Ahad, 1 September 2013

TAATI SUAMI SELAGI TAK BERTENTANG DENGAN SYARAK...SANTUNI ISTERI KERANA IA DARI TULANG RUSUK YANG BENGKOK

Syabas jangan lambat salur air, loji lebihi paras

Selangorku, 01 Sep 2013
SHAH ALAM: Bekalan air di empat loji rawatan air yang terjejas sebelum ini, mencukupi bahkan ada kalanya melebihi paras yang ditetapkan, kata Elizabeth Wong Keat Ping.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar itu, berkata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tiada alasan lambat menyalurkan bekalan air kepada pengguna.

“Alasan Syabas masalah itu akan diatasi dalam tempoh hampir lima hari sukar diterima kerana tiada masalah air dihadapi di Sungai Selangor.

“Semua keempat-empat loji dalam kapasiti penuh,” katanya kepada TV Selangor sambil menyatakan bekalan air di Lembah Klang dijangka diatasi dalam masa terdekat.

Jumaat lalu, sebahagian penduduk Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air apabila Sungai Selangor dicemari tumpahan diesel yang menyebabkan empat loji rawatan air terpaksa ditutup.

Beliau berkata, laporan menunjukkan tiga loji rawatan air di Sungai Selangor dan satu di Rantau Panjang yang bermasalah sebelum ini sudah pulih dan beroperasi sepenuhnya.

“Ia berikutan kerja membaik pulih berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Segalanya bagus kecuali kolam air Hicom di Glenmarie.

“Kita akan tengok apa masalah di kolam itu yang keadaannya dikatakan tidak seimbang tetapi saya yakin dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.

Kolam itu menyalur bekalan air ke Petaling Jaya di SS2, SS3 dan SS4 serta sebahagian Kelana Jaya, sebahagian Subang Jaya dan Seksyen 23 dan 24 di Shah Alam.

Mengulas lanjut, Elizabeth berkata, semua bukti untuk tindakan saman mahkamah terhadap syarikat minyak yang menjadi punca pencemaran Sungai Selangor, sedang dikumpul selepas premisnya disita Jumaat lalu.

“Kita juga akan merampas tanah digunakan syarikat itu. Saya harap mahkamah akan beri hukuman berat walaupun kes alam sekitar biasanya hukumannya ringan,” katanya.

Mengapa TPPA perlu dibantah (1)

Anas Alam Faizli, 01 Sep 2013

Pada tahun 2008, kerajaan Malaysia telah menghentikan perundingan perjanjian FTA Amerika-Malaysia yang sudah berlangsung selama dua tahun, dengan 58 “isu tidak selesai”. Antara penentang utama FTA ketika itu ialah Menteri Pertanian, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dilaporkan berkata bahawa beliau tidak akan berkompromi dalam isu kesejahteraan hidup petani tempatan. Malah, beliau dilaporkan pernah mengatakan ‘langkah mayat saya dahulu.’ YB Khairy Jamaludin, yang ketika itu sehinggakan turun protes, berpendapat bahawa FTA akan mengancam kedaulatan Malaysia dengan perlindungan paten, lantas menghalang akses kepada industri perubatan generik. Jadi mengapakah kerajaan beria-ia kini untuk menyertai TPPA? Apakah yang telah berubah selepas lima tahun? Yang pasti, kandungan ala FTA yang bakal mengisi TPPA masih kekal sama.

Kenapa Trans-Pasifik?

Kita boleh membuat andaian bahawa TPPA dikenali sebagai Trans-Pasifik kerana faktor lokasi geografi kedudukan negara-negara yang terlibat dalam rundingan. TPPA ialah unik kerana ia adalah perjanjian terbuka. Semua negara yang berminat boleh menyertainya selagi mana mereka bersetuju dengan apa yang telah dirundingkan pada waktu kemasukan itu, dan negara-negara lain bersetuju dengan penyertaan negara tersebut.

Negara-negara yang menyertai TPPA, kebanyakkannya sudah mempunyai perjanjian FTA dengan Amerika kecuali Jepun, New Zealand, Malaysia dan Brunei. Jepun dan New Zealand merupakan negara maju yang mempunyai antara jaringan hubungan perdagangan yang terbesar di dunia, manakala Brunei ialah sebuah negara yang sangat kaya sumber, walaupun perdagangan yang kecil. Hal ini menjadikan Malaysia, sebagai sebuah negara yang paling terancam dengan status sebagai negara membangun dan pihak baru dalam perjanjian TPPA dengan Amerika ini.

Bagi negara yang sudahpun mempunyai perjanjian dua-hala sedia ada FTA dengan Amerika, TPPA mungkin hanya melibatkan perubahan kecil kepada status perjanjian sedia ada. Tetapi untuk sebuah negara yang skala ekonominya kecil, TPPA bakal meninggalkan kesan yang lebih besar.

Rundingan pertama TPPA diadakan pada March 2010 melibatkan lapan buah negara, Malaysia menyertainya pada Disember 2010, di ikuti oleh Mexico dan Kanada pada Disember 2012. Baru-baru ini, Jepun menyertai rundingan pusingan di Kota Kinabalu.

Perjanjian FTA antara Amerika dan Singapura, Korea Selatan dan Chile boleh disandarkan sebagai panduan untuk kita melihat apa yang boleh diharapkan daripada TPPA. FTA ini juga tidak banyak berbeza antara satu sama lain, dengan perbezaan kurang daripada 5 peratus secara puratanya. Hal ini membawa kepada kita merumuskan bahawa Amerika melihat TPPA ini sebagai hanya satu daripada perjanjiannya yang menggunakan kerangka ‘standard’. Mereka kelihatan tidak akan melayan “kerenah” dan kehendak negara-negara yang lebih kecil ini (dikenali sebagai ‘pengecualian’) di meja rundingan.

Kandungan teks TPPA juga sulit dan rundingan dijalankan secara tertutup. Hanya lima bab yang ketirisan secara tidak sengaja kepada orang awam iaitu Pelaburan, Harta Intelek, Perdagangan dan Sekatan, dan Garis Panduan Kawal Selia. MITI melaporkan hampir 14 bab daripada 29 bab yang dibincangkan sudahpun dipersetujui dan disimpulkan.

Tentang Pelaburan dan Kedaulatan


Isu ini boleh dikatakan isu terpenting, kerana berkait dengan hampir semua bab yang dibincangkan. Bab ini akan menyekat ruang pembuatan dasar oleh kerajaan melalui klausa ‘Investor-To-State Dispute Settlement (ISDS)’ dan ‘State-To-State Dispute Settlement’ (SSDS). ISDS ialah peruntukan dibawah Bab Pelaburan, yang secara asasnya membenarkan mana-mana syarikat untuk mengheret kerajaan Malaysia ke mahkamah bagi tuntutan kerosakan dan ganti rugi. TPPA bakal memperkuat “keadilan korporat” merentasi semua negara atas alasan “kesaksamaan dan kesama rataan”.

Apakah kesaksamaan dan sama rata yang dimaksudkan di sini? Pendek kata, syarikat multinasional boleh selesa dengan kefahaman bahawa tiada perubahan ke atas undang-undang domestik yang akan melibatkan mereka secara buruk, sebaik sahaja mereka memulakan operasi di negara rakan TPPA mereka. Hakikatnya, hal ini menjadi tiket kepada syarikat gergasi multinasional untuk melangkah sistem undang-undang sebuah negara, melalui sebuah tribunal pengadilan antarabangsa yang dianggotai oleh tiga orang hakim; dua orang hakim antarabangsa dan seorang hakim tempatan.

Misalnya, jika Malaysia tiba-tiba mendapati bahawa terdapat kandungan kecil di dalam tembakau yang merbahaya dan membuat keputusan untuk mengharamkan kandungan tersebut, seterusnya menjejaskan keuntungan syarikat multinasional tembakau, syarikat itu mempunyai hak untuk menyaman kerajaan Malaysia berdasarkan potensi kerugian yang mereka alami sepanjang tempoh permit mereka beroperasi di Malaysia, beserta faedah. Itulah yang terjadi dalam kes Philip Morris, apabila syarikat itu menyaman kerajaan Australia atas pembentukan undang-undang baru tentang pembungkusan rokok. Perkara yang sama boleh terjadi ke atas Malaysia sekiranya negara kita hendak mengenakan undang-undang yang lebih ketat, ke atas pengusaha Lynas, misalnya.

Malah, tidak melampau jika kita menjangkakan bahawa penggubal undang-undang dan Parlimen akan dibiarkan tidak berfungsi; mereka tidak boleh menggubal undang-undang yang memberi kesan kepada keuntungan syarikat multinasional dan kelangsungan perniagaan! Kita masih ingat bagaimana Mexico di saman Dollar AS16 juta kerana tidak membenarkan pembuangan sisa toksik merbahaya ke dalam alam sekitarnya oleh syarikat Amerika.

Satu lagi hal yang diketahui umum ialah negara maju seperti Amerika dan Jepun sedang berusaha untuk melaksanakan ISDS melalui TPPA dan juga apa-apa yang dilihat sebagai kekurangan di bawah perjanjian Organisasi Perdagangan Dunia (WTO). Walaupun kita hanya boleh mengandaikan klausa ini tidak diratifikasikan kerana potensi kesan negatif, kebimbangan yang wujud ini ada asasnya.

Tentang Perolehan Kerajaan dan Program Pembangunan Vendor Petronas

Dalam bahagian ini, semua perolehan kerajaan termasuklah berkaitan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Petronas tidak boleh dalam apa jua cara memihak kepada kontraktor tempatan dalam kaedah yang boleh disifatkan sebagai tidak adil kepada perusahaan asing lain daripada negara-negara rakan TPPA. Ada paras lantai dalam peraturan ini; daripada perjanjian-perjanjian lepas FTA Amerika, kita boleh menganggarkan iaitu sekitar RM23 juta dan ke atas. Jelas hanya kontrak sampingan kepada kontraktor tempatan yang tinggal. Sementara itu, kita melihat saiz perolehan kerajaan Malaysia sebanyak RM130 bilion, atau 25 peratus daripada KDN Malaysia.

Bukti empirikal menunjukkan bahawa 94 peratus daripada perolehan kerajaan Amerika diperoleh oleh syarikat tempatan Amerika (Khor, 2008) dan hanya 6 peratus diberikan kepada 170 syarikat di seluruh dunia. Betapa terhadnya potensi yang diperoleh daripada sebuah usaha yang sepatutnya membuka peluang kita di Amerika! Apakah yang akan terjadi kepada kontraktor tempatan kita terutamanya kontraktor minyak dan gas? Mampukah walau syarikat besar milik tempatan seperti Sapura Kencana dan MMHE sekalipun, bertahan menghadapi persaingan yang tidak bersimpati daripada negara maju? Apatah lagi nasib pemain-pemain industri kecil sederhana (SME). Program Pembangunan Vendor Petronas yang telah banyak membantu membangunkan industri gas dan minyak tempatan juga nampaknya bakal tersingkir daripada persaingan ini.

Tentang SME dan Pertanian

TPPA bertujuan untuk membebaskan perdagangan dan mengurangkan tarif, yang mana boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan yang drastik dalam banyak sektor. Kesan langsung ialah tekanan terus kepada gaji pekerja lantas meluaskan lagi jurang pendapatan yang sudah sedia besar sekarang. Mexico ialah contoh terbaik; hasil daripada  pemeteraian Perjanjian Perdagangan Besar Amerika Utara (NAFTA) dengan Kanada dan Amerika, tiga juta daripada sepuluh juta rakyat Mexico kehilangan pekerjaan.

Pengurangan tarif akan memberikan kesan langsung terutama kepada produk pertanian.Walau bagaimana mulia pun niat TPPA mempromosikan keberkesanan dan persaingan sihat, niat itu menjadi tidak adil apabila kita melihat hakikat bahawa lebih 90 peratus syarikat Malaysia yang terlibat dalam sektor pertanian ialah syarikat kecil dan sederhana (SME). Mereka akan menghadapi persaingan yang tidak seimbang daripada syarikat gergasi pertanian daripada negara seperti Amerika, Kanada dan Jepun, yang mana kerajaan tidak menurunkan pun subsidi yang besar kepada petani mereka. Kajian oleh UNCTAD menunjukkan bahawa subsidi telah merendahkan kos pengeluaran beras Amerika sebanyak 45 peratus, kacang soya 32 peratus dan kapas sebanyak 52 peratus. Pengiraan kasar menunjukkan bahawa hasil beras mereka mampu memenuhi pasaran Malaysia serendah RM 1.40/ kg- apakah yang akan terjadi kepada Bernas, dan nasib pengeluar tempatan yang lebih kecil?

Tentang Harta Intelek- Paten Perubatan dan Hak Cipta

Syarikat farmasi gergasi akan mendapat hak ke atas paten ubat-ubatan dan mengekalkan pegangan hak cipta lebih lama dengan cara yang lebih mudah. Hal ini akan melewatkan pengeluaran ubat generik dan penggunaan ubat-ubatan penyakit kronik dan melewatkan akses kepada ubat-ubatan untuk penyakit seperti kanser, HIV dan penyakit kronik lain. Sebagai contoh, Herceptin, yang digunakan untuk kanser pada masa kini memerlukan RM8,000 setiap rawatan dan memerlukan kepada 17 pusingan rawatan. Purata kos untuk rawatan pesakit kanser paru-paru boleh mencecah RM 44,725 (Dollar AS14,455) setiap tahun untuk seorang pesakit. Peluang untuk mendapatkan rawatan ubat-ubatan ini semakin berkurang, terutamanya bagi mereka yang tidak mampu kerana harga yang terlalu tinggi, apabila akses kepada ubat-ubatan generik akan dilewatkan melalui TPPA kerana negara maju akan menambah jangka hayat paten lebih daripada tempoh 20 tahun.

Bahagian Hak Cipta dalam TPPA akan mengakibatkan rawatan perubatan bertambah mahal untuk kebanyakan rakyat Malaysia, aktiviti penyelidikan dan pendidikan juga akan menerima musibah dan kosnya meningkat disebabkan oleh undang-undang hak cipta yang lebih ketat dicadangkan. Ini termasuklah ‘digital commons’ atau harta umum digital seperti sumber maklumat daripada internet. Undang-undang hak cipta kini akan dipanjangkan hayatnya daripada 50 kepada 120 tahun. Maksudnya, 70 tahun lagi akses kepada pelajar dan dunia akademik diterhadkan, kerana harga buku rujukan dan sumber maklumat yang begitu tinggi.

Tentang kawalan Tembakau dan Kesihatan Awam

Tembakau bukanlah produk biasa yang profil permintaannya seperti produk-produk biasa- sebagaimana mahal pun tetap akan ada pembelinya. Rokok membunuh sekurang-kurangnya 50 peratus daripada penggunanya. Malaysia dan juga negara-negara lain dalam TPP kecuali Amerika, ahli kepada ‘WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) yang mensyaratkan supaya negara-negara ahli meregulasikan industri tembakau, mengurangkan penggunaannya dan menyekat insentif kepada industri tembakau. FCTC merupakan perjanjian antarabangsa yang mengikat Malaysia sebagai ahli yang bermaksud untuk mewujudkan dasar kebangsaan yang bermatlamat mengurangkan penggunaan tembakau dan meregulasikan industri tembakau.

Banyak syarat dalam banyak bab-bab TPPA bertentangan dengan FCTC. Hal ini menimbulkan kebimbangan terutamanya mengenai potensi konflik di masa depan. Isu ini menjadi lebih penting apabila kita menimbangkan kesan negatif kepada kesihatan awam dalam masyarakat yang tinggi penggunaan tembakaunya.

Tentang Kemampuan Kawalan Modal (Capital Control)

Salah satu kesan utama TPPA ialah pengehadan kemampuan kita untuk melaksanakan kawalan modal. Menurut Reinhart & Roghoff (2009), situasi pergerakan kapital antarabangsa yang tinggi selalunya menimbulkan krisis perbankan antarabangsa, seperti yang berlaku kepada Malaysia dan rantau sebelah sini pada tahun 1997, yang juga telah banyak kali berlaku dalam sejarah perbankan. Apabila sistem kewangan diregulasikan dengan baik, kemungkinan untuk kitaran kegawatan kewangan dapat dikawal, atau sekurangnya melindungi situasi ekonomi daripada terdedah kepada kitaran kegawatan kewangan yang banyak kali kita saksikan kerana persekitaran ekonomi yang bebas tanpa kawalan.

Hal ini bukanlah bertujuan untuk menentang usaha meliberalisasikan ekonomi demi mweujudkan persekitaran ekonomi yang lebih berkesan, malah bukan juga untuk merosakkan peluang Malaysia untuk menarik pelaburan asing. Tetapi, ia bertujuan untuk bertindak sebagai “shock absorber” atau penyerap hentakan akibat daripada krisis-krisis ekonomi yang cenderung kepada ekonomi-ekonomi yang lebih liberal. Hal ini penting terutamanya untuk perniagaan-perniagaan dan perusahaan-perusahaan Malaysia yang masih lagi setahun jagung untuk menghadapi saingan asing. Bukanlah satu kebobrokan pun untuk kita menyiapkan diri dengan satu sistem kawalan modal sementara seperti yang kita laksanakan ketika Krisis Kewangan Asia. Malah IMF sendiri mengakui keberkesanan kawalan modal dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia berbanding Indonesia dan Thailand.

Tentang Telekomunikasi


Bahagian telekomunikasi dalam FTA yang juga dibincangkan dalam TPPA merupakan antara bahagian yang wajar diberikan perhatian. Rancangan telekomunikasi adalah untuk mempromosikan persaingan ke atas pembekal telekomunikasi dalam kalangan negara anggota TPPA. Perusahaan telekomunikasi daripada negara-negara rakan TPPA akan diberikan akses kepada jaringan kemudahan telekomunikasi awam sedia ada melalui jaringan kemudahan dan akses kemudahan fizikal. Dalam kes Malaysia, kita prihatin terhadap keupayaan TM Berhad yang selama ini telah membangunkan infrastruktur fizikal telekomunikasi di Malaysia dan menghubungkan negara dengan jaringan kabel fiber optik kelajuan tinggi melalui skim Perkongsian Awam-Swasta (PPP). Apabila pesaing asing dibekalkan akses untuk menggunakan infrastruktur sedia ada, tentu sekali tekanan hebat ke atas prospek keutungan TM menyusul, malah mungkin mengheret syarikat gergasi telekomunikasi ke dalam krisis dan tutup kedai.


*Anas Alam Faizli ialah profesional dalam industri minyak dan gas. Beliau sedang menyambung pengajian peringkat kedoktoran, pengasas bersama BLINDSPOT dan BANTAH TPPA, tweet di @aafaizli

Awas tipu muslihat Amerika!

Syed Abdullah Syed Osman,
Jangan terlalu awal kita bertepuk tangan apabila ratusan peluru barpandu Amerika Syarikat dan barat akan dilancarkan ke arah askar Presiden al-Assad. Hal ini kerana kita tidak tahu apa muslihat yang tersirat di sebalik 'Superman' hendak menyelamatkan rakyat Syria daripada kekejaman Presidennya itu.

Di atas kertas memang nampak cantik dan membantu tetapi sedarkah kita setiap kali Amerika Syarikat yang didalangi oleh rejim Yahudi itu melakukan sesuatu pasti akan menimpakan mala petaka kepada negara yang hendak diselamatkan itu.

Afghanistan, Iraq dan begitu juga Libya - pada mulanya rakyat negara-negara berkenaan begitu teruja dan mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Amerika Syarikat yang kononnya telah 'memerdekakan' mereka tetapi setelah beberapa tahun sahaja barulah rakyat negara berkenaan sedar bahawa mereka telah masuk kedalam perangkap permainan yang cukup licik dan terancang untuk memeras ugut dan menjajah secara tidak langsung negara tersebut. Pada masa yang sama negara yang telah dijajahkan itu akan dihuruharakan dengan masalah dalaman saperti perang saudara yang tidak berkesudahan itu.

Lihat semula sejarah bagaimana Amerika Syarikat memperalatkan Presiden Saddam Hussein. Iraq telah dibekalkan dengan senjata canggih termasuk senjata kimia untuk menyerang Iran dalam peperangan dari tahun 1980 hingga 1988 yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa kedua-dua belah pihak yang akhirnya peperangan itu dihentikan begitu sahaja apabila tentera Iraq gagal dalam misinya menawan Iran dibawah pimpinan Ayotollah Khomeni. Akhirnya  Saddam Hussein itu sendiri menjadi mangsa percaturan dan perancangan jahat Amerika Syarikat.

Begitu juga huru-hara yang berlaku di Mesir ketika ini yang dipercayai bahawa dalang di belakang rampasan kuasa oleh pihak tentera Mesir itu sendiri adalah Amerika Syarikat dan Israel.

Soalannya adakah benar askar Syria menggunakan senjata gas kimia keatas penduduk Syria ataupun sebaliknya tentera rejim Yahudi yang melakukannya tetapi menuduh tentera Syria pula. Walauapapun sepatutnya diserahkan kepada pihak Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat sebelum mengambil tindakan sewajarnya dan bukannya tentera Amerika yang cuba memandai-mandai menceroboh negara lain.

Jenayah meningkat, di mana silapnya?

Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail ,
Jenayah menjadi-jadi dan mengerunkan kita, begitu juga kemalangan jalan raya yang boleh dikatakan setiap hari berpuluh pengguna jalan raya dan lebuh raya terbunuh. Begitu juga masalah sosial yang semakin hari semakin menjadi-jadi terutama sekali dalam kalangan remaja.

Dimana silap dan salahnya kita hingga berlaku sedemikan rupa walaupun negara kita dikategorikan sebagai sebuah negara yang aman dan damai kerana tiada peperangan atau rusuhan kaum hingga membawa kepada perang saudara saperti dinegara-negara Islam yang lain di.

Adakah kerana kita tidak mahu menghayati agama Islam sepenuhnya atau seikhlasnya maka bala didatangi dari berbagai-bagai sudut supaya manusia balik kefitrah menginsafi dan kembalikan hak Islam itu kepesadanya kembali.

Atau kerana tiadanya penguatkuasaan yang tegas tentang pendatang yang dikatakan halal ataupun haram menjadikan salah satu sebab utama berlakunya jenayah. Kalau 30 tahun dahulu untuk melihat pendatang asing boleh dikira dengan jari dan itu pun pelancong dan pekerja yang benar-benar berkerja sebagai buruh binaan sahaja. Sekarang ini seolah-olah pendatang yang bermacam rupa dan bentuk manusia telah kelihatan lebih ramai dalam Komuter atau LRT dibandar-bandar besar daripada rakyat tempatan kita sendiri.

Jenayah bunuh membunuh, rogol, rompak dan samun seolah-olah telah menjadi amalan mereka hingga rakyat dinegara ini rasa terancam dan tidak begitu selamat lagi. Begitu juga kemalangan di jalan raya seolah-olah tunggu masa menunggu giliran siapa pula yang akan menjadi korban mati. Yang dikhuatiri orang yang memandu secara selamat menjadi mangsa kepada pemandu yang rakus dan tidak sayangkan nyawa.

Apa sudah jadi dengan remaja kita kerana ramai sudah memenuhi pusat serenti dan ramai lagi menunggu giliran untuk kesana. Penagih semakin hari semakin ramai dan untuk teruskan hidup dengan dadah mereka yang ketagih tegar ini terpaksa meragut, merompak dan ketahap membunuh serta menyamun keluarganya sendiri. Itu satu hal tetapi apa yang membimbangkan bukan lagi pergaulan bebas tetapi seolah-olah berlakunya seks bebas dimana-mana hingga ada sumbang mahram saperti bapa kandungnya merogol anaknya sendiri. Institusi kekeluargaan sudah longgar iaitu anak-anak tidak lagi menghormati ibu bapanya.

Walauapapun kita mesti kembali kepada syariat Islam untuk mengatasi semua ini. Pertama sekali benteras dahulu amalan rasuah secara total dan hukumkan seberat-beratnya kepada pelaku dan jangan hanya bermusim sahaja.Tegakkan balik segala ajaran Islam kerana ia benteng kuat daripada berlakunya musibah yang dihadapi sekarang ini.

Isu Syiah di Malaysia dan rancangan US di Syria

Musahuddin bin Ahmat,
Saya pembaca tetap harakah dan ingin berkongsi pandangan dengan tuan.

Saya puas hati dan amat setuju dengan kenyataan Tuan Presiden PAS mengenai kedudukan Syiah, dengan rencana oleh tuan Subki Latif saya lebih yakin dengan kedudukan fahaman PAS terhadap Syiah.

Saya tetap menyatakan kepada rakan-rakan PAS atau Umno, tidak halal darah orang yang mengucap kalimah agung dan membaca kitab yang agung sama ada sunnah atau syiah, dah tentu saya tidak boleh komen mengenai syiah sebab tiada ilmu langsung mengenai akidah syiah yang dipertikaikan itu.

Kenyataan Timbalan Presiden PAS juga mencerahkan lagi pandangan PAS bagi saya.

Saya risau dengan gendang perang terhadap syiah yang mendapat tempat meluas di pelbagai media arus perdana di Malaysia. Saya syak ia adalah satu 'timeline' media arus perdana menuju kearah satu tujuan yang akan menguntungkan Amerika dan Israel.

Berita terbaru mengenai kemungkinan Syria akan diserang mengesahkan tekaan saya bahawa 'timeline' media arus perdana yang memerangi syiah adalah akhirnya bertujuan untuk melemahkan kemarahan rakyat Malaysia terhadap kemungkinan serangan ataupun apabila  serangan sebenar ke atas Syria berlaku.

Yang penting sekarang ialah pemimpin PAS perlu berbincang dengan pihak Harakah bagaimana hendak menangani isu ini khususnya penerangan untuk golongan di luar PAS (terutamanya golongan yang menjadikan media arus perdana sebagai rujukan).

Isu ini sudah tentu boleh digunakan oleh Umno untuk memerangkap PAS dengan tuduhan menyokong syiah.

Saya berpendapat dalam hal ini PAS harus bersama Umno untuk bersedia menentang kemungkinan serangan tentera Amerika ke atas Syria. Sebagaimana yang pernah dilakukan dalam isu Palestin ketika era Allahyarham Datuk Fadhil Noor. Hal ini saya kira agak sukar, maklum sahajalah penasihat kerajaan APCO sudah tentu mengambilkira perkara ini ketika nasihat diberikan untuk melancarkan gendang perang terhadap syiah di media arus perdana dilakukan.

Kunci kata tekaan saya ialah "melemahkan perasaan marah rakyat Malaysia" jika berlaku serangan Amerika keatas Syria.

Terima kasih kepada tuan jika sudi berkongsi pandangan ini, kerana saya hanyalah orang biasa yang tiada apa-apa jawatan parti dan tidak dikenali sesiapa, hanya penyokong dan pengundi tetap PAS dari zaman tahun 80-an lagi.

Sekian, terima kasih.

Musahuddin bin Ahmat
Kg. Sementa, Klang,
Selangor
019 - 2600042

Berani dan Hebat: Video Mujahidin menangkap sniper Assad

http://kachipemas.blogspot.com, 29 Ogs 2013

BERANI: Mujahidin menangkap sniper Assad
Video ini dirakam oleh Mujahidin FSA.
Mereka telah menangkap penembak tepat rejim Basyar


Lihat sini

Senarai kongsi gelap dan pertubuhan haram

http://duniacacamarba.blogspot.com, 29 Ogs 2013

[PANAS] Senarai Rasmi Kongsi Gelap dan Pertubuhan Haram di Malaysia


[TMI] Kementerian Dalam Negeri hari ini mengisytiharkan 49 pertubuhan tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966 dalam tindakan kerajaan memerangi jenayah dan keganasan dalam negara.
Senarai dikeluarkan hari ini atas arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) dan membabitkan pertubuhan terkemuka seperti Geng 04, Geng 08 dan Geng 36, lapor The Star. – 29 Ogos, 2013.
Senarai penuh pertubuhan kongsi gelap haram adalah seperti berikut:
1) Geng 04
2) Geng 08
3) Double 7
4) Tiga Line
5) Geng 30
6) Geng 38
7) Geng 24
8) Geng 18
9) Geng 36
10) Geng 21
11) Ang Soon Thong
12) Wah Kee
13) Sio Sam Ong
14) PNEH
15) Hong Hong San
16) Hai San
17) Sin Ang Bin
18) New Cell 20
19) Jit It Hai
20) Sio Koon Tong
21) Gee Lam Kor
22) Gee Ah Eng
23) Loh Kuan
24) Tiang Yee Tong
25) Geng Leng Hor
26) Geng 35
27) Geng 303
28) Geng Satu Hati
29) ATAP
30) Hung Ann
31) Sui Yup
32) Otai
33) Borneo Red EMP
34) Ah Ngau
35) Batu Tiga
36) Ah Feng
37) Batu 10
38) Sibu Ti
39) Ah Seng
40) Ah Chin
41) Lee Lung
42) Lo Han
43) Sg Merah
44) Sg Badut
45) Ting Ching Lee
46) Tua Cak Lee
47) Teksi Station
48) Pintu Merah
49) Krokop

Sayyid Qutb selepas 47 tahun kesyahidannya

Dakwahinfo, 28 Ogs 2013

Pada 29 Ogos ini, genaplah 47 tahun syahidnya Sayyid Qutb, salah seorang pejuang dan pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir. Walaupun jasadnya telah lama meninggalkan kita, namun perjuangannya terus disambung oleh generasi Ikhwan di Mesir pada hari ini. Sebagai mengenang pengorbanan dan jasanya, wajarlah kita menelusuri serba  sedikit sejarah beliau.

Syed Qutb dilahirkan pada 9 Oktober 1906 di sebuah kampung di wilayah Assyut, Mesir.  Beliau mendapat didikan awal  di rumah daripada kedua ibu bapanya yang kuat beragama. Sewaktu berusia 6 tahun, beliau dihantar ke sekolah rendah di kampungnya. Sewaktu berusia 7 tahun, beliau mula menghafal al-Qur’an. Sewaktu usianya 10 tahun, beliau telah berjaya menghafalnya.

Kehidupan Awal di Kaherah


Sewaktu berusia 15 tahun, Syed Qutb mulai berhijrah ke kota Kaherah. Di sini beliau telah memasuki Sekolah Perguruan Abdul Aziz. Setelah menamatkan pengajian, beliau segera bertugas mengajar di sebuah sekolah rendah. Walaupun hatinya memberontak untuk meneruskan pengajian, namun beliau terpaksa memendamkan hasrat hatinya kerana terpaksa menyara hidup keluarganya, lantaran bapanya telah meninggal dunia semasa Syed Qutb sedang menuntut di sekolah perguruan.

Pada tahun 1928, sewaktu berusia 22 tahun, Syed Qutb menyambung semula pengajiannya.  Beliau memasuki  sekolah persediaan untuk memasuki Darul Ulum, Universiti Kaherah.  Pada tahun 1930 beliau diterima memasuki Darul Ulum mengikuti pengajian Bahasa Arab dan Ulum al-Syari’ah.

Setelah menamatkan pengajian di Darul Ulum, beliau bertugas sebagai Nazir di Kementerian Pendidikan Mesir. Sebagai seorang pegawai kerajaan, beliau serius dalam menjalankan tugasnya. Beliau merancang berbagai pembaharuan di Kementerian Pendidikan. Oleh itu, beliau melakukan kajian demi kajian serta mengemukkaan cadangan tanpa menghiraukan risikonya. Selain terlibat dalam bidang pendidikan, beliau juga berminat dengan politik dan dunia penulisan. Beberapa pandangan politiknya yang tidak selari dengan polisi kerajaan telah dimuatkan di dalam beberapa majalah. Hal ini menimbulkan kemarahan kepada Menteri Pelajaran, lantas mengarahkan agar Syed Qutb dihantar “berkursus” di Amerika Syarikat.

Sementara dalam bidang penulisan, pada peringkat awalnya beliau lebih berminat dengan bidang kesusasteraan sehingga menjadi salah seorang sasterawan Mesir yang terkenal.

Bagaimanapun, semenjak awal dekad 1940-an, satu era baru telah bermula dalam kehidupan Syed Qutb. Era ini boleh dikatakan sebagai era kesedarannya kembali kepada Islam. Namun pada peringkat ini beliau masih bergerak secara peribadi dalam usahanya menegakkan nilai-nilai Islam.  Di dalam penulisan, beliau mula menulis suatu rencana bersiri, kemudian dibukukan dengan tajuk “At-Taswir Fanni Fil Qur’an” pada tahun 1939. Tulisan ini mengupas keindahan dan kesenian yang terdapat di dalam ayat-ayat al-Qur’an. Pada tahun 1945 beliau menulis sebuah buku bertajuk  “Masyahidul Qiamah Fil Qur’an”.  Kedua-dua penulisan itu telah menemukan semula dirinya dengan didikan asas agama oleh kedua orang tuanya sewaktu kecil dahulu.

Seterusnya pada tahun 1948, Syed Qutb telah menghasilkan  sebuah buku kemasyarakatan Islam berjudul “Al-Adalah Al-Ijtima’iyyah Fil Islam”. Menerusi buku ini, Syed Qutb menyatakan dengan jelas bahawa keadilan masyarakat sejati hanya akan tercapai apabila melaksanakan sistem Islam.

Syed Qutb Bersama Ikhwan Al-Muslimin
Peringkat terakhir daripada perjalanan hidup Syed Qutb bermula daripada tahun 1951, tahun penyertaannya ke dalam Ikhwan al-Muslimin, sehingga ke tahun kesyahidannya tahun 1966.  Bagi Syed Qutb, tempoh itu sangat penting. Beliau sendiri menganggap tahun 1951 sebagai tahun kelahirannya semula.

Syed Qutb menyertai Ikhwan al-Muslimin, dua tahun sesudah kematian pengasasnya Imam al-Syahid Hassan al-Banna pada tahun 1949. Mereka berdua tidak pernah bertemu walaupun dilahirkan di tahun yang sama 1906, dan dididik di tempat yang sama, di Darul Ulum.

Namun di antara mereka mempunyai kesatuan jiwa dan wahdatul-fikr. Bagi Hassan al-Banna setelah membaca buku “Al-’Adalah Al-Ijtima’iyyah Fil Islam”, karangan Syed Qutb, beliau menganggap pengarangnya (Syed Qutb ) adalah sebahagian daripada kita (Al-Ikhwan).  Seterusnya Imam al-Banna telah menyakinkan para pemuda Ikhwan bahawa “orang ini”  (Syed Qutb) akan menyertai  al-Ikhwan tidak lama lagi.

Syed Qutb juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Hassan al-Banna. Malah kematian al-Banna sangat terasa kepadanya walaupun beliau belum pernah bersama dengan al-Banna.  Berita kematian al-Banna diterimanya dengan perasaan tragis sewaktu berada di sebuah hospital di Amerika Syarikat. Berbeza dengan sikap orang-orang Amerika yang bergembira dan bagaikan berpesta menyambut berita tersebut.

Sekembalinya  dari Amerika Syarikat,  Syed Qutb terus  mengkaji kehidupan al-Banna dan membaca seluruh risalah karangannya. Beliau akhir menemui suatu “kebenaran” yang wajib diperjuangkan. Seterusnya beliau berjanji dengan Allah untuk memikul amanah perjuangan Hassan al-Banna.

Oleh itu, pada tahun 1951 Syed Qutb dengan rasminya menyertai Ikhwan al-Muslimin. Pada tahun 1952, beliau dipilih menganggotai Maktab Irsyad dan dilantik mengetuai Lujnah Dakwah. Selepas peninggalan al-Banna, Ikhwan masih bertenaga kerana memperoleh saf kepimpinan yang berwibawa untuk meneruskan kepimpinan.  Mereka adalah Hasan Hudhaibi sebagai Mursyidul Am,  Abdul Qadir Audah sebagai Setiausaha Agung dan  Syed Qutb sendiri yang mengetuai Lujnah Dakwah,  dianggap sebagai “ideolog” kepada Ikhwan al-Muslimin.

Sepanjang tempoh memimpin Lujnah Dakwah, Syed Qutb telah menghasilkan beberapa karya yang berasaskan dakwah dan pemikiran Aqidah Islam.  Antaranya ;
1- Hadha  al-Din.
2- Al-Mustaqbal li hadha al-Din.
2-  Khasa’is  al-Tasawwur al-Islamiyy.
3- Maalim fi al-Tariq.
5- Tafsir Fi Zilal al-Qur’an.

Mesej utama yang ditekankan oleh Syed Qutb di dalam penulisannya ini ialah konsep al-Tauhid dari sudut al-Uluhiyyah. Menurutnya kemuncak kepada Tauhid Uluhiyyah Allah SWT ialah hak-Nya dari sudut al-Hakimiyyah dan al-Tasyri’. Menurutnya lagi bahawa ikrar Lailaha ilalLah adalah  pernyataan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang berkuasa di atas muka bumi-Nya. Maka seluruhnya itu mesti dikembalikan kepada hak-Nya.

Pada bulan Julai 1952, satu peristiwa bersejarah berlaku di Mesir iaitu “Revolusi Julai 1952. Revolusi ini menggulingkan pemerintahan beraja Mesir, dijayakan oleh gerakan “Dubbat  al-Ahrar” pimpinan Kolonel Jamal Abdul Naser dengan kerjasama Ikhwan al-Muslimin.

Sesudah revolusi, Syed Qutb telah ditawarkan dengan jawatan Menteri Pelajaran Mesir. Syed Qutb terlebih dahulu meminta jaminan daripada pemimpin Majlis Revolusi yang diketuai oleh Jamal Abdul Naser dan Anwar Sadat, bahawa Kerajaan Revolusi Mesir akan melaksanakan pemerintahan berdasarkan syariat Islam. Bagaimanapun kerajaan revolusi menolak untuk melaksanakan pemerintahan Islam.  Berdasarkan kepada penolakan tersebut, Syed Qutb merasakan perkara tidak baik akan berlaku.

Sejarah membuktikan apa yang dibimbangkan oleh Syed Qutb memang terjadi. Pada13 Januari 1954, Kerajaan Revolusi Mesir telah mengharamkan Ikhwan Muslimin dan para pimpinannya telah ditangkap di atas tuduhan gerakan Ikhwan sedang merancang hendak menggulingkan kerajaan revolusi, satu tuduhan yang tidak pernah dibuktikan di mahkamah.  Ekoran daripada itu tujuh orang pimpinan tertingginya dijatuhi hukuman mati, termasuk Hasan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah dan Syeikh Mohamad Farghali,ketua sukarelawan Mujahidin Ikhwan al-Muslimin di dalam Perang Suez 1948. Bagaimanapun  hukuman terhadap Hasan Hudhaibi dipinda kepada penjara seumur hidup dan Syed Qutb pula dihukum penjara lima belas tahun dengan kerja berat.

Pada tahun 1964, Syed Qutb telah dibebaskan di atas permintaan peribadi Abdul Salam Arif, Presiden Iraq. Kerajaan Revolusi Mesir bagaimanapun tidak berpuas hati dengan pembebasan tersebut. Apabila Presiden Abdul Salam Arif terkorban dalam satu kemalangan udara, Syed Qutb ditangkap semula pada tahun berikutnya. Tangkapan kedua ini dibuat berdasarkan tuduhan beliau merancang satu rampasan kuasa baru untuk menggulingkan kerajaan.

Pertuduhan ke atas Syed Qutb di Mahkamah Revolusi dibuat berdasarkan buku-bukunya terutama Maalim Fi al-Tariq. Ia berdasarkan kenyataannya mengenai seruan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang tidak berdasarkan ayariat Allah.

Bersama Syed Qutb kali ini, turut juga ditahan ialah seluruh anggota keluarganya. Syed Qutb seorang yang bermaruah.  Sebelum hukuman gantung dilaksanakan ke atasnya, Presiden Naser menghantar wakil menemui Syed Qutb. Melalui wakil itu, Presiden Naser meminta agar Syed Qutb menulis  kenyataan meminta ampun daripadanya agar Syed Qutb dibebaskan. Namun Syed Qutb dengan tegas menjawab;

“Telunjuk yang bersyahadah setiap kali bersolat bahawa Tiada Ilah yang disembah dengan sesungguhnya melainkan Allah dan Muhamad Rasulullah, tidak akan aku menulis satu perkataan yang hina. Jika aku dipenjara kerana benar aku redha. Jika aku dipenjara secara batil, aku tidak akan menuntut rahmat daripada kebatilan”.

Pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, Syed Qutb telah digantung sampai mati bersama-sama sahabat seperjuangannya, Mohamad Yusuf Hawwash dan Abdul Fatah Ismail. Berita hukuman mati yang dilaksanakan ke atas Syed Qutb telah mengejutkan Dunia Islam.  Kebanyakan tokoh dan pimpinan umat Islam sedih dan kecewa dengan peristiwa tersebut.

http://dakwah.info

Q&A: Syurga di bawah tapak kaki suami?

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 28 Ogs 2013
Soalan;

Saya ada soalan mengenai syurga bagi seorang wanita. Semua tahu yang syurga bagi anak lelaki adalah dibawah tapak kaki ibu, yang wanita pula, sebelum berkahwin syurganya di bawah tapak kaki ibu mereka tetapi bila sudah berkahwin, syurga mereka di bawah tapak kaki suami mereka, betul? Betulkan saya jika saya salah.

Saya mempunyai situasi yang memusykilkan saya. Ada seorang individu ini, seorang wanita dan beliau sudah berkahwin, dan yang menghampakan dan memusykilkan saya, sesudah berkahwin, tingkah laku, perbuatan, perangainya terhadap ibunya sangat tidak beradab dan sangat "kurang ajar". Apabila saya bertanya kepadanya, mengapa beliau berbuat demikian sedangkan ibunya melayannya dengan penuh kasih sayang, ibunya menangis setiap hari dan perkara itu sangat menyentuh hati saya. Jawapan beliau terhadap soalan saya tadi ialah beliau berkata bahawa, "Syurga aku di bawah tapak kaki suami, bukan tapak kaki ibu lagi," saya sangat kasihan akan ibunya. Adakah boleh sebegitu tindakan wanita tadi? Ataupun ada penyelesaian di sebalik permasalahan ini dan hukum bagi situasi tersebut, saya harap ustaz dapat meleraikan kekusutan saya ini.

Jawapan

Bismillah walhamdulillah wassolatu ala rasulillah.

Kawan saudara itu telah tersalah ilmu tentang hakikat sebenarnya. Seorang anak (lelaki atau wanita) tetap wajib menghormati ibu-bapanya, wajib berbakti kepada mereka, menjaga silaturrahim dengan mereka, mendoakan mereka dan menafkahi mereka (jika mereka miskin) sekalipun dia telah berkahwin. Hanya jika bertembung antara perintah suami dan perintah ibu-bapa, maka perintah suami wajib didahulukan kerana haknya lebih besar. Hal itu tiada kaitan dengan kewajipan-kewajipan terhadap ibu-bapa yang mesti diteruskan sekalipun telah berkahwin.

Firman Allah (bermaksud); “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa” (Surah al-Isra’ : ayat 23).

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya…” (Surah Luqman : ayat 14).

“…bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu.” (Surah Luqman : ayat 14).

“…maka janganlah engkau berkata kepada kedua ibu-bapamu (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)…” (Surah al-Isra’ : ayat 24).

“…Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua ibu-bapamu kerana belas kasihan dan kasih sayangmu…” (Surah al-Isra’ : ayat 24).

“…dan doakanlah (untuk kedua ibu-bapamu, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’ : ayat 24).


Sekalipun telah berkahwin, perintah Allah dalam ayat-ayat di atas terus berjalan dan wajib dipatuhi oleh anak sama ada lelaki atau perempuan. Tidak harus sama sekali menderhakai mereka kerana Nabi SAW bersabda; "Dosa-dosa paling besar ada empat;
1. Mensyirikkan Allah,
2. Menderhakai dua ibu-bapa,
3. Membunuh
4. Bersaksi palsu"
(Soheh al-Bukhari; 2653, dari Anas RA).

Kesimpulannya, sekalipun telah berkahwin, seorang anak perempuan tetap wajib menghormati ibu-ayahnya, menghubung silaturrahim dengan mereka, merendah diri di hadapan mereka, berbaik dengan mereka dan berbakti kepada mereka mengikut kemampuannya. Tidak boleh sekali-kali bersikap biadap dengan mereka atas alasan telah berkahwin. Ayat-ayat Allah tadi yang memerintahkan anak agar berbuat baik kepada ibu-bapa, berterima kasih kepada mereka, menjaga tutur kata dengan mereka dan merendah diri kepada mereka, ayat-ayat tersebut tiada siapa dapat mengubahnya termasuk suami. Sampai bila-bilapun syurga tetap di bawah tapak kaki ibu-bapa dan keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa.

Sabda Nabi SAW; “Jagalah kedua ibu-bapamu kerana Syurga di bawah kaki kedua mereka” (Hadis riwayat Imam at-Thabrani dengan sanad yang baik. Lihat; al-Muntaqa, Dr Yusuf al-Qaradhawi, hadis no. 1475).

Sabda baginda juga; “Keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa dan kemurkaan Tuhan berada pada kemurkaan ibu-bapa.” (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dan al-Hakim dari ‘Abdullah bin ‘Amru RA. Menurut as-Suyuti; hadis ini adalah soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4456).

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Friday, 30 August 2013

Budak Sekolah Melacur Kaut RM18,000 Sebulan

Bermodalkan RM2 untuk melayari Internet yang sepatutnya digunakan untuk belanja harian persekolahan, remaja ini mampu meraih RM18,000 sebulan dengan hanya menggoda lelaki hidung belang yang dahagakan belaian mesra gadis bawah umur menerusi perkenalan di FB. 

Itu yang dilakukan Tina, 17, untuk hidup selesa dan mampu memakai pakaian berjenama, memiliki peralatan komunikasi canggih seperti anak orang kaya walaupun usianya ketika itu baru 13 tahun. 

Gadis berasal dari utara tanah air ini dapat hidup bebas selepas melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan menerima teguran dan leteran keluarga berikutan sikap liarnya. 

Peluang itu digunakan Tina untuk memanfaatkan persahabatan singkat dengan lelaki bekerja di tapak pembinaan dikenali secara on-line, Fendi, 20-an, dan sanggup mengambil risiko tinggal bersama lelaki itu selama lima bulan. 

Sanggup membelakangkan keluarga dan ponteng sekolah, tindakan Tina seolah-olah ‘keluar kandang harimau, masuk mulut buaya’ apabila rumah yang dihuninya turut menjadi ‘port’ lepak 10 lelaki setiap hari. 

“Saya pasti keluarga melaporkan kehilangan saya kepada polis, justeru Fendi menasihatkan supaya saya tak keluar dari rumah dan segala makan pakai saya diuruskannya. Sebagai balasan, saya memberikan layanan seks kepada Fendi. 

“Tiada paksaan ketika kali pertama melakukan hubungan luar nikah, malah kami sama-sama seronok. Tidak cukup dengan itu, saya memberi khidmat seks kepada rakan Fendi yang duduk serumah mahupun sekadar datang melepak di kediaman berkenaan. 

“Namun saya tak bodoh, sebaliknya layanan seks hanya akan diberi jika mereka setuju membayar. Paling banyak RM60, paling sedikit RM30. 

“Fendi yang kononnya kekasih saya ketika itu tak pernah melarang, bahkan lebih gembira kerana saya boleh memberinya wang untuk menampung makanannya,” katanya kepada Metro Ahad. 

Menurut Tina, selama tempoh itu, dia tidak pernah keluar dari rumah berkenaan dan mampu melayan sekurang-kurangnya 10 lelaki setiap hari. 

Secara purata, gadis hingusan ini mampu meraih RM18,000 sebulan jika dia mengenakan bayaran RM60 satu sesi dan melayan 10 lelaki dalam sehari. Jika ‘bekerja’ berterusan selama 30 hari, Tina tiada masalah meraih pendapatan sebanyak itu. 

Selepas bosan selain memiliki sikap enggan dikongkong, Tina membuat keputusan keluar dari ‘penjara ciptaan’ itu dan menghubungi teman rapatnya bagi menemaninya membeli-belah menggunakan duit haram itu. 

Namun, kegembiraan untuk membeli barangan, pakaian, telefon bimbit berjenama berakhir apabila Tina bertembung dengan polis sebelum dibawa ke balai berdekatan. 

Pertemuan dengan keluarga yang menangisi kehilangannya di balai polis berkenaan gagal menimbulkan keinsafan di hati Tina, sebaliknya dia sibuk mencari jalan untuk lari semula selepas pergerakannya dikawal ketat. 

“Saya dikurung keluarga, namun saya lebih licik melarikan diri untuk kali kedua. Berbekalkan wang tabungan sebanyak RM500, saya melompat dari tingkat dua rumah dan nasib baik tidak cedera. 

“Kemudian, saya ke kafe siber membuka akaun FB dan berbual dengan mana-mana lelaki dengan berkesudahan mereka meminta saya menemani mereka. 

“Bertemu di lokasi ditetapkan, dengan penampilan menarik meskipun berusia 13 tahun, ‘dating’ ekspres itu pasti diakhiri di bilik hotel. 

“Sekali perkhidmatan, saya mengenakan bayaran maksimum RM60. Selalunya pelanggan tidak kira keturunan dan peringkat umur itu akan menempah bilik hotel sekurang-kurangnya tiga hari, jika perlu, mereka akan datang mendapatkan layanan saya. 

“Selepas habis tempoh itu, saya kembali ke kafe siber untuk mendapatkan pelanggan seterusnya. Perkara ini berlangsung hampir setahun sepanjang tempoh saya melarikan diri dari rumah,” katanya yang ditemui di Baitul Islah, Bukit Beruntung, Selangor. 

Enggan menyalahkan sesiapa, Tina mengakui kehidupan mewah dijalaninya pernah satu ketika memberi kepuasan tersendiri, apatah lagi dia mampu memiliki barangan berjenama tanpa perlu mengharapkan wang daripada keluarga, yang sememangnya mustahil kerana dia dibesarkan dalam kehidupan serba-serbi tidak mencukupi. 

Malah, katanya, dia tidak memasuki pusat pemulihan itu dengan rela hati, sebaliknya dihantar keluarga selepas gagal mengawal tingkah laku liarnya. 

“Saya berada di sini hampir tiga tahun dan banyak ilmu agama saya pelajari. Syukur, saya masih diberi peluang untuk membaiki diri biarpun pernah terjerumus di lembah maksiat. 

“Namun, masih banyak perlu saya pelajari untuk mengenali Allah SWT. Saya juga belum kuat untuk keluar berdepan masyarakat, bimbang diri lemah ini kembali ke jalan salah,” katanya mengakhiri perbualan.

Tiada ulasan: