MEMOHON PEMBALASAN SETIMPAL DENGAN PERBUATAN...DIZALIMI DOA MEREKA TIADA HIJAB...

Kelantan terus dianiayai BN
Noor Jaafar

KUALA LUMPUR, 4 April: Kelantan bukan saja dinafikan hak memperoleh royalti petroleum kira-kira RM600 juta setahun, malah loji pemprosesan minyak dan gas yang sepatutnya dibina di negeri itu tetapi dibina di Songkhla, Thailand.

Tindakan kejam kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad membuatkan beribu peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan dinafikan.

Ahli Exco Kanan Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa (gambar), berkata, kini peluang Kelantan mendapat royalti petroleum yang dituntut kerajaan negeri di mahkamah juga tipis kerana Kerajaan Pusat pula yang menawarkan diri menjadi defendan dalam dalam saman terhadap Petronas.

"Saya tidak tahu macam mana mahkamah boleh benarkan Kerajaan Pusat menjadi pencelah kepada saman kerajaan negeri terhadap Petronas yang didakwa melanggar perjanjian terbabit," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Kelate.net, di Shah Alam, baru-baru ini.

Katanya, BN juga menafikan kelulusan pembinaan lebuh raya antara Kuala Krai ke Kota Bharu, bagi kemudahan rakyat Kelantan.

"Lebuh raya itu bagi kemudahan rakyat Kelantan yang tinggal di lembah klang untuk pulang ke kampung halaman mereka terutama pada hari raya. Kalau sebelum ini penjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu pada musim perayaan mengambil mana hingga 13 atau 14 jam, diharap dengan adanya lebuh raya itu akan menjimatkan masa perjalanan kepada lima atau enam jam saja," jelasnya.

Husam berkata, disebabkan Kerajaan Pusat melengahkan pembinaan lebuh raya itu, kerajaan negeri akan menswastakan pembinaan itu.

"Sebuah syarikat sudah dilantik, termasuk jajaran dan peruntukannya oleh kerajaan negeri cuma menunggu kelulusan Kerajaan Pusat," katanya,

Menurutnya, sebenarkan projek lebuh raya itu sudah lama diluluskan kerajaan pusat iaitu sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) lagi tetapi dilengahkan kerajaan mahu mendera rakyat Kelantan yang memilih Pas memerintah negeri.

"Inilah sikap BN terhadap rakyat Kelantan, apa saya projek yang hendak dilaksana untuk kebaikan rakyat Kelantan dinafikan oleh Pusat. Bukan saja ketika pemerintahan Dr Mahathir, malah zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Abdul Razak juga masih menganak tirikan rakyat Kelantan," katanya.

Katanya, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang sepatutnya diteruskan hingga ke Kelantan, tetapi diberhentikan setakat Terengganu, ini semua menggambarkan kezaliman Kerajaan BN terhadap Kelantan.

"Sekarang perkara sama dilakukan BN terhadap beberapa lagi negeri yang diperintah pembangkang, termasuk Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Oleh itu saya harap rakyat sedar dan tidak lagi memberi peluang kepada BN memerintah negara ini, termasuk Negeri Sarawak," katanya.


SPNB lambat bayar kontraktor
Kontraktor SPNB

Assalamualaikum tuan editor,

Saya ingin menarik perhatian tuan supaya siasatan dapat dibuat ke atas Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di mana pembayaran tidak di buat atau lambat di buat kepada kontraktor-kontraktor yang menjalankan kerja. Ini berlaku kepada diri saya sendiri di mana saya adalah kontraktor yang menjalankan kerja-kerja infrastruktur bagi projek perumahan terbengkalai di Johor.

Saya adalah kontraktor yang menjalankan kerja-kerja infrastruktur (loji Kumbahan) dan telah memulakan kerja-kerja ini pada bulan oktober tahun 2010. Tuntutan bayaran kemajuan telah di buat semenjak dari tahun lepas dan sehingga kini tuntutan syarikat kami telak masuk ke tuntutan bayaran kemajuan ke lima. Amaun kontrak adalah kira-kira lapan ratus ribu lebih. Kerja-kerja pembinaan adalah hampir siap tetapi bayaran yang kami telah terima dari pihak SPNB hanyalah bayaran kemajuan pertama iaitu RM62,000.00 kira-kira pada hujung bulan Disember 2010 yang lalu.Saya tidak menpunyai gaji semenjak projek ini di jalankan semata-mata supaya projek ini dapat diteruskan kerana saya akan mengalami kerugian sekiranya terhenti dan sehingga saya terp[aksa menggunakan duit simpanan dan gaji isteri bagi menampung projek ini.

Tujuan saya mendedahkan perkara ini adalah supaya pihak SPNB dapat membuat pembayaran kepada pihak kontraktor yang terlibat di mana pihak SPNB akan mendapat publisiti yang meluas di media apabila dapat menyiapkan sesuatu projek perumahan terbengkalai. Seseorang menteri akan di jemput untuk menyerahkan kunci kepada pembeli dan disiarkan di televisyen. Ini sudah tentu memberikan impak yang besar terutama sekali di musim-musim pilihanraya ini tetapi kami yang sengsara.Ini adalah tidak adil kerana sepatutnya pihak SPNB hendaklah membuat pembayaran apabila cukup tempoh iaitu 30 hari setelah sijil pembayaran dikeluarkan.Ini bukan hanya berlaku kepada saya tetapi juga kepada kontraktor utama yang membina rumah di projek yang sama.

Saya telah menulis surat untuk meminta bayaran kepada pihak pengurusan SPNB iaitu pengerusi, pengarah urusan dan pegawai operasi tetapi tiada respon.Saya percaya perkara yang sama berlaku kepada kontraktor-kontraktor yang lain tetapi perkara ini tidak didedahkan atau tidak tahu saluran mana hendak mengadu.Mungkin perkara ini berlaku kepada saya sahaja. Oleh itu saya mohon supaya pihak tuan dapat membuat siasatan akan kebenaran perkara ini,dan sekiranya benar,saya harap ia dapat didedahkan supaya pihak kontraktor dapat di bayar oleh pihak SPNB. Saya harap pihak tuan dapat merahsiakan pengadu kerana di khuatiri akan memudaratkan saya sekiranya mereka ketahui saya membuat aduan ini.

Sekian terima kasih.
Wassalam


'Tak sekolah, asal sokong Umno boleh jadi kaya'
M Faqih

PENGKALAN CHEPA, 4 April: “Anehnya pendidikan hanya setakat tingkatan lima, namun boleh bergaya dengan kehidupan mewah dan kereta besar. Syaratnya jadi ketua Umno.

”Sedangkan kita belajar sehingga ke luar negara, gaji hanya cukup makan, jauh sekali hendak pakai kereta besar.

”Inilah yang membuatkan saya berfikir dan berhenti sebagai Pengarah Biro Tata Negara untuk terlibat aktif dalam Umno,” kata bekas anggota jawatankuasa Umno Sungai Petani yang kini anggota Parlimen PKR Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.(gambar)

Beliau mendedahkan pernah menjadi pengurus kempen kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika beliau bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia.

Ketika itu berlaku perlawanan empat penjuru merebut jawatan tersebut di mana tiga lagi calon iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, bekas Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tambi Chik.

Menurutnya hasil kesungguhan kempen membolehkan Zahid menang jawatan tersebut dan beliau mendedahkan diberi imbalan projek kerajaan sehingga menjadi kaya raya.

”Saya ketika itu sudah senang lenang, namun peristiwa yang berlaku pada 1998 mengubah pendirian politik saya sehingga sanggup meninggalkan segala kekayaan untuk berjuang bersama Dato’ Seri Anwar
Ibrahim,” katanya pada ceramah di Kedai Buluh malam kelmarin.

Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota Exco, Wan Ubaidah Omar, anggota parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan anggota jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Biar pun suasana agak basah kerana hujan lebat pada awal malam, namun orang ramai tetap hadir bagi mendengar penjelasan Johari mengenai video seks dakwaan mirip pemimpin PKR.

Menjelaskan mengenai isu tersebut katanya, beliau merupakan pemimpin PKR paling awal diberi kesempatan menonton video terbabit selepas dipelawa berbuat demikian Tan Sri Rahim.

Katanya, Datuk Shuib Lazim yang merupakan bapa saudaranya menjadi orang perantara membawanya berjumpa dengan Rahim di sebuah hotel.

Malah beliau memberitahu Rahim memeluknya ketika sampai di hotel berkenaan dan bercakap dalam bahasa Inggeris.

Kata beliau peliknya video yang dipertontonkan di hotel berkenaan dalam hitam putih, sedangkan sekarang zaman canggih penuh dengan warna warni.

Video itu tidak ada muzik dan tanpa suara orang bercakap. Kamera tidak bergerak menyebabkan gambar tidak jelas.

”Namun saya boleh pastikan orang dalam gambar berlainan kerana perutnya boroi, punggung berisi dan badan sasa.

”Sedangkan kita tahu Datuk Seri Anwar agak kurus, punggung nipis dan badan tidak sasa. Malah Pak Jang (Shuib) juga memberitahu orang dalam video bukan Anwar,” kata Johari.

Beliau juga menceritakan Rahim memintanya membawa lima anggota parlimen PKR bagi menyaksikan video tersebut.

Katanya, pada hari dijanjikan beliau membawa Datuk Kamarul Baharin, Rashid Din, Azan Ismail, Abdullah Sani dan Amran Ghani untuk menyaksikan video berkenaan.

Bagaimanapun kata beliau selepas berjam-jam menunggu akhirnya Rahim tidak datang hotel tempat dijanjikan.

Beliau juga mendakwa Rahim dikenal pasti antara pihak yang terbabit dengan pembikinan buku 50 Dalil Sebab Anwar Tidak Boleh PM.

”Oleh itu anak-anak muda perlu menurunkan orang tua-tua seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Rahim bagi mengelakkan negara menjadi hancur,” katanya.

Muhammad Sabu pula berkata, semua orang kenal Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud kaya raya serupa dengan bekas Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali dan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Katanya, Taib hanya menunggu saat dijatuhkan rakyat Sarawak pada pilihan raya negeri 16 April ini.


Pemuda PAS Kuantan berkonvoi agih barang keperluan

Khairil Abdul Rahim

KUANTAN, 4 April: Ketika rata-rata rakyat terpaksa menanggung beban kenaikan harga barang yang melambung pada masa ini, golongan yang memerlukan tidak dilupakan.

Serentak dengan itu, 100 anggota Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuantan kelmarin turun padang disekitar parlimen ini untuk mengagihkan barang keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak serta keperluan-keperluan dapur yang lain.

Program yang dinamakan “Konvoi Kebajikan Bermotosikal” menjelajah Parlimen Kuantan itu bermula pada jam 8.30 pagi sehingga Jam 7.00 malam dengan turut disertai oleh Yang Di Pertua PAS Kawasan Ustaz Rosli Abdul Jabbar.

(Gambar: Rosli Jabbar sedang mengagihkan sumbangan)

Rosli berkata, program tersebut diatur dan dilaksanakan bertujuan untuk membantu golongan yang susah terutamanya golongan nelayan.

“Akhir-akhir ini menjadi halangan kepada mereka untuk turun ke laut kerana hujan yang tidak menentu. Kita harap sekurang-kurangnya sumbangan yang dihulurkan dapat meringankan sedikit bebanan mereka," katanya ketika mengagihkan barangan dan risalah di Kampung Tanjung Lumpur dan Peramu dekat sini.

Dalam pada itu Ketua Dewan Pemuda PAS Kuantan, Ustaz Fadhli Ibrahim berkata program tersebut merupakan aktiviti sumbangan sepanjang masa mengikut keperluan.

“Program yang dilaksanakan ini melangkaui perbezaan fahaman politik, kita bagi semua kepada mereka yang layak tak kira PAS atau Umno dan dalam masa yang sama kita nak beritahu kepada rakyat di Parlimen Kuantan bahawa kita mampu menerapkan konsep kebajikan kepada masyarakat sekiranya kita memerintah”.

CAPTION:
1. 1.
2. 2. Fadli turut menyerahkan berangan
3. 3. Konvoi Pemuda yang turun padang mengagih barang keperluan


Tempat belajar ada tetapi kerja tiada - Nasir
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 4 April: Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) mendakwa kerajaan tidak serius dalam menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan belia di negara ini tetapi hanya tempat belajar sahaja kerana ia satu perniagaan.

Kerajaan seolah-olah hanya menyediakan tempat pengajian kepada pelajar lepasan menengah tanpa merangka rancangan khusus untuk menempatkan mereka di pasaran kerja.

Nasir berkata demikian sebagai respons kepada jawapan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah kepada soalannya di Dewan Rakyat hari ini.

"Kewujudan kolej ini menunjukkan kerajaan tak mempunyai rancangan khusus untuk graduan mendapat kerja, hanya menyediakan tempat untuk belajar," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Beliau dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan bilangan universiti dan kolej universiti swasta yang wujud
di dalam negara dan bilangan universiti dan kolej universiti swasta yang mendapat geran serta jumlah universiti dan kolej universiti swasta.

Timbalan Menteri dalam jawapannya memberitahu, sehingga 31 Januari 2011 bilangan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang bertaraf universiti dan kolej universiti serta kampus cawangan universiti luar negara adalah sebanyak 49 buah iaitu 24 universiti swasta, 20 kolej universiti swasta dan lima kampus cawangan universiti luar negara.

Jumlah keseluruhan IPTS termasuk universiti swasta, kolej universiti swasta dan kampus cawangan luar negara adalah sebanyak 485 buah.

Jumlah pelajar yang menuntut di semua IPTS adalah seramai 541,629 orang.
Sehubungan itu, Nasir mengemukakan soalan tambahan dengan meminta pihak kementerian menyatakan langkah yang diambil untuk memastikan penuntut-penuntut tersebut mendapat pekerjaan setelah tamat pengajian.

Beliau berkata, karnival kerjaya yang dianjurkan pemuda BN membuktikan kadar pengangguran yang serius apabila 300 ribu belia menghadirinya.

Timbalan Menteri bagaimanapun tidak menjawab soalan tersebut secara tepat sebaliknya hanya memuji pemuda BN yang menganjurkan karnival tersebut.

"Kerajaan tak menjawab apa usaha kerajaan untuk memastikan graduan mendapat pekerjaan," katanya.

Nasir turut menyatakan kebimbangan jika kerajaan hanya menyediakan IPTS semata-mata untuk mengaut keuntungan.

"Kita bimbang kewujudan kolej-kolej ini hanya satu bentuk perniagaan, bagi orang masuk belajar tapi tak ada kerja selepas keluar," katanya.


Praya Sarawak: Tangguh pemilihan PAS jika BN menang

Khairil Abdul Rahim

KUALA LUMPUR, 4 April: Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaffar mencadangkan supaya PAS menangguhkan pemilihan dalam parti sekiranya barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 16 April ini.

Kata beliau, jika BN menang besar ada kemungkinan pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan berlangsung dalam tempoh yang singkat selepas itu.

“Pimpinan PAS kena buat keputusan sama ada perlu diteruskan pemilihan jawatan tertinggi parti atau tidak jika BN menang besar di Sarawak kerana mungkin PRU akan diawalkan dan tumpuan mesti diberikan kepada PRU sebab itu lebih penting.

“Pada saya eloklah tangguhkan pemilihan, sebab sudah tentulah jika berlaku pertandingan dalam masa yang singkat sebelum PRU, sedikit sebanyak akan menjejaskan sedikit tumpuan dan persiapan parti,”katanya.

AJK PAS Pusat yang juga Pengarah Urusan Harakah itu berkata demikian ketika berucap membentangkan kertas kerjanya dalam program permukiman penulis blog pro Pakatan di Hotel De Palma, Ampang dekat sini semalam.

Lima puluh lima orang penulis blog dari seluruh negara menghadiri pemukiman kali kedua selama dua hari itu.

Kata Kamaruddin, pimpinan Umno akan mengambil kira kemenangan mereka di Sarawak sebagai pengukur masa untuk pilihan raya dan jika mereka tewas turuk ada kemungkinan PRU dilewatkan.

DAP sebelum ini telah menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan bagi memberi tumpuan kepada PRU. Begitu juga Umno yang menangguhkan pemilihan pusat selama 18 bulan bagi memberi jalan kepada PRU.

PAS pula akan memilih pimpinan pusat sesi 2011 – 2013. Pada ketika ini PAS kawasan-Kawasan sedang rancak melaksanakan pemilihan di seluruh negara.


Terima atau tolak nuklear berdasarkan ilmu
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 4 April: Semua pihak di negara ini diingatkan agar membuat pertimbangan berdasarkan ilmu sama ada menolak atau menerima usaha untuk memajukan nuklear di tanah air.

Sehubungan itu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air diminta mengambil usaha memberikan penerangan yang jelas kepada semua pihak tentang nukleur serta baik buruknya dalam pebagai aspek.

Ahli Parimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub ketika mengingatkan perkara itu berkata, perbincangan mengenai usaha untuk memajukan nuklear di negara ini sepatutnya diadakan secara intelektual oleh semua pihak bagi membolehkan ia difahami dengan jelas.

Menurut beliau, dengan itu barulah setiap keputusan yang dibuat mengenai usaha untuk memajukan nuklear benar-benar praktikal dan tidak merugikan kita sendiri.

Katanya, walaupun kesan akibat nuklear amat besar, namun kita mesti berfikir objektif tentang nuklear.

"Kita mesti faham apa itu nuklear serta baik buruknya. Jadi jika menolaknya, jangan tolak tanpa knowledge. Sekiranya kita menolaknya, apa akan jadi kepada negara kita jika kita kehabisan sumber tenaga lain suatu masa nanti," katanya ketika mencelah perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Buat masa ini, katanya, pemahaman pelbagai pihak mengenai nuklear masih kurang jelas sehingga menyebabkan orang ramai begitu takut dengan nuklear.

Menurutnya, keadaan itu tidak boleh dibiarkan dan ia perlu ditangani dengan baik oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Beliau yang jiga Naib Presiden PAS turut menyarankan pihak kerajaan agar memanfaatkan pakar-pakar nuklear di tanah air bagi memberikan penerangan yang jelas tentang nuklear serta baik buruknya agar semua pihak mempunyai ilmu mengenainya.

"Sekiranya semua pihak sudah diberikan penerangan yang jelas oleh pakar-pakar nuklear sendiri, barulah perbincangan secara intelektual dapat dilakukan dan dengan itu barulah keputusan yang dibuat tidak merugikan kita sendiri," katanya.


ISA: Keluarga mahu Kadir dibebaskan segera
Harakahdaily

PETALING JAYA, 4 Mac: Keluarga Kadir Hashim, Orang Kelainan Upaya (OKU) yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini, menyifatkan penahanan tersebut sebagai zalim dan mahu pihak berkuasa membebaskan Kadir dengan segera.

Kadir, 42, yang cacat sebelah tangan sejak berusia 12 tahun, sebelum ini menjalankan perniagaan tomyam di rumahnya di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur. Beliau ditahan mengikut Seksyen 73 (1) ISA pada 1 April lalu oleh pihak polis tanpa sebarang sebab dan alasan.

KeadilanDaily mealporkan ahli keluarga Kadir yang hadir pada sidang media di Ibu Pejabat PKR tengahari tadi, mahu polis mendakwa Kadir di mahkamah, dan bukan menahannya tanpa bicara.

Hadir pada sidang media itu ialah Mah Mat Idris, ibu kepada Kadir dan dua abang kepada Kadir, Muda Hashim dan Hisham Hashim.

Muda, 46, yang kelihatan sedih bercampur marah dengan penangkapan itu berkata beliau benar-benar tidak berpuas hati dengan penahanan adiknya di bawah Akta drakonian itu.

“Saya minta kerajaan lepaskan adik saya ini dengan segera. Sekiranya dia buat kesalahan, sila bawa dia ke mahkamah. Buktikan kesalahan dia dahulu,” kata Muda yang menyifatkan penahanan adiknya itu sebagai tindakan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.

“Apabila rakyat ditahan tanpa apa-apa sebab, ini bermakna pemerintah kita cukup zalim. Negara kita tiada ancaman daripada pengganas, kenapa perlu tahan adik saya?” soal beliau.

Abang kedua Kadir, Hisham Hashim, 43, pula menyifatkan penahanan adiknya itu sebagai biadap kerana sehingga ke hari ini mereka tidak diberikan alasan kukuh penahanan Kadir.

“Ia terlalu biadab dan kami sangat sedih.

“Surat (penahanan) yang diberi sangat umum, kami mahu sebab. Saya gesa kerajaan bebaskan Kadir dengan segera,” kata Hisham.

Naib Presiden PKR, N Surendran yang hadir sama pada sidang media selaku peguam kepada keluarga Kadir kesal kerana pihak polis mengelak daripada memberi jawapan khusus berhubung penahanan Kadir.

“Tidak ada apa-apa maklumat diberi pada keluarga Kadir. Peguam cuba dapat maklumat dpd polis tapi tak ada apa-apa maklumat diperoleh. Tiada siapa tahu di mana beliau berada dan keadaan kesihatannya,” kata Surendran.

Surendran seterusnya menyifatkan penahanan Kadir tidak ubah seperti layanan negara-negara yang diperintah diktator terhadap rakyatnya.

“Ini seperti di Korea Utara, Cuba, dan Mesir. Mereka (tahanan) hilang begitu sahaja,” katanya.

Untuk membuktikan sikap acuh tidak acuh polis terhadap kes itu, Surendran menghubungi pegawai polis yang menandatangani notis penahanan, ACP Normah Ishak, sewaktu sidang media berkenaan untuk mengetahui keadaan Kadir dan tempat beliau ditahan.

Panggilan berlangsung kira-kira 15 minit, namun ACP Normah tetap enggan memberikan alasan khusus Kadir ditahan malah enggan memberitahu tempatnya ditahan.

Beliau sebaliknya meminta Surendran menulis surat kepadanya untuk bertemu secara rasmi.

Surendran memberitahu keluarga Kadir akan membuat permohonan habeas corpus di mahkamah sekiranya Kadir tidak dibebaskan.

Tiada ulasan: