Buah hati bukan Islam
SAYA berkawan dengan seorang kawan yang lebih mesra dipanggil Ti. Kami sebaya dan mengenali satu sama lain sejak sekolah tadika. Bagaimanapun, kami berpisah sebelum masuk zaman persekolahan dan bertemu semula di tingkatan tiga.
SAYA berkawan dengan seorang kawan yang lebih mesra dipanggil Ti. Kami sebaya dan mengenali satu sama lain sejak sekolah tadika. Bagaimanapun, kami berpisah sebelum masuk zaman persekolahan dan bertemu semula di tingkatan tiga.
Dia tinggal dengan keluarga angkat kerana mempunyai masalah dengan keluarganya. Keluarga angkatnya sangat baik menganggapnya seperti keluarga sendiri. Pada mulanya, kami sekadar kawan biasa tetapi lama kelamaan kami menjadi sangat rapat. Dia banyak mengubah saya yang dulunya seorang panas baran kepada penyabar. Saya tenang ketika bersamanya.
Kami sentiasa berkongsi cerita dan memperbaiki kelemahan masing-masing. Saya terpikat dengannya kerana dia adalah kawan yang paling mengambil berat serta memahami saya. Perbezaan jantina tidak penghalang. Ti banyak menolong saya dalam pelajaran dan bantu membantu.
Satu hari, dia memberitahu dia bukan Islam. Katanya, hanya keluarganya dan saya yang tahu perkara itu. Mulanya saya tidak percaya, mungkin dia bergurau tapi bila ternampak rantai tanda salib, saya mempercayainya.
Saya sangat berdebar kerana tidak pernah ada kawan bukan Islam.
Saya pernah mendengar mengenai orang bukan Islam menyamar sebagai Islam untuk memurtadkan orang Islam. Tetapi Ti bukan orangnya kerana dia seorang yang baik dan banyak bertanya mengenai agama Islam kepada saya. Dia juga nampak sungguh berminat dengan agama Islam. Dari itu, saya berazam supaya dia memeluk agama Islam. Saya mahu bersama Ti selamanya.
Pada akhir bulan Mac tahun lalu, Ti berpindah ke Kedah. Kami tidak mahu berpisah dan merancang berjumpa setiap bulan tetapi lama-kelamaan, kami jarang berjumpa. Ia membuatkan fikiran saya terganggu kerana terlalu merinduinya. Keputusan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga sangat teruk kerana perkara itu.
Saya risau masa depan saya gelap dan dia juga begitu. Saya tidak mahu kerana perkara ini kami hilang masa depan.
Dr, bagaimana caranya untuk menyelesaikan perkara ini? Saya mahu memperkenalkannya pada keluarga tapi kemungkinan mereka tidak dapat terima Ti dan mungkin saya akan berpisah dengannya.
Saya tidak mahu kehilangan dia kerana terlalu menyayanginya tetapi jika tidak berterus terang dengan keluarga, fikiran saya semakin kacau. Saya juga menjadi tidak tentu hala serta tidak boleh fokus kepada pelajaran. Saya sedar, satu hari nanti saja harus memberitahu perkara ini kepada keluarga tetapi tidak tahu bila. Saya tidak mahu melukakan hati mak dan ayah. Saya meminta pendapat seorang kawan dan dia mahu saya berterus terang dengan keluarga. katanya, kalau tiada jodoh antara kami, carilah yang lain.
Saya tidak puas hati dengan jawapannya kerana merasa masih ada cara lain tapi saya tak tahu apa dan sangat buntu.
Justeru, saya berharap doktor dapat menunjukkan cara terbaik menyelesaikan masalah ini.
Majik,
Kuala Terengganu JIKA ingin banyak perkara dalam satu masa memang membuatkan adik menderita. Justeru, jika adik menginginkan semua perkara yang diinginkan, adik perlu fokus, beremosi tenang dan menjadi seorang yang bertanggungjawab.
Perkara ini termasuklah mempunyai keberanian untuk memberitahu perhubungan adik dengan Ti yang bukan beragama Islam kepada orang yang rapat dengan adik terutamanya ibu bapa. Sokongan mereka dalam menjayakan perhubungan adik dengan Ti dan menyelesaikan masalah berlainan agama amat penting.
Cinta berlainan agama dan bangsa bukan lagi perkara biasa dikalangan masyarakat sekarang. Apa yang penting kini adalah perkara yang harus dilakukan sekiranya pasangan itu mahu meneruskan perhubungan lebih serius seperti mengikat tali perkahwinan.
Adik, jarak bukan penghalang kepada rasa cinta kerana hubungan cinta boleh disuburkan melalui kaedah lain seperti telefon, internet dan SMS. Jika mencintai seseorang, kita perlu sentiasa mendoakannya.
Justeru, untuk mengurangkan rasa rindu itu, adik perlu mengorientasikan pemikiran bahawa percintaan bukanlah mengenai kekerapan bertemu, tetapi berkaitan soal hati dan keikhlasan. Jika adik dapat menerima kenyataan bahawa cinta kalian tetap wujud walaupun jarang berjumpa, tekanan yang adik rasai akan berkurangan.
Seperti Dr katakan, jika adik ikhlas bercinta dengan Ti, adik perlu bertanggungjawab atas cinta ini. Ini termasuk memberitahu ibu bapa bahawa adik mempunyai hubungan istimewa dengan Ti yang bukan beragama Islam. Mainan fikiran bahawa mereka mungkin akan membantah hubungan ini menambahkan bebanan adik. Jika adik tidak mencuba, adik tidak akan pernah tahu penerimaan mereka terhadap perhubungan ini. Mereka juga mungkin boleh membantu adik membimbing Ti.
Gunakan kata-kata yang lemah lembut dan beradab ketika memberitahu mereka mengenai hubungan adik dengan Ti. Profesor Hamka mengatakan kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.
Seorang Muslim atau muslimah perlu berhati-hati dalam persoalan hati yang membabitkan seorang yang berlainan agama. Sistem perundangan syariah di Malaysia menyatakan bahawa tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam kecuali seorang ‘Kitabiyah’. Surah Al-Baqarah pada ayat 221 menyatakan bahawa; “Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Orang kafir itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).'' Ti nampak sungguh berminat dengan agama Islam dan bimbingan adik untuk Ti memeluk agama Islam penting. Untuk melakukan ini, adik sendiri perlu mempunyai keyakinan dapat membimbing dia dan berani bertanggungjawab atas perhubungan ini.
Adik juga perlu bijak meletakkan keutamaan kehidupan. Tanya diri adik, apakah perkara yang paling adik utamakan? Fokus dulu kepada perkara itu. Seterusnya pergi kepada perkara kedua yang menjadi pilihan adik. Perencanaan begini lebih memudahkan adik mencapai apa yang adik inginkan. Namun, ini tidak bermakna adik tidak boleh mendapat semua yang adik inginkan dalam sesuatu masa. Cuma, ia memerlukan komitmen dan sokongan yang amat tinggi. Jika apa yang adik rencanakan tidak berlaku, ada hikmah di sebaliknya. Bersyukurlah kerana kita harus yakin bahawa apa yang ditentukan Allah buat kita, itulah yang terbaik (Hamka). Dr doakan adik berjaya mencapai apa yang adik inginkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan