Isnin, 23 September 2013

MUNGKIN PERKARA INI TERLEPAS PANDANG BAGI YANG BUAT KORBAN

Q&A: Orang buat korban; dilarang buang rambut dan kuku?

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 23 Sep 2013
Soalan;
Saya ada terbaca mengenai orang yang mahu membuat korban maka dilarang potong rambut dan kuku. Bilakah bermulanya orang itu tidak boleh berbuat demikian dan sampai bila. Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan;
Disunatkan orang yang ingin melaksanakan korban untuk tidak memotong kukunya, mencukur/ memotong rambut dan juga mencukur/ mencabut bulu pada badannya sama ada bulu ketiak, bulu ari-ari, misai, janggut dan sebagainya apabila masuk bulan Zulhijjah dari hari pertamanya hinggalah setelah korbannya dilaksanakan. Jika dilakukan hukumnya adalah makruh. Ini berdalilkan sabda Nabi SAW; “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah (yakni mengetahui masuknya bulan Zulhijjah), sesiapa dari kamu yang ingin melakukan ibadah korban hendaklah dia menahan (menangguh) dari (membuang/memotong) bulu/rambut dan kuku-kuku di badannya hingga ia melaksanakan korbannya” (Soheh Muslim; 1977/41, dari Ummu Salamah RA).

Menurut Syeikh Ibrahim al-Marwaruzi; hukum anggota-anggota badan yang lain sama seperti hukum rambut/bulu dan kuku (yakni makruh dibuang sebelum dilaksana korban).

Menurut ulama; hikmah tegahan ini ialah supaya keampunan Allah yang datang melalui ibadah korban itu akan meliputi seluruh tubuhnya termasuklah rambut, bulu-bulu badan, kuku dan sebagainya.

Menurut Syeikh Mansur Ali Nashif;  ia juga dituntut dari ahli keluarga orang yang melakukan korban supaya keampunan Allah yang sempurna itu turut merangkumi mereka (at-Taj al-Jami’, 3/115).

http://ilmudanulamak.blogspot.com

Madraza daif Karamunting Laut perlu bantuan

Teks dan foto: Azamin Amin, 23 Sep 2013

Tak mungkin. Getus hati tatkala Haris, seorang peguam muda menceritakan kisah daif penduduk Kampung Karamunting Laut, Batu Sapi. Rakannya, Husaini bertugas di Mahkamah Syariah Sandakan juga beriya-iya mengajak melihat keadaan.

Saya pujuk Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman yang sedang rancak bersembang dengan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah, untuk berpisah seketika, mengikuti Haris bersama dua orang sahabat ke kampung atas air itu.

Perjalanan setengah jam, terasa sedikit terentak dengan jalan turap yang pecah dan lopak, hasil kualiti bahan yang murah.Tiba-tiba kelihatan sesuatu yang aneh.

Kawasan loji minyak syarikat terkemuka, dibina berhampiran kediaman penduduk dan sebuah kem Polis Gerak Am, dibezakan jarak hanyak 200 meter. Tiada kawalan keselamatan yang ketat, seperti di Kerteh, Terengganu.

Sampai di Kampung Karamunting Laut, berjalan kaki pula menyelusuri jalan tepi, dibatasi pagar zing dan kawat duri yang menjadi penghadang antara sebuah lagi loji penapis minyak syarikat terkemuka, milik anak seorang pemimpin veteran BN dengan perkampungan atas air itu.

Ngerinya untuk membayangkan, sedikit nyalaan api, pasti makhluk alam dan penduduk di situ tidak sempat menyelamatkan nyawa.

Akhirnya sampai ke destinasi, yang saya asalnya seperti tidak percaya dan hampir tidak masuk akal. Haris menunjukkan kelas daif lagi menyedihkan. Di hadapan pintu, tertulis 'Madraza Untuk Pelajaran Budak'.

Berhabuk dan ruangnya cukup sempit. Kayu buruk dijadikan meja kecil untuk pelajar menulis sambil duduk bersila. Papan hitamnya sudah ada  tulisan jawi, rumi dan arab. Kekal lama di situ, akibat ketiadaan kapur dan pemadam. Lebih uzur, berbanding suasana kelas 'Sekolah Buta Huruf' dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Namun, kelas usang ini telah melorongkan cahaya masa depan kepada kanak-kanak Sandakan, yang tercicir pelajaran kerana tidak dapat masuk ke sekolah kerajaan. Sekurang-kurangnya mereka tahu apa itu makna dan warna, sekaligus memudahkan mereka mendapatkan kerja.

Itu, hasrat murni Harun Latif, 70 yang telah membina kelas di perkampungan ini sejak lima tahun lalu, selain menjadi pendinding kanak-kanak daripada terjebak kegiatan tidak bermoral, tatkala masa terluang begitu sahaja.

"Saya risau masa depan kanak-kanak dan agama mereka. Tidak terurus dan terabai tanpa bimbingan.

"Ada 60 pelajar, umur enam sampai 15 tahun. Semua dalam satu kelas. Yang penting mereka boleh baca dan dapatkan kerja," luahnya kepada saya yang menung seketika.

Tenaga pengajarnya, hanya seorang iaitu isterinya yang boleh berbahasa Inggeris. Tiada bayaran dikenakan, cuma sumbangan ikhlas bagi yang berkemampuan. Ada membayar RM10.00 sebulan untuk kelas yang diadakan setiap hari, dari jam 8 sehingga petang kecuali hari minggu.

Harun kemudian menunjukkan kami empat kerusi plastik yang disumbangkan oleh individu prihatin, sambil meminta jasa baik rakan-rakan Haris sudi meluangkan masa, mengajar pula orang dewasa.

Rasa seperti ingin menangis dalam ketawa bila membayangkan lebih 3,000 kanak-kanak Sandakan yang tercicir pendidikan dengan ucapan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dubai tahun ini.

"Meningkatkan kualiti sistem pendidikan dan menjadikannya bertaraf dunia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Malaysia dalam mengemudi negara ke arah kejayaan lebih besar," ucap Muhyidin di Sidang Kemuncak Transformasi Pendidikan (TES) 2012.

Bahang mentari dan loji minyak, mula mencengkam tubuh kami berempat. Saya keluar daripada kelas itu, bersama Haris menuju ke kedai runcit berhampiran.

Kelihatan beberapa plastik kecil, aneka warna tergantung. Mungkin aiskrim ataupun minuman perisa, teka saya. Muncul, seorang wanita, si peruncit kedai menerangkan kekeliruan.

"Bukan ... bukan, yang itu sabun, itu minyak dan yang itu cuka ...," kata si peruncit itu. Semuanya dijual dengan harga 20 sen!

Kerana kemiskinan tegar, penduduk sekadar membeli dengan harga itu sahaja, malah peruncit yang miskin ini hanya mampu membeli setengah kilogram beras, untuk dijual semula dengan bungkusan kecil.

Setiap hari, ada penduduk membeli sebiji telur ayam, sebungkus beras dan minyak 20 sen, untuk dimasak dan dimakan kongsi bersama lima orang anak. Sudahlah susah setiap hari kemudian diselubungi mimpi ngeri, andai loji minyak menyala api, terbakar kampung rentung sendiri.

Jika ada yang boleh mengeja dan mampu membeli senaskah akhbar New Sabah Times untuk memahami berita Ketua Menteri Sabah, Dato' Seri Musa Aman, yang mendabik dada tentang negerinya pasti mereka tersenyum sumbing.

"Meskipun berdepan pelbagai cabaran, Sabah mencatatkan pertumbuhan ekonomi dan pelaburan yang kukuh tahun ini," kata Musa.

Apatah lagi jika penduduk miskin tegar ini boleh menekan butang untuk melayari perutusan Hari Malaysia, 16 September oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak di laman blog www.1Malaysia.com.my.

Najib yang menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinannya tidak akan meminggirkan Sabah dan Sarawak, malah sentiasa berusaha memastikan pembangunan sama rata. Kenyataan umpama itu boleh membuatkan penduduk hampir 'pitam'.

Saya, kemudian tinggalkan Harun, bungkusan 20 sen dan loji minyak yang bakal menyambar nyawa dengan harapan, ada secubit jiwa dalam benak hati manusia sambil bertanya, kesimpulan Haris dan empat anak muda yang masih bertenaga untuk meneruskan usaha mulia.

Berangkat pulang dan berpisah sementara untuk kembali ke pangkuan keluarga dan kerjaya saya, 8 September lalu, mereka berjanji berusaha mengumpulkan dana dan tenaga, membantu mana yang terdaya di samping saya dipinta untuk menajamkan lagi pena.

Di atas pesawat menuju KLIA, Ahmad Lutfi memberi komitmen untuk berusaha membantu -- bersama rakan-rakan aktivis PAS Batu Sapi -- kelompok yang cukup memerlukan di negeri yang kaya khazanah alamnya itu tetapi miskin majoriti warganya.

Salurkan sumbangan terus ke dalam akaun Maybank HARAKAHDAILY DOT COM 5640 7000 0336.

PAS dan dinamika politik

Abd Shukur Harun, 23 Sep 2013
Politik ialah mengenai kuasa dan tidak ada siapapun yang berjuang di pentas parti politik yang tidak bermatlamatkan untuk mendapatkan kuasa iaitu bagi yang belum berkuasa dan mempertahankan kuasa bagi yang telah berkuasa.

Tetapi politik itu sangat dinamik sifatnya, iaitu cepat berubah dan memerlukan perubahan. Dinamik atau Dinamisme, berasal dari bahasa Latin dan sering digunakan oleh ahli falsafah Virginia Postrel untuk menjelaskan filosofi sosialnya yang melibatkan perubahan budaya, pilihan individual, kebebasan, demokrasi dan masyarakat terbuka.

Di negara ini, parti politik yang bernuansa Islam seperti PAS yang berinteraksi dengan masyarakat moden Malaysia maka ia tidak boleh lari dari apa yang dinamakan dinamik atau dinamisme, dengan huraiannya yang lebih tepat ia mestilah bersifat dinamik – memahami dan menerima realiti yang ada yang sentiasa berubah mengikut keadaan dan masa, walaupun sudah pastilah ia mesti kekal dalam orbit Islam.

Berbanding dengan negara lain, suasana politik dan sosial di Malaysia sangat jauh berbeza, iaitu dengan masyarakat majmuknya yang luar biasa di mana pegangan agama, nilai budaya dan tradisi antara kaumnya bersifat pelbagai.

Oleh itu demografi politik di Malaysia sangat berwarna warni kerana ia
berada di tengah masyarakat majmuk yang pelbagai ragam. Di sinilah PAS, sebagai sebuah parti politik bernuansa Islam, hadir untuk berpartisipasi di tengah kancah politik demokrasi di negara ini.

Walau apapun bentuk dan wajah demokrasi di negara ini, namun  PAS terus  berpartisipasi dalam PRU tiap lima tahun sekali. Ertinya, PAS hadir di tengah dinamik (perubahan) politik di Malaysia sejak 13 kali pilihan raya umum.

Tetapi persoalannya di sini bagaimana pula kedudukan dinamika politik PAS terutama dalam melakarkan masa depannya untuk berperanan sebagai parti politik yang dominan dalam Pakatan Rakyat dan menjadi parti arus perdana di pentas politik Malaysia.

Jenama sebagai parti Islam saja belum cukup untuk menjadi sebagai parti dominan dalam Pakatan Rakyat dan parti arus perdana di Malaysia. Kesyumulan Islam yang didukung oleh PAS memang sangat hebat, tetapi bagaimana pengisian kepada kesyumulan Islam itu yang digerakkan oleh PAS jika ia mahu dilihat sebagai parti dominan dalam Pakatan. Ini bergantung kepada kemampuan pemimpin dan pendukungnya.

Masyarakat majmuk mahu melihat dinamika PAS dalam mengatur strategi supaya dilihat dominan dalam Pakatan, boleh memimpin masyarakat majmuk, menyusun strategi ekonomi, pendidikan, sosial dan mengukuhkan toleransi antara kaum dan agama. Untuk itu ia mesti menangani peluang yang ada (bukan merebut kekayaan dan jawatan), berfikir dan bertindak bukan di sekitar kampung halamannya saja. Ia mesti meneroka daerah baru, berinteraksi dengan masyarakat di luar lingkungannya, menyerlahkan kepimpinannya yang dinamik dan berintegriti.

Sebagai contoh, bagaimana PAS menjadikan gagasan ‘Negara Berkebajikan’ yang dilancarkannya lama sebelum PRU ke-13 sebagai gagasan yang boleh dilaksanakan dalam masyarakat majmuk. Malangnya gagasan tersebut tidak lagi didengar khabar beritanya. Mengapa terjadi demikian, sedangkan ‘Negara Berkebajikan’ itu sangat dinamik dan praktikal untuk dilaksanakan - jauh lebih baik dari Dasar Ekonomi Baru dan pelbagai dasar ekonomi dan pendidikan yang dicipta oleh Barisan Nasional.

Demikian juga manifesto Pakatan – Buku Jingga – yang sewajarnya PAS berada di depan dalam melaksanakan program buku tersebut bersama PKR dan DAP. Justetu dengan Buku Jingga itu, ramai pengundi menaruh harapan terhadap Pakatan Rakyat agar manifesto itu dapat ditunaikan walaupun secara bertahap.

Oleh itu, sekali lagi dinamika politik PAS perlu diperlihatkan. Bahawa ‘Negara Berkebajikan’ dan ‘Buku Jingga’ itu bukan retorik atau janji kosong yang tidak boleh ditunaikan, tetapi sesuatu yang amat praktikal. Dengan demikian, jika PAS dapat lebih dulu mengenengahkan program ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain, saya kira PAS sudah memperlihatkan dinamika politiknya, bahawa ia mampu memimpin perubahan. Maknanya ia bukan lagi hanya mampu mendominasi bidang agama, tetapi juga pelbagai bidang yang lain.

Saya yakin kerana demikian ramai pimpinan PAS baik peringkat Pusat mahupun negeri dan kawasan, malah cawangan yang mampu melaksanakan program tersebut untuk memperlihatkan kehadiran PAS mendominasi Pakatan Rakyat. Inilah caranya PAS berperanan menambahbaikkan Pakatan Rakyat.

Oleh itu, kita berharap Muktamar PAS November nanti akan mendengar perbahasan yang dinamik, menyerlahkan luasanya pemikiran muktamirin PAS, keterbukaannya, memandang jauh ke depan dengan penuh harapan. Bukan lagi melayani emosi dan sentimen kelompok yang bukan saja mencerminkan politik yang tidak matang, bahkan menghantar isyarat yang salah kepada komponan lain dalam Pakatan malah menjadi isu yang menghairankan.

Saya yakin pemimpin yang akan dipilih oleh perwakilan di muktamar nanti adalah dari kalangan yang paling terbaik dari yang baik, dinilai dari ilmunya, termasuk ilmu agamanya, prestasinya, penguasaannya dalam dinamika politik, keterbukaannya, keterampilan dan kebijaksanaannya menghadapi musuh serta menyelesaikan masalah.

Inilah sebenarnya merit yang diperlukan bagi calon yang menawarkan dirinya untuk bertanding dalam pemilihan nanti walau dari golongan manapun ia datang. Justeru jenama golongan ‘Ulama’ dan ‘Profesional’ tidak menjadi perhitungan penting dalam pemilihan saf pimpinan. Meritnya yang sebenar ialah ilmu dan kemampuannya.

Hal ini kerana pimpinan yang dipilih akan memikul amanah menjadikan PAS sebagai parti politik Islam arus perdana yang dinamik, amanah dan berintegriti.

Perlu diingat bahawa harapan rakyat terlalu tinggi kepada PAS sebagai parti yang berintegriti.

Pada akhirnya, Muktamar akan datang ini perlulah memancarkan dinamika politiknya.

Chin Peng sudah diberi penghormatan

Subky Latif, 23 Sep 2013
Apa pun status kerakyatan Chin Peng, pemimpin utama Parti Komunis Malaya lebih separuh abad sudah mati dalam buangan di Bangkok menjelang Hari Malaysia baru-baru ini.

Keduduannya dalam sejarah bagi penentang penjajah British, mahukan Malaya merdeka dan apakah dia orang berjasa atau musuh rakyat dan negara akan ditentukan oleh sejarah. Adakah dia rakyat Malaysia atau rakyat British atau rakyat tak bernegara, dia adalah kelahiran Sitiawan, satu daerah dengan saya.

Kami  sama-sama orang Sitiawan. Dia berjuang dalam komunis, saya berjuang dalam Islam. Berjuang dalam komunis dikira pengganas, berjuang dalam Islam pun ada yang kata pengganas.

Dia tidak diterima oleh kerajaan pilihan rakyat sebagai orang yang dikehendaki. Dia pun mati di perantauan sama dengan Tun Razak yang juga mati dalam perantuan. Jenazah Tun Razak dibawa pulang dan diberi penghormatan. Mayat Chin Peng diharamkan dibawa pulang, bahkan abunya tida boleh dibawa pulang.

Kira-kira dia orang yang tidak berguna kepada negara dan logiknya tidak perlu dikenang dan diberi penghormatan.

Tetapi kematiannya telah mendapat liputan yang meluas. Berbeza dengan yang diberi kepada pemimpin China yang dikira menderhaka kepada komunis sekalipun mereka komunis. Lin Biao  menderhaka kepada Mao Zedung. Orang China tak berapa tahu tentang kemadiannya. Balu Mao dikira mengkhianati perjuangan komunis selepas era Mao, tak tahu orang akan kematiannya. Demikian jaga Nikita Krushchev, Perdana Menteri Soviet yang digulingkan, berita kematiannya hanya sebaris saja.

Tetapi kematian Chin Peng mendapat reaksi oleh sekurang-kurangnya tiga pemimpin penting negara yanag bertanggungjawab atas keselamatan negara iaitu Perdana Menteri Najib, Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein.

Semua publisiti mengenainya adalah buruk, tetapi dalam ilmu komunikasi, publisiti buruk sekalipun adalah publisiti juga. Macam-macam ulasan dibuat tentangnya. Termasuk disebarkan adalah sejarah tidak rasminya.

Orang Malaysia yang tidak tahu mengenainya sebelum matinya, jadi tahu banyak kisah tentangnya. Di mana dia lahir, dibesarkan dan disekolahkan. Gambar rumah  dia lahir dan sekolahnya disiarkan.

Cuma mayat dan abu mayatnya tidak boleh dibawa pulang dan tiada tugu dan patungnya didirikan. Tetapi orang tahu banyak mengenainya.

Perdana Menteri Najib muncul di kaca TV untuk tolong menyebarkan berita kematiannya. Walaupun dia bukan yang mula-mula memberitahu rakyat tentang kematian itu, yang diceritakannya ialah mayatnya tidak boleh dibawa pulang kerana rakyat tidak boleh terima yang diperjuangkannya.

Tetapi kesanggupan Perdana Menteri datang mengambil ruang siaran TV yang berharga untuk memberitahu dia tidak dibenarkan dibawa pulang, menunjukkan seolah-olah satu pengiktirafan kepadanya. Kenyataan dan pendirian Najib seolah-olah tidak memadai, bahkan menteri-menteri kanan kerajaan turut memberi reaksi seolah-olah yang mati itu adalah orang penting.

Ikut rentak marah masing-masng pada Chin Peng tiada perlu publisiti diberi oleh media rasmi kerajaan seperti TV dan radio.

Tidak perlu sangat mayatnyua dibawa pulang. Diberi publisiti meluas pun adalah memadai. Sedikit sebanyak, tanpa disedari oleh badan perang saraf, Chin Peng sudah dihormati bahkan oleh pemimpin kerajaan yang sekadar kata, Chin Peng adalah musuh rakyat.

Kongsi gelap: Bukan babak orang jahat dilihat jadi baik

Harakahdaily, 23 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Setiausaha Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) Pulau Pinang, Kumaresan Aramugam menggesa supaya jalan konkrit perlu diambil bagi menyelesaikan masalah kongsi gelap.

Menurutnya, pihaknya menyokong tindakan kerajaan untuk membasmi gangsterisme melalui Ops Cantas namun risau dengan keadaan tempoh hari ramai anak muda ditangkap mahupun ditembak mati.

Menurut Kumar, dengan operasi demikian ia bukannya satu penyelesaian yang menyeluruh terhadap kumpulan kongsi gelap kerana tanpa satu kaedah yang konkrit, maka cerita kongsi gelap tidak akan berakhir.

“Ini bukan cerita filem di mana dalam filem pada babak klimaks dilihat orang jahat menjadi baik dan karakter tersebut ditamatkan, namun dalam isu sekarang adalah berbeza kerana ianya adalah realiti dan bukan untuk sekadar tontonan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi,  pihaknya juga percaya bahawa isu kongsi gelap tidak akan berakhir kerana  kumpulan tersebut tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Walaupun ketua-ketua mereka tiada lagi, namun katanya kumpulan kongsi gelap mampu bergerak aktif semula dengan diterajui muka baru.

Menurut beliau lagi, dalam tempoh sebulan Ops Cantas dilancarkan lebih 8,449 orang telah ditahan.

Perkara itu membimbangkan pihaknya kerana mereka yang bergiat aktif dalam aktiviti kongsi gelap kebanyakannya berumur kurang daripada 35 tahun iaitu dikategorikan sebagai belia.

“Apakah punca belia-belia ini yang sepatutnya menjadi tunjang kemajuan dan harapan negara ini terjerbak dalam dunia kongsi gelap?

“Di mana kesilapannya dan apakah sistem yang perlu dibetulkan?” tanya beliau.

Tambahnya, terdapat banyak lagi persoalan yang timbul, maka untuk mencari jawapan bagi segala persoalan ini pihaknya menyeru supaya satu jawatankuasa ‘ad hoc’ perlu dibentuk dengan segera dan jawatankuasa tersebut perlu dirangkumi oleh ahli-ahli politik daripada kerajaan, pembangkang dan juga badan-badan NGO belia.

Mipas juga, ujarnya menyeru agar semua pihak dapat ketepikan soal perbezaan politik untuk seketika dan bersatulah untuk mencari jalan penyelesaian yang konkrit terhadap masalah kongsi gelap.

“Tiada gunanya kita saling tuding-menuding menyalahkan antara satu sama lain kerana keadaan ini pastinya akan mengeruhkan lagi suasana,” katanya lagi.

Menurutnya, jawatankuasa ‘ad hoc’ yang dibentuk pula perlu menjadi badan pemikir untuk membetulkan apa jua kesalahan sama ada sistem kerajaan yang sedia ada atau pun sebaliknya.

Tiada ulasan: