Isnin, 8 Februari 2010

IKTIBAR...MUNGKIN ESOK KENA BATANG HIDUNG



Bapa pengantin pengsan

Oleh Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my
2010/02/08


BATU PAHAT: Bapa pengantin pengsan manakala pengantin perempuan berkurung dalam bilik selama tiga hari. Semuanya gara-gara SMS pembatalan majlis pernikahan pada saat akhir.


Bagaimanapun, keluarga Nor Adriana Hairudin, 25, tetap meneruskan majlis kelmarin walaupun ia dilangsungkan dalam keadaan suram dengan kehadiran kira-kira 800 tetamu yang turut bersimpati dengan nasib menimpa keluarga berkenaan.


Menurut adik pengantin perempuan, Nor Azman, 23, keluarganya terutama kakak dan bapa paling tertekan dengan kejadian itu akibat sikap tidak bertanggungjawab teman lelaki kakaknya yang berasal dari Sarawak membatalkan pernikahan pada saat akhir hanya menerusi SMS.


“Sebagai adik, saya turut bersedih dengan kejadian ini ditambah pula melihat keadaan kakak. Dia hanya mengurungkan diri dalam bilik sejak Rabu lalu.


“Dia tidak mahu makan atau minum dan hanya akan keluar bilik apabila tiada orang dalam rumah atau selepas semua tidur pada lewat malam. Namun syukurlah, semalam (kelmarin) dia sudah keluar dari bilik dan tersenyum kepada kami selain keluar dari rumah bersama rakan sekolahnya untuk mententeramkan diri,” katanya.


Menurutnya, bakal suami kakaknya itu tidak sepatutnya hanya menggunakan SMS untuk membatalkan pernikahan, apatah lagi dia seorang anggota tentera yang terkenal dengan disiplin tinggi.


Katanya, selain sedih melihat kakaknya yang mengurungkan diri, dia sedih melihat bapanya yang sering termenung mengenangkan kejadian itu.


“Ayah terlalu tertekan dengan kejadian itu hingga pengsan ketika menyambut tetamu. Sebagai anak, saya hanya boleh membantu apa yang terdaya dan berharap semua akan pulih secepat mungkin,” katanya.


Wartawan Harian Metro yang berada pada majlis persandingan yang bertukar kepada majlis tahlil dan doa selamat itu mendapati sebahagian tetamu memberikan kata semangat kepada keluarga berkenaan.



>‘Hanya Tuhan tahu betapa malu kami’

BATU PAHAT: “Hanya Tuhan yang tahu perasaan kami...dia sepatutnya membahagiakan anak perempuan saya, sebaliknya dia menghancurkan harapan kami sekeluarga,” luah bapa pengantin perempuan, Hairudin Ahmad, 50, apabila bakal menantunya yang juga seorang anggota tentera membatalkan pernikahan yang sepatutnya berlangsung Jumaat lalu.
Sepatutnya, Nor Adriana Hanim, 25, yang juga seorang anggota tentera di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, bergembira menantikan saat bahagia bergelar raja sehari, namun semua itu menjadi sejarah hitam dalam hidupnya apabila perbuatan bakal suaminya menggunakan sijil kursus perkahwinan palsu didedahkan.
Hairudin berkata, dia dan keluarga tidak menyangka lelaki yang dianggap sebagai seorang yang baik serta bertimbang rasa itu akhirnya menjadi lelaki yang melukai hati dan memalukan keluarganya.

Malah, katanya, ketika masuk merisik pertengahan tahun lalu, lelaki itu menawarkan wang hantaran RM8,000, namun mereka menolak tawaran itu dan hanya menetapkan RM6,000.
“Saya berpendapat, lebih baik dia menggunakan wang itu untuk perbelanjaan mereka selepas mendirikan rumah tangga.
“Tiada gunanya mengadakan majlis perkahwinan besar tetapi selepas majlis mereka hidup susah. Jadi lebih baik saya mengeluarkan belanja lebih untuk kebahagiaan anak dan suaminya,” katanya.
Menurutnya, lelaki itu sudah memasukkan wang RM4,000 sebagai wang hantaran, manakala bakinya dijanjikan sebelum majlis pernikahan.
Malangnya, hanya beberapa hari sebelum tarikh pernikahan, mereka mendapat cerita sebenar daripada pegawai agama kem tempat lelaki itu bertugas bahawa bakal menantunya itu belum pernah menghadiri sebarang kursus praperkahwinan, selain tidak memohon cuti untuk majlis pernikahannya.
“Saya berniat menjamu semua keluarga dan rakan selepas majlis pernikahan Jumaat lalu selain mengedarkan 1,500 kad jemputan bagi majlis persandingan, Sabtu lalu.
“Semua perbelanjaan sudah dilangsaikan tunai membabitkan makanan, khemah, andaman dan beberapa persiapan lain berjumlah lebih RM15,000.
“Kami bukan saja rugi, malah malu apabila diperlakukan begini. Kami hanya berharap kejadian ini dijadikan iktibar dan jangan sesiapapun lakukan perkara sama kepada mana-mana pihak,” katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu dan selepas mengadakan perbincangan terpaksa menukar majlis perkahwinan Sabtu lalu kepada majlis doa selamat dan tahlil.

>Tembelang palsukan sijil kursus kahwin terbongkar

BATU PAHAT: Selepas tembelangnya memalsukan sijil kursus perkahwinan terbongkar, seorang anggota tentera hanya menghantar SMS kepada bakal ibu mentuanya bagi membatalkan majlis pernikahan yang sepatutnya berlangsung Jumaat lalu di rumah pengantin perempuan di Kampung Baru di sini.
Rahsia lelaki berusia 26 tahun yang bertugas di Kem Rejimen Pertama Armor Diraja, Kuantan, Pahang itu pecah apabila dia menghantar SMS meminta majlis pernikahan dan persandingan ditunda kepada 7 Februari berikutan kegagalannya menyerahkan sijil kursus perkahwinan dan beberapa dokumen lain yang tulen kepada bakal isterinya.
Ibu pengantin perempuan, Ramiton Maidin, 47, berkata dia menerima SMS daripada bakal menantunya itu ketika berada di tempat kerjanya di sebuah di kilang di sini, kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 1 Februari lalu.
Menerusi SMS berkenaan, bakal menantunya itu meminta majlis pernikahan yang dijadualkan pada 5 Februari dan persandingan pada 6 Februari ditunda kepada 7 dan 8 Februari dengan alasan tidak dapat menghantar dokumen yang diperlukan kerana masih berada dalam pegangan pegawai atasannya.
“Saya memberitahunya majlis pernikahan dan persandingan itu tidak boleh ditunda kerana banyak masalah akan timbul berikutan tarikhnya sudah terlalu hampir selain pelbagai persediaan sudah dilakukan.
“Namun dia menyuruh saya pulang ke rumah untuk menenangkan anak saya yang ketika itu sudah mengetahui hasrat bakal suaminya lebih awal menyebabkannya bersedih dan menangis,” katanya.
Ramiton berkata, pada keesokannya (2 Februari), dia bersama anak, Nor Adriana Hanim Hairudin, 25, dan suami, Hairudin Ahmad, 50, bertolak ke Kuantan bagi menemui lelaki terbabit pada jam 5.30 pagi dan tiba di kem berkenaan pada jam 9.30 pagi.
Bagaimanapun, katanya lelaki itu tidak membenarkan mereka masuk ke dalam kem bagi menemui pegawai atasannya yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama.
Katanya, dia kemudian menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai agama kem berkenaan dan mengatakan dia sibuk menguruskan kes perceraian.
Gagal menemui kedua-dua pihak terbabit, Ramiton kembali ke Batu Pahat dengan hampa dan tiba kira-kira jam 6 petang sebelum menerima satu lagi SMS daripada lelaki itu yang berjanji akan menghantar dokumen diperlukan keesokan harinya.
“Bagaimanapun, tiada sebarang faksimili diterima sebaliknya, kami menerima panggilan daripada seorang pegawai tentera kem di Kuantan, bertanyakan pernahkah lelaki itu meminta majlis ditangguhkan sejak Januari lalu.
“Saya menjawab tiada dan menghantar SMS yang dihantar bakal menantu sebelum ini kepada pegawai berkenaan sebagai bukti.
“Keesokannya (3 Februari), kami sekali lagi ke Kuantan bagi menemui pegawai terbabit dan menerusi perbincangan kami dapati bakal menantu saya itu tidak pernah mengikuti kursus perkahwinan mahupun memohon cuti untuk bernikah,” katanya.
Menurut Ramiton, perkara itu turut dibuktikan dengan salinan sijil kursus perkahwinan yang pernah dikemukakan bakal menantunya itu kepada anaknya yang bertugas di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur.
“Salinan sijil kursus kahwin itu sebenarnya palsu dengan tarikh pada 2003 dan ada kesan tampal pada nama peserta,” katanya.
Ramiton berkata, berikutan pendedahan itu, lelaki berkenaan sehingga kini gagal dihubungi selepas dia tidak menjawab panggilan dan SMS yang dibuat melalui telefon bimbitnya bagi mendapatkan penjelasan sebenar.
“Kami benar-benar kecewa, malah anak saya sendiri sudah tawar hati untuk berharap dan meneruskan hidup bersama lelaki itu sebagai suami isteri.
“Semuanya sudah dibatalkan, tiada majlis pernikahan, cuma kami mengadakan majlis doa selamat dan tahlil kerana tidak mahu membazir semua perbelanjaan yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya.

Tiada ulasan: