Khamis, 19 Januari 2012

ADA YANG SEMAKIN LEMAH..LANGKAH DAN KERJA DIBUAT DULU2 SALAH..AKIBATNYA SEKARANG KENALAH TANGGUNG....

Portfolio agama: Zaid beri amaran kepada anak buahnya

Harakahdaily, 19 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 19 Jan: Presiden parti Kita, Datuk Zaid Ibrahim (gambar) berkata, beliau telah memberikan amaran kepada pemimpin partinya di Kedah yang selalu memperlekehkan Pakatan Rakyat.

Zaid melalui satu kenyataan yang dibuat melalui twitternya berkata, "Amaran telah diberi, tunggu dan lihat."

Zaid dipercayai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Kita Kedah, Wan Rosli Omar yang mendakwa PAS telah tunduk kepada PKR.

Dakwaan itu dibuat Wan Rosli ekoran tindakan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil alih portfolio Hal Ehwal Agama yang sebelum ini disandang oleh Exco dari PAS, Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

Dalam rombakan portfolio semalam, Khalid mengumumkan exco yang baru dilantik, Dr Ahmad Yunus Hairi menjaga portfolio Adat Melayu, Belia dan Sukan.

Ekoran itu, satu laman web melaporkan, Wan Omar mempertikaikan sikap PAS itu.

“PKR dilihat merampas tugas EXCO Agama yang selama ini dipegang oleh PAS. Tidakkah ahli PAS nampak perkara ini,” kata Ketua Penerangan Wan Rosli Omar.

Khalid dalam twitter berkata, "KITA Kedah selalu memperlekeh Pakatan, FMT (Free Malaysia Today) beri ruang. Langsung tak sentoh BN. Amaran diberi , tunggu dan lihat."

Sebelum ini, para pimpinan PAS Selangor menjelaskan, susunan portfolio ini sudah dibincangkan dengan MB sebelum pengumuman itu dibuat.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Othman dilaporkan berkata, perkata itu sudah dibincangkan dan jaminan telah diberikan untuk berbincang dengan PAS jika ada isu-isu besar yang membabikan Islam.

"Itu jaminan diberikan kepada kami, jadi tidak menjadi satu masalah," katanya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad pula berkata, langkah itu perlu untuk membolehkan kerajaan negeri mengendalikan portfolio itu dengan baik.

“Kalau diletakkan orang baru, kita khuatir dia mungkin akan dipermainkan oleh Umno yang akan menggunakan Jais dan Mais untuk kepentingan mereka dan itu akan menimbulkan masalah tetapi kalau Menteri Besar yang pegang, baru bertemu buku dengan ruas," kata Khalid Samad dalam satu kenyataannya kepada media.

Seorang lagi Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Exco kerajaan negeri, Iskandar Samad berkata, langkah MB memegang portfolio itu hanya sementara sahaja.

Lagi suara desak Gerakan keluar BN

Aslani M | Foto Yusri Amin, 19 Jan 2012

KOTA BHARU, 19 Jan: Barisan Nasional (BN) tidak mampu lagi mempertahankan hegemoninya apabila pakatan pelbagai parti hampir 55 tahun dalam gabungan itu kini semakin rapuh.

Retak menunggu belah semakin jelas sekarang, lebih-lebih lagi Gerakan yang bergabung dalam BN selepas menawan Pulau Pinang pada pilihan raya umum 1969, mulai berani mempersoalkan keikhlasan Umno.

Gerakan diasaskan Prof Datuk Dr Syed Hussein Alatas bersama Tan Sri Dr Tan Chee Khoon, Dr J.B.A Peter, Tun Dr Lim Chong Eu, Prof Wang Gangwu dan V. Veerapan pada 1968.

Bagaimanapun hasil pujukan Tun Razak Hussin parti itu menyertai BN pada 1972 dengan alasan mengelakkan peristiwa 13 Mei 1969 berulang kembali.

Sejak itulah Gerakan mulai hilang identiti sebagai parti pelbagai kaum apabila lebih didominasikan kaum Cina.

Kini selepas hampir 40 tahun mimpi sebahagian pemimpin Gerakan dan Umno mulai berlainan, lebih-lebih lagi selepas Pulau Pinang terlepas ke Pakatan Rakyat pada Mac 2008.

Suara-suara muak dan kecewa semakin nyaring apabila ramai pemimpin menyuarakan mereka sekadar menjadi alat Umno bagi mencengkam kuasa politik Malaysia.

Sebulan selepas tsunami Mac 2008 Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Lee Kah Choon menjadi pemimpin kanan pertama keluar parti itu.

Pada 8 Mac tahun lepas seorang lagi pemimpin pusat Gerakan, Dr Hsu Dar Ren mengikut jejak langkah Kah Choon.

Beliau secara anak jantan menunding jari ke arah Umno yang mendominasi kuasa politik gabungan BN.

Tidak lama selepas itu pada 19 Oktober 2011 Setiausaha Gerakan Kedah yang juga Ketua Bahagian Padang Serai, Tang Hiang Lye mengambil langkah serupa.

Suara-suara kecewa dan mendesak Gerakan bersendirian seperti sebelum 1972 bergema hebat apabila Setiausaha Gerakan Kelantan, Lau Chin Chua (gambar) pada ucapannya di Mesyuarat Agung parti itu pada September tahun lepas secara terus terang mempersoalkan keikhlasan Umno.

“Pada peringkat awal Gerakan Kelantan mahu usul supaya Gerakan keluar daripada BN dimuatkan dalam usul peringkat pusat, namun mereka tolak.

“Namun saya tetap mahu berucap pada perhimpunan itu. Ekoran itu Setiausaha Agung meminta saya tidak menyebut perkataan mendesak keluar daripada BN.

“Saya memang tidak sebut permintaan itu, namun saya tanya kepada 2,100 perwakilan, siapa yang mengkhianati Gerakan, adakah DAP, PKR atau PAS, perwakilan menjawab tidak.

“Saya sebut lagi adakah Umno yang sabotaj Gerakan, tiba-tiba perwakilan dengan nada kuat menjawab ya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Chua bersara sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Bahagia, Kuala Krai tiga tahun lalu, memberi ingatan kepada Presiden, Tan Sri Koh Tsu Koon supaya segera membawa keluar parti itu sebelum terlambat.

Menurutnya, Gerakan perlu bertanding secara bersendirian seperti sebelum 1972 sekiranya mahu parti kembali kuat, memandangkan sekarang mereka banyak disabotaj Umno.

Bagaimanapun katanya beliau amat kecewa dengan pemimpin di atas apabila enggan mendengar keluhan sebahagian besar ahli di peringkat akar umbi.

Ekoran kedegilan Tsu Koon akhirnya pada 3 Januari lalu Cikgu Chua menghantar surat meletak jawatan sebagai Setiausaha Gerakan Kelantan yang disandangkan 21 tahun lalu.

Dan pada 14 Januari lalu beliau berceramah di pentas PAS di Wakaf Baru bagi menyedarkan masyarakat Cina dan Siam terhadap hipokrasi pemimpin Umno.

(Tunggu pelbagai pendedahan menarik Cikgu Chua dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang).

Jual Proton: Pastikan rakyat dapat manfaat

Harakahdaily, 19 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Penjualan Proton kepada DRB-Hicom seharusnya menjadi langkah pertama ke arah industri automotif yang memberi faedah kepada rakyat serta penghapusan dasar perlindungan industri automotif yang membebankan rakyat, selaras dengan prinsip "rakyat diutamakan".

Demikian pandangan Eksekutif Kanan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Medecci Lineil sebagai respons kepada isu DRB-Hicom yang telah disahkan sebagai pemilik baru Proton Holdings Berhad apabila berjaya memeterai perjanjian penjualan dan pembelian 42.7% kesemua saham yang dipegang oleh Khazanah Holdings Berhad pada harga RM1.291 billion.

Katanya, penjualan Proton kepada DRB-Hicom harus dijadikan peluang sebaik mungkin untuk kerajaan melakukan perubahan struktur (structural changes) terhadap industri automatif negara.

Menurutnya, proses liberalisasi industri automatif tidak hanya melibatkan persaingan domestik Proton dan Perodua tetapi juga proses persaingan dan interaksi antara pengeluar kereta tempatan dan asing secara terbuka, pembukaan kilang pembuatan kenderaan asing di Malaysia serta proses pemindahan teknologi dan kepakaran yang boleh mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan eksport sebagaimana yang dialami oleh sektor automotif negara Thailand.

“Saya berpandangan bahawa strategi pembangunan Proton kini harus berpaksikan prinsip persaingan yang kompetitif di pasaran terbuka. Perlindungan yang diberikan kerajaan selama ini tidak membawa kejayaan yang diharapkan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Maka, ujarnya dengan terjualnya Proton, mekanisme pasaran tanpa perlindungan harus dibenarkan memacu Proton ke hadapan.

Beliau menambah, Proton hanya boleh berjaya jika ia dapat berdikari dalam pasaran terbuka, bersaing dan seterusnya meningkatkan mutu dan inovasi produk, lebih penting lagi, rakyat juga mesti mendapat manfaat.

Untuk memastikan manfaat akan sampai kepada rakyat, katanya penjualan Proton mestilah disusuli dengan penghapusan segala bentuk cukai dan duti yang menekan pengguna seperti duti eksais, cukai jualan dan skim permit import (AP).

“Langkah penghapusan cukai-cukai ini akan membolehkan pengguna menikmati harga kenderaan yang rendah dan mampu memberi model yang pelbagai,” katanya lagi.

Menurutnya, data yang dikeluarkan oleh NGO Refsa hari ini mengatakan bahawa rakyat Malaysia membayar harga yang amat tinggi akibat dari semua cukai ini.

Contohnya, kata beliau Refsa mengatakan bahawa kereta Gen 2 1.6L di Arab Saudi berharga hanya sekitar RM40,000 sedangkan di Malaysia ianya berharga RM60,000.

“Jika data Refsa ini benar, kenapa orang luar menikmati harga lebih rendah daripada rakyat Malaysia sendiri?” soalnya.

Qazaf: Peguam Anwar kemuka hujah 30 Jan

Muhammad Faizal, 19 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Rayuan kes isu qazaf akan dihujah oleh barisan peguam yang mewakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan Syariah pada 30 Januari ini, jam 9 pagi.

Penghujahan itu diteruskan apabila notis rayuan yang dikemukakan oleh peguam Anwar dibantah oleh peguam yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir dan dua lagi, Ketua Pendakwa Syarie, Shamsuddin Hussain dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali yang mohon agar Mahkamah Rayuan Syariah menolak permohonan tersebut.

Salah seorang peguam yang mewakili Anwar, Dorina Abdullah (gambar) yang ditemui di Pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan pihaknya akan membahas terhadap bantahan rayuan yang dikemukakan berhubung kes qazaf yang sebelum ini tertangguh.

"Pihak kami telah menfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan Syariah bagi mendengar semula permohonan qazaf yang tertangguh sejak sekian lama apabila Hakim Mahkamah Syariah Kuala Lumpur memberitahu beliau tiada kuasa untuk mengarah pihak pendakwa syarie agar mengambil tindakan mendakwa Saiful Bukhari berhubung kes qazaf.

"Tetapi belum pun lagi perkara itu diputuskan pihak peguam yang mewakili ketiga-tiga mereka itu telah memfailkan notis kepada mahkamah agar ia ditolak kerana terdapat kesilapan teknikal yang kecil, dan kami akan membahaskan perkara tersebut yang mana ia tidak memberi kesan kepada keseluruhan kes tersebut," jelasnya yang mewakili Tetuan Kamar Ainiah, Raziff dan Zashidi.

Tambahnya lagi isu pendakwaan qazaf terhadap Saiful ini masih jauh lagi tetapi sudah ada halangan awal.

"Belum lagi di peringkat pendakwaan sudah ada halangan, kita masih di peringkat awal. Kita akan meneruskan dakwaan qazaf ini walaupun terdapat halangan," sambungnya lagi.

Sebelum itu, Anwar telah memfailkan permohonan qazaf itu pada 9 Julai 2008 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan terhadap Mohd Saiful yang didakwa membuat "tuduhan palsu terhadapnya".

Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki.

Seksyen ini adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahu atau kedua-duanya.

Anwar yang sebelum ini diwakili lima peguam yang diketuai oleh Kamar Ainiah Kamaruzaman.

NFC: PKR cadang enam skop audit, siasatan telus

Keadilandaily, 19 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 19 Jan: PKR mencadangkan enam skop utama audit bagi memastikan siasatan terhadap penyelewengan wang rakyat dalam skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) benar-benar telus dan menepati kehendak rakyat, kata pengarah strateginya, Rafizi Ramli.

Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mengumumkan kerajaan akan melantik firma perunding perakaunan bagi mengaudit dan menyiasat skandal NFC dalam tempoh sebulan bagi ‘melindungi kepentingan kerajaan’.

Skop itu kata Rafizi termasuk menyiasat proses membuat keputusan di peringkat tertinggi kerajaan bagi memastikan tiada campur tangan politik semasa projek itu diluluskan.

Katanya, semua minit mesyuarat juga perlu disemak bagi menentukan keterlibatan setiap menteri terbabit serta menilai samada projek NFC mempunyai daya komersil untuk dibiayai kerajaan;

“Kedua, menyiasat proses pemberian dana NFC oleh Kementerian Kewangan bagi menentukan ia mengikut prosedur Perbendaharaan dan amalan terbaik.

“Ini termasuklah menyemak setiap pengeluaran dana (loan drawdown) untuk menentukan bahawa ia menepati syarat perjanjian dan tiada penipuan dokumen semasa permohonan mengeluarkan wang dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi turut menegaskan, skop audit itu wajar menyiasat setiap perbelanjaan NFC termasuk memastikan setiap perbelanjaan adalah berpatutan,diluluskan dan ada kena mengena dengan aktiviti penternakan lembu.

“Keempat, menyiasat setiap pemindahan wang keluar dari NFC kepada pihak ketiga untuk memastikan tiada unsur penyelewengan.

“Ini termasuklah menyiasat segala pembelian harta, penubuhan syarikat-syarikat lain, perbelanjaan oleh syarikat-syarikat lain yang ditanggung NFC dan segala operasi oleh pihak ketiga yang ditanggung atau berkaitan dengan NFC,” tegasnya.

Siasat keluarga Shahrizat

Skop audit kelima ialah menyiasat setiap pembelian aset keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bermula dari tempoh kontrak dianugerahkan sehingga kini, termasuk pembelian atas nama peribadi untuk menentukan samada dana NFC diguna bagi tujuan peribadi.

Manakala skop audit terakhir ialah menyiasat setiap pembayaran besar dan berkala NFC dan syarikat-syarikat berkaitan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil untuk menentukan latar belakang pembekal dan individu terbabit yang berurusan dengan NFC.

“Saya percaya enam skop audit ini akan memberi peluang kepada rakyat menilai sendiri setakat mana berlakunya penyelewengan di dalam NFC dan menguji samada Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar ikhlas menyiasat penyelewengan,” tegasnya.

“Salah satu terma lantikan juga mestilah mewajibkan juruaudit membentang keputusan siasatan dan kesimpulan dibuat pada persidangan Dewan Rakyat, Mac ini,” tegasnya.

Jika kerajaan enggan menerimapakai keenam-enam skop itu katanya, bermakna pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bermain politik berhubung skandal siasatan NFC.

“Jika ia sampai ke peringkat itu, saya bersetuju dengan cadangan YB Lim Kit Siang dan pendirian kepimpinan PAS, bahawa sebuah Suruhanjaya Diraja (RCI) wajar ditubuh bagi membongkar segala penyelewengan yang berlaku dalam NFC,” katanya lagi.

Blogger terkejut didakwa melarikan diri

Harakahdaily, 19 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Kerana tidak berpuashati dengan laporan akhbar Umno, Utusan Malaysia kononnya beliau lari dari menerima surat saman, Blogger Shardshooter datang sendiri ke pejabat peguam.

Sharpshooter atau nama sebenarnya, Amizuddin Amat dilaporkan datang sendiri ke pajabat peguam Datuk Seri Rais Yatim iaitu Datuk Seri Muhamad Shafee Abdullah di Kampung Atap untuk mendapatkan dokumen saman itu.

Namun ketika ditemui peguam berkenaan tidak menyerahkan dokumen itu tetapi meminta Amizuddin datang mengambilnya di mahkamah keesokan harinya.

Utusan 13 Januari lepas dalam laporannya mendakwa, kes menghina mahkamah terhadap blogger berkenaan terpaksa ditangguhkan kerana 'penulis blog itu hilangkan diri'.

Sharpshooter disaman oleh Rais Yatim berhubung isu dakwaan merogol amah dikatakan telah melarikan diri daripada menerima dokumen saman menghina mahkamah.

Sharpshooter dilaporkan benar-benar terkejut dengan laporan berita ini sebaik sahaja ditunjukkan kepada beliau.

Blogger tersebut berasa hairan, sejak bila beliau lari atau menghilangkan diri?

Oleh kerana tidak berpuas hati, Amizuddin ditemani oleh tiga orang rakannya telah pergi sendiri ke pejabat Peguam Rais Yatim di Alamat 25, Jalan Tunku, Bukit Tunku Kuala Lumpur untuk meminta dokumen saman tersebut.

Namun peguam Rais Yatim iaitu Mohd Shafee meminta beliau datang ke mahkamah keesokan harinya untuk mendapatkan dokumen itu sambil bertegas sudah tujuh kali pihaknya cuba menyerahkan dokumen itu.

Amizuddin berkeras dengan berkata beliau tidak ke mana-mana dan tidak menerima sebarang dokumen atau surat dari peguam berkenaan.

Pakar nuklear dibunuh: Jangan sekat kebangkitan rakyat

Aziz Muda, 19 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Peristiwa pembunuhan seorang pakar nuklear Iran oleh pihak Israel dengan persekongkolan Amerika Syarikat semalam perlu dijadikan pengajaran oleh Kerajaan Malaysia agar tidak menyekat kebangkitan rakyat.

Perancangan jahat pihak Israel dan Amerika Syarikat sehingga membawa kepada pembunuhan pakar nuklear itu ternyata gagal melemahkan semangat rakyat negara itu, malah ia telah mencetuskan kebangkitan puluhan belia lain untuk menggantikan tempatnya bagi kepentingan negara mereka.

Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, rakyat Iran sememangnya tidak akan tunduk dan lemah dengan tekanan Israel dan Amerika Syarikat kerana kerajaan yang ada di negara itu sendiri kini adalah terhasil daripada kebangkitan rakyat.

Menurutnya, mereka telah bangkit bersama-sama Ayatollah Khomeini menerusi Revolusi Iran pada tahun 1979 lalu untuk menggulingkan Shah Iran bagi melakukan perubahan terhadap pemerintahan di negara itu ke arah yang lebih baik.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan Agensi yang menyebut kira-kira 1,300 pelajar universiti di Iran memohon menukar bidang pengajian utama kepada sains nuklear berikutan pembunuhan seorang pakar nuklear Teheran, Mostafa Ahmadi Roshan (gambar) minggu lalu.

Mostafa terbunuh pada 11 Januari lalu akibat letupan sebutir bom magnet dilekatkan pada keretanya oleh seorang penunggang motosikal.

Pegawai Iran menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mendalangi pembunuhan beliau.

Syed Azman menambah, perubahan yang mereka ingini itu telah berlaku di negara tersebut setelah Shah Iran digulingkan dan kini mereka sedang berusaha mempertahankan dan membangunkan negara mereka dengan pelbagai cara, setanding dengan negara-negara sedang membangun lain di dunia ini.

"Kerajaan Iran juga telah mengambil inisatif membangunkan nuklear di negaranya untuk pembangunan tenaga. Pihak Israel dan Amerika Syarikat ternyata tidak senang dengan usaha Iran itu kerana dibimbangi akan turut membawa kepada perkembangan persenjataan menerusi nuklear yang akan mengancam mereka.

"Jika Iran mahu, Iran memang boleh membangunkan persenjataan menerusi nuklear di negaranya, tetapi sehingga kini nuklear yang dibangunkan itu sememangnya untuk tenaga seperti juga yang dilakukan oleh kerajaan Amerika Syarikat sendiri, Jepun, Jerman dan Perancis bagi pembangunan perindustrian," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tindakan Iran tetap tidak disenangi pihak Israel dan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya sehingga mereka telah melakukan pelbagai tekanan terhadap Iran termasuk dengan melakukan sekatan ekonomi.

"Terbaru, Mossad Israel telah berjaya membunuh pengarah nuklear Iran, tetapi sebaik sahaja pembunuhan itu berlaku, puluhan pelajar universiti di republik itu telah mengambil keputusan menukarkan jurusan pengajian mereka kepada nuklear bagi membolehkan mereka meneruskan usaha saudara mereka yang telah terbunuh itu.

"Begitulah hebatnya kebangkitan rakyat Iran. Dalam diri mereka sememangnya sentiasa menyala dengan semangat revolusi setelah tercetusnya Revolusi Iran pimpinan Khomeini tahun 1979 lalu, bagi membolehkan mereka terus mempertahankan kerajaan yang ada sekarang," katanya yang juga Adun Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu.

Kejadian yang berlaku di Iran itu, tambahnya, sememangnya penuh dengan pengajaran untuk Kerajaan Malaysia yang berada di bawah BN sekarang, khususnya mengenai kebangkitan rakyat.

Katanya, di negara kita, kebangkitan rakyat juga kini telah berlaku dengan keseluruhan rakyat menuntut keadilan dari pihak pemerintah dalam pelbagai aspek termasuk politik bagi melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

"Kebangkitan ini tidak lagi boleh disekat oleh kerajaan kerana jika disekat pasti akan mencetuskan kebangkitan lebih besar termasuklah kebangkitan rakyat ke jalan-jalan raya.

"Pihak pemerintah sememangnya tidak mempunyai pilihan lain lagi, kecuali dengan memenuhi tuntutan rakyat bagi mendapatkan keadilan setelah keadilan yang dituntut itu dinafikan oleh pihak Kerajaan BN sejak sekian lama," tegas beliau.

Isu zakat MAIWP timbul prejudis umat Islam

Muhammad Faizal, 19 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyerah satu memorandum kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantah penggunaan dana zakat sebanyak RM63,650.00.

Ketuanya, Nasrudin Hassan yang mengetuai Pemuda PAS bagi penyerahan memorandum tersebut menjelaskan DPPM melihat isu penggunaan wang zakat sebagai pendahuluan kos guaman merupakan satu penyelewengan terhadap dana zakat.

"Timbul persoalan bagaimana wang zakat boleh disalurkan kepada pihak yang tidak layak menerimanya.

"Isu ini boleh mengakibatkan timbulnya prejudis umat Islam bahawa wang zakat tidak digunakan kepada saluran yang sewajarnya dan boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh mereka yang berkepentingan," jelasnya.

Tambahnya lagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan pihak MAIWP berkali-kali menafikan penggunaan wang zakat sebaliknya hanya menyatakan menggunakan wang dari peruntukan kerajaan.

"Jamil Khir dan MAIWP menafikan wang tersebut dari wang zakat walaupun terdapat bukti yang mengesahkan ia benar-benar dari sumber zakat.

"Lihat kepada Laporan Ketua Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kira-Kira Negara yang mengesahkannya dan juga terdapat baucer bayaran bernombor 2010B04112 yang bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150 dikeluarkan," sambungnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu DPPM juga mempersoalkan mengenai kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang merujuk kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Wan Zahidi Wan The bahawa penggunaan wang zakat kes guaman adalah dibolehkan demi mempertahankan kedaulatan Islam.

"DPPM ingin bertanya bagaimana boleh diklasifikasi penggunaan kos guaman itu sebagai mempertahankan kedaulatan Islam sedangkan kes sebenar adalah melibatkan kes qazaf oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tetapi kes tersebut dinafikan di Mahkamah Syariah dan dibicarakan di Mahkamah Sivil, adakah itu dianggap sebagai mempertahankan kedaulatan Islam," katanya lagi.

Nasruddin tegaskan pihaknya memohon agar MAIWP tampil memberi penjelasan kepada seluruh rakyat Malaysia serta memohon maaf secara terbuka atas kesilapan yang berlaku.

Dalam pada itu, beliau nyatakan DPPM menegaskan bahawa isu penggunaan wang zakat bagi tujuan kos guaman adalah suatu isu kesalahan dan merupakan penyelewengan yang besar di sisi rakyat.

"Kita tidak akan bersekongkol dengan kemungkaran yang berlaku dan menjadi tanggungjawab kami untuk membantah tindakan ini bagi kepentingan agama Islam dan umat Islam di negara ini," katanya lagi.

Sebelum itu, memorandum tersebut telah diserahkan kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Ismail Porjo di Pejabat MAIWP.

Turut hadir bersama Nasrudin adalah Pengarah Jawatankuasa Isu Zakat, Kamaruzaman Mohamad yang juga Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi dan juga beberapa anggota exco DPPM yang lain.

Tahniah mencurah-curah untuk Dr Ahmad Yunus

Harakahdaily, 19 Jan 2012

SHAH ALAM, 19 Jan: Ucapan tahniah terus datang mencurah-curah untuk Dr Ahmad Yunus Hairi atas perlantikan beliau sebagai Exco baru kerajaan negeri Selangor.

(Gambar: Khalid dan Dr Rani mengucapkan tahniah kepada Dr Ahmad Yunus sejurus selepas dilantik)

Terbaru, ucapan tahniah datang dari lajnah Pekerja dan Professional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Dr Ahmad Yunus, ADUN Sijangkang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Kerajaan Negeri Selangor yang baru semalam.

Beliau dilantik menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali yang dipecat dari PAS sebelum ini.

Bagi lajnah ini, perlantikan ini akan memberi impak yang besar kepada pembangunan Negeri Selangor.

"Sesungguhnya perlantikan individu professional seperti YB Dr Ahmad Yunus Hairi amat-amat diperlukan bagi memantapkan lagi sistem pentadbiran kerajaan negeri," kata pengerusi lajnah itu, Dr Ghazali Hasbullah.

Lajnah ini mengharapkan penumpuan yang lebih fokus diberikan oleh beliau dalam portfolio Adat Resam Melayu serta portfolio Belia dan Sukan.

Isu-isu yang melibatkan pembelaan orang melayu dan belia sudah semestinya menjadi agenda utama beliau, kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Khalid lantik dua pegawai khas baru

Harakahdaily, 19 Jan 2012
SHAH ALAM, 19 Jan: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) telah melantik dua Pegawai Khas bagi membantu beliau dalam menjalankan portfolio Infrastruktur dan Kemudahan Awam yang baru diambil alih semalam.

Adun Rawang, Gan Pei Nei dan Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Semesta Sdn Bhd V. Ganabatirau dipilih untuk memegang jawatan tersebut yang bertanggungjawab memastikan penyelarasan kerja-kerja pembaikan jalan dan parit yang dikelola Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berjalan lancar.

"Pelantikan mereka berkuatkuasa serta merta dan Menteri Besar berharap kedua-duanya akan bekerja keras untuk memberi perkhidmatan yang baik dan berkesan kepada rakyat Selangor," kata kenyataan yang dikeluarkan pejabat MB hari ini.

Semalam Khalid membuat rombakan kecil kepada exconya berikutan perlantikan Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco baru bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali yang dipecat dari PAS.

Melalui rombakan itu, Khalid mengambil alih portfolio yang dipegang Hasan sebelum ini iaitu Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Dr Yunus yang merupakan Pembantu Exco kepada Khalid sebelum ini diberikan portfolio yang dipegang beliau iaitu Belia dan Sukan di samping mengambil portfolio Hasan iaitu Adat Melayu.

ISU SAMPAH


Sementara itu, talian bebas tol (1-800-88-282) yang dibentuk kerajaan negeri untuk memantau isu kutipan sampah di negeri ini berjalan dengan baik.

Talian yang bermula dua hari lepas, 17 Januari itu mendapat sambutan baik dari orang ramai yang ingin mengadu masalah kutipan sampah di kawasan mereka.

"Kita pastikan, tindakan terhadap aduan itu dibuat dalam masa 48 jam," kata Arfa'eza Aziz, Setiausaha Akhbar MB Selangor kepada Harakahdaily.

Kerajaan negeri Selangor juga sudah mengeluarkan tender terbuka untuk melantik kontraktor bagi membuat kutipan sampah ini.

Ia dibuat ekoran pemberhentian syarikat Alam Flora dari menjadi kontraktor tunggal pengutipan sampah di Selangor.

Di samping itu, kata Arfa, setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah membuat skuad khas untuk memastikan kutipan sampah di seluruh negeri ini berjalan lancar.

"Di Shah Alam, Datuk Bandar turun sendiri (untuk memantau)," beritahu Arfa.

Tiada ulasan: