Selasa, 31 Januari 2012

RASUAH PENYAKIT PAYAH DIUBATI...UBATNYA TAKWA...JIKA TIDAK ORANG YANG CINTA DUNIA...MEMANG SUKA MENGUMPUL WANG SERTA SUKA PADA KEMEWAHAN...CARA MUDAH MENDAPATKANNYA..IALAH AMALAN RASUAH..KEDUA2 PEMBERI DAN PENERIMA MASUK NERAKA...ORANG MACAM NI..TAK TAKUT ATAU TAK FIKIR NERAKA SERTA MATI PUNYA...

Bankrap: Pakatan Rakyat tidak tiru cara BN

Harakahdaily, 31 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 31 Jan: Pakatan Rakyat (PR) sama sekali tidak akan meniru cara BN menguruskan negara jika diberi mandat oleh rakyat, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Ini, katanya kerana negara akan bankrap jika PR meniru cara BN.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada ucapan Datuk Seri Najib ketika bercakap di Arau yang mempersendakan kemampuan Pakatan Rakyat yang membuat berbagai tawaran yang disifatkan boleh menghancurkan negara.

“Tuduhan ini adalah lahir daripada seorang yang resah dengan tawaran demi tawaran yang dikemukakan oleh PR,” katanya kepada Harakahdaily.

Jelas Idris, pemimpin PR membuat tawaran setelah dikaji daripada mana sumber kewangan yang akan diperolehi, bukan bertindak secara membabi buta.

Setakat hari ini, ujarnya semua negeri PR tidak ada masalah, cuma yang bermasalah ialah negeri di bawah pentadbiran Umno BN.

Katanya, Sabah dan Terengganu, walaupun memiliki hasil minyak, malangnya rakyat berada di tangga pertama dan kedua dari segi kemiskinan tegar.

“Yang mengatakan negara akan bankrap pada tahun 2019  ialah Datuk Seri Idris Jala, Menteri Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Secara sinis katanya, memang negara akan hancur jika pemimpin PR memberi projek lembu RM250 juta kepada suami menteri yang bukan ahlinya.

Tambahnya lagi, negara bankrap jika bil elektrik rumah Perdana Menteri dan Timbalan Menteri RM160,000 sebulan dan bil air pula RM31,000 sebulan.

“Memang bankrap jika kos penyelenggaraan rumah rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tahun 2006-2010 sebanyak RM48 juta dan kos menyewa rumah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tahun 2006-2010 sebanyak RM33 juta,” katanya.

Beliau menambah, negara bankrap jika PR meneruskan usaha memberi subsidi loji penjana kuasa sebanyak RM19 bilion, sedangkan subsidi minyak untuk rakyat sebanyak RM11 bilion cuba dikurangkan.

Menurutnya lagi, negara bankrap jika PR tidak menghentikan amalan rasuah sehingga negara mengalami kerugian RM28 bilion setahun.

Katanya, negara akan bankrap jika pemimpin PR tidak ambil peduli setiap tahun teguran Ketua Audit Negara.

Contohnya, kata beliau Laporan Audit Negara 2006, bagaimana Kementerian Pertahanan boleh membayar kepada kontraktor sebanyak RM943.46 juta walaupun tanpa baucer.

“Jika trend ini ditiru memang negara akan bankrap,” ujarnya.

Justeru, katanya PR jangan meniru perangai buruk pemimpin Umno BN yang menjahanamkan khazanah negara.

“Negara yang kaya dengan bahan mentah dan bumi yang subur tidak sepatutnya ada rakyat yang masih tidak bertanah, malahan ada yang tinggal di dalam air seperti di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Najib patut tinggalkan saja NKRA perangi rasuah

Lim Guan Eng, 31 Jan 2012
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak patut tinggalkan sahaja Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) memerangi rasuah dalam GTP jika beliau tidak berani mewajibkan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menterinya untuk mengisytiharkan harta mereka secara terbuka dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kes skandal RM250 juta “lembu dan kondo” ataupun kes wang haram berjumlah RM1,077 bilion (termasuk wang rasuah) yang telah dialirkan keluar daripada negara dari tahun 2000-9.


Pada bulan April 2009, Perdana Menteri telah mengumumkan 6 NKRA dalam GTP, dan salah satu daripadanya merupakan NKRA memerangi rasuah. Selepas hampir 3 tahun, Perdana Menteri masih tidak ada kejayaan. Malah, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) Malaysia telah menurun kepada 4.3 daripada 10 dan tangga ke-60 daripada 183 negara dalam tempoh pentadbiran beliau.

Kegagalan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), walaupun diberi bajet tahunan sebanyak lebih RM200 juta sejak 2011 hanya diatasi oleh penyalahgunaan kuasa di kalangan pegawai-pegawainya. Selain daripada dakwaan rasuah, dua kes kematian telah terjadi dalam kawasan SPRM – Teoh Beng Hock pada Julai 2009 dan pegawai kanan Kastam Ahmad Sarbaini Mohamed pada April 6 2011.

Parlimen telah memperuntukkan bajet RM202.2 juta untuk SPRM pada tahun 2011 dan hasilnya adalah kedudukan CPI terendah untuk negara kita iaitu tangga ke-60 dan juga kadar CPI terendah iaitu 4.3. Pada tahun 1996, Parlimen telah memperuntukkan bajet RM29.4 juta untuk Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pada tahun itu Malaysia menduduki tangga ke-26 dan mencapai CPI tertinggi dalam 17 tahun iaitu 5.32.

Rakyat Malaysia berhak untuk membandingkan bajet yang diberi kepada BPR pada tahun 1996 dan SPRM pada tahun 2011, dengan CPI Malaysia pada kedua-dua tahun ini. Walaupun SPRM diberi bajet hampir 7 kali ganda apa yang diberi pada tahun 1996, kenapakah CPI Malaysia pada tahun 2011 mendapat kedudukan yang paling rendah iaitu tangga ke-60 dan kadar CPI 4.3 apabila pada tahun 1996 kita berada di kedudukan ke-26 dengan kadar 5.32?

Nampaknya lagi besar bajet, lagi ramai staf dan lagi banyak sumber yang diberi kepada SPRM, lagi teruk keadaan rasuah di Malaysia. Ke manakah perginya lebihan sebanyak RM172.8 juta dalam bajet anti-rasuah pada tahun 2011 berbanding 1996?
1996 29.5 Juta
1997 32.4 Juta
1998 32.2 Juta
1999 38.2 Juta
2000 41.8 Juta
2002 63.8 Juta
2003 67.7 Juta
2004 70.4 juta
2005 76.4 juta
2006 99.1 juta
2007 148.1 juta
2008 146.7 juta
2009 162.1 juta
2010 156.8 juta
2011 202.2 juta
2012 211.2 juta
Yang lebih teruknya adalah keengganan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan RCI mengenai skandal “lembu dan kondo” yang melibatkan keluarga seorang Menteri Kabinet dengan alasan lemah bahawa SPRM sedang menyiasat perkara ini. Sebenarnya, RCI diperlukan untuk menyiasat skandal “lembu dan kondo” ini kerana pihak umum sudah hilang kepercayaan dalam SPRM, seperti yang ditunjukkan oleh penurunan dalam kadar dan kedudukan TI.

NKRA memerangi rasuah yang dijuarai Perdana Menteri juga nampaknya bermasalah ekoran daripada keengganan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri untuk mengisytiharkan harta mereka secara terbuka. Pada 29.1.2012, Timbalan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri VK Liew telah mewajarkan keengganan beliau dengan mempersoalkan kenapa Ahli-ahli MMK (Exco) Pulau Pinang mengambil masa 4 tahun untuk mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

Tidakkah pemimpin-pemimpin BN berasa malu kerana Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang telah berjaya melakukan demikian selepas 4 tahun walhal BN telah gagal selepas 55 tahun? Pengisytiharan harta Ahli-ahli MMK Pulau Pinang merangkumi juga aset dan liabiliti mereka pada 8 Mac 2008 dan setakat 31.12.2011. Tambahan pula, pengisytiharan harta kita dibuat secara terbuka, dimuat naik ke dalam Internet dan telah disahkan oleh sebuah firma audit dan akauntan bebas, KPMG.

Jika Perdana Menteri tidak memberi SPRM kuasa pendakwaan bebas dan kebertanggungjawaban kepada Parlimen, menubuhkan RCI untuk skandal-skandal dan mewajibkan pengisyiharan harta secara terbuka, CPI Malaysia yang dikendalikan Transparency International akan terus merosot.

Bekalan air: Orang Asli adu pada Suhakam

Hazayani Zakaria, 31 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 31 Jan: Sekumpulan wakil Orang Asli hari ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung tindakan sub-kontraktor memusnahkan dan membuka saluran paip air sehingga menyebabkan penduduk di enam perkampungan Orang Asli tidak mendapat bekalan air bersih.

Difahamkan, tindakan tidak bertanggungjawab itu dilakukan akibat pertelingkahan di antara sub-kontraktor dengan kontraktor utama.

Kontraktor utama,Rossington Sdn Bhd. yang menerima projek tersebut pada 2009 gagal melunaskan bayaran kepada sub-kontraktor seperti yang dijanjikan.

Wakil penduduk kampung Orang Asli Bera, Bob Manolan Mohamad berkata, pihaknya mahu Suhakam menjalankan siasatan berhubung perkara itu termasuk mendapatkan maklumbalas daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

"Kami berharap Suhakam dapat memberi tekanan kepada kontraktor dan kementerian yang terbabit kerana perkara ini menyulitkan orang kampung yang baru sahaja mendapat bekalan air bersih.

"Kami juga meminta Suhakam menghubungi Jabatan Kebajikan Orang Asli yang sampai sekarang belum membuat sebarang kenyataan walaupun aduan sudah dibuat," kata beliau sewaktu membentangkan perkara tersebut kepada Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah. (Gambar atas)

Kerja-kerja membuka semula saluran paip itu dilakukan secara berperingkat pada minggu kedua bulan ini  menyebabkan hampir semua projek itu musnah.

Dimaklumkan, penduduk baru empat hari menerima bekalan air bersih setelah bertahun-tahun terpaksa mengangkut air dari perigi dan sungai.

Enam kampung yang terlibat dalam projek bekalan air bersih itu ialah Kampung Kuala Serting, Kampung Lengot, Kampung Lubuk Perah, Kampung Patil, Kampung Lubuk Tambangan dan Kampung Pasal.

Minta penjelasan menteri

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, pihaknya akan membawa wakil Orang Asli ini bertemu dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Shafei Afdal bagi mendapatkan penjelasan beliau.

Beliau berkata, Shafei harus menyatakan peruntukan sebenar projek tersebut, dan ia diberikan secara runding terus atau tender terbuka.

"Saya mengesyaki projek ini dijalankan secara runding terus kerana kalau buka tender, semestinya ada dokumen perjanjian dan sub-kontraktor boleh menyaman kontraktor yang belum bayar.

"Tapi kalau secara runding terus, beginilah jadinya dan amalan runding terus ini diamalkan oleh orang politik," kata Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Tambahnya,  projek yang dimusnahkan itu adalah sebahagian daripada projek bekalan air ke seluruh Negeri Pahang semasa kempen pilihan raya umum (PRU), 2008 lalu bernilai RM112 juta.

“Memang tidak masuk akal, bertahun-tahun kerja memasukkan bekalan air bila dah siap dimusnahkan pula. Orang siuman tak akan buat kerja seperti itu. Kesian orang kampung, menunggu bekalan air bersih berpuluh tahun bila dah dapat cuma bertahan empat hari sahaja," katanya.

Perbuatan jenayah

Dalam pada itu, Sha'ani selepas mendengar aduan tersebut menyifatkan tindakan sub-kontraktor itu sebagai tindakan jenayah kerana memusnahkan harta awam.

Beliau yang berjanji akan memanjangkan perkara itu kepada pihak berwajib berkata, sub-kontraktor tidak sewajarnya mengambil tindakan sesuka hati sehingga menyebabkan kesusahan orang lain.

"Bila sebut harta awam, ia bukan lagi harta kerajaan. Kalau musnahkan harta awam, itu satu tindakan jenayah.

"Agensi penguatkuasa harus menjadi contoh yang baik dalam perkara ini dengan membuat pemantauan," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak yang membuat aduan bagi membolehkan Suhakam menjalankan peranannya.

"Banyak peruntukan yang diluluskan dengan menjual nama orang lain, tapi orang lain yang dapat untung.

"Perkara-perkara begini harus didedahkan supaya orang ramai tidak terpedaya dengan janji-janji dan pengumuman kerajaan," katanya.

Bukan Israel sahaja yang zalim

Ahmad Fadhli Shaari, 31 Jan 2012
Pada 25 Oktober 1978, YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Ahli Parlimen Pengkalan Chepa pernah bertanya di dalam parlimen pada masa itu berkenaan dengan pegerakan Freemason yang dikaitkan dengan zionisme. Perdana Menteri, Allahyarham Tun Hussein Onn yang menjawab soalan itu turut diajukan soalan tambahan bahawa adakah kerajaan Malaysia berhasrat untuk mengharamkan pertubuhan Freemason, jawapan beliau pada masa itu ialah tidak. Hari ini, generasi muda yang lahir dalam era 80-an tentu sekali tidak mengingati isu ini yang diperdebatkan hangat pada masa itu jika tidak membelek lembaran sejarah.
Sikap PAS terhadap Israel sentiasa tidak berubah. Tuan Guru Nik Aziz tegas menyatakan sikap ini lewat kunjungan Duta Amerika Syarikat ke pejabatnya pada tahun lepas bahawa sepasang selipar pun tidak berhak untuk dirampas oleh mana-mana pihak dari tuannya yang sah. Apatah lagi untuk merampas tanah yang merupakan milik rakyat Palestin, lebih-lebih lagi merupakan jenayah yang sangat kejam. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengiktiraf rampasan ini pada 1948 sedikitpun tidak berhak untuk membuat keputusan yang menganiayai rakyat Palestin sehingga ke hari ini. Saya yang turut serta dalam perjumpaan itu masih ingat soalan yang ditanya oleh Duta Amerika Syarikat sewaktu Tuan Guru menyatakan pandangan itu, “apakah tuan mengira bahawa bangsa Yahudi tidak berhak memiliki sebuah negara?”. Tuan Guru menjawab, sebagai manusia, mereka berhak untuk bernegara, tetapi persoalannya kenapa dipilih tanah Palestin yang sudah bertuan? Jika benar Amerika Syarikat mahu bersikap prihatin terhadap bangsa Yahudi, sedekahkan sahaja sebahagian tanah Amerika Syarikat untuk menjadi negara Yahudi!

Hari ini, wartawan bertanya sikap Tuan Guru Nik Aziz tentang kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mengiktiraf hak Israel ke atas tanah Palestin. Jawapan Tuan Guru, kenyataan Anwar Ibrahim harus diperjelaskan oleh beliau sendiri. Memetik kata-kata Anwar dari media massa milik UMNO umpama bertanya tentang mutu kereta Honda kepada pengeluar Toyota. Sudah tentu diperhodohkan sehingga  ke tahap maksimum. Bukankah beberapa minggu lepas, media massa inilah yang memutarbelitkan kenyataan Anwar yang didakwa menyokong homoseksual, sedangkan apa yang diperkatakan sebaliknya. Bukan beliau sahaja yang menjadi mangsa media massa milik UMNO ini, bahkan Tuan Guru sendiri saban waktu sentiasa dicari celah munasabah untuk diputarbelitkan kenyataannya. Bahkan sepanjang 21 tahun Tuan Guru mentadbir Kelantan selaku Menteri Besar, berapa keratkah laporan positif yang keluar tentang Kelantan? Pagi, petang, siang dan malam, tidak henti-henti media massa ini menghentam kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS. Alhamdulillah, Allah SWT memberikan kekuatan yang berpanjangan kepada PAS untuk terus berdiri tegak di bumi Serambi Mekah ini.

Hari ini, UMNO bertindak seolah-olah merekalah juara rakyat Palestin. Barangkali mereka fikir rakyat telah lupa bagaimana APCO Wordwide, sebuah syarikat perunding antarabangsa yang mempunyai kaitan dengan Yahudi diberikan kontrak bernilai hampir RM77 juta khusus untuk meningkatkan imej kerajaan UMNO dan Barisan Nasional? Dengan duit apa kontrak ini dibayar jika tidak dengan duit rakyat? Pandangan Anwar Ibrahim masih dalam ruang lingkup perbincangan apatah lagi ia dilaporkan oleh media massa lidah UMNO, namun tindakan UMNO menggunakan khidmat APCO ini sudah jelas mengkhianati wang rakyat. Dan janganlah lupa bahawa pada 16 Ogos 1999, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada masa itu pernah menghantar surat kepada Perdana Menteri Israel Ehud Barak di atas kemenangannya pada pilihanraya!

Hakikatnya, isu ini hanyalah modal sementara untuk menyerang kepimpinan Pakatan Rakyat. Padahal seharusnya mereka sedar, Israel dibenci bukan kerana namanya Israel, tetapi kerana kezalimannya merampas hak rakyat Palestin. Apakah bezanya dengan tindakan merampas hak royalti minyak milik sah rakyat Kelantan tanpa satu sen pun dibayar kepada anak bumi Kelantan? Sebenarnya, bukan Israel sahaja yang zalim.

Penulis adalah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan.

PR Perak terbit filem pendek Aduhai 1Malaysia

Akmal Sani, 31 Jan 2012
IPOH, 31 Jan: Selepas mencapai kejayaan dalam filem pendek yang pertama Orang Kuat Umno (OKU), Semarak Production sekali lagi menerbitkan filem pendeknya yang kedua bertajuk 'Aduhai 1Malaysia’.

Filem tersebut telah dimuat naik di dalam youtube semenjak tiga hari yang lepas dan boleh ditonton melalui pautan http://www.youtube.com/watch?v=Pv5srEmNVGk.

Ianya antara lain menyentuh isu politik semasa termasuk skandal NFC yang sedang hangat diperkatakan.

Selain itu, filem ini juga menyentuh kisah 'panglima ludah' yang ada kaitan dengan isu mahasiswa yang menurunkan bendera gambar Datuk Seri Najib Razak di hadapan bangunan Umno tempoh hari.

Menurut Pengerusi Semarak, Ustaz Mohd Fakruddin Abd Aziz, filem ini adalah kesinambungan daripada filem “orang kuat umno” yang berjaya menarik seramai 100,000 pengunjung dalam masa 3 hari.

"Hasil daripada sambutan filem tersebut, kali ini kami terbitkan satu lagi filem yang dijangka akan mencapai jumlah pengunjung yang lebih tinggi," ujar beliau.

Sementara itu, pengarah filem pendek tersebut iaitu Ustaz Mohd Akmal Kamarudin pula menyifatkan filem ini adalah hasil kerjasama semua pihak yang bertungkus lumus untuk menjayakan filem ini terutamanya pihak Sekterariat Pakatan rakyat Perak dan juga pihak Lujnah Penerangan dan Dakwah Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.

"Tanpa kerjasama dari pihak sekteriat pakatan rakyat perak dan juga lujnah penerangan dakwah ini mungkin filem ini agak sukar dihasilkan," katanya.

Dalam menerbitkan filem ini, pihak Semarak Production telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa selebriti terkenal antaranya bekas penulis lirik dan pelakon terkenal, Bob Lokman dan juga pelakon filem Hantu kak Limah Balik Rumah iaitu Man Kadir atau lebih dikenali sebagai Pak Jabit.

NFC: SPRM digesa siasat polis elak rasuah

Muhammad Faizal, 31 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 31 Jan: PKR hari ini menggesa agar siasatan menyeluruh dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan institusi awam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) bebas dari unsur rasuah bagi menjamin ketelusan siasatan terhadap skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Jelas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pada sidang media di Pejabat SPRM Kuala Lumpur, pihaknya menerima salinan laporan polis yang telah dibuat oleh Datuk Samsubahrin Ismail pada 27 Januari yang lepas terhadap Pengerusi NFC Datuk Seri Dr. Salleh Ismail.

"Kita telah menerima salinan laporan polis tersebut dan kita dapati bahawa dalam laporan polis itu, Shamsubahrin didakwa berkata beliau menerima mesej dan tekanan dari Salleh yang memintanya supaya kes NFC dengan pihak polis ditutup.

"Salleh, melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS), mendesak saya untuk memberi rasuah kepada polis untuk menutup kes itu," jelasnya yangmemetik kandungan sms itu.

Zuraida juga memberitahu melihat kepada apa yang dilaporkan itu jelas wujud arahan rasuah yang dilakukan oleh Salleh bagi memastikan skandal tersebut dapat dilindungi serta tiada tindakkan diambil.

"Kita mahu siasatan dilakukan oleh SPRM berhubung dengan laporan tersebut dan saya pasti pihak SPRM di Putrajaya juga mengetahui kandungan SMS itu kerana salah satu telefon milik Samsubahrin telah disimpan di sana sebagai bahan bukti.

"Apa yang kita kesalkan mereka yang mengarahkan rasuah masih lagi terlepas manakala yang Samsubahrin pula diambil tindakan segera malah juga telah didakwa," sambungnya.

Tambahnya yang juga Ketua Wanita PKR, SPRM perlu bertindak keatas Ismail yang jelas mengarah agar membayar (rasuah) kepada pihak polis bagi menutup kes skandal NFC.

Sementara itu, R Sivarasa memberitahu perkara itu amat serius malah ia merupakan satu jenayah rasuah yang perlu diambil tindakan segera oleh SPRM.

"Saya tegaskan kepada pegawai SPRM tadi bahawa tuduhan tersebut amat serius iaitu ada arahan dilakukan oleh Salleh kepada Samsubahrin yang mengarah agar merasuah pihak polis, dalam selain SMS dari Salleh terdapat juga SMS yang dihantar oleh pegawai NFC mengarahkan Samsubahrin merasuah pihak polis.

"Kita tidak nyata ini satu fitnah kerana beliau berani serta cakap mempunyai bukti dan sanggup hadapi tuduhan tersebut, SPRM perlu segera siasat Salleh yang bertindak mengarah beliau (Samsubahrin) merasuah pihak polis," katanya.

Ahli Parlimen Subang itu juga menyatakan kekesalan bagaimana Salleh sehingga sekarang tidak dikenakan apa-apa tindakan tetapi tindakan sebaliknya pula berlaku.

"Mereka yang mengarah terlepas tepati yang tidak pula sebaliknya, keadaan ini seolah-olah SPRM mahu memberi perlindungan kepada NFC.

"Kita mahukan Salleh ditahan serta dibawa ke mahkamah dengan segera bukannya lepas begitu sahaja, jika SPRM tidak bertindak dalam masa dua minggu, kita akan mendesak agar Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh," jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, Zuraida dan juga Sivarasa berharap jika kes itu disiasat di bawah SPRM soal keselamatan Samsubahrin perlu diperketatkan agar apa yang berlaku kepada mendiang Teo Beng Hock dan juga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamad tidak akan berulang.

Sebelum ini, dalam laporan polis Shamsubahrin mendakwa beliau telah dilantik oleh NFC sebagai penasihat korporat dan perunding untuk "membersihkan" masalah dalaman NFC.

Beliau menambah bahawa telah bertemu dengan pihak polis untuk membantu siasatan mereka tetapi memaklumkan kepada Salleh bahawa beliau tidak akan memberi rasuah.

Pegawai SPRM yang menerima laporan daripada Zuraida dan Sivarasa ialah Penolong Kanan Penguasa, Norshimah Abd Ghani dan juga Ketua Unit Siasatan, Maznah Che Muda.
Iklan Teks

Tiada ulasan: