Selasa, 31 Januari 2012

BERSIKAP ADIL..TELUS...BERANI...MEMANG DITEKAN DALAM ISLAM..TAKUT TINDAKAN MANUSIA ADALAH SYIRIK..YANG SALAH NYATAKAN SALAH...YANG BETUL KATAKAN BETUL...

Shafri, wartawan Harakah pergi untuk selama-lamanya

Harakahdaily, 31 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 31 Jan: Harakah kehilangan seorang warganya apabila wartawan Mohamad Safri Samsudin, 42 tahun, meninggal dunia jam 5.37 petang ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Shafri (gambar) yang mula koma pagi tadi disahkan mengidap barah Ahad lepas oleh HKL.

Beliau meninggalkan lima anak yang berumur antara lapan hingga 16 tahun dan isteri, Puan Sharifah Nurhayati Al Yahya.

Shafri meninggal di hadapan keluarga terdekatnya di samping rakan-rakan dari Harakah. Antara pemimpin PAS terakhir yang melawatnya adalah Datuk Husam Musa, Naib Presiden PAS jam 11.30 pagi tadi.

Petang semalam Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS juga sempat menziarahi beliau.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menziarahi sejurus jenazah Shafri dibawa keluar dari HKL, petang ini.

Shafri mula terasa letih-letih badan sejak dua bulan lalu. Akibatnya badan beliau kelihatan susut dengan cepat.

Beliau mendapatkan rawatan awal di Hospital Selayang namun doktor di sana mengesyaki beliau sakit batu karang dan memberikan jadual lawatan seterusnya pada 1 April depan.

Namun, minggu lalu Shafri terasa letih sangat dan berat badannya susut begitu mendadak.

Beliau kemudiannya membuat pemeriksaan di HKL dan telah dimasukkan ke wad di sana.

Dua hari lepas, 29 Januari, HKL mengesahkan beliau mengidap kanser yang bermula dari hati dan merebak dengan cepat ke seluruh badan.

Shafri dan Harakah


Safri mula bekerja sebagai perekabentuk dengan Harakah sejak tahun 1990an lagi namun berhenti selepas itu.
(Gambar: Saat akhir Safri bersama keluarga beliau di katil HKL)

Pada tahun 2008, Shafri menyertai kumpulan Harakah semula dengan bertugas sebagai perekabentuk di akhbar Siasah.

Pada awal tahun 2011, apabila Siasah tidak lagi bersama Harakah, beliau bertukar profesyen menjadi wartawan Harakah.

Ini kerana kebolehan dan minat beliau yang mendalam sebagai wartawan.

Sejak itu beliau banyak membuat tugasan di Parlimen dan juga sidang Dun di samping tugas-tugas kewartawanan yang lain.

"Shafri seorang wartawan yang berdedikasi dan fleksibel. Kami terasa benar kehilangannya. Saya bagi pihak semua Jamaah Pengarah Harakah dan kakitangan mengucapkan takziah kepada keluarga beliau," kata Datuk Kamarudin Jaffar, Pengarah Urusan Harakah.

Beliau juga memaklumkan, pihak Harakah menyumbangkan RM2,000 untuk membantu keluarga beliau.

Jenazah Shafri dijangka akan dibawa ke rumahnya di Kampung Batu 6, Gombak (belakang Anjung Rahmat) petang ini juga.

Jika prosesnya cepat, jenazah beliau dijangka akan diuruskan malam ini juga.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas beliau.

Alfatihah.

PAS Kelantan imbau detik cemas 1978

Aslani M, 31 Jan 2012
KOTA BHARU, 31 Jan: Mungkin tidak ramai mengetahui detik kejatuhan kerajaan PAS Kelantan pada 1978 kerana pengisytiharan darurat ekoran krisis politik yang berlaku pada 1977.

Bermula dari situlah politik darurat dilakukan pemimpin Umno tanpa mengadakan rundingan dengan kerajaan PAS.

Ekoran itu pada 13 Disember 1977 PAS disingkirkan daripada BN kerana enggan mematuhi Whip BN mengenai penggunaan Akta Darurat di Kelantan.

Pemerintahan darurat di bawah Majlis Gerakan Negara (Mageran) hanya ditarik balik pada 1 Januari 1978 dan pada 11 Mac 1978 kerajaan pusat mengisytiharkan pilihan raya negeri Kelantan.

Sebenarnya isu tersebut bermula lebih awal iaitu apabila Dato’ Asri Muda yang juga Yang Dipertua PAS ketika itu menerima pelawaan Tun Abdul Razak Hussin menyertai kerajaan campuran.

Ketika berada dalam kerajaan campuran, Umno menolak calon PAS dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan, sebaliknya menerima Dato’ Mohamad Nasir.

Kelibat Mohamad yang dilihat lebih mengikut telunjuk Umno dan Tengku Razaleigh Hamzah akhirnya mencetus undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, krisis terbabit menyebab berlaku perpecahan PAS.

Dan pada pilihan raya umum 1978 lahir pula Berjasa yang diketuai Mohamad dan bergabung dengan Umno (BN) menentang PAS. Bermula dari detik itulah kerajaan PAS Kelantan jatuh.

Oleh itu bagi mengenang semula detik-detik mendebarkan tersebut PAS Kelantan akan menganjurkan seminar Tiga Dekad Kebangkitan Semula PAS Kelantan (1978-2008) pada 10 Febuari ini.

Seminar tersebut akan diadakan di Pondok Pasir Tumbuh, tidak jauh dari bandar Kota Bharu.

Program bermula dengan kuliah perdana disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Empat kertas kerja juga dibentang pada seminar sehari tersebut. Anggota parlimen Pengkalan Chepa, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman membentang tajuk “Pengalaman Bersama BN dan Kekalahan Pada 1978”.

(ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Keputusan MB pegang Exco Agama molek - Presiden PAS

Nazri Abdullah, 31 Jan 2012
GOMBAK, 31 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) menyifatkan keputusan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memegang sendiri potfolio agama Islam di negeri itu sebagai sangat molek.

Menurutnya, dengan kelebihan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang selalu berjumpa dengan Sultan, ianya akan memudahkan lagi urusan agama di negeri itu.

"Kita kena tahu di Selangor agama di bawah bidang kuasa raja melalui majlis agama.

"Kita nampak Tan Sri Khalid ini orang paling rapat dengan Sultan, dia paling kerap jumpa Sultan, jadi moleklah orang paling acap jumpa sultan (pegang exco agama)," katanya dalam pertemuan dengan Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu yang dibangkitkan pihak tertentu khususnya Umno sebelum ini kononnya PAS dipinggir kerana tidak diberi portfolio agama kepada exco dari parti itu.

Isu tersebut timbul selepas Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik sebagai Exco Selangor menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

Bagaimanapun, portfolio hal ehwal Islam yang sebelum ini di bawah Hasan kemudiannya diletakkan dibawah menteri besar sendiri manakala Dr Yunus dilantik memegang portfolio Belia, Sukan dan Adat Melayu.

Peluang itu sekaligus digunakan Umno dengan mendakwa PAS hilang potfolio agama.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang berkata, siapapun yang dilantik sebagai ketua tidak penting, namun yang lebih penting adalah siapa yang akan menjalankan tugas exco itu.

Sebab itu katanya, PAS masih berperanan besar apabila Menteri Besar melantik Adun Bangi Dr. Shafie Abu daripada PAS sebagai Pembantu Exco Agama.

"Cumanya kita lantik siapa bawah Tan Sri Khalid, ini yang penting. Setengah orang kita ni tak nampak (siapa) yang kena buat kerja, nak tengok siapa (ketua).

"Lagipun pilihan raya umum dekat dah," katanya sambil menyifatkan keputusan itu juga sebagai strategi pilihan raya.

Polis mesti siasat dakwaan Shamsubahrin

Abdul Aziz Mustafa, 31 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 31 Jan: Polis bertanggungjawab menjelaskan adakah siasatan dibuat terhadap dakwaan bahawa pengerusi eksekutif Fidlot Nasional Corp (NFCorp) Datuk Mohamed Salleh Ismail cuba merasuah pihaknya, kata Datuk Mahfuz Omar.

(Shamsubahrin semasa dibawa ke mahkamah untuk didakwa)

Semalam, ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail, yang dituduh menipu Salleh, mendakwa bahawa suami Ketua Wanita Umno itu memaksa beliau merasuah polis bagi menutup skandal syarikat berkenaan.

"Setakat ini, Shamsubahrin hanya didakwa menipu Salleh dan tidak ada pun sebarang dakwaan mengenai percubaan merasuah polis," kata Mahfuz.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, bukan Shamsubahrin sahaja yang mendakwa sedemikian, malah Ahli Lembaga Penasihat SPRM, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas juga mendedahkan perkara yang sama melalui perkongsian emel bekas pelajar-pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCOBA).

Dalam emel berkenaan Megat Najmuddin menyatakan beliau bertemu dengan seorang peguam mewakili Salleh, ketika satu makan malam, 22 Disember lalu. Peguam berkenaan, kata Megat, memberitahu tentang perihal Salleh sebagai ‘kaki penipu’, ‘bermulut manis’ dan memberikan wang supaya Shamsubahrin, mempengaruhi polis dalam siasatan.

Megat Najmuddin kemudiannya mengesahkan memang beliau yang menulis emel tersebut.

Mahfuz juga mempersoalkan mengapa polis mengambil masa yang luar biasa lama untuk menyiasat percubaan untuk merasuah pihaknya "sedangkan yang hendak dirasuah itu adalah polis sendiri".

"Adakah terlalu sukar dan memakan masa, tenaga dan belanja yang banyak untuk menemui Shamsubahrin dan Megat Najmuddin mengenai perkara itu?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.

Beliau berharap polis bertindak segera terhadap tuduhan itu untuk memastikan pihak polis tidak dituduh cuba menyembunyikan sesuatu dan cuba melindungi keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

"Sebelum ini, rakyat sudah merasa sangat curiga apabila Timbalan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Khalid Abu Bakar) mendahului keputusan siasatan lengkap dan mendakwa tiada unsur pecah amanah dalam syarikat milik keluarga (Datuk Seri) Shahrizat (Abdul Jalil) itu," kata Mahfuz.

Beliau juga mempersoalkan mengapa tidak ada mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat adakah dana RM250 juta yang diberikan kepada NFCorp diberikan mengikut peraturan kewangan kerajaan.

"Mengapa pihak kerajaan diam membisu mengenai perkara itu sedangkan sudah berkali-kali dipersoalkan adakah peraturan kewangan kerajaan dipatuhi ketika RM250 juta itu diberikan kepada syarikat keluarga Shahrizat," katanya.

Begitu juga, kata Mahfuz, tidak pernah kedengaran perkembangan siasatan polis atau mana-mana pihak menyiasat pendedahan mengenai pembelian unit kondominium di Bangsar dan Singapura masing-masing berharga RM13.8 juta dan RM9.9 juta dan kereta mewah jenis Mercedes Benz berharga RM534,622 serta dua bidang tanah bernilai RM3,363,507 di Putrajaya.

"Adakah disiasat dakwaan mengenai penggunaan wang NFCorp yang dikatakan membiayai percutian keluarga Ketua Wanita Umno itu di luar negara, selain disalurkan kepada restoran-restoran mewah yang juga milik keluarga Shahrizat.

"Tidak pernah juga kita dengar perkembangan siasatan ke atas dakwaan penggunaan sehingga RM600,000 dari dana yang diperuntukkan untuk projek lembu NFCorp bagi membayar hutang kad kredit pada tahun 2009", kata Mahfuz lagi.

Tiada ulasan: