Rabu, 4 Julai 2012

MCA DAN SAPE PUN TAK BOLEH TAHAN KUASA ALLAH...SERTA TAKDIR ALLAH...'KUN' ALLAH MAKA JADI LAH....MAKHLUK2 NI JANGAN MENGARUTLAH...NYAWA PUN TAK BOLEH TAHAN BILA ALLAH NAK AMBIK....


PAS atau Umno yang sebenarnya ditunggang?

Harakahdaily, 04 Jul 2012

(Kenyataan yang membayangkan sikap pemimpin kanan BN)

KUALA LUMPUR: Kenyataan berbeza antara pemimpin kanan BN terhadap perminta Adun Johor agar hudud dilaksanakan di negeri itu membayangkan Umno hanya tunggangan MCA.

Dengan situasi yang ada, jelas Umno tidak akan membenarkan Johor melaksanakannya kerana mereka takut kehilangan MCA khasnya wang yang dimiliki parti ahli perniagaan itu.

Baru-baru ini, ADUN Johor, Datuk Ayub Rahmat menyatakan pandangannya agar negeri Johor menjadi negeri yang pertama melaksanakan hudud.

Namun, ia segera dibantah oleh Presiden MCA dengan berkata, ia cadangan yang gila.

Pada 22 September 2011, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata, Umno menyokong hudud.

Namun dua hari selepas itu, iaitu pada 24 September 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia.

Skandal KLIA2: Pecat menteri bertanggungjawab

Harakahdaily, 04 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan supaya memecat pihak yang bertanggungjawab dalam skandal pembinaan KLIA 2 untuk penerbangan kos rendah termasuk Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
(KLIA 2 sebagaimana yang dibayangkan oleh pelukis)

Ini berikutan kenaikan kos pembinaannya dari RM1.7 billion kepada RM5 bilion sekarang, dakwa anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Bajet permulaan projek ini hanya RM1.7 bilion sebagaimana yang diumumkan Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Ong Tee Keat pada Julai 2007.

Kemudian pada Mac 2009, kosnya meningkat kepada RM2.0 bilion dan RM2.5 bilion pada Oktober 2010.

Hujung tahun lepas, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengejutkan rakyat Malaysia apabila mengumumkan kosnya menjadi RM3.9 bilion.

"Ini menjadikan, kos sekarang RM5 bilion meningkat 200 peratus berbanding kos asalnya RM1.7 bilion," kata Tony Pua, Setiausaha Publisiti DAP.

Menurut Tony, beliau dan rakan-rakan anggota parlimen Pakatan Rakyat berusaha untuk bertemu secara langsung dengan menteri pengangkutan tetapi pelbagai helah diberikan oleh Kong.

Beliau juga beberapa kali mendesak Public Accounts Committee (PAC) supaya menyiasat perkara ini namun gagal dengan sikap tidak bersungguh PAC.

"Sebenarnya dengan kadar peningkatan kos KLIA2 ini, ia bakal menjadi skandal yang lebih besar b erbanding PKFZ yang kosnya meningkat dari RM1.1 bilion kepada RM12.5 bilion," kata Tony lagi yang sangat bimbang dengan trend yang ada.

RM430,000 dipungut untuk bina lebuh raya

Mohd Sayuti Omar, 04 Jul 2012
Walaupun cita-cita dan hasrat murni kerajaan Kelantan untuk membina lebuh raya di antara Kota Bharu - Kuala Krai (LRRK) sepanjang 73 km diejek dan dipersendakan oleh pihak tertentu namun rakyat Kelantan serta mereka yang bersimpati dengan kerajaan pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terus menghulurkan derma untuk pembinaan lebuh raya berkenaan. Ejekan dan sendaan itu dianggap sebagai cabaran.


Sehingga hari ini sejumlah RM430,000.00 telah terkumpul untuk tujuan itu yang dibuat menerusi on line. Bagaimana pun Husam tidak menyebut berapa pula jumlah cangkuk bodoh, siku gelebek serta kereta sorong tiga suku yang telah didermakan oleh golongan rakyat Kelantan yang tidak berapa sihat untuk pembinaan lebuh raya itu.

Sebelum ini ada sepuak 'jebong' telah menyerahkan sumbangan mereka berupa cangkuk bodoh, siku gelebek dan kereta sorong tiga suku, di mana pemberian itu dilambakkan di hadapan pintu utama ke Kota Darulnaim.

Kejayaan itu tidak syak lagi menjelaskan rakyat Kelantan yang dipermain-mainkan oleh kerajaan pusat untk memiliki sebuah lebih raya selama 25 tahun, serius dan menyambut baik idea kerajaan Kelantan mengambil keputusan membina sendiri lebuh raya berkenaan.

Exco Kanan Kerajaan Kelantan Husam Musa menjelaskan, untuk tujuan itu (pungut derma) kerajaan Kelantan akan mengadakan dana khas menerusi perbendaharaan kerajaan negeri dan akan membuka tabung khas untuk menerima derma di bawah tabung amanah.

Pada 7 Julai ini jelas Husam para artis yang menyertai Pas akan ikut sama berkempen memberi penjelasan kepentingan lebuh raya dan kempen untuk mendapat derma dari orang ramai. Manakala kerajaan Kelantan pula akan mengadakan majlis khas pada Ramadhan ini di Kuala Lumpur untuk menerima derma dari orang ramai.

Mendengar rancangan artis untuk berkempen memungut derma untuk LRRK itu ia sungguh mengharukan dan sekaligus menempelak golongan 'jebong' yang mempersenda-sendakan projek berkenaan.

Dalam pada itu di sini sukacita saya umumkan sumbangan derma dari ahli kelab Fb dan penjengok blog saya akan diserahkan pada majlis tersebut nanti, insya Allah. Dalam pada itu sambutan dan komitmen ahli kelab dan penjenguk blog Merah Tinta untuk menyumbangkan derma seikhlas hati menggalakkan dan sumbangan terus dialu-alukan.

Saya sekali lagi saya ucapkan terima kasih tidak terhingga di atas sumbangan ikhlas anda semua dan sudah pasti ia akan menjadi sedekah jariah kita semua untuk melihat terbentangnya sebuah lebuh rayta rakyat (LLRT). Dengan kudrat dan iradat kita sama-sama kita tunjukkan bahawa kita mampu melakukan sesuatu yang tidak terfikir oleh orang-orang yang sombong dan bongkak serta suka menganiaya orang.

Seharusnya pembinaan LRRK itu terus mendapat dokongan dan sokongan semua pihak termasuk kalangan pimpinan Pas Kelantan baik yang memegang jawatan atau tidak. Sepatutnya semua pihak turut menganjurkan pungutan derma masing-masing demi menjaya lebuh raya berkenaan dan bukannya cuba mengecerkan perkara-perkara negatif mengenai LRRK itu.

Kejayaan membina lebuh raya itu sekali lagi akan mengesahkan rakyat Kelantan memang berani, bersemangat dan tidak mudah mengalah. Kejayaan dan keberertian hidup seseorang itu ialah apabila ia mati dalam pejuang, dalam konteks ini mati ketika membawa derma untuk tabung LRRK adalah boleh dianggap mati syahid.

Dalam perkembangan lain Husam turut menjelaskan di sebalik kerajaan Pusat menafikan royalti minyak untuk Kelantan yang boleh digunakan untuk membangun prasarana di Kelantan termasuk lebuh raya, Kelantan kini dikurniakan sumber baru iaitu biji besi.

Buat masa ini sebanyak 40,000 tan metrik biji besi sehari dieksport ke China menerusi pelabuhan Tok Bali Bachok Kelantan dan pendapatan itu akan menjadi modal pembinaan LRRK.

Apa yang berlaku sekarang ini di luar dugaan manusia biasa. Boleh jadi penemuan sumber baru itu adalah hasil daripada kesabaran dan doa rakyat Kelantan untuk kemakmuran negeri mereka yang dinafikan hak dan dizalimi oleh kerajaan UBN. [wm.kl.2:59 pm 03/07/12] - http://www.msomelayu.blogspot.com/

Himpunan seniman bantu Lebuhraya Rakyat

Razali Endun, 04 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dengan kerjasama PAS Kawasan Batu akan mengadakan perhimpunan seniman dan artis untuk membantu pembinaan Lebuhraya Rakyat di Kelantan.

Himpunan ini akan diadakan pada 6 Julai di Dewan Besar KUIZM, Taman Melewar, Kuala Lumpur bermula pada jam 9.30 malam.

Inilah julung-julung kali program seperti ini dianjurkan oleh Paksi yang teruja dengan saranan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memohon supaya rakyat jelata turut terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Rakyat ini.

Himpunan ini bertujuan untuk mengutip derma pembinaan Lebuhraya Rakyat di Kelantan.

Himpunan yang bertemakan 'Semarak Seni, Lebuhraya Rakyat' akan diisi dengan pelbagai acara kesenian dan kebudayaan termasuk deklamasi sajak, lagu puisi, pantun seloka selain ceramah.

Jualan dan lelongan lukisan dan buku juga akan diadakan pada malam tersebut.

Beberapa orang tokoh  sasterawan dan artis terkenal telah bersetuju hadir untuk menjayakan hasrat murni ini.

Antara mereka ialah SN. Datuk A. Samad Said, Dinsman, Pyanhabib, HMS Abu Bakar, Rahamad Haron dan beberapa tokoh lain.

Di kalangan artis dan pelakon penyanyi Wan Aishah, Bob Lokman, Leman Raja Lawak akan turut sama menjayakan program ini.

Turut sama nanti ialah pelakon Hairi Othman dan Zulkifli Ismail.

Tokoh politik yang akan hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Datuk Husam Musa yang mewakili kerajaan Kelantan.

Hasil kutipan malam itu dijangka akan diserahkan oleh Pengerusi PAKSI, Dinsman kepada Husam Musa dalam bentuk, mock cheque.

Rakyat disaran supaya datang beramai-ramai menghadiri program ini sambil berhibur sambil menderma.

Bawalah kawan-kawan, sahabat andai, keluarga dan teman-teman datang bagi menjayakan usaha murni yang dianjurkan oleh para Seniman.

"Jangan lupa bawa duit untuk menderma. Ini saham Akhirat," kata Cikgu Ishak Surin, Yang Dipertua PAS Kawasan Batu.

Dun Melaka gantung Adun DAP 6 bulan

Ahmad Danial, 04 Jul 2012
MELAKA: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri dari DAP digantung 6 bulan oleh Speaker DUN Melaka, Datuk Othman Muhammad.

Semua Adun terbabit ialah Adun Kesidang yang juga Ketua Pembangkang, Goh Leong San; Adun Kota Laksamana, Betty Chew (gambar); Adun Bachang, Lim Jak Wong; Adun Bandar Hilir, Tey Kok Kiew dan Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong.

Kekecohan dalam Sidang Dun hari ini bermula sebaik Speaker masuk ke dalam Dewan apabila Adun Kota Laksamana, Betty Chew bangkit mempersoalkan laporan akhbar arus perdana semalam yang memuatkan isu peribadi yang dibangkitkan oleh Adun Duyong, Gan Tian Loo.

Semalam Adun DAP tersebut bertindak keluar dewan kerana membantah keputusan Speaker membenarkan media tertentu merakam ucapan wakil rakyat MCA yang didakwa memburuk-burukkan keluarga ADUN Kota Laksamana Betty Chew ketika persidangan semalam.

Dalam persidangan itu, Othman menjelaskan bahawa beliau memberi kebenaran berkenaan kerana percaya dengan etika serta kredibiliti pihak media yang membuat liputan.

Wakil rakyat berkenaan bagaimanapun enggan menerima penjelasan tersebut dan menyifatkan Othman bersubahat dengan media berkenaan mencemarkan nama Chew dan suami wakil rakyat tersebut, Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Dalam sidang medianya semalam, Chew berkata, tindakan berkenaan adalah taktik yang menjijikkan oleh pihak BN untuk memburuk-burukkan keluarganya.

Beliau sekali lagi mencabar Gan untuk mengulangi dakwaan tersebut di luar dewan.

"Saya rasa kalau pemimpin terbabit ada moral, beliau harus ulangi tuduhan itu di luar dewan dan jangan berselindung dalam dewan dan jangan jadi pengecut.

"Saya nak tanya kepada Gan Tian Loo, you adalah seorang bapa dan you ada anak, bolehkah buat fitnah ini semata-mata untuk kepentingan parti," katanya.

Anak dakwa pelabur jual semula saham FGVH

Anis Nazri, 04 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa terdapat pemegang saham bertindak menjual semula saham mereka di Felda Global Ventures Holdings (FGVH) seleps dua hari ia disenaraikan.

Presidennya, Mazlan Aliman (gambar) berkata pihaknya dimaklumkan terdapat pelabur yang menjual semula saham mereka dalam FGVH selepas dinasihatkan pihak 'remisier' (agen saham) sendiri.

Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan tahap ketidakyakinan mereka kepada kedudukan FGVH biarpun tidak sampai dua minggu ia disenaraikan.

"Dalam urusniaga saham ini, mana-mana orang yang membeli saham jarang mahu menjual saham ketika masih di awal penyenaraian. Dan mereka juga hanya akan membeli saham syarikat yang benar-benar mantap.  Jadi perkara ini (jual semula) menunjukkan ketidakyakinan mereka terhadap FGVH," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Selain itu, tambah Mazlan, pihaknya juga dimaklumkan sebanyak 20 peratus saham yang diperuntukkan kepada mana-mana pihak yang berminat masih tidak dapat dipenuhi.

Malah, dakwa beliau kerajaan juga dikatakan melarang mana-mana syarikat yang membeli saham FGVH itu menjual saham mereka dalam tempoh enam bulan selepas penyenaraian.

Larangan tersebut difahamkan bagi memastikan kedudukan saham FGVH berada dalam keadaan stabil sepanjang enam bulan ini.

Atas sebab-sebab dan risiko sedemikianlah, Mazlan berkata Anak dari awal menentang penyenaraian FGVH yang berorientasikan perkhidmatan ini ke Bursa Kuala Lumpur.

Namun, segala yang diusahakan Anak tidak diberi perhatian oleh kerajaan biarpun telah menggunakan pelbagai saluran untuk mencari titik perbincangan.

Mazlan, bagaimanapun berkata masih tidak terlambat bagi kerajaan untuk membatalkan penyenaraian bagi memastikan nasib peneroka yang dipertaruhkan masih boleh diselamatkan.

Atas kertas, semua calon PAS Selangor kalah

Harakahdaily, 04 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman (gambar) berkata, pertambahan mendadak pengundi baru yang diragui di Selangor memperlihatkan atas kertas tiada seorang pun calon PAS boleh menang dalam PRU-13 ini.

Katanya, maklumat semasa di 20 Dun yang bakal ditandingi PAS, pertambahan pengundi baru sangat ketara dan luar biasa menyebabkan kerusi yang ditandingi sangat tidak selamat.

Keadaan sekarang di Selangor juga katanya mirip apa yang dilakukan terhadap negeri Terengganu pada Pilihan Raya Umum tahun 2004 di mana kerajaan negeri yang diterajui PAS ketika itu jatuh kepada BN.

"Atas kertas satu orang pun calon PAS tak boleh menang sekarang ini dengan kemasukan 600 ribu pengundi baru yang meragukan di negeri ini," katanya dalam rancangan Fokus Isu, Selangorku semalam.

Beliau yang juga pengerusi Skim Mikro Kredit Miskin Luar Bandar (SKIMSEL) berkata demikian ketika diminta mengulas peluang PAS di negeri itu khususnya di kawasan majoriti Melayu yang ditandingi parti itu.

Ditanya tindakan jentera parti menghadapi situasi itu, Dr Rani berkata pihaknya kini sedang 'all out' menjalankan pengesanan pengundi baru melalui program Selangorku Bersih yang dijalankan kerajaan negeri.

"Kita sedang kumpul nama yang diragui, kita akan buat laporan polis dan jika perlu pendakwaan di mahkamah sekalipun kita akan buat.

"Sekarang ini kita 'all out' jalankan pengesanan melalui Selangorku Bersih ini," katanya lagi.

Selangorku Bersih merupakan program membersihkan daftar pemilih ekoran pertambahan pemilih secara mendadak di Selangor sekaligus ianya mampu membantu tugas SPR.

Untuk tujuan itu kerajaan negeri Selangor menggerakkan semua JKKK, Ketua Kampung dan Penghulu untuk memeriksa senarai pengundi baharu di seluruh Selangor untuk memastikan nama-nama yang didaftarkan ini benar-benar wujud dan bukannya pengundi hantu seperti yang didakwa banyak pihak.

Pada masa yang sama beliau menyeru kepada seluruh jentera parti negeri itu mengadakan solat hajat agar diberi pertolongan oleh Allah menghadapi situasi itu.

"Tahun 2008 siapa boleh jangka kita menang. Sampai Khir Toyo kata nak bagi pembangkang sifar di Selangor.

"Ada kata di Meru, letak katak pun BN boleh menang. Tapi Allah lebih berkuasa menentukan," katanya.

Himpunan Oren: Penganjur pohon kerjasama polis

Hazayani Zakaria, 04 Jul 2012

KUALA LUMPUR:
Gerakan Selamatkan Felda (GSF) hari ini memaklumkan kepada pihak polis mengenai Himpunan Oren Selamatkan Felda yang akan diadakan pada 14 Julai ini.

Makluman itu dibuat melalui surat yang diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul tengah hari tadi.

Antara kandungan surat itu, meminta pihak polis memberikan kerjasama penuh menjaga keselamatan peserta sepanjang himpunan berlangsung.

Himpunan bagi membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) ke Bursa Malaysia itu akan bermula pada jam dua petang di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Peserta akan berarak kira-kira 3.7 kilometer dari masjid ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong, memohon campur tangan baginda dalam isu ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan surat tersebut, koordinator GSF, Mazlan Aliman berkata, pihaknya sudah melaksanakan tanggungjawab memaklumkan mengenai himpunan tersebut kepada pihak polis dan menunggu maklum balas mereka.

"Hari ini kami bagi surat rasmi kepada pihak polis dan kami harap polis dapat beri kerjasamalah. kami tekankan, himpunan ini himpunan aman.

"Mengikut Rang Undang-undang Perhimpunan Aman, kita tak perlu minta permit tapi kena maklumkan sekurang-kurangnya sepuluh hari dari tarikh himpunan," kata beliau yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Bagaimanapun katanya, himpunan akan tetap diteruskan secara aman jika pihak polis tidak memberikan kebenaran.

"Alternatif lain, kami akan bagitahu kemudian tapi setakat ini kami positif polis akan benarkan sebab kami dah maklumkan awal," katanya.

Tambahnya, lebih seratus badan bukan kerajaan (NGO) akan menyertai himpunan tersebut kerana isu penyenaraian FGVH merupakan isu nasional, bukan terikat kepada warga Felda sahaja.

"Kami yakin himpunan ini dapat mengumpulkan 20,000 orang kerana isu ini isu nasional, kepentingan nagara jadi semua orang boleh turut serta," katanya lagi.

GSF juga akan menyerahkan surat jemputan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam hari ini.

Sebelum ini surat jemputan diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, veteran Umno Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah, anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba, Mohd Tamrin Abdul Ghafar, dan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Ali.

MCA tidak akan rela Umno laksana hudud

Salmiyah Harun, 04 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Tindakan terburu-buru MCA mencadangkan Adun Johor (Kemelah) Datuk Ayub Rahmat menyertai PAS menggambarkan parti komponen BN itu konsisten menentang hudud dan tidak merelakan Umno melaksanakan hukum Allah itu.

Ketua Pemuda PAS Malaysia Nasrudin Hassan (gambar) berkata, sikap MCA yang menentang hudud sangat ketara apabila memberi kata dua kepada Ayub untuk tinggalkan Umno BN atau sertai PAS.

Nasrudin berkata, PAS senantiasa membuka pintu dan mengalu-alukan untuk siapa sahaja yang ikhlas mahukan Islam, termasuklah Ayub sendiri.

"Ahlan wa Sahlan (selamat datang) buat Datuk Ayub," katanya.

Katanya, umat Islam khasnya ahli Umno boleh melihat bagaimana sikap MCA terhadap hukum Allah serta terhadap Umno sendiri.

"MCA mahu Umno jangan laksanakan hukum Allah, kalau mahu hukum Allah sila masuk PAS.  Maknanya MCA pun insaf bahawa hanya PAS wadah untuk laksanakan hukum Allah ini.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Umno diam seribu bahasa dalam isu ini, walhal Ayub memerlukan sokongan pemimpinnya di saat dia diasak oleh MCA.

"Sebelum ini bukan main mereka asak kononnya PAS kuda tunggangan DAP, sekurang-kurangnya PAS tetap berpendirian biarpun berdepan dengan DAP sehingga DAP akur bahawa hukum Allah adalah hak orang Islam yang tidak boleh dipertikai," katanya.

Malangnya kata beliau, dalam isu ini Umno bungkam ketika MCA tunjuk sikap terhadap hukum Allah.

"Sekarang jelas siapa tunggang siapa dan siapa kena tunggang? Atau sememangnya pemimpin Umno ini dalam diam - diam setuju benar dengan pendirian MCA itu ? 'Confius' ni, bagi pencerahan sikit ?" soal Nasrudin dalam 'Facebooknya'.

Apa yang mengecewakan, katanya orang yang berilmu dan golongan agamawan dalam Umno termasuk ulama muda Umno masih sepi seolah-olah hanya mampu menyaksikan kelantangan MCA menentang Hudud.

"Kenapa mereka lantang terhadap PAS yang konsisten mahu melaksanakan syariat Islam tetiba mereka kaget dengan sergahan MCA itu ?

"Persoalannya sekarang, mana lebih baik, pemimpin atau ahli Umno yang mahu hukum hudud dilaksanakan itu menyertai PAS atau MCA yang mesti keluar BN kerana tidak bersetuju dengan UMNO?" soal beliau,

Sebelum ini, Presiden MCA Chua Soi Lek menyifatkan Ayub 'hilang akal' kerana mencadangkan kerajaan Johor laksanakan hukum hudud.

Terkini pula Setiausaha Penganjur Nasional MCA, Datuk Tee Siew Keong menyarankan Ayub meninggalkan Umno dan menyertai Pas jika ingin melaksanakan hukum hudud di Johor seperti yang dicadangkan itu.

Tee Siew Keong berkata, Ayub seharusnya lebih sensitif mengenai pendirian MCA berhubung perkara terbabit sebelum melontarkan ideanya.


Pemuda Umno menikus

Sementara itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah  kepada Datuk Ayub Rahmat (ADUN Johor) di atas keberanian beliau dalam menyatakan hasrat untuk menuntut pihak kerajaan Barisan Nasional untuk melaksanakan Hukum Hudud.

"SAMM Wilayah Persekutuan cukup rasa berbangga terhadap keberanian Datuk Ayub Rahmat memandangkan keberanian sebegini amat jarang berlaku di kalangan Umno," kata Azmir Haji Mustafa, Penyelaras SAMM Wilayah.

Mereka mencabar Pemuda UMNO Malaysia dan juga Pertubahan Pribumi Perkasa (Perkasa) untuk bangun dan membela Datuk Ayub Rahmat dalam menuntut hak pelaksanaan hukum hudud.

"Apakah badan pemuda dan NGO yang mengaku kononnya pejuang Islam hanya menikus selepas komen yang dilontarkan oleh Presiden MCA itu berbaur kepada penghinaan untuk umat islam di Malaysia?" tanya beliau dalam kenyataannya.

6 kali parlimen dibubar sekitar Feb-April

Harakahdaily, 04 Jul 2012

KUALA LUMPUR: Rekod pembubaran parlimen sejak pilihan raya umum (PRU) pertama pada tahun 1959 sehingga PRU-12 pada 2008 menyaksikan ianya paling kerap dibubarkan sekitar bulan Februari, Mac dan April.

Kekerapan pembubaran dilakukan dalam bulan itu adalah sebanyak 6 kali iaitu pada PRU kedua pada tahun 1964, PRU ketiga 1969, PRU keenam 1982, PRU kesembilan 1995, PRU ke-11 2004 dan PRU ke-12 pada tahun 2008.

Bulan kedua paling kerap pula adalah sekitar Jun dan Julai iaitu sebanyak empat kali yang dibuat pada PRU pertama 1959, PRU keempat 1974, PRU kelima 1978 dan PRU ketujuh 1986.

Selain itu, rekod sejarah lalu juga menunjukkan parlimen pernah dibubar sekitar bulan Oktober dan November dengan kekerapan dua kali.

Kesemua maklumat itu dikumpulkan Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berserta dengan hari penamaan calon dan hari pengundian.

Banyak pihak melihat, jika tren pilihan raya lalu ini turut menjadi pertimbangan Datuk Seri Najib Razak dalam menentukan tarikh PRU-13, tidak mustahil ianya akan diadakan sama ada Oktober tahun ini atau penghujung penggal ke-12 iaitu Mac tahun hadapan.

PAS sebelum ini melahirkan bantahan jika PRU diadakan Oktober ini memandangkan ianya adalah musim umat Islam menunaikan haji.

Najib minggu lalu pula membayangkan pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat dan akan menunggu hingga tempoh akhir lima tahun penggal ke-12.

Untuk rekod, tempoh terakhir penggal parlimen ke 12 adalah pada April 2013



Tiada ulasan: