Sabtu, 14 Januari 2012

YANG PERLU BAGI SEMUA MANUSIA ADALAH ALLAH...ALLAH BERKUASA ATAS SESUATU...DAN JANGAN SEKALI2 KITA MENAFIKANNYA..JIKA NAK SELAMAT DIDUNIA DAN AKHIRAT

BN adalah masalah sebenar - Guan Eng

Mohd Rashidi Hassan, 14 Januari 2012

ALOR SETAR, 14 Jan: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan Barisan Nasional adalah masalah sebenar yang harus dibersihkan dari negara.

BN katanya tidak mampu menyelesaikan masalah dalam negara kerana BN itu sendiri adalah parti yang bermasalah.

Berucap di Konvensyen ke-3 Pakatan Rakyat dekat sini, beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, mengajak rakyat Malaysia mengubah nasib dengan memberikan kemenangan kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Beliau memberi contoh di mana dibuktikan bahawa prestasi ekonomi bagi empat negeri di bawah tadbir Pakatan Rakyat jauh lebih baik dari sembilan negeri di bawah BN.

"Kita hanya memerintah empat tahun, tetapi kita tadbir lebih baik daripada 54 tahun BN memerintah.

"Bayangkan jika kita mentadbir Malaysia 50 tahun, kita pasti mampu menyelamatkan Malaysia dari kegejala rasuah dan kebankrapan," tegasnya.

Tegas Guan Eng, memang Pakatan Rakyat tidak mempunyai pengalaman memerintah, tetapi ia juga tidak mempunyai pengalaman untuk melakukan rasuah sebagaimana yang dilakukan oleh Umno-BN.

Tegasnya, Pakatan Rakyat komited membersihkan Malaysia dari segala bentuk kepincangan ekonomi, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

"Kita yakin jika diberi amanah untuk mentadbir Putrajaya, kita akan memerintah dengan adil, menguruskan ekonomi dengan baik dan berkebajikan," tegas beliau.

Justeru katanya, demi masa depan rakyat, maka Pakatan Rakyat bertekad untuk mengubah dan membebaskan nasib rakyat dengan menewaskan parti bermasalah seperti BN pada PRU akan datang.

Tawaran Jingga Pakatan Rakyat – ‘Bersihkan Malaysia’

Dr Dzulkefly Ahmad, 14 Januari 2012

Di ambang pilihanraya umum ke-13 (PRU 13), negara kembali berdepan dengan pelbagai kemelut dan suasana krisis hasil langsung dari urus-tadbir dan tata-kelola sebuah pemerintahan yang tempang. Sebuah kerajaan yang tidak benar-benar komited untuk mensejahterakan rakyat seluruhnya bahkan meletakkan keutamaannya untuk membela suku-sakat kroni dan membolot kekayaan negara untuk segelintir kelompok penguasa, lazimnya akan berakhir dengan kehidupan rakyat yang serba terhempit dan ternafi dari mengecapi kekayaan dan kemakmuran negara.

Justeru, jurang antara kaya-miskin tampak semakin melebar, kesenjangan pembangunan antara bandar-desa, antara pantai Barat Semenanjung dan negeri pantai Timur-Utara, serta Sabah-Sarawak semakin ketara. Begitu juga hal hutang negara, khasnya hutang awam (Kerajaan Persekutuan) terus membengkak, daya-saing terus menjunam, ‘brain-drain’ tidak mampu disekat, ketirisan akibat rasuah dan salahguna kuasa dalam sistem ‘delivery’ berulang setiap tahun dan ekonomi terdedah kepada ancaman kebankrapan hasil pengurusan dan defisit fiskal yang tidak mematuhi tuntutan amalan terbaik-best practice- dan prinsip tata-kelola kewangan pruden.

Lebih parah lagi kerana krisis ini bukan sahaja menyinggung aspek ekonomi dan kewangan akan tetapi melingkungi seluruh dimensi kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Kebrentakan ini terpapar jelas dengan pelbagai pola-pola persengkataan yang semakin tajam dan mendalam, di segi pertentangan ras-perkauman, tuntutan kelompok pendukung agama secara sempit dan kelompangan atau ‘lacuna’ bidang kuasa legal dan perundangan yang kerap disemarakkan api kefanatikan dan kejumudan politik perkauman.

Sementara itu fungsi institusi-institusi kritikal terus terkorban dari berperanan menjadi penyemak-imbang utama yang berkesan kerana terlalu tunduk dan dibelenggui penguasa Eksekutif yang angkuh dan rakus memusatkan dan merampas bidang wewenangan kuasa cabang Judisiari dan Legislatif yang terus dimandulkan.

Tegasnya seteru politik kita, Umno-BN telah merosakkan dan menodai institusi-institusi kritikal negara –“An Assault on the Nation” yang sekaligus telah menatijahkan “Kereputan Sistem” atau “Systemic Rot” secara menyeluruh.

Suasana ini cukup ngeri dan amat menakutkan, andainya ia berterusan kerana pastinya bakal menggagalkan usaha gigih pelbagai pihak untuk mendayakan negara supaya mampu bersaing dalam arus persaingan global dan serantau yang semakin sengit sekaligus mengancam kesinambungan negara sebagai yang bermaruah, berdaulat dan punya daya-juang dan daya saing yang tinggi.

Berdepan dengan lingkaran krisis yang tidak berhujung ini dan setelah menekuni serta mengenalpasti punca-sebab gejala kebrentakan ini, maka Pakatan Rakyat tampil dengan satu ‘Tawaran Jingga’ untuk mengundang seluruh rakyat dan pemilik penting-‘critical stakeholders’ negara ini, agar turut bersama-sama dalam satu gagasan “Membersihkan Malaysia” dari pelbagai kekotoran pengurusan pemerintahan Umno-BN supaya akhirnya kemakmuran dan sumber kekayaan negara mampu dikecapi, dinikmati dan dikongsi bersama oleh seluruh rakyat di negara bertuah ini.

Inilah ertinya ‘Merakyatkan Kemakmuran Untuk Semua” dalam satu permufakatan mulia, perkongsian murni dan persefahaman mendalam tuntutan kepelbagaian agama dan budaya agar mampu menghayati sunggguh-sungguh slogan - “Sharing The Nation” – “Bersama Mengecapi Kemakmuran Negara” .

Tawaran Jingga – Huraian Pendekatan

Sesungguhnya, pembentangan ‘Tawaran Jingga’ ini hanyalah satu prelude kepada ‘Tawaran Manifesto’ Pakatan Rakyat. Tawaran Jingga ini sekadar menerangkan perbezaan pendekatan Pakatan Rakyat berbanding Umno-Barisan Nasional.

Pendekatan pihak lawan yang bersifat menampilkan ungkapan pelbagai akronim ajaib yang sebenarnya mengusutkan fikiran bermula dengan NKRA, NKEA, PTK (GTP), SRI, NEM (MEB), ETP, EPP dan panjang lagi kalau dimasukkan agensi-agensi pelaksananya MAMPU, Pemandu, Pemudah, kini TERAJU yang kesemuanya boleh dibawa kepada satu lagi yakni ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) ketika sakit dan nazak.

Saya yakin keseluruhan akronim ini dan tindih-tindannya tidak difahami sendiri oleh ramai menteri termasuk YAB PM, kecuali dua menteri pintu belakang (senator) di Jabatan Perdana Menteri itu..yang sentiasa bersedia memberi kuliah yang panjang ketika ditanya sikit oleh Ahli-Ahli Parlimen Pakatan (dan juga BN) di Dewan Rakyat. Inilah dia Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang sangat dihajati oleh PM Najib.

Sesungguhnya tidak akan dapat dilakukan Transformasi kecuali dirancang, dilaksana dan diurus program ‘Reformasi Menyeluruh’ dalam menangani ‘kereputan sistem’ yang dirobek dan dinodai regim Umno-Barisan Nasional.

Tawaran Jingga kami pula merumuskan pendekatan “Political Economy”[1] atau pendekatan yang benar-benar mencerakinkan kembali kebijakan disiplin ekonomi ini dalam menggarap tuntutan Politik.

Ia adalah disiplin atau bidang ekonomi yang membicarakan bagaimana “keputusan politik mempengaruhi bidang ekonomi atau economic outcomes” atau dengan kata lain mudahnya “Perubahan Ekonomi atau ‘Economic Changes’ hanya akan dapat dipacu dan direalisasikan dengan bersekali dilakukan oleh sesebuah kerajaan akan ‘Reformasi Politik’. Sebaliknya pula bagaimana cita-cita “Transformasi Ekonomi” akan gagal dihambat oleh “Kekangan Realiti Politik” sperti yang jelas berlaku dalam pemerintahan Umno-BN.

Ini jelas apa yang telah berlaku dalam pendekatan BN yang masih terus tercari-cari pendekatan yang konsisten. Sebab itu Najib selalu berbolak-balik atau flip-flopping atau ‘zigg-zaging’. Najib hampir dinobatkan sebagai the “Father of Flip-Floppers” justeru kerana sikapnya yang kerap tidak tetap. Terlalu banyak contoh yang boleh dibariskan termasuk hal urusan ekonomi seperti EOC dalam MEB (NEM) atau menangani BERSIH 2.0 dan banyak lagi.

Sebab itu dalam NKRA dan PTK (GTP), Najib tidak langsung memberikan kepentingan kepada asepk reformasi politik. Bila baru celik kepentingan Reformasi Politik dan Perlembagaan? Bila digempur dek BERSIH2.0! Hanya selepas 709 BERSIH2.0, Najib terhegeh-hegeh bercakap tentang menangani tuntutan Politik Baru dan membatalkan 3 Ordinan Dharurat (1966, 1969 & 1977), membatalkan Akta Hukuman Buang Daerah 1959; dan mula bercakap tentang memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tembelang Najib terdedah apabila cakap-cakap menteri JPM mendahului beliau apabila mereka menyebut tentang mengantikan ISA yang dua-kali lima juga akalu tidak lebih drakormian lagi.

Maka sebagai pendekatan Pakatan Rakyat, kami cenderung untuk mengambil pendekatan ini yang mengiktiraf bahawa masalah ekonomi akan hanya dapat digarap bersekali dengan reformasi politik. Seteru politik kita pada asalnya tidak mahu mengiktiraf ini. Hanya mutakhir setelah serik kita berpekik baharulah mereka faham.

Tegasnya ‘Tawaran Jingga’ adalah penyelesaian krisis negara secara bersepadu dan menyeluruh. Tawaran Jingga[2] adalah perumusan penyelesaian komprehensif bagi menangani segala krisis yang juga sifatnya ‘menyeluruh dan sempurna’ bukan sahaja dari aspek kebobrokan pengurusan fiskal dan ekonomi.

Sebab itu kebobrokan rasuah, salahguna kuasa dan segala kebejatan penguasa dan elit bisnes yang rakus mesti ditangani dengan reformasi politik, perundangan serta keinsafan moral dan agama. Umno- BN tidak faham atau buat-buat tidak faham. Sebab itu kebejatan rasuah dan salah guna kuasa kini dilambang dengan NFC-Lembu dalam Kondo persis membayangkan kegagalan Transformasi Kerajaan Najib!

Tawaran Jingga kami berkisar di sekitar mencapai Dasar-Dasar Bersama:

  1. Demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat (Reformasi Politik)
  2. Memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil (Reformasi Ekonomi)
  3. Keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh (Reformasi Sosial)
  4. Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara (Government-Governance-Federalisme).

Sebagai prelude kepada Manifesto Pakatan Rakyat, Tawaran Jingga telah cuba mengingatkan semua bahawa pendekatan kami bukan sahaja menambahbaik kerosakan dan kepincangan yang telah dilakukan oleh regim yang lalu.

Tawaran Jingga bakal didedahkan dari masa ke semasa yang akan memuatkan rencana dasar, polisi dan kebijakan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing ini. Dalam Konvensyen ini, beberapa perkongsian awal tentang i. Dasar FELDA Pakatan Rakyat, ii. Dasar Anti-Monopoli Pakatan Rakyat iii. Dasar Pengukuhan Federalism Pakatan Rakyat iv.Dasar Memperkasakan Perkhidmatan Awam Pakatan Rakyat

Oleh kerana tarikh PRU ke-13 masih sukar diramalkan oleh pundit politik, maka Manifesto Pakatan juga perlu dirahsiakan sehingga ke satu tarikh yang ditentukan kemudian.

Kami bersedia mendengar maklum-balas dari semua pihak agar perumusan penyelesaian kami dalam Tawaran Jingga dan Manifesto PR nanti akan menjadi lebih mentap dan padu lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Jingga Pakatan Rakyat.

Konvensyen Pakatan Rakyat kali-3.

Alor Star, Kedah.

14 hb Januari 2012.


[1] ‘Political Economy’ bukanlah bidang baru bahkan hampir sama usia dengan bidang ekonomi itu sendiri. Adalah diakui bahawa penulisan ‘seminal-agung’ Adam Smith – Wealth of Nation (1776) itu sendiri adalah bicara “Political Economy” begitu juga penulisan John Stuart Mill – Principles of Political Economy (1848).

[2] Tawaran ‘Negara Berkebajikan’ PAS memulakan paksi penyelesaian dengan premis peranan sebagai “Amanah kepada Tuhan sebagai Khalifah Allah di muka bumi dan menganggap segala perbuatan rasuah, salahguna kuasa dan ketirisan adalah perlakuan dosa terhadap Allah dan kerosakan (Al-Khusraan) yang dilakuan oleh Penguasa yang rakus sebagai perbuatan fasiq dan khianat terhadap Amanah Allah dan Mandat Rakyat.

| Print |

Konvensyen Pakatan Rakyat ke-3 capai matlamat

Aziz Muda, 14 Januari 2012

ALOR SETAR, 14 Jan: Para pemimpin Pakatan Rakyat berpuas hati dengan perjalanan Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 dengan menyifatkannya sebagai konvensyen yang menepati matlamat diadakan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, matlamat utama konvensyen itu diadakan antara lain untuk mendengar rintihan rakyat dan matlamat tersebut berjaya dicapai setelah acara mengenainya berlangsung dengan jayanya.

"Daripada maklumat yang diperolehi itu, kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membantu rakyat sehingga membolehkan Pakatan Rakyat ke Putrajaya," katanya pada sidang media yang diadakan bersama dengan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu, turut berpuas hati dengan perjalanan acara perbahasan perwakilan yang ternyata memberikan impuk yang besar bukan sahaja kepada gabungan pakatan itu, tetapi juga kepada rakyat.

Beliau juga berharap agar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan liwat pada 9 Januari lalu sebagai titik mula kebebasan kehakiman di negara ini.

"Kita berharap agar titik mula kebebasan kehakiman itu akan disusuli dengan kebebasan media dan kebebasan rakyat untuk bersuara bagi membolehkan rakyat memperolehi haknya untuk bersuara," tegasnya.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, perbahasan perwakilan memberikan input yang penting kepada rakyat untuk membantu Pakatan Rakyat melangkah ke Putrajaya.

"Rakyat amat perlu diberikan impuk yang penting bagi membolehkan Pakatan Rakyat ke Putrajaya bagi membolehkan rakyat menikmati kemerdekaan yang sebenar," tegasnya.

Manakala Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, konvensyen yang diletakkan di bawah Datuk Mahfuz Omar sebagai Pengerusi Induk kali ini bukan sahaja penting kepada Pakatan Rakyat, tetapi juga seluruh rakyat negara ini.

Beliau menjangkakan PRU Ke-13 mungkin akan menjadi pilihanraya paling kotor dalam sejarah pilihanraya di negara ini.

"Jadi tema konvensyen kali ini 'Bersihkan Malaysia' amat bertepatan kerana ia selaras dengan keinginan Pakatan Rakyat untuk ke Putrajaya bagi membolehkan negara ini bebas dari amalan politik kotor BN selama ini," tegasnya.

Turut hadir pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Kerajaan perlu dedah daftar pengundi warga asing

Aziz Muda, 14 Januari 2012

ALOR SETAR, 14 Jan: Seluruh rakyat negara ini diseru menolak politik kotor yang diamalkan di negara ini oleh para pemimpin Umno BN dengan menukar BN kepada Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 akan datang.

Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga sehubungan itu menyeru seluruh rakyat negara ini menolak segala ciri yang menyumbang kepada politik kotor termasuk menolak pemimpin-pemimpin yang tidak berintegriti.

Menurutnya, selain itu, orang ramai juga perlu menolak pemimpin-pemimpin yang rasif dan pasif dan pemimpin yang mementingkan diri berbanding kepentingan rakyat.

Berucap pada Acara Suara Nurani Rakyat pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim Mu"adzam Shah, di sini, hari ini, beliau berkata, pentadbiran Kerajaan BN ternyata gagal mencegah rasuah, malah indeks rasuah di negara ini terus meningkat dari kedudukan di tangga ke-10 ke tangga ke-6 tahun lalu.

"Aset negara yang telah dikeluarkan ke luar negara juga cukup tinggi sehingga USD291 bilion tahun lalu dan pengeluaran aset secara haram ini mestilah dihentikan," katanya.

Beliau turut mendesak pihak kerajaan dan menteri terbabit mendedahkan akaun petronas untuk pengetahuan seluruh rakyat.

Begitu juga dengan data-data berhubung pendaftaran warganegara asing sebagai pengundi di negara ini yang mesti didedahkan oleh menteri yang bertanggungjawab.

"Kerajaan BN juga mestilah melaksanakan lapan tuntutan Bersih terlebih dahulu sebelum mengadakan PRU Ke-13," ujar beliau.

Kesemua tuntutan itu telah dinyatakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen baru-baru dan ia mestilah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum pilihanraya diadakan.

"Kalau tidak tak ada gunanya kerajaan menubuhkan jawatankuasa itu," tegas beliau.

PAS harap polis bendung jenayah kejam

Khairil Abdul Rahim, 14 Januari 2012

KUALA LIPIS, 14 Jan: PAS Pahang berharap polis berbuat sesuatu bagi membendung jenayah pembunuhan kejam yang semakin kerap berlaku di daerah ini sekarang.

Setiausahanya, Roslan Zainal berkata, usaha itu penting bagi mengelakkan tanggapan umum bahawa daerah kecil seperti Kuala Lipis seolah-olah tidak selamat lagi berdasarkan jenayah termasuk yang meragut nyawa semakin berleluasa.

Roslan yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Lipis, mengulas peristiwa ngeri seorang wanita yang baru enam bulan mendirikan rumah tangga, Nornadia Abu Bakar, 21, yang dibunuh kejam di rumahnya di Kampung Sungai Gemang dekat sini, kelmarin.

(Gambar: Keadaan dapur rumah mangsa.)

Peristiwa tragis itu turut disiarkan akhbar-akhbar harian.

Polis mengesahkan, dalam peristiwa tersebut mangsa maut akibat dikelar di leher dan di tikam bertubi-tubi di perut menggunakan senjata tajam kemudian dibiarkan tertiarap di bahagian dapur rumahnya tanpa seurat benang sehinggalah ditemui suaminya.

Lebih memilukan, keadaan di dalam rumah mangsa dipenuhi dengan percikan darah yang memenuhi ruang tamu hingga ke dapur.

“Saya bagi pihak PAS Lipis mengucapkan takziah, mengharapkan bersabar dan pasrah dengan takdir kepada suami mangsa (Ahmad Khairu Ab Raman, 27) dan memahami trauma bukan kepalang yang dihadapinya.

“Saya berharap agar pembunuh yang tidak berhati perut itu dapat diberkas dengan segera dan nasib Allahyarhamah dapat dibela,” katanya.

Roslan turut meminta pihak berkuasa yang menjaga keselamatan awam dapat mencari mekanisme tertentu supaya jenayah kejam dapat dikurangkan atau ditangani dengan segera.

Tambahnya, jiran tetangga juga mesti peka dan wajib ambil tahu suka duka jiran masing-masing dan bersedia membantu sekiranya terdengar jeritan atau bunyi pelik datang dari kawasan jiran.

“Kita tidak mahu gambaran kepada umum ialah negara kita sekarang seolah-olah dalam keadaan tak selamat kerana tiap-tiap hari ada saja pembunuhan berlaku. Penjenayah seolah-olah tidak takutkan hukuman yang ada atau tidak serik.

“Di daerah ini saja kita dengar hampir setiap bulan berlaku jenayah kejam pembunuhan, kecurian dan itu belum termasuk lagi kemalangan maut jalan raya, sedangkan Lipis daerah kecil saja,” katanya.

Rakyat mahu ‘Malaysia tanpa Umno’

Harakahdaily, 14 Januari 2012

ALOR SETAR, 14 Jan: Negara sedang berdepan dengan krisis keyakinan terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib yang gagal melaksanakan transformasi politik dan ekonomi.

“Justeru itu, rakyat mahu ‘Malaysia Tanpa Umno’,” ujar Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Sehubungan itu, tegasnya Pakatan Rakyat bersedia untuk menggalas amanah itu melalui Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan Buku Jingga.

“Insya Allah rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan akan mengusir Umno dan Barisan Nasional dari Putrajaya,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-3 di sini, pagi tadi.

Jelasnya, reformasi adalah agenda pembebasan rakyat yang juga agenda memartabatkan ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan pemikiran rakyat.

Katanya, agenda reformasi akan memecahkan mitos kononnya hanya Umno sahaja yang boleh memerintah dan memberikan kesejahteraan untuk rakyat.

“Insya Allah, di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat nanti, kita akan kembali memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani oleh negara serantau dan antarabangsa,” jelasnya.

Beliau menambah, Pakatan Rakyat sudah ada Dasar Bersama yang menjadi teras perjuangan, Buku Jingga dan Belanjawan Pakatan Rakyat yang akan menjadi agenda Malaysia baru milik rakyat.

Pakatan Rakyat juga, ujarnya sudah ada kepimpinan yang dinamik, berdaya saing serta teruji kesetiaan dan kebolehannya untuk mentadbir negara serta beramanah seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Hadi Awang dan YAB Datuk Seri Azizan Razak.

“Kita mempunyai pemimpin yang berkaliber seperti Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang. Malah, sudah pasti kita mempunyai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai karisma dan pengalaman serta telah dibersihkan dari fitnah dan konspirasi jahat,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat berkonvensyen buat kali ketiga hari ini di saat suara rakyat menuntut reformasi dan perubahan menyeluruh semakin nyaring.

Katanya, konvensyen ini menghimpunkan anggota dan pimpinan Pakatan Rakyat yang komited dan mewakili aspirasi rakyat yang mahu melihat muafakat ini terus dipertahankan dan diperkukuhkan atas prinsip dan Dasar Bersama yang telah disepakati dalam kerangka besar agenda perjuangan Pakatan Rakyat.

“Konvensyen ini membuktikan perpaduan Pakatan Rakyat semakin kukuh dan mantap. Pakatan Rakyat semakin kebal dengan asakan parti ekstrimis Umno yang kini berada di ambang senjakala,” katanya lagi.

Konvensyen ini, katanya adalah pecutan terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke 13. Pakatan Rakyat perlu bersedia untuk menggalas aspirasi rakyat yang menuntut sebuah negara Malaysia yang adil dan sejahtera untuk semua rakyat.

“Justeru itu, kita bertanggungjawab untuk bersihkan Malaysia daripada gutter politics dan amalan kronisme serta amalan membudayakan rasuah yang diterajui oleh Umno,” ujarnya.

Tegasnya, Pakatan Rakyat perlu memimpin rakyat maju ke hadapan dengan persaingan dasar kepedulian rakyat dan mengangkat martabat rakyat Malaysia.

Pakatan Rakyat, katanya tidak lagi membicara persoalan untuk menafikan majoriti dua pertiga.

“Hari ini kita yakin bahawa Pakatan Rakyat berpotensi untuk membentuk kerajaan pusat yang baru selepas PRU ke 13. Cita-cita ini bukan lagi diluar pencapaian Pakatan Rakyat,” katanya.

Pakatan Rakyat, tambah beliau merupakan parti yang mempunyai substance, punyai kekuatan dan keupayaan untuk mentadbir di Putrajaya.

Rakyat, katanya sudah tidak sabar lagi untuk melihat pemerintahan demokrasi tulen di Putrajaya berteraskan rule of law dan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya lagi, rakyat mahu Putrajaya diterajui oleh pemimpin yang bersih dan menyayangi rakyat tanpa mengira ras, agama atau warna kulit.

Tambahnya, rakyat mahu Pakatan Rakyat segera membanteras rasuah, menghapuskan keborosan dan ketirisan yang akan memufliskan Malaysia menjelang 2020.

“Hutang negara telah mencecah lebih RM450 billion atau 54% daripada KDNK. Hutang ini akan dibebankan kepada rakyat dan generasi akan datang,” katanya.

Setelah itu, ujarnya rakyat tambah derita dengan kenaikan harga barang dan dasar cukai barangan dan perkhidmatan yang bakal diperkenalkan oleh Umno.

Menurutnya lagi, 40% daripada rakyat Malaysia masih hidup dengan pendapatan isi rumah di bawah RM1,500 sebulan.

Beliau menambah, anak muda memerlukan pekerjaan dan kadar upah yang manusiawi manakala mahasiswa menuntut kualiti pendidikan yang menjamin kebebasan akademik.

Perkhidmatan awam, ujarnya perlu pemerkasaan melalui latihan dan struktur gaji yang setimpal.

“Kita menolak Skim Baru Perkhidmatan Awam yang tidak menjaga kebajikan majoriti penjawat awam,” katanya.

Pakatan rahsiakan dahulu kandungan manifestonya

Harakahdaily, 14 Januari 2012

ALOR SETAR, 14 Jan: Pakatan Rakyat membuat keputusan akan merahsiakan dahulu kandungan manifesto pilihan raya ke 13 mereka sehinggalah Parlimen dibubarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Tawaran Jingga iaitu manifesto Pakatan Rakyat, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, langkah ini terpaksa diambil ekoran tanda-tanda pilihan raya ke 13 masih kabur.

Beliau mengumumkan dalam konvensyen Pakatan Rakyat ke 3 hari ini.

Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3 bertemakan 'Bersihkan Malaysia' bermula di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar, bermula hari ini, 14 Januari 2012.

Konvensyen diadakan pada saat Pakatan Rakyat berada di landasan terbaik dan kukuh, selepas semua tohmahan yang melanda kepimpinannya, sama ada yang bersifat peribadi, mahu pun serangan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, dapat ditepis dengan sebaik-baiknya.

Sebelum pembebasan Datuk Seri Anwar dari fitnah Liwat 11, Pakatan Rakyat merancang untuk melancarkan manifesto bersama mereka malam ini.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah Konvensyen ini yang juga Exco kerajaan negeri Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dalam satu sidang medianya baru-baru ini.

KLIK UNTUK SIARAN LANGSUNG KONVENSYEN PAKATAN KE 3

Tiada ulasan: