Selasa, 16 Februari 2010

MALANG TAK BERBAU TENTU DE HIKMAHNYA

Deejay dibelasah

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/02/16

KUALA LUMPUR: Seorang penyampai radio (deejay) stesen penyiaran Astro melalui detik mencemaskan apabila dibelasah lebih 20 lelaki bersenjatakan topi keledar selepas dia cuba membantu meleraikan perbuatan sekumpulan lelaki yang menyerang rakannya, awal pagi semalam.

Lebih malang apabila penyampai radio lelaki berusia 29 tahun itu turut dirompak dompetnya sebelum penjenayah terbabit menggunakan kad kredit untuk ‘makan besar’ dengan membeli ayam goreng di restoran makanan segera selain mengisi minyak motosikal mereka beramai-ramai.


Sumber polis Brickfields berkata, dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa bersama isterinya baru saja selesai menjamu selera sebelum berjalan ke kawasan letak kereta berhampiran di Jalan Doraisamy, di sini.


Menurutnya, mangsa bagaimanapun sempat melihat pertengkaran antara beberapa lelaki dipercayai joki kereta dengan kenalannya tidak jauh dari kawasan tempat meletak kenderaan itu.


“Penyampai radio berkenaan yang mulanya enggan masuk campur dengan pertelingkahan berkenaan bagaimanapun mula bimbang apabila mendapati kumpulan lelaki terbabit memukul rakannya itu.


“Lebih membimbangkan apabila kumpulan lelaki berkenaan tanpa belas kasihan turut memukul teman wanita rakannya itu,” katanya, Katanya, mangsa yang bimbang berlaku kecederaan lebih parah terhadap rakannya itu kemudian masuk campur sebelum cuba meleraikan pergaduhan berkenaan. Malangnya cubaan mangsa menyelamatkan rakannya mengundang padah apabila turut dibelasah kumpulan lelaki bermotosikal itu.

“Kumpulan lelaki terbabit yang dianggarkan 20 hingga 30 orang memukul dan menumbuk mangsa hingga terjatuh sebelum ada antara mereka menghentam mangsa dengan topi keledar.


“Dalam keadaan kelam-kabut itu, seorang suspek merampas dompet mangsa sebelum melarikan diri. Mangsa yang cedera kemudian mendapatkan rawatan bersama rakannya di Pusat perubatan Universiti Malaya (PPUM). Bagaimanapun, rakan mangsa ditahan di hospital berikutan kecederaan dialami agak serius, Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Brickfields berhubung kejadian serangan samseng berkenaan.


“Difahamkan, mangsa yang bimbang kad kredit miliknya digunakan cuba menghubungi bank bagi menghalang sebarang transaksi menggunakan kad kredit itu. Malangnya penjenayah terlebih dulu menggunakan kad kredit mangsa untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Raja Laut selain membeli makanan segera di sebuah restoran di Jalan Raja Laut beberapa jam selepas kejadian berkenaan.


Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pelajar kolej berusia 19 tahun menjadi mangsa samun dua lelaki yang menggunakan taktik memeluk tubuh mangsa dari belakang sebelum menghunuskan pisau.


Difahamkan, dalam kejadian jam 2 petang kelmarin, mangsa dari Petaling Jaya mendakwa sedang menaiki tangga Stesen Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni di sini, sebelum dipeluk dari belakang dan diacukan pisau di perut oleh seorang lelaki.


Pada masa sama, seorang lagi rakan penjenayah terbabit menyeluk poket seluar mangsa sebelum merampas dua telefon bimbit dan wang tunai RM20 mangsa sebelum melarikan diri.


Susulan kejadian itu, mangsa yang kerugian wang tunai dan telefon bimbit membuat laporan di balai polis berhampiran.

Tiada ulasan: