Selasa, 24 September 2013

BILA ISLAM MENYUSUK DIJIWA... JIKA TIDAK MAKA JADI ISLAM BAKA SAJA

Mahkamah Mesir haramkan Ikhwan Muslimim

Harakahdaily, 24 Sep 2013
KAHERAH: Mahkamah Mesir semalam seperti dijangka telah mengharamkan pertubuhan Ikhwanul Muslimin daripada bergerak di negara itu.

Mahkamah juga mengharamkan semua institusi cawangan atau cabang pertubuhan milik Ikhwan, dan mengarahkan aset gerakan Islam itu dirampas.

Keputusan yang dilihat sebagai komplot dengan pemerintah kudeta itu adalah mengulangi apa yang dibuat bekas presiden Hosni Mubarak yang digulingkan pada revolusi 2011.

Dengan keputusan isu, sayap politik Ikhwan, Parti Kebebasan dan Keadilan juga turut diharamkan.

Episod pengharaman ini sememangnya sudah dijangka banyak pihak, sejak sebelum rampasan kuasa ke atas Presiden Dr Mohammad Morsi 3Julai lalu  lagi.

Sejak Morsi mengambil alih tampuk presiden selepas memenangi pilihan raya, beliau yang membawa status ahli Ikhwan terus ditekan oleh golongan saki-baki Mubarak.

Malah pimpinan dan ahli Ikhwan sentiasa dalam perhatian pihak berkuasa dan pelbagai cubaan dibuat untuk mengaitkan Ikhwan dengan keganasan bagi mencari sebab untuk mengharamkannya.

Sejak rampasan kuasa Mac lalu, ribuan ahli ikhwan ditangkap dan tidak kurang ramai juga yang telah terkorban ekoran berdepan tindakan ganas tentera rejim kudeta.

Dalam pada itu, sumbber kehakiman berkata, mahkamah memutuskan satu jawatankuasa kerajaan patut dibentuk bagi menguruskan aset Ikhwan yang dirampas.

Siapa duta, pesuruhjaya tinggi lantikan politik

Harakahdaily, 24 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Negeri diminta menyatakan jumlah Duta dan Pesuruhjaya Tinggi serta Duta khas Malaysia dari kalangan lantikan politik dan nyatakan nama mereka dan negara manakah mereka berkhidmat.

Demikian soalan bagi jawab lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pada persdiangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli-ahli parlimen PAS yang turut mengemukakan soalan bagi jawab lisan seperti di bawah.

Dr. Siti Mariah Mahmud [Kota Raja] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan jumlah pembantu domestik asing yang sedang berkhidmat di dalam negara mengikut negara asal mereka dan pecahan terperinci bayaran atau "fee" (RM8 ribu) yang dikenakan kepada majikan untuk mendapat pembantu domestik
Indonesia.

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan usaha jangka panjang dan pendek bagi mengatasi tenaga kerja berkemahiran tinggi dan apakah hasil Pelan Induk Latihan dan Pembangunan Pekerjaan Malaysia 2008-2020 hingga kini.

Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali  (Kuala Nerus] minta Menteri Kewangan menyatakan segmentasi perbelanjaan Kerajaan daripada agihan royalti Petronas dari tahun 2010-2012.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz [Pasir Mas] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan jumlah keseluruhan kelab atau akademi bola sepak untuk golongan kanak-kanak dan remaja yang masih beroperasi di Malaysia.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz [Pasir Mas] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan misi Kerajaan untuk menggalakkan rakyat bersukan di setiap kawasan Parlimen di Malaysia bagi sesi ini.

Nasrudin Hassan [Temerloh] minta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah bantuan per kapita yang telah diberikan kepada Sekolah Agama Rakyat peringkat rendah dan menengah dari tahun 2010 hingga 2012.

Mohamed Hanipa Maidin [Sepang] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:-
(a) adakah Kementerian telah berbincang dengan Jawatankuasa-Jawatankuasa Penduduk di DUN Sungai Pelek sebelum bertindak menutup Pejabat Pendaftaran
Negara Cawangan Sungai Pelek di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) dan Pejabat Imigresen Cawangan Sungai Pelek juga di BBST; dan
(b) adakah Kerajaan bersedia mendengar suara dan keluhan rakyat di DUN Sungai Pelek supaya mewujudkan kembali Pejabat Pendaftaran Negara Cawangan Sungai Pelek di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) dan Pejabat Imigresen Cawangan Sungai Pelek di BBST.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang [Marang] minta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah pendirian rasmi Kerajaan terhadap Kerajaan Sementara Mesir yang diketuai oleh Adly Mansour hasil daripada rampasan kuasa tentera pada 3 Julai 2013 yang lalu.

Mohamed Hanipa Maidin [Sepang] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:-
(a) adakah Kementerian telah berbincang dengan Jawatankuasa-Jawatankuasa Penduduk di Putra Perdana sebelum bertindak menutup Balai Polis Putra Perdana pada bulan Ogos 2013 yang lalu; dan
(b) adakah Kementerian bersedia untuk mendengar suara rakyat di Putra Perdana untuk membina Balai Polis Putra Perdana yang tetap/kekal di tapaknya yang terletak di sebelah Masjid Putra Perdana.

Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali [Kuala Nerus] minta Menteri Luar Negeri menyatakan pendirian OIC berhubung krisis-krisis di negara umat Islam.

Nasrudin Hassan [Temerloh] minta Menteri Pendidikan menyatakan adakah pihak Kerajaan membenarkan para mahasiswa dalam dan luar negara yang terlibat dengan mana-mana organisasi parti politik.

Ahmad Marzuk Shaary [Bachok] minta Menteri Pengangkutan menyatakan hasil siasatan Jawatankuasa Penyiasatan Khas Kemalangan Bas di KM3.5 Jalan Genting Highlands. Apakah punca dan langkah yang dicadangkan bagi mengelak tragedi sedemikian daripada berulang.

Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah [Kuala Terengganu] minta Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan menyatakan adakah Kementerian berhasrat menukar kadar bayaran elektrik untuk hotel-hotel serta pengusaha-pengusaha pelancongan tempatan lain daripada kategori "komersial" kepada "industri" memandangkan kos industri pelancongan yang makin meningkat tinggi dan sumbangan besar sektor pelancongan kepada ekonomi negara.

Siti Zailah Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan berapakah jumlah NGO Wanita yang aktif di seluruh negara mengikut bidang serta berapakah peruntukan yang telah dibelanjakan setiap satu bagi tahun 2000 hingga 2013.

Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali [Kuala Nerus] minta Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan menyatakan apakah perancangan Kerajaan untuk membantu meningkatkan hasil pelancongan di negeri Terengganu.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta Menteri Pengangkutan menyatakan mengikut fasal perjanjian manakah pembahagian pungutan bayaran saman AES dibuat antara Kerajaan dengan syarikat penyedia perkhidmatan seperti yang diumumkan Kerajaan membayar pada syarikat RM13,550,758.00 dan Kerajaan hanya mendapat RM3,429,910.00 sahaja daripada keseluruhan kutipan RM20,020,500.00 bayaran kompaun.

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Pertahanan menyatakan keadaan terkini di Lahad Datu. Apakah Kementerian bercadang untuk membeli aset pertahanan terutamanya sistem radar dan lain-lain yang baru bagi menangani keselamatan di Sabah.

Ahmad Marzuk Shaary [Bachok] minta Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan menyatakan apakah bentuk bantuan dan jumlah peruntukan Kementerian yang boleh diberikan dalam membantu menjayakan bandar Bachok sebagai bandar pelancongan Islam.

Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh] minta Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani menyatakan berapa ramai pengusaha-pengusaha kapal nelayan laut dalam di Kelantan yang terdiri dari kalangan anak tempatan. Berapa banyak lesen-lesen yang telah diberi dan siapakah sebenarnya pengusaha dan pekerja-pekerja di atas kapal ini.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta Menteri Kerja Raya menyatakan sama ada Kementerian mempunyai perancangan yang konkrit bilakah jambatan di antara Pengkalan Kubor dengan Takbai (Thailand) akan dibina.

Datuk Takiyuddin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan bercadang atau memikirkan untuk melantik mana-mana Ahli Parlimen (Bukan Barisan Nasional) yang berkelayakan untuk mengetuai atau sekurang-kurangnya menganggotai sesebuah Agensi Kerajaan atau Badan-Badan Berkanun ataupun GLC sebagaimana yang diamalkan di negaranegara maju.

Dr. Che Rosli Che Mat [Hulu Langat] minta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menyatakan:-
(a) adakah pembangunan perumahan dan lot-lot komersial mutakhir ini sebagai memenuhi tuntutan keperluan penduduk atau hanya semata-mata memberi ruang perniagaan kepada pemaju-pemaju perumahan; dan
(b) bolehkah projek perumahan terbengkalai dijadikan projek perumahan mampu milik dan dijual kepada pembeli sedia ada.

Dr. Izani Husin [Pengkalan Chepa] minta Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar menyatakan penilaian pihak Kerajaan, sejauhmanakah pembinaan benteng hakisan ombak di Pantai Sabak dan Semut Api dalam kawasan Pengkalan Chepa berjaya menghalang hakisan pada masa hadapan.

Dr. Che Rosli Che Mat [Hulu Langat] minta Menteri Pengangkutan menyatakan:-
(a) peranan yang dimainkan oleh Galeri MUFORS (Malaysian United for Road Safety) dalam membantu memastikan keselamatan jalan raya terjamin; dan
(b) adakah aspek-aspek keselamatan telah dikongsi secara berkesan kepada pengguna jalan raya secara umumnya dan apakah usaha-usaha untuk mempromosikannya.

Dr. Siti Mariah Mahmud [Kota Raja] minta Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah menyatakan adakah kampung-kampung di dalam Kawasan Kota Raja masih di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan semenjak 2008 berapakah peruntukan yang telah dikeluarkan untuk kampung-kampung ini dan untuk tujuan apa.

Wan Hasan Mohd Ramli [Dungun] minta Perdana Menteri menyatakan berapa banyakkah jumlah tanah yang telah dimiliki oleh warga asing di Wilayah Iskandar Johor.

Ahmad Baihaki Atiqullah [Kubang Kerian] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan bolehkah Kerajaan menyenaraikan negeri-negeri yang tidak pernah mendapat kemudahan pembinaan stadium daripada Kerajaan Persekutuan.

Idris Ahmad [Bukit Gantang] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan kenapa Polis gagal membanteras kegiatan jenayah ringan dan berat sedangkan data dan perangkaan sudah diperolehi Pengarah Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah yang menurut rekod Polis mengenai anggota kumpulan geng yang dikenali mendedahkan bahawa 71 peratus daripadanya adalah kaum India, 23 peratus Cina dan 5 peratus Melayu.

Khalid Abdul Samad [Shah Alam] minta Menteri Pengangkutan menyatakan status terkini pelaksanaan Automatic Enforcement System (AES). Nyatakan jumlah kemalangan sebelum dan selepas pelaksanaan AES ini serta keberkesanan sistem ini dalam mengurangkan kadar kemalangan di kawasan tersebut.

Black 505 : Syed Azman mengaku tidak bersalah

Harakahdaily, 24 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan (Adun) Batu Buruk, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mengaku tidak bersalah atas tuduhan menganjurkan perhimpunan yang tidak mematuhi syarat Black 505 di Padang Merbok, Jun lalu.

Beliau yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam memohon dibicarakan.

Beliau didakwa menganjurkan satu perhimpunan yang tidak mematuhi syarat yang dikenakan oleh pegawai yang menjaga Daerah Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad bagi mendapatkan persetujuan pemilik padang iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

Syed Azman turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu gagal menyertakan salinan persetujuan DBKL bertarikh 12 Jun 2013 kepada Zainuddin seperti yang ditetapkan oleh Seksyen 10(c) akta sama.

Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang turut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Padang Merbok Jalan Parlimen di sini antara pukul 2 dan 6 petang, 22 Jun lalu.

Syed Azman diwakili peguam Ariff Azami Hussin.

Hakim Mat Ghani Abdullah bersetuju dengan cadangan pihak pendakwa agar jaminan RM3,000 tanpa cagaran dikenakan terhadap Syed Azman dan menetapkan 9 dan 10 Disember ini untuk perbicaraan.

S'gor peruntuk RM1.1 juta biasiswa Ijazah Lanjutan

Harakahdaily, 24 Sep 2013

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor terus merancang agenda membantu rakyat negeri itu termasuk menyediakan biasiswa kepada mereka yang bercadang melanjutkan pelajaran ke tahap Ijazah Lanjutan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, pada Belanjawan Selangor 2014 nanti, kerajaan akan membentangkan tawaran biasiswa tersebut dengan peruntukan permulaan sebanyak RM1.1 juta.

Katanya, bantuan yang dinamakan Biasiswa Menteri Besar itu akan diberikan kepada pelajar Ijazah Lanjutan melalui terbitan bon sebagai usaha membentuk sebuah Bank Pemikir Negeri Selangor (Selangor Brain Bank).

“Bagi portfolio Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, kita menyediakan perancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi rakyat Selangor.

“Selepas berjaya memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyatnya negeri ini penggal lalu, Pakatan Selangor akan meningkatkan lagi khidmat itu dengan tawaran ini,” katanya dipetik Selangorku.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas pembentangan kertas cadangan Majlis Dialog Belanjawan Negeri 2014, di Hotel Grand Dorset Subang Jaya semalam.

Dr Halimah juga memberitahu, antara perkara lain yang akan dilaksanakan pada tahun depan ialah mewujudkan Pusat Kajian Polisi Sosial.

“Pusat ini akan dikawal di bawah Pihak Berkuasa Tempatan negeri bertujuan untuk mengkaji apakah dasar-dasar yang akan kita lakukan, bagaimanapun kos untuk mengendalikan pusat ini masih dalam perbincangan,” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan sebanyak RM11.6 juta akan peruntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi pembangunan modal insan di negeri itu.

Dalam pembentangan itu yang bertajuk ‘Mengehsankan Insan di Selangor’, sebanyak tujuh rancangan jangka pendek dan panjang akan dilaksanakan dalam lima tahun akan datang dalam program pendidikan, pendidikan tinggi dan menangani gejala sosial.

Antaranya, mewujudkan program pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan kemahiran, Kampus Terbuka Selangor, IMBE program kemahiran, Sultan Salahuddin Idris Shah Centre of Excellence dan Enakmen Yayasan Pendidikan Islam Selangor Maahad Tahfiz Integrasi.

“Rancangan ini sedang dalam kajian untuk dilaksanakan. Sebagai contoh, kita mahu mewujudkan Maahad Tahfiz di setiap daerah, setakat ini kita sudah mempunyai tiga buah dan memerlukan enam buah lagi,” katanya.

Mike Tyson: Saya menangis jika teringat Madinah

http://detikislam.blogspot.com, 24 Sep 2013
Dalam dunia tinju, siapa tidak kenal Mike Tyson? Jalan hidupnya penuh berliku. Di penjara adalah jalan bagi Tyson menemui hidayah Islam.

Tyson memeluk Islam ketika menjalani hukuman penjara atas tuduhan memperkosa ratu cantik Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1991. Sebelum dipenjara, Tyson sedang berada di puncak kariernya. Dia tercatat sebagai juara dunia tinju kelas Heavy Weights sejak 1986 hingga tahun 1990.

Selepas keluar dari penjara, Tyson pernah beberapa kali mengikuti perlawanan untuk mempertahankan gelarannya, namun tidak berjaya. Dia juga pernah muncul di arena gusti bebas di AS.

Mike Tyson
Selepas itu, Tyson seakan menghilang sehingga muncul khabar bahawa legenda tinju itu ke tanah suci untuk mengerjakan ibadah umrah.

Perjalanan ke Tanah Suci itu meninggalkan kesan di hati bekas peninju dunia, Mike Tyson. "Saya masih menangis ketika saya teringat semasa datang ke Raudhoh di Masjid Nabawi," katanya ketika menceritakan saat-saat mengharukan ketika dia mengerjakan solat di Raudhah di samping makam Rasulullah SAW. "Saya bahkan berfikir untuk tidak beranjak dari tempat suci itu."

Secara bergurau Tyson berkata, dia tidak mahu dikenali sebagai Mike Tyson oleh orang lain ketika berada di Tanah Suci. "Saya berharap mereka membiarkan saya menikmati saat-saat saya penuh emosi dan bersendirian untuk berdoa."

Tyson pergi menunaikan umrah bersama-sama dengan presiden misi perdamaian Kanada, beberapa duta besar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan cendekiawan Muslim Shazad Muhammad. Di Madinah banyak peminat beliau menunggu berjam-jam untuk melihat dan bergambar bersama peninju terkenal di dunia itu.

Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com

Kaji Tahaluf Siyasi: Sisi retrospektif pacu kemenangan

Dr. Zahari Aripin, 24 Sep 2013
Resolusi Multaqa Ulama mutakhir ini menghangatkan ruang politik tanah air dan bakal mengubah landskap politik apabila terma ‘Tahaluf Siyasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR disemak semula’ menjadi bualan hangat di semua peringkat terutama di arus media baru. Pelbagai pentafsiran dibuat atas kefahaman masing-masing, sama ada secara literal, kontekstual, istiqra’ (induktif) dan seumpamanya. Namun, kesemuanya memerlukan satu kefahaman yang jelas berpaksikan asas prinsip Islam dalam meletakkan dasar Al-Quran dan As-Sunnah memandu politik yang murni dan adil.

Sudah pasti, ‘mutual consent’  yang boleh kita letak ialah memastikan Islam tetap diletakkan sebagai asas gerak kerja, kerana sifat Islam itu menjadi rahmat kepada sekalian alam, bukan sahaja kepada umat Islam (Al-Anbia:107). Selain itu, politik Islam meletakkan konsep ‘Islah’ (perubahan ke arah kebaikan) yang menjadi prinsip gerakan Islam di sepanjang zaman, bahkan Al-Quran menyebut berkaitan dengan ISLAH sebanyak 44 kali menerusi 38 ayat dan 16 surah. Sama ada ISLAH ini berlaku dari dalam ataupun luar, bahkan ISLAH juga perlu dititikberatkan diantara hubungan vertical (hubungan dengan Allah) mahupun horizontal (hubungan dengan manusia).

Di atas pandangan universal ini, sepatutnya setiap insan terutamanya pengislah di dalam gerakan PAS melihat daripada kaca mata yang bersifat konstruktif, ditambah dengan pandangan retrospektif perjuangan nabi Muhammad SAW, para sahabat, dan mereka yang dijanjikan dengan kebaikan dalam memacu serta menggerakkan politik Islam.

Maka, sedarlah bahawa perjuangan hari ini telah kehilangan 'key factor' yang menjadi asbab kegemilangan Islam terdahulu, yakni kekuatan spiritual/ruhiyah umat Islam.

Saat di awal pentadbiran politik di dalam Perang Badar Al-Kubra, yang menunjukkan kekuatan fizikal yang tersangat kurang, persenjataan yang sedikit, namun Nabi SAW meletakkan asas spiritual yang sangat kukuh, sehingga meraih pertolongan Allah SWT, sepertimana yang dinukilkan di dalam Al-Quran: (Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Dia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera)  malaikat yang datang berturut-turut. (Al-Anfal: 9)

Bahkan dalam ayat yang lain, dengan berkat kesabaran dan ketakwaan tentera Badr, Allah SWT memperkenankan doa mereka dan menambahkan lagi pertolongan:
(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): Tidakkah cukup bagi kamu bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera daripada malaikat yang diturunkan?. Bahkan jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing. (Ali-Imran: 124-125)

Begitulah selanjutnya dalam siri kegemilangan Islam sehingga zaman para sahabat. Selepas itu muncul pejuang2 Islam seperti Salahuddin Al-Ayyubi, Sultan Muhammad Al-Fateh, dan ramai lagi yang boleh dijadikan argument konkrit bagaimana soal spiritual ini menjadi asas utama yang sering diabaikan mutakhir ini terutama ketika berjuang di medan demokrasi sehingga ada di kalangan orang-orang Islam yang hanya mengharapkan undi terbanyak kerana bayangan kejahilan dan keegoan yang menutup ruang-ruang pertolongan Allah SWT.

Dengan kaedah mengambil ibrah di atas umum ayat/peristiwa, bukan kerana sebab khusus (diturunkan) maka penyertaan gerakan Islam seperti PAS dalam sistem demokrasi yang menjadikan undi kepada penentu kemenangan juga mesti diyakini ianya masih terikat dengan kekuatan spiritual. Saranan resolusi Multaqa Ulamak Se-Malaysia untuk menyemak kembali Tahalluf Syiasi dengan rakan-rakan pakatan rakyat amat menepati saranan Al-Quran dan As-Sunnah supaya perjuangan Islam tidak menggadaikan prinsip-prinsip asas kepada perjuangan untuk menegakkan Islam.

Tanpa menafikan faktor yang lain, elemen ini perlu ditekankan kembali dengan nasihat dan praktikal yang berterusan supaya gerakan yang mendokong  Islam sentiasa memimpin dunia dalam arus kebangkitan pada masa ini. Kerana itu, ulama’ haraki di dalam PAS memainkan peranan yang sangat penting lantas menepati ciri-ciri kumpulan yang telah Allah SWT sebutkan di dalam Al-Quran: Hendaklah diantara golongan berjuang itu ada sebahagian yang mendalami ilmu agama (tafaquh fiddin), dan memberikan peringatan kepada kaum mereka apabila pulang kepadanya semoga mereka memperoleh peringatan. (At-Taubah: 122)

Peringatan daripada Dewan Ulamak PAS Pusat berkaitan dengan Tahaluf Siyasi yang diberikan merupakan kritikan dalam memastikan usaha ISLAH politik negara akan lebih berkesan, tanpa menghadapi permasalahan dalaman yang merosakkan rencana siyasatul dakwah ini. Atas nama apa sekalipun, setiap sendi perlu memastikan Islam tetap menjadi asas pengislahan ummat.

Demokrasi yang didokong menjadi wasilah kepada kerana dakwah Islamiah di Malaysia ini perlu dijadikan matlamat utama, sebaliknya perkara yang lain termasuklah Tahalluf Siyasi hanya bersifat mutaghayyirat (fleksibel) yang boleh dikritik, diubah, disemak, selagi mendatangkan mashalah kepada Islam.

Majlis Syura Ulamak telah menggariskan 6 syarat penting bagi membolehkan PAS mengadakan tahaluf siyasi bersama-sama dengan rakan-rakan pakatan yang lain. Tahalluf Syiasi itu dibenarkan di dalam PAS adalah datang melalui perbincangan ulama, justeru tidak menjadi konflik bagi ulama haraki PAS untuk bersuara bagi memberi peringatan berkaitan hal ini dan mengembalikan kepada ulama untuk menyemaknya kembali.

Kedudukan ulama umpama kuih yang sedang dimasak dalam periuk belanga. Api yang membakar di bawahnya ialah karenah keluhan rakyat. Bahang dari atas pula ialah harapan penguasa yang inginkan rakyat diinsafkan. Berat ke atas hilanglah sokongan rakyat, berat ke bawah putuslah hubungan dengan penguasa. TAQWA menjadi penyelesaian untuk ulama keluar daripada kesulitan supaya berhasil dalam mempertemu, mempertaut serta menserasikan antara rakyat dan penguasa.

Penulis ialah Ketua Majlis Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Pusat.

Tiada ulasan: