Rabu, 18 Januari 2012

HALAL HARAM BUKAN ASING BARANG DIKAUNTER AJE...TAPI PADA SEMUA HAL...HALAL ITU JELAS...HARAM JUGA JELAS..JANGAN BERDALIH2LAH

Perlantikan Dr Yunus kukuhkan Pakatan Selangor

Harakahdaily, 18 Jan 2012

SHAH ALAM, 18 Jan: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan Dr. Ahmad Yunus yang dilantik sebagai Exco menggantikan Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali akan mengukuhkan lagi kesepaduan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Sambil merakamkan ucapan tahniah di atas perlantikan itu, ketuanya Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan juga berkata dewan itu sedia memberi kerjasama kepada Dr. Yunus dalam usaha mempertahankan negeri dari dirampas Umno BN.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merakamkan ucapan tahniah kepada YB Dr. Ahmad Yunus di atas perlantikan ini dan mendoakan semoga beliau akan melaksanakan amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dan seluruh jentera pemuda di semua peringkat akan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Ucapan penghargaan juga dirakam kepada ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana telah memperkenankan perlantikan Dr. Yunusi dari PAS sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang baru.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat bersyukur kerana proses perlantikan berjalan dengan lancar dan penuh muhibbah," katanya.

Dr Ahmad Yunus Hairi, Adun Sijangkang mengangkat sumpah sebagai Exco kerajaan negeri Selangor yang baru bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali pagi tadi.

Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor diadakan Bilik Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Ekoran perlantikan itu juga, kerajaan negeri Selangor membuat penyusunan semula portfolio Exconya.

Melalui perubahan tersebut, Dr Yunus akan memegang portfolio Adat Resam Melayu serta portfolio Belia dan Sukan.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pula akan memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Asas yang dipegang Hasan Ali sebelum ini.

Sebelum ini, Dr Yunus adalah Pembantu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Sumber Manusia yang Exconya adalah Dr Halimah Ali.

Dr Yunus juga menjaga urusan belia negeri Selangor yang portfolionya dipegang oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri.

Dr Yunus buktikan PAS komponen penting PR S'gor

Hazayani Zakaria, 18 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 18 Jan: PAS berharap Exco Selangor yang baru dilantik hari ini Dr. Ahmad Yunus Hairi bagi menggantikan Datuk Dr. Hasan Ali memberikan komitmen yang baik terhadap portfolio yang dipegangnya iaitu Adat Resam Melayu dan Belia dan Sukan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Dr. Yunus, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, PAS memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menjalankan peranan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor.

"Saya mengalu-alukan pelantikan beliau sebagai ahli exco baru kerajaan negeri Selangor mewakili PAS dan saya berharap beliau memberikan tumpuan sepenuhnya untuk membuktikan bahawa PAS ialah komponen yang penting dalam Kerajaan Selangor.

"Beliau juga perlu mengekalkan harapan rakyat bahawa Pakatan Rakyat dapat mentadbir negeri Selangor dengan berkesan dan membawa perubahan-perubahan berbanding BN," kata beliau kepada Harakah dan Harakahdaily hari ini.

Adun Sijangkang itu selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) di hadapan Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pagi tadi.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pelantikan baru itu turut melibatkan rombakan kecil dari segi portfolio iaitu Portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam kini dipegang oleh beliau sendiri.

Khalid juga mengumumkan, Adun Meru, Dr. Abd Rani Osman dilantik sebagai Pengerusi Skim Mikro Kredit Miskin Luar Bandar (Skimsel) manakala Adun Bandar Baru Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Adat Istiadat Melayu (Padat), kedua-dua jawatan itu sebelumnya disandang oleh Datuk Dr Hasan Ali.

Sementara itu, Kamarudin menambah, pelantikan Dr. Yunus itu berdasarkan kemampunan beliau sebagai pemimpin parti dan pencapapaiannya di peringkat Dun yang dipegang.

"Pelantikan beliau ini sudah tentu dibuat setelah meneliti kemampuan beliau sebagai pemimpin parti dan juga Adun di Selangor," katanya.

Lantik exco baru bawa mesej mahabbah

Rizal Tahir, 18 Jan 2012
KOTA BHARU, 18 Jan: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa syukur perlantikan exco baru Kerajaan Selangor untuk menggantikan Datuk Dr Hasan Ali.

Beliau juga berharap semua anggota exco kerajaan Selangor termasuk yang baru dilantik akan terus menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat.

“Semoga semua anggota exco kerajaan dari kedua-dua negeri ini membawa mesej mahabbah, mesej beribadat pada Allah dan mesej persamaan di muka dunia yang selari dengan kehendak-Nya,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perlantikan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai anggota exco yang baru hari ini.

Menurutnya, masalah pengganti exco dalam kerajaan itu sewajarnya berakhir apa lagi selepas Hasan sudah tidak menjadi anggota PAS lagi.

“Hasan Ali sudah dipecat, dia nak buat apapun lepas ni terpulang pada dia,” ujarnya.

Sebelum itu,Tuan Guru yang juga Menteri Besar Kelantan menerima kunjungan Menteri Pembangunan Pusat Bandar Kampung Baru dan Kewangan Negara China, Zhao Guang Qing, di pejabatnya tengah hari tadi.

Turut sama dalam kunjungan berkenaan, Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan bekas anggota Dewan Negara, Ahmad Rusli Ibrahim.

Asingkan kaunter bayaran barangan ‘tidak halal’

S. M. Mohamed Idris,
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang berat aduan salah seorang pekerja di sebuah pasar raya seperti mana yang disiarkan di dalam ruangan Surat Pembaca, akhbar Utusan Malaysia, 18 Januari 2012.

Berdasarkan kepada aduan itu, juruwang yang bekerja di pasar raya itu telah diarahkan oleh pihak pengurusannya supaya memegang daging babi tanpa berlapik. Perkara ini adalah sesuatu yang amat sensitif bagi setiap umat Islam.

Kebanyakan pasar raya di negara ini mempunyai ruangan khas untuk meletakkan barangan jualan yang ‘Tidak Halal’ bagi memisahkannya dengan barangan lain tetapi mungkin tidak mempunyai kaunter bayaran yang memisahkan khusus untuk menerima bayaran bagi barangan ‘Tidak Halal’ seperti yang dinyatakan di dalam surat pengadu.

Semua pihak pengurusan pasar raya di negara ini perlulah lebih sensitif kepada agama dan budaya rakyat di negara ini dan mereka perlu menghormati agama dan budaya pekerja mereka dengan mengambilkira setiap perkara yang sensitif serta mengelakkan daripada melakukan tindakan yang menyentuh sensitiviti agama dan budaya orang lain.

Sehubungan itu, CAP mencadangkan kepada semua pihak pengurusan pasar raya di negara ini agar mengadakan lorong kaunter bayaran khusus untuk membuat bayaran barangan ‘Tidak Halal’ semoga perkara yang sensitif seperti ini dapat dielakkan.

CAP turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan (PBT) agar menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas terhadap pengurus dan pasar raya itu bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh pekerja ini.

Semua pihak perlu peka dan sensitif dalam menjaga keharmonian hubungan di antara semua bangsa dan agama memandangkan kita semua berada di dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.

Tindakan yang awal segera perlu diambil oleh pihak berkuasa yang berkenaan agar tidak timbul sebarang konflik yang lebih buruk pada masa hadapan.

S. M. Mohamed Idris
Presiden

Debat Lynas: PAS minta Adnan jangan dolak dalik

Khairil Abdul Rahim, 18 Jan 2012

KUANTAN, 18 Jan: PAS Pahang meminta Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berhenti berdolak-dalik sebaliknya serius untuk berdebat dalam isu Lynas jika tidak mahu dicop pengecut.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad berkata, Adnan tidak sepatutnya menganggap debat dengan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh sia-sia kerana isu tersebut terus menjadi kontroversi kepada umum.

“Jika tidak mahu dicop pengecut tetapi terus berdolak-dalik itu tak guna, debat ini penting supaya rakyat dapat didedahkan dengan maklumat sebenar tentang isu yang menghantui mereka,” katanya.

Suhaimi berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Adnan yang tampil di muka depan sebuah akhbar hari ini mendakwa beliau bukanlah seorang pengecut untuk berdebat Fuziah dalam isu Lynas.

Namun dalam masa yang sama awal-awal lagi beliau sudah menganggap debat tersebut adalah sia-sia kerana bakal dijadikan propaganda politik.

“Saya bukan pengecut. Saya tak gentar sekiranya Fuziah mahu ajak saya berdebat tetapi jika dia mahu menjadikannya isu propaganda, maka perdebatan itu sia-sia.

“Kita boleh berdebat dengan orang-orang bijak tetapi adakah kumpulan anti-Lynas ini bijak? Kita telah berikan mereka semua fakta daripada tetapi mereka masih tidak menerimanya,” katanya sebagaimana disiar media.

Sebelum ini Fuziah bersedia untuk menyertai debat yang dicadang akan dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perhimpunan Hijau, yang membariskan Fuziah, Adnan dan Ketua MCA Bahagian Kuantan, Datuk Ti Lian Ker berkaitan isu Lynas.

Fuziah mahu debat umum itu melibatkan semua pakar berkaitan supaya rakyat dapat mengetahui dan mendapatkan maklumat lebih tepat dan telus.

Isu Lynas menjadi topik hangat penduduk daerah ini sejak Kerajaan BN Pahang bersetuju membenarkan kilang memproses nadir bumi dari Australia yang dikatakan sudah ditolak oleh negeri-negeri lain itu beroperasi di Gebeng.

Suhaimi berkata, debat yang dicadangkan oleh NGO berkenaan adalah berikutan rakyat gagal untuk mendapat maklumat yang telus dan tepat mengenai Lynas.

“Dulu dianjurkan taklimat 8 siri tentang Lynas. Tetapi setelah orang ramai hadir dan bertanya, program penerangan itu dihentikan oleh penganjur selepas hanya dua kali berjalan.

“Kerajaan ada buat sesi penerangan tetapi secara terpilih dengan memanggil penyokong-penyokong Umno untuk diberi taklimat tertutup, bukannya secara terbuka kepada umum.

“Malam program yang serupa anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bangunan RTM baru-baru ini juga pesertanya dipilih-pilih, bukan semua orang boleh masuk.

“Jadi debat yang dicadangkan itu merupakan cara yang dicadangkan oleh NGO tersebut setelah rakyat dan penduduk Kuantan khususnya, dinafikan mendapat maklumat sebenar,” katanya.

Tambah Suhaimi, sebagai wakil rakyat Kuantan sudah tentu Fuziah mesti membela penduduk Kuantan yang dalam gementar berhadapan projek itu.

Sementara itu, pihak anti-Lynas juga telah membariskan 8 orang pakar dalam pelbagai bidang termasuk Dr Jayabalan yang pernah terlibat sebagai saksi dalam isu radio aktif Bukit Merah dulu.

Tiada ulasan: