KUALA LUMPUR, 15 Januari:

Pemergian Koperal Sirul Azhar Umar ke luar negara dianggap menghairankan apatah lagi dia tidak kembali ke Malaysia semasa Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya, kelmarin kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, sembilan tahun lalu.
Peguam kanan, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah berkata walaupun tidak menyalahi undang-undang, kebiasaannya pendakwaan akan menggunakan Akta Mahkamah Kehakiman 1963 untuk menghalang pesalah melarikan diri ke luar negara.
Katanya, akta ini banyak digunakan terutama dalam kes membabitkan tertuduh dari luar negara.
“Sungguhpun (jika tertuduh dari luar negara) menang kes itu (di Mahkamah Rayuan), pihak pendakwaan akan guna akta tersebut. Bagi saya, apabila Sirul Azhar telahpun dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan (pada Ogos lalu), dia tidak salah dan rayuannya diterima.
“Cuma saya hairan kenapa dia boleh ke luar negara dan Jabatan Imigresen tidak diberitahu yang dia tidak boleh keluar,” katanya yang dipetik Sinar Harian.
Namun, beliau berpendapat pendakwa raya dalam kes ini mungkin tidak menyangka seorang rakyat Malaysia, yang juga bekas polis, tidak akan hadir ke Mahkamah Persekutuan mendengar keputusan kesnya.
“Saya tidak rasa ada udang sebalik batu (mengenai kehilangan Sirul Azhar). Ia hanya tanggapan pendakwa raya atau timbalan pendakwa raya bahawa Sirul Azhar akan datang ke mahkamah, tetapi tanggapan itu nampaknya tidak betul,” katanya.
Dalam pada itu, polis mengesahkan Koperal Sirul Azhar Umar telah ke Australia, Oktober tahun lepas.
Perkara ini disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohmad Salleh selepas menyemak rekod dengan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Setakat ini memang Imigresen sahkan dia ke luar negara iaitu Australia dan dia ke sana bulan sepuluh tahun lepas.
“Kita akan bekerjasama dengan Polis Persekutuan Australia kalau dia berada di sana, tetapi kalau dia dah keluar ke mana-mana destinasi lain, kita akan bekerjasama dengan Interpol…untuk melaksanakan tangkapan terhadapnya, kita memang akan minta kerjasama polis antarabangsa,” katanya.
Difahamkan polis akan mengeluarkan ‘Notis Merah’ kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk membantu mengesan Sirul Azhar dan permohonan ekstradisi akan dibuat kepada negara berkenaan, sebelum membawanya pulang mengikut prosedur undang-undang sedia ada.
Mahkamah Persekutuan pada Selasa lalu menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah Hadri selepas didapati bersalah membunuh Altantuya sembilan tahun lepas.
Mahkamah Persekutuan juga sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan kedua-dua mereka.
Mahkamah Persekutuan mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya.
Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul Azhar dan tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri selepas didapati bersalah membunuh Altantuya sembilan tahun lalu.