RENCANA UTAMA
Sindrom artis salah fesyen
SELAIN sibuk mencanang artis cerdik fesyen, hakikatnya ada lagi segelintir selebriti masih mencari identiti demi menjaja status di gelanggang seni. Lalu tidak hairanlah wujud istilah jenayah fesyen kerana kesedaran bergaya pada acara-acara rasmi hiburan dan berada di tempat awam masih belum menjangkau paras teratas.
Bukan hanya berlaku di Malaysia, sindrom artis buta fesyen juga menghantui industri seni antarabangsa. Ramai selebriti sama ada dari kelas pertama atau sebaliknya, tidak terkecuali menerima tempias jelik berfesyen.
Permaidani merah selalunya menjadi medan artis dikritik dengan fesyen mengarut gara-gara menyarungkan busana eksperimen pereka-pereka fesyen sama ada baru hendak bertatih atau berpengalaman.
Bekas pelajar Akademi
Tidak terlintas di fikiran mahu menjunjung pelbagai gelaran menjelikkan, Amylea mengakui harus menutup bahagian tubuh dengan selendang agar tidak terlalu terdedah. Justeru, busana yang disarungkan pasti pudar seni dan nilainya.
Kini Amylea lebih berhati-hati memilih pakaian tajaan. Jika tidak menepati cita rasa atau terlalu seksi ditatap umum, dia berkeras, enggan baju itu disarung pada badannya dalam apa cara sekalipun.
"Banyak kali saya dapat gelaran tidak pandai berfesyen. Pernah satu hari saya menangis mengenangkan komen melampau daripada sesetengah pihak tentang pakaian saya.
"Saya juga terima kritikan pada Anugerah Juara Lagu 24 (AJL 24) baru-baru ini disebabkan bergaya santai dengan rambut stail Mohawk. Sedangkan orang lain tidak tahu saya datang sekadar beri sokongan sebagai Raingers kepada kumpulan Hujan.
"Kini saya enggan pedulikan nista masyarakat. Saya juga tidak kisah tentang bab berfesyen. Kalau tidak menjolok mata atau membuatkan keluarga marah, ia sudah memadai.
|
|
"Kalau pakai macam mana sekalipun, tetapi tidak diiktiraf sebagai wanita cantik di Malaysia maka tiada gunanya. Sekarang saya mahu hargai mereka yang nampak kebolehan diri dalam bidang muzik daripada jaga hati orang yang sering mengutuk.
"Saya juga bukan seorang bintang besar. Hendak nampak cantik setidak-tidaknya memerlukan pereka fesyen berpengaruh dan peruntukan besar. Lebih baik saya pakai ikut naluri hati. Cuma bab rambut dan mekap, ia memang jadi keutamaan," jelasnya yang bakal muncul dengan single berjudul Patung tidak lama lagi.
Mengenali pereka fesyen popular, Amir Luqman sejak empat tahun lalu, Amylea tanpa berselindung memberitahu dia belajar banyak perkara melibatkan fesyen bersesuaian dengan empunya diri.
Ghairah disuakan tajaan daripada pereka fesyen baru mencipta nama, pendatang baru dunia lakonan, Ainul Aishah Azizun, 25, tidak terlepas bahana digelar mangsa fesyen beberapa tahun lalu.
Menjadikan Mary Kate Ashley dan Alexa Chung sebagai ikon fesyen, wanita peramah itu bagaimanapun berpendapat tidak adil jika kesalahan 100 peratus diletakkan kepada dirinya.
"Dengan keadaan masih baru dan naif dalam bidang seni, sebelum ini saya terima saja baju pemberian pereka-pereka fesyen baru tanpa mengambil kira impak kemudian hari.
"Kini saya berhati-hati pilih baju yang hendak dipakai bagi menghadiri majlis festival atau anugerah.. Bukan mahu berlagak, saya sebaliknya tidak terbiasa menggayakan pakaian terlampau mendedahkan tubuh badan.
"Bagi memantapkan diri dalam soal penataan gaya, saya banyak membaca majalah fesyen luar negara, tengok penulis ruangan fesyen bergaya dan ambil contoh rakan-rakan di sekeliling suai padan fesyen.
"Saya suka lihat gaya Liyana Jasmay dan Scha. Dengan stail tersendiri membuatkan fesyen mereka digilai ramai," tutur Ainul kurang selesa mengenakan gaun panjang meleret dan dres kembang dengan perincian berlebihan kerana menampakkan dirinya lebih berusia.
Gara-gara tampil dengan kemeja beserta vest berbentuk korset dan mengenakan solekan Gothic, penyanyi popular, Izwan Pilus dikecam hebat pada Anugerah Industri Muzik 2007 (AIM 2007).
"Saya tercalon sebagai Artis Baru Terbaik buat persembahan mendendangkan lagu Indah Lelapku. Malam sebelumnya saya menyanyi pada program Hitz1. Ingin perubahan drastik maka saya ambil keputusan pamerkan stail jauh berbeza.
"Lepas itu saya terima maklum balas negatif daripada peminat. Ada yang kata tidak tidak sesuai kerana rekaan vest ini. Sebenarnya, saya cuma pakai baju ini semasa menyanyi di atas pentas. Berjalan di karpet merah, saya muncul dengan jaket di luar.
"Walaupun ada sesetengah pihak bising dengan gaya pada malam itu, tetapi saya gembira kerana orang ramai bercakap dan perasan tentang kehadiran diri ini. Tidak kisahlah jika orang lain mahu terus mengata.
"Kini mencapai umur 31 tahun dan lebih dewasa, saya amal sikap sederhana dalam fesyen. Sekurang-kurangnya ada pembaharuan diri berpakaian berbanding awal kemunculan dalam lapangan seni.
"Hingga saat ini, saya masih belajar banyak perkara melibatkan gaya demi memperbaiki diri," ujar Izwan yang lebih senang bercelana pendek dan baju-T tanpa kolar apabila tidak terikat dengan komitmen nyanyian.
Mengidolakan Bon Zainal sebagai pereka fesyen dan perunding imej, Izwan melihat selebriti menjadi individu terbaik menggayakan pakaian hasil sentuhan pereka fesyen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan