Bagi yang tak faham politik Umno mungkin la kut rasa sikit terkejut.
Mukhriz yang tak ada apa-apa jawatan dalam Umno di pusat tiba-tiba nak
bertanding jawatan ketiga tertinggi. Jadi ahli Majlis Tertinggi pun tak
pernah.
Kalau ikut haraki kepimpinan memang sepatutnya masuk
lawan jawatan MT dulu, lepas tu pelan-pelan kumpul kekuatan, bila dah
cukup kuat baru la padan berangan-angan nak jadi Naib Presiden. Kecuali
la kalau sebelum ni dia menang masa lawan Khairy untuk jawatan Ketua
Pemuda, memang padan kalau seterusnya lawan Naib Presiden pulak.
Lihat di sini
Q&A: Memberi daging korban kepada bukan Islam
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil,
|
20 Sep 2013
|
Soalan;
Apakah hukum memberi daging korban kepada orang bukan Islam. Adakah harus? Adakah hilang pahala korban? Terima kasih.
Jawapan;
Terdapat pandangan berbeza antara ulama dalam masalah di atas;
Pandangan
pertama; daging korban tidak harus diberikan kepada orang bukan Islam
sekalipun kafir zimmi. Ia khusus untuk orang Islam sahaja. Pandangan ini
merupakan mazhab Syafiie. Menurut Imam Malik dan al-Laith; makruh
memberinya kepada orang bukan Islam - Menurut Imam al-Laith; makruh
memberi daging korban kepada orang bukan Islam, kecuali jika daging itu
dimasak kemudian dijemput orang bukan Islam untuk menikmatinya bersama
orang Islam - tidaklah makruh (al-Majmu’, 8/316).
Pandangan
kedua; harus memberi daging korban kepada orang kafir zimmi. Pandangan
ini merupakan mazhab Imam Abu Hanifah, Hasan al-Basri, Abu Tsur dan
mazhab Hanbali. Pandangan ini juga ditarjih oleh Imam Nawawi dalam
kitabnya al-Majmu’. Menurut pandangan ini; daging binatang korban adalah
makanan, maka sebagaimana harus memberi makan orang kafir zimmi, maka
harus juga memberi daging korban kepada mereka kerana ia sebahagian
makanan. Selain itu, dikiaskan juga kepada keharusan memberi sedekah
kepada orang kafir zimmi. Namun menurut mereka; yang harus diberikan
ialah dari korban sunat sahaja. Adapun dari korban wajib (iaitu korban
nazar), tidak harus diberi dagingnya melainkan kepada orang-orang fakir
dari kaum muslimin sahaja (iaitu menyamai hukum zakat dan kaffarah
sumpah).
Pandangan ulama semasa; Syeikh Ibnu Usaimin (ulama besar
Arab Saudi) - dibolehkan memberi daging korban kepada orang kafir
dengan syarat bukan orang kafir yang memusuhi orang Islam. Dalilnya
ialah firman Allah (bermaksud);
“Allah tidak melarang kamu berbuat
baik dan berlaku adil kepada orang-orang (kafir) yang tidak memerangi
kami dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu.
Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu dari menjadikan mereka sebagai
kawan orang-orang (kafir) yang dalam urusan agama dan mengusir kamu dari
kampung halamanmu dan membantu orang lain untuk mengusirmu. Sesiapa
menjadikan mereka sebagai kawan, mereka itulah orang yang zalim.” (Surah
al-Mumtahanah, ayat 8-9).
http://ilmudanulamak.blogspot.com/
PAS makin mantap hasil kerjasama dalam PR
MENTAKAB:
PAS bukan semakin lemah malah akan terus kukuh dan kuat kedudukannya
serta mendapat sokongan lebih besar masyarakat hasil kerjasama politik
bersama parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR).
Malah, walaupun
PAS, PKR dan DAP menghadapi saingan sengit daripada parti komponen
Barisan Nasional (BN) yang membabitkan Umno, MCA dan MIC, kerjasama PR
dilihat lebih mampu melangkaui batas ideologi atau kaum seperti yang
dibuktikan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu.
Ahli
Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja
Puji berkata demikian ketika mengulas cadangan sesetengah pihak dalam
PAS untuk mengkaji semula kerjasamanya bersama PR.
“Kita juga
dapat lihat bagaimana PAS berjaya merampas Kelantan daripada terus
diperintah BN pada PRU 1990 ketika bekerjasama dengan parti Semangat 46
dan keadaan itu bertambah kukuh hasil kerjasama dengan PKR dan DAP.
“Kita
juga dapat melihat pada 1999 di mana kerjasama dalam Barisan Alternatif
itu menyebabkan kerajaan Umno BN Terengganu tewas,” ujar Tengku
Zulpuri.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri
(Dun) Pahang berkata, kerjasama baik parti dalam PR juga mencatat satu
sejarah baru apabila PR berjaya mencetuskan Tsunami Politik 2008 yang
menyaksikan kejatuhan apabila merampas Selangor, Perak, Kedah dan Pulau
Pinang serta mengekalkan Kelantan.
“Ini merupakan petanda yang
sangat positif. Kalau dulu, orang bukan Islam takut kepada PAS, kini
mereka lebih memahami budaya Melayu dan Islam.
“Begitu juga DAP
yang sekarang persepsi negatif orang Melayu terhadap parti ini semakin
berjaya dipulihkan malah semakin ramai orang Melayu menerima DAP sebagai
parti berbilang kaum. Kerjasama dalam PR ialah win-win situation,”
katanya.
Tengku Zulpuri Shah juga berpendapat, perkara terpenting
yang perlu di teruskan PR ialah gerak kerja yang berterusan, cuma
memperkemaskan sedikit kelemahan yang ada.
“Kita perlu terus membuat pelbagai aktiviti, khidmat, program penerangan supaya PR bertambah dekat dengan masyarakat,” ujarnya.
Walaupun
mengakui masih wujud di kalangan orang Melayu yang masih takut atau
was-was terhadap kerjasama PR, beliau berkata, itu adalah hasil
propaganda jahat Umno BN sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
“Mentaliti
sebeginilah yang kita perlu ubah. Kita kena bebaskan mereka daripada
mentaliti takut kerana inilah senjata Umno BN untuk terus menguasai
Malaysia,” kata beliau.
Kebenaran itu rentas sempadan
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin,
|
20 Sep 2013
|
Tiada siapa yang terlepas dari kesilapan dalam dunia ini. Nabi
Muhammad SAW pun pernah ditegur oleh Allah beberapa kali, termasuk cara
baginda melayan ‘Abd Allah bin Ummi Maktum sehingga Allah menurunkan
Surah ‘Abasa. Apatah lagi selain nabi, tentu sahaja bukan sekadar
kesilapan, tetapi kesalahan dan dosa. Sebesar mana pun ketokohan dan
keilmuannya, dosa tetap akan tertampal dalam kehidupannya. Jika tidak
pada perbuatan anggotanya, pada niat dan apa yang tersirat dalam jantung
hatinya.
Tiada tokoh agamawan yang sunyi dari dosa. Biar pun
sebesar mana nama dan kemasyhurannya. Tiada tokoh sarjana sebijak mana
sekalipun, pasti ada kebodohannya. Biar pun sebesar mana kesarjanaan dan
kepakarannya. Tiada yang sempurna melainkan Allah.
Manfaat
Jika
kita mencari semua yang sempurna tanpa sebarang kekurangan dan menolak
setiap yang ada kekurangan dan kecacatan, maka kita tidak boleh hidup di
dunia ini. Orang yang pertama kita kena tolak ialah diri kita sendiri
yang penuh dengan segala macam kelemahan dan kekurangan. Namun, kita
sering memaafkan diri kita apa yang kita tidak maafkan orang lain.
Dalam
memperolehi manfaat ilmu dan hikmah, kita juga tidak boleh terlalu
ideal sehingga menolak setiap yang kita nampak kecacatan dan
kekurangannya. Kita tidak boleh menolak pendapat yang benar hanya kerana
perbezaan agama, aliran mazhab, kumpulan, jamaah, parti politik dan
seumpamanya. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):
“Bersama
setiap kumpulan itu kebenaran dan kebatilan. Apa yang menjadi kewajipan
ialah bersetuju dengan mereka mengenai apa yang benar yang mereka kata.
Juga menolak apa yang batil yang mereka kata. Sesiapa yang Allah buka
untuknya jalan ini (menerima yang benar dan menolak yang salah tanpa
mengira dari siapa datangnya) maka bererti Allah telah buka untuknya
ilmu dan agama dari setiap pintu. Allah juga akan mudahkan untuk
mendapat kedua-dua perkara itu dengan pelbagai sebab.” (Tariq al-Hijratain, m.s 386. Saudi: al-Islamiyyah al-‘Arabiyyah).
Ketika menutup kata bagi karya kerohaniannya yang agung iaitu Madarij al-Salikin pula, Ibn Qayyim menyebut lagi:
“Wahai pembaca! Bagi kamu hasilnya, ke atas penulis tanggung jawabnya.
Apa yang kamu dapati pada buku ini dari ketepatan dan kebenaran maka
terimalah. Jangan kamu lihat kepada pengucapnya. Bahkan lihatlah kepada
apa yang dia kata, bukan siapa yang berkata. Allah mencerca orang
menolak kebenaran apabila kebenaran itu datang dari orang yang dia
benci. Dia menerima apabila yang berkata itu orang yang dia suka. Ini
adalah akhlak golongan yang dikuasai emosi. Kalangan sahabah berkata:
‘terimalah kebenaran dari sesiapa pun yang berkata walaupun dia dibenci.
Tolaklah kebatilan dari sesiapa pun yang berkata walaupun dia
dikasihi.” (3/384. Beirut: Muassasah Fuad).
Insaf
Inilah
sikap golongan yang insaf. Maka tidak menjadi kesalahan dalam kehidupan
ini untuk kita memetik dan mengambil pengajaran dari mana-mana tokoh
pun. Hanya golongan emosi dan tersesat pemikiran seperti aliran ‘salafi
madkhali’ yang mengharamkan umat Islam mengambil manfaat pandangan atau
pendapat tokoh yang mereka anggap sebagai ahli bid’ah. Sudah pasti
mereka juga mengharamkan memetik tokoh-tokoh yang bukan beragama Islam.
Aliran ini dipelopori oleh beberapa kelompok fanatik yang mendakwa
mereka menurut jalan salafussoleh padahal jalan yang mereka ikuti itu
adalah jalan emosi yang jauh dari telunjuk al-Kitab dan al-Sunnah.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h. pernah berkata:
“Allah memerintahkan kita agar tidak berkata kecuali yang benar. Jangan
kita berkata tentang Allah tanpa ilmu. DIA memerintahkan kita agar adil
dan saksama. Kita tidak boleh apabila seseorang yahudi ataupun
kristian, apatah lagi syiah rafidah berkata sesuatu pendapat yang
padanya ada kebenaran lalu kita tinggalkan ataupun tolak kesemuanya.
Bahkan kita hanya tolak apabila padanya ada kebatilan dan tiada
kebenaran.” (Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, 2/342. Muassasah Qurtubah).
Fanatik
Kesederhanaan
dan kesediaan ini membolehkan ilmu seorang muslim berkembang. Namun
fanatik, telah membuta mata banyak pihak dari mengambil manfaat dari
pihak yang lain. Ada yang menolak tulisan-tulisan yang baik kerana
perbezaan agama. Ada tokoh agama yang menolak karya sarjana atas alasan
‘dia orientalis’. Ada yang menolak kerana ‘dia penulis yahudi’, ataupun
‘dia penulis kristian’ dan seumpamanya. Tanpa melihat kepada hujah dan
alasan yang dikemukakan.
Begitu juga, betapa kita lihat
sebahagian sufi yang menolak pendapat seseorang hanya kerana beraliran
salafi, demikian yang salafi enggan mengambil pendapat orang yang
dianggap beraliran sufi kerana kononnya tidak semanhaj dengan mereka.
Ataupun salafi madkhali yang menolak pendapat kerana ‘ikhwani’ dan
seumpamanya. Menghadkan ilmu dan hikmah kerana ketaksuban kepada sesuatu
aliran amatlah merugikan. Banyak kebaikan yang ada dalam aliran salafi
dan demikian juga banyak kebaikan yang ada dalam aliran sufi yang
terikat dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Demikian juga ikhwani. Tiada
aliran yang boleh mendakwa bahawa mereka telah menguasai kebenaran
secara mutlak sehingga tiada lagi ruang kebenaran di pihak yang lain.
Sesiapa yang mendakwa demikian bererti dia telah menjadikan alirannya
berstatus agama yang menentukan iman dan kufur seseorang.
Demikian
mazhab fekah, tiada siapa boleh mendakwa bahawa segala kebenaran
tertumpu kepada mazhab fekah yang dia pegang semata. Tidak Mazhab
Syafi’e, tidak Mazhab Hanbali, tidak Mazhab Maliki dan tidak Hanafi yang
boleh mendakwa bahawa kebenaran telah dibolot oleh mereka dan mengikut
pandangan selain mereka bererti kesalahan. Imam-imam yang agung itu
tidak pernah mendakwa demikian. Hanya pengikut yang melampaui batas
sahaja yang cuba membuat dakwaan yang seperti itu. ‘Jangan keluar Mazhab
Syafi’e’ nanti awak sesat‘ adalah dakwaan jahil yang tidak berasaskan
ilmu sama sekali.
Kata sarjana fekah yang terbilang Dr ‘Abd al-Karim Zaidan:
“Sesungguhnya syariat Islam adalah hujah mengatasi seluruh mazhab.
Bukanlah mazhab yang menjadi hujah mengatasi syariat Islam… apabila
jelas kepada pengikut sesuatu mazhab bahawa mazhabnya salah dalam
masalah tertentu, sementara kebenaran berada pada pendapat yang lain dan
masalah itu cukup jelas baginya, maka hendaklah dia bertukar mazhab
kepada pendapat yang benar dalam masalah tersebut… harus bagi pengikut
sesuatu mazhab mengikut mazhab lain dalam sebahagian masalah. Ini kerana
tidak wajib kepadanya untuk terikat dengan semua ijtihad mazhabnya.
Dengan syarat ia disebabkan oleh dalil yang menuntutnya berubah dari
mazhabnya ke mazhab yang lain dalam masalah tertentu. Demikian juga
harus untuk dia bertanya mana-mana ahli fekah bukan dari mazhabnya dalam
sebarang hukum syarak. Dia boleh beramal berdasarkan apa yang
difatwakan kepadanya.” (Dr Abd al-Karim, Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, m.s. 412-413, Beirut: Muassasah al-Risalah)
Betapa
kita lihat sesetengah fanatik politik PAS yang enggan mendengar
pendapat seseorang hanya kerana orang itu Umno. Demikian juga
sebaliknya. Padahal parti politik itu bukan diasaskan atas dalil-dalil
syarak seperti mazhab fekah. Lagikan mazhab fekah tidak mutlak
kebenarannya, inikan parti politik yang hanya atas ijtihad strategi dan
pandangan politik yang terdedah kepada betul dan salah. Bukan semua
pendapat Umno itu salah dan bukan semua pendapat PAS itu betul. Begitu
juga sebaliknya. PKR dan DAP juga demikian. Keluasan menerima pendapat
adalah ajaran agama ini yang mesti kita manfaatkan. Kebenaran itu
merentasi sempadan agama, mazhab, kumpulan dan lain-lain. Namun Islam
sebagai al-din adalah kebenaran mutlak.
http://drmaza.com
Agensi tawar pakej pernikahan dalam talian
Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
afifihafiz.nor@kosmo.com.my
AGENSI pernikahan kini menawarkan pakej perkhidmatan secara online.
|
KUALA LUMPUR – Kewujudan agensi yang menawarkan pakej pernikahan
secara terbuka di laman-laman web dipercayai menjadi punca banyak
pasangan dari Malaysia bernikah di negara Thailand.
Tinjauan mendapati dengan hanya menaip ‘nikah Thailand’ di enjin
carian Google, wartawan Kosmo! mendapati lebih 10 agensi menawarkan
perkhidmatan tersebut.
Laman web tersebut turut memberi panduan kepada mereka yang berminat
mengenai proses pernikahan, dokumen yang diperlukan serta nombor telefon
untuk dihubungi sebelum mereka ke Thailand.
Harga pakej bagi semua proses itu bermula serendah RM1,000.
Agensi terbabit turut menguruskan pengangkutan, penginapan, makanan
dan urusan surat-menyurat dengan konsulat Malaysia di negara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan