KUALA LUMPUR, 10 Januari:

Rumah milik Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan yang terletak di Mont Kiara, dilelong dengan harga RM2.1 juta dalam satu acara lelongan di Hotel Istana, di ibu negara, hari ini.
Rumah tersebut dilelong selepas Khairuddin diisytiharkan muflis dan kediaman itu dibeli seorang wanita yang berasal dari Damansara tanpa ada bidaan lain.
Acara lelongan itu dikendalikan oleh Ng Chan Mau Co. Sdn Bhd dan CIMB Islamic.
Sementara itu, Khairuddin mendakwa beliau tidak menerima sebarang notis atau writ daripada pihak bank yang memaklumkan kepada beliau bahawa rumah penthouse miliknya itu dibuka untuk lelongan, lapor portal berita akhbar Utusan Malaysia, Utusan Onlline
Khairuddin dilaporkan berkata, berita lelongan hartanah milknya itu hanya diketahui selepas menunaikan solat Jumaat semalam dan menyifatkannya sebagai satu kejutan.
“Agak mengejutkan kerana saya masih lagi menghuni rumah ini, namun tidak pernah dimaklumkan tentang lelongan tersebut,” kata Khairuddin.
Beliau yang juga suami kepada aktres Umie Aida memberikan hartanah itu kepada isterinya sebagai hadiah perkahwinan.
Dokumen Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang mengisytiharkan Khairuddin muflis pada 14 Mei tahun lalu hangat tersebar di media sosial melalui beberapa laman blog berunsur politik.
Utusan Malaysia juga Isnin lalu melaporkan Pemuda UMNO Batu Kawan menggesa Khairuddin, yang sebelum ini membuat laporan polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dipecat daripada jawatan dalam parti sekiranya benar ahli perniagaan itu muflis.