• Banjir
1 / 1
KOTA BHARU - Persatuan Orang Kota Baharu (POKB) menyifatkan cabaran pasca banjir merupakan satu tugas berat yang perlu mendapat kerjasama semua pihak dalam membantu menyediakan keperluan asas kepada mangsa bencana itu.
Penaung POKB yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata, keperluan asas itu termasuk peralatan untuk membersihkan rumah seperti penyapu, sabun pencuci dan baldi.
"Usaha ini (sumbangan) perlu berterusan sebab pasca banjir ini banyak lagi perkara perlu kita laksanakan dan perlu beri perhatian serta melibatkan semua pihak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Banjir POKB di Fakulti Vaterinar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, hari ini.
Sharifah Zarah berkata, sumbangan daripada pelbagai pihak menunjukkan keprihatinan rakyat negara ini dalam meringankan beban mangsa banjir.
"Saya rasa, kita telah mencerminkan satu solidariti di kalangan kita, satu sikap yang dermawan, bukan hanya rakyat Kelantan tetapi juga seluruh negara... derma datang mencurah-curah," katanya.
Sebanyak 300 keluarga di Jalan Gajah Mati dan Lembah Sireh di sini, menerima sumbangan keperluan asas seperti penyapu, sabun pencuci dan baldi, dari POKB.
Turut hadir Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad. 

Seorang mangsa, Kuyah Tuan Loni, 46, dari Kampung Jalan Gajah Mati, di sini berkata sumbangan itu membantu meringankan beban keluarganya dan amat berterima kasih kepada semua yang terlibat menghulurkan sumbangan itu.
"Rumah saya berlumpur akibat banjir minggu lalu dan berharap dapat dibersihkan dengan cepat," katanya.
Katanya, pasca banjir ini merupakan satu cabaran baginya dan keluarga memandangkan kerja pembersihan rumah dan kawasan kediaman itu terhad akibat kekurangan bekalan air. - Bernama