Isnin, 11 April 2011

SEBAGAI PARTI YANG SAH BERTANDING..MEREKA BERHAK BERTANDING...MENANG KALAH ADAT BERTANDING..RAKYAT KENA PANDAI MEMILIH....

Helikopter terhempas lepas turunkan rombongan TPM
Regina Lee & Wong Teck Chi
Apr 11, 11
2:45pm

Galeri Foto

Sebuah helikopter terhempas dari ketinggian 10 kaki ketika hendak berlepas dari Dataran Sibu.

Kejadian itu berlaku selepas helikopter tersebut menurunkan anggota rombongan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum kejadian tersebut, tiga helikopter membawa rombongan timbalan perdana menteri balik dari Bintangor ke Sibu

NONEBagaimanapun, Tan Sri Muhyiddn tidak menaiki helikopter yang terhempas itu.

Menurut OCPD Sibu, ASP Shafie Ismail, kejadian itu berlaku pada jam 1.50 tengahari selepas helikopter itu menurunkan semua penumpangnya di Sibu Townsquare.

"Helikopter tersebut hendak berlepas balik ke lapangan terbang untuk disimpan, (tetapi) kemudian jatuh ketika cuba terbang. Ia berada pada ketinggian kira-kira 10 kaki," katanya.

Berikutan itu, juruterbangnya mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital.

Dua daripadanya adalahmilik Hornbill Skyways, dan helikopter yang terhempas itu adalah dari Sabah Air.

Kejadian itu dipercayai berlaku akibat hujan lebat di Sibu.


Identiti pemilik jam Omega diketahui tidak lama lagi
Apr 11, 11 3:17pm

Identiti pemilik jam tangan jenama Omega yang diserahkan kepada polis berhubung kes rakaman video aksi seks didakwa melibatkan pelaku dilaporkan mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diketahui tidak lama lagi, kata polis.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis telah menyerahkan kad pendaftaran jam itu kepada syarikat yang mengedarnya bagi tujuan pengesahan siapa pemiliknya.

"Sebelum ini kita telah memberikan tempoh seminggu untuk syarikat itu memberikan jawapan, namun sehingga kini tiada sebarang jawapan diberikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jam tangan itu dilaporkan merupakan antara dua bukti, selain rakaman video seks, yang diserahkan oleh ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim kepada polis bagi tujuan siasatan berhubung video itu.

Jam itu dilaporkan ditemui di bilik aksi seks berkenaan berlaku.

Dalam satu sidang akhbar sebelum ini, Anwar, yang ditanya mengenai jam tangannya berkata, jam tangan beliau ada pada isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Semalam pula, pada satu sidang akhbar di Kuching, ketika ditanya kenapa jam itu tidak diserahkan kepada polis, Anwar berkata polis tidak meminta jam itu dan biarlah polis yang minta.

Acryl Sani, ketika ditanya sama ada polis akan memanggil Anwar untuk menunjukkan jam itu, berkata: "Kita perlu selesaikan soal identiti pemiliknya sebelum mengambil langkah susulan.

"Keutamaan kita (ialah) pada siasatan video dahulu, baru jam dan lain-lain lagi," katanya.

Ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan kes rakaman video itu, beliau berkata ada beberapa perkara kecil perlu dikemaskini dan siasatan mungkin dapat diselesaikan dalam minggu ini dan kertas siasatan dapat dihantar semula ke pejabat Peguam Negara untuk semakan dan perbincangan lanjut.

"Ada beberapa perkara membabitkan keterangan perlu diberi gambaran semula. Walaupun ada keterangan kecil yang telah diambil tetapi ianya juga penting bagi membantu siasatan," katanya.

Siasatan polis itu dibuat berikutan laporan yang dibuat oleh Anwar pada 22 Mac yang menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video berkenaan.

Ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan berhubung kes memuat naik video seks itu ke sebuah laman web, Acryl Sani berkata polis menerima salinan asal dan tidak tahu siapa yang memuat naik video itu.

"Soal siapa dan bagaimana ianya diedarkan awak kena tanya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang sedang siasat," katanya.

Ketika ditanya mengenai identiti seorang wanita dalam rakaman video seks itu, Acryl Sani berkata polis masih lagi mengesan identiti dan lokasi wanita itu berada.

- Bernama

Pembantu Muhyiddin terkejut
Apr 11, 11 4:04pm

Sebuah helikopter terhempas tengahari tadi sejurus selepas dari Dataran Sibu selepas menurunkan tiga orang penumpang, termasuk pembantu khas kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

NONEJuruterbang helikopter itu, satu-satunya yang berada di dalam pesawat itu ketika kejadian, dihantar segera ke Hospital Sibu untuk rawatan.

Keadaan juruterbang itu masih belum diketahui.

Setiausaha Akhbar Muhiyddin, Hafiz Abdul Halim yang ketika itu sedang berjalan menuju ke RH Hotel, kira-kira 100m dari dataran itu
terkejut dengan kejadian itu.

"Helikopter itu tidak mengalami apa-apa masalah semasa kami berlepas dari Bintangor atau semasa dalam penerbangan. Saya sedang berjalan menuju hotel apabila saya dengar ia terhempas," kata Hafiz yang sebelum itu menaiki helikopter itu bersama-sama dua pegawai keselamatan.

Muhyiddin dan pegawai khas beliau yang menaiki helikopter berasingan turut mendarat di dataran yang sama sebelum kejadian itu. Mereka juga baru pulang dari Bintangor.

"Timbalan Perdana Menteri dan rombongannya selamat," kata Hafiz.

Helikopter itu yang disewa daripada Sabah Air kini berada dalam kedudukan mengiring ke sebelah kanan di atas padang di dataran itu selepas terhempas.

Seorang saksi kejadian itu berkata beliau terdengar bunyi letupan tetapi tiada api dilihat pada pesawat itu.

"Meletup tetapi tak ada api," kata Ipah Philip, 54, seorang tukang cuci.

Seorang lagi saksi, Mohamed Nazri Zakaria menyaksikan nahas itu dari biliknya di tingkat 13 hotel itu.

"Penumpangnya sudah turun dan helikopter mahu berlepas semula. Juruterbangnya kelihatan cedera dan dibawa oleh ambulans," katanya.

Dua daripada helikopter berkenaan sudah berlepas untuk kembali semula ke Lapangan Terbang Sibu. Helikopter yang ketiga itu juga dijadual berbuat demikian.

Bintangor ialah kira-kira 20 minit penerbangan dari Sibu.

- Bernama


'Super Sunday' melanda Sarawak
Apr 11, 11 10:06am

Galeri Foto

Suhu politik di Sarawak mula bergelegak dan lazimnya malam Ahad yang sunyi dikejutkan dengan kedua-dua BN dan pakatan Rakyat yang memperhebatkan kempen masing-masing.

NONEPertarungan paling sengit berlaku di Kuching, malam semalam. DAP melabelkannya sebagai 'Super Sunday', di mana hadirin sehingga melebihi 10,000 orang membanjirinya dua rali yang dianjurkannya.

Jumlah hadirin terbesar adalah di Batu Kawah, dengan dianggarkan tidak kurang 8,000 orang yang datang dan sanggup berdiri berjam-jam lamanya semata-mata untuk mendengar ceramah daripada tiga 'orang kuat' Pakatan - setiausaha agung DAP Lim Guan Eng; ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

Sebaik sahaja Anwar menyebut mengenai “video seks', para hadirin gelak dan ramai yang dilihat kurang mempercayai bahawa pelaku di pita itu adalah dirinya seperti yang didakwa.

NONEKehadiran orang ramai menyebabkan kesesakan lalulintas sehingga lima kilometer di Jalan Batu Kawah. Ada juga yang membawa kerusi plastik masing-masing dan berada di jambatan Batu Kawah, kira-kira 200 meter dari lokasi ketua pembangkang itu sedang berucap.

"Saya juga diberi amaran - sekarang ini seorang pegawai Kastam telah meninggal dunia, DNA saya juga akan ditemui di sana,” kata Anwar sambil disambut gelak ketawa daripada hadirin.

Dalam nada yang lebih serius, beliau juga menimbulkan isu kitab Injil berbahasa Melayu yang dirampas di Pelabuhan Klang dan Kuching oleh Kementerian Dalam Negeri.

NONESejumlah 31,500 kitab Injil berkenaan dirampas dan ditahan kerana dikatakan mengandungi beberapa perkataan yang dilarang termasuk penggunaan kalimah Allah.

"Nama bapa kepada Nabi Muhammad ialah Abdullah (maknanya hamba Allah) dan beliau dilahirkan 70 tahun sebelum kedatangan Islam, jadi ini bukan isu,” kata Anwar.

Beliau juga membidas kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri berkempen di Sarawak.

Sambil menyifatkan ia sejarah dalam pilihan raya Sarawak, katanya kehadiran Najib membuktikan BN kini terlalu takut dengan kuasa rakyat yang kini sudah tidak boleh menerima lagi Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

NONENik Aziz pula dalam ucapannya mahu rakyat di Sarawak memilih pemimpin yang amanah dan tidak mengkhianati rakyat dan tidak melakukan kemungkaran di bumi Allah.

Beliau yang juga menteri besar Kelantan berkata, apa yang sudah terbukti, Pakatan Rakyat telah mempamerkan urus tadbir yang baik di negeri-negeri yang diperintah mereka termasuk Kelantan yang diperintah sudah lebih 20 tahun dengan menerapkan nilai agama Islam.

"Pilihan raya ini tempat kita nak pilih pemimpin yang baik dan amanah.

Batu kawah Pakatan ceramah"PAS berkawan dengan DAP dengan PKR dan berjanji untuk menjaga rakyat dengan lebih baik.

"Jadi pilih calon Pakatan Rakyat. Kalau calon DAP bertanding, pangkah DAP, kalau PKR tanding, pangkah PKR, kalau PAS tanding pangkah PAS," katanya yang turut mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Buaya dua kaki

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang ketika berucap, turut menyeru rakyat Sarawak memilih calon Pakatan Rakyat.

Dalam nada berseloroh, katanya, wakil DAP di Batu Kawah, Christina Chew berkeupayaan menangkap 'buaya dua kaki' yang sering memakan harta rakyat negeri ini.

NONE"Di Sarawak ada banyak sungai, dalam sungai ada banyak buaya, bukan buaya empat kaki, tapi buaya dua kaki.

"Kalau empat kaki takpa, kita boleh tembak saja tapi ini buaya dua kaki, kita kena undi Christina untuk ajar itu buaya dua kaki," kata Lim yang menyebabkan hadirin tidak kering gusi.

Sambil merayu penduduk di bumi Kenyalang itu agar berhenti memberi mandat kepada BN, beliau juga mahu rakyat jangan terus tertipu dengan janji Taib yang mahu menjadikan Sarawak negeri terkaya.

"Nak jadi kaya mesti zero corruption, kalau tidak, you zero income", katanya.

Lim seterusnya mengajak hadirin menukar rangkap lagu 'I want nobody nobody but you' nyanyian Wonder Girls kepada 'No money no money for you' untuk ditujukan kepada Taib.


PAS: Namakan pengganti, elak Taib bina dinasti
Apr 11, 11 3:32pm

PAS hari ini terus menggiatkan tekanan supaya perdana menteri menamakan pengganti ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang telahpun mengumumkan untuk bersara selepas pilihan raya negeri dijalankan.

PAS khuatir sekiranya penjelasan berkenaan hanyalah sekadar satu "sandiwara" memandangkan Abdul Taib turut diperturunkan untuk mempertahankan kerusinya dalam pilihan raya negeri kali ini.

Ahli jawatankuasa pusat PAS Datuk Husam Musa berkata, perdana menteri perlu menamakan pengganti Abdul Taib bagi mengelakkan keluarga ketua menteri itu terus "membina dinasti keluarga."

Tegasnya, perdana menteri perlu menamakan pengganti berkenaan sebelum pilihan raya negeri dijalankan pada 16 April.

Tambahnya, tindakan perdana menteri mengizinkan Abdul Taib bertanding juga "dilihat memberikan restu untuk Tan Sri Taib sekali lagi menjadi ketua menteri Sarawak."

Tambahnya, langkah itu juga menunjukkan perdana menteri turut "bersekongkol" dengan "mengizinkan penindasan" terus dijalankan ke atas rakyat Sarawak.

"Tan Sri (Abdul) Taib Mahmud telahpun mengeluarkan kenyataan untuk berundur daripada jawatan ketua menteri sewaktu pilihan raya 2006 tetapi sehingga sekarang masih belum melakukannya.

"Sekarang, janji tersebut diulang tayang semula kepada rakyat Sarawak sebagai harapan palsu bahawa perubahan akan berlaku," katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Husam turut mendakwa, Abdul Taib "gagal membersihkan diri" berhubung dakwaan meraih kekayaan melalui jawatan ketua menteri dan juga keluarganya.

Katanya lagi, kawasan hutan Sarawak juga telah digondolkan sedangkan sebahagian besar rakyat negeri itu masih dalam keadaan mundur dan miskini.

"Sekalipun isu-isu rakyat Sarawak (adalah) lebih kepada dasar-dasar BN Sarawak yang telah terlalu lama memerintah, namun pengunduran Tan Sri Taib Mahmud adalah sangat perlu untuk perubahan," katanya lagi.





Tiada ulasan: