Isnin, 8 Februari 2010

DARI KOLUMNIS DIHARAKAH.....INI BILA BUAT SESUATU TIDAK BERLANDASKAN AGAMA


Aduka Taruna, pembakar gereja dan Nasir Safar | Print | E-mail
Zukri Aksah


Ada persamaan antara tiga manusia atau kumpulan manusia ini, mereka terlibat dengan isu yang didefinisikan sensitif di Malaysia, isu yang dianggap boleh merencat keharmonian kaum di Malaysia, iaitu berkaitan agama, keturunan dan raja Melayu.

Hari pertama kejadian gereja dibakar, saya berada di Kuala Lumpur, bimbang juga saya kiranya darurat diisytiharkan pada hari tersebut di ibu kota, pertama kerana membayangkan tragedi 13 Mei, kedua kerana memikirkan yang esoknya saya harus pulang ke Kuantan, harapnya tidak berlaku apa-apa, jangan saya terkandas di bandaraya ini, terus-terang saya rindukan anak kecil saya.

Memang tidak berlaku apa-apa selepas itu, maksud saya dari pihak kerajaan, tiada pengisytiharan darurat atau perintah berkurung. Tetapi sebaliknya kejadian membakar dan cuba membakar gereja setelah hari itu merebak hampir ke seluruh Malaysia, sekali lagi satu kemujuran, Kuantan yang punya gereja, kuil Hindu dan kuil Sikh yang besar, selain masjid yang juga besar terselamat.

Ada satu kepelikan dalam hati saya, kerana pemergian saya ke Kuala Lumpur sekali lagi selepas itu (atas urusan yang sama, mengendalikan latihan) bertepatan pula dengan tarikh demonstrasi kalimah Allah dan juga demonstrasi membantah sikap Mesir terhadap konvoi Viva Palestina.

Kronologi peristiwa di atas, bermula awal dari tindakan penerbit Mingguan Katolik Herald yang membawa keputusan pengharaman penggunaan kalimah Allah oleh KDN ke mahkamah, seterusnya mencetus insiden bakar dan cubaan membakar gereja sehingga ke demonstrasi di Kampung Baru adalah contoh natijah bilamana isu sensitif cuba dibawa kepada pertimbangan khalayak awam tanpa mengambil-kira tahap pengetahuan agama orang-ramai dan kemungkinan penerimaan emosi yang berlebihan.

Akhirnya setelah puas menanti, pihak polis membuat pengumuman penahanan 8 orang suspek untuk salah satu kes cubaan membakar gereja, Gereja Metro Tabernacle di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, mereka ditahan reman 7 hari untuk soal-siasat. Sementara di Taiping kemudiannya, 4 orang dihadap dan didakwa di mahkamah kerana cuba membakar Gereja All Saints, St. Louis dan SMK Taiping.

Belum reda kepanasan isu ini, muncul pula blogger Aduka Taruna. Kalau isu kalimah Allah berisiko membawa hubungan kaum dan agama di negara ini ke kancah polemik, Aduka Taruna pula cuba bermain bahasa janggal dengan istana. Ini berlaku selepas kemangkatan Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.

Saya sempat membaca tulisan tersebut. Dari apa yang saya faham, tidak ada maksud menghina dalam tulisan tersebut, cuma bahasanya agak kasar dan berbunyi biadab, terutama pada tajuknya. Aduka Taruna cuma mempersoalkan (dibanding dengan apa yang dia diberitahu) waktu kemangkatan yang diumumkan.

Keberanian Aduka Taruna akhirnya membawa padah apabila dia juga menerima nasib seperti pembakar gereja tadi, direman empat hari di IPD Kota Bharu selepas menyerah diri. Selepas tamat tempoh remannya, Aduka Taruna telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban untuk didakwa. Kalau dikira jarak, jauh dia dibawa, dari Kelantan ke Negeri Sembilan. Kalau katakan setiap negeri di Malaysia ini mempunyai autonomi perundangan masing-masing, Aduka Taruna sepertinya telah diekstradisi dari Kota Bharu ke Seremban.

Bagi kepentingan maksud keseluruhan tulisan ini, satu catatan penting dalam kes Aduka Taruna ini harus dinyatakan di sini, iaitu sebelum dia menyerah diri dan ditahan, dia telah sempat meminta maaf secara terbuka kepada istana Johor khususnya dan rakyat Malaysia amnya atas keterlanjuran katanya.

Merah lagi makam Almarhum Sultan Johor, merah lagi inai di jari Aduka Taruna yang bersanding dalam tempoh ikat jaminnya, tiba-tiba satu lagi isu sensitif menggegar persada berita negara, kali ini mengenai hubungan kaum, berikutan satu ucapan yang dikatakan menghina kaum China dan India di negara ini. Menariknya ucapan ini datangnya dari Nasir Safar, Pegawai Khas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, yang sedang galak dengan jenama 1Malaysianya. Nampaknya belum lagi mahu mengharap orang lain menganut ideologi Najib, pegawai khasnya sendiri gagal diindoktrinisasikan.

Selepas tindakan polis terhadap pembakar gereja dan Aduka Taruna, bila munculnya Nasir Safar dengan ucapan rasisnya, saya pun membelek berita setiap hari… andaian bonafide saya terhadap polis, ahhh… seorang lagi akan direman!

Belek punya belek, baca punya baca, tunggu punya tunggu, setelah menunjuk garang dengan pembakar gereja dan Aduka Taruna, polis tiba-tiba jadi tunggul kayu, bacul dan layu! Gamaknya line Najib sibuk sangat kebelakangan ini, polis belum dapat apa-apa signal dari kamar Sri Perdana… hahaha!!! Andaian saya ini dalam nada bergurau, jangan ada yang ambil hati.

Akhirnya sayup-sayup saya terdengar kenyataan dari Ketua Polis Melaka yang Nasir akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan. Itu sahaja? Saya kecewa… tahap sensitiviti isu kaum di Malaysia ini sama tinggi dengan isu agama dan raja Melayu, saya mengharapkan layanan yang segera dan serupa bagi isu-isu sebegini. Kepala berita yang saya tunggu adalah “Nasir direman bagi membantu siasatan” seperti apa yang dihadapi oleh pembakar gereja dan Aduka Taruna.

Saya kempunan, kenapa layanan tidak sama? Apa istimewanya Nasir Safar? Ya dia Pegawai Khas Najib, jadi apa masalahnya? Bukankah SPRM suka kejar pembantu khas ADUN di Selangor. Buat masa ini saya tidak akan terima tawaran mana-mana ADUN di Selangor untuk menjadi pembantu khas mereka, kerana saya takut Tingkat 14, Plaza Masallam.

Oh… setengah orang kata tidak payahlah beria sangat, Nasir sudah mengambil tanggungjawab, dia meletak jawatan dan meminta maaf. Seperti catatan saya sebelum ini, saya sudah ingatkan, Aduka Taruna juga sudah meminta maaf, dia juga mengambil tanggungjawab dengan menarik balik tulisan tersebut dari blognya. Sama bukan! Tetapi kenapa layanan polis masih tidak sama? Setakat maaf, Chin Peng pun telah meminta maaf.

Bila teringatkan pengheret kepala lembu boleh berjumpa Menteri Dalam Negeri (bos kepada polis), barulah sedikit saya boleh terima mengapa Nasir yang menjadi Pegawai Khas Bos kepada Menteri Dalam Negeri ini (a.k.a Perdana Menteri) boleh mengeluarkan kenyataan serasis itu dan mengapa pula Nasir tidak direman sama seperti pembakar gereja dan Aduka Taruna oleh polis yang berboskan Menteri Dalam Negeri itu.

Anda pula rakyat dalam kelas mana? Sama ada makan roti canai dan teh tarik macam pembakar gereja itu, atau provokatif macam Aduka Taruna, atau elitis macam Nasir Safar. Jika mulut anda memang jenis celupar tanpa had, untuk selamat anda harus memohon menjadi anak angkat Nasir dengan kadar segera.

Tiada ulasan: