Thu, 30 May 2002 17:4
H-Net* Harian Metro: Edisi Melaka/NS: Ramai murtad
2:47 -0700 Edisi Melaka/NS: Ramai murtadOleh Masni Ros Pakir Mohamad
MELAKA: Gejala murtad di kalangan anak Melayu semakin meningkat sejak
akhir-akhir ini dan kini berada di tahap yang membimbangkan.
Ketua Penolong Pengarah, bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka
(Jaim), Rahimin Bani, berkata setakat ini tiada rekod rasmi menunjukkan
bilangan yang sebenarnya.
Menurutnya, Jaim masih menyiasat perkara itu dan isu murtad di kalangan anak
Melayu dan saudara baru tidak boleh dipandang sepi kerana ia wabak yang
menghancurkan umat dan agama.
Katanya, pelbagai andaian dan kajian dibuat mengenai faktor yang menyumbang
ke arah berlakunya gejala di kalangan saudara baru seperti faktor peribadi
dan keluarga, tiada bimbingan dan penghayatan Islam, penerimaan masyarakat
Islam dan kemiskinan dan dakyah ajaran lain.
"Ada antara kemasukan mereka dalam Islam disebabkan perkahwinan dan jika
pasangan itu mempunyai latar belakang agama yang baik, maka pasangannya
mampu memimpin tetapi jika tidak, sebaliknya akan berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk `Gejala
murtad di kalangan saudara baru...satu persoalan' dalam Ijtimak Tahunan
Saudara Kita peringkat kebangsaan dan negeri Melaka anjuran Perkim di Hotel
Sri Costa di sini, semalam.
Kira-kira 300 saudara baru menyertai ijtimak ini yang diadakan selama tiga
hari bermula 28 Mei lalu.
Menurut Rahimin, ada setengah saudara baru yang terus menghilangkan diri
daripada mendapat bimbingan dan asuhan daripada pihak yang bertanggungjawab.
"Saudara baru perlu dibantu dan diberikan sokongan moral untuk membolehkan
mereka menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran yang baru disebabkan
perbezaan bangsa, budaya, bahasa dan warna kulit," katanya.
Katanya, bagi mengatasi gejala murtad di kalangan saudara baru, tindakan
yang sistematik dan berkesan perlu diambil bagi menghalang mereka terus
kembali kepada agama asal.
Antara langkah yang patut diambil ialah memberi kesedaran dan kefahaman
ajaran Islam yang menyeluruh secara berterusan kepada saudara baru,
melaksanakan gerakan dakwah sepadu meliputi semua peringkat serta
menguatkuasakan peruntukan yang sedia ada dalam `Enakmen Kawalan dan Sekatan
Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam' bagi menghadapi gerakan
dakyah ajaran lain.
Selain itu, menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar dapat membantu
dan membimbing saudara baru ke arah kecemerlangan diri dan keluarga termasuk
mengaktifkan persatuan saudara baru yang sedia ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan