Sabtu, 28 Januari 2012

YANG BAGUS..TIDAK MINTA JAWATAN...SYAIDINA UMAR R.A MENGATAKAN JANGAN LANTIK ORANG YANG MEMINTA JAWATAN...HANYA ALLAH SAJA YANG TAHU..BAIK DAN DIGALAKKAN DALAM KERJA DENGAN IKHLAS...

PKR terus kesal Najib enggan sahut debat

Harakahdaily, 28 Jan 2012
PETALING JAYA, 28 Jan: PKR menyatakan rasa amat kesal terhadap keengganan pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyahut seruan Datuk Seri Anwar Ibahim untuk berdebat secara terbuka.

Bagi Dr Muhammad Nur Manuty (gambar) Ketua Penerangan PKR, alasan yang diberikan begitu memual dan menjengkelkan.

Sikap ini menampakkan betapa purbanya cara berfikir kepimpinan parti ini dan betapa gentarnya UMNO untuk berbicara secara bersemuka mengenai hak rakyat, katanya.

Anwar mengajak Najib berdebat mengenai beberapa isu kritikal semasa – politik, ekonomi dan kebajikan rakyat - yang sedang hangat diperkatakan kini.

Namun sehingga kini Najib dikatakan tidak bersedia.

Bagi Dr Muhammad Nur, sikap ini jelas menunjukkan Umno belum berhenti dari muslihatnya untuk terus memperbodoh dan menindas minda rakyat.

Dengan ini, katanya, kuasa memerintah negara terus kekal di tangan dan pelbagai penyelewengan mudah diteruskan tanpa sekatan.

"Apa yang kita pasti, sikap ini adalah manifestasi dari lesunya daya fikir dan intelek kepimpinan mereka dalam menghadapi realiti politik semasa dunia yang mengamalkan budaya telus dan terbuka," katanya.

Sesungguhnya, PKR ingin menegaskan pendirian bahawa debat antara pemimpin adalah tradisi mana-mana kepimpinan silam bagi semua tamadun, katanya.

Di dalam Al Quran sendiri Allah SWT menjelaskan:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (An-Nahl: 125).

Hakikatnya, budaya debat adalah amalan lumrah para ilmuan dan kepimpinan silam. Melaluinya, kebenaran akan lebih terserlah dan “insight” baru dapat dicernakakan demi kepentingan negara dan rakyat.

Lebih penting, kata beliau, rakyat diberi peluang menilai secara empirikal dan adil akan ketrampilan dan keikhlasan kepimpinan yang akan diberikan amanah mengurus negara pada masa depan.

"Inilah demokrasi sebenar yang dituntut oleh rakyat.

"Kitapun merasa aneh mengapa pula pihak DS Najib tidak punyai keberanian menyahut cabaran ini. Sedangkan, beliau sendiri dikatakan selalu mempamirkan gaya pidato yang tidak kurang hebatnya semasa berucap di khalayak umum di mana-mana," katanya lagi dalam kenyataan itu.

Beliau sebenar lebih beruntung kerana dikelilingi ratusan pegawai dan pembantu yang bersiap siaga dengan bekalan idea dan maklumat jika diperlukan, tambah Dr Muhamad Nur.

Sesungguhnya, tambah beliau, PKR merasa kesal akan betapa hina dan rendahnya pandangan Umno/BN terhadap rakyat Malaysia yang bersifat majmuk ini.

"Selepas memerintah negara selama 54 tahun, jika benarlah rakyat masih belum mampu menerima debat kepimpinan secara terbuka, bukankah ini merupakan bukti kegagalan UMNO/BN sendiri?" soalnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapatan, pemimpin yang enggan bersemuka dan bertentang mata memberikan persepsi ketidakikhlasan dan ketidakjujuran.

Ia mempamirkan bahawa ada rahsia yang mahu disorokkan. Apakah sebenarnya mahu disembunyikan dari rakyat itu? Umno/BN wajib menjelaskannya, pinta beliau.

Saya tak sangka dilantik Exco - Dr Ahmad Yunus

Nazri Abdullah, 28 Jan 2012
SHAH ALAM, 28 Jan: Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi (gambar) menjelaskan, beliau sehingga kini masih terkejut kerana tidak menjangkakan dirinya akan dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

Dalam satu temubual dengan Harakahdaily di pejabatnya semalam, beliau bagaimanapun berkata, perlantikan baru itu diterimanya sebagai amanah besar untuk dilaksanakannya.

"Saya memang tak jangka akan dilantik sebagai exco menggantikan Datuk Hasan Ali. Di peringkat PAS negeri pun asalnya letak nama (Pesuruhjaya) Dr. Rani (yang juga Adun Meru).

"Lewat petang 17 Januari baru saya diberitahu bahawa saya dipilih dan esok kena angkat sumpah Exco," katanya menceritakan suasana sehari sebelum tarikh angkat sumpah.

Dr Ahmad Yunus menduduki pejabat Exco kerajaan negeri di tingkat 2 bangunan SUK Selangor yang diduduki oleh Datuk Dr Hasan Mohd Ali sebelum ini.

Beliau yang baru memasuki pejabat itu sedang menyusun kakitangannya.

Sebagai Exco, beliau diperuntukkan beberapa kakitangan termasuk pegawai dasar, setiausaha di samping pegawai tadbir.

Dr Ahmad selaku profesional dalam bidang perubatan dari Universiti Malaya kelihatan kemas dengan tubuh yang tegap sangat mesra melayan tetamu.
Percakapannya lancar dan kemas memperlihatkan beliau berpotensi besar menjadi pemimpin kanan PAS selepas ini.

Dengan memegang portfolio Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus bakal berhubung selalu dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Yang menariknya, kedua-dua mereka adalah dalam satu batch di Universiti Malaya.

Menurut Dr Yunus yang sebelum ini bertugas sebagai Pembantu Exco Belia dan Sukan di bawah Menteri Besar, beliau pada mulanya juga tidak diberitahu apa portfolio yang akan dipegang selepas dilantik menjadi Exco.

Sehinggalah ujarnya pada satu sidang media selepas mesyurat Exco pada hari angkat sumpah tersebut, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan beliau diamanahkan memegang portfolio Belia, Sukan dan Adat Resam Melayu.

Khalid pada sidang media tersebut juga, turut mengumumkan portfolio Infrastruktur dan Hal Ehwal Agama Islam yang dipegang Hasan Ali sebelum ini dipegangnya sendiri.

Ditanya apa perasaan beliau setelah menyedari tidak diberi tanggungjawab memegang portfolio agama, Dr Yunus  yakin ianya keputusan terbaik yang dibuat atas kebijaksanaan Menteri Besar.

"Kita tak pernah pun untuk merebut jawatan. Saya tak rasa langsung sama ada cemburu atau sebagainya kerana bagi saya apapun yang dipertanggungjawabkan adalah satu amanah.

"Saya tahu sudah tentu Menteri Besar ada strategi dan kebaikan tertentu," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Dr Yunus berkata, kapasiti Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar juga diyakini mampu memberi kesan lebih baik dalam urusan agama di negeri itu ekoran hubungannya dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) serta pihak istana.

Biarpun portfolio agama tidak dipegang oleh PAS secara langsung, namun kata Dr Yunus, peranan PAS dalam portfolio itu masih besar ekoran perlantikan Adun Bangi Dr. Shafie Abu Bakar sebagai Pembantu Exco Agama yang dipegang Menteri Besar itu.

"Walaupun exco agama tidak dipegang oleh PAS, tapi kita masih boleh beri input kepada Menteri Besar.

"Menteri Besar sendiri pun kata, apa-apa isu berkaitan agama, beliau sendiri akan rujuk kepada PAS," katanya.

Noh gagal jelaskan isu sebenar NFC

Harakahdaily, 28 Jan 2012
SHAH ALAM, 28 Jan: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar didakwa gagal menjelaskan bagaimana Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menggunakan wang RM250 juta milik rakyat.

"Hujah yang beliau bangkitkan gagal menjawab isu pokok iaitu salah guna dana dan pertanggungjawaban dalam menggunakan dana RM250 juta menggunakan wang rakyat untuk projek ini," kata Faekah Husin, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor.

Faekah dalam kenyataannya berkata, Noh gagal menggunakan publisiti meluas untuknya menggilap diri sebagai bakal MB Selangor.

Menurut Faekah, Noh Omar sejak akhir-akhir ini berjaya mendapat liputan meluas media cetak dan elektronik  dan dikatakan berkait rapat dengan impian beliau untuk menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya Barisan Nasional (BN) merampas semula pentadbiran Negeri Selangor.

Semalam, sekali lagi beliau mendapat liputan hebat dengan memberi penjelasan tehadap skandal salah guna wang rakyat dalam projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang melibatkan dana RM250 juta.

"Namun agak mengecewakan apabila Noh Omar gagal memanfaatkan peluang ini untuk mempamerkan kredibiliti dan integriti beliau sebagai pemimpin yang baik," kata Faekah.

Sebaliknya, publisiti itu telah membongkar betapa dangkalnya pemahaman beliau selaku menteri yang dipertanggungjawabkan terhadap isu mega tersebut.
Menurut Faekah, Noh menggunakan alasan-alasan teknikal untuk mengatakan projek RM250juta NFC ini tidak gagal – meskipun begitu beliau tidak berani pula untuk mengatakan ianya berjaya, memadai dengan “tidak gagal”.

"Sebagai Menteri, mustahil beliau tidak memahami isu sebenar NFC," dakwa Faekah.

Katanya, kalau pakcik-pakcik tua di kedai-kedai kopi pun faham isu pengkhianatan wang rakyat ini masakan Noh Omar selaku menteri tega buat-buat bodoh dengan menyimpang dari isu sebenar.
(Faekah [kanan] dan Noh Omar)

Hujah yang beliau bangkitkan gagal menjawab isu pokok iaitu salah guna dana dan pertanggungjawaban dalam menggunakan dana RM250 juta menggunakan wang rakyat untuk projek ini, katanya.


Tiada kredibiliti

Bagi beliau, rakyat jelas melihat Noh sebagai seorang menteri yang tiada kredibiliti dan integriti.

Seperti mana yang digariskan oleh Institut Integriti Negara –institusi yang diwujudkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sendiri – sesungguhnya integriti seorang pemimpin akan terjejas jika beliau “cakap tak serupa bikin”, kurang berteladan dan lemah iltizam.

Katanya, Noh mendabik dada kononnya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat tetapi membiarkan pembaziran dan salah guna kuasa yang berlaku di bawah portfolio pertaniannya - cakap tak serupa bikin.

Noh, kata Faekah, seolah-olah menghalalkan perkara jahat ini berlaku - kurang berteladan.

Beliau tidak mempunyai kekuatan diri untuk secara berani membicarakan isu rasuah dan salah guna kuasa dan seterusnya mengambil langkah-langkah perlu bagi mengatasinya - lemah iltizam, katanya.

"Dengan tiga kelemahan ketara tersebut, saya cadangkan Noh Omar kembali meminta nasihat daripada Institut Integriti Negara apakah elemen yang perlu ada untuk menyelenggara dana amanah rakyat.

"Lebih elok lagi jika beliau mengambil kursus perjawatan mahupun peperiksaan integriti kelolaan institut tersebut agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan matlamat institut tersebut ditubuhkan.

"Jika tidak, lupakan saja cita-cita mahu menjadi jaguh di Selangor ataupun terpilih semula di dalam PRU13 nanti kerana bimbang negara ini menjadi kucar-kacir seperti yang berlaku terhadap NFC," katanya tegas.

Presiden PAS ziarahi pusara Syed Mohamad

Harakahdaily, 28 Jan 2012

(Presiden PAS bersama isteri, anak dan rombonganya berdoa di tanah perkuburan Allahyarham Syed Muhamad selepas solat jenazah untuk beliau)

GOMBAK, 28 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama isteri dan anaknya menziarahi pusara petugas Pejabat Agung PAS, Syed Mohamad Syed Hassan yang meninggal baru-baru ini.

Beliau meluangkan masa kira-kira 15 minit dengan solat jenazah di samping berdoa untuk roh Allahyarham.

Turut berada di tanah perkuburan itu adalah isteri Allahyarham, Puan Saribas Salleh dan anak perempuan mereka.

Syed Mohamad Syed Hasan, 62, meninggal dunia 13 Januari lepas di rumahnya.

Beliau yang mengalami batuk sejak malam meninggal di rumahnya di Taman Melewar kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketika itu, Abdul Hadi berada di luar negeri.

"Dia seorang yang hebat bersama PAS sejak awal 1970an selepas pulang dari belajar di Indonesia bersama rakan-rakanya iaitu Ustaz Wan Jamil Mahmud (bekas MP Tumpat) dan Bunyamin Yaakub (bekas MP Bachok).

"Allahyarham bukan sahaja bertugas di Pejabat Agung tetapi juga bergerak seluruh negara dalam perkhidmatannya kepada jamaah," kata Abdul Hadi kepada Harakahdaily ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Taman Batu Muda dekat sini.

Turut serta bersama Abdul Hadi di tanah perkuburan adalah anaknya, Mohd Kholil Abdul Hadi dan isteri, Datin Seri Hajjah Zainab.

Tiada ulasan: