10 ditahan ketika 'perobohan' kuil di KL
Sepuluh
ditahan, termasuk Ketua Pemuda MIC Wilayah Persekutuan D Tharmakumaran
dan aktivis PKR kerana cuba menghalang kerja-kerja Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL) melibatkan dinding di kuil Hindu di Jalan P Ramlee Kuala
Lumpur.Mereka dipercayai dibawa ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.
Mereka didakwa dicekup ketika cuba menghentikan DBKL di Kuil Muneswawar di kawasan Segitiga Emas di ibu kota itu.
Bagaimanapun, Raman Ramakrisnan, pembantu kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor memberitahu kuil selepas itu bahawa DBKL hanya mahu mendirikan dinding.
"Ia bukan untuk merobohkan kuil," katanya sambil menambah, kuil itu memasuki tanah kerajaan dan dinding akan didirikan untuk dijadikan pemisah.
Sebelum itu, terdapat sedikit ketegangan apabila Naib Presiden PKR N Surendran ditolak ketika cuba menghalang tindakan DBKL.
"Kami tidak pedulu kamu YB atau tidak, kami akan pukul kamu," demikian bunyi jeritan yang ditujukan kepada Surendran.
Ketua Pemuda MIC pula ditahan
Ketua Pemuda MIC, T.Mohan ditahan polis ekoran tindakan mempertahankan sebuah kuil dari di robohkan.Beliau dibawa menaiki kereta polis dengan bergari.
Semua jawatankuasa kuil pula duduk di tempat berhala iaitu bahagian terakhir sebelum kuil itu dirobohkan.
Suasana bertukar tegang di kuil Hindu itu apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur DBKL memecah masuk untuk membina tembok dalam kuil tersebut bagi memberi laluan kerja-kerja pembinaan bangunan Hap Seng.
Ia ekoran dari Pegawai Khas Menteri Bandar Tengku Adnan enggan untuk memberikan notis rasmi dari DBKL bagi kerja-kerja pemasangan tembok yang memakan kira-kira keluasan 8 kaki dalam kuil, di Jalan P. Ramlee.
Keadaan bertukar tidak terkawal apabila terdapat pergaduhan antara komuniti, MP Klang dan polis. -TMI
Bekas tentera udara mati ditembak
Seorang
bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mati ditembak
berhampiran restoran milik bapanya di deretan premis perniagaan di Jalan
Permasuri Mazwin, Taman Rishah, Silibin di Ipoh pagi tadi.Mangsa S. Jambukeshan, 39, yang mempunyai tiga orang anak meninggal dunia ketika dibawa anggota keluarganya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Mangsa yang bersara selepas 19 tahun berkhidmat dengan TUDM kini membantu perniagaan restoran bapanya.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.15 pagi ketika mangsa mahu mengeluarkan barangan dari kereta Perodua Kancil di hadapan sebuah kedai runcit yang terletak kira-kira 30 meter dari restoran bapanya.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata semasa mangsa keluar dari keretanya, sebuah kereta Toyota Vios berwarna putih perak tiba-tiba menghampiri mangsa dan seorang suspek yang memakai topi keledar dengan cermin muka penuh keluar dari kereta itu lalu melepaskan beberapa das tembakan.
"Suspek kemudiannya terus masuk ke dalam kereta Vios itu dan melarikan diri. Polis percaya terdapat sejumlah suspek di dalam kereta itu.
"Kita akan dapatkan rakaman kamera litar tertutup mengenai kejadian," katanya kepada pemberita di Balai Polis Taman Rishah di Ipoh hari ini.
Sum berkata polis menjumpai tiga kelongsong peluru dan slug jenis .9mm di tempat kejadian.
Beliau berkata polis sedang menyiasat motif pembunuhan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi mana-mana balai polis.
-Bernama
Dr M: Umno perlu dibersihkan, ramai masuk nak jadi kaya
Posted on Sunday, September 01 @ 16:30:27 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) menggesa supaya Umno dibersihkan menjelang pemilihan parti nanti kerana ramai yang memasuki parti tersebut semata-mata mahu menjadi kaya.
Bekas perdana menteri paling lama tersebut menggesa supaya pemimpin baru dan muda supaya diberikan peluang kerana hanya dengan langkah tersebut Umno akan dibersihkan.
"Bahkan pemimpin Umno di semua peringkat dianggap menyertai Umno bukan kerana bangsa, agama dan negara tetapi ingin memperkayakan diri.
"Hanya dengan memberi kepimpinan Umno kepada orang muda dan belum tercemar barulah pembersihan Umno boleh menjadi kenyataan dan diterima oleh masyarakat," kata Dr Mahathir yang dipetik dalam satu wawancara akhbar Mingguan Malaysia hari ini.
Dalam wawancara itu lagi, Dr Mahathir turut membidas golongan muda zaman ini yang dilihatnya terlalu mengagumi barat serta corak politik liberal barat tetapi pada masa sama masih bergantung kepada bantuan kerajaan.
"Kita dapati ada di antara mereka, termasuk yang terpelajar, yang berpendapat perjuangan Umno untuk bangsa, agama dan negara tidak lagi relevan. Mereka berpendapat perjuangan untuk bangsa Melayu adalah lapuk dan ketinggalan zaman.
"Yang anehnya ialah mereka sendiri berjaya kerana menikmati dasar kerajaan untuk menolong mereka," kata beliau lagi.
Walaupun golongan muda dilihat penting demi masa depan Umno, Dr Mahathir berkata parti tersebut masih perlu berhati-hati dengan golongan terpelajar yang berpandangan politik liberal kerana bimbang ia akan memesongkan matlamat parti utama kaum Melayu tersebut.
"Kalau mereka ini menyertai Umno, besar kemungkinan Umno aan bertukar menjadi parti yang tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan negara, tetapi parti liberal ala barat.
"Mereka perlu diberi kursus politik Melayu dan perjuangan Umno mesti diadakan. Walaubagaimanapun, kemasukan mereka adalah penting jika Umno ingin membersihkan imej mereka," ujarnya lagi.
Dr Mahathir mengulangi pendiriannya supaya semua jawatan dalam Umno dipertandingkan, tetapi memberikan alasan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak perlu dipertandingkan bagi menjaga keharmonian dalam parti.
Pemilihan Umno yang akan diadakan secara serentak pada 19 Oktober depan untuk memilih pemimpin di peringkat bahagian dan pusat bukan saja penting untuk kelangsungannya menghadapi pilihan raya akan datang, bahkan juga merupakan ujian kepada ahli peringkat akar umbi yang pertama kali diberi peluang memilih pemimpin serta mencorakkan parti itu.
Jika dulu hanya kira-kira 2,500 perwakilan terpilih yang akan menentukan pemimpin di peringkat atasan tetapi kini peluang itu sudah diperluaskan kepada kira-kira 150,000 perwakilan daripada lebih 20,000 cawangan Umno di seluruh negara.
Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober 2009 meluluskan pindaan iaitu perwakilan bakal menentukan kepemimpinan Umno dengan menghapus sistem kuota, persidangan mesyuarat perwakilan secara serentak dan menambah bilangan ahli jawatankuasa lantikan Wanita.
Makanya, peluang ini perlu digunakan dengan sebaik-baiknya dan mereka yang berjumlah lebih 150,000 ini seharusnya tidak lagi mengikut acuan yang pernah digunakan oleh 2,500 perwakilan sebelum ini yang begitu mudah diatur serta ditentukan telunjuknya. - 1 September, 2013.-TMI
'Manusia jenis apa ni? Masa susah cari saya, bila senang hina saya?' kata Ibrahim Ali.
Posted on Sunday, September 01 @ 16:38:06 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
Nak marahi Irwan, kenapa hina saya? tanya Ibrahim Ali
PETALING JAYA: Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali hairan kenapa Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengaitkan namanya apabila mengulas desakan Ketua Wira Perkasa supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan.
Katanya, beliau sepatutnya menghentam Irwan Fahmi Ideris dan bukan menghinanya yang kalah dalam pilihanraya umum lalu.
Menurut Ibrahim, kenyataan Irwan bukan pandangan Perkasa kerana beliau menulis dalam blog peribadinya.
“Ia tidak kena mengena dengan Perkasa. Oleh itu kenapa Khairy serang saya dan menghina saya yang kalah dalam pilihanraya?” soalnya ketika mengulas kenyataan Khairy yang mengatakan “Presiden anda pun sudah kalah dalam pilihanraya lepas perasan nak minta Perdana Menteri letak jawatan”.
Khairy hari ini mengulas desakan Irwan yang menulis dalam entri blognya “Sudah Cukup Segalanya Digadai,
Hj Najib Wajar Meletakkan Jawatan.” yang menulis kepimpinan Najib terbukti gagal apabila tidak mendapat sokongan majoriti rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu.
Khairy berkata, Irwan Fahmi langsung tidak berhak mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana kapasitinya yang hanya ketua sayap kepada satu badan bukan kerajaan (NGO) dan bukannya parti politik.
“Saya rasa dia patut letak jawatan dulu. Siapa dia nak minta Perdana Menteri letak jawatan?
“Dia bukan Ketua Pemuda Umno. Dia Pemuda Perkasa…Perkasa ada apa,” soalnya di majlis hari raya anjuran Kementerian Belia dan Sukan.
Ibrahim menambah beliau kalah di Pasir Mas kerana beliau bukan menantu bekas Perdana Menteri.
“Saya orang kampung, tiada duit dan tiada jentera. Sebaliknya beliau menang jadi Ketua Pemuda dan pilihanraya di Rembau kerana beliau menantu bekas Perdana Menteri,“ katanya.
Namun demikian beliau mengucapkan terima kasih kepada Khairy kerana melalui kenyataanya itu jelas menunjukkan bahawa beliau adalah seorang yang emosional sedangkan selama ini beliau disanjung kerana dikatakan orang yang bijak dan berilmu.
Ibrahim kesal kenapa Khairy kaitkan namanya sedangkan sewaktu beliau susah, beliau meminta tolongnya.
“Sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim menyamannya, beliau minta saya jadi saksi. Saya sanggup jadi saksi tiba-tiba beliau selesaikan kes itu dengan Anwar di luar mahkamah. Manusia jenis apa ni? Masa susah cari saya, bila senang hina saya?” katanya lagi.
Beliau berkata Khairy jangan angkuh selepas dilantik menteri kerana dia menang Ketua Pemuda pun disebabkan dia menantu Perdana Menteri.
“Saya orang kampung naik sendiri dalam politik jadi Ketua Pemuda Bahagian, Ketua Bahagian, Exco Pemuda Umno dan Ahli Majlis Tertinggi Umno tetapi dia naik kerana menantu bekas Perdana Menteri ketika itu,” jelasnya.
Beliau kesal kerana beliau tidak kahwin dengan anak Perdana Menteri ketika mula-mula bergiat dalam politik dahulu.
Mengulas kenyataan Khairy Perkasa ada apa, Ibrahim berkata , “Perkasa hanya ada tahi gigi dan tahi telinga sahaja berbanding dengan Khairy yang ada macam macam (kaya raya) selepas jadi menantu Perdana Menteri”.-FMT
Calon PMR mahu berhenti sekolah
- Bapa saudara Mohammad Shahrul Nizam yang tidak dapat menahan sebak melihat kecederaan dialami mangsa ditenangkan salah seorang penduduk.
Mohammad Shahrul Nizam Remly, 15, yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2 Oktober depan, maut di tempat kejadian selepas motosikal dinaikinya terbabas sebelum merempuh sebuah kereta di Jalan Chukai – Air Putih, dekat Kampung Paman, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang lebih mesra dipanggil Nizam dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Dadong dari Chukai, selepas menghadiri majlis jamuan hari raya Aidilfitri di rumah rakannya.
Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan topi keledar dipakainya pecah serta tercabut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Che Wan Dalillah berkata, anaknya itu keluar dari rumah kira-kira jam 9.30 pagi selepas meminta keizinan daripadanya dan suami untuk pergi ke rumah rakannya.
“Ketika mahu keluar rumah, Nizam ada minta duit belanja RM2 dengan makcik, tapi sebab waktu itu makcik sedang masak di dapur, makcik suruhnya minta dengan ayahnya yang sedang baca surat khabar di ruang tamu.
“Semasa bercakap dengannya makcik tak pandang wajahnya sebab sibuk memasak. Arwah seorang anak yang baik dan makcik reda dengan ujian ini,” katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Kemaman.
Menurutnya, sebelum anak kesembilan mereka itu keluar rumah, lidah suaminya, Remly Bakar, 52, seakan kelu untuk melarang anaknya itu menunggang motosikal kerana kebiasaannya suaminya menegah anaknya menaiki motosikal.
Malah, malam sebelum kejadian itu, arwah turut berperangai ganjil apabila memberitahu kakaknya, Nor Farhana, 21, yang dia mahu berhenti sekolah dan bekerja bagi membantu membiayai pengajian kakak-kakaknya yang menuntut di universiti.
“Pada malam itu juga, dia tidur setilam sambil memeluk erat adik bongsunya, Arif Abidin, 7. Sebelum musibah ini terjadi, kami sekeluarga gembira kerana salah seorang kakak arwah, Nor Suhaila, 20, akan mendaftar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), esok,” katanya.
Motosikal mangsa melambung
Sementara itu, kemalangan itu dipercayai berpunca apabila motosikal mangsa melambung sebelum hilang kawalan, selepas melalui jalan yang permukaannya tidak rata sebelum melanggar bahagian kanan kereta seorang warga emas, Razak Mat Shah, 65 yang dari arah bertentangan.
Razak yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari kebun getahnya di Batu 16 menuju ke rumahnya di Binjai berkata, sejurus dilanggar, kereta dipandunya berpusing-pusing beberapa kali kerana kedua-dua tayar bahagian kanan kenderaannya itu pecah.
“Namun saya bersyukur kerana tidak cedera. Sekarang dada masih berdebar-debar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dadong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan