SAYA amat bimbang apabila isu-isu agama dipolitikkan. Islam cuba ditafsirkan menurut kepentingan politik masing-masing. Hukum-hakam syarak menjadi mangsa. Permainan politik sanggup menggadaikan segalanya.
Amat berbeza antara penilaian berteraskan politik kepartian dengan penilaian yang berasaskan metodologi ilmu dalam Islam. Politik kepartian sering menilai isu atau sesuatu berasaskan kepentingan (political interest), persepsi dan prejudis.
Sementara ilmu Islam yang sahih menilai sesuatu berdasarkan dalil dan fakta. Kebenaran dalam Islam itu buta warna parti atau kumpulan. Kebenaran itu kebenaran, tanpa mengira dari mana dan kepada siapa ia berpihak.
Firman Allah: (maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Maidah, ayat 8).
Orang politik datang dan pergi. Parti politik juga demikian. Namun, Islam kekal abadi. Ia menjadi cahaya yang menyinari kehidupan manusia. Orang politik boleh musnah, parti juga boleh hancur. Manusia tidak semestinya bergantung kepada seseorang tokoh atau sesebuah parti. Namun, manusia sentiasa perlukan hidayah Islam yang membimbing ke jalan yang benar.
Islam mesti kekal bersih, membimbing semua manusia. Malanglah jika orang politik sanggup mempertaruhkan Islam untuk survival mereka!
TAMBAH KELIRU
Bukan muslim bertambah keliru dengan hukam-hakam berkaitan mereka yang dikeluarkan kebelakangan ini. Fatwa-fatwa ‘ala-Taliban’ yang menggambarkan sikap keras Islam terhadap pihak lain dicadang dan didendangkan oleh sesetengah media.
‘Juru-juru fatwa’ yang boleh ditekan suisnya oleh pihak politik bersedia menunggu. Islam dikaburkan oleh permainan yang seperti ini. Dalam Islam, hubungan dengan bukan muslim bermula dengan terang dahulu, setelah diperjelaskan dan masih ada permusuhan barulah tindakan ‘peperangan’ boleh diambil jika ada keperluan.
Tetapi dalam masyarakat kita agak terbalik iaitu ‘perang dahulu’ tanpa sebarang penerangan awal yang jelas. Saya telah ulas dalam banyak media tentang isu doa kebaikan kepada bukan muslim. Kini timbul pula isu bukan muslim masuk masjid. Ya, isu ini bermula dengan orang politik. Namun janganlah dalam keghairahan hendak menghentam musuh politik, fakta Islam pula yang dimangsakan.
Jika kita enggan menerima mereka masuk, itu persoalan lain. Tetapi menggambarkan kepada mereka bahawa Islam melarang mereka sama sekali memasuki masjid, itu boleh menimbulkan salah faham. Islam ala melayu atau Islam yang ada dalam sejarahnya yang gemilang? Rasulullah menerima perwakilan dalam masjid, bagaimana tiba-tiba hari ini masjid diharamkan untuk mereka?!
MASUK MASJID
Ya, para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat tentang hukum bukan muslim masuk ke dalam masjid. Namun, majoriti fuqaha termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i berpendapat bahawa bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid jika ada keperluan untuk itu. Pendapat ini disokong oleh beberapa dalil yang kuat.
Di samping, ia juga membantu memahamkan masyarakat bukan Islam mengenai Islam. Dalam negara yang berbilang agama seperti negara kita, pandangan ini bukan sahaja kuat dari segi dalilnya, ia juga memberikan kebaikan kepada dakwah Islam itu sendiri.
Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah menghantar pasukan (skuad) tentera berkuda dan menawan Thumamah bin Athal yang merupakan kepimpinan Bani Hanifah dari Yamamah. Beliau dibawa ke Madinah dan diikat di tiang masjid Nabi s.a.w.
Apabila Nabi s.a.w datang ke masjid dan melihatnya, baginda bertanya: “Apa yang ada engkau dapati wahai Thumamah?” Jawabnya: “Bersamaku kebaikan, wahai Muhammad! Jika engkau membunuhku, engkau membunuh orang yang punyai darah (berhak dibunuh atau mungkin beliau meminta simpati), jika engkau memberi kurnia, engkau memberikan kurnia kepada orang yang berterima kasih. Jika engkau mahu harta, engkau boleh minta seberapa banyak yang engkau mahu”. Lalu Nabi s.a.w meninggalkannya.
Keesokannya Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati Wahai Thumamah?”. Jawabnya: “Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi kurnia, engkau memberi kurnia kepada orang yang berterima kasih”. Nabi meninggalkannya. Keesokannya lagi Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati wahai Thumamah?”. Jawabnya: “Seperti yang aku katakan kepadamu”. Lalu Nabi s.a.w memerintahkan: “Bebaskan Thumamah”.
Thumamah pun keluar pergi ke mata air berdekatan masjid, beliau mandi, kemudian masuk semula ke masjid dan mengucapkan: “Aku bersaksi bahawa tiada ilah (yang diabdikan diri) melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah”. Beliau juga berkata: “Wahai Muhammad! Demi Allah, duhulu tiada atas muka bumi yang lebih aku benci daripada engkau, sekarang berubah engkau telah menjadi orang yang paling aku sayangi.
"Demi Allah, dahulu tiada agama yang lebih aku benci dari agamamu, sekarang berubah agamamu menjadi agama yang paling aku sayangi. Demi Allah, tiada dahulu negara yang lebih aku benci dari negaramu, sekarang berubah negaramu menjadi negara yang paling aku sayangi..”.
Hadis di atas menunjukkan bagaimana Thumamah bin Athal seorang tawanan perang yang menentang kerajaan Nabi s.a.w dibawa masuk ke dalam masjid. Antara tujuannya, agar dia dapat melihat kehebatan ibadah dalam Islam. Sekalipun dia musuh dan tawanan perang, Nabi s.a.w menggunakan pendekatan yang menarik jiwanya sehingga dia akhirnya menganut Islam.
Ini dengan cara menempatkannya dalam masjid dan baginda bertanya soalan selama tiga hari lalu memaafkannya. Kesan berada di masjid dan kemaafan Nabi s.a.w, akhirnya kepimpinan musuh tersebut menganut Islam. Hadis ini menjadi bukti bahawa orang bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid. Inilah pegangan kebanyakan ulama termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i.
Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H): “Hadis ini menunjukkan harus membawa orang kafir masuk ke dalam masjid. Mazhab Syafi’i mengharuskannya dengan izin muslim. Ini merangkumi kafir ahli kitab atau selain mereka”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 12/435, Beirut: Dar al-Khair).
Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi mengeluarkan hukum tentang bukan muslim masuk ke masjid seperti berikut: “Pendapat yang tepat bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid untuk sesuatu kemaslahatan syariah atau sesuatu keperluan tertentu seperti mendengar sesuatu yang membawa masuk ke dalam Islam, atau keperluannya untuk minum air yang berada dalam masjid atau selainnya. Ini kerana Nabi s.a.w mengikat Thumamah bin Athal al-Hanafi dalam masjid sebelum dia menganut Islam, baginda juga menempatkan perwakilan Thaqif dan perwakilan Kristian Najran di masjid sebelum mereka menganut Islam. Ini kerana ada banyak faedah mereka memasuki masjid, antaranya; mendengar ucapan dan nasihat Nabi s.a.w, melihat orang bersolat dan membaca al-Quran dan berbagai faedah besar yang lain bagi sesiapa yang melazimi masjid”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah 6/276. Riyadh: Idarah al-Buhuth)
LUASKAN FUNGSI MASJID
Kita sepatutnya meluaskan fungsi masjid agar dapat menjadi ‘centre for Islamic Information’ yang mesra pelanggan. Masjid sepatutnya berfungsi menyampaikan Islam kepada setiap pihak; muslim dan bukan muslim. Di negara seperti Malaysia yang berbilang agama dan budaya, kaum muslimin perlulah aktif dan intraktif dalam menyampaikan mesej Islam.
Jika masjid dijadikan zon larangan bagi orang bukan muslim sehingga tidak dapat mendekatinya, bilakah Islam akan dapat difahami oleh mereka. Sudahlah dalam negara ini banyak fatwa ala-taliban yang cuba menggambarkan seakan tiada rahmah antara muslim dan bukan muslim, ditambah lagi dengan ditutup ruang untuk mereka mendengar ajaran Islam.
Masjid digambarkan musuh mereka dan mereka dilarang menghampirinya. Sementara dalam masa yang sama ada pihak bukan Islam yang menjemput muslim dengan hormat ke tempat ibadah mereka serta menghulurkan berbagai bantuan.
Akhirnya, kita terus bermusuhan tanpa mencari titik dakwah, atau sekurang-kurang noktah yang mengurangkan sangkaan salah terhadap agama hidayah ini. Ke manakah hala tuju Islam yang hendak kita bawa dalam negara ini?
INDONESIA digemparkan dengan pengumuman penangkapan tokoh ulama Abu Bakar Baasyir, yang kini menjadi pemimpin pergerakan Jamaah Anshorut Tauhid (JAT), kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas. Ulama yang sering dikaitkan dengan kejadian bom Bali pada suatu ketika dulu itu, ditahan di daerah Banjar, Ciamis, Jawa Barat pada pukul 8.15 pagi dan dibawa ke Markas Besar Polis Indonesia untuk disoal siasat.
Abu Bakar ditangkap kerana disyaki terlibat dalam beberapa kegiatan pengganas termasuk merancang latihan ketenteraan untuk kumpulan pengganas di Aceh. Hasil siasatan polis mendapati Abu Bakar berperanan aktif menyiapkan rancangan awal latihan ketenteraan bagi kumpulan pengganas di Aceh, menentukan pelantikan beberapa orang sebagai pemimpin kumpulan pengganas, merestui dan membiayai kegiatan latihan kententeraan itu.
Sememangnya saya mempunyai kenangan tersendiri dengan Abu Bakar yang tak mungkin dapat saya lupakan sampai bila-bila.
Sewaktu saya bertugas di Utusan Malaysia dulu, saya pernah diarahkan untuk membuat liputan gempa bumi yang meragut nyawa lebih 3,000 orang penduduk di Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY), Indonesia.
Ini merupakan tugasan ketiga saya ke sana selepas dihantar membuat liputan tsunami di Aceh dan gempa bumi Pulau Nias, Sumatera Utara.
Saya ingin berkongsi pengalaman mengenai satu tugasan yang bagi saya dan rakan jurugambar, Mohd. Noor Amin cukup mencabar.
Semuanya bermula sewaktu kami berdua sedang `belasah' kopi Jawa dan pisang goreng berkeju di sebuah warung buruk di pinggir kota Yogyakarta.
Sambil menikmati hidangan ala-kadar itu, saya tiba-tiba ternampak berita kecil yang termuat di dalam akhbar paling berpengaruh di Indonesia, Kompas.
Bunyinya : ABU BAKAR BAASYIR DIBEBASKAN DARI PENJARA CIPINANG ESOK.
Saya tiba-tiba terfikir, alangkah menariknya kalau kami dapat menemu bual pemimpin agama paling kontroversi dan paling dikehendaki oleh Amerika Syarikat kerana disyaki menjadi dalang dalam banyak siri pengeboman di rantau ini.
Tanpa melengahkan masa, saya terus menghubungi Pengarang Berita di Kuala Lumpur untuk mendapatkan pandangannya. Beliau menyambut baik cadangan tersebut dan memberi `lampu hijau' untuk kami meneruskan misi berkenaan dengan syarat kami terlebih dahulu memberi pertimbangan yang sewajarnya daripada aspek keselamatan.
Bila dapat saja `lampu hijau', kami terus menyusun strategi dan sasaran pertama kami ialah Ketua Pengarang Akhbar Kedaulatan Rakyat, Bapak Octo Lampito. Kami memilih Octo kerana beliau sangat dihormati di Yogyakarta dan ini sudah tentu memberi kelebihan dalam usaha kami menjejaki Abu Bakar.
Ternyata strategi `serkap jarang' kami berhasil! Jangan ditanya apakah rahsia kami `mengayat' Octo, yang pasti beliau sangat senang dengan kami berdua, bukan itu saja, malah beliau turut mengarahkan seorang wartawannya untuk membantu kami menemui Abu Bakar.
Sebaik saja Abu Bakar dibebaskan, kami menyewa sebuah van dan terus menuju ke Rumah Sakit Umum Muhammadiyah (RSUM), Solo yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Yogyakarta. Ini kerana Abu Bakar dijadualkan singgah di situ untuk menjalani pemeriksaan sebelum pulang ke rumahnya.
Kami tiba di RSUM tepat pukul 9 malam namun ketika itu Abu Bakar belum sampai, maklumlah perjalanan dari Penjara Cipinang, Jakarta ke Solo mengambil masa hampir 12 jam. Ketika itu ribuan penyokong Abu Bakar yang siap dengan berpakaian ala-ninja dan separa tentera sudah pun berhimpun di perkarangan RSUM untuk menyambut kepulangan `wira' mereka.
Teriakan Allahu Akbar bergema di sana sini. Suasana tidak ubah seperti waktu reformasi di Kuala Lumpur suatu ketika dulu. Tepat pukul 11 malam, Abu Bakar dan rombongannya tiba dengan sebuah kenderaan MPV, Toyota Alphard berwarna hitam metalik.
Suasana menjadi semakin huru-hara, malah anggota polis yang ada bagaikan `patung' kerana tidak mampu lagi membendung asakan ribuan penyokong Abu Bakar yang mahu memeluk dan bersalaman dengan pemimpin kesayangan mereka.
Mohd. Noor terpaksa `surrender' lebih awal apabila tubuhnya terhoyong-hayang ke kiri dan ke kanan kerana ditolak oleh penyokong Abu Bakar. Malah saya yang `comel' ini pun hampir tersembam ke tanah kerana dirempuh ribuan orang yang sudah tidak dapat lagi mengawal emosi mereka.
Dalam keadaan kelam-kabut itu, seorang rakan wartawan dari TransTV Indonesia yang kebetulan mengenali Mohd. Noor telah mengajak kami ke rumah Abu Bakar di Pesantren (pondok pengajian agama) Al-Mukmin, Ngruki yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari RSUM.
Dengan pertolongannya jugalah, kami akhirnya dapat `merempuh' masuk ke pesantren itu dan mendengar pidato ulung yang disampaikan Abu Bakar kepada lebih 3,000 pengikutnya pada malam itu. Keesokan harinya kami kembali semula ke Yogyakarta. Kami belum puas, kami mahu menemu bualnya secara eksklusif!
Strategi seterusnya diatur, kali ini melalui seorang `sahabat', kami dapat menghubungi orang kanan Abu Bakar yang dikenali sebagi Ustaz Fikri. Bayangkan hampir seminggu lamanya kami berbalas SMS dengan Ustaz Fikri bagi mendapatkan persetujuannya untuk bertemu dengan Abu Bakar sehingga kami sendiri hampir putus asa.
Jawapan SMS Ustaz Fikri mudah saja: "Ustaz Bakar Basyir belum mahu ketemu sesiapa pun termasuk dari CNN mau pun BBC". Namun betullah kata orang tua-tua, sabar itu ada hikmahnya. Ketika kami sedang berkemas-kemas untuk pulang ke tanah air, tiba-tiba saya menerima SMS dari Ustaz Fikri yang menyatakan kesediaan Abu Bakar untuk menemui kami berdua.
Tanpa melengahkan masa, kami terus menemui Abu Bakar yang ketika itu sedang berehat di ruang tamu rumahnya. Sebelum pertemuan itu berlangsung, identiti kami telah diperiksa satu-persatu oleh pengikutnya, nasib baik kami berdua ada membawa pas Bernama dan Utusan bersama-sama.
Malah sepanjang temu bual itu dilangsungkan, orang-orangnya merakamkan perbualan kami dengan menggunakan dua buah kamera video, suasana di dalam rumah Abu Bakar itu kini tak ubah seperti dalam studio mini RTM. Dek kerana terlalu banyak soalan yang dikemukakan, pertemuan yang pada mulanya dirancang berlangsung sekitar 15 minit itu berlanjutan sehingga hampir satu jam.
Kami hanya berhenti bila ada sekumpulan ahli Majlis Ulama Indonesia datang menemuinya. Keesokannya kami pulang ke tanah air dengan perasaan puas dan gembira kerana misi mustahil kami akhirnya berjaya dilaksanakan tanpa banyak masalah.
Cuma kami sedikit hampa kerana wawancara eksklusif dengan Abu Bakar itu tidak dapat disiarkan untuk tatapan pembaca atas sebab-sebab tertentu, ia bagaimanapun bukanlah satu masalah besar untuk dipatuhi. Mungkin ada kebaikan dan hikmah di sebalik semua itu.
Bangga? Tidak sekali, cuma kalau anda tanya apa perasaan kami ketika ini, jawapannya hanya satu, kami puas.
Kami puas kerana dapat melaksanakan tugas yang diberikan ini biarpun cabarannya bukan mudah sehingga adakalanya menyesakkan nafas yang menghidu, menyakitkan dada yang menyedut..
SYAHRIL A. KADIR adalah blogger dan bekas wartawan kanan jenayah yang pernah bertugas di akhbar arus perdana serta media elektronik tanah air. Blog beliau boleh dilawati di www.syahrilkadir.wordpress.com
JANGAN MENGEJAR KEUNTUNGAN SEMATA2...INI IBADAT...BERBALIK KEPADA TUJUAN ASAL DITUBUHKAN....
YAN: Pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) sedang mengkaji kenaikan kadar menyeluruh tambang haji bagi tahun depan daripada pelbagai aspek.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kajian itu berikutan kenaikan kos penginapan dan tempat tinggal untuk jemaah haji di Mekah.
Menurut laporan, kerajaan Arab Saudi menaikkan sekurang-kurangnya 25 peratus kos penginapan dan makanan di Kota Mekah selepas pembesaran Masjidil Haram dan penyediaan kemudahan lain untuk jemaah haji.
Jamil Khir berkata kajian itu dijangka siap penghujung tahun ini, iaitu selepas kepulangan pasukan yang ditugaskan ke Mekah bagi meninjau kos sebenar di sana, termasuk penginapan di kawasan baru.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih menimbangkan kewajaran menaikkan kos mengerjakan rukun Islam kelima itu pada musim akan datang.
"Jika benar berlaku, kenaikan itu mengambil kira dan menjaga kepentingan semua pihak, terutama para jemaah dan pendeposit Lembaga Tabung Haji.
"Saya berharap kenaikan itu, kalau berlaku, tidak membebankan bakal jemaah haji kita," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Aidilfitri beliau di Dewan Serba Guna Guar Chempedak hari ini.
Jamil Khir berkata dalam konteks ini, jemaah haji Malaysia menyedari bahawa di kalangan negara Asean, negara kita mengenakan harga paling rendah.
Sementara itu, beliau menggalakkan semua jemaah haji Malaysia mengambil suntikan vaksin wabak selesema babi atau Influenza A(H1N1), walaupun "tanah haram" diisytiharkan bebas daripada ancaman virus berkenaan.
"Perkara yang elok dan hal-hal macam ini wajar diberi perhatian kerana kita hendak berjalan jauh, dalam tempoh yang lama iaitu sehingga 40 hari," katanya.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan