Rabu, 18 Januari 2012

BILA DAH TERBONGKAR SALAH DAN ADA PENYELEWENGAN...IBARAT BENDA BUSUK DAH TAK BOLEH TUTUP...

Azizan tingkat hasil balak, mana pergi masa BN

Aziz Muda, 18 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 18 Jan: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak ternyata seorang pemimpin yang berintegriti sehingga menjadikan pendapatan negeri itu meningkat berkali ganda berbanding semasa Kedah berada di bawah BN dulu.

Disebabkan kebolehan dan kejujuran Azizan dalam mentadbir negeri, hasil balak di Kedah sahaja mencatatkan keuntungan berkali ganda, apabila ia ditangani dengan baik, sejajar dengan amanah yang diserahkan kepadanya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun Azizan seorang ustaz yang diragui kebolehannya untuk menjadi pemimpin oleh sesetengah pihak khususnya Umno BN, tetapi beliau kini ternyata seorang yang berkebolehan dan berintegriti.

Menurutnya, setelah Azizan menjadi Menteri Besar Kedah, semua pihak telah tahu hasil balak di Kedah telah meningkat sehingga menyebabkan semua pihak tertanya-tanya ke mana perginya hasil balak semasa BN memerintah Kedah dulu.

"Semasa Umno BN perintah Kedah dulu, nampaknya balak dinilai dengan harga RM1,000 untuk satu ekar, tetapi setelah Datuk Seri Azizan menjadi menteri besar, satu ekar balak dinilai dengan harga RM19,000.

"Keluasannya sama, jadi mana perginya RM18,000 lagi semasa Umno BN memerintah Kedah dulu?" tanya beliau sinis sebagai mengulas perkembangan memberangsangkan bagi ekonomi Kedah setelah berada di bawah pemerintahan PAS atau Pakatan Rakyat.

Menurut beliau, dengan perkembangan yang memerangsangkan itu, kini semua pihak boleh menilai betapa berbezanya sesebuah kerajaan itu apabila ia dipimpin oleh seseorang yang berpegang kuat dengan ajaran Islam dan bersikap jujur, berbanding mereka yang dikatakan bijak dalam memimpin tetapi tidak jujur, penuh rasuah dan sering melakukan penyalahgunaan kuasa.

Ketika berucap pada acara Ucapan Penggulungan Pimpinan pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Alor Setar, Kedah, Sabtu lalu, beliau turut menyebut perkara itu dan disambut tepukan gemuruh daripada lebih 2,000 perwakilan.

Katanya, dengan peningkatan hasil negeri yang sedemikian tinggi, Azizan ternyata telah berkemampuan mematikan dakwaan tidak berasas pihak-pihak tertentu selama ini yang kononnya golongan agama, ustaz atau ulama tidak boleh menjadi pemimpin kerajaan.

"Malah dengan peningkatan hasil negeri setelah Kedah berada di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan, rakyat Kedah ternyata turut berbangga kerana akan dapat dibela dengan lebih menyeluruh berbanding semasa Kedah berada di bawah BN dulu yang hanya memberikan bantuan kepada kroni-kroni pemimpin parti itu sahaja," tegasnya yang juga Ketua Umum PKR.

Manakala dalam satu kenyataan, Datuk Seri Azizan berkata, Kerajaan Kedah di bawah Pakatan Rakyat telah berjaya meningkatkan hasil balak hampir 205 peratus berbanding hasil yang dikutip oleh BN semasa pemerintahan mereka sebelum ini.

Harakahdaily pada 3 Januari lalu melaporkan Azizan berkata, pencapaian memberansangkan itu berlaku hasil dari sistem tender terbuka yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah Pakatan Rakyat yang berjaya memberi pulangan menggalakkan kepada negeri.

"Sistem tender terbuka yang diperkenalkan memberi pulangan positif kepada kerajaan dan rakyat negeri ini. Pada tahun 2008 yang lalu semasa pengambilalihan kuasa pentadbiran, hasil pungutan balak hanyalah sebanyak RM35 juta. Ia meningkat kemudiannya kepada RM39 juta pada tahun 2009 yang lalu.

"Namun begitu pada tahun 2010 hasilnya premium balak berjaya mencecah sehingga RM50 juta," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Beliau berkata, hasil ketelusan dan sistem tender terbuka yang menjadi polisi kepada Kerajaan Kedah turut membuktikan bahawa gejala rasuah dan kronisme dapat dielakkan.

Sebelum ini Ketua Audit Negara telah melaporkan Kedah berjaya meningkatkan pendapatan dari hasil balak sebanyak 205 peratus pada tahun 2010 jika dibandingkan dengan tahun sebelum 2008 semasa pemerintahan BN dengan mendapat pulangan dalam lingkungan RM8 juta sahaja.

MB yakin Dr Yunus amanah, bertanggungjawab

Harakahdaily, 18 Jan 2012

SHAH ALAM, 18 Jan: Kerajaan Negeri Selangor menjunjung kasih kepada Sultan Selangor kerana telah berkenan menyempurnakan Istiadat Pelantikan Dan Angkat Sumpah Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) yang baharu.

“Kami percaya YB Dr Ahmad Yunus ADUN Sijangkang boleh menjalankan tugas dengan amanah, telus dan bertanggungjawab,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, latar belakang Ynus sebagai doktor perubatan telah banyak memberi khidmat kepada rakyat, boleh membantu beliau menjalankan tugas sebagai Ahli MMKN secara efisyen dan profesional.

Tambahnya, pelantikan baharu itu turut melibatkan rombakan kecil dari segi portfolio di mana Dr Ahmad Yunus akan bertanggungjawab terhadap Portfolio Adat Resam Melayu dan Belia dan Sukan manakala Portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam kini dipegang oleh Menteri Besar sendiri.

Jelasnya, rombakan yang berkuatkuasa hari ini dilakukan bagi memastikan kesinambungan kerja dan perkhidmatan kepada rakyat dapat berjalan dengan lancar, tambahan pula Dr Ahmad Yunus sebelum ini adalah Exco pembantu untuk portfolio Belia dan Sukan.

Khalid juga mengumumkan bahawa Adun Meru, Dr Abd Rani Osman dilantik sebagai Pengerusi Skim Mikro Kredit Miskin Luar Bandar (Skimsel) manakala Adun Bandar Baru Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat), kedua-dua jawatan itu sebelumnya disandang oleh Datuk Dr Hasan Ali.

“Dalam perkembangan berkaitan, saya ingin menyatakan bahawa saya ada menerima surat daripada YB Datuk Dr Hasan Ali yang berpendapat bahawa pelantikan ini mungkin terlalu awal (premature) kerana beliau masih mempunyai ruang untuk merayu kepada Majlis Syura PAS.

“Saya telah menjawab surat tersebut dengan menyatakan keputusan saya menggugurkan beliau adalah lanjutan dari keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 8 Januari 2012 yang melucutkan beliau sebagai ahli PAS,” jelasnya lagi.

Beliau menjelaskan surat dari Jawatankuasa PAS bertarikh 10 Januari 2012 telah mengesahkan keputusan pemecatan beliau berkuatkuasa serta merta dan isu rayuan tidak dinyatakan dalam surat berkenaan.

“Proses rayuan adalah amalan yang dipraktikkan oleh PAS sebagai sebuah parti politik dan saya percaya ianya tidak bermaksud memberi sebarang prasangka kepada kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri,” ujarnya yang juga Adun Ijok.

Justeru, Khalid berharap Dr Hasan menerima keputusan itu dengan berlapang dada dan mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih di atas peranan yang beliau laksanakan ketika berkhidmat sebagai ahli MMKN.

Tambahnya, kerajaan negeri amat menghargai segala nasihat dan pandangan yang diberikan Sultan Selangor dalam mengendalikan isu yang melibatkan pelantikan Ahli MMKN itu.

“Saya berharap dengan sempurnanya pelantikan ini akan menguatkan lagi barisan pimpinan negeri Selangor dalam melaksanakan reformasi pentadbiran dan pengurusan negeri,” ujarnya.

BERITA BERKAITAN

Dr Yunus ganti Hasan Ali

Dr Yunus jaga Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan

MB announces Yunus as new Exco after minor restructuring

Pasai apa pulak bukan Dr. Rani yang jadi Exco?

Pulau Pinang ajak PM bincang p'raya tempatan

Harakahdaily, 18 Jan 2012

PULAU PINANG, 18 Jan: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) telah menghantar surat kepada Perdana Menteri bagi meminta diadakan perbincangan tentang pilihan raya kerajaan tempatan.

Surat itu telah dihantar beliau kepada Perdana Menteri pada 12 Mac dan salinannya diedarkan kepada media hari ini.

Menurut Lim, kerajaan negeri Pulau Pinang telah membuat keputusan supaya pilihan raya kerajaan tempatan diadakan untuk memilih ahli-ahli majlis perbandaran di negeri itu.

Perkara 113 (4) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan kerajaan negeri boleh memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya selain dari pilihan raya umum.

"Kami sedar YAB Datuk Seri mempunyai pandangan lain dan tidak bersetuju dengan pilihan raya kerajaan tempatan tetapi memang terbukti amalan demokrasi akar umbi telahpun membolehkan urustadbir yang lebih cekap, akauntable dan telus berbanding dengan sistem perlantikan," katanya dalam surat itu.

Amalan antara bangsa pula, katanya, menunjukkan tren ini dengan 101 daripada 192 buah negara Bangsa-bangsa Bersatu mengamalkan sistem pilihan raya kerajaan temapatan.

Menurut Guan Eng, pihaknya telah juga menulis surat kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 4 Mac 2010 lagi mengenai perkara tersebut dan sedang menunggu maklum balasnya.

Sehubungan itu, katanya, pihak beliau sedia bertemu dengan Perdana Menteri bila-bila masa bagi membincangkan perkara tersebut.

PAS ragu penjelasan NFC kontrak RM250 juta

Hazayani Zakaria, 18 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 18 Jan: PAS meragui penjelasan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) bahawa kontrak bagi pinjaman mudah RM250 juta yang diterima daripada kerajaan ditandatangani pada 2007.

NFC turut mempertikai dakwaan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bahawa syarikat itu menerima sejumlah wang sebelum kontrak dimeterai.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaafar berkata, penjelasan itu menimbulkan persoalan kerana PAC dalam mesyuaratnya sebelum ini telah memanggil semua pihak untuk memberikan maklumat.

"PAC telah memanggil semua pihak untuk memberi maklumat dalam sidang PAC jadi sepatutnya maklumat ini (NFC) ada dan dibentangkan.

"Kenapa baru sekarang NFC sebut perkara ini dan kenapa kerajaaan dan Unit Perancang Ekonomi tidak maklumkan kepada PAC?" soal beliau ketika ditemui Harakahdaily hari ini.

November lalu, Pengerusi PAC, Tan Sri Azmi Khalid berkata bahawa selepas menyoal siasat beberapa pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, pihaknya mendapati bahawa pinjaman dikeluarkan pada 2009 sedangkan kontrak itu dimeterai setahun kemudian iaitu pada tahun 2010.

Kamarudin yang juga ahli jawatankuasa PAC turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat terus menulis surat kepada PAC agar jawatankuasa itu boleh terus berperanan menyiasat perbelanjaan yang diluluskan kerajaan.

"Kita menyeru kepada pihak yang mempunyai maklumat terus tulis surat kepada PAC," kata Ahli Parlimen Tumpat itu.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, laporan PAC tidak wajar dipertikai kerana jawatankuasa itu dilantik oleh Parlimen dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"PAC tidak boleh dipertikaikan kerana ia telah dibentang di Parlimen dan telah diterima pakai termasuk menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Syria: Sidang OIC sebelum barat campur tangan

Harakahdaily, 18 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 18 Jan: PAS mahu Malaysia segera menuntut agar diadakan sidang kemuncak tergempar Pertubuhan Negara-negara Persidangan Islam (OIC) bagi membincangkan krisis Syria yang kini telah mengorbankan ribuan rakyat awam negara itu.

Pengerusi Lajanah Antarabangsa PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, Malaysia perlu bertindak segera memandangkan keganasan oleh pasukan tentera kerajaan Presiden Bashar Al-Assad terhadap rakyatnya makin berleluasa.

"Hari ini rombongan 50 orang pemerhati Liga Arab dihantar ke Syiria untuk memastikan Presiden Bashar Al-Assad tamat.

"Rumusannya, majoriti mereka tidak berpuas hati dengan keganasan yang terus berlaku dan menuntut ianya dihentikan segera," katanya kepada Harakahdaily dan Harakah hari ini.

Awal bulan lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab telah mengadakan mesyuarat untuk menyelesaikan krisis ini.

Namun OIC masih dilihat berdiam diri dari membincangkan penyelesaian terhadap keganasan yang menimpa umat Islam Syiria itu.

Pergolakan yang bermula Mac 2011 lalu dianggar telah mengorbankan lebih 5000 nyawa rakyat negara itu.

Paling kritikal, pertempuran di bandar Homs yang telah mengorbankan ratusan rakyat yang berlarutan sehingga sekarang.

Kerajaan Syiria pimpinan Presiden Bashar Al-Assad sebelum ini telah berjanji untuk tidak bertindak ganas terhadap rakyatnya.

Bagaimanapun episod pembunuhan demi pembunuhan berlaku menyaksikan kerajaan itu tidak pernah menepati janji mereka.

Sementara itu, timbalannya Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, kebimbangan pada waktu ini adalah campurtangan kuasa barat yang bertujuan memecahbelahkan umat Islam Syiria.

"Kita perlu bertindak segera supaya tidak ada campurtangan kuasa besar khususnya Amerika dan Israel untuk porak peranda keadaan demi kepentingan kuasa mereka di Timur Tengah.

"Lebih menyakitkan, ianya boleh membawa kepada perbalahan antara mazhab," katanya.

Sehubungan itu, PAS katanya menyeru semua negara-negara umat Islam untuk melihat isu Syiria sebagai isu umat Islam dan bukan isu politik semata-mata.

Tahniah Ikhwan

Dalam perkembangan lain, Dyed Azman juga turut mengucapkan tahniah kepada Ikhwan Mesir ekoran Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang mewakili mereka menang majoriti kerusi pada pilihan raya parlimen di negara itu.

"PAS ucap syabas dan tahniah kepada Ikhwan Mesir.

"Kita doakan Mesir akan bergerak dengan demokrasi tulen," katanya.

3 MP Pakatan jumpa Zahid Hamidi esok

Harakahdaily, 18 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 18 Jan: Tiga anggota Parlimen Pakatan Rakyat akan menemui Menteri Pertahahan, Datuk Sri Zahid Hamidi esok di pejabatnya.

Ketiga-tiga mereka adalah Dr Dzulkefly Ahmad (AJK PAS Pusat - anggota Parlimen Hulu Selangor), Datuk Saifudin Nasution Ismail (Setiausaha Agung PKR - anggota Parlimen Machang) dan Tony Pua (Setiausaha Publisiti DAP - anggota Parlimen Petaling Jaya Utara).

Pertemuan itu akan diadakan jam 3 petang esok di Kementerian Pertahanan.

Isu utama yang bakal dibincangkan adalah cadangan penubuhan Jawatankuasa Parlimen bagi pembelian kelengkapan pertahanan negara.

Pertamuan ini dipercayai diadakan ekoran pelbagai isu mengenai pembelian peralatan pertahanan dibuat oleh kerajaan yang meragukan.

Dari pembelian kapal selam sehinggalah yang terbaru penyerahan kontrak kepada Boustead Naval Shipyard berjumlah RM9 bilion sentiasa menjadi isu dan pendebatan.

Boustead Naval Shipyard menerima projek itu untuk merekabentuk, membina, melengkapkan, memasang, meluluskan, intergarasi, ujian dan penyerahan enam buah Littoral Combatant Ships (Frigate Class).

Jumlah kontrak yang asalnya RM6 bilion tahun lepas telah melonjak kepada RM9 apabila diumumkan tahun ini.

"Menteri perlu memberikan penjelasan pembelian pelbagai peralatan ini kerana ia dibuat tanpa tender terbuka," kata Tony Pua, salah seorang anggota yang akan menyertai perjumpaan ini esok.

PRU13: PAS Perak perkenal Perakite, mesra rakyat

Harakahdaily, 18 Jan 2012

IPOH, 18 Jan: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak di dalam merangka gerak kerja Pilihan Raya Umum ke-13 telah memperkenalkan satu pendekatan mesra rakyat di dalam kempennya kelak.

Dalam penjenamaan kempen PAS Perak tersebut, slogan Perakite: Rakyat Sepakat Perak Berkat bakal dilancarkan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada 20 Januari ini.

Pelancaran tersebut bakal diadakan di Mosalla Al-Ehsan Paya Purnama, Paya Renggam, Padang Rengas yang turut dihadiri oleh AJK PAS Pusat, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien.

Pengarah Program Pelancaran Perakite, Mohd Misbahul Munir Masduki berkata, pembaharuan kempen itu diperkenalkan bagi meneruskan suasana bahang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti dan pelbagai program bersama rakyat akan disusun disemua kawasan Dewan Undangan Negeri yang ditandingi oleh PAS.

Katanya, program mesra rakyat dan kebajikan itu antara pengisian program yang telah dirancang sehingga tarikh PRU13 nanti bahkan tema yang dilancarkan turut dibawa oleh semua jentera parti.

Tiada ulasan: