Isnin, 30 September 2013

JIKA CADANGAN NI BAIK....SUBSIDI BENTUK LITER...IA PATUT DILAKSANAKAN

Mahathir tentunya tidak rela melihat Mukhriz kalah

Harakahdaily, 30 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Isu kehadiran Mukhriz Mahathir sebagai ancaman kepada kedudukan Najib kini bukan saja terpaksa dinafikan oleh tuan punya badan sendiri tetapi turut dilakukan oleh Mahathir juga.

“Mukhriz, kata Mahathir lagi, tidak mempunyai apa-apa niat buruk terhadap Najib,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya.

Sementara Mukhriz, ujarnya mulai menyedari bahawa kempen-kempen untuk menolaknya daripada memenangi jawatan Naib Presiden Umno mulai mengancam peluangnya, Mahathir pula tentunya terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu anak bongsunya itu kecundang dalam pemilihan kali ini.

Menurut Shahbudin, setelah kalah dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda Kubang Pasu kepada Haji Zulkifli dalam pemilihan 2004 dan kemudian kalah juga kepada Khairy Jamaluddin dalam pertandingan Ketua Pemuda Umno Malaysia pada 2009, Mahathir tentunya tidak rela melihat Mukhriz kalah lagi dalam pendakiannya menuju puncak hireaki dalam Umno dan juga kerajaan.

Baginya, walaupun Najib sudah menafikan beliau merestui calon-calon tertentu dan menyerahkan kepada para perwakilan membuat pilihan, namun ia didapati semakin kerap diperkatakan di mana-mana. “Semakin dekat hari pemilihan, dipercayai lagu yang mengatakan Najib mahu Zahid, Hishammuddin dan Shafie dikekalkan, pastinya lebih kerap didendangkan dengan pelbagai irama dan tempo oleh tukang-tukang kempen sama ada yang rasmi mahupun tidak rasmi,” tulisnya lagi.

Baca di sini

'Darul Runtuh', apa tindakan Kerajaan T’ganu

Anis Nazri, 30 Sep 2013

Bumbung anjung Masjid Kampung Tebauk yang runtuh pagi semalam.

KUALA LUMPUR: Kejadian runtuhan bangunan di Terengganu yang berulang beberapa kali dikatakan kerana tiada sebarang tindakan tegas dikenakan ke atas kontraktor berkaitan.

Malah, pihak bertanggungjawab juga didakwa tidak mengambil pengajaran atas setiap kejadian yang berlaku dengan tidak mengeluarkan sebarang laporan berkaitan kes runtuhan terdahulu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata beberapa kejadian runtuhan yang berlaku di negeri itu hingga dilabelkan sebagai Terengganu Darul Runtuh, tidak dapat diatasi jika siasatan segera tidak dilakukan.

"Siasatan segera perlu dilakukan bagi melihat sejauhmana kelulusan itu digunapakai secara profesional oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), selain perlu didedahkan nama kontraktor yang bertanggungjawab dan seterusnya dikenakan tindakan tegas," kata beliau pada satu sidang media, di lobi parlimen hari ini.

Malah, tambah beliau jika benar pihak kontraktor bertanggungjawab hingga menyebabkan insiden tersebut, syarikat terbabit juga perlu membayar ganti rugi memandangkan ia melibatkan risiko nyawa orang ramai.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden terbaru di Terengganu membabitkan  40 peratus dari bumbung Masjid Tebauk, Bukit Tunggal runtuh awal pagi semalam.

Tambah beliau, insiden itu bukan membabitkan struktur bangunan yang lama, sebaliknya baru dibina sejak dua tahun lalu dengan kos sebanyak RM5.7 juta.

"Bayangkan jika ketika kejadian ada jamaah yang menunaikan solat. Masjid tersebut boleh menampung sehingga 1,500 jamaah dalam satu-satu masa. Sudah tentu ada yang terkorban," kata beliau.

Desakan beliau turut disokong Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Baharin dengan mempersoalkan kualiti dan nilai bahan yang digunakan dalam pembinaan masjid terbabit.

Selain kesal dengan sikap tidak mahu mengambil pengajaran atas apa yang berlaku sebelum ini, Raja Kamarul Baharin berkata JKR perlu bertegas dalam memastikan kualiti bahan-bahan yang digunakan.

Dewan Muslimat komited pertahan Dun Sungai Limau

Saidah Hairan, 30 Sep 2013
SHAH ALAM: Dewan Muslimat PAS Pusat menerusi Jabatan Pilihanraya Muslimat PAS telah bersedia untuk menggerakkan jentera muslimat iaitu HalWa dari seluruh negara bagi mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau setelah penyandangnya, mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak meninggal dunia, khamis lalu.

Pengarah Jabatan Pilihanraya Muslimat PAS Pusat (JPrMPP), Aiman Athirah Al-Jundi mengingatkan jentera HalWa di peringkat negeri Kedah dan HalWa kawasan mesti bersedia dengan beberapa perkara awal sebelum jentera Muslimat dari luar negeri masuk mengambil tugasan masing-masing.

Katanya, bantuan jentera HalWa dari luar amat diperlukan untuk membantu jentera HalWa sedia ada khususnya di bawah kawasan Parlimen Jerai.

"Saya percaya pilihan raya kecil (PRK) kali ini bukan satu tugas yang mudah tetapi saya yakin berkat dan peranan serta kepimpinan almarhum Tan Sri Ustaz Azizan sebelum ini, akan dikenang oleh rakyat," katanya.

Beliau berkata, rakyat khususnya pengundi di Dun Sungai Limau akan mengenang jasa almarhum dengan memberi undi kepada calon PAS bagi menentukan kerusi tersebut tetap dimiliki PAS.

Menurut beliau, Jabatan Pilihan raya DMPP akan memanggil satu mesyuarat khas melibatkan semua Pengarah Pilihan raya Muslimat PAS negeri-negeri bersama Jentera Operasi HalWa PRK N20, Sungai Limau dalam masa terdekat.

Katanya, mesyuarat itu akan dilakukan selepas Ketua Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS di bawah Dr Hatta Ramli bermesyuarat dan memutuskan beberapa arahan dan ketetapan.

Beliau berkata, DMPP berazam dan komited membantu PAS Pusat dan PAS negeri Kedah untuk mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau pada PRK yang dijangka awal November nanti.

Ustaz Azizan, 69, meninggal dunia jam 11.10 pagi 26 September lalu di wad ICU Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Sebelum itu Almarhum dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) pada awal Mei lalu.

Bagaimanapun kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei lalu di HPP akibat jangkitan kuman.

CEO Vestigo: Lantik Keith, nafi hak anak tempatan

Muhammad Faizal, 30 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan melantik Keith Collins sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Vestigo Petroleum dilihat sebagai menafikan hak keistimewaan anak-anak tempatan yang berpengalaman memegang jawatan tersebut.

Petronas dalam pengumuman sebelum ini melantik Keith Collins sebagai CEO yang akan berkuatkuasa pada 1 Oktober 2013.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan keputusan tersebut sebagai menghina dan baginya negara ini mempunyai mereka yang berkelayakan untuk memegang jawatan tersebut.

"Saya melihat keputusan kerajaan melantik Keith Collins sebagai CEO sebagai menafikan serta menghina anak-anak tempatan yang mempunyai pengalaman dalam bidang ini.

"Kita mempunyai ramai mereka yang berpengalaman dalam bidang petroleum terutamanya yang bekerja di dalam Petronas yang memegang jawatan kanan di syarikat tersebut ataupun berada di luar negara.

"Kenapa kerajaan tidak melantik mereka, sebaliknya memilih individu yang bukan rakyat Malaysia memegang jawatan CEO di dalam Vestigo, adakah anak-anak tempatan tidak layak atau kerajaan tidak yakin dengan mereka," soal beliau pada sidang media di lobi Parlimen.

Mahfuz yang menegaskan sepatutnya kerajaan membuat penilaian yang khusus dalam perlantikan tersebut sebagai usaha menaikkan anak-anak Malaysia.

Malah katanya lagi, walaupun lantikan tersebut berkuatkuasa esok (1 Oktober) namun ia masih belum terlambat untuk membuat keputusan.

"Seharusnya dipertimbangkan semula keputusan tersebut, tidak ada masalah untuk memperbetulkannya.

"Hak anak tempatan perlu diutamakan, Keith bukannya warganegara ini. Pertimbangkan semula walaupun beliau akan memulakan tugas esok," sambung beliau.

Naib Presiden PAS itu juga turut melihat kewujudan Vestigo sebagai persaing kepada syarikat-syarikat di Malaysia.

Tambah beliau, sepatutnya Petronas Carigali Sdn Bhd membantu syarikat-syarikat tempatan dalam kerja-kerja yang berkaitan dengan 'marginal field' terutamanya melibatkan syarikat-syarikat kerajaan negeri yang mempunyai minyak di pengairannya.

PAS gesa kerajaan bentang kertas putih subsidi petrol

Harakahdaily, 30 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Isu kenaikan harga petrol awal bulan lalu menjadi subtopik perbincangan hangat di Dewan Rakyat, sempena perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2013 hari ini.

Di pihak BN, pihak menteri berkali-kali menegaskan ianya bukan kenaikan harga minyak tetapi pengurangan subsidi dan resionalisasi subsidi demi menstabilkan ekonomi negara.

Amalan memberi subsidi khususnya terhadap petrol ini juga menurut pihak kerajaan adalah seauatu yang tidak baik kepada jangka panjang ekonomi negara, dan ianya turut menguntungkan golongan kaya.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, biarpun kerajaan telah membuat penjelasan tetapi ianya telah 'dispin' dengan baik oleh pihak pembangkang.

Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat), ketika membahaskan soal subsidi ini berkata, istilah 'rasionalisasi subsidi' dan apa juga istilah lain, sebenarnya hanya cuba memperbodoh rakyat.

Ini kerana hakikatnya, rakyat khususnya golongan miskin sedang merasai harga minyak naik dan kesan berantai darinya.

"Kita mintak kerajaan membentangkan kertas putih tentang konsep subsidi ini yang didakwa ianya tidak baik (untuk diteruskan).

"Kita ingin mengetahui secara terperinci butiran dan kreterianya," katanya.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) menyifatkan tindakan kerajaan mengurangkan subsidi petrol atas alasan tidak mahu ianya turut dinikmati golongan kaya, sebagai tidak tepat.

Katanya, apa yang berlaku adalah  golongan rakyat berpendapatan rendah lebih terbeban dengan tindakan terbaru kerajaan menaikkan harga minyak itu.

"Kerajaan memberi alasan pemotongan subsidi ini akan disalur dalam bentuk lain seperti BR1M dan sebagainya kepada golongan miskin.

"Tetapi hakikatnya, duit 20 sen seliter yang dipotong itu turut dipotong dari rakyat miskin. Maknanya kerajaan ambil dari poket rakyat miskin dan bagi balik dalam bentuk lain seperti BR1M ini.

"Ini taktik penipuan cukup licik terhadap rakyat," katanya.

Petrol: PAS cadang subsidi dalam bentuk had liter

Harakahdaily, 30 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS mencadangkan kerajaan memperkenalkan subsidi petrol dalam bentuk had liter kepada golongan berpendapatan rendah, bagi mengelakkan ia dinikmati oleh golongan kaya seperti amalan subsidi sedia ada sekarang.

Cadangan itu dikemukakan Datuk Dr Mujahid Yusof (PAS Parit Buntar) ketika mencelah dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2013).

"Kerajaan boleh tetapkan had berapa liter sebulan kepada golongan yang dikategorikan sebagai miskin, jika nak guna lebih maka dia kena bayar," katanya.

Pendekatan itu ujarnya lebih menepati golongan sasar dan menyelamatkan subsidi dari dinikmati golongan kaya.

Pandangan beliau itu kemudian turut disokong wakil Pakatan Rakyat dan juga BN.

Mujahid dalam pada itu turut mencadangkan kerajaan agar memperkenalkan kad khas kepada golongan sasaran ini.

"Kalau kita lihat, kaedah subsidi sekarang ini, sejumlah 1.8 juta golongan Pati (pendatang asing tanpa izin) juga turut menikmatinya.

"Mungkin kerajaan boleh perkenalkan kad khas kepada golongan berpendapatan rendah ini, tapi kena sediakan data terlebih dahulu," katanya.

PAS sertai persidangan meja bulat gerakan Islam

Abu Marwan, 30 Sep 2013



KUALA LUMPUR: Pimpinan gerakan Islam sedunia telah mengadakan satu sidang meja bulat di Lahore, Pakistan bagi membincangkan isu-isu ummah terutamanya cabaran dan konflik yang sedang berlaku di dunia Islam, baru-baru ini.

Pertemuan tertutup itu telah menemukan pimpinan gerakan Islam dari seluruh dunia Islam seperti Pakistan, Mesir, Algeria, Syria, Sudan, Indonesia, Jordan, Tunisia, Maghribi dan Malaysia.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad, mewakili parti itu di dalam pertemuan tersebut bagi membincangkan cabaran yang sedang dihadapi oleh ummah.

Ia turut di hadiri oleh Amir Jamaat Islami Pakistan Dr. Munawar Hassan, Sheikh Hammam Said, Muraqib Am Ikhwan Muslimin Jordan, Dr. Abdul Fattah Moro dari Nahdah Tunisia dan Dr. Mohamed Hamdawi dari parti Islah Morocco.

Menurut Syed Azman, dalam pertemuan itu, pimpinan gerakan Islam sependapat bahawa cabaran yang sedang dihadapi kini terutamanya di Syria dan Mesir adalah merupakan 'konspirasi global' bagi menghancurkan Islam dan gerakan Islam.

Katanya, konflik dan ketidakstabilan yang sedang berlaku di kebanyakan rantau Islam kini didalangi oleh kuasa besar terutamanya Amerika Syarikat dan Zionis Israel.

Katanya lagi, konflik berdarah yang sedang berlaku di Syria kini adalah merupakan 'peperangan proksi' kuasa besar antara Amerika Syarikat dan sekutunya berhadapan dengan Rusia dan sekutunya yang mengakibatkan lebih 100,000 ribu rakyat awam Syria yang terbunuh.

Sementara itu rampasan kuasa tentera yang berlaku di Mesir adalah merupakan rancangan bagi memastikan keselamatan negara Israel dan juga kepentingan strategik minyak dan gas serta terusan Suez.

“Pertemuan pimpinan gerakan Islam itu juga mengambil ketetapan untuk menilai semula strategi dan penglibatan di negara masing-masing bersesuaian dengaan cabaran semasa yang sedang di hadapi oleh ummah kini,” ujarnya.

Beliau berkata, cabarannya adalah amat besar dan memerlukan kesatuan ummah bagi menghadapi konspirasi musuh yang sanggup melakukan apa sahaja walaupun bertentangan dengan landasan hak asasi dan demokrasi yang mereka sendiri sanjungi.

Tiada ulasan: