Rabu, 18 Januari 2012

TAKLIK MUDAH..BERILMU..BERAMAL ATAS ILMU..ZUHUD..AMANAH DLL...JIKA MASUK PAS..PAS KITA..JIKA BELIAU UMNO..UMNOLAH..TUMPANG ILMUNYA...

Saya dengar lain, akhbar tulis lain - Nik Aziz

Rizal Tahir, 18 Jan 2012

KOTA BHARU, 18 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan dakwaan terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim penyokong 'gay' adalah karut.

Katanya, pihak media masih belum serik membuat fitnah terhadap Anwar walaupun usaha yang sama menerusi kes liwat telah tersungkur.

Katanya, apa yang beliau dengar kenyataan Anwar berhubung undang-undang gay berlainan dengan apa yang tersiar dalam media.

“Saya dengar Datuk Seri (Anwar) sebut benda lain tetapi surat khabar tulis benda lain.

“Sudahlah tuduhan liwat baru-baru ini memakan masa berpuluh tahun berakhir dengan sekelip mata, kali ini tak serik lagi nak buat tuduhan lain pula,” ujarnya.

Beliau seterusnya mengingatkan pihak lawan untuk menyerang parti yang lain perlu menyerang dasar dan bukan batang tubuh atau peribadi.

“Menyerang manusia ini dipanggil mengumpat, tetapi politik ini diserang dasar oleh pihak lawan dan bukannya peribadinya.

“Serang dasar parti yang dipegang oleh Datuk Seri, itu perkara lain, ini tidak serang peribadi, semuanya kerja tak cerdik,” ujarnya lagi.

Sebelum itu,Tuan Guru yang juga Menteri Besar Kelantan menerima kunjungan Menteri Pembangunan Pusat Bandar Kampung Baru dan Kewangan Negara China, Zhao Guang Qing, di pejabatnya tengah hari tadi.

Perlantikan Dr. Yunus kukuhkan Pakatan Rakyat Selangor

Harakahdaily, 18 Jan 2012
SHAH ALAM, 18 Jan: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan Dr. Ahmad Yunus yang dilantik sebagai Exco menggantikan Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali akan mengukuhkan lagi kesepaduan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Sambil merakamkan ucapan tahniah di atas perlantikan itu, ketuanya Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan juga berkata dewan itu sedia memberi kerjasama kepada Dr. Yunus dalam usaha mempertahankan negeri dari dirampas Umno BN.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merakamkan ucapan tahniah kepada YB Dr. Ahmad Yunus di atas perlantikan ini dan mendoakan semoga beliau akan melaksanakan amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dan seluruh jentera pemuda di semua peringkat akan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Ucapan penghargaan juga dirakam kepada ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana telah memperkenankan perlantikan Dr. Yunusi dari PAS sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang baru.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat bersyukur kerana proses perlantikan berjalan dengan lancar dan penuh muhibbah," katanya.

Dr Ahmad Yunus Hairi, Adun Sijangkang mengangkat sumpah sebagai Exco kerajaan negeri Selangor yang baru bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali pagi tadi.

Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor diadakan Bilik Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Ekoran perlantikan itu juga, kerajaan negeri Selangor membuat penyusunan semula portfolio Exconya.

Melalui perubahan tersebut, Dr Yunus akan memegang portfolio Adat Resam Melayu serta portfolio Belia dan Sukan.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pula akan memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Asas yang dipegang Hasan Ali sebelum ini.

Sebelum ini, Dr Yunus adalah Pembantu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Sumber Manusia yang Exconya adalah Dr Halimah Ali.

Dr Yunus juga menjaga urusan belia negeri Selangor yang portfolionya dipegang oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri.

Turut sama dalam kunjungan berkenaan, Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan bekas anggota Dewan Negara, Ahmad Rusli Ibrahim.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, BN sendiri ternyata gagal dalam menangani isu homoseksual ini.

Malah beliau mempersoal, apa tindakan kerajaan terhadap aktiviti terkutuk itu yang aktif beroperasi di sekitar Chow kit dan Lorong Haji Taib.

"Kalau benar kerajaan BN bersungguh menentang gay, kenapa di Lorong Haji Taib ini bersepah aktiviti ini.

"Saya nak katakan bahawa, undang-undang yang sedia ada ini gagal menangani permasalahan ini," katanya.

Felda guna polis bantuan halang Anak ke Perasu

M Faqih | Foto Rizal Tahir, 18 Jan 2012

GUA MUSANG, 18 Jan: Peneroka di Felda Perasu dekat sini terkejut apabila melihat ramai anggota polis bantuan Felda dikerah berkawal di rancangan kemajuan tanah (RKT) terbabit.

Mereka mendakwa sejak kelmarin anggota polis bantuan terbabit dilihat berada di kawasan tersebut.

Malah kata peneroka ramai anggota polis bantuan berkenaan didatangkan khas dari Felda Kechau di Pahang bagi membantu anggota sedia ada di kawasan itu.

“Saya melihat ada lima kenderaan jenis pacuan empat roda dinaiki anggota polis bantuan terbabit termasuk yang mempunyai anjing pengesan.

“Seolah-olah rusuhan akan berlaku di sini,” kata sekumpulan peneroka ketika ditemui di sebuah kedai kopi di Felda Perasu petang semalam.

Rupa-rupanya tambahan anggota polis bantuan Felda didatangkan khas ke Felda Perasu bagi menghalang Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mengadakan pertemuan dengan peneroka di kawasan itu.

Dua laluan utama ke Felda Perasu dikawal ketat oleh anggota polis bantuan Felda. Setiap kenderaan yang memasuki kawasan itu disekat dan menanyakan apa tujuan kedatangan mereka.

Lebih aneh lagi program Anak bersama peneroka Perasu sudah mendapat kelulusan polis melalui permit yang dikeluarkan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah.

Bagaimanapun hasil rundingan Pengerusi Badan Bertindak Pewaris Bumi Wilayah Kesedar (Waris), Hamdan Jusoh dan Penyelia Parlimen Gua Musang, Abdullah Hussin serta peneroka hanya beberapa kenderaan termasuk dinaiki Pengerusi Anak, Mazlan Aliman dibenarkan masuk.

Sekatan tersebut menyebabkan perjumpaan dengan peneroka dan jamuan laksa yang sepatutnya diadakan jam 3 petang terlewat.

“Saya tidak pasti apa sebenarnya laporan dihantar pihak pengurusan Felda Perasu kepada pihak atasan sehingga dikerah begitu ramai anggota polis bantuan ke sini.

“Tidak pernah berlaku lagi kawalan yang begitu ketat dibuat, seolah-olah akan berlaku rusuhan di sini,” kata seorang peneroka yang enggan mendedahkan identitinya.

Mazlan berkata, beliau bersama rombongan Anak dan Waris datang sekadar untuk bertemu mata dengan peneroka bagi menyelami masalah dihadapi mereka.

Lagi pun kata beliau, perjumpaan itu mendapat kebenaran pihak polis melalui permit yang dikeluarkan, namun Felda pula cuba menghalangnya.

“Saya datang ke sini dijemput peneroka tempatan bagi berbincang dengan mereka. Ia tidak lebih daripada itu,” ujarnya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan Kelantan mewujudkan pasukan khas (task force) yang diseliakan anggota Exco berkaitan Felda dan Kesedar.

Menurutnya pasukan khas seperti itu sudah diwujudkan di Selangor dipengerusikan seorang anggota Exco berperanan menangani masalah yang dihadapi peneroka Felda.

Kedatangan Mazlan dan rombongan Anak juga dikecam melalui beberapa sepanduk yang digantung di kawasan Felda terbabit dipercayai didalangi pihak tertentu.

Mana ada pemimpin seperti Nik Aziz sekarang

Aziz Muda, 18 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 18 Jan: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diakui sebagai pemimpin terbaik di seluruh dunia masa kini, dengan penilaian terhadap sikap dan prestasinya yang memuaskan dalam pelbagai sudut.

Lebih membanggakan apabila sikap dan prestasi yang memuaskan itu berjaya dipertahankan oleh Nik Aziz sejak mula menjadi Menteri Besar Kelantan sehingga kini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan sikap dan prestasinya yang membangggakan itu menjadikan orang yang seperti Nik Aziz amat sukar ditemui di dunia ini.

"Mana ada pemimpin seperti Nik Aziz di dunia ini sekarang? Dah 20 tahun lamanya menjadi Menteri Besar, tapi Tuan Guru Nik Aziz tetap tidak ada tanah, tak ada balak, tak ada wang yang banyak dan rumah mewah," katanya.

Kalau orang lain, menurut beliau, setelah 20 tahun menjadi menteri besar atau memegang tampuk kuasa, pasti akan mengambil kesempatan untuk mengaut kekayaan diri dan keluarga seperti yang sering berlaku di seluruh dunia.

Katanya, kemunculan Mursyidul Am PAS itu sebagai menteri besar yang bersih berpunca dari potensi dirinya sendiri selaku manusia yang kuat berpegang kepada agama, guru agama dan sejajar dengan penglibatannya dengan perjuangan bersama parti Islam atau PAS.

"Tanpa pegangan kuat kepada agama, tidak akan lahir kekuatan iman, kemantapan rohani sehingga menjadikan Nik Aziz muncul sebagai pemimpin yang bersih dari rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai unsur negatif lain," tegasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut berbangga kerana Menteri Besar Kelantan dari PAS itu bukan sekadar muncul sebagai pemimpin bersih dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa, tetapi juga dapat memimpin serta mentadbir kerajaan dengan cemerlang.

"Walaupun ada orang kata ustaz atau guru agama tak boleh jadi pemimpin kerajaan, tetapi Nik Aziz telah membuktikan bahawa guru agama juga layak, malah lebih berkelayakan menjadi pemimpin," tegasnya yang juga Ketua Umum PKR.

Ketika berucap pada acara Ucapan Penggulungan Pimpinan pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Alor Setar, Kedah, Sabtu lalu, beliau turut menyebut perkara itu dan disambut tepukan gemuruh daripada lebih 2,000 perwakilan.

Dengan kecemerlangan sikap dan prestasi yang ditunjukkan oleh Nik Aziz itu, tegasnya, ia sekali gus boleh mematikan dakwaan pihak-pihak tertentu yang sering mempertikaikan kemampuan golongan agama atau ulama menjadi pemimpin.

"Kini setelah 20 tahun menjadi menteri besar, Nik Aziz ternyata lebih berkebolehan menjadi pemimpin berbanding pemimpin-pemimpin dari Umno BN sehingga menjadikan Kelantan jauh lebih baik setelah berada di bawah PAS atau Pakatan Rakyat berbanding di bawah BN," tegasnya.

Beliau turut memuji sikap dan prestasi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Kesemua Menteri Besar dan Ketua Menteri yang berada di bawah Pakatan Rakyat ternyata mempunyai sikap yang baik, bebas dari rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya sehingga menjadikan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat jauh lebih baik daripada yang berada di bawah BN," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Beliau yakin prestasi baik yang ditunjukkan oleh kesemua Menteri Besar dan Ketua Menteri yang memegang tampuk pemerintahan di negeri-negeri yang berada di bawah pakatan itu akan dapat dipertahankan oleh kesemua mereka yang terbabit, selaras dengan perjuangan Pakatan Rakyat untuk membela rakyat, bukan untuk mengaut kepentingan peribadi.

Tiada ulasan: