Isnin, 16 Januari 2012

YANG PERGI AKAN DIGANTI...YANG HILANG AKAN TUMBUH ...KADANG2 PENGANTI LEBIH2 BAIK DARIPADA YANG HILANG..JIKA DULU TIDAK PATUH PADA KEPIMPINAN

PAS hantar calon ganti Hasan kepada MB Selangor

Harakahdaily, 16 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 16 Jan: PAS Pusat telah menghantar nama calon bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor kepada Pejabat Menteri Besar kira-kira jam 12.30 tengah hari ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, beliau menghantar nama calon berkenaan telah menerima nama itu daripada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“PAS Pusat telah buat keputusan tentang orang yang akan menggantikan Datuk Hasan Ali dan saya telah menerima nama itu daripada Presiden dan nama itu telah pun saya maklumkan kepada Pejabat Menteri Besar Selangor sekitar pukul 12.30 tengah hari.

“Dan saya pun dah berhubung Pejabat Menteri Besar dan dah dimaklumkan mereka terima makluman itu,” katanya kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau bagaimanapun tidak bersedia mendedahkan nama calon yang dicadangkan itu.

“Tapi untuk hari ini, saya rasa saya tak sedia untuk memaklumkan nama itu sekarang kerana urusan selanjutnya urusan kerajaan negeri dengan DYMM Sultan Selangor,” ujarnya lagi.

Jelasnya, terserah kepada pihak-pihak berkenaan untuk mengambil langkah selanjutnya.

Semalam, beliau memberitahu Presiden PAS akan membuat keputusan calon bagi menggantikan Hasan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau berkata, nama itu akan beliau sampaikan kepada Menteri Besar Selangor.

"Kita jangka, jika tidak ada sebarang masalah, mesyuarat Exco Selangor Rabu ini akan mendapat anggota baru dari PAS," katanya.

Hasan dipecat daripada menjadi ahli PAS pada 8 Januari lepas oleh Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau bagaimanapun berpeluang membuat rayuan terhadap keputusan itu kepada Majlis Syura Ulamak dalam tempoh 30 hari selepas dipecat.

Bagaimana pun, malam semalam Hasan membuat keputusan tidak akan merayu. Ia diumumkan beliau dalam satu majlis di Gombak.

Pada 13 Januari lepas, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan perlantikan exco kerajaan negeri yang baru bagi menggantikan Hasan akan diadakan pada 18 Januari nanti di Istana Kayangan, Shah Alam.

Beliau yang hadir pada sidang media selepas mengadap Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberitahu pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan status kedudukan Hasan yang tidak lagi menjadi ahli PAS.

Rakyat Sabah diajak bersama Pakatan Rakyat

Mohd Firdaus, 16 Jan 2012

KOTA KINABALU, 16 Jan: Rakyat di negeri ini diajak untuk bersama Pakatan Rakyat membina sebuah negeri dan negara yang maju, adil dan beramanah menjelang Pilihanraya Umum ke-13 memandangkan Umno BN sudah tidak berdaya dan lemah dalam membangunkan nasib dan hak rakyat.

Ketua Penerangan, Mohd Julpikar Abd. Mijan berkata, selain kenyataan penghinaan pemimpin Umno BN terhadap Sabah sebagai deposit tetap, terdapat juga beberapa faktor yang membenarkan rakyat untuk memastikan Umno BN terutama dinegeri ini ditumbangkan.

“Rakyat Sabah perlu sedar bahawa, kekerapan beberapa kenyataan yang keluar dari mulut pemimpin Umno BN yang menjadikan Sabah sebagai fixed deposit (deposit tetap) merupakan kenyataan berbaur penghinaan dan tidak layak untuk dituturkan oleh seseorang pemimpin yang memiliki jiwa dan berhati rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata, hasil bumi dan kekayaan Sabah yang tinggi berbanding di negeri-negeri lain seluruh Malaysia dan dalam masa yang sama, kadar kemiskinan rakyat Sabah yang tinggi juga menimbulkan tanda tanya mengenai pembangunan rakyat yang dibawa Umno BN negeri ini.

“Semua kita maklum bahawa, Sabah mempunyai hasil kekayaan yang tinggi. Lebih tinggi daripada mana-mana negeri yang ada di Malaysia ini.

“Tapi, apakah kita percaya bahawa Sabah juga mencatatkan kadar kemiskinan yang jauh lebih tinggi juga berbanding di negeri-negeri seluruh Malaysia. Ikut dari logik dan matematik, semakin tinggi hasil hasil dan kekayaan bumi maka semakin senanglah hidup rakyat,” kata Julpikar.

Katanya, kegagalan kerajaan negeri menguruskan masalah setinggan di negeri ini menambahkan lagi jurang pendapatan dan keselesaan yang dialami rakyat.

“Isu setinggan, sampai sekarang tidak mampu ditanggani dengan baik oleh kerajaan negeri.

“Projek-projek perumahan banyak didirikan, namun kehidupan rakyat masih dihantui kesempitan dan ketidakselesaan mengurus kehidupan,” ujarnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat beberapa penghuni setinggan yang dipindahkan ke pusat penempatan turut dihalau keluar akibat kesempitan membayar sewa dan kemudahan infrastruktur yang lain.

“Kita (PAS) mempunyai maklumat dan bukti yang benar mengenai isu ini. Penghuni setinggan yang tidak mampu bayar sewa di penempatan baru terpaksa dihalau keluar.

“Beginikan caranya pihak kerajaan menyelesaikan masalah?” katanya dalam nada kekesalan.

Keseriusan Ahli Parlimen Sabah menyuarakan hak dan kebajikan rakyat negeri ini juga dipertikai memandangkan kegagalan mereka menyuarakan dan membangkitakan isu ini di Parlimen.

“Kita (PAS) melihat, terdapat beberapa Ahli Parlimen yang lantang menyuarakan kebenaran... yang lain hanya angguk dan geleng mengatakan ‘yes bos’.

“Sudahlah enak menikmati gaji dan elaun yang tinggi, duduk pula di kerusi-kerusi empuk dan tilam yang lembut. Tapi, amat lembap dan lemah meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.

Katanya, Sabah akan menikmati kehidupan yang jauh lebih baik dan dinaungi kerajaan adil yang beramanah sekiranya Pakatan Rakyat diberi peluang memimpin negeri ini dan negara secara keseluruhannya.

| Print |

Kalau kaki kencing manis, tidak potong merugikan

Subky Abdul Latif, 16 Jan 2012
PROF. Madya Atorry Hussein kata, PAS telah rugi kerana memecat Dato Hasan Ali.

Saya kata, memang tokoh akadamik itu telah berkata betul seperti yang dirakamkan dalam surah al-Asri yang bermaksud, sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian.

Ketika dia dipecat, dia adalah ADUN PAS Gombak Setia. Apabila dia dipecat dari parti, maka PAS sudah tidak ada wakil rakyat di situ.

Siapa pun yang hendak menjaga kepentingan rakyat dan kawasan itu sesuai dengan kepentingan politik PAS di situ? Benar Hasan masih wakil rakyat di situ. Jika dia menjalankan tugasnya, maka dia sudah tentu tidak menjalannya mengikut kepentingan PAS.

Seorang wakil rakyat PAS telah ditetapkan oleh PAS di zaman Dr. Burhanuddin al-Hilmy dulu mesti mendermakan 20 peratus dari elaunnya kepada parti. Bagi Anggota Parlimen kepada PAS Pusat dan bagi ADUN kepada PAS Negeri. Apabila mereka pencen, maka caruman itu tinggal lima peratus saja.

Begitu juga kalau dia Menteri Besar atau Exco. Maka setiap bulan PAS dapat wang masuk 20 peratus dari elaun mereka dan lima peratus setelah pencen hinggalah mereka mati. Jika mereka dipecat peruntukan itu tentu hilang. Tidakkah rugi namanya?

Maka sebagai parti politik PAS tidak sunyi dari kerugian. Ia juga rugi bila wakil rakyatnya kalah. Kalau ia menang, potongan elaun itu 20 peratus, tetapi bila kalah, PAS dapat lima peratus saja. Rugi juga.

Setelah Ustaz Hassan Shukri tidak jadi senator, dia elaun pencennya setiap enam bulan sekali. Sebelum dia meninggal dia beri elaun untuk enam bulan yang akan datang. Didahulukannya pemberiannya itu. Bila dia mati, PAS tidak dapat lagi dapat duit. Tidakkah PAS juga rugi?

Demikian apabila sekalian bekas wakil rakyat dan bekas senatornya mati. Banyak kerugian yang ditanggung oleh PAS?

Manusia itu begitu. Universiti melabor banyak terhadap profesornya untuk kepentingan kampusnya. Cukup profesor itu lari ke universiti lain atau berhenti. Tidak rugikah universiti. Seperti Atorry Hussein, katakan tiba-tiba mati belum bersara. Tidak rugikah universiti? Tentulah rugi.

Kerajaan mengeluarkan beratus ribu belanja untuk menanggung seorang pelajar perubatan. Setelah tamat tempoh kontreknya berkhidmat dengan kerajaan dia letak jawatan bagi membuka klinik sendiri. Kerajaan telah kerugian dan terpaksa menanggung pelajar perubatan yang baru bagi mengganti doktor yang pergi itu.

Logiknya semua profesor itu diperlukan khidmatnya oleh universiti. Tetapi setengah profesor yang baik itu cenderung pula pada politik.Mereka pun berpolitik bersama pembangkang. Mereka sudah melanggar akta universiti. Universiti terpaksa buang mereka. Tentulah universiti rugi. Walau pun rugi tetapi universiti terpaksa buang juga mereka. Mengapa?

Antara profesor itu amat sayang pada isterinya. Tetapi isterinya sakit tenat. Menderita lama di hospital. Harapan pulih tidak ada. Dari menderita begitu, maka profesor redha, mati adalah lebih baik baginya. Profesor sayang padanya, apabila mati profesor kehilangan orang yang dikasihi. Rugi isteri mati, tetapi di sebaliknya memungkin profesor beristeri lain pula.

Semua manusia sayang akan kakinya. Tetapi apabila dia terkena sakit kencing manis, kakinya terpaksa dipotong. Apabila dipotong rugilah kakinya. Dia juga rugi kerana sudah tidak berkaki. Dia sayang pada kakinya. Tetapi kalau tidak dipotong kaki itu, dia pula akan mati segera.

Oleh itu biarlah dia tidak berkaki asal dapat meneruskan hidup dalam keadaan cacat tetapi dapat lagi beribadat. Sesayang mana pun dia pada kakinya, tetapi dia terpaksa menerima hakikat membuang kakinya yang sudah tidak berguna dan memudaratkan jiwanya.

Membuang kaki yang begitu lebih baik dari berkaki yang tidak berguna lagi.

Bukan PAS tidak sayang pada Hasan Ali. Tetapi politik itu, kata Tok Guru Haji Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya di muktamar lalu, ada fiqahnya. Mufti Perak mahir fiqah lain tetapi tidak mahir fiqah politik.

Yang PAS bertindak terhadap Hasan itu adalah mengikut kehendak fiqah politik. Kalau kaki kencing manis terpaksa dipotong, tidak memotongnya lebih merugikan.

30,000 dijangka sertai Jubli Emas Pemuda PAS T’ganu

Harakahdaily, 16 Jan 2012

KUALA TERENGGANU, 16 Jan: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu akan mengadakan Sambutan Jubli Emas pada 19, 20 dan 21 Januari ini bertempat di Batu 5, Alor Tempoyak, Dungun.

Setiausahanya, Muhammad Zaidan Abdullah berkata, pelbagai program telah disusun bagi memastikan sambutan 50 tahun itu meriah dan bermakna.

Katanya, majlis itu akan dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasruddin Hassan Tantawi.

“Sambutan ini dijangka akan dihadiri kira-kira 30 ribu pengunjung sepanjang program ini berlangsung.

“Sepanjang 50 tahun penubuhannya, DPPNT telah dipimpin oleh 16 orang Ketua Pemuda, antara mereka termasuklah Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan Mohd Abdul Wahid Endut, Pesuruhjaya PAS negeri sekarang,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, pada malam 19 Januari diadakan ceramah yang melibatkan Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Saifudin Nasution Ismail (Setiausaha Agung PKR), Ustaz Saiful Bahari Mamat (Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu) dan Ustaz Mohd Nor Hamzah (Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri).

Pada 20 Januari pula, katanya majlis dimulakan dengan Kuliah Dhuha akan disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus, diikuti perbarisan Unit Amal dan Waja, ucapan oleh Mohd Nor Hamzah, Mohd Abdul Wahid Endut, perasmian oleh Nasruddin Hasan Tantawi serta penyampaian “Anugerah Khas Jubli Emas”.

Selain itu, ujarnya Karnival OMGK – “Orang Mude Geng Kite” diadakan bermula jam 2.30 hingga 6.30 petang, diikuti slot Bersama Imam Muda, Fakhrurazi Husein.

Konsert Hiburan Alternatif pula diadakan bermulan jam 9.00 malam yang melibatkan Bob Lokman, Iwan Syahman dan Kumpulan Ar Rasy.

Pada 21 Januari, Larian Jubli Emas DPPNT bermula jam 8.00 pagi dan majlis berakhir kira-kira jam 12.00 tengah hari dengan amanat Presiden PAS.

Katanya, acara lain yang turut diadakan ialah Konvoi Motor – ARC, Konvoi Basikal dan Pelancaran Alternative Cycling Club (ACC), Pameran dan Aktiviti (Karnival Orang Mude Geng Kite), Jamuan Rakyat, Pameran 50 tahun penubuhan DPPNT, Kaunter Khidmat Nasihat Guaman dan Undang-Undang, Rawatan Islam Darul Syifa’ dan Derma Darah.

KR1M: Najib hanya penting kroni, sedia abai rakyat

Harakahdaily, 16 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 16 Jan: Masalah utama Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) ialah menjual barang makanan yang tidak mengikut piawaian kesihatan dan membahayakan kesihatan rakyat, terutamanya golongan bawahan yang berbelanja di kedai tersebut.

Namun, segala yang cuba diutarakan oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat diremehkan.

Lebih teruk lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meraikan pembongkaran tindakan KR1M untuk menjual makanan yang tidak mengikut piawai kesihatan dengan bangga menyatakan bahawa cemuhan akan melariskan lagi jualan kedai KR1M.

“Saya galakkan mereka untuk terus cemuh dan kritik kedai ini kerana apabila banyak kritik, maka lebih ramai yang akan datang ke situ. Malah, jumlah kedai KR1M di seluruh Malaysia sudah 27 buah dan keseluruhannya 85 buah akan beroperasi hingga hujung tahun ini," kata Najib yang dipetik Bernama.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua (gambar atas) berkata kenyataan Najib jelas menunjukkan bahawa beliau langsung tidak kisah terhadap kesihatan dan keadaan orang awam, termasuk pengundinya.

“Kritikan daripada Pakatan Rakyat (PR) pada KR1M bukannya berkisah samada jualannya bertambah baik ataupun kurang. Kritikan dibuat atas persoalan samada subsidi yang diberikan kerajaan ini untuk menguntungkan sesetengah ahli perniagaan atau merompak pengguna atau kesihatan mereka terjejas,” kata Pua yang menyifatkan kenyataan Najib itu lucu dan juga dibuat dalam keadaan ketakutan.

Menurut Pua, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai sendiri mengesahkan bahawa susu segar 1Malaysia yang dijual lebih murah berbanding kedai lain mengandungi kuman E.Coli yang boleh menyebabkan kematian.

Selain itu, Pua juga berkata Kementerian Kesihatan turut mengesahkan susu tepung 1Malaysia Growing Up Milk Powder untuk kanak-kanak berumur 1 tahun dan ke atas mengandungi vitamin A berlebihan, dua kali ganda piawaiaan yang ditetapkan institut perubatan IOM untuk kanak-kanak berumur 3 tahun dan ke bawah yang boleh mengakibatkan Hypervitaminosis A, kerosakan hati, asma, kehilangan rambut dan sebagainya.

Demikian juga dengan dua produk lain sos tiram and krim pemanis yang telah dipastikan melanggar piawai kesihatan yang tertera di Akta Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Selain itu, pihak PR turut mengesahkan barang-barangan yang dijual di KR1M tidak mempunyai banyak perbezaan dari segi harga berbanding hypermarket yang lain seperti yang diwar-warkan sehingga 30 – 50 peratus penjimatan, meskipun syarikat pengoperasi KR1M, Mydin menerima RM40 juta subsidi dari kerajaan.

“Walaupun sudah terang bersuluh pendedahan di atas, Najib telah membuat keputusan untuk menghukum KR1M yang telah melanggar pelbagai undang-undang, sebaliknya berbuat baik kepada KR1M dan pemilik swastanya. Beliau langsung tidak mempunyai niat untuk menegur pemilik KR1M atas kesilapan besarnya,” selar Pua.

Pua turut menambah, tiada kesimpulan lain yang boleh dibuat daripada tindakan Najib di atas.

“Najib hanya berminat untuk memastikan jualan KR1M meningkat dan mendapatkan untung yang banyak untuk pemiliknya.”

Beku aset, Shahrizat cuti, tak selesai masalah NFC

Nazri Abdullah, 16 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 16 Jan: Tindakan kerajaan membekukan aset syarikat NFC dan mengarahkan Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil bercuti tiga bulan, belum tentu dapat mengembalikan wang RM250 juta yang telah dipinjamkan kepada syarikat tersebut.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, apa yang lebih penting katanya aset individu khususnya ahli lembaga pengarah syarikat NFC itu perlu dibekukan.

Ini kerana katanya, dengan pendedahan beberapa pihak sebelum ini, tidak mustahil wang syarikat NFC itu telah dipindahkan kepada akaun ahli lembaga pengarahnya.

"Berapa nilai aset yang dibeku. Apakah hanya lembu dengan kandang lembu dan najis lembu sahaja?

"Kita bimbang aset yang dibekukan itu tidak ada nilai, sedangkan aset sebenar ada pada akaun peribadi," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau juga menuntut jaminan kerajaan bahawa wang rakyat RM250 juta itu dapat kembali jika benar ada kes.

Divert isu kepada Shahrizat

Dalam pada itu, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena menyifatkan tindakan terbaru kepada NFC itu sebagai cubaan mengalihkan semua isu NFC itu hanya kepada Shahrizat.

Sedangkan katanya, Ketua Audit Negara, dan JK Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mendedahkan terdapat salah laku dalam urusan pemberian projek tersebut yang membabitkan pemimpin tertinggi negara.

Malah lebih teruk, projek tersebut dianugerahkan kepada syarikat yang tidak berpengalaman.

"Kenapa pemberian projek tanpa meterai perjanjian. Prosedur Kementerian Kewangan tidak dipraktikkan.

"Kes NFC ini tak berlaku jika ada ketelusan dalam pemberian projek," katanya.

Sehubungan itu beliau mahu kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dalam projek ternakan lembu itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Sabtu lalu mengumumkan bahawa semua aset NFC dibekukan sementara menunggu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.

Sebelum ini, Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang suami dan anaknya antara lembaga pengarah syarikat berkenaan mengumumkan akan bercuti selama tiga minggu.

Tok Guru jadi inspirasi konvensyen

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com, 16 Jan 2012

Ada beberapa kesan penting yang diperoleh dari Konvensyen Ke-3 Pakatan Rakyat di Stadium Sultan Abd Halim, Alor Setar Sabtu lalu, sebuah Konvensyen yang diramalkan terakhir sebelum PRU Ke-13.

Pertama, bertambah kukuhnya kesepakatan dan keazaman bersama parti-parti dalam Pakatan Rakyat untuk membuat perubahan jika diberi kuasa oleh rakyat untuk memerintah Kerajaan Pusat, iaitu membersihkan negara ini dari sampah saraf dan kotoran rasuah, penyelewengan, pemborosan, nepotisme, skandal dan pelbagai lagi.

Hampir 20 orang tokoh – besar dan kecil - yang berucap sejak dari pagi hingga ke Rapat Rakyat Perdana di sebelah malam yang dihadiri lebih 50,000 orang, semuanya mengungkapkan nada yang satu untuk terus berjuang di bawah Pakatan Rakyat bagi membina sebuah negara yang harmoni, demokratik, dan menjunjung kebebasan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz Nik Mat yang berucap di sebelah tengah hari dan malam, seperti biasa menjadi tumpuan perhatian malah menjadi inspirasi Konvensyen.

Walaupun uzur tetapi kelantangan suaranya jelas ketika berucap. Ucapannya menjadi pendorong utama peserta Konvensyen untuk meneruskan perjuangan ‘Membersihkan Malaysia’.

Ungkapan dua patah ini menjadi slogan utama di Konvensyen tersebut dan ternyata peserta dari pelbagai kaum itu menjadikannya sebagai asas perjuangan Pakatan.

Tuan Guru sendiri telah menulis perutusan untuk Konvensyen tersebut, mengulangi pengharapannya kepada Pakatan Rakyat seperti yang pernah disampaikannya dua tahun lalu.

Beliau menegaskan kembali bahawa “Perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat yang bukan Islam.

“Malah Umno dilihat jelas mengkhianati perjuangan Islam apabila tidak berubah dengan tindakan memfitnah PAS, misalnya, menuduh PAS menjadi tunggangan DAP dan membuang matlamat negara Islam.”

Beliau berkata, atas sebab tersebut, Umno tidak layak menjadi rakan PAS dan jauh sama sekali untuk dijemput menjadi rakan dalam Pakatan Rakyat.

Tuan Guru menyatakan kekal dengan keyakinannya bahawa kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat mempunyai peluang cerah untuk PRU Ke-13 nanti, walaupun disebalik proses pilihan raya yang berjalan sekarang nampaknya paling tidak adil dan penuh dengan pelbagai spekulasi yang mendera dan menekan PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berpendapat, sikap kerajaan BN sekarang ini perlu diasak terus dan dipastikan agar menambahbaikkan proses pilihan raya dibuat dalam PRU Ke-13 nanti. Oleh itu, beliau menyeru supaya bangkit menggerakkan Berih 3.0 demi memenuhi pilihan raya yang adil, telus dan bersih.

Tuan Guru akhirnya menyeru semua pendukung PAS meningkatkan kerjasama bersama Pakatan Rakat.

Ada sesuatu yang sangat menarik dalam agenda Konvensyen Pakatan Rakyat tersebut iaitu acara ucapan suara hati nurani rakyat Malaysia yang dimoderatorkan oleh Datuk Johari Abdul.

Pemidatonya, Puan Siti Khadijah dari Felda, Brig Jen (B) Datuk Abd Hadi Abd Khatab, wakil penjawat awam, Tan Sri Simon Sipaun dan Nicholas Mujah dari Sabah dan Sarawak, budayawan Dinsman, ahli akademik, Prof. Dr. Nazari Ismail, dari NGO, Datuk Ambiga Sreenevasan dan wakil pemuda/pelajar, Akram Ikrami.

Ini adalah suara yang jarang kita dengar dan kita mendengar apa yang mereka ungkapkan ialah bahawa mereka sangat memahami dan berkongsi masalah dengan apa yang dihadapi oleh rakyat yang mahukan perubahan.

Juga sangat menarik ialah pembicara dari tokoh ternama dalam sesi perbahaan perwakilan, iaitu dari Dr. Dzulkifly Ahmad mengenai Tawaran Buku Jingga, masalah Felda oleh Suhaimi Said, isu anti monopoli oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, isu Federalisme oleh Anthony Loke dan isu penjawat awam, oleh Datuk Husam Musa.

Pada pendapat saya, Tawaran Buku Jingga ialah sesuatu yang besar yang merupakan janji Pakatan Rakyat jika mencapai kemenangan dalam PRU Ke-13 nanti.

Antara lain ia mengemukakan tawaran mengenai dasar Felda di bawah Pakataan Rakyat, Dasar Anti Monopoli Pakatan Rakyat, Dasar Pengukuhan Federalisme Pakatan Rakyat dan Dasar memperkasa Perkhidmatan Awam pakatan Rakyat.

Semua ini, kepada saya, ialah janji praktikal yang sewajarnya diketengahkan oleh Pakatan kepada rakyat keseluruhannya. Misalnya, dasar Felda yang akan memberikan keuntungan kepada peneroka dan tidak dimonopoli oleh golongan yang berkepentingan seperti sekarang.

Pakatan Rakyat perlu berada di ‘halaman’ atau ‘di depan pintu’ para peneroka Felda sendiri seluruh negara untuk menerangkan tawaran Pakatan Rakyat terhadap mereka jika Pakatan berkuasa.

Pakatan Rakyat sudah ada jambatan penghubung dengan peneroka menerusi ANAK yang dipengerusikan oleh Mazlan Aliman dan Pengerusi Biro Peneroka PKR, Suhaimi Said.

Oleh itu, tidaklah sukar untuk berada di tengah khalayak peneroka, lagipun suasana di tanah rancangan Felda sekarang ini sudah jauh berubah di mana kebanyakan peneroka sudah mahukan perubahan. Mereka menanti ketibaan Pakatan Rakyat untuk menjelaskan kepada mereka tawaran dalam Buku Jingga itu.

Kesimpulannya pada pendapat saya, Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga di Alor Setar itu menatijahkan harapan dan keazaman yang sangat besar untuk Pakatan Rakyat membuat perubahan dan membersihkan Malaysia jika menang dalam PRU Ke-13 nanti.

Tindakan tahan mahasiswa USM berat sebelah - SMM

Harakahdaily, 16 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 16 Jan: Tindakan polis menahan seorang mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) hanya kerana mengecam perdana menteri melalui laman Facebook merupakan satu lagi bentuk intimidasi polis terhadap mahasiswa.

“Selepas peristiwa yang menimpa Bukhairy yang ditahan atas alasan tidak memberi kerjasama dengan polis, Janartana dari USM pula menjadi mangsa intimidasi polis,” kata Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Ab Razab.

SMM, katanya melihat sifat agresif polis dalam menahan mahasiswa merupakan signal jelas kepada intimidasi terhadap aktivis mahasiswa yang sejak kebelakangan ini semakin bangkit memperjuangkan hak kebebasan akademik dan autonomi universiti.

Katanya, hanya kerana menggunakan Facebook untuk mengecam Perdana Menteri, mahasiswa USM itu ditangkap tanpa sebarang alasan lain yang kukuh.

Beliau menyifatkan tangkapan berasaskan Facebook itu sama seperti tindakan UPSI yang menggantung Adam Adli dengan hanya menggunakan fakta Google tanpa bukti lain yang lebih kukuh.

“Jikapun benar Fb mahasiswa USM tersebut berbentuk ancaman, namun apakah sesuai tindakan pihak polis dengan terus menangkap sedangkan kecaman itu hanya berbentuk ekspresi terbuka di laman internet.

“Tindakan polis ini juga dilihat sangat berat sebelah jika dibandingkan dengan tindakan polis terhadap individu yang mengancam mahasiswa,” katanya lagi.

Sebagai contoh, katanya individu yang cuba menumbuk Adam Adli dan mukanya dirakam media sehingga ke hari ini masih bebas dan tidak menghadapi sebarang tindakan daripada pihak polis.

Begitu juga, katanya dengan individu yang mencederakan Safwan Anang yang masih bebas sedangkan laporan polis telah lama dibuat.

“Sifat bias ini menguatkan keyakinan SMM bahawa tindakan pihak polis yang semakin agresif terhadap mahasiswa ini merupakan amaran dan intimidasi untuk menakutkan mahasiswa daripada terus memperjuangkan agenda kebebasan akademik,” ujarnya.

Justeru, katanya mahasiswa mngutuk sekeras-kerasnya tangkapan itu dan mengecam sebarang intimidasi pihak polis terhadap mahasiswa.

SMM, ujarnya menggesa agar pihak polis segera membebaskan mahasiswa yang ditahan.

SMM juga, kata beliau mengecam sifat berdiam diri Perdana Menteri yang masih berdiam terhadap isu mahasiswa yang sedang melanda negara.

“Jika benar Perdana Menteri komited dalam melaksanakan transformasi politik, beliau seharusnya menasihati pihak polis agar lebih profesional berhadapan dengan kebangkitan anak muda,” ujarnya.

Tiada ulasan: