Rabu, 25 September 2013

HEBAT MANA KETUA DIDUNIA...JIKA DIAKHIRAT TERPINGGIR MALAH DISEKSA ATAS DOSA YANG DILAKUKAN DI DUNIA

Kerajaan taja Kelab Cardiff City lebih RM15 juta

Harakahdaily, 25 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Perbelanjaan Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berjumlah £3 juta atau melebihi RM15 juta melalui penajaan jersi Front of Shirt Sponsorship adalah tidak wajar dan membazir.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian (gambar) berkata, penajaan tersebut disalurkan kepada Kelab Bola Sepak Cardiff City untuk tempoh satu tahun.

Baginya, perbelanjaan tersebut tidak akan berupaya membayar balik melalui tarikan pelancong hanya dari United Kingdom khususnya Negara Eropah Barat.

Beliau menyatakan perkara itu merujuk kepada jawaban Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kepada soalannya di Dewan Rakyat semalam.

“Persoalan lain ialah mengapa kelab bola sepak EPL Cardiff City dan bukannya kelab bola sepak Liga Inggeris yang lain?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sepatutnya lebih kreatif dalam urusan mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014 selain daripada menaja logo Tahun Melawat Malaysia 2014 di Stadium Cardiff.

Katanya, peruntukan sebanyak itu sepatutnya disalurkan kepada kementerian yag bertanggungjawab  dalam membantu kelab-kelab bola sepak tempatan yang sekian lama mengalami kekurangan dana atau sekurang-kurangnya dilaburkan kepada latihan-latihan pemain-pemain muda berbakat yang mampu bersaing dengan pemain antarabangsa.

Soalan: Hee Loy Sian minta Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan menyatakan:-
a) Jumlah perbelanjaan Kerajaan daripada menaja jersi Kelab Bolasepak Cardiff City dan tempoh penajaan; dan
b) Bagaimana penajaan jersi bola sepak berkenaan dapat menarik pelancong ke Malaysia.

Jawapan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Tuan Yang di-Pertua,

a) Kos keseluruhan bagi menaja Front of Shirt Sponsorship ini adalah sebanyak £7.35 juta. Daripada jumlah tersebut, pihak Kementerian menampung sebanyak £3 juta bagi sepanjang musim Liga Perdana Inggeris 2013/2013.

Nilai publisiti dan perhubungan awam yang dianggarkan dapat diperolehi daripada penajaan ini di peringkat global adalah seperti berikut:
i) Jumlah penonton televisyen seramai 720 juta orang;
ii) Masa siaran tayangan televisyen sebanyak 217,000 jam; dan
iii) Melibatkan lebih 80 rakan penyiar (broadcasting partner) antarabangsa.

Penajaan ini juga termasuk mengadakan pameran sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 di Stadium Cardiff sepanjang musim perlawanan dan hak untuk mempamerkan logo Tahun Melawat Malaysia 2014 sepanjang musim perlawanan.

b) Melalui penajaan jersi kelab bola sepak Cardiff City Football Club telah dapat memperkasakan lagi promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 secara global serta menjadikan Malaysia sebagai Top of The Mind Destination mencapai sasaran ketibaan pelancong.

Program kerjasama ini juga berpotensi besar dalam meningkatkan bilangan kedatangan pelancong ke Malaysia terutamanya hih end tourist daripada Negara pasaran khususnya pasaran daripada United Kingdom dan Eropah Barat dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan bilangan kedatangan pelancong ke Malaysia yang disasarkan sebanyak 28 juta orang pada tahun 2014. Pasaran pelancong-pelancong daripada United Kingdom dan Eropah merupakan pasaran long haul yang utama bagi Malaysia.

Bantah lahir daripada NGO celik ancaman TPPA

Anis Nazri, 25 Sep 2013
KUALA LUMPUR: NGO yang bertanggungjawab memberikan penerangan tentang kesan Perjanjian Perkongsian Trans-Pacific (TPPA), Bantah TPPA  menjelaskan gabungan itu ditubuhkan bukan atas kepentingan politik, perniagaan mahupun mewakili mana-mana kaum.

Sebaliknya, gabungan yang ditubuhkan pada Jun 2013 lalu itu hidup di atas kebimbangan serius dan objektif melihat bahayanya perjanjian TPPA yang bakal ditandatangani kerajaan Malaysia.

"Bantah juga lahir dari kesedaran individu-individu dan NGO yang celik pada bahaya dan ancaman TPPA yang diusulkan NGO, Blindspot, majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan Jawatankuasa Anti FTA.

"Malah, ia menjadi gabungan anti-TPPA terbesar negara yang dianggotai 60 NGO  dan sembilan majlis gabungan seperti MAC, MCTC, MTUC, MPM yang setiap satu diwakili lebih dari 50 NGO masing-masing," kata Bantah TPPA dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily, semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan apabila Bantah menyedari terdapat beberapa kesalahan dan kenyataan bercanggah berkaitan organisasi Bantah.

Malah, Bantah turut mengeluarkan video untuk memperjelaskan objektif, aktiviti-aktiviti dan keanggotaan gabungan tersebut yang boleh dicapai melalui pautan https://www.youtube.com/watch?v=hddtqrLeji8.

Gerakan menentang TPPA juga bukanlah sesuatu yang baru, tetapi telah bermula semenjak awal tahun lepas, dengan turut dianggotai SAMM, SMM,dan juga PKPIM serta gerakan Islam seperti IKRAM, ABIM dan MAPIM.

Biarpun Bantah menolak TPPA, Bantah tetap menyerahkan 75 garis merah, iaitu perkara-perkara yang memudaratkan negara kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jika kerajaan tetap mahu meneruskan perjanjian TPPA.

"Walaupun konotasi nama Bantah itu sendiri mungkin berbunyi negatif, Bantah bukan hanya membantah semata-mata, tetapi dalam masa sama menawarkan penyelesaian dan alternatif untuk memastikan kepentingan negara terpelihara," kata kenyataan itu lagi.

Katanya, Bantah yang terdiri daripada ahli akademik, pakar perdagangan, perundangan, kesihatan, alam sekitar, mahasiswa dan profesional dari semua segmen lapisan industri dan masyarakat itu sentiasa merujuk kepada pakar-pakar tersebut.

Malah, Bantah juga akan terus bertemu dengan semua pihak dari semua lapisan masyarakat seperti nelayan, petani, pe;adang, golongan profesional serta parti politik, serta Perdana Menteri sendiri.

Dalam pada itu, Bantah turut mengalu-alukan parti-parti politik dari kedua belah pihak untuk turut mengemukakan bantahan mereka bersama-sama badan NGO ini.

"Bantah akan terus mengadakan forum serta roadshow untuk kesedaran umum kepada rakyat, di samping menyeru semua rakyat Malaysia untuk bangun dan ambil peduli mengenai perundingan TPPA yang akan menentukan nasib dan masa depan anak bangsa dan negara," kata kenyataan itu lagi.

Menteri kata jangan tetapi 'sambut' Obama diteruskan

Hazayani Zakaria, 25 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Gabungan NGO membantah Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) tidak peduli terhadap gesaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri agar menghentikan siri jelajah anti Obama dan anti TPPA.

Sebaliknya jurucakap gabungan, Badrul Hisham Shahrin yang juga Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, mobilasi rakyat bagi 'menyambut' kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barrack Obama ke Malaysia pada 11 Oktober depan akan diteruskan mengikut jadual.

Beliau berkata, mereka mahu Obama melihat sendiri aksi rakyat yang tidak bersetuju dengan TPPA.

"Menteri (Mustapa) bukan sahaja keliru dan tak faham tujuan kita tapi cuba mengelirukan dewan.

"Kita bantah TPPA yang masih dalam rundingan kerana orang Umno sendiri pun tak tahu isi kandungan perjanjian sebaliknya selepas empat tahun baru boleh dedah isi kandungan perjanjian.

"Jadi siri mobilisasi dan himpunan akan diteruskan bagi menunjukkan bantahan kita," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily semalam.

Bercakap di Dewan Rakyat pagi semalam, Mustapa meminta supaya kehadiran Obama tidak disambut dengan protes besar-besaran sepertimana yang sedang disusun melibatkan pelbagai pihak.

Beliau turut berkata, siri jelajah juga tidak wajar diteruskan memandangkan Malaysia masih berunding dengan negara-negara yang terlibat dengan TPPA.

SAMM bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan kerjasama Gabungan Membantah TPPA (Bantah) dengan pendokong utamanya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) sedang mengadakan jelajah Bantah TPPA yang bermula 17 September lalu.

Berikut merupakan jadual Jalajah TPPA sehingga 10 Oktober:

26 September: Kompleks Pendidikan ISlam, Badak, Bachok, Kelantan
27 September: Jalan Gong Pasir, Dungun, Terengganu
28 September: Padang Balok Makmur, Kuantan, Pahang
1 Oktober   : Pusat Khidmat Dun Kuala Kurau, Parit Buntar
4 Oktober   : Pusat Komuniti Bakri-Bentayan, Muar, Johor
5 Oktober   : Taman Asean, Bandar Melaka, Melaka
6 Oktober   : Taman Tasek Jay, Senawang, Seremban, Negeri Sembilan
8 Oktober   : Dewan Seri Sekinchan, Selangor
10 Oktober  : Grand Finale, Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Kemuncak Jelajah #BantahOBAMA #TolakTPPA di Kelab Kg Baru, memberi ruang kepada dua tokoh ternama iatu Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berada sepentas bersama menentang Perjanjian TPPA.

Petisyen jemputan telah diserahkan kepada kedua-dua belah pihak melalui serahan tangan dan faks.

Bantah Obama, pengganas berselindung senyuman

Harakahdaily, 25 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Group FB Malaysian Malabari (MM) dan Inspirasi Muhibah Indiamuslim Malaysia (Imim) sepakat menolak kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia.

Pengerusi Group FB MM, Mohd Razali Yusof berkata, ia sebagai satu bentuk perpaduan MM dan Imim kepada saudara-saudara seagama yang mengalami penderitaan akibat ditindas AS dan kroninya.

“Obama adalah simbol dari kekejaman dunia barat terhadap umat Islam. Dunia barat hingga saat ini masih terus aktif menyiksa dan membunuh Islam di seluruh dunia.

“Tidak ada hari yang berlalu tanpa pembunuhan umat Islam,” ujarnya dalam kenyataan bersama.

Justeru, tegasnya, bagi MM dan Imim, Obama tidak layak memijak kakinya di tanah air umat Islam kerana tangannya masih berlumuran darah ratusan ribu umat Islam yang dibunuh kejam di Afghanistan, Iraq dan jutaaan di negara-negara Islam lain.

“Obama tak ubahnya seperti Bush. Pengganas yang berselindung dengan senyuman manis,” katanya.

Sehubungan itu, katanya umat Islam harus bersatu untuk menolak kedatangan Obama ke Malaysia.

“Apakah kita sudah melupakan siapa Amerika? Kami tidak akan lupa kekejaman AS terhadap rakyat Palestin yang mana AS menyalurkan senjata-senjata kepada negara haram Israel.

“Kami masih ingat ribuan kanak-kanak di bom di Iraq, masih segar dalam ingatan kami pembunuhan beramai-ramai rakyat Lubnan oleh Israel dengan bantuan AS,” katanya lagi.

Katanya, MM dan Imim tidak mungkin akan lupakan apa yang dilakukan oleh AS terhadap Chechnya, Bosnia, Macedonia, Kosovo, Kashmir, Filifina, dan negara-negara Muslim lain.

“Jika kita lihat, pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) iaitu Chin Peng dilarang memasuki negara ini disebabkan pembunuhan rakyat negara ini oleh PKM satu masa dahulu dan kini abu mayat beliau pun tidak dibenarkan memasuki negara ini,” ujarnya.

Dalam konteks ini, ujar beliau Obama yang memimpin Amerika Syarikat juga harus dihalang dari memasuki Malaysia disebabkan kekejaman AS terhadap umat Islam.

AES: Adakah wang bayaran saman akan dikembalikan?

Harakahdaily, 25 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Mengapakah dalam keadaan Peguam Negara telah memutuskan untuk menangguhkan pendakwaan ke atas mereka yang dikeluarkan saman AES, saman AES masih terus-menerus dikeluarkan?

Demikian soalan bagi jawab lisan yang dikemukakan Mohamed Hanipa Maidin (PAS-Sepang) kepada Menteri Pengangkutan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau yang juga AJK PAS Pusat juga menteri berkenaan menyatakan adakah kementerian bersedia untuk memulangkan kembali wang saman yang dibayar oleh pengguna setelah Peguam Negara memutuskan untuk menangguhkan pendakwaan.

Soalan daripada ahli-ahli parlimen PAS yang lain seperti di bawah.

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta Menteri
Komunikasi Dan Multimedia menyatakan berapakah blog yang
menghina Islam, apakah tindakan yang telah dan akan diambil
terhadap pemiliknya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang [ Marang ] minta Menteri Luar
Negeri menyatakan:-
(a) apakah peranan Malaysia dan setakat mana tindakan
yang telah dilakukan sebagai perantara dalam
penyelesaian konflik di Selatan Thailand; dan
(b) apakah kekangan terhadap penyelesaian krisis
berkenaan.

Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [ Pasir Puteh ] minta
Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani menyatakan
apakah usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak Kerajaan untuk
meningkatkan hasil tangkapan nelayan-nelayan pantai di negeri
Kelantan. Adakah hasil laut negeri ini semakin berkurangan dan jika
berkurangan apakah sebabnya.

Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah [ Kuala Terengganu ] minta
Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar menyatakan adakah
satu kajian hidrologi (hydrology study) dijalan dan diluluskan oleh pihak
Kementerian sebelum kerja-kerja penambakan tanah yang sedang
dijalankan oleh Kumpulan Liziz Sendirian Berhad secara reka bina di
dalam Sungai Terengganu di hadapan kawasan Istana Maziah Pejabat
Pos Besar Kuala Terengganu.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz [ Pasir Mas ] minta
Menteri Belia Dan Sukan menyatakan jumlah peruntukan yang
telah diluluskan di bawah Bantuan Pengupayaan Pertubuhan Belia dan
jumlah persatuan belia yang telah mendapat bantuan daripadanya
mengikut negeri.

Dr. Mohd Hatta Md. Ramli [ Kuala Krai ] minta Menteri Luar
Negeri menyatakan mengapa Kerajaan Malaysia tidak membuat
pendirian tegas mengutuk rampasan kuasa tentera di Mesir yang
menjatuhkah Kerajaan pimpinan Presiden yang dipilih secara
demokratik.

Wan Hasan Mohd Ramli [ Dungun ] minta Menteri Luar
Negeri menyatakan kenapa Duta Besar Malaysia ke Mesir belum
dilantik sedangkan ianya sangat-sangat diperlukan lebih-lebih lagi
dalam perkembangan semasa di negara Mesir.

Idris Ahmad [ Bukit Gantang ] minta Menteri
Kewangan menyatakan berapakah nilai Saham Bumiputera di Bursa
Saham sehingga Julai 2013.

Khalid Abdul Samad [ Shah Alam ] minta Menteri
Dalam Negeri menyatakan status penyiasatan kes tembak
Pengerusi My Watch.

Ahmad Marzuk Shaary [ Bachok ] minta Menteri
Pendidikan menyatakan apakah sudah terdapat cadangan untuk
memusatkan kampus UMK di Bachok sahaja untuk memastikan
pentadbiran lebih baik dan keselesaan staf dan pelajar.


Dr. Che Rosli Che Mat [ Hulu Langat ] minta Perdana
Menteri menyatakan perkembangan terkini perlaksanaan Standard
Pengurusan Keselamatan IT (IT Security Management (ISMS)) atau
MS ISO/IEC 27000 dalam memastikan keselamatan dan kerahsiaan
data-data sektor Kerajaan dan swasta negara terjamin.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang [ Marang ] minta Menteri
Pendidikan menyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil
oleh kementerian untuk penempatan semula pelajar-pelajar Malaysia
yang telah kembali daripada Mesir ekoran krisis rampasan kuasa, dan
bagaimana pula penempatan pelajar-pelajar baru yang terhalang untuk
memulakan pengajian di sana.

Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah [ Kuala Terengganu ] minta
Menteri Kerja Raya menyatakan nama penuh dan latar belakang
jurutera yang bertanggungjawab daripada syarikat pemborong rekabina
yang mereka bentuk bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal
Abidin Terengganu yang telah runtuh dua kali pada tahun 2009 dan
2013.

Ahmad Baihaki Atiqullah [ Kubang Kerian ] minta
Perdana Menteri menyatakan apakah rujukan yang diterima pakai
oleh Kerajaan dalam konsep Wasatiyah yang diperkenalkan oleh YAB
Perdana Menteri.

Ahmad Baihaki Atiqullah [ Kubang Kerian ] minta
Perdana Menteri menyatakan apakah kemudahan asas yang
telah dibina dan berada di bawah penyenggaraan Kerajaan
Persekutuan dalam kawasan Parlimen Kubang Kerian.

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta Menteri
Komunikasi Dan Multimedia menyatakan kos perbelanjaan
promosi 1Malaysia sejak ia dilancarkan.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz [ Pasir Mas ] minta
Perdana Menteri menyatakan statistik pemilikan Perumahan
Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dari golongan muda mengikut negeri.

Datuk Takiyuddin Hassan [ Kota Bharu ] minta Perdana
Menteri menyatakan bilakah Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,
Pengkalan Chepa, Kelantan akan menjalankan operasi penerbangan
terus jemaah Haji ke Tanah Suci, khususnya bagi menjimatkan kos
kepada jemaah haji dari Negeri Kelantan dan sekitarnya.

Idris Ahmad [ Bukit Gantang ] minta Menteri
Pendidikan menyatakan apakah rasional Sekolah Vokasional
ditukar kepada Kolej Vokasional.

Nasrudin Hassan [ Temerloh ] minta Menteri
Pendidikan menyatakan jumlah pelajar lepasan Matrikulasi, Sijil
Tinggi Pelajaran Malaysia dan Program Asasi yang tidak diterima
masuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dari tahun 2010-2012.

Dr. Izani Husin [ Pengkalan Chepa ] minta Menteri
Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah menyatakan halanganhalangan
yang menyebabkan peserta-peserta KESEDAR belum
diberikan hak milik (geran tanah) bagi tanah yang mereka usahakan.

Dr. Siti Mariah Mahmud [ Kota Raja ] minta Menteri
Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan
Tempatan menyatakan adakah Kementerian bercadang untuk
mengubah sistem perjawatan kakitangan pihak berkuasa tempatan
daripada sistem tertutup kepada satu sistem yang lebih terbuka dan
fleksibel. Jika tidak, apakah alasan dan kebaikan sistem tertutup ini.

Tiada ulasan: