Jumaat, 5 Februari 2010

PERNIAGA SEKARANG BANYAK TAK JUJUR




Iklan keliru penapis air

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
2010/02/05

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam) mendakwa segelintir syarikat pengeluar produk penapis air di negara ini mengeluarkan maklumat dan iklan yang mengelirukan pengguna




Setiausaha Agungnya, P Subramaniam, berkata pihaknya tidak berpuas hati dengan tindakan sesetengah syarikat pengeluar produk itu yang sanggup memberikan maklumat mengelirukan kepada pengguna semata-mata mahu menjual produk masing-masing.


Beliau berkata, masalah air tercemar oleh pelbagai faktor tidak dapat diselesaikan hanya dengan menggunakan penapis air dan dakwaan alat itu mengandungi tenaga yang dapat memulihkan kesihatan pengguna adalah sangat mengelirukan.


“Antara janji kosong yang ditabur syarikat terbabit adalah penapis air mereka mampu meningkatkan imunisasi tubuh, mengurangkan masalah alergi, memberi tenaga, mengurangkan kandungan toksik dalam air dan meningkatkan oksigen terlarut dalam air.


“Semua dakwaan itu tidak dapat pengiktirafan Kementerian Kesihatan ataupun Sirim (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.


Beliau berkata, pihaknya sudah menyampaikan memorandum mengenai perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK); Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air).


Katanya, ada juga kes apabila gambar terpilih ditunjukkan kepada pengguna sebagai antara usaha untuk meyakinkan mereka produk berkenaan terbaik di pasaran dan terbukti berkesan.


“Kami juga pernah berbual melalui telefon dengan jurujual syarikat terbabit dan fakta yang diberikan adalah seperti penapis berkenaan mampu memecahkan molekul kepada partikel lebih kecil bagi memudahkan penyerapan sedangkan mengikut sains, ikatan molekul air tidak boleh dipecahkan melalui proses penapisan.


“Badan manusia mempunyai kaedah semula jadi untuk menyerap air bagi kegunaan proses biokimia dan kewujudan penapis tidak memberikan sebarang impak positif kepada proses ini,” katanya.


Beliau berkata, walaupun pengguna penapis air semakin meningkat terutama di negeri wilayah Utara antaranya Pulau Pinang, Kedah dan Perak, namun tiada kawalan tertentu dibuat bagi memastikan dakwaan dibuat syarikat terbabit.


Katanya, melalui kajian yang dijalankan pihaknya, secara purata didapati hanya 3.68 peratus responden mengetahui jenis penapis air dan fungsinya.


Berikutan itu, katanya isu itu perlu diberi perhatian serius dan ditangani segera bagi mengelakkan pengeluar produk penapis air daripada terus mengeluarkan maklumat mengelirukan mengenai alat berkenaan.

Tiada ulasan: